Belanjawan 2025: RM100 juta dana padanan bagi pembiayaan kewangan Islam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM100 juta dana padanan disediakan kerajaan bagi menggalakkan inovasi pembiayaan kewangan Islam baharu berasaskan nilai Islam supaya tidak lagi bergantung kepada produk patuh syariah yang mirip konvensional. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata antara pembiayaan yang diperintiskan termasuk berasaskan prinsip musharakah membabitkan perkongsian risiko dan keuntungan yang adil. "Kemudahan ini tertumpu kepada projek kewangan iklim termasuk projek keterjaminan makanan dan dilaksanakan dengan padanan dana daripada institusi perbankan Islam dan pelabur swasta," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini. Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, sejumlah RM10 juta turut diperuntukkan bagi menyokong usaha sama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan INCEIF University dalam meningkatkan lagi kefahaman serta pemakaian nilai universal ekonomi Islam.
Anwar berkata, kerajaan juga akan menyediakan geran padanan berjumlah RM20 juta melalui program i-TEKAD yang ditawarkan melalui 13 bank dan 70 rakan pelaksana. Katanya, darioada jumlah itu, RM5 juta adalah khusus untuk menyumbang kepada caruman insurans atau takaful bagi usahawan mikro. "Ini akan dipadankan dengan sumbangan syarikat insurans atau pengendali takaful untuk manfaat peniaga dan penjaja kecil, penghantar barang dan makanan serta peserta Ikhtiar Pendapatan Rakyat (IPR) yang rosak tanaman akibat bencana. "Kerajaan juga menyokong pelaburan berimpak sosial lain termasuk pembiayaan P2P patuh syariah dan pendanaan awam ekuiti di bawah program MyCIF dengan menyediakan geran padanan RM40 juta," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1312710/belanjawan-2025-rm100-juta-dana-padanan-bagi-pembiayaan-kewangan
|