Bagaikan terbang persis sang superman, mungkin itulah yang dirasakan tatkala bermain permainan bernama skycoaster ini.
Bagi anda yang memang dahagakan cabaran dan juga permainan yang mampu membuatkan dada berdegup kencang. Cubalah skycoaster ini, jika berkunjung ke Fun Spot America Theme Park-Kissimme.
Terletak di Florida, ia merupakan skycoaster yang paling tinggi di dunia, mencecah ketinggian sehingga 300 kaki atau lebih kurang 100 meter!
Tak dinafikan ia sangat menguji adrenalin, jika anda yang tak tahan dengan lokasi tinggi, lebih elok jadi penonton sahaja.
Pengunjung boleh memilih untuk bersendiri atau paling ramai sehingga 3 orang, bermain skycoaster. Anda akan diangkat secara perlahan-lahan ke angkasa sehingga 300 kaki, sebelum dihayun dan menyebabkan anda seperti melayang di udara.
Sebab itu, dikatakan anda mungkin berasa sedang terbang bak watak superman! Yang menariknya, selain dibuai laju anda boleh melihat pemandangan indah dari sudut atas.
Tiket untuk permainan ini dijual pada harga USD$40 atau lebih kurang RM160! Boleh tahan juga, namun pengalamannya sangat unik dan sukar dicari di tempat lain. - CARI