Mail Online melaporkan, semuanya bermula apabila akaun Twitter yang didaftarkan atas nama kucing tersebut, Pal­merston, memuat naik kenya­taan-kenyataan kononnya sedang mempelajari bahasa itu.
Kucing tersebut diambil ‘bertugas’ di pejabat berkenaan pada April lalu untuk menangkap tikus sehingga diberi gelaran ‘ketua penangkap tikus’.
Dalam akaun Twitter tersebut, kucing itu dilihat memberikan gaya istimewa dengan berlatarbelakangkan sebuah buku bertajuk 24 Task for Basic Modern Japanese dan sekeping poster wanita Jepun berpakaian kimono.
‘Dakwa’ Palmerston, seperti diplomat-diplomat lain, dia perlu mempelajari bahasa baharu bagi berkomunikasi dengan pengikutnya di Twitter.
Kucing itu kemudiannya ‘me­nulis’ : “Hello, orang Jepun! Saya ingin tahu jika ada tikus lagi di sini (meow)”.
Ternyata, ‘tulisan’ kucing itu berjaya menarik perhatian warga Jepun yang menyatakan kegembiraan mereka terhadap kemahiran bahasa yang dimiliki Palmerston.
Seorang pengguna Twitter dari Jepun memberikan maklum balas berikut : “Banyak tikus di loteng saya, oleh itu, saya mahu me­nunggu anda (Palmerston) di sini, di Jepun.”
Palmerston, kucing yang bertugas di Pejabat Kementerian Luar dan Komanwel UK dari Pusat Perlindungan Kucing dan Anjing Battersea dinamakan sempena Viscount Palmerston yang merupakan Setiausaha Luar UK sekitar 200 tahun lalu serta pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Britain.
Menurut Pejabat Kementerian Luar dan Komanwel UK, ‘ke­nyataan’ yang dimuat naik Pal­merston tidak menggunakan wang rakyat dan kos kebajikan haiwan itu adalah menggunakan tabung kakitangan.