Wilma mahu kembali aktif berlakon
Oleh ZULHILMI JALIL
Foto SEVENTWELVE STUDI @712studio
PELAKON filem Pasrah ini mengakui dia kini berstatus isteri kepada seorang ahli perniagaan.
SUDAH lama tidak kedengaran mengenai perkhabaran pelakon yang pernah mencipta populariti sekitar lewat 1990-an, Wilma Muhammad. Sejak kematian suaminya pada tahun 2011, tumpuan pelakon filem Pasrah itu lebih terarah untuk membesarkan anak-anaknya. Apatah lagi ketika itu, kesemuanya masih kecil, Wilma tekad untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Fokusnya tidak lain hanya untuk menguruskan rumah tangga dan melihat anak-anak membesar dengan sempurna. Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun bersama Mahir Effendi, aktres itu dikurniakan lima cahaya mata, Raida Thaqifa, 14; Athira Inara, 12; Mahira Aqila, 10; Muhamad Yusuf, 8, dan Umar Al Faruq, 7. Bagaimanapun, menurut pelakon filem Ghazal Untuk Rabiah itu, kini dia sudah bersedia untuk kembali aktif di hadapan kamera. “Memang ramai yang tanya kenapa saya berhenti berlakon sebelum ini. Bukan apa, ketika itu anak bongsu saya masih kecil. Jadi, tumpuan memang mahu diberikan sepenuhnya kepadanya. “Sekarang ini anak lelaki bongsu saya sudah pun bersekolah. Dia sudah pandai urus diri sendiri, mandi, membaca dan menulis. Jadi, saya rasa sudah boleh saya kembali berlakon,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini. Apatah lagi keadaan ekonomi yang tidak begitu menentu, kata Wilma, sekurang-kurangnya dengan kembali berlakon, sedikit sebanyak ia dapat menampung kos keperluan harian yang semakin meningkat. Tambahan pula, kata Wilma, anak-anak dan suami baharunya juga sudah memberikan kebenaran untuknya bergiat aktif semula berlakon. “Anak-anak pun kata okey. Suami pun tidak kisah jika saya mahu berlakon semula. Bahkan, dia memberikan sokongan sepenuhnya kepada saya,” katanya yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan berstatus bujang selepas kematian suaminya pada tahun 2011. Bercerita mengenai rumah tangganya, kongsi Wilma, dia berasa bertuah kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang dan sangat bertanggungjawab. “Selepas arwah pergi, ramai ingat saya tidak bersuami. Sebenarnya, saya memang banyak tidak bercakap mengenainya atas permintaan pihak suami. “Lagipun, dia memang jarang ada di Kuala Lumpur atas urusan kerja. Jadi, orang selalu nampak saya sendirian, itu yang ramai tidak tahu mengenainya,” kongsi pelakon yang kini menginjak usia 43 tahun itu. Buat masa sekarang, kata Wilma, dia masih menguruskan anak-anak setiap hari. “Walaupun ada pembantu, tetapi urusan masak dan menghantar anak ke sekolah, tetap saya yang lakukan sendiri,” katanya yang memberitahu, suaminya berusia 53 tahun itu mengusahakan sebuah calet di Langkawi.
sumber : kosmo
|