Kalau dulu ada sahaja wajahnya muncul dalam akhbar dan majalah, namun sekarang kelibat pelakon berkulit putih melepak ini kurang menonjol.
Populariti dirinya dikatakan sudah merudum dan jauh dari peminat tapi perkara ini disangkal sendiri oleh Tiz Zaqyah dengan mengatakan yang dia langsung tidak menganggapnya sebagai satu masalah.
Sumber Foto: IG Tiz Zaqyah
“Saya juga ada medium media sosial seperti Facebook dan Instagram. Itu adalah medium yang boleh saya gunakan untuk mengumumkan sebarang aktiviti saya. Sama macam artis-artis lain juga, sudah tentu ia juga digunakan oleh peminat untuk mengetahui perkembangan saya,” katanya kepada Utusan Onlione.
Tiz juga menafikan khabar angin yang mengatakan dia merajuk dan berkecil hati dengan pihak tertentu dan disebabkan itulah dia lebih senang diam dalam dunianya sendiri.
Tambahnya, “Sebenarnya saya tidak pernah melarikan diri. Saya pun tidak merajuk dengan mana-mana pihak, saya biasa-biasa sahaja. Cuma, memang saya sengaja mahu lebih fokus kepada kerja saya, itu sahaja.”
Pelakon berusia 28 tahun ini tidak sukakan publisiti murahan dan lebih selesa jika peminat di luar sana bercerita tentang hasil kerjanya berbanding isu peribadi.
Ditanya tentang kemunculan lambakan kemunculan aktres baru, Tiz mengatakan ia merupakan satu persaingan yang sihat untuk industri hiburan dan tidak sedikit pun berasa cemburu dengan mereka.
Malah, dia bersedia dan terbuka untuk bergandingan bersama mereka untuk menaikkan sesuatu drama atau filem. -CARI |