|
Suspek keempat kes tetak lelaki hingga mati ditahan
JASIN: Seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian tetak sehingga menyebabkan kematian pemandu jengkaut semalam ditahan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Ahmad Jamil Radzi, berkata lelaki berusia 21 tahun itu ditahan sepasukan polis kira-kira jam 11 malam di Jasin Bestari, di sini.
"Dengan tangkapan terbaru ini, ia menjadikan keseluruhan tangkapan seramai empat orang, mereka dipercayai terbabit dalam kejadian serangan yang berlaku.
"Suspek hari ini dibawa ke Mahkamah Majistret Jasin bagi permohonan reman dan perintah reman dibenarkan selama tujuh hari ke atas suspek bermula hari ini sehingga 2 September depan," katanya.
Ahmad Jamil berkata, usaha mengesan beberapa suspek yang lain masih giat dijalankan pasukan polis.
"Gerakan memburu beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu masih giat dilakukan.
"Daripada siasatan awal dilakukan, suspek dan mangsa saling mengenali bagaimana pun motif sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Media semalam melaporkan seorang pemandu jengkaut maut dipercayai ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut, di Rim, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kumpulan lelaki terbabit turut mengejar mangsa yang dalam perjalanan Hospital Jasin bagi menerima rawatan.
Mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|