Pelawak bersahaja dan penyampai radio terkenal, Johan yang sering digandingkan bersama Zizan Razak sebagai pengacara bersama dalam rancangan realiti Raja Lawak, akui gementar mengacara program realiti baru, Lawak Solo.
“Program Lawak Solo merupakan program realiti pertama yang menampilkan saya sebagai pengacara tunggal. Sebelum ini, saya bersama Zizan mengendalikan Raja Lawak selama beberapa musim.
“Saya akui saya rasa gementar tanpa kehadiran rakan pengacara lain seperti Zizan tetapi saya akan mencuba untuk menggalas tanggungjawab tersebut sebaik mungkin,” kata Johan kepada Astro Awani di sidang media Lawak Solo baru-baru ini.
Sumber foto: jozanfc_official
Komedi solo ataupun stand-up comedy kini semakin mendapat perhatian peminat komedi tanah air. Untuk itu, program realiti komedi baru, Lawak Solo dijadikan platform bagi Astro Warna mencari pelapis untuk memeriahkan lagi dunia komedi solo.
Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, menyatakan bahawa program baru itu berbeza jika dibandingkan dengan program komedi terdahulu seperti Raja Lawak dan sebagainya.
“Peserta Lawak Solo akan dibimbing barisan pelawak terkenal seperti Nabil Ahmad, Ebby Yus dan Douglas Lim.
“Mereka bertiga bakal bertindak sebagai penasihat komedi dan akan bersama peserta mengasah kemahiran berlawak masing-masing menerusi sesi pembelajaran khas yang diadakan pada setiap minggu,” katanya.
Selain Johan, Fad Bocey turut bertindak selaku hos dibelakang tabir bersama dua lagi pelawak baru laman sosial iaitu Jamal dan Zukiee.
10 peserta Lawak Solo akan diadili dua juri tetap, Datuk AC Mizal bersama Saiful Apek dan seorang juri jemputan setiap minggu.
Lawak Solo akan menemui penonton secara langsung dari Studio Finas, Kompleks Merdeka FINAS setiap hari Jumaat, bermula 21 Oktober 2016, jam 10.00 malam, dibawa secara eksklusif menerusi Astro Warna (Saluran 132) dan tayangan serentak di Mustika HD (Saluran 134). - CARI |