|
Adik cedera parah di Indonesia
KUALA TERENGGANU: “Misteri tembakan yang dijeritkan adik sebelum kami terputus hubungan pada pagi Khamis minggu lalu terjawab apabila kenalan di Indonesia memberitahu adik saya kini cedera parah dan ditempatkan sebuah lokasi rahsia di perairan negara jiran.
“Namun apa yang mengecewakan kami, hanya Wan Budiman berjaya dikesan manakala nasib empat lagi awak-awak masih tidak dapat dipastikan,’’ kata Che Wan Zainuddin Che Wan Ngah, 36, saksi kejadian kehilangan lima nelayan di perairan di Laut China Selatan, minggu lalu.
Che Wan Zainuddin berkata, dia mendapat perkhabaran daripada kenalannya di negara jiran itu melalui telefon kelmarin.
“Keluarga kami sekarang tidak senang duduk apabila mendapat tahu adik (Che Wan Budiman), 31, luka parah selepas terkena tembakan sewaktu dikejar sebuah bot pihak berkuasa negara jiran.
“Kenalan kami memberitahu bot yang dinaiki adik kini berada di Pulau Pontianak, manakala dia ditahan di sebuah lokasi rahsia dan kami tidak tahu apa motif sebenar dia ditempatkan di situ,” katanya kepada Harian Metro semalam.
Bimbang kejadian lebih buruk berlaku terhadap adiknya, Che Wan Zainuddin menghubungi seorang pegawai Kedutaan Malaysia di Indonesia yang kemudian mengesahkan Che Wan Budiman ditahan pihak berkuasa Indonesia, manakala empat rakannya tidak dipastikan.
Menurutnya, dia musykil bagaimana adiknya boleh berada di sana, sedangkan terdapat dua pusat tahanan berhampiran tempat mereka dikejar di Pelantar Minyak Berlumut.
“Apa yang menimbulkan tanda tanya, kenapa dia ditahan di Pontianak yang mengambil masa empat hari untuk sampai ke sana dari tempat kejadian dan kira-kira sejauh 600 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu.
“Saya sendiri pernah ditahan pihak berkuasa Indonesia selama 11 bulan atas kesalahan menceroboh perairan negara jiran, tetapi hanya ditempatkan di kawasan berhampiran dan bukannya jauh sehingga ke Pontianak," katanya.
Harian Metro Isnin lalu melaporkan Che Wan Budiman, 31, bersama empat yang lain dilaporkan hilang berhampiran Pelantar Minyak Berlumut Khamis lalu. |
|