Penangan dan fenomena Pokemon Go nampaknya masih belum surut sehingga kini. Pengaruhnya yang kuat telah memberi impak kepada bidang mahupun industri lain termasuklah fesyen, makanan dan sebagainya.
Kali ini, giliran kasut yang berinspirasikan watak Pikachu sedang meningkat naik di negara Jepun. Wah, memang kreatif dan juga comel!
Memetik laman Rocketnews24, Esperanza Shoes sebuah butik online di Jepun telah mengeluarkan koleksi kasut yang diberina nama Pikachu Collection.
Ia didatangkan dengan dua jenis yang sangat comel dan menawan iaitu versi flat dan juga high heels. Yang pastinya rona kuning mendominasi rekaan kasut comel tersebut, sesuai dengan watak Pikachu yang diangkat sebagai temanya.
Adakah ia bakal mengundang dan menarik perhatian? Sudah tentu! Selain comel, ronanya yang cerah dan vibrant membuatkan banyak mata terpukau dengan gaya itu nanti.
Persoalannya, adakah ia sesuai untuk golongan remaja sahaja? Sudah tentu tidak, ini kerana fenomena Pokemon Go sudah melanda pelbagai peringkat umur.
Ketika anda menggayakan kasut berkenaan, tak perlu berasa malu sebaliknya bangga kerana mampu membawakan watak comel Pokemon sebagai ciri pada diri anda.
Sesekali bawa elemen santai dalam bergaya, pasti lebih mengujakan dan menarik kan! Bukanlah sekadar bergaya sakan seperti seorang diva sahaja. Dengan kartun Pokemon pun anda boleh tampak hebat dan bergaya. Percayalah!
Koleksi ini boleh didapati secara online di laman Esperanza Shoes. Harga yang ditawarkan ialah bermula 9,000 yen (RM360) sehingga 12,744 yen (RM511)! - CARI