CIDB arah henti kerja binaan kes bangunan runtuh di Melaka
Laporan di BH Online pada 12 Oktober lalu.
KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeluarkan notis arahan pemberhentian kerja serta-merta ke atas satu projek pembinaan sebuah bangunan di daerah Melaka Tengah, susulan kejadian runtuhan Jumaat lalu yang mengakibatkan seorang pekerja asing terbunuh. Dalam satu kenyataan hari ini berkata, pasukan penguatkuasaan CIDB Melaka sudah pun turun ke lokasi runtuhan jam 10 pagi semalam untuk menjalankan siasatan. Katanya, siasatan awal CIDB mendapati kontraktor utama projek pembinaan terbabit berdaftar secara sah di bawah agensi kerajaan itu. Bagaimanapun, ketiga-tiga pekerja binaan warga asing yang terbabit dalam insiden itu termasuk yang maut tidak mempunyai perakuan pendaftaranpersonel binaan atau akreditasi pekerja daripada CIDB.
Pengarah CIDB Melaka, Mohd Rizal Norman berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci berhubung kes terbabit bagi membantu siasatan. "Disebabkan kes berkenaan menyebabkan kematian, ia akan disiasat di bawah Seksyen 34D, Akta 520, iaitu kematian yang disebabkan oleh pelanggaran kewajipan oleh kontraktor. "Sekiranya sabit kesalahan, kontraktor terbabit boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya. Dalam kejadian jam 6.15 petang di Jalan Bukit Senjuang, Bandar Hilir struktur utama bangunan runtuh ketika dalam pembinaan dan menyebabkan kematian seorang pekerja warga Bangladesh manakala dua lagi pekerja warga Pakistan parah. Ketiga-tiga mangsa berusia sekitar 20 hingga 40 tahun itu dilaporkan sedang membuka stagging konkrit sebelum semua mereka terperangkap di bawah runtuhan terbabit.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1310398/cidb-arah-henti-kerja-binaan-kes-bangunan-runtuh-di-melaka
|