CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 21-2-2026 07:21 AM | Show all posts
FA bahagian perlu buat persiapan awal hadapi Liga Premier Sarawak: Fazzruddin
Februari 15, 2026, Ahad - 8:07pm



Fazzruddin bercakap kepada media berkenaan hala tuju bola sepak Sarawak selepas tamat Piala Premier 2025 petang tadi.

KUCHING: Persatuan Bola Sepak (FA) bahagian perlu membuat persiapan awal termasuk mencari pemain baharu dan pelapis bagi memperkukuh pasukan masing-masing menjelang saingan Liga Premier Sarawak musim 2026.

Presiden Kuching City FC merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Dato Fazzruddin Abdul Rahman berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan pembangunan bola sepak Sarawak dapat diperkasakan secara berterusan seiring penganjuran Liga Premier selepas ini.

“Jika semua FA bahagian bersedia dari awal, maka bermulalah pembangunan bola sepak Sarawak seperti yang kita harapkan menerusi penganjuran liga ini," katanya ketika ditemui media selepas berakhir perlawanan akhir Piala Premier 2025 di Stadium Negeri petang tadi.

Perlawanan yang turut disaksikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu dimenangi Bintulu FA menewaskan Samarahan FA dengan jaringan 3-1.

“Bagi perancangan masa depan, sejurus sahaja tamat final Piala Premier, kita akan mengadakan 'post-mortem' untuk menilai aspek-aspek yang perlu ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata pada musim pertama, pihak penganjur melonggarkan sedikit syarat kelayakan pemain bagi memeriahkan saingan liga namun syarat lebih ketat akan diperkenalkan bermula musim kedua.

“Bagi (tahun) 2026, kita mungkin menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh FA bahagian dan perkara ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga mutu liga dapat dipertingkatkan.

“Harapan kami, Liga Premier ini akan menjadi pentas kepada pasukan luar untuk membuat pencarian bakat pemain anak tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan FA bahagian perlu memulakan persiapan awal dalam mengenal pasti bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, Fazzuddin turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Bintulu FA yang muncul juara manakala pasukan Samarahan yang tewas di final disaran mencuba lagi pada musim akan datang.

“Tidak mengapa, tahun 2026 masih ada peluang..boleh cuba lagi,” katanya.

Beliau berkata Liga Premier Sarawak dijangka bermula sekitar Julai atau Ogos ini selepas perbincangan lanjut diadakan bersama semua FA bahagian.

“Kita mahu FA bahagian terlebih dahulu melaksanakan liga peringkat bahagian masing-masing sebelum disusuli dengan Liga Premier,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 21-2-2026 07:43 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 11:25 AM | Show all posts
MINDET dan INSKEN laksana lima program pada 2026
Februari 21, 2026, Sabtu - 9:25am



TERIMA KASIH: Ewon menerima cenderahati daripada Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Datuk Dr. Nayan Yambu@ Laurentius.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan menjalin kerjasama dengan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bagi melaksanakan dua Program Masterclass dan tiga Program Bangkit di Sabah sepanjang 2026.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, program itu yang akan diadakan di Kota Kinabalu dan Kundasang merangkumi pelbagai bidang termasuk pertanian, industri kreatif dan eko pelancongan.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama strategik INSKEN bersama agensi-agensi negeri Sabah yang lain termasuk Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

“Saya menghargai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh INSKEN dalam usaha membangunkan usahawan di Sabah selama ini.

“Bagi program tahun 2025, di bawah inisiatif yang dilaksanakan INSKEN di Sabah, 72 peratus usahawan mencatat peningkatan hasil jualan minimum 25 peratus.

"Sekali gus mewujudkan 128 peluang pekerjaan baharu, menjana nilai gandaan 6.1 kali daripada peruntukan dana program serta purata peningkatan margin keuntungan sebanyak 44 peratus, dan juga melalui INSKEN mini Coaching dengan 95 peratus usahawan berjaya menambah baik produk atau perkhidmatan melalui aspek yang diukur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan delegasi INSKEN yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Viviantie Sarjuni.

Ewon turut merakamkan ucapan tahniah kepada Viviantie atas penerimaan Schwab Foundation Awards sempena World Economic Forum Annual Meeting 2026 di Davos, baru-baru ini.

Sementara itu, Viviantie berkata, Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Ewon ketika menerajui Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) tiga tahun lalu telah membawa perubahan ketara dalam pembangunan keusahawanan termasuk di INSKEN.

“Saya bangga kerana melalui Dasar Pandang Ke Timur itulah kita telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak memohon, tetapi mereka menilai kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk usaha INSKEN sebelum memutuskan untuk memberikan anugerah itu.

“Kita adalah rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah tersebut. Ewon telah meninggalkan banyak legasi di KUSKOP dan sebagai rakyat Sabah saya sangat berbangga. Saya juga gembira kerana banyak program yang akan kita laksanakan Bersama MINDET selepas ini.

“Selain lima program yang dirancang bersama MINDET tahun ini, kami juga merancang lebih banyak program keusahawanan di Sabah dengan mengambil kira keluasan negeri ini yang memerlukan pelaksanaan program mencakupi seluruh daerah,” katanya.

Mengenai pencapaian keseluruhan Program Bimbingan INSKEN Sabah 2025, Viviantie berkata, ia mencatatkan RM3.9 juta nilai peningkatan jualan yang berjaya dijana menerusi empat kohort program bimbingan, Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC).

Menurutnya, secara keseluruhan 72 peratus usahawan yang mengikuti program bimbingan INSKEN Sabah tahun lalu mencatat peningkatan prestasi perniagaan yang memberangsangkan.

Beliau turut memaklumkan lima peserta program IBBC di Sabah tersenarai sebagai peserta terbaik Program Bimbingan INSKEN Sabah 2025.

Mereka ialah Mohd Hafiz Abdullah, pengusaha Sorrow Beach Ecotourism, Tanjung Bangau, Kudat yang berjaya menjana peningkatan hasil jualan sebanyak 447 peratus; Juhilin Tutun dari Beaufort dengan peningkatan 72 peratus; Dul Alis, pengusaha kafe dan restoran yang mencatat peningkatan 205 peratus; Nurasyikin Norbin dari Kota Belud yang mencatat peningkatan 179 peratus menerusi gerai yang diusahakannya; serta Izhan Nasriq Imran dari Penampang yang mengusahakan produk Dimna Soda dengan peningkatan jualan sehingga 361 peratus.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 11:26 AM | Show all posts
20 kanak-kanak kurang bernasib baik diraikan dalam majlis berbuka puasa
Februari 21, 2026, Sabtu - 9:56am



KENANGAN: Razali bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan bersama kanak-kanak dari Rumah Amal Kasih Kingfisher.

KOTA KINABALU: Seramai 20 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Amal Kasih Kingfisher diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di sini, pada Jumaat.

Majlis yang dianjurkan Sabah Oriental Hotel itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi.

Razali berkata, ia merupakan majlis yang sangat bermakna dianjurkan oleh pihak hotel berkenaan.

“Kita cuba memberi kembali kepada masyarakat. Tahun depan kita harap dapat lakukan lebih banyak program seperti ini.

"Bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi juga kepada mereka yang benar-benar memerlukan harapan dan sokongan,” katanya.

Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah sebahagian usaha untuk memberi kembali kepada masyarakat apabila berpeluang berbuat demikian.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 11:30 AM | Show all posts
Masakan tradisional Melanau jadi tarikan di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II
Februari 21, 2026, Sabtu - 9:27am



Wielita (kanan) dan Mastiah tidak menang tangan melayan pelanggan yang membeli pelbagai menu tradisional Melanau di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang.

SIBU: Aroma masakan tradisional masyarakat Melanau menjadi tarikan pengunjung di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II apabila menu autentik yang jarang ditemui mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Tinjauan petang semalam mendapati gerai yang dikendalikan oleh Wielita Lanon, 49, dari Kuala Matu sentiasa dikunjungi pelanggan, khususnya mereka yang ingin merasai keenakan masakan Melanau yang asli.

Wielita berkata, beliau telah berniaga di bazar Ramadan itu sejak lapan tahun lalu bersama rakan kongsinya, Mastiah Mataher, 49, yang juga sepupunya.

Menurutnya, tujuan utama mereka menyertai bazar Ramadan adalah untuk mempromosikan masakan tradisional masyarakat Melanau kepada orang luar agar keunikan warisan kulinari tersebut terus dikenali dan dihargai.



Wielita (kanan) dan Mastiah tidak menang tangan melayan pelanggan yang membeli pelbagai menu tradisional Melanau di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang.

“Masakan Melanau mempunyai keistimewaan tersendiri, terutama dari segi penggunaan ramuan dan resipi turun-temurun.

“Kami ingin orang ramai mengenali dan merasai sendiri kelainan masakan kami,” katanya ketika ditemui.

Antara menu paling laris di gerai berkenaan ialah umai, umai payak, sambal belacan, sayur keladi serta daging masak kicap yang dimasak menggunakan resipi tradisional orang Melanau.

Beliau berkata, menu-menu tersebut sentiasa habis terjual setiap hari dan mendapat sambutan yang konsisten daripada pengunjung.



Wielita (kiri) dan Mastiah menunjukkan sebahagian sajian tradisional Melanau yang dijual di gerai mereka.

“Kami juga mempunyai pelanggan tetap yang akan datang semula setiap kali bazar Ramadan dibuka. Ada juga pelanggan baharu yang menjadi pelanggan berulang selepas mencuba menu kami,” tambahnya.

Jelasnya, sambutan positif itu memberi dorongan kepada mereka untuk terus mengekalkan keaslian rasa masakan Melanau, di samping memperkenalkan budaya dan tradisi masyarakat tersebut kepada generasi muda serta masyarakat pelbagai kaum.

Wielita berkata, menu masakan Melanau yang diusahakannya bersama rakan kongsinya hanya ditawarkan sepanjang bulan Ramadan berikutan kekangan komitmen kerja hakiki.

“Pada hari biasa, saya dan sepupu masing-masing mempunyai pekerjaan lain, justeru kami belum berhasrat untuk membuka gerai atau kedai makan yang berkonsepkan masakan Melanau.

“Namun, insya-Allah, jika diberi kesempatan atau peluang pada masa hadapan, saya berharap dapat merealisasikan impian tersebut,” katanya.

Selain mengekalkan resipi tradisional, Wielita menegaskan bahawa aspek kebersihan dan kualiti bahan mentah sentiasa diberi keutamaan bagi memastikan setiap hidangan yang dijual memenuhi cita rasa pelanggan.



Mastiah (kanan) menyediakan pesanan pelanggan sementara Wielita membantu menguruskan jualan di gerai mereka.

Katanya, kebanyakan bahan mentah diperoleh segar setiap hari dan disediakan sendiri bagi mengekalkan rasa asli masakan Melanau seperti yang diwarisi daripada keluarga.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyertaan di bazar Ramadan bukan sahaja bertujuan menjana pendapatan bermusim, malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan budaya dan identiti masyarakat Melanau kepada masyarakat berbilang kaum di bandar ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 11:32 AM | Show all posts
Persatuan komuniti Cina di Sibu disaran lebih proaktif bantu perkukuh sektor pelancongan
Februari 21, 2026, Sabtu - 9:35am



Tiong (barisan depan, lapan kanan), Tiang (barisan depan, tujuh kiri), Chieng (barisan depan, enam kiri), Wong (barisan depan, enam kanan), Alice (barisan depan, tujuh kanan), Kevin (barisan depan, lima kiri), Ngieng (barisan depan, lapan kiri) serta kenamaan lain ketika melakukan upacara 'Yee Sang' pada Majlis Perhimpunan Tahun Baharu Cina UCA Sibu pada malam tadi.

SIBU: Persatuan komuniti Cina di Sibu disaran memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu kerajaan memperkukuh sektor pelancongan dan merancakkan ekonomi tempatan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, pertubuhan masyarakat tidak lagi wajar terhad kepada aktiviti kebudayaan semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai rakan strategik kerajaan dalam mempromosikan keunikan Sarawak, khususnya Sibu, kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

"Kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak termasuk persatuan, peniaga, pengusaha perkhidmatan dan penduduk setempat.

“Kerajaan tidak boleh bergerak bersendirian. Sokongan komuniti amat penting bagi memastikan usaha promosi dan pembangunan pelancongan dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan," katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Tahun Baharu Cina Persatuan Gabungan Cina (UCA) Sibu yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini pada malam tadi.

Tiong menjelaskan, komuniti Cina di Sibu mempunyai kekuatan tersendiri melalui jaringan persatuan yang kukuh, selain peranan mereka dalam memelihara warisan budaya, pendidikan serta kebajikan masyarakat.

Justeru, beliau percaya potensi itu boleh dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelawat serta memperkenalkan identiti Sibu sebagai bandar yang mesra dan berdaya saing.

Dalam era teknologi maklumat yang berkembang pesat, katanya, persatuan perlu lebih kreatif dan berfikiran jauh dengan menggabungkan sumber serta kepakaran sesama ahli bagi memperluas impak program yang dirancang.

Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum sebagai asas kestabilan dan kemajuan negeri.

"Perpaduan adalah kekuatan kita. Jangan biarkan perbezaan pandangan menjejaskan keharmonian yang telah lama dibina," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.

Pada masa sama, beliau mengingatkan agar setiap wakil komuniti yang berinteraksi dengan pelancong sentiasa menonjolkan nilai profesionalisme, keikhlasan dan semangat kerjasama supaya imej Sibu terus dipandang positif.

Sebagai tanda komitmen kerajaan dalam menyokong usaha tersebut, Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada UCA Sibu bagi melaksanakan pelbagai program dan inisiatif sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Majlis berkenaan menghimpunkan kira-kira 1,500 tetamu terdiri daripada pemimpin dan wakil persatuan-persatuan Cina di seluruh bahagian Sibu, mencerminkan kesepakatan komuniti dalam menyambut Tahun Kuda serta menyokong agenda pembangunan bersama kerajaan.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kaunselor Kevin Lau, Presiden UCA Sibu Ngieng Hock Teck serta tetamu jemputan yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 21-2-2026 11:33 AM | Show all posts
Kerajaan diharap buat keputusan dasar yang jelas, adil berhubung UEC
Februari 21, 2026, Sabtu - 9:39am



Ngieng (barisan depan, lapan kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tiong selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Tahun Baharu Cina UCA Sibu pada malam tadi.

SIBU: Kerajaan diharap dapat membuat keputusan dasar yang jelas dan adil berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) demi masa depan generasi muda.

Presiden Persatuan Gabungan Cina (UCA) Sibu, Ngieng Hock Teck berkata, pengiktirafan UEC bukan sahaja penting bagi memperluas peluang pendidikan dan kerjaya pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, malah mencerminkan penghormatan negara terhadap kepelbagaian sistem pendidikan serta prinsip peluang yang adil untuk semua.

“Keputusan yang jelas dan saksama akan memberi keyakinan kepada ibu bapa dan pelajar, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Tahun Baharu Cina UCA Sibu yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, malam semalam, dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing selaku tetamu kehormat.

Ngieng juga turut menekankan bahawa perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak harus terus diperkukuh melalui dasar yang inklusif dan menghormati kepelbagaian.

Beliau turut menyentuh kedudukan Sarawak dalam konteks Persekutuan Malaysia, dengan menegaskan bahawa negeri ini berhak menuntut hak dan sumbernya sendiri berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Ini bukan untuk menimbulkan perpecahan, tetapi bagi memastikan Sarawak diperlakukan secara saksama dalam rangka undang-undang dan semangat Persekutuan," jelasnya.

Majlis tersebut diadakan dalam suasana muhibah sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, Tahun Kuda, yang menurut beliau melambangkan kekuatan, keberanian dan ketekunan.

Ngieng berkata semangat kuda wajar dijadikan inspirasi untuk masyarakat terus melangkah ke hadapan dengan yakin, selari dengan aspirasi pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah.

Pada majlis sama, beliau turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Ramadan kepada umat Islam yang bakal menjalani ibadah puasa, sebagai tanda penghormatan dan semangat perpaduan antara kaum di negeri ini.

UCA Sibu juga, tambahnya, bakal menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya pada hujung tahun 2027, yang dijangka menjadi satu lagi detik penting dalam sejarah pertubuhan tersebut.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, ADUN Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kaunselor Kevin Lau serta tetamu jemputan yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 11:33 AM | Show all posts
sbh - Hanya pemohon layak dipertimbangkan untuk Rumah Mesra SMJ - Jamawi

swk - Kerajaan diharap buat keputusan dasar yang jelas, adil berhubung UEC

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-2-2026 11:40 AM | Show all posts
33 mangsa banjir dipindahkan ke PPS Masjid Sungai Maong
Utusan Sarawak  2 hours ago



PINDAH… Anggota bomba memindahkan mangsa banjir.

KUCHING: Seramai 33 mangsa banjir daripada tujuh keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Sungai Maong selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.14 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang digerakkan ke lokasi.



PASUKAN bomba membantu memindahkan mangsa ke PPS di Masjid Sungai Maong bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Abdul Hakim, bersama Pegawai Kanan di Lokasi, PgKB II Nik Muhammad Afiq Nik Roslan, yang menjalankan rondaan dari rumah ke rumah sejurus tiba di kawasan terjejas.

Hasil rondaan mendapati beberapa rumah telah dinaiki air dan terdapat permohonan daripada penduduk untuk dipindahkan ke tempat selamat.

Pasukan bomba kemudian membantu memindahkan mangsa ke PPS di Masjid Sungai Maong bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.



PPS Masjid Sungai Maong.

Turut dibantu seorang lelaki dewasa yang tidak berupaya bergerak dan telah dipindahkan dengan bantuan anggota bomba ke penempatan sementara.

Pecahan mangsa melibatkan keseluruhan 33 orang daripada tujuh keluarga, terdiri daripada dua warga emas iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan, 19 orang dewasa merangkumi tujuh lelaki dan 12 perempuan, serta 10 kanak-kanak melibatkan enam lelaki dan empat perempuan.

Operasi melibatkan kekuatan sembilan anggota bersama sebuah kenderaan Hilux dan sebuah bot.

Setakat laporan dikeluarkan, keadaan adalah terkawal dan pemantauan berterusan masih dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.


Sumber : Utusan Sarawak
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 11:41 AM | Show all posts
Remaja 16 tahun dikhuatiri lemas, SAR hari kedua diteruskan
Utusan Sarawak  2 hours ago



SERAMAI lapan anggota diketuai PBK I Pandi Seh telah bergerak ke lokasi pada 7.00 pagi, diikuti tujuh anggota tambahan diketuai PBK I Mohd Nizam Bujang pada 8.15 pagi.

PETRA JAYA: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari kedua diteruskan hari ini bagi mengesan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dikhuatiri lemas di Kampung Kolong Sungai Tengah, berhampiran Sekolah Kebangsaan Tan Sri Datuk Haji Mohamed, di sini.

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.32 petang semalam.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya tiba di lokasi pada 4.50 petang selepas menempuh jarak kira-kira 18 kilometer.

Mangsa dikenali sebagai Fahrell Zaquan Hasbullah, 16 tahun, dan sehingga kini masih belum ditemui.



OPERASI turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Menurut rakan mangsa, ketika kejadian mangsa bersama seorang rakannya sedang bermain di tebing sungai sebelum dipercayai terjatuh ke dalam air dan hanyut dibawa arus deras.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 4.00 petang. Mangsa dilaporkan tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang berwarna putih.

Operasi SAR diketuai Komander Operasi, PBK I Pandi Seh dengan kekuatan lapan anggota, dibantu sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS.

Bagi perkembangan SAR hari kedua hari ini, seramai lapan anggota diketuai PBK I Pandi Seh telah bergerak ke lokasi pada 7.00 pagi, diikuti tujuh anggota tambahan diketuai PBK I Mohd Nizam Bujang pada 8.15 pagi.

Taklimat operasi bersama semua agensi terlibat diadakan pada 8.30 pagi sebelum operasi pencarian dimulakan pada 8.45 pagi menggunakan bot serta kaedah menyusuri tebing sungai.

Operasi turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Setakat ini, operasi masih diteruskan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.


Sumber : Utusan Sarawak
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 11:43 AM | Show all posts
Bazar Ramadan Serian meriah, projek naik taraf taman komuniti RM3 juta bakal transformasi bandar
Utusan Sarawak  13 hours ago



ADUN Bukit Semuja, John Ilus menyampaikan apron kepada peniaga selepas merasmikan Bazar Ramadan anjuran Majlis Daerah Serian, sambil mengumumkan projek naik taraf Taman Komuniti Serian bernilai RM3 juta di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Kuching Raya, semalam. Foto UKAS

SERIAN: Suasana meriah dengan deretan gerai dan kepelbagaian juadah tradisi mewarnai pembukaan Bazar Ramadan anjuran Majlis Daerah Serian yang kembali menjadi tumpuan warga setempat sepanjang bulan Ramadan.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus, yang turut mengumumkan projek menaik taraf Taman Komuniti Serian bernilai RM3 juta menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bersepadu Kuching Raya (GKCDA).

Sebanyak 69 gerai mula beroperasi pada tahun ini dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman untuk berbuka puasa. Penyertaan itu sekali gus membuka ruang kepada peniaga kecil menjana pendapatan tambahan sepanjang Ramadan.

Dalam majlis berkenaan, John turut menyampaikan cenderahati berupa apron kepada para peniaga sebagai simbol sokongan serta galakan agar terus mengekalkan tahap kebersihan dan mutu perkhidmatan.



ADUN Bukit Semuja, John Ilus merasmikan Bazar Ramadan anjuran Majlis Daerah Serian, semalam. Foto UKAS

Menurutnya, projek naik taraf Taman Komuniti Serian kini berada pada fasa pelantikan perunding dan sedang menunggu penyediaan dokumentasi tender sebelum kerja fizikal dapat dimulakan.

Beliau optimis pembangunan semula itu mampu mengubah landskap kawasan berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Mudah-mudahan menjelang tahun hadapan, kawasan ini akan tampil dengan wajah baharu yang lebih selesa dan teratur untuk kegunaan masyarakat,” katanya.

Jelasnya, konsep pembangunan yang dirancang berteraskan reka bentuk terbuka dan fleksibel bagi membolehkan kawasan tersebut dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti seperti tapak parkir, penganjuran Bazar Ramadan, konsert serta program komuniti berskala besar.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan cadangan mengadakan Bazar Gawai akan dibincangkan bersama pihak berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Pejabat Residen dan Persatuan Iban Remun, namun perancangan lanjut masih di peringkat awal.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli majlis, Pejabat Residen dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Bandar Serian atas kerjasama memastikan kelancaran majlis.

Katanya, sokongan berterusan masyarakat amat penting bagi memastikan bazar tersebut terus menjadi platform ekonomi setempat serta memeriahkan sambutan Ramadan di Serian.


Sumber : Utusan Sarawak
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 11:45 AM | Show all posts
Cuthberta pelajar PMU, bantu Malaysia muncul juara ragbi wanita Asia Tenggara
Utusan Sarawak  1 hour ago



CUTHBERTA Entai, antara tonggak utama kejayaan Malaysia menjulang trofi Kejohanan Ragbi Wanita Asia Tenggara 15 Sebelah 2026. Foto PMU

MUKAH: Kecemerlangan sukan terus menjadi kebanggaan Politeknik Mukah (PMU) apabila seorang pelajarnya berjaya membantu skuad ragbi wanita negara muncul juara Kejohanan Ragbi Wanita Asia Tenggara 15 Sebelah (SEA Women’s XV Championship 2026) yang berlangsung di Petaling Jaya dari 8 hingga 14 Februari lalu.

Cuthberta Entai dari Jabatan Perdagangan mempamerkan aksi konsisten dan berdisiplin tinggi sepanjang kejohanan tersebut apabila beraksi sebagai flanker dalam skuad Ragbi Wanita 15 Sebelah Malaysia.

Persembahan cemerlang beliau membantu pasukan negara menewaskan pencabar terbaik dari rantau Asia Tenggara sebelum dinobatkan sebagai juara.

“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang mewakili negara dan membantu pasukan menjulang kejuaraan ini. Pengalaman ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus bekerja keras dan meningkatkan prestasi pada masa hadapan,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Menurutnya, kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada komitmen dan kerjasama erat seluruh pasukan serta bimbingan jurulatih sepanjang tempoh latihan dan kejohanan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak PMU dan para pensyarah yang sentiasa memahami tanggungjawabnya sebagai atlet dan pelajar, sekali gus membolehkannya mengimbangi komitmen akademik dan sukan dengan baik.

Kejohanan tersebut menjadi pentas penting untuk mengukur tahap daya saing atlet wanita di peringkat antarabangsa.

Komitmen dan semangat juang yang dipamerkan Cuthberta membuktikan bahawa pelajar PMU bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menyerlah dalam arena sukan berprestasi tinggi.

Kejayaan itu bukan sahaja membanggakan keluarga serta warga kampus, malah turut mengharumkan nama institusi dan negara di persada sukan antarabangsa.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 01:29 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:27 PM | Show all posts
30 asnaf terima sumbangan bakul makanan
Februari 21, 2026, Sabtu - 12:01pm



ALBUM: Azizah bergambar kenangan bersama 30 asnaf yang menerima sumbangan bakul makanan di Dewan PPS Sembulan.

KOTA KINABALU: Sempena bulan Ramadan 2026, Pergerakan Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 penerima asnaf dalam satu program kebajikan yang berlangsung.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, yang menzahirkan komitmen berterusan Wanita GRS dalam membantu golongan memerlukan, khususnya ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.

Menurutnya, Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan solidariti dalam masyarakat.

“Kita mahu memastikan golongan asnaf tidak terpinggir, lebih-lebih lagi dalam suasana kos sara hidup yang semakin mencabar.

"Bantuan ini mungkin kecil, tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa penyampaian bakul makanan 30 orang asnaf di Dewan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) Sembulan di sini, hari ini.

Turut hadir sama Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait, Timbalan Bendahari Wanita GRS, Datuk Surinam Sadikun, Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Belynda Buntot serta para penerima sumbangan.

Beliau turut menyeru syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar tampil bersama menghulurkan bantuan kepada golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan.

“Selain menyumbang dalam bentuk kewangan atau barangan, syarikat-syarikat termasuk GLC juga digalakkan memperbanyakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersifat berterusan, agar amalan kebajikan ini menjadi budaya dan bukan sekadar bermusim,” katanya.

Azizah berkata, syarikat bukan kerajaan harus berusaha membantu golongan kurang bernasib baik dan tidak seharusnya digalas oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

Dalam majlis itu, Azizah turut menyerahkan bakul makanan kepada Surinam mewakili Parlimen Beaufort (50) Sipitang (50) dan Kimanis (50) manakala Salmah mewakili Parlimen Putatan (50), manakala Perkumpulan Perempuan Sabah (100).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:28 PM | Show all posts
Benta Wawasan komited lonjak prestasi GLC Sabah
Februari 21, 2026, Sabtu - 12:14pm



SUMBANGAN: Abd. Karim (empat kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah satu penerima dalam majlis berkenaan.

TAWAU: Benta Wawasan Sdn Bhd terus komited meningkatkan prestasi syarikat selaras dengan hasrat Ketua Menteri agar semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah memperkukuh pencapaian masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd. Karim Abd. Wahid berkata, sebagai anak syarikat kepada Yayasan Sabah, Benta Wawasan sentiasa memastikan tadbir urus yang baik serta peningkatan produktiviti menjadi keutamaan dalam operasi syarikat.

Katanya, dalam industri perladangan, faktor harga komoditi banyak dipengaruhi pasaran global dan berada di luar kawalan syarikat.

“Jadi apa yang boleh kita kawal ialah prestasi dalaman syarikat. Kita perlu tingkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan memastikan ‘good governance’ sentiasa menjadi asas pentadbiran.

“Sebagai GLC, kita mesti ada daya maju, berdaya saing dan mampu menjana keuntungan tinggi secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Benta Wawasan Sdn Bhd peringkat korporat, di sini, semalam.

Abd. Karim berkata, tahun lalu syarikat mencatat pungutan kasar melebihi RM100 juta, sekali gus membolehkan dividen yang signifikan disalurkan kepada Yayasan Sabah.

Menurutnya, sumbangan dividen itu membantu organisasi induk melaksanakan pelbagai tanggungjawab sosial, kebajikan serta pendidikan di Sabah.

“Alhamdulillah, sepanjang 30 tahun penubuhan Benta Wawasan, kita konsisten menyumbang pulangan dividen yang tinggi kepada Yayasan Sabah.

“Kita berharap dengan keadaan ekonomi yang semakin baik dan harga komoditi yang meningkat, prestasi tahun ini akan lebih memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor yang mahu GLC Sabah terus memperkukuh prestasi serta menyumbang lebih besar kepada ekonomi negeri.

Majlis berbuka puasa itu turut menjadi acara istimewa apabila syarikat meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya.

Dalam majlis sama, Benta Wawasan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim serta tujuh pusat tahfiz di sekitar Tawau.

Menurut Abd. Karim, program itu adalah tradisi tahunan syarikat sebagai tanda kesyukuran dan tanggungjawab sosial korporat sepanjang Ramadan.

“Kita bukan sahaja fokus kepada keuntungan, tetapi juga memastikan tanggungjawab sosial terus dilaksanakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Benta Wawasan turut menerima pengiktirafan The BrandLaureate Awards 2025/2026 baru-baru ini.

Abd. Karim menyifatkan anugerah berprestij bertaraf antarabangsa itu sebagai bukti komitmen syarikat dalam memperkukuh jenama serta reputasi korporat.

“Kita sangat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Ia menjadi pemangkin untuk kita terus mempertingkat prestasi dan mengekalkan kecemerlangan pada masa akan datang,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:29 PM | Show all posts
Kerajaan Sabah, IEM perkukuh kerjasama bidang kejuruteraan
Februari 21, 2026, Sabtu - 1:00pm



PENGHARGAAN: Joachim (empat kiri) menerima cenderakenangan daripada IEM Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh kerjasama dengan penggiat industri kejuruteraan bagi memastikan pembangunan infrastruktur negeri dilaksanakan secara mampan dan berimpak tinggi.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam menerima kunjungan hormat delegasi The Institution of Engineers Malaysia (IEM) Cawangan Sabah di pejabatnya, di sini, hari ini.

Pertemuan itu bertujuan mempererat hubungan strategik antara profesion kejuruteraan dan kerajaan negeri dalam usaha memperkasa pembangunan infrastruktur serta perkhidmatan utiliti.

Delegasi IEM Sabah diketuai Pengerusinya, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar bersama beberapa ahli jawatankuasa termasuk Ir. Ts. Tan KJ, Datuk Ir. Willy Chin, Ir. Randy Kuan Luk Cheong, Ir. Ts. Petrocelli Joseph, Ag. Khairul Akmal Kamaludin dan Lydia Lisa Edward.

Dalam pertemuan berkenaan, IEM Sabah menekankan kepentingan menggalakkan lebih ramai jurutera mendaftar sebagai Ahli Siswazah IEM sebelum melangkah ke arah Keahlian Korporat dan seterusnya memperoleh status Jurutera Profesional (Ir.).

Menurut wakil IEM Sabah, pihaknya bersedia menyediakan latihan berstruktur, program mentor serta bimbingan profesional bagi membantu jurutera memenuhi keperluan pendaftaran profesional.

“Inisiatif ini penting bagi memperkukuh kumpulan bakat kejuruteraan tempatan sama ada dalam sektor awam mahupun swasta,” menurut kenyataan itu.

Selain isu pembangunan bakat, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perancangan dan penyelarasan koridor utiliti di negeri ini.

Turut dibincangkan potensi peranan IEM Sabah dalam menawarkan input teknikal serta bantuan profesional kepada kementerian khususnya berkaitan isu kesesakan lalu lintas dan pengangkutan awam.

Kunjungan hormat itu berakhir dengan komitmen bersama untuk meneruskan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan warga kejuruteraan demi menyokong pembangunan infrastruktur yang mampan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-2-2026 04:31 PM | Show all posts
Rina Jainal pemimpin wanita cekal, berprinsip dan berdiri bersama rakyat
Februari 21, 2026, Sabtu - 2:21pm



RINA

Dalam lanskap politik yang sering dipenuhi strategi, pengaruh dan percaturan kuasa, Datuk Rina Haji Jainal tampil dengan pendekatan berbeza, membina kepercayaan melalui kerja lapangan, keikhlasan dan konsistensi bersama rakyat di akar umbi.

Bagi Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan itu, kejayaan dalam politik bukan diukur melalui jawatan atau kedudukan.

Namun, sebaliknya daripada sejauh mana seorang pemimpin mampu menyantuni dan mempertahankan amanah yang diberikan rakyat.

“Kalau bekerja, jangan mengharap mahu jadi calon. Itu pendekatan saya,” katanya yang sejak awal penglibatan dalam politik memilih untuk turun padang membantu masyarakat tanpa meletakkan sasaran peribadi terhadap pencalonan.

Pendekatan itu menjadikan beliau dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa hadir di lapangan, mendengar, melihat dan menyelesaikan isu secara terus bersama komuniti.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:32 PM | Show all posts


TEKUN: Rina minat mendalami agama apabila kerap hadir ke majlis-majlis ilmu.

Perjalanan politik Rina tidak terlepas daripada ujian besar. Beliau sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), namun jawatan serta keahliannya digantung secara serta-merta.

Dalam tempoh yang sama, namanya juga tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN Kukusan.

Lebih mencabar, keputusan itu diumumkan hanya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 berlangsung. Satu tempoh yang cukup singkat dan penuh ketidaktentuan bagi mana-mana calon politik.

Namun, situasi yang boleh dianggap sebagai titik kejatuhan itu bertukar menjadi peluang untuk membuktikan kekuatan sokongan akar umbi.

Rina nekad bertanding sebagai calon Bebas dan akhirnya berjaya mempertahankan kerusi DUN Kukusan.

Kemenangan itu bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi isyarat jelas bahawa kepercayaan rakyat tidak semestinya bergantung kepada platform parti semata-mata.

“Saya memang kurang melobi. Tapi ini rezeki saya. Bila bertanding sebagai calon Bebas, saya ada penyokong tegar yang mahu saya terus berkhidmat,” katanya.

Bagi beliau, sokongan itu hadir kerana kerja yang dilakukan secara konsisten sebelum ini, bukan kerana retorik atau janji politik musim pilihan raya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:32 PM | Show all posts


PRIHATIN: Rina disenangi oleh penduduk di kawasan DUN Kukusan kerana prihatin dengan orang-orang tua.

Rina sering dilabel sebagai seorang pemimpin wanita yang lantang dan berani bersuara. Walaupun sikap tegasnya kadang kala menimbulkan persepsi berbeza, beliau melihat ia sebagai satu keperluan dalam mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.

Sebagai wanita dalam arena politik yang majoritinya didominasi lelaki, beliau mengakui berdepan cabaran terutama dari sudut pandangan skeptikal mengenai kemampuan dan pengalaman.

“Ada yang kata saya tidak tahu apa-apa. Tapi ada juga tokoh politik yang positif, memberi semangat dan berkongsi pengalaman,” katanya.

Baginya, sikap merendah diri dan kesediaan untuk terus belajar adalah kunci untuk bertahan dalam dunia politik yang dinamik.

Anak bongsu daripada sembilan beradik itu turut menegaskan bahawa didikan ibu banyak membentuk prinsip hidupnya terutama tentang kejujuran, integriti dan keberanian mempertahankan kebenaran.

“Hidup tanpa prinsip ibarat kehilangan arah. Kalau sesuatu itu benar, kita perlu tegakkan walaupun berdepan tentangan,” katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-2-2026 04:32 PM | Show all posts


RAMAH: Rina sentiasa hadir ke majlis-majlis yang dianjurkan pelbagai kaum di daerah Tawau.

Sebagai pembuat dasar dan pemimpin di peringkat negeri, Rina memberi tumpuan khusus kepada pemerkasaan wanita terutamanya ibu tunggal yang memerlukan sokongan ekonomi dan peluang menjana pendapatan.

Beliau memastikan ruang pekerjaan dan pembangunan kapasiti diberikan kepada wanita, termasuk melalui penempatan tenaga kerja di pejabat dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di bawah kendaliannya yang majoritinya terdiri daripada golongan wanita.

Menariknya, sebahagian daripada mereka bekerja dalam bidang yang tidak selari sepenuhnya dengan latar belakang pengajian, namun tetap diberi peluang untuk berkembang dan menimba pengalaman.

“Wanita perlu diberi ruang untuk maju dan berdikari. Kita bukan hanya bercakap soal bantuan, tetapi juga bagaimana membuka peluang jangka panjang,” katanya.

Dalam aspek pembangunan infrastruktur, beliau turut memperjuangkan naik taraf Jalan Utara di kawasannya yang sebelum ini sempit dan sering mengalami kesesakan.

Menurutnya, projek naik taraf berkenaan bakal memberi impak besar kepada kelancaran pergerakan penduduk dan pembangunan ekonomi setempat.

Isu lain yang turut diselesaikan ialah masalah pakaian seragam sekolah yang sebelum ini tidak memenuhi piawaian kualiti, selepas beliau menyuarakan keperluan pertukaran pembekal bagi memastikan kepentingan pelajar terpelihara.

Dalam masa sama, beliau turut mengusahakan penyusunan semula penempatan penjaja yang terkesan akibat projek pembangunan jalan bagi memastikan aktiviti perniagaan mereka tidak terjejas.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2026 06:39 AM GMT+8 , Processed in 1.609258 second(s), 33 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list