KUALA LUMPUR: Harga emas pukal memiliki potensi melepasi paras tertinggi dalam sejarah kepada AS$2,200 (RM9,205.77) seauns atau RM324.72 segram tahun ini.
Potensi itu bergantung kepada perkembangan berhubung ketegangan geopolitik Russia-Ukraine, pasaran ekuiti dan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Harga emas melepasi paras AS$2,000 (RM8,368.88) seauns atau RM295.20 segram sebelum menghampiri paras kemuncak AS$2,074.88 (RM8,682.21) atau RM306.26 segram yang dicatatkan pada Ogos 2020 kepada AS$2,056.70 (RM8,606.14) atau RM303.57 pada 8 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn Bhd, Mohd Faizal Mohd Nor, berkata harga emas tertinggi yang mampu dicapai dalam tempoh terdekat akan banyak bergantung pada perkembangan lain yang berlaku ketika ini.
Katanya, antara pembolehubah yang perlu diperhatikan adalah sejauh mana ketegangan geopolitik Russia-Ukraine berpanjangan dan kesannya pada negara lain yang terbabit.
"Faktor lain adalah perkembangan pasaran ekuiti dan kadar faedah oleh Fed AS. Namun, saya yakin semua faktor di atas menyebelahi harga emas dalam jangka masa panjang," katanya ketika dihubungi BH.
Mohd Faizal berkata, melihat kepada perkembangan semasa, bekalan emas daripada pengeluar utama di Russia akan merosot disebabkan pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas negara itu.
Katanya, Russia memiliki hampir 10 peratus pengeluar emas yang diakreditasi oleh London Bullion Market Association (LBMA), pertubuhan yang mewakili pengawal selia global logam berharga paling berpengaruh di dunia.
"Ditambah pula dengan kadar inflasi di AS ketika ini yang berada pada tahap tertinggi dalam tempoh 40 tahun, saya berpendapat paras AS$2,070 (RM8,661.79) seauns mampu dilepasi pada bila-bila masa.
"Ketika, ini bukan hanya syarikat Russia, bahkan syarikat negara lain yang berurusan dengan syarikat Russia juga ditekan dengan pelbagai sekatan.
"Ketidaktentuan ini sudah tentu memberi tekanan pada pasaran ekuiti. Kesannya, permintaan terhadap kelas aset yang dianggap sebagai aset selamat seperti emas akan melonjak," katanya.
Beliau menjelaskan, harga emas sentiasa mengalami turun naik dalam jangka pendek, namun untuk jangka masa panjang, ia berkait secara langsung dengan bekalan mata wang dalam sesebuah ekonomi.
"Umum mengetahui hampir semua negara di dunia mengembangkan bekalan mata wang pada setiap masa, sama ada melalui dasar monetari kerajaan atau penciptaan kredit oleh bank komersial.
"Bekalan mata wang yang sentiasa berkembang ini menyebabkan mata wang sedia ada dalam ekonomi mengalami penyusutan nilai secara berterusan. Di sinilah uniknya peranan emas dalam mengimbangi keadaan ini.
"Melihat pada senario ini yang tidak berubah sejak mata wang negara dunia diapungkan, saya yakin harga emas akan terus meningkat seiring dengan pengembangan bekalan mata wang ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kim Trading Venture Sdn Bhd, Liew Kim Fung, berkata harga emas yang kekal tinggi ketika ini menyaksikan pelabur meletakkan sasaran berikutnya, iaitu AS$2,100 (RM8,787.32) seauns dalam tempoh enam bulan akan datang.
"Pada masa ini, isu geopolitik Russia-Ukraine akan menjadi pendorong utama untuk harga emas melonjak ke paras kemuncaknya, iaitu AS$2,070 seauns.
"Selain itu, inflasi juga memainkan peranan penting dalam memacu harga emas terutama ketika harga minyak mentah dan minyak sawit mentah yang cukup tinggi pada masa ini.
"Emas adalah alat melindung nilai terhadap inflasi, justeru kita akan melihat kesinambungan peningkatan harga emas ketika ini," katanya.
Pada peringkat tempatan, katanya, penjualan dan gadaian barangan kemas lama melonjak ketara bagi membolehkan pemegang mengaut keuntungan lebih tinggi.
"Justeru, jualan barang kemas baharu semakin perlahan. Sudah tentu, ini masa terbaik kepada pelabur mengambil keuntungan yang baik kerana harga emas yang hampir ke paras kemuncak," katanya.
Peniaga emas dan Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn Bhd, Nik Mohd Haniff Nik Hamid pula berkata, sejak harga emas dalam trend menaik, didapati lebih ramai mengambil kesempatan menjual emas untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi, terutama dalam tiga minggu kebelakangan ini.
"Merchant Nine antara kedai yang membeli emas terpakai dengan harga tinggi. Kami menjangkakan trend menjual emas untuk tunai akan berterusan sehingga awal Ramadan," katanya.