|
Edited by Glass_shoes at 27-7-2016 08:45 AM
Kakak penyanyi Adira cedera diserang
KOTA KINABALU: Kakak kepada penyanyi Adira, Emma Suhaimi, 27, cedera akibat diserang seorang individu di rumahnya di Universiti Utama Condominium (UUC), dekat sini, tengah malam tadi.
Emma yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim kelapan dan deejay sebuah stesen radio tempatan di sini, cedera di bahagian belakang kepala, telinga, hidung dan pipi. Rakan serumahnya pula dilaporkan cedera di tangan dan bahagian mata.
Kakak kepada Emma, Ayu Suhaimi, 28, berkata kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah malam ketika adiknya bersama rakan serumah nyenyak tidur.
"Emma dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II di sini untuk rawatan lanjut, manakala rakannya dirawat sebagai pesakit luar. Emma mungkin dibenarkan pulang petang ini," katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.
Sejak pagi tadi, insiden menimpa Emma dan rakannya menjadi viral di laman sosial berikutan dakwaan mangsa cedera selepas rumahnya dimasuki perompak yang turut mengacukan parang ke lehernya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, menafikan dua mangsa berkenaan cedera akibat disamun seperti viral di laman sosial.
"Siasatan mendapati ini bukan kes samun, sebaliknya kejadian berpunca daripada masalah peribadi dipercayai antara seorang mangsa dengan bekas teman lelakinya dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
"Tiada barang hilang dari tempat kejadian atau milik mangsa. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan benda berbahaya," katanya, di sini, sebentar tadi.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak menyebarkan berita tidak sahih sehingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat atau berdepan tindakan mengikut undang-undang.
Teman rapat Emma, Keroz Nazri, berkata kejadian itu menyebabkan telinga Emma hampir putus.
Pembedahan menyambung telinganya berjalan lancar. Emma kini dalam keadaan stabil, namun masih trauma," katanya.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/177168?m=1
|
|