CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 20-2-2026 09:00 AM | Show all posts
PPM peringkat daerah dan jawatankuasa penganjur digesa lebih proaktif kumpul dana
Februari 19, 2026, Khamis - 6:55pm



Yang Dipertua Majlis Pengakap Daerah Kuching Lee Kong Shin menyampaikan pingat peringatan kepada Mawan sambil disaksikan Kho (duduk, kiri) dan John (duduk, kanan).

KUCHING: Persatuan Pengakap Malaysia (PPM) peringkat daerah khasnya dan jawatankuasa penganjur digesa lebih proaktif mengumpul dana bagi menganjurkan lebih banyak program menghimpunkan pemimpin serta ahli PPM.

Penasihat di Jabatan Premier Sarawak yang juga Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom berkata penganjuran majlis perhimpunan mampu memperbaharui dan memperteguh perpaduan.

"Penglibatan pihak berkepentingan dalam penganjuran program juga penting. Ini dapat dilihat dalam penganjuran satu program di Bintulu baru-baru ini apabila kita berjaya mengatasi pertukaran tempat pada saat akhir akibat banjir.

"Ini adalah hasil ketekunan dan hubungan rapat ahli jawatankuasa dengan agensi-agensi lain," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Eventide Retreat Pengakap di Ibu Pejabat Pengakap di sini, baru-baru ini.

Mawan berkata beberapa acara penting bakal dianjurkan tahun ini, antaranya Jambori Pengakap Malaysia Ke-15 di Pulau Pinang (29 Ogos-4 September 2026) serta Kem Pengakap Marin dijadualkan pada Jun di Miri.

Mengakui terdapat petanda positif kemungkinan Majlis Pengakap Sarawak mendapat bantuan kerajaan atau institusi lain, beliau menegaskan sokongan luar harus melengkapi bukan menggantikan usaha dalaman.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan berkaitan jurang komunikasi dengan segelintir pemimpin dalam persatuan.

"Menyalahkan mana-mana pihak lain akan melemahkan organisasi. Mengambil tanggungjawab ke atas kesilapan akan menguatkan (organisasi).

"Justeru saya menyeru para pemimpin agar memelihara perpaduan dan mempamerkan kepimpinan yang berfikiran positif, khususnya di hadapan rakan kerjasama, pertubuhan luar," katanya.

Mengenai program itu, Mawan berkata program yang julung kali dianjurkan itu bukan sekadar program membina semangat atau 'retreat' tetapi satu ikrar untuk memperkukuhkan misi Pengakap bagi tahun-tahun mendatang.

"Masa bukan musuh kita, tetapi ia tidak akan menunggu sesiapa," katanya sambil menambah, walaupun masa masih panjang, ruang untuk melaksanakan program pengakap yang bermaknan sebenarnya terhad disebabkan peperiksaan sekolah, cuti umum dan komitmen lain.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap John Lim Boon Beng dalam ucapan aluannya berkata Pengakap tidak diukur semata-mata daripada jumlah keahliannya, lencana atau istiadat tetapi kualiti pengalaman yang diberikan kepada golongan muda.

"Maka, para pesuruhjaya digalakkan saling menyokong antara satu sama lain dan mempertahankan semangat persaudaraan yang sebenar," ujarnya.

Hadir sama, Naib Yang Dipertua Kho Ik Teck dan Mohadi Mobin, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Lu Cho Heng, Pengerusi Yayasan Pengakap Sarawak Arthur Le Cheng Chuan serta Pesuruhjaya Kehormat Kapten (B) Zainuddin Hamdan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-2-2026 09:01 AM | Show all posts
Sarawak komited capai sasaran lima juta pelancong
Februari 19, 2026, Khamis - 6:59pm

Tahun lalu Sarawak terima seramai 4,972,000 pelancong, kurang 28,000 untuk mencapai sasaran tersebut: Abdul Karim



Abdul Karim (dua kiri) menerima sumbangan buku daripada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak (BESarawak) Jason Tan untuk pelajar-pelajar sekolah di pedalaman. - Gambar UKAS

KUCHING: Sarawak kekal komited untuk mencapai sasaran ketibaan lima juta pelancong ke negeri ini selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tahun lalu Sarawak menerima seramai 4,972,000 pelancong, kurang 28,000 untuk mencapai sasaran tersebut.

“Saya berharap kita dapat capai sasaran tersebut pada tahun ini. Saya fikir kita mampu mencapainya tahun lepas.

“Kalau ada tambahan dua hari lagi, kita sudah capai sasaran tersebut,” katanya yang optimis tahun ini Sarawak akan berjaya mencapai sasaran lima juta ketibaan pelancong.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdul Karim dalam satu sidang media semalam berkata, sasaran lima juta ketibaan pelancong tahun ini diyakini dapat dicapai dengan adanya AirBorneo serta TMM26.

Selain itu katanya, pelbagai acara telah disusun sepanjang tahun ini bagi menarik ketibaan ramai pelancong ke negeri ini tahun ini.

“Mungkin tahun depan kita boleh sasarkan 5.5 juta atau 5.2 juta pelancong. Tetapi saya amat gembira melihat industri pelancongan Sarawak yang begitu rancak,” tambahnya.

Dalam pada itu tahun lepas, industri pelancongan Sarawak menjana RM12.6 bilion hasil pelancongan.

Menurut rekod, Brunei dan Indonesia mencatat jumlah ketibaan tertinggi, diikuti negara lain seperti Singapura, Filipina dan China.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 09:02 AM | Show all posts
Utamakan kebersihan, keselamatan makanan
Februari 19, 2026, Khamis - 7:47pm

Ia tidak boleh dikompromi dan mesti dipatuhi sepenuhnya oleh peniaga bazar Ramadan mengikut SOP yang ditetapkan



Dr Hazland memukul beduk sebagai simbolik perasmian pembukaan Bazar Ramadan Stutong di Kuching, hari ini. Turut kelihatan Wee (kanan) serta yang lain. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Kebersihan dan keselamatan makanan perlu menjadi keutamaan dalam kalangan peniaga bazar Ramadan bagi memastikan kesejahteraan pengguna sentiasa terpelihara.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata aspek tersebut tidak boleh dikompromi dan mesti dipatuhi sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita mesti belajar untuk meningkatkan kualiti pengurusan terutama sekali dari segi kebersihan dan keselamatan makanan. Itu sentiasa nombor satu.

“Pastikan semua persediaan makanan mengikut SOP sebaik-baiknya.

“Jika boleh, lakukan juga pemantauan termasuk pensampelan makanan secara rawak bagi memastikan makanan yang dijual berada pada tahap kebersihan dan keselamatan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Stutong yang dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng di sini, hari ini.



Dr Hazland turut melawat gerai serta membeli juadah di Bazar Ramadan Stutong hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

Menurutnya, selain aspek kebersihan, harga makanan juga perlu berpatutan dan mampu dibeli oleh masyarakat.

“Nombor dua ialah harga yang sepatutnya mampu dibayar oleh masyarakat. Dari segi kualiti pula, makanan mestilah sedap dan konsisten. Jangan rupa sahaja nampak sedap, tetapi bila dibawa pulang rasanya berbeza.

“Kalau orang beli sekali dan puas hati, tahun depan mereka akan beli lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan lokasi bazar yang strategik serta mesra pengguna termasuk kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi.

Menyentuh mengenai kadar sewa gerai, beliau berkata penganjur menetapkan kadar sewa hanya RM250 sebulan berbanding sesetengah lokasi lain yang mencecah RM410 atau lebih.

Bagaimanapun katanya, pihak penganjur tidak dapat memenuhi semua permohonan berikutan hanya 160 gerai disediakan setakat ini, namun terdapat potensi untuk diperluaskan pada masa akan datang.

Tambahnya, Bazar Ramadan Stutong mempunyai keunikan tersendiri kerana menghimpunkan penglibatan komuniti daripada pelbagai kaum.

“Di sini ada Melayu, Cina dan pelbagai bangsa lain. Itu keistimewaan Bazar Stutong berbanding tempat lain,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 09:05 AM | Show all posts
DBKU luluskan lebih 1,000 peniaga beroperasi sempena Ramadan
Februari 19, 2026, Khamis - 8:26pm



Ibrahim dan Hilmy (empat kiri) bersama tetamu memotong reben sebagai tanda perasmian Bazar Ramadan Satok petang tadi. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) meluluskan lebih 1,000 peniaga beroperasi di bawah tadbirannya sempena Ramadan tahun ini.

Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman berkata, sehingga petang tadi selain Bazar Ramadan Satok, DBKU turut meluluskan penganjuran bazar sama di 10 lokasi lain di kawasan pentadbirannya bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

"Antara lokasi bazar di bawah tadbiran DBKU ialah MetroCity, Bandar Baru Samariang, Matang dan beberapa kawasan lain menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 1,000 peniaga yang dibenarkan beroperasi pada Ramadan tahun ini dan kita yakin ia mencukupi untuk memenuhi keperluan warga kota mendapatkan juadah berbuka puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa ditemui sebelum upacara perasmian Bazar Ramadan Satok oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Dato Ibrahim Baki petang tadi.

Tambah Hilmy, bagi Bazar Ramadan Satok pihaknya menawarkan sebanyak 108 lot niaga dan antara lokasi 'panas' dikunjungi orang ramai untuk mendapatkan juadah berbuka setiap hari.

“Bazar Ramadan Satok kekal sebagai lokasi paling ikonik serta popular dalam kalangan penduduk setempat setiap kali Ramadan dan dikunjungi bukan sahaja oleh orang Muslim malah kaum lain di sekitar bandar raya ini," katanya.

“Selain penganjuran oleh DBKU, terdapat juga bazar yang dianjurkan pihak lain seperti di Kubah Ria serta lokasi-lokasi lain. Secara keseluruhan, lebih 800 ruang niaga tambahan disediakan oleh pihak penganjur lain.

Hilmy berkata, pihaknya turut membenarkan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara persendirian di kampung atau kawasan masing-masing namun mereka perlu bekerjasama dengan DBKU bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Sekiranya terdapat lokasi yang menyebabkan kesesakan jalan raya, pihak DBKU akan menasihatkan peniaga untuk berpindah ke kawasan yang lebih sesuai.

“Kita tidak menghentikan operasi mereka, tetapi hanya memindahkan bagi memastikan kelancaran lalu lintas,” katanya.

Beliau turut menegaskan aspek kebersihan menjadi keutamaan sepanjang penganjuran bazar Ramadan.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia akan menjalankan pemeriksaan seperti biasa dengan mengambil sampel makanan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kes keracunan makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menjelaskan penganjuran bazar Ramadan memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan tambahan sepanjang bulan puasa.

“Ini merupakan tradisi kita setiap tahun. Bazar Ramadan bukan sahaja memeriahkan suasana malah memberi peluang kepada peniaga kecil mencari rezeki sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di kawasan berkenaan.

Sementara itu, seramai 20 penerima golongan asnaf di bawah DUN Satok menerima sumbangan masing-masing hasil derma terkumpul Pengurusan Surau DBKU.

Bazar Ramadan Satok mula beroperasi 19 Februari hingga 20 Mac depan, dari jam 2 petang hingga 7 malam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 09:09 AM | Show all posts
Bazar Ramadan gamit selera orang ramai
Februari 19, 2026, Khamis - 9:31pm

Setiap kali Ramadan, bazar-bazar penuhi ceruk bandar serta kawasan, tawar pelbagai juadah berbuka puasa



Peniaga melakukan rutin menjual juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Satok petang tadi. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Apabila tiba bulan Ramadan maka bazar-bazar mula memenuhi setiap ceruk bandar besar dan kecil serta kawasan, menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa daripada lauk-pauk panas hinggalah beraneka kuih-muih tradisional dan moden.

Setiap lokasi lazimnya mempunyai keunikan tersendiri, justeru menjadi tumpuan seperti Bazar Ramadan Satok, Kuching yang membuka tirai operasinya hari ini.

Seorang pengunjung, Muhammad Adi, 46, menyatakan bahawa dia antara pengunjung setia Bazar Ramadan Satok setiap kali Ramadan tiba.

Beliau yang bekerja sendiri berkata, memilih bazar berkenaan kerana barangan yang dijual adalah lengkap dan berkualiti.

"Makanan dan minuman yang dijual bersih selain beraneka jenis, tinggal kita memilih sahaja," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Malah katanya, harga makanan dan minuman yang ditawarkan juga masih berpatutan dan mampu dibeli.

“Harganya ada yang RM5 dan RM6. Pada saya, masih boleh dibeli dan sesuai,” katanya sambil menambah, akan membeli juadah di bazar itu setiap hari untuk keluarganya.

Bagi Sharifah Mordiah, mereka sekeluarga juga antara pengunjung setia Bazar Ramadan Satok dan selalunya menghabiskan antara RM100 hingga RM200 setiap kali berbelanja untuk berbuka puasa.

"Biasanya kami sekeluarga lebih 20 orang akan berkumpul beramai-ramai untuk berbuka justeru memerlukan banyak makanan dan juadah," katanya.

“Oleh kerana hari ini hari pertama, kami rasa lebih baik beli barang. Kami berkumpul satu keluarga di rumah. Ramai adik-beradik semua berkumpul di rumah.

“Macam-macam hendak dibeli, ada kuih-muih, lauk-pauk dan mi. Rasanya hari ini memang banyak yang hendak dimasak,” katanya.

Ditanya mengenai perbandingan harga pada hari pertama tahun ini berbanding tahun lepas, beliau mengakui terdapat sedikit kenaikan, namun masih terkawal.

“Lebih kurang sahaja, mungkin ada kenaikan sedikit daripada tahun lepas.

“Ada kenaikan sikit, tetapi rasanya masih boleh berbelanja. Untuk hari-hari seterusnya pun rasanya masih boleh beli lagi,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap harga barangan keperluan kekal stabil bagi memastikan orang ramai tidak terbeban sepanjang tempoh persiapan tersebut.

Terdahulu, Bazar Ramadan Satok telah dibuka secara rasmi oleh Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan PETROS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki petang semalam.

Hadir sama ialah Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman serta para ketua seksyen DBKU.

Bazar Ramadan menyediakan 108 lot yang dibuka mulai semalam hingga 20 Mac, dari jam 2 petang hingga 7 malam sehingga hari terakhir bulan Ramadan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 09:12 AM | Show all posts
Dua acara tahunan semarak penyatuan masyarakat berbilang kaum di Durin
Februari 20, 2026, Jumaat - 8:18am



Teo (tujuh kanan) bersama yang lain ketika melakukan upacara 'Yee Sang' pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Durin, Sibu.

SIBU: Dua acara tahunan yang menjadi kebanggaan penduduk setempat iaitu Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Pesta Rakyat Durin terus memainkan peranan penting sebagai wahana penyatuan masyarakat berbilang kaum di kawasan ini.

Penasihat Persatuan Komuniti Durin, Datuk Teo Boon Siew berkata, kedua-dua program tersebut bukan sekadar acara perayaan, malah menjadi platform yang mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk selain merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

"Setiap tahun penganjuran kedua-dua acara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

"Penduduk bukan sahaja hadir memeriahkan majlis, malah bersama-sama berganding bahu dalam jawatankuasa penganjur. Semangat kebersamaan inilah yang menjadi kekuatan utama komuniti Durin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran bersama Persatuan Komuniti Durin dan Persatuan Belia Durin yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Durin, di sini, pada malam Selasa lalu.

Majlis berkenaan kini memasuki edisi ke-40 penganjurannya, sekali gus membuktikan komitmen berterusan masyarakat setempat dalam mengekalkan tradisi tersebut.

Mengimbau sejarah penganjuran, Teo berkata, lebih empat dekad lalu sekumpulan belia tempatan terdiri daripada Tan Pek Eng, Kong Siew Han, Philip Kayak, Teo Boon Huat serta beliau sendiri telah menggerakkan usaha menghimpunkan belia Durin untuk menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina.

"Walaupun ketika itu kami berdepan kekangan tenaga kerja dan sumber kewangan yang terhad, semangat anak muda mengatasi segala kekurangan dan majlis tetap dapat dilaksanakan dengan meriah," ujarnya.

Tambah beliau, sejak awal penganjuran, belia Durin memilih hari pertama Tahun Baharu Cina sebagai tarikh tetap sambutan, sekali gus menjadikannya tradisi yang dinanti-nantikan setiap tahun.



Teo (enam kanan) bersama yang lain sedang menyanyikan lagu beramai-ramai pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Durin, Sibu.

Pada ketika itu, katanya, Durin merupakan kawasan luar bandar yang agak terpencil dengan kemudahan pengangkutan yang terhad serta kekurangan aktiviti hiburan.

"Anak-anak perantau yang pulang ke kampung untuk menyambut perayaan kebanyakannya hanya menghabiskan masa di rumah sebelum kembali bekerja. Suasana perayaan kurang terasa dan agak hambar.

"Kami merasakan perlu ada satu platform untuk semua berkumpul, beramah mesra dan mengeratkan hubungan agar sambutan Tahun Baharu Cina lebih bermakna. Dari situlah tercetusnya idea menganjurkan majlis ini," jelasnya.

Menurut Teo, tujuan utama penganjuran adalah untuk membawa kegembiraan kepada penduduk serta menghidupkan suasana kampung ketika musim perayaan supaya masyarakat dapat berhimpun dan menikmati pelbagai pengisian bersama.

"Hampir setiap tahun pada hari pertama Tahun Baharu Cina, majlis ini diadakan tanpa gagal. Ia sentiasa mendapat sokongan masyarakat pelbagai kaum, malah pemimpin komuniti dan wakil rakyat turut hadir tanpa mengira keadaan cuaca. Ini sesuatu yang amat membanggakan," katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, meskipun sambutan tahun ini merupakan edisi ke-40, ia bukanlah genap 40 tahun penganjuran berikutan beberapa tahun terpaksa dihentikan susulan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, Teo turut menyentuh mengenai Pesta Rakyat Durin yang kini menjadi satu lagi acara besar komuniti setempat.

Menurutnya, pesta berkenaan pada asalnya dikenali sebagai Pesta Durin sebelum dijenamakan semula apabila skop penganjuran diperluaskan dan mendapat penyertaan lebih meluas.

"Penganjuran kini merangkumi pelbagai aktiviti seperti sukan air, perlumbaan bot, pertandingan sukan, pertandingan mewarna kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma serta persembahan kebudayaan termasuk tarian dan pertandingan ratu cantik," katanya.

Beliau menegaskan, kedua-dua acara tersebut digerakkan sepenuhnya oleh belia Durin.

Walaupun generasi perintis kini semakin berusia, semangat kesukarelawanan dan cintakan komuniti terus diwarisi oleh generasi muda.

"Saya yakin selagi semangat belia Durin terus subur, kedua-dua acara ini akan kekal dianjurkan dan menjadi lambang perpaduan serta kebanggaan masyarakat di sini," tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 20-2-2026 09:13 AM | Show all posts
Teresang Dayak Sarawak hulur bantuan kepada keluarga mendiang Jampo Langong
Februari 20, 2026, Jumaat - 9:01am



Oliver (kiri) dan William (kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada Joseph di Kanowit pada Rabu.

SIBU: Kesulitan keluarga mendiang Jampo Langong, 73, telah mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Masyarakat Iban Sibu (Teresang Dayak Sarawak) pada Rabu lalu.

Presidennya Robinson Corey berkata, mendiang Jampo telah meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar pada 8 Februari lalu.

"Kami sangat bersimpati dengan keluarga berkenaan serta mengambil inisiatif untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang sejajar dengan objektif penubuhan persatuan.

"Naib Pengerusi Teresang Dayak Sarawak Bahagian Kanowit Oliver Donatus bersama ahli William Linggang telah menghantar bantuan berupa barangan makanan kering dan minuman mineral ke kediaman anak sulung mendiang, Joseph Suai di Kanowit," katanya kepada pemberita, hari ini.

Robinson berkata, bantuan ini adalah untuk membantu keluarga tersebut mengadakan upacara 'Ngetas Ulit' (berakhirnya tempoh berkabung) pada 28 Februari ini.

"Kami amat bersimpati dengan keluarga mendiang dan berharap Joseph serta ahli keluarga mendiang yang lain tabah dengan pemergian ibunya itu," ujarnya.

Robinson juga berharap agar segala urusan keluarga mendiang dapat dipermudahkan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 09:14 AM | Show all posts
sbh - Hujan berterusan tahap buruk, waspada dijangka landa Sabah hari ini

swk - Teresang Dayak Sarawak hulur bantuan kepada keluarga mendiang Jampo Langong

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-2-2026 09:19 AM | Show all posts
Dua warga asing mengaku terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah dipenjara lima bulan
Februari 19, 2026, Khamis - 4:26pm



MIRI: Dua lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara.

Suhur dan Andri Irawan, masing-masing dari Sambas serta Medan, Indonesia telah didakwa di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut keterangan kes, Suhur didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine manakala Andri menggunakan dadah Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing pada jam 1.15 pagi, 12 Oktober 2025 dan jam 10 pagi, 13 November 2025 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Pertuduhan kes telah dibacakan secara berasingan kepada kedua-dua tertuduh.

Di hadapan mahkamah, kedua-dua tertuduh yang hadir tanpa diwakili peguam bela merayu hukuman ringan dengan alasan ini adalah kesalahan pertama mereka.

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Ashok Linggam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 09:20 AM | Show all posts
Wanita dipenjara enam bulan kerana menyalahgunakan dadah
Februari 19, 2026, Khamis - 4:24pm
  
KUCHING: Seorang wanita berusia 34 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan berkuat kuasa hari ini akibat menyalahgunakan Amphetamine dan Methamphetamine, empat tahun lalu.

Chang Siew Jun mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Syaheeqa Nazwa Radzali apabila didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama.

Seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 dan pengawasan serta-merta untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama tempoh dua tahun selesai menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching sekitar jam 8.35 malam pada 10 November 2022.

Tertuduh disahkan positif Amphetamine dan Methamphetamine, yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani sementara tertuduh tidak diwakili peguam.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Post time 20-2-2026 10:10 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 20-2-2026 10:11 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 10:48 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 20-2-2026 11:31 AM | Show all posts

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 20-2-2026 11:32 AM | Show all posts

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

Post time 20-2-2026 03:08 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 20-2-2026 10:37 PM | Show all posts
Nelayan hilang empat hari ditemui meninggal dunia
Februari 20, 2026, Jumaat - 9:23am

PAPAR: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti memukat sejak empat hari lalu ditemukan meninggal dunia kira-kira 71 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, pada Khamis.

Mangsa berusia 60 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan terdampar di Pantai Kampung Sangkabok sebelum penemuan berkenaan dimuat naik di laman sosial TikTok kira-kira jam 3.20 petang.

Ahli keluarga yang menyedari perkongsian berkenaan segera menghubungi pihak bomba dan identiti mangsa kemudiannya disahkan selepas proses pengecaman dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari keempat dimulakan pada jam 8.20 pagi.

Katanya, operasi pencarian dijalankan dari lokasi kejadian hingga ke kawasan persisiran pantai Kampung Bundusan dan Muara Pengalat sejauh empat kilometer dengan menggunakan bot.

“Sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mangsa, pasukan bomba menjalankan tindakan bagi mengesahkan identiti sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan secara rasmi pada jam 3.23 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, dalam kejadian Isnin lalu, mangsa yang dikenali sebagai Saimin Ongit dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama rakannya karam ketika memukat di kawasan Pantai Manis.

Rakannya bagaimanapun berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada hari kejadian sebelum operasi SAR diaktifkan bagi mengesan mangsa yang hilang.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 10:39 PM | Show all posts
Edited by Vellfire at 20-2-2026 10:46 PM

Jemaah meninggal dunia di Masjid Jamek Kg Likas
Februari 20, 2026, Jumaat - 9:37am

KOTA KINABALU: Seorang jemaah Masjid Jamek Kampung Likas meninggal dunia selepas selesai menunaikan solat Isyak di masjid berkenaan, malam tadi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi perkongsian di Facebook rasmi Masjid Jamek Kampung Likas yang menyatakan arwah adalah antara jemaah tetap yang tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pihak masjid merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah atas pemergiannya.

“Kami daripada pihak Masjid Jamek Kg Likas mengucapkan salam takziah kepada pihak keluarga atas pemergian ayahanda mereka.

“Arwah merupakan salah seorang jemaah yang rutin hariannya hadir ke masjid untuk menunaikan solat fardu.

“Pemergian almarhum ini adalah keuntungan yang besar menuju ke masjid, selepas menunaikan solat fardu Isyak pada malam Jumaat dan dalam bulan yang mulia, bulan Ramadan. Semoga Allah menerima segala amal kebaikannya. Al-Fatihah,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, kejadian berlaku pada malam Jumaat yang juga hari pertama umat Islam menunaikan ibadah puasa sempena Ramadan.

Perkongsian berkenaan turut dihujani ucapan takziah daripada orang ramai yang menyifatkan pemergian arwah sebagai sesuatu yang dicemburui kerana meninggal dunia di masjid selepas menunaikan solat, lebih-lebih lagi pada malam Jumaat dan dalam bulan Ramadan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 10:46 PM | Show all posts
Dua bayi perempuan ‘CNY’ lahir di Hospital Pakar KPJ Sabah
Februari 20, 2026, Jumaat - 10:47am



TAHNIAH: Kakitangan KPJ Sabah bersama keluarga bayi yang dilahirkan pada hari pertama CNY.

KOTA KINABALU: Suasana sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini di Hospital Pakar KPJ Sabah bertambah meriah apabila dua bayi perempuan selamat dilahirkan pada hari pertama dan kedua perayaan berkenaan.

Kelahiran dua bayi itu bukan sahaja membawa kegembiraan kepada keluarga masing-masing, malah turut menceriakan warga hospital yang bertugas sepanjang musim perayaan.

Menurut kenyataan KPJ Sabah, kedua-dua bayi berkenaan disambut oleh Pakar Perunding Residen Obstetrik dan Ginekologi, Dr Nuraini Sukarna dan Dr Norafidah Ahmad.

“Ketibaan bayi Tahun Baharu Cina ini melambangkan harapan, kemakmuran dan permulaan baharu sempena Tahun Kuda.

“Ia menjadikan sambutan kali ini lebih bermakna buat ibu bapa serta pasukan perubatan yang bertugas,” menurut kenyataan itu pada Khamis.



KPJ Sabah memaklumkan kedua-dua ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat serta sedang menerima rawatan dan pemantauan rapi selepas bersalin oleh pasukan jururawat materniti.

Dalam pada itu, pihak KPJ Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan materniti yang selamat, berkualiti tinggi dan penuh empati demi memastikan kesejahteraan ibu serta bayi sepanjang tempoh kehamilan sehingga proses kelahiran.

KPJ Sabah turut merakamkan ucapan tahniah kepada keluarga terlibat dan mendoakan agar kedua-dua bayi membesar dengan sihat, bahagia serta dilimpahi kemakmuran sepanjang hayat.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi hospital di www.kpjhealth.com.my/sabah


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 20-2-2026 10:47 PM | Show all posts
Mahkamah Sesyen bebaskan lelaki daripada tuduhan amang seksual
Februari 20, 2026, Jumaat - 1:08pm

KUDAT: Seorang lelaki dapat menarik nafas lega apabila dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan.

Hakim A. Akhiruddin@boy Acho melepaskan dan membebaskan Omar Amil yang diwakili peguam Rahimah Majid selepas kes berkenaan berakhir pada peringkat akhir pendakwaan.

Dalam penghakiman itu, beliau menyatakan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang berusia lapan tahun enam bulan, pada 30 Ogos 2023 jam 1.45 petang di sebuah rumah kedai tidak bernombor di sini.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Hukuman yang diperuntukkan penjara sehingga tempoh 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Tham Poyo Jin mewakili pihak pendakwaan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-2-2026 10:57 PM GMT+8 , Processed in 0.602561 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list