|
Hari ini 84 tahun yang lalu, lukisan purba gua Lascaux ditemukan.
Pada hari itu, dekat kampung Montignac di barat daya Perancis, seorang remaja bernama Marcel Ravidat sedang bersiar-siar di kawasan hutan apabila anjingnya terjatuh ke dalam lubang. Lalu dipanggil 3 rakannya lagi untuk memeriksa lubang tersebut.
Mereka mengorek, meluaskan bukaan lubang itu lalu masuk ke dalamnya. Diterangi lampu sementara buatan sendiri, mereka menemukan sebuah rangkaian gua bawah tanah & pada dindingnya ada lukisan yang memaparkan beberapa jenis haiwan.
Esok harinya mereka kembali dengan lebih bersedia untuk meneroka gua itu lebih dalam. Teruja dengan penemuan itu, mereka kemudian memberitahunya kepada guru mereka, yang membawa kepada bermulanya kerja-kerja ekskavasi oleh pihak berkuasa.
Pertama kali dikaji oleh arkeologis Perancis Henri-Édouard-Prosper Breuil, gua Lascaux itu terdiri daripada ruang utama seluas 66 kaki lebar & 16 kaki tinggi serta beberapa ruang curam di mana setiap ruang itu ada lukisan pada dindingnya.
Lukisan-lukisan tersebut memaparkan imej haiwan yang cukup jelas & terperinci, antaranya kuda, rusa, lembu, kucing & makhluk mitos, juga satu imej sosok manusia berkepala burung. Keseluruhannya ada lebih 600 lukisan & hampir 1,500 ukiran.
Begitupun, usia sebenarnya tidak dapat dipastikan. Pentarikhan radiokarbon terhadap beberapa arang yang ditemukan memberitahu ianya berusia sekitar 17,000 tahun. Namun ada pakar lain yang yakin bahawa ia berusia lebih tua daripada itu.
Gua Lascaux dibuka untuk kunjungan umum pada 1948 namun ditutup pada 1963 ekoran cahaya buatan yang dibawa oleh sekitar 1,200 pengunjung setiap hari memudarkan warna terang pada lukisan serta menyebabkan pertumbuhan lumut.
Lascaux bersama 2 dozen gua berlukisan purba di sekitar lembah Vézère diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1979. Replika gua Lascaux dibuka berdekatan gua asal pada 1983.
Sumber: History, Britannica, World History Encyclopedia
 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|