CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 21-2-2026 04:33 PM | Show all posts


TURUN PADANG: Rina turut terlibat dengan aktiviti-aktiviti komuniti di kawasan DUN Kukusan.

Rina juga melihat digitalisasi sebagai agenda penting untuk generasi muda di Kukusan dan Sabah secara keseluruhan.

Beliau menggalakkan belia memanfaatkan teknologi seperti bidang pengaturcaraan, teknologi maklumat dan pengurusan data sebagai platform menjana pendapatan baharu.

Katanya, kemajuan teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan AI mampu membuka peluang ekonomi digital yang luas sekiranya digunakan secara bijak dan produktif.

Bagi beliau, transformasi digital bukan sekadar trend, tetapi keperluan untuk memastikan belia tidak ketinggalan dalam persaingan global.

Memandang ke hadapan, Rina merancang untuk menubuhkan Pusat Komuniti Wanita di DUN Kukusan sebagai hab sokongan ekonomi dan sosial.

Walaupun projek itu masih dalam perancangan, beliau menyasarkan pelaksanaannya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pusat itu dijangka menjadi ruang latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan serta sokongan jaringan sosial khusus buat wanita dan keluarga di kawasan berkenaan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-2-2026 04:33 PM | Show all posts


SUMBANGAN: Rina terus memberi bantuan kepada semua kaum di daerah Tawau.

Bagi Rina, perjuangan politiknya bukan untuk mengejar populariti atau jawatan, tetapi untuk memastikan suara rakyat terutama golongan wanita dan kumpulan rentan terus mendapat pembelaan.

Di tengah cabaran dan ujian yang pernah menggoncang kedudukannya, beliau memilih untuk terus berdiri teguh.

Seperti yang dibuktikan melalui perjalanan politiknya, kekuatan seorang pemimpin wanita bukan terletak pada kedudukan, tetapi pada keberanian untuk kekal setia bersama rakyat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:34 PM | Show all posts
Konsulat India mampu lonjak pelancongan, perdagangan Sabah
Februari 21, 2026, Sabtu - 2:45pm



BRIAN

KOTA KINABALU: Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah menyambut baik pengumuman kerajaan India untuk menubuhkan konsulat di Kota Kinabalu.

Pengarah Hal Ehwal Komersial MCCC Sabah, Brian Ho berkata, langkah itu dilihat mampu menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan negeri.

Katanya, kehadiran wakil diplomatik India di Sabah akan memperkukuh hubungan dua hala serta memudahkan urusan pentadbiran, perniagaan dan kolaborasi ekonomi antara kedua-dua pihak.

“Inisiatif itu juga memberi keyakinan kepada pelabur dan pelancong untuk meneroka potensi yang ditawarkan Sabah sebagai destinasi strategik di rantau ini,” katanya.

Beliau turut menyokong pandangan ahli MCCC, Datuk Abdul Kadir M.E. Sikkandar yang juga Penasihat kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah, yang konsisten menekankan potensi besar pasaran India terhadap pembangunan ekonomi negeri.

Menurutnya, walaupun Sabah memiliki tarikan bertaraf dunia seperti Gunung Kinabalu, kepulauan Semporna, hutan hujan serta kepelbagaian hidupan liar, tahap kesedaran dalam kalangan pelancong India masih rendah berbanding destinasi popular lain seperti Bangkok, Singapura dan Dubai.

“Jurang ini sebenarnya peluang. Jika kita dapat menarik sebahagian kecil daripada 1.3 bilion penduduk India, impaknya cukup besar kepada industri pelancongan Sabah.

“Trend pelancongan keluar dari India semakin berkembang didorong peningkatan pendapatan boleh guna dan pertumbuhan kelas pertengahan. Sabah perlu memposisikan diri secara strategik dalam pasaran ini,” katanya.

Brian berkata, penubuhan konsulat India di Kota Kinabalu juga dijangka memperkukuh kerjasama institusi serta memudahkan koordinasi antara perniagaan tempatan dan rakan kongsi dari India.

Beliau berkata, langkah itu berpotensi menyokong usaha promosi pelancongan yang lebih tersusun, selain membuka ruang kepada perkembangan rangkaian penerbangan termasuk kemungkinan memperkenalkan penerbangan terus pada masa hadapan.

Dalam aspek perdagangan, Brian berkata, peluang kerjasama antara Sabah dan India tidak terhad kepada eksport minyak sawit semata-mata.

Katanya, terdapat potensi besar dalam sektor produk halal, pemprosesan agro, pelancongan perubatan, pendidikan, industri hospitaliti dan segmen MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran).

“Dalam konteks rantaian bekalan global yang semakin berubah, Sabah perlu bersikap terbuka dan berpandangan jauh dalam membina jaringan perdagangan yang pelbagai.

“Hubungan ekonomi yang lebih luas dan seimbang akan memperkukuh daya tahan serta daya saing negeri dalam jangka panjang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata Sabah masih mengekalkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang kukuh dengan China, yang kekal sebagai rakan dagang utama negeri.

“MCCC Sabah akan terus berperanan sebagai jambatan dalam memperkukuh kerjasama Malaysia-China serta menyokong usaha kerajaan negeri untuk memperluas hubungan ekonomi dengan India dan negara lain secara inklusif,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:36 PM | Show all posts
Akses komunikasi, perahu dan enjin sangkut serta bantuan barangan keperluan: James
Februari 21, 2026, Sabtu - 3:16pm



BANTUAN: Bantuan bakul makanan segera disampaikan kepada mangsa banjir di Paitan.

PAITAN: Tindakan segera telah diambil bagi memastikan penduduk di kawasan terjejas banjir di Paitan terus mendapat akses komunikasi dan bantuan yang sewajarnya.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, banjir kali ini disifatkan sebagai antara yang terbesar dalam sejarah kawasan Sugut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut itu berkata, bencana berkenaan melibatkan sebanyak 87 kampung.

"Setakat ini, sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 250 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan jumlah keseluruhan kira-kira 700 mangsa yang terjejas.

"Sebahagian besar kampung terputus hubungan sama ada melalui jalan darat mahupun rangkaian komunikasi," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Sabah Net Sdn Bhd (Sabah Net) untuk menyelaras dan mempercepatkan pemasangan kemudahan internet satelit Starlink di kampung-kampung yang terputus jaringan komunikasi bagi memastikan penduduk dapat berhubung dengan pihak berkuasa serta ahli keluarga, di samping melancarkan penyelarasan bantuan.

Dalam masa sama katanya, kerajaan turut membekalkan perahu dan enjin sangkut bagi kegunaan operasi pemindahan mangsa banjir ke PPS serta mempercepatkan usaha menyelamat di kawasan yang dinaiki air.



TERJEJAS: James semasa membuat tinjauan di kampung-kampung yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya, langkah penyediaan kemudahan komunikasi dan aset logistik amat penting bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin serta operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan tersusun.

"Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan semua mangsa yang terjejas menerima bantuan yang sewajarnya sehingga keadaan kembali pulih," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:53 PM | Show all posts
Anak buaya sepanjang dua meter ditangkap di Kampung Sindang
Februari 21, 2026, Sabtu - 12:01pm

KOTA SAMARAHAN: Seekor anak buaya sepanjang kira-kira dua meter berjaya ditangkap selepas dikesan cuba memasuki anak parit di Kampung Sindang, hari ini.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sebelum anggota APM Daerah Samarahan digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap haiwan liar (MHL).

Menurutnya, reptilia berkenaan berjaya ditangkap dengan bantuan penduduk setempat selepas usaha berhati-hati dilakukan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Operasi dijalankan susulan peningkatan paras air akibat hujan berterusan yang berpotensi menyebabkan haiwan liar seperti buaya menghampiri kawasan penempatan.

“Anak buaya tersebut akan diserahkan kepada pihak perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terserempak dengan haiwan liar, khususnya ketika musim hujan dan paras air sungai meningkat, demi keselamatan bersama.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:54 PM | Show all posts
14 motosikal disita dalam Operasi Samseng Jalanan di Miri
Februari 21, 2026, Sabtu - 12:05pm



Motosikal yang disita dalam Operasi Samseng Jalanan.-Gambar PDRM

MIRI: Sebanyak 14 buah motosikal telah disita dalam satu Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, bersama anggota Balai Polis Pusat Miri malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata operasi tersebut dijalankan pada 20 Februari bermula jam 10 malam hingga 21 Februari jam 3 pagi, melibatkan beberapa lokasi sekitar Jalan Piasau, Jalan Tanjong Lobang, serta kawasan Marina.

Menurut beliau, dalam operasi berkenaan, seramai 38 lelaki tempatan dan tiga wanita tempatan bersama 35 buah motosikal telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 62 keping saman trafik telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk lesen kenderaan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, penggunaan plat nombor fancy, tiada lesen memandu, ubah suai ekzos, serta tiada cermin sisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Motosikal yang disita dalam Operasi Samseng Jalanan.-Gambar PDRM

Tambah beliau, sebanyak 14 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.

Farhan turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa menunggang dan memandu secara berhemah serta berdisiplin, selain tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang membahayakan keselamatan diri dan pengguna lain.

Beliau turut mengingatkan agar orang ramai tidak mengubah suai struktur asal kenderaan, serta tidak berkumpul di tepi jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas atau gangguan bunyi bising.

Katanya lagi, ibu bapa atau pemilik kenderaan yang membenarkan individu tanpa lesen memandu menggunakan kenderaan mereka juga boleh didenda hingga RM2,000 atau penjara enam bulan, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 21-2-2026 04:55 PM | Show all posts
Lelaki disyaki terlibat penyalahgunaan dadah ditangkap
Februari 21, 2026, Sabtu - 12:10pm

BINTANGOR:  Seorang lelaki berusia 20 tahun telah ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, lelaki tersebut telah diberkas dalam Ops Tapis pasukan polis “Task Force” Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.

“Ketika menjalankan Ops Tapis di kawasan daerah Bintangor pada 20 Februari, jam 3.25 petang, pasukan polis “Task Force” IPD Meradong telah bertindak menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Sejurus ditahan, lelaki tersebut terus dibawa ke IPD Meradong untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil ujian tersebut telah mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” kata Tansli kepada media, hari ini.

Berikutan itu, kata Tansli, lelaki tersebut telah ditahan dankes ini telah disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak lebih daripada RM5,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada 2 tahun.

“Hasil semakan rekod lampau juga mendapati lelaki tersebut mempunyai satu rekod bersabit kesalahan dadah.

“Pihak Polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut dan merayu supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di daerah Meradong.

“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” tegas Tansli lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:56 PM | Show all posts
Peniaga bazar Ramadan diingatkan jaga kebersihan, kualiti makanan: Iskandar
Februari 21, 2026, Sabtu - 12:17pm



Iskandar (kanan) bersama Haidar, Muhamad Yakup (kiri) melihat suasana dan juadah untuk berbuka puasa yang dijual oleh para peniaga Bazar Ramadan 2026 Taman Budaya Parcity Commercial Centre Bintulu.

BINTULU: Para peniaga di bazar Ramadan perlu sentiasa menjaga kebersihan, kualiti makanan, mematuhi garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan juadah makanan yang dijual kekal berkeadaan baik untuk berbuka puasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, layanan mesra, senyuman ikhlas dan harga berpatutan juga wajar ditunjukkan supaya dapat meninggalkan kesan baik kepada pelanggan dan menaikkan nama bazar Ramadan.

Ia penting memandangkan setiap kali tibanya bulan Ramadan katanya, bazar Ramadan sentiasa menjadi antara tempat paling ditunggu oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

"Di sini kita melihat suasana kehidupan sebenar peniaga berusaha mencari rezeki, pembeli memilih juadah berbuka dan keluarga mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama ke bazar Ramadan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bazaar Ramadan 2026 Taman Budaya Parcity Commercial Centre di sini, petang semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Dato Haidar Khan Asgar Khan, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari, Timbalan Pengurus Besar BDA Abdul Rahim Abdullah dan Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Nixon Joshua Ali.

Iskandar berkata, di sebalik setiap lot dan gerai yang didirikan ada cerita perjuangan masing-masing bagi para peniaga yang menjadikannya sumber pendapatan utama serta menambah rezeki untuk keluarga.

Justeru katanya, peniaga kecil dan sederhana ini merupakan nadi kepada ekonomi setempat dan mereka wajar terus diberi sokongan.

Pada masa sama beliau menyifatkan bazar Ramadan di Bintulu unik dengan menawarkan pelbagai jenis juadah serta mempunyai tarikan yang tersendiri sebagai kawasan tumpuan.

"Tahun ini enam tapak bazar Ramadan telah disediakan di Bintulu dan Samalaju dengan keseluruhannya 261 lot gerai disertai peniaga tempatan," katanya.

Beliau berkata, penyediaan tapak bazar tersebut yang mudah diakses membuktikan komitmen bersama dalam memastikan peluang ekonomi dinikmati secara lebih meluas oleh masyarakat setempat serta membantu menggerakkan ekonomi setiap kawasan.

Katanya, untuk para pengunjung diharap dapat menyokong peniaga tempatan, berbelanja secara berhemah, menjaga kebersihan kawasan bazar, mengelak pembaziran makanan dan mengamalkan sikap bertimbang rasa antara satu sama lain.

"Saya merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur (BDA), agensi penguat kuasa, petugas kebersihan serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan penganjuran Bazaar Ramadan tahun ini," katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-2-2026 04:57 PM | Show all posts
Wanita ditahan, disyaki terlibat dalam kes penipuan 'phone scam'
Februari 21, 2026, Sabtu - 1:10pm

BINTANGOR: Seorang wanita tempatan berumur lingkungan 20-an ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan 'phone scam' dengan modus operandi menyamar sebagai rakan dan penipuan jualan secara dalam talian (e-dagang).

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, wanita itu ditahan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis (IPD) Meradong sekitar jam 11.10 pagi.

“Dalam kes ini, wanita tersebut telah menyamar sebagai rakan mangsa untuk meminjam wang atas alasan menghadapi masalah kewangan yang mendesak.

“Suspek turut memperdaya mangsa lain melalui iklan penjualan iPhone 12 Pro Max di Facebook pada harga yang murah dan jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan adalah sebanyak RM1,130,” kata Tansli kepada media, hari ini.

Menurut Tansli, suspek juga dikesan terlibat dalam laporan polis di Gombak dan Port Dickson.

Katanya, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu  tahun dan tidak melebihi sepuluh  tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

“Orang ramai yang menerima panggilan mencurigakan adalah dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak Polis Diraja Malaysia sebelum membuat sebarang transaksi kewangan kepada pihak ketiga.

“Mangsa juga boleh menghubungi talian hotline Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi melaporkan penipuan dalam talian, atau menghubungi Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” kata Tansli lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:58 PM | Show all posts
Ling yakin Chiew mampu bawa dimensi baharu kepada sektor pelancongan Miri
Februari 21, 2026, Sabtu - 1:12pm



Ling (kiri) dan Chiew bergambar kenangan ketika Rumah Terbuka TBC Chiew di Eastwood baru-baru ini.

MIRI: Pelantikan Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia diyakini mampu membawa dimensi baharu kepada pembangunan sektor pelancongan Miri.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak Alan Ling berkata, Chiew yang juga Ahli Parlimen Miri mempunyai perancangan dan agenda besar untuk memajukan bandar raya ini, khususnya dalam memperkasa industri pelancongan.

Menurutnya, sejak Miri diisytiharkan sebagai bandar raya peranginan selepas memperoleh status bandar raya pada 2005, rakyat tempatan menaruh harapan tinggi agar sektor pelancongan benar-benar berkembang dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Saya percaya pelantikan beliau ke dalam Kabinet Persekutuan amat tepat pada masanya.

“Miri memerlukan lonjakan baharu dalam industri pelancongan dan saya yakin Chiew mempunyai perancangan tersusun untuk merealisasikannya,” ujarnya.

Terdahulu, Ling mengunjungi Chiew pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) beliau yang diadakan di Eastwood Golf & Country Club pada hari kedua perayaan itu.

Ia merupakan rumah terbuka TBC pertama Chiew selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam rombakan Kabinet pada Disember tahun lalu.

Ling, yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara, turut dijemput untuk menyampaikan ucapan bagi menyantuni ribuan hadirin daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum, sekali gus mempamerkan suasana harmoni sepanjang perayaan tersebut.

Ling berkata, usaha bersepadu melibatkan semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan potensi Miri sebagai destinasi pelancongan utama dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa dengan strategi promosi lebih agresif, penekanan terhadap keunikan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya masyarakat setempat, Miri mampu mencatat peningkatan ketibaan pelancong dalam tempoh terdekat.

“Ini termasuk menarik bukan sahaja pelancong asing, malah pelancong domestik dari Semenanjung Malaysia dan Sabah untuk datang menikmati keindahan serta keistimewaan Miri,” ujarnya.

Beliau berharap sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Miri akan meraih lebih banyak manfaat dengan kehadiran Chiew dalam kementerian pelancongan ketika ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:59 PM | Show all posts
Bazar Ramadan peluang peniaga jana pendapatan
Februari 21, 2026, Sabtu - 1:19pm



Iskandar (tiga kiri) menyerahkan apron dan kurma dalam beg kepada peniaga Bazar Ramadan sambil disaksi Muhamad Yakup, Timbalannya Abdul Rahim Abdullah (kanan), Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asgar Khan dan Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Nixon Joshua Ali (kiri).

BINTULU: Bazar Ramadan memberi peluang kepada peniaga tempatan menjana pendapatan melalui aktiviti ekonomi terancang dan mampan yang mampu memacu produktiviti dan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Muhamad Yakup Kari berkata, bazar Ramadan membuka ruang dan peluang yang adil kepada semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang agar terlibat aktif dalam ekonomi setempat.

Katanya, ia tidak hanya membina keyakinan diri, bahkan meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi keluarga.

Namun demikian katanya, aspek kelestarian alam sekitar juga tidak dilupakan dengan semua pihak sama ada peniaga mahupun pengunjung perlu memainkan peranan menjaga kebersihan, mengurangkan pembaziran dan menggunakan sumber secara berhemah.

"Penganjuran bazar Ramadan selari dengan hala tuju pembangunan Bintulu berpandukan kepada Pelan Strategik BDA 2024-2030 yang menetapkan visi baharu Bintulu sebagai model keterangkuman, keselesaan hidup dan kemampanan," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian Bazaar Ramadan 2026 Taman Budaya Parcity Commercial Centre di sini yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee, petang Jumaat.



Pengunjung pelbagai kaum berkunjung ke Bazaar Ramadan 2026 Taman Budaya Parcity untuk membeli pelbagai juadah makanan berbuka puasa.

Muhamad Yakup, visi ini diterjemahkan melalui misi utama untuk menyampaikan perkhidmatan yang berfokuskan komuniti secara cemerlang, melalui pelaburan yang strategik dan berimpak tinggi.

Selari dengan komitmen BDA terhadap kelestarian alam sekitar katanya, kempen pengumpulan minyak masak terpakai turut diadakan bagi menggalak para peniaga dan pengunjung mengumpul minyak masak terpakai di lokasi disediakan bagi mencegah pencemaran alam sekitar serta kitar semula untuk kegunaan lain.

Kataya, para peniaga juga digalak mengguna pembungkusan lebih mesra alam dan para pengunjung pula disaran membawa bekas atau beg guna semula.

"Langkah kecil seperti ini sekiranya dilaku secara bersama mampu memberi impak besar kepada kebersihan dan kelestarian Bintulu," katanya sambil menambah, kempen ini turut membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, ia pendekatan pembangunan yang dimahukan agar seimbang antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pemeliharaan alam sekitar.

Dalam pada itu katanya, enam tapak bazar Ramadan disediakan di Bintulu dan Samalaju dengan keseluruhan melibatkan sebanyak 261 buah gerai.

Tambahnya, ia merangkumi 48 gerai di Taman Budaya Parkcity, Pusat Komersial Medan Assyakirin (60), Pusat Komersial Kidurong (40), Tapak Penjaja Emart Bintulu (70), Pusat Komersial Samalaju (13) dan Parkir Press Metal Samalaju (30).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:00 PM | Show all posts
Dua lelaki diberkas dalam operasi antidadah di Saratok
Februari 21, 2026, Sabtu - 1:29pm



Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah ditahan dalam operasi bersepadu IPD Saratok. - Gambar IPD Saratok

SARATOK: Dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun diberkas dalam operasi bersepadu antidadah Ibu Pejabat Polis Daerah Saratok pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Jalan Lubok Nitik, dekat sini dalam operasi ini dijalankan dari jam 3 hingga 6 petang.

“Sejurus ditahan, mereka dibawa ke IPD Saratok untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil ujian mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

“Semakan mendapati lelaki berusia 25 tahun mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik, manakala yang berusia 23 tahun mempunyai satu rekod lampau.

“Berikutan itu, kedua-duanya ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” kata Mathew, semalam.



DSP Mathew Manggie. - Gambar IPD Saratok

Sementara itu, kata Mathew, dalam operasi itu juga sebanyak 25 kenderaan telah diperiksa dan 18 keping saman dikeluarkan.

“Objektif operasi ini adalah untuk menurunkan kes-kes jenayah indeks terutamanya di kawasan ‘hot spot’ di bawah pentadbiran IPD menerusi Ops Bersepadu Bersasar.

“Operasi  ini juga akan berperanan dalam mengurangkan kesalahan lalu lintas terutama yang melibatkan penunggang motosikal di sekitar kawasan operasi dijalankan dan mengesan orang yang dikehendaki yang terlibat dengan kes jenayah, jenayah narkotik, jenayah komersial dan lain-lain,” tegas Mathew lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:02 PM | Show all posts
Beberapa kenamaan kunjungi kediaman Chan sempena TBC
Februari 21, 2026, Sabtu - 1:42pm



Fadillah (tiga kiri) serta isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir (tiga kanan) semasa mengunjungi rumah terbuka TBC di kediaman Chan (dua kiri).

KUCHING: Presiden Dewan Perniagaan Australia Sarawak Rodger Chan menerima kunjungan beberapa kenamaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di kediamannya pada dua hari pertama perayaan tersebut.

Antara yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Amar Fadillah Yusof, Konsul Jeneral Republik Indonesia Bapak Konjen Abdullah Zulkifli serta barisan menteri, timbalan menteri, setiausaha kerajaan negeri, ketua jabatan dan rakan-rakan terdekat.

Turut mengadakan kunjungan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Mazuki bersama beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Kunjungan tersebut mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan kerajaan, wakil diplomatik dan komuniti perniagaan di Sarawak sempena sambutan perayaan itu.



Abu Bakar (empat kanan) mengunjungi kediaman Chan (tiga kanan) sempena TBC. Turut kelihatan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep (dua kiri) serta yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:03 PM | Show all posts
28 projek pembangunan baharu dilaksana di DUN Kota Sentosa tahun ini: Wilfred
Februari 21, 2026, Sabtu - 1:51pm



Dr Sim (depan, tengah) dan Wilfred merakamkan kenangan bersama tetamu lain selepas selesai upacara simbolik 'kai kung” sempena pembukaan operasi tahun baharu Pusat Khidmat DUN Kota Sentosa di Pusat Komersial Gala City, Kuching hari ini.

KUCHING: Sebanyak 28 projek pembangunan baharu akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa pada tahun ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap.

Perkara itu dimaklumkan beliau susulan komitmen Kerajaan Sarawak untuk menjadikan 2026 sebagai tahun pelaksanaan.

"Tahun ini adalah tahun pelaksanaan seperti yang diumumkan oleh Premier Sarawak sebelum ini dan perkara yang sama akan kita pastikan berlaku di Kota Sentosa," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) serta majlis pembukaan semula operasi Pusat Khidmat ADUN Kota Sentosa di Pusat Komersial Gala City di sini, hari ini.

Tambah Wilfred, beliau diberi tambahan peruntukan sebanyak RM5 juta di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan akan mengemukakan senarai projek tambahan untuk DUN Kota Sentosa dalam masa terdekat.

Selain itu katanya, projek Skim Penempatan Semula Stampin Fasa 1 bernilai RM36 juta dijangka bermula pada suku pertama tahun ini sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan projek naik taraf balai raya dan sekolah-sekolah di kawasannya telah memasuki fasa pertama dan kedua, justeru berharap fasa ketiga dapat dimulakan segera bagi melengkapkan kemudahan infrastruktur yang sebelum ini hanya siap sebahagian.

"Banyak projek infrastruktur yang sebelum ini berada di peringkat separuh siap kini hampir lengkap sepenuhnya. Kita mahu pastikan semua ini disempurnakan demi keselesaan rakyat," tegasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian yang sempat meluangkan masa menghadiri program itu sekali gus tanda sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap pembangunan di Kota Sentosa.

"Saya gembira program berjalan lancar dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh penduduk di Kota Sentosa," tambahnya.

Menyentuh isu banjir pula, Wilfred berkata selepas empat tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat bagi DUN Kota Sentosa, kawasan Batu 7 yang sebelum ini sering dilanda banjir kilat pada penghujung tahun kini tidak lagi mengalami kejadian tersebut meskipun hujan lebat berterusan pada November, Disember dan Januari lalu.

"Dahulu setiap hujung tahun pasti ada banjir kilat di kawasan Kota Sentosa. Namun tahun ini, walaupun hujan lebat, tiada kejadian banjir dilaporkan.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana mendengar permohonan tambahan peruntukan untuk melaksanakan projek mitigasi banjir," katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan masih banyak perkara perlu dilaksanakan dan komited memastikan pembangunan di Kota Sentosa terus bergerak seiring aspirasi Premier Sarawak agar tiada rakyat yang tercicir.

Sementara itu, Pusat Khidmat ADUN Kota Sentosa turut mengadakan upacara simbolik 'kai kung; sempena pembukaan operasi tahun baharu, diserikan dengan tarian tradisional singa Hakka sebagai tanda memulakan tugas dengan semangat baharu.

Wilfred menegaskan fokus utama tahun ini adalah penyampaian perkhidmatan yang cekap, pemantauan rapi terhadap projek diluluskan serta tindakan susulan berdisiplin bagi memastikan setiap peruntukan diterjemahkan kepada hasil yang nyata.

"Rakyat tidak mahukan retorik. Mereka mahukan hasil. Tadbir urus yang baik bukan tentang membuat bising, tetapi tentang membuat kemajuan," tegasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua masyarakat, kapitan, ahli majlis dan persatuan penduduk yang memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.

Dengan pusat khidmat yang kini kembali beroperasi sepenuhnya, penduduk Kota Sentosa digalakkan terus berhubung bagi menyalurkan aduan serta cadangan demi pembangunan bersama.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:04 PM | Show all posts
Tiong teruskan kunjungan TBC di Sibu
Februari 21, 2026, Sabtu - 2:09pm



Antara kediaman yang dikunjungi Tiong sempena kunjungan Tahun Baharu Cina di Sibu pada Jumaat dan hari ini.

SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing meneruskan tradisi tahunan beliau dengan mengadakan kunjungan sempena Tahun Baharu Cina (TBC) ke beberapa kediaman ketua masyarakat dan ahli parti di sekitar Sibu pada Jumaat dan hari ini.

Sepanjang dua hari lawatan tersebut, beliau telah mengunjungi 10 rumah dalam suasana mesra dan penuh muhibah.

Kunjungan itu bukan sahaja bagi menyampaikan ucapan perayaan, malah bertujuan mengeratkan silaturahim serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, lawatan sempena musim perayaan telah menjadi amalan rutinnya setiap tahun kerana pertemuan secara santai di kediaman penduduk sering kali membuka ruang perbincangan yang lebih jujur dan menyeluruh berbanding mesyuarat rasmi.

Katanya, pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan dasar dan perancangan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak perlu terus dipelihara.

Katanya, isu-isu semasa tidak wajar dipolitikkan secara berlebihan sehingga menjejaskan kestabilan sosial atau menimbulkan salah faham antara komuniti.

"Tanpa mengira perbezaan parti, kepentingan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan. Kita perlu mengekalkan masyarakat yang rasional, inklusif dan saling menghormati," katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa perpaduan dan kerjasama dalam parti merupakan asas penting bagi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan, tanpa terjerumus dalam pertikaian politik yang tidak produktif.

Mengakhiri lawatan tersebut, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat, dengan harapan agar tahun ini membawa keamanan, kemakmuran dan kesihatan yang berpanjangan kepada semua keluarga.




Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:05 PM | Show all posts
Sibu Life Care Society anjur kempen derma darah esok
Februari 21, 2026, Sabtu - 2:10pm



Kempen derma darah di Orange Zone, Star Mega Mall, Sibu pada Ahad ini.

SIBU: Orang ramai dijemput hadir menderma darah pada kempen derma darah anjuran Sibu Life Care Society di Orange Zone, Star Mega Mall di sini pada Ahad ini.

Kempen dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Transfusi Darah Hospital Sibu dan Star Mega Mall, bermula dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang.

Penganjuran kempen ini adalah sebagai usaha membantu pihak bank darah hospital mendapatkan bekalan darah yang mencukupi untuk kegunaan Hospital Sibu.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti kempen derma darah, orang ramai boleh menghubungi Bank Darah Hospital Sibu di talian 084-343333 sambungan 2010.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-2-2026 05:05 PM | Show all posts
Sibu Life Care Society anjur kempen derma darah esok
Februari 21, 2026, Sabtu - 2:10pm



Kempen derma darah di Orange Zone, Star Mega Mall, Sibu pada Ahad ini.

SIBU: Orang ramai dijemput hadir menderma darah pada kempen derma darah anjuran Sibu Life Care Society di Orange Zone, Star Mega Mall di sini pada Ahad ini.

Kempen dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Transfusi Darah Hospital Sibu dan Star Mega Mall, bermula dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang.

Penganjuran kempen ini adalah sebagai usaha membantu pihak bank darah hospital mendapatkan bekalan darah yang mencukupi untuk kegunaan Hospital Sibu.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti kempen derma darah, orang ramai boleh menghubungi Bank Darah Hospital Sibu di talian 084-343333 sambungan 2010.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:05 PM | Show all posts
Mekanik ditahan bersama syabu di Kg Patiambun
Februari 21, 2026, Sabtu - 2:35pm

LIMBANG: Tindakan seorang mekanik menyorokkan syabu terbongkar selepas ditahan dalam Ops Tapis harian yang dijalankan di Kampung Patiambun, semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, suspek 32, ditahan dalam serbuan pada jam 2.10 petang.

“Suspek ditahan bersama satu peket plastik lutsinar berisi dadah disyaki jenis syabu beranggaran berat 0.30 gram.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan dipercayai mula terlibat dalam aktiviti penagihan dadah sejak pertengahan tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Limbang didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, orang ramai dinasihati agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah dan diharapkan dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada pihak polis.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Limbang Sarawak di talian 085-211466 atau Hotline 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Sarawak (017-5929211) atau mana-mana balai polis berhampiran.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:06 PM | Show all posts
ADUN Tanjong Batu terima kunjungan TBC daripada Sikie
Februari 21, 2026, Sabtu - 2:49pm



Pang (duduk, dua kanan),  Sikie (duduk, tengah) bersama pengunjung lain merakamkan kenangan bersama ahli keluarga ADUN Tanjong Batu itu semasa kunjungan TBC pada Jumaat.

BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang menerima kunjungan daripada Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai pada hari keempat sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di kediaman keluarganya di sini, pada Jumaat.

Kunjungan Sikie turut disertai oleh Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong Endawi serta rakan-rakan yang lain.

Menurutnya, kunjungan sebegini merupakan antara amalan tradisi masyarakat berbilang kaum di negeri ini setiap kali perayaan besar ini sebagaimana perayaan lain seperti Hari Raya, Gawai Dayak dan TBC.

"Saya dan keluarga amat berbesar hati menerima kehadiran Dato Sri John Sikie berserta sahabat-handai yang mengenali saya, sekali gus menunjukkan hubungan akrab antara semua kaum yang terdapat di bahagian ini," ujarnya.

Apa yang penting katanya, sesi kunjungan ini membolehkan semua orang berkongsi rasa serta kegembiraan sambutan TBC dalam suasana harmoni serta penuh kegembiraan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 05:07 PM | Show all posts
JKR Bintulu baiki segera lubang besar di Jalan Sebauh-Bintulu
Februari 21, 2026, Sabtu - 2:51pm



Lubang besar di Jalan Sebauh-Bintulu yang sudah siap diperbaiki serta ditampal pasukan JKR Bintulu.

BINTULU: Tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu memperbaiki lubang jalan yang besar dan dalam di Jalan Sebauh-Bintulu dipuji kerana ia melibatkan keselamatan awam.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, setelah menerima aduan daripada penduduk semalam, beliau terus mengambil tindakan dengan menghubungi JKR Bintulu agar isu itu dapat diselesaikan segera.

"Bagi saya, keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan yang mana tiada kompromi dalam hal ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, beliau menzahirkan rasa penghargaan serta terima kasih kepada JKR atas keprihatinan serta tindakan segera yang diambil bagi memperbaiki lubang besar yang menjejaskan keselamatan awam khususnya di Daerah Sebauh.

Katanya, pasukan JKR Bintulu telah menjalankan tugas dengan baik dan penuh dedikasi demi keselamatan serta keselesaan semua pengguna jalan yang berulang-alik menggunakan laluan berkenaan setiap hari.

Dr Rundi pada masa sama amat menghargai kebimbangan yang disuarakan oleh Winnie Ho dan penduduk di Sebauh berhubung isu jalan rosak dan berlubang itu yang telah dikemukakan menerusi saluran yang betul.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-2-2026 09:12 AM GMT+8 , Processed in 0.883016 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list