Banjir: KPM beri jaminan aspek pendidikan pelajar tidak terabai
TANJONG KARANG: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan aspek pendidikan pelajar yang terkesan banjir tidak akan terabai dan mereka boleh meneruskan sesi persekolahan seperti biasa. Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, walaupun majoriti pelajar masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), namun proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh diteruskan dengan bantuan pasukan khas ke lokasi. "Saya ingin memberi jaminan bahawa pendidikan anak-anak tetap diteruskan walau dalam apa juga keadaan sekali pun, dan mereka tidak dapat meneruskan persekolahan seperti biasa. "KPM menyediakan dua pasukan untuk pendidikan iaitu Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST).
"Kedua-dua pasukan ini akan memastikan pendidikan di semua PPS berjalan dengan lancar dan anak-anak tidak ketinggalan pelajaran," katanya kepada media selepas merasmikan program Hab STEM di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Tanjong Karang, di sini. Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas. Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, sehingga hari ini seramai 677 pelajar masih berada di PPS dengan masing-masing 670 orang di Kedah dan tujuh orang di Perak. "Saya sendiri berkesempatan melawat ke beberapa PPS di Kedah semalam untuk meninjau sendiri operasi di institusi KPM yang dijadikan PPS serta keadaan murid dan keluarga mereka yang berada di sana," katanya. Katanya lagi, pelaksanaan PDPR bergantung kepada cuaca meskipun difahamkan terdapat beberapa PPS akan ditutup susulan keadaan banjir semakin surut dan pulih. "PdPR akan ditentukan dari semasa ke semasa bergantung kepada cuaca. Jadi anak-anak tidak akan dibiarkan begitu saja. "Konteks ini boleh digunakan dalam pelbagai keadaan dan ia bukan sesuatu yang asing. Boleh diteruskan dengan keupayaan dan kemampuan guru yang sudah terlatih," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1302412/banjir-kpm-beri-jaminan-aspek-pendidikan-pelajar-tidak-terabai
|