CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12Next
Return to list New
View: 9730|Reply: 37

(NOVEL) GENG TOYOL.

[Copy link]
Post time 25-5-2016 09:56 AM | Show all posts |Read mode
Assalamualaikum,

Novel ni takde rezeki untuk diterbitkan dalam bentuk naskhah.
Jadi, saya anggap ia adalah rezeki untuk pembaca online.
Enjoy reading ya!


Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-5-2016 09:58 AM | Show all posts
                                                                 PROLOG.


BILA DIA bebas nanti, ke mana dia hendak pergi? Sarah tunduk merenung nasib diri sendirian. Dinding empat penjuru yang menjadi benteng antara dia dan dunia luar direnung kabur. Adakah tempat untuknya menumpang teduh, menghabiskan sisa-sisa hidup yang kelam dalam bayangannya. Apakah ada sinar bahagia yang mahu menjenguk ke dalam hidupnya?

Bolehkah dia pergi mencari Yana? Satu-satu sahabatnya yang pernah dimiliki. Meski mereka berkawan tidak sampai setahun, tapi hubungan yang dibina begitu kuat terjalin dengan ikatan hati yang utuh. Mana mungkin dia dapat cari sahabat seperti Yana? Yana dan dia sejiwa dan sekepala. Mereka berdua jauh berbeza dari banyak sudut. Yana anak orang kaya. Dia anak orang miskin. Yana periang, ramah dan bermulut celupar. Dia pendiam, susah hendak bercakap dengan orang dan penyimpan rahsia. Yana suka berterus terang. Dia lebih suka memendam perasaan. Yana jarang berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu. Tapi dia selalu mengambil masa yang lama untuk berfikir sebelum membuat keputusan.

Namun, dia dan Yana sama-sama suka ketawa. Mereka berdua suka bersembang tak kira di mana mereka berada. Di dalam bilik, di dewan makan, di bilik mandi hatta di surau. Bila mereka bersama, mereka nakal. Sekeliling mereka jadi bising. Bila mereka bersama, banyak idea nakal timbul. Oleh sebab itu, mereka digelar Geng Toyol oleh pelajar-pelajar asrama. Sarah menarik nafas resah. Dia rindukan Yana! Dia rindukan saat-saat mereka bersama. Tapi itu semua kisah lalu. Masa takkan dapat diulang kembali.

Jadi, bolehkah dia keluar nanti dan pergi mencari Yana? Sarah termangu. Tak...tak boleh. Seribu kali dia keluar dari penjara pun, dia tak boleh pergi mencari Yana. Tak boleh! Yana perlu bahagia. Kehadirannya akan mencacatkan hidup Yana. Tak boleh...

Wajah Zaki pula terbayang di ruang mata. Wajah lelaki tinggi lampai dan berhidung mancung itu tersenyum kepadanya dalam angan. Zaki hadir dalam setiap mimpinya setiap masa. Menghulur kasih dan cinta yang tidak berbelah bagi. Zaki masih sama seperti dulu. Masih sama seperti di waktu mereka kanak-kanak. Zaki masih tak jemu menunjukkan tanda cintanya yang kian mekar dari hari ke hari. Zaki masih menagih cinta darinya tanpa jemu.

Kalaulah tidak kerana peristiwa hitam itu, dia sudah meluahkan perasaannya kepada Zaki. Biar Zaki tahu bahawa selama ini dia juga cintakan Zaki. Sejak mereka darjah enam. Bagaimana Zaki cintakan dia, begitulah cintanya pada Zaki. Hanya selama ini dia yang berasa rendah diri dengan kekurangan diri dan kesangsian hati. Dia memendam perasaannya terhadap Zaki selama ini.

Namun,  dari hari ke hari, meski sudah hampir 5 tahun dia menghuni penjara ini, mengapa tiada satu pun warkah dari Zaki yang tiba untuknya? Mengapa Zaki senyap saja? Apakah Zaki marah padanya kerana tidak membalas isyarat cinta yang telah diberikan selama ini oleh Zaki? Jadi, Zaki menghukumnya dengan berdiam diri sebegini? Atau, apakah Zaki sudah tahu yang dia budak jahat? Dia betul-betul toyol yang jahat! Dia telah dihantar ke penjara ini. Jadi mungkin juga Zaki sudah tawar hati dengannya?

Sarah hela nafas lemah. Dia tunduk merenung lantai yang hitam. Seketul batu kecil serpihan simen diambil. Digenggam dengan hujung jari runcingnya. Sarah merenung batu kecil itu. Perlahan-lahan, batu kecil itu ditekan ke lantai sel penjaranya. Tangannya bergerak perlahan mengukir nama ‘Geng Toyol’ di lantai hitam itu. Hatinya terusik dengan semua kenangan silam yang hadir dalam benaknya hingga membuatkan dia kesepian dan kekosongan. Jiwanya terasa sayu.  Mungkinkah akan begini selamanya?



Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2016 10:00 AM | Show all posts

                                        BAB 1


LELAKI BERTUBUH  tegap itu direnung dari jauh. Dia kelihatan sedang berjalan perlahan sambil menjinjing beg baju bersama rakannya. Sesekali perjalanan mereka disulami gelak tawa perlahan. Meski jarak antara dia dan lelaki itu agak jauh, dipisahkan dengan 2 lapisan pagar, tapi dia masih boleh nampak dengan jelas riak wajah lelaki itu. Lelaki yang telah sekian lama bertakhta di hatinya. Sejak dia masih bergelar budak tomboy hingusan. Sejak dia darjah enam.

Ya. Darjah enam. Ketika semua kanak-kanak riang bermain, dia ditempatkan di sebelah lelaki itu. Dari situ, dia dan lelaki itu berkawan baik. Tapi, yang lebih jujur, dia sering membuli budak lelaki itu. Dia masih ingat wajah lelaki itu semasa darjah enam. Budak lelaki yang selalu ke sekolah dengan wajah berbedak haruman Johnson’s di muka dan rambut yang berkilat disikat.

Mukanya yang putih macam disapu tepung gomak itulah yang selalu membuatkan dia sering membuli lelaki itu semasa kecil. Pensel budak lelaki itu diambilnya. Pemadam budak lelaki itu pun dicurinya. Bekal air budak lelaki itu diteguknya rakus sampai licin bila bekas itu ditinggalkan di dalam kelas. Tapi, anehnya, tak sekalipun budak lelaki itu merajuk, atau menangis, atau marah atau memberitahu guru akan tindakannya itu. Lelaki itu masih melayannya dengan baik. Bahkan, pernah suatu ketika saat dia tidak punya wang saku untuk dibelanjakan di sekolah, lelaki itulah yang memberinya separuh wang saku kepadanya. Dan dia ambil tanpa ucapan terima kasih.

Bayang lelaki itu kian hilang apabila bangunan asrama pelajar lelaki atau asrama putera dihampiri. Sekaligus menenggelamkan kelibat lelaki itu di celah-celah bayang bangunan dewan makan sekolah itu. Sekolah asrama penuh paling terkenal di daerahnya.

Sarah menghela nafas berat. Ya, dia dan lelaki itu dipisahkan dengan 2 pagar. Dia bersekolah menengah biasa dan lelaki itu bersekolah di sekolah asrama penuh. Bukan dia tidak ingin mengikuti lelaki itu masuk ke satu sekolah. Dapatlah dia renung lelaki itu hari-hari. Tapi, keputusan peperiksaannya tidaklah sebagus lelaki itu. Lagipun, dia tahu, abah takkan mampu membiaya pengajiannya di sekolah itu yang khabarnya, yuran makan asrama sebulannya pun hampir mencecah RM60!

Sarah menarik nafas resah. Dia baru usai solat Zuhur di surau sekolahnya. Hari ini, hari pertama persekolahan selepas hampir sebulan lebih bercuti. Hari ini sekolah dibuka. Hari ini, pelajar-pelajar asrama mula memenuhi asrama sekolah. Namun, masih ada yang belum datang. Sarah mengambil keputusan untuk datang ke asrama awal. Lebih senang dia hendak memilih tempat tidur. Dia tidak mahu tidur di bilik berhampiran tandas. Dia tidak suka bunyi bising di tandas setiap kali pelajar-pelajar asrama mandi.

Sarah melontar pandang ke jalan depan pula. Jalan raya yang menuju ke kawasan bandar. Struktur  bandar kecil itu memang strategik. Jika diteliti, dalam lingkungan kawasan 1 kilometer, ada sebuah sekolah rendah di kanan daerah, sekolah menengah asrama penuh di tengah, sekolah menengah biasa di kiri sekali. Kira-kira 200 meter ke hadapan, ada jalan kecil yang menempatkan perpustakaan daerah, ada bangunan Majlis Perbandaran, ada bangunan Pusat Belia dan Sukan dan nun hujung di depan jalan raya besar, tersergam deretan kedai yang berbalam-balam menjadi mercu tanda bandar itu.

Sarah bangun dari bangku besi sepanjang 1 meter yang terletak di belakang surau asramanya. Kebetulan, surau asramanya betul-betul bertentangan dengan bangunan asrama putera sekolah sebelah. Antara pagar asrama sekolahnya dan pagar sekolah sebelah, ada sebuah jalan kecil yang menuju ke kawasan perkuburan yang letaknya kira-kira 200 meter dari jalan depan antara dua sekolah itu. Jadi, jika ada rezekinya, dapatlah dia menatap wajah Zaki. Lelaki yang berada di hatinya sejak 6 tahun yang lalu. Sarah menarik nafas berat.  Bayang Zaki nyata telah hilang dan takkan muncul lagi. Sarah mengatur langkah perlahan menuju ke asramanya. Dia bercadang untuk mengemas baju ke dalam almari.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2016 10:01 AM | Show all posts
BAB 2



SETAHUN YANG LALU....

SUASANA HOSPITAL begitu sayu. Tangisan dan rintihan dari suara Puan Azizah tak putus-putus kedengaran. Airmatanya sudah tidak dapat diempang lagi. Bahu anak gadisnya yang berusia 16 tahun dipeluk kuat. Yana yang turut menangis dalam keadaan yang masih terkejut dengan kejadian semalam masih terketar-ketar menggenggam erat tangan ibunya.

Semalam, abangnya lambat bangun dari tidur, Jadi ibunya meminta dia mengejutkan abangnya di bilik. Namun, sebaik dia membuka pintu bilik abangnya, Yana terpempan. Matanya terbuntang merenung ke siling. Lebih tepat lagi, ke arah kipas siling yang tidak berputar. Tali yang tergantung di kipas kelihatan sudah senget. Dan abangnya, Ikhmal, tergantung di situ! Ikhmal mati membunuh diri dengan menggantung dirinya di kipas siling. Trauma yang melanda hati Yana tidak terkira. Dia tidak tahu hendak berbuat apa saat itu. Yang dia tahu, dia menjerit sekuat hati hingga kekejangan.

Ibunya menangis dan meraung tak sudah memeluk abang yang sudah tak bernyawa. Ayahnya bagai orang gila, melempar barang-barang di dalam rumah. Adik-adiknya yang 2 orang lagi juga turut terkesan dengan peristiwa itu.

Puan Azizah memegang pipi Yana. Dipandang anak gadis itu dalam-dalam dengan airmata yang merembes laju. Yana merenung wajah ibunya.

“Kau jangan ikut jejak langkah abang kau...jangan....jangan Yana...jangan....Kesiankanlah mama ni..” ngongoi Puan Azizah. Yana yang masih menangis hanya mengangguk laju berkali-kali. Disembamkan wajah ke dada ibunya. Nyata tubuhnya bergetar ketakutan. Puan Azizah memeluk erat tubuh Yana. Jenazah Ikhmal dikebumikan petang itu sesudah melalui beberapa prosedur di hospital.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2016 10:02 AM | Show all posts

                                        BAB 3



“ADA ORANG tidur katil ni?” soal gadis muda itu padanya. Sarah yang sedang membaca buku di katilnya mengerling sekilas pandang katil di sebelahnya. Dipandang wajah gadis muda yang merupakan pelajar baru asrama itu. Baru agaknya. Tak pernah nampak sebelum ni.

“Takde,” lantas Sarah geleng lalu menyambung pembacaannya.

“Aku tidur sini...boleh?” soal gadis itu sambil memandang Sarah. Sarah pandang gadis itu lalu angguk.

“Suka hati kau...” kata Sarah selamba. Gadis itu tersenyum sendirian, kemudian meletakkan beg bajunya yang agak banyak di atas katil. Dia kelihatan sedang mengemas barang-barangnya ke dalam almari bajunya. Melihat barangnya yang agak banyak, Sarah mula menunjukkan minat. Baju kurung budak itu sahaja, lebih dari 10 pasang yang sedang digantung di dalam almari. Bedak-bedaknya juga bukan main main. Pasti budak ni anak orang kaya...Kalau tak, takkan ada begitu banyak barang macam ni...desis hati Sarah.

“Kau tingkatan berapa?” soal Sarah. Buku di tangan, dijatuhkan. Gadis itu berpaling kepadanya. Dia duduk di birai katil dan tersenyum.

“Lima. Kau?” soalnya. Sarah menghela nafas. “Sama arr...” ujar Sarah perlahan. Gadis itu senyum lagi.

“Aku Arriana. Panggil Yana. Kau?” soalnya.

“Siti Sarah. Panggil Sarah,” jawab Sarah pendek. Mereka berbalas senyum.

“Kau baru pindah? Sekolah mana dulu?” soal Sarah. Meski baru kenal, tapi dia rasa senang pula berbual dengan gadis ini. Tak seperti kawan-kawannya yang lain yang tinggal di asrama ini.

“Sekolah Menengah Sri Bentara...” jawabnya.

“Isy...jauh tu. Kenapa pindah sini?” Dia tersenyum penuh makna.

“Cari angin baru...Aku dengar sekolah ni rekod SPM baik. Cikgu-cikgu kat sini banyak panitia SPM. Jadi, mungkin ada peluang untuk aku sukses kat sini...” terangnya dengan senyum tawar. Matanya mencerlung ke arah baju-baju yang sedang dikeluarkan dari dalam beg. Sarah terangguk-angguk.

“Well..good luck,” kata Sarah. Dia baring di katilnya sambil menutup mukanya dengan buku.

“Oh...boleh kau kejutkan aku pukul 5.30 nanti? Aku nak tidur kejap. Takut tak bangun pula untuk makan malam...” pinta Sarah, lalu memandang Yana di sebelahnya.

“Okay..” Yana meneruskan kerja mengemas almari bajunya. Suasana asrama hingar dengan suara pelajar-pelajar asrama yang suka berborak dan gelak ketawa sesama mereka.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2016 10:03 AM | Show all posts

“SARAPAN pukul 7 pagi, makan tengahari pukul 1.00. Kalau hari Jumaat, makan tengahari pukul 12.00. Minum petang pukul 4.30. Makan malam pukul 6.00. Supper, pukul 10.00 malam, lepas habis masa study...” terang Sarah kepada Yana dalam perjalanan mereka menuju ke dewan makan yang terletak kira-kira 50 meter dari asrama mereka. Yana yang tidak ada kawan, hanya ikut sahaja Sarah. Lagipun, dia senang bersama gadis itu. Simple. Tak banyak cakap.

Yana mengangguk faham. Dipandang dewan makan yang sedang dipenuhi dengan pelajar lelaki yang sudah beratur untuk mengambil makanan.

“Kau bawak botol air?” soal Sarah. Yana menggeleng. Sarah mengetap bibir.

“Baik kau minta satu botol kosong kat Kak Ina dewan makan tu. Takde botol air, susah. Nanti tengah malam, bila dewan makan dah tutup, kau dahaga...nak cari air kat mana...” bebel Sarah.

“Minta air kaulah,” selamba Yana menjawab. Sarah mendengus.

“Takut tak cukup...” sambung Sarah. Mereka sudah menghampiri barisan pelajar perempuan. Diambil tray makanan berwarna biru lalu mereka sama-sama menunggu giliran untuk mengambil makanan. Bila sampai giliran Sarah, cepat-cepat Sarah memandang Kak Ina yang bekerja di dewan makan itu. Dia sedang menyendukkan lauk kari ayam ke dalam tray makanan Sarah.

“Kak Ina..ada botol air mineral lebih? Nak satu..” pinta Sarah.

“Kau ambil kat belakang dapur nanti...” ujar Kak Ina sambil meneruskan kerjanya menyendukkan makanan ke dalam tray makanan Yana pula.

“Cun! Terima kasih kak,” Sarah sengih. Yana mengambil 2 potong buah nenas yang yang disediakan. Dengan pantas tangannya diketuk oleh Kak Emma, salah seorang pekerja dewan makan yang menyendukkan buah ke dalam tray makanan.

“Sorang satu je!” tegurnya. Muka Yana mencuka bila nenasnya yang lagi satu ditarik balik ke dalam bekas makanan.

“Ala..kedekut..” getusnya.Sarah menyiku pinggangnya.

“Jom! Chow...” dengan menunjukkan satu tempat makan, Sarah dan Yana menuju ke situ.

“Rilekla dulu..kalau kau nak makanan lebih, tunggu semua orang balik asrama dulu. Nanti masa kita ambil botol air kat dapur belakang, kita culiklah baki makanan yang ada nanti...” kata Sarah perlahan. Itu rahsianya selama ini. Tapi, dia tidak lokek untuk berkongsi dengan Yana. Apa salahnya. Untung, bahagi dua,kan? Yana melopongkan mulutnya. Suasana hingar bingar dengan pelajar-pelajar yang sedang makan.

Dewan makan itu dipisahkan dengan satu dinding plywood yang menjadi pemisah antara bahagian tempat makan lelaki dan bahagian tempat makan perempuan. Cuma di bahagian belakang dewan makan itu saja yang tiada dinding pemisah. Jadi, kadangkala ada pelajar-pelajar lelaki yang nakal sering menjenguk ke bahagian tempat makan perempuan.

Di hujung dewan makan itu juga ada meja besar untuk acara sukan pingpong yang selalu dimain oleh pelajar lelaki. Waktu itulah, pelajar asrama lelaki yang bermain pingpong akan menunjukkan kehandalan mereka bermain pingpong sambil disaksikan oleh pelajar perempuan. Pelajar asrama perempuan pula, waktu itulah sibuk nak memancing perhatian pelajar lelaki.

Piunggg....Puk! Entah dari mana, tiba-tiba seketul tulang ayam yang sudah tiada isi melayang masuk ke dalam tray makanan Yana. Betul-betul jatuh ke atas nasinya. Yana dan Sarah yang sedang makan terkejut. Beberapa pelajar perempuan lain yang sedang makan berhampiran mereka tersenyum-senyum memandang mereka berdua.

“Kurang ajaqqq.....siapa baling tulang ayam ni!!!!” tak semena-mena Yana naik angin. Suaranya dikuatkan, jelas untuk didengari oleh pelajar-pelajar lelaki di sebelah. Terdengar suara ketawa di sebelah sana. Yana mengetap bibir. Sarah buat muka bodoh. Situasi itu, dia sudah lali. Malas hendak ambil pusing.

“Rilek ah...” Sarah menepuk bahu Yana dan terus makan. Yana mengambil tulang ayam itu, dia bangun berdiri sambil merenung tajam ke dinding pemisah dewan makan itu. Tulang ayam itu terus dibalingnya laju. Pranggg!!!! Bunyi kaca kedengaran.

“Woiiiii...” suara pelajar-pelajar lelaki di sebelah menjerit panjang. Suasana agak kecoh sekejap. Tapi, rata-rata pelajar lain tidak menghiraukan situasi itu. Mereka juga sudah malas hendak memperdulikan perangai gila-gila sebilangan pelajar.

“Alamak. Kena tingkap ke...” Yana duduk dan meneruskan makannya. Sarah jungkit bahu.

“Kau baling kuat sangat...” rungut Sarah. Yana menggeleng. Mereka makan hingga licin.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 25-5-2016 10:04 AM | Show all posts
kepada MOD, saya minta maaf kalau tak dapat update cerita ni hari-hari...sebab saya sibuk sikit. Tapi kalau saya ada masa, memang  saya akan update...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2016 12:35 PM | Show all posts
“AMBILLAH cepat!” marah Sarah bila Yana kelihatan terkemut-kemut mencapai beberapa ketul nenas di dalam besen di dapur belakang. Sarah pula sedang berdiri di depan pintu dapur, bimbang jika tukang masak dapur dewan makan, Mak Cik Bedah datang. Habislah mereka kena marah jika ditangkap Mak Cik Bedah. Sarah cepat-cepat memasukkan nenas ke dalam balutan suratkhabar.

“Dah..dah..” cepat-cepat dia keluar dari dapur. Sarah dan Yana terus berjalan laju keluar dari dapur dewan makan.

“Dah ambil?” soal Kak Ina tiba-tiba. Langkah Sarah dan Yana terbantut sejenak. Sarah sengih.

“Oh..dah. Terima kasih ye Kak Ina botol tu...” kata Sarah sambil menunjukkan botol kosong air mineral yang diambilnya di tepi dapur tadi. Kak Ina terus meneruskan kerjanya. Sarah dan Yana cepat-cepat keluar dari dewan makan. Bila mereka sudah keluar saja, Sarah dan Yana sama-sama ketawa. Yana membuka balutan suratkhabar yang sudah basah dengan nenas. Pantas nenas itu disumbat ke dalam mulut. Sarah turut makan sama.

“Baguslah kau ni! Pantas! Boleh ajak buat projek selalu...” kata Sarah sambil tersenyum.

“Ala...rileklah. Kat sekolah lama aku pun, aku selalu buat camni jugak...” kata Yana pula sambil mengunyah.

“Best tu...” Sarah dan Yana terus melangkah laju menuju ke asrama.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-5-2016 12:38 PM | Show all posts
Edited by fizziany at 25-5-2016 12:45 PM

BAB 4


WAKTU BELAJAR.Atau lebih dikenali sebagai waktu ‘prep’ oleh pelajar-pelajar asrama. 2 kalisehari. Pukul 2.30 hingga pukul 4.00 petang. Satu lagi, pukul 9.00 hingga 10.30malam. Pelajar dikehendaki menjalani waktu belajar di bilik belajar yang mana bangunannya terletak di bangunan sekolah kira-kira 40 meter dari asrama.

Tujuan pelajar masuk ke asrama adalah untuk memudahkan proses belajar dan supaya pelajar dapat belajar dengan lebih sistematik dan terancang dengan peraturan asrama yang dibuat. Namun, bagi pelajar asrama,waktu belajar adalah waktu yang paling baik untuk tidur!

Bila jadual harian terikat dengan peraturan, diri tidak bebas. Bila jiwa dan tubuh kita tidak bebas, ia memberi gambaran yang tubuh dan jiwa kita sedang terikat. Kesannya dari segi psikologi, tubuh dan minda mudah menjadi penat. Jadi, sebab itu budak asrama suka tidur waktu study!

“Kau study apa?”soal Yana di sebelahnya. Sarah jungkit bahu. Dia menunjukkan novel cinta remaja yang sedang dibacanya.

“Genius...” terjungkit kening Yana. Sarah tidak membalas kata-katanya. Yana merenung beberapa buku latihan Sains dan Matematik yang dibelikan oleh ibu bapanya. Tidak tahu mana satu nak buat dulu...Em..akhirnya Yana membuat keputusan untuk membuat latihan Sains dahulu.

Derap tapak kaki di luar kelas, segera membuatkan Sarah mencapai buku teks Sejarah yang dibawanya. Dilapik buku teks sejarah itu di belakang novel cintanya. Dia kenal benar dengan derap tapak kaki itu. Tak sampai seminit, seorang wanita bertudung berwajah matang melalui koridor kelas sambil matanya liar memandang isi kelas.

“Itulah warden kita. Cikgu Zalilah...” kata Sarah sambil tekun membaca. Yana sempat mengerling ke arah guru itu yang sedang berjalan perlahan mengawasi mereka. Tangannya dilingkar ke belakang punggungnya. Tak ubah macam berkawad.

“Satu! Dua!Satu!” Yana mengajuk dialog yang sering diucapkan dalam kawad beruniform. Sarah dan Yana ketawa kecil dengan gurauan Yana. Darijauh, Cikgu Zalilah kelihatan memandang mereka berdua bila melihat merekasaling tersenyum.

“Shhhh....dia pandang,” bisik Sarah memberi amaran. Yanamengambil pensel lalu menunjukkan ke arah sebaris ayat di dalam buku latihan Sains miliknya.

“Penunu Bunsen rupa macam ni ke?” soal Yana, dengan nada yang dibuat-buat. Sarah turut ambil kesempatan menjadi pelakon tambahan.Dijengah ke buku latihan Yana.

“Hiss...bukan. Itu mikroskop...” kata Sarah kuat dengan wajah serius. Cikgu Zalilah berdehem...” Suara control sikit Sarah...ganggu orang lain nak study..” pesan Cikgu Zalilah. Sarah pantas angguk.

“Baik cikgu..” dia angguk laju. Cikgu Zalilah berlalu dengan langkah kawadnya. Yana tersengih. Sarah kembali membaca novel cinta.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2016 12:46 PM | Show all posts
“KAU ni...serius gila. Sekolah baru start sehari, kau dah study gila-gila...” kata Sarah sambil membuka selimut. Malam sudah jam 11.00 malam. Pulang dari dewan makan untuk makan pukul 10.40 tadi, terus Sarah dan Yana berkemas untuk tidur.

Lampu asrama itu akan dipadamkan tepat jam 11.30 malam. Jadi, kalau nak buat apa-apa, kena buat cepat sebelum jam 11.30  malam. Kalau tak, buat dalam gelaplah jawabnya.

“Oii...aku tukar sekolah ni sebab nak pass SPM dengan cemerlang beb! Kalau aku tak pass cemerlang, leher aku kena kerat dengan parents aku nanti...Kau tak tahu mak ayah aku macam mana..” keluh Yana sambil menyelimutkan badannya. Sarah berkalih badan ke arah Yana.

“Target kau?” soal Sarah. Dia terkebil-kebil memandang Yana yang sedang merenung siling. Menunggu masa untuk tidur.

“Semua A...” balas Yana. Sarah menjungkit keningnya.

“Kau ada cara?” soal Sarah lagi. Kali ini Yana menghela nafas berat.

“Susah aku nak cakap. Aku pun sebenarnya tak tahu nak buat macam mana...” keluh Yana. Di ruang lain, pelajar-pelajar lain juga sedang sibuk berkemas untuk tidur. Namun, mulut masing-masing masih aktif bersembang walau dah nak tengah malam. Sarah diam. Dia menarik nafas berat.

“Itu yang aku runsingkan jugak...” keluh Sarah. Dia berkalih badan merenung ke siling. Lampu dipadamkan. Namun suara masih ada.

“Kau tak kenal family aku...bagi diorang, kejayaan adalah segala-galanya. Bagi diorang, nama dan kemegahan di mata orang adalah sangat penting....” keluh Yana perlahan. Sarah yang mendengar hanya diam.

“Hoihhh...diamlah! Dah malam! Tidur!” tiba-tiba suara ketua pengawas asrama, Norhayati atau dipanggil Kak Yati kuat kedengaran bila suara-suara bersembang masih aktif meskipun lampu sudah dipadam. Suasana jadi lebih sunyi. Hanya kedengaran suara berbisik sahaja. Yana memejamkan matanya. Wajah terakhir abangnya, Ikhmal yang tergantung di kipas bilik jelas tergambar di ruang fikirannya. Dia buka mata. Suasana gelap. Di pandang Sarah yang tidur di katil sebelahnya. Sarah sudah memejamkan matanya. Yana pejam mata juga.

Sarah menghela nafas lemah. Aku juga...Kalau aku tak lulus SPM ni...mak ayah aku akan kecewa. Wajah ayahnya yang sering memberi nasihat agar belajar pandai-pandai tergambar di mata. Wajah emaknya yang hanya mampu berkurung di rumah kerana kesempitan wang terpapar di layar ingatan. Wajah adik beradiknya pilu menghambat jiwa mudanya. Sarah hela nafas lagi. Dipejamkan matanya lebih kejap. Malam belayar ke langit Subuh.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-5-2016 12:47 PM | Show all posts
BAB 5


SARAH DAN Yana masuk ke dewan makan petang itu lebih awal. Sementara menunggu makanan dihidangkan dan sedia untuk diambil, Sarah dan Yana berjalan perlahan menuju ke hujung dewan. Terdapat beberapa pelajar lelaki yang sedang bermain ping pong di hujung dewan makan. Bola berwarna oren sekecil telur penyu itu dilibas kuat. Puk! Jatuh ke lantai dan melantun di kaki Sarah. Sarah tunduk dan mengutip bola itu. Seorang pelajar lelaki menghampiri Sarah untuk mendapatkan bola ping pong itu.

“Seronok main ping pong sampai tak nak makan ke?’ sapa Sarah sambil membaling perlahan bola kuning ke tangan lelaki itu. Seniornya yang sedang berada di tingkatan enam. Bola kuning disambut oleh lelaki itu, namun permainannya dihentikan.

“Ini budak baru kelas kau yang orang dok cakap tu?” soal Mansur sambil memandang ke arah Yana di sebelah Sarah. Sarah pandang Yana, kemudian memandang Mansur. Sarah angguk sementara Yana tersenyum simpul. Matanya asyik memandang ke arah lelaki yang bermain ping pong bersama Mansur tadi. Mereka saling berbalas senyum.

“Yana..” kata Yana memperkenalkan diri kepada Mansur yang asyik tersenyum memandangnya.

“Nama abang Mansur...yang itu...Halim...” kata Mansur seraya menunjukkan ke arah Halim yang tegak berdiri tidak jauh dari mereka. Yana sekadar melambai tangan untuk bersapa.

“Oi Halim! Sinilah...” panggil Mansur bila Halim masih tegak macam patung cendana. Halim senyum simpul sambil berjalan menghampiri mereka.

“Sekolah mana dulu?” soal Mansur ramah pada Yana.

“Sri Bentara,” jawab Yana pendek.

“ Jauh tu. Apasal tukar?” soal Mansur lagi. Dari jauh, kedengaran suara pekerja-pekerja dewan makan sedang memunggah bekas makanan ke tempat agihan makanan. Sarah dan Yana menoleh sekilas pandang. Beberapa pelajar perempuan juga sudah datang untuk berbaris.

“Eh...kitorang nak gi beratur dulu bang. Kang lambat dapat makan pulak..” kata Sarah. Segera ditariknya tangan Yana untuk ke depan dewan makan. Mansur sekadar menjungkit bahu bila soalannya tergantung tanpa jawapan. Halim masih memandang langkah 2 gadis lincah tadi yang berlumba-lumba untuk beratur.

“Jom..aku nak gi mandi. Nak makan..” ajak  Mansur. Halim angguk. Dia turut mengekori langkah Mansur menghilang ke dalam asrama putera. Sesekali, dia menoleh ke belakang, memerhati Yana dari jauh.
Reply

Use magic Report

Post time 30-5-2016 02:56 PM | Show all posts
best cite ni....tak sabar nk tunggu sambungan
Reply

Use magic Report

Post time 30-5-2016 11:14 PM From the mobile phone | Show all posts
Harap sambung lagi ye
Reply

Use magic Report

Post time 30-5-2016 11:39 PM From the mobile phone | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 1-6-2016 03:00 PM | Show all posts
ada cite baru. saya suka saya suka
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-6-2016 09:16 PM | Show all posts
“ALAMAK...hensem siot abang Halim tadi. Aku nak berkenalan dengan dia la...” gedik macam badan terkena ulat bulu pula si Yana bila Mansur dan Halim sudah hilang dari mata. Sarah sekadar diam. Tidak menunjukkan minat.

“Abang Halim tu dah ada makwe tak?” soal Yana lagi sambil mengambil tray makanan. Sarah jungkit bahu.

“ Entah! Tak de kot..” setahu Sarah, Halim yang agak pendiam itu memang kurang dapat gossip di asrama puteri. Muka dia memang hensem. Tapi disebabkan oleh sikap pendiamnya, dia kurang jadi perhatian pelajar perempuan. Lainlah kalau macam Mansur tu. Kumis nipisnya buat ramai pelajar perempuan suka memandangnya. Tambahan pula, mulut Mansur memang becok. Kadangkala, boleh kata mulutnya jahat juga sebab suka mengutuk pelajar perempuan sesuka hatinya.

“Apa yang kau berkenan sangat dengan abang Halim tu?” soal Sarah hairan. Dia pun naik hairan mengapa si Yana ni suka sangat dengan Halim.

“Bila dia senyum, manis weh! Lagipun aku suka dengan lelaki kulit sawo matang macam tu.

Tall...dark..and handsome! Cukup lengkap!” kata Yana teruja.

“Ya lah tu...cukup lengkap...” Sarah mengambil makanan diikuti Yana. Mereka berjalan menuju ke tempat makan. Usai memilih satu meja, mereka berdua duduk dan memulakan makan.

“Kau takde pakwe?” soal Yana tiba-tiba. Sarah masih kelihatan tenang. Dia menggeleng perlahan.

“Aku tak minat bercinta,” kata Sarah perlahan. Yana mengerutkan dahinya. Suapan diteruskan.

“Kenapa? Kau macam menongkah arus dengan mengambil prinsip bertentangan dengan usia kita..” kata Yana perlahan. Sarah diam lagi. Dia masih meneruskan makannya.

“Usia macam kita ni, apa yang paling kita cari sekarang ialah identiti diri dan tak terkecuali mencari cinta. Jiwa kita kosong dan sangat dahagakan cinta yang beri kita satu pengalaman baru untuk kita explore perasaan,” sambung Yana.

“Aku dah berhenti mencari identiti diri aku. Aku suka aku yang sekarang...” hela Sarah perlahan. Yana memandang Sarah.

“Perasaan kau? Takkan langsung tak teringin dicintai atau mencintai?” soal Yana. Sarah mengunyah makanannya laju.

“Perasaan aku sudah tepu. Tak perlu sebarang pengisian lagi,” jawab Sarah.

“Maksud kau?” Sarah direnung hairan. Tapi Sarah masih buat muka selamba badak.

“Panjang ceritanya....” Sarah menggawangkan tangannya bak sebuah kapal terbang yang sedang terbang naik ke langit. Yana memandang gerak tangan Sarah.

“Pendekkan..”
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 3-6-2016 09:17 PM | Show all posts

                                        BAB 6


6 TAHUN yang lalu....

“Kau nak sekolah mana?” soal Zaki pada budak perempuan tomboy di sebelahnya. Budak perempuan itu mengetap bibir sambil memandang papan hitam.

“Tak tahu lagi...Kalau nasib tak baik, aku kena berhenti sekolah,” ujar budak tomboy itu lagi. Zaki mengerutkan dahinya. Bimbang. Dia merenung budak perempuan itu dalam diam. Dia tahu, budak perempuan di sebelahnya ini datang dari keluarga yang susah. Mereka sekampung. Dia juga pernah nampak bapa budak perempuan itu yang menghantar dia dan adik perempuannya ke sekolah dengan menaiki motorsikal buruk sahaja.

Zaki anak ketua kampung. Dia pernah memberitahu ayahnya tentang kedaifan keluarga itu. Kata ayahnya, dia sedang cuba untuk mendapatkan bantuan perumahan kepada keluarga itu. Tapi, prosesnya akan memakan masa yang agak lama memandangkan banyak prosedur yang perlu dilalui. Itu belum lagi termasuk kerenah birokrasi yang berlapis-lapis dan menyusahkan.

“Kau dapat tawaran sekolah asrama penuh tu kan? “ soal budak perempuan itu lagi. Zaki angguk. Budak perempuan itu tersenyum tawar. Ada riak kecewa di wajahnya.

“Baguslah. Tahniah..” sambungnya lagi. Kemudian budak perempuan itu mengeluarkan sebuah buku cerita dari dalam beg sekolahnya yang lusuh. Dia kelihatan berminat untuk membaca saat itu. Seperti tidak berminat untuk terus berborak dengan Zaki lagi. Zaki diam. Entah mengapa, hatinya jadi kurang enak bila mengenangkan yang dia tidak lagi dapat belajar bersama budak perempuan itu. Meskipun kasar, namun Zaki tahu hatinya baik.

“Kalau kita jumpa kat jalan nanti, tegur-tegurlah aku..” pinta Zaki sambil anak matanya menyorot ke arah wajah budak perempuan itu. Dia diam. Bagai tiada reaksi.

“Ingat tau Sarah...” kata Zaki sekali lagi. Dia bimbang jika budak perempuan itu tidak mempedulikan dia lagi. Sarah angguk saja tanpa menunjukkan sebarang minat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-6-2016 09:18 PM | Show all posts
“AKU tak tahu sejak bila aku mula suka dia. Yang aku tahu, bila aku pandang langit, aku nampak muka dia. Bila aku pandang tv, aku nampak muka dia. Bila aku tak nampak muka dia, hati aku meronta-ronta nak pergi rumah dia, nak lalu depan rumah dia...nak tengok dia...” kata Sarah perlahan sambil merenung jauh ke depan pagar. Lebih tepatnya, ke sekolah sebelah yang terletak di depan surau asrama mereka.

Mentari jingga perlahan-lahan menyusur masuk ke sarang. Menanti masa untuk azan Maghrib dilaungkan. Semua pelajar asrama diwajibkan untuk solat Maghrib dan Isyak berjemaah di surau setiap hari. Sementara menunggu waktu solat dan surau penuh, Sarah dan Yana meluangkan masa untuk duduk melepak di belakang surau. Di bangku besi yang muat untuk 2 orang duduk.

“Lepas tu..bila abah aku kata yang aku boleh sekolah sini, hati aku melompat riang sebab sekurang-kurangnya aku tahu, aku dekat dengan dia. Sejak dari itu, aku jadi ketagih nak pandang dia. Kalau sehari aku tak nampak bayangnya, aku sasau. Saat tu, baru aku tahu yang hati aku ada pada dia. Sejak dari itu, aku mula jadi pencintanya dalam diam saja hingga sekarang. 6 tahun, perasaan itu sama saja dan tak pernah berubah..” sambung Sarah lagi. Nun di seberang pagar, kelihatan beberapa pelajar asrama lelaki yang sedang bersiap-siap untuk ke surau mereka. Tapi, kelibat orang yang dicari tidak kelihatan pula.

“Habis, kau tak jumpa dia dah selepas tu?” soal Yana. Sarah mengukir senyum kelat.

“Jumpa. Tapi, aku jadi kekok. Tiap kali aku nampak dia bila kitorang balik kampung cuti sekolah, aku dan dia hanya sempat saling berjungkit kening aje...selebihnya, senyum...” kata Sarah.

“Kau tak tegur dia? Cakap hai ke...Assalamualaikum ke...” soal Yana. Sarah geleng.

“Kitorang terserempak waktu kitorang tengah naik motor. Aku laju. Dia pun laju. Tak sempat nak tegur apa-apa. Lagipun, kalau cuti sekolah, aku bukan rajin keluar rumah sangat. Biasanya aku tolong mak aku buat kerja rumah aje,” sambung Sarah.

“Kau tak pernah terfikir nak luahkan cinta kau pada dia?” soal Yana lagi.

“Kau gila ke? Mana aku nak letak muka nanti? Antara aku dengan dia...macam ada jurang yang luas tau. Dia orang kaya. Aku ni orang miskin. Dia tu pandai, kepala otak bergeliga. Aku ni, otak kalahkan ayam...”sanggah Sarah.

“Lorr..kau ni pandang rendah sangat pada diri sendiri. Tak cuba, tak tahu..” kata Yana sambil mencebik.

“Apa kata, biar aku je yang pergi jumpa dia beritahu perasaan kau pada dia selama ni...” sampuk Yana tiba-tiba. Melompat  Sarah memandang Yana. Buntang matanya kemarahan.

“Kau jangan nak buat leceh ya...aku sekeh kepala kau kalau kau pandai-pandai pergi jumpa dia..” ugut Sarah marah.

“Ala...rilekla...aku bukan kenal dia pun...Tapi, kau ni bodoh betullah. Pendam perasaan pada orang yang tak hargai perasaan kau. Kalau aku...dah lama aku cakap..” getus Yana geram.

“Kau memang...gedik tak ingat dunia..” kutuk Sarah. Azan Maghrib sayup-sayup berkumandang dari corong asrama putera. Terkocoh-kocoh mereka berdua bangun dan berlari ke tangga surau. Sengaja mereka masuk lambat ke surau kerana mahu sembahyang di saf paling belakang. Senang nak lari nanti!
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-6-2016 09:20 PM | Show all posts
“KAU balik kampung ke esok?” soal Yana bila mereka di bilik belajar malam itu. Esok Jumaat kedua dalam bulan itu. Kebiasaannya, pelajar-pelajar asrama dibenarkan pulang ke kampung setiap bulan pada minggu kedua. Mulut Sarah terkuap-kuap, menahan rasa mengantuk yang menggila. Sejak lepas solat Isyak berjemaah tadi lagi, dia sudah mengantuk sebenarnya, tapi terpaksa diharung juga peraturan asrama yang telah ditetapkan.

“Balik..Kau?” soal Sarah. Yana diam sejenak kemudian mengangguk.

“Balik. Esok mak dan ayah aku datang jemput lepas sekolah,” kata Yana. Sarah angguk lalu meletakkan kepalanya di atas meja belajar. Dia memang sangat mengantuk.

“Aku nak tidur jap aa...Nanti kalau nak balik, kejutkan aku aa..” pesan Sarah. Yana mengerling ke arah Sarah yang sudah khusyuk tidur di meja belajar. Dia menggeleng lemah. Ini, kalau jumpa dek warden asrama, mau kena libas dengan rotan panjang Cikgu Zalilah! Doa sajalah agar cikgu Zalilah tidak meronda malam ini. Melihat Sarah yang tidur dengan nyenyak berbantalkan lengan, terbit rasa kasihan di dalam hati Yana. Sarah dipandang sekilas lalu.

Sejak dia bersekolah di sini, Sarah lah yang paling rapat dengannya. Entah mengapa, dia dan Sarah jadi serasi berkawan. Dari bilik darjah hinggalah ke bilik asrama. Antara mereka, tak pernah wujud rasa bosan. Angin mereka sekepala. Jiwa mereka sama. Yang penting, Yana senang bercerita apa saja dengan Sarah yang agak pendiam. Di dalam kelas pun, Sarah memang tidak banyak songeh. Dia pelajar yang baik. Tapi, sedikit nakal!

Sarah banyak bertindak dalam diam. Yana mengutus senyum. Dari jauh, kedengaran bunyi motorsikal yang kuat menghampiri bilik belajar mereka. Kedengaran  suara riuh pelajar perempuan lain.

“Eh cepat!! Cikgu Razali sampai!!!” teriak salah seorang pelajar perempuan yang duduk di tepi tingkap. Yana menoleh ke sekelilingnya. Semua pelajar perempuan yang sedang mengunyah makanan ringan, segera menyorokkan makanan masing-masing. Yang sedang bersembang, cepat-cepat membuka buku. Yang sedang tidur, segera dikejutkan rakan sebelah. Nampaknya, Cikgu Razali ini mempunyai aura garang yang luarbiasa.

Yana segera menepuk bahu Sarah yang nyenyak tidur. Derap tapak kaki begitu jelas kian menghampiri bilik belajar mereka.

“Sarah! Bangun! Cikgu Razali sampai!” tubuh Sarah digoyangkan sekuat hati. Berkali-kali ditolak tubuh itu agar Sarah bangun.

“Hahhh?!!!” mendengar nama Cikgu Razali, terus mata Sarah terbeliak luas dan tubuhnya menegak. Serentak dengan itu juga, tubuh Cikgu Razali sudahpun berdiri di belakang kelas mereka. Pucat muka Sarah dan Yana. Hampir-hampir saja Sarah ditangkap oleh Cikgu Razali kerana tidur di dalam bilik belajar.

“Ada yang tidur ke???” jerkah Cikgu Razali tiba-tiba. Semua pelajar perempuan tunduk menikus memandang buku masing-masing. Sarah tunduk, sambil mengesat air liur basi yang meleleh di tepi bibirnya. Asyik sungguh tidur sampai sempat keluar air liur basi!

Kedengaran derap tapak kaki Cikgu Razali berjalan perlahan-lahan melalui kelas mereka. Kini dia telah melewati kelas mereka dan tiba di kelas depan. Sarah dan Yana berpandangan, kemudian mengurut dada lega.

“Nasib baik sempat bangun...kalau tak, makan rotan cap gajah aku malam ni...” Sarah bersandar lemah di kerusi. Yana terintai-intai kelibat Cikgu Razali yang meronda di bilik belajar pelajar asrama lelaki dan perempuan malam itu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 3-6-2016 09:22 PM | Show all posts
CIKGU Razali yang selalu meronda di asrama malam-malam itu bukanlah seorang penyelia asrama. Tetapi beliau merupakan guru disiplin sekolah. Sebelum jadi seorang guru khabarnya beliau bercita-cita tinggi hendak jadi askar. Nak angkat senapang di tengah hutan. Nak naik kereta kebal.

Tapi, menurut cerita orang yang akhirnya cerita itu sampai ke dalam sekolah ini, memandangkan cikgu Razali anak bongsu dalam keluarga dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga itu, maka ibunya menentang hebat cita-citanya itu. Jadi, punahlah harapan Cikgu Razali untuk menjadi seorang askar.

Jika dilihat dari segi penampilan luaran, dia memang layak masuk askar. Tubuhnya tinggi lampai, badannya sasa. Berkulit hitam manis, berkumis nipis dan selalu tersenyum. Gaya jalannya juga begitu macho kata orang. Gaya rambutnya dipotong pun ikut cara potongan askar. Begitu nipis. Tidak bergaya seperti rambut para artis. Suaranya juga kuat. Kalau kena gaya, memang sesuai jadi komando. Sekali bertempik di padang, tak payah pakai mikrofon. Satu padang pun boleh dengar.

Jadi, demi sayangnya pada ibu, Cikgu Razali memilih profesion guru. Mujurlah dia dapat ditempatkan untuk mengajar di sekolah di kampung halamannya. Dapatlah dia tinggal bersama ibunya yang sudah tua. Bila dilantik saja sebagai guru disiplin, apa lagi...dia punya rajin bukan setakat memantau pelajar-pelajar sekolah pada waktu siang. Malah, bila kena datang semangat rajinnya, waktu-waktu malam begini beliau akan datang ke sekolah untuk memeriksa keadaan pelajar asrama.

Sebenarnya, dia bukanlah nak tengok sangat pelajar asrama yang sedang belajar. Tapi, memandangkan dia bujang...malam-malam pun tak ada kerja, jadi dia datang saja ke asrama. Boleh juga dia berborak-borak dengan Cikgu Isa yang merupakan penyelia asrama lelaki. Sambil-sambil itu, boleh juga dia ‘mencuci mata’ melihat Cikgu Zalilah kalau-kalau cikgu muda itu keluar ke dewan makan pada waktu malam. Tapi...sayangnya Cikgu Zalilah memang sukar hendak keluar dari biliknya. Kecewa juga.
Reply

Use magic Report

12Next
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-12-2024 12:24 PM GMT+8 , Processed in 0.063943 second(s), 32 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list