Tazkirah Ringkas Keenam: Bersyukur Atas Nikmat Allah
ALHAMDULILLAH adalah ungkapan ringkas sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan. Sifat syukur berada pada tahap tertinggi kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur di atas semua anugerah diterima di dunia ini. Allah mengingatkan kita dalam firmanNya:
قُلْ هُوَ الَّذِي أَنْشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۖ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ Katakanlah (wahai Muhammad):Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur [al-Mulk 23]
Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebutkan: Sedikit sekali ketiga-tiga nikmat ini iaitu penglihatan, pendengaran dan hati digunakan untuk melaksanakan ketaatan, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan Allah SWT sebagai tanda bersyukur.
Dalam Hilyatul Auliya' menyebutkan: كل نعمة لا تقرب من الله عز وجل، فهي بلية. Setiap nikmat yang tidak digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT itu hanyalah musibah.
Justeru menjadi kewajipan bagi setiap hamba Allah untuk bersyukur atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan sama ada nikmat pendengaran, penglihatan dan hati agar sentiasa taat dan menjauhi dosa serta maksiat.
Perlu diingat semua anggota ini iaitu pendengaran, penglihatan serta hati akan ditanya di hadapan Allah kelak. Firman Allah SWT:
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.
|