|
Kerajaan lancar Program Anak Kita, atasi masalah keciciran pelajar
KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan program pemulihan pembelajaran bagi meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi Program Anak Kita yang bakal dilancarkan Jumaat ini.
Inisiatif dikelolakan dua kementerian itu dengan kerjasama Yayasan Hasanah bertujuan menangani masalah keciciran di negara ini dengan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seiring pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation).
MOF dalam kenyataan berkata, program pemulihan pembelajaran itu memberi tumpuan terhadap meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah, mempertingkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan.
"Program ini akan dikelolakan oleh MOF dan KPM dengan kerjasama Yayasan Hasanah," katanya.
Program pemulihan pembelajaran yang akan dilaksanakan merangkumi intervensi yang disasarkan termasuk kelas pemulihan, latihan guru dan alat pembelajaran digital.
Sementara itu, menurut kenyataan sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata inisiatif program itu adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih meluas untuk meningkatkan tahap pendidikan di negara ini.
Katanya, ia melalui penyelarasan agenda pendidikan global seperti Matlamat Pembangunan Lestari Empat (Pendidikan Berkualiti) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG4) dan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, kesejahteraan dan kreativiti.
"Berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan (LP) pada 2023, daripada 395,870 calon yang berdaftar, sejumlah 10,160 pelajar atau 2.65 peratus tidak hadir untuk peperiksaan ini.
"Daripada jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan pada tahun sama, 6.5 peratus daripada jumlah calon bersamaan dengan 25,735 pelajar tidak layak menerima sijil SPM mereka.
"KPM pada waktu ini sedang giat melaksanakan inisiatif reformasi pendidikan yang antara lain bertujuan untuk menangani isu keciciran pembelajaran.
"Ini dilaksanakan menerusi enam hala tuju utama termasuk penyelarasan semula sistem prasekolah dan intervensi kurikulum," katanya.
Sementara itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyifatkan pendidikan adalah asas kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset kepada kemakmuran ekonomi negara.
Katanya, memiliki kelayakan SPM adalah kritikal untuk memperkasakan belia dan memastikan penyertaan produktif dalam tenaga kerja.
"Kerajaan komited membina masyarakat yang berdaya saing dan berpengetahuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.
"Pendidikan yang baik dapat membina generasi yang mempunyai keperibadian baik dan kemahiran intelektual yang amat diperlukan untuk memacu ekonomi yang mampan seperti yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI.
"Melalui peningkatan pendidikan, rakyat mampu keluar dari kemelut kemiskinan sekali gus mengangkat lantai ekonomi keluarga bagi jangka masa panjang sejajar hasrat Kerajaan Malaysia dalam usaha pembasmian kemiskinan di negara ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... h-keciciran-pelajar |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|