Baik Punya Ah Long inspirasi filem P Ramlee
![](https://i.postimg.cc/TPJSrq5q/Whats-App-Image-2024-09-18-at-14.webp)
KUALA LUMPUR: Selepas tiga hari ditayangkan, filem Baik Punya Ah Long arahan Datuk Afdlin Shauki berjaya meraih kutipan RM1 juta. Ia membuktikan gandingan duo komedi Malaysia, Jozan iaitu Zizan Razak dan Johan masih berbisa. Menghidupkan watak 'ah long' menjalankan perniagaan pinjaman wang dengan konsep urusan luar dari kebiasaan, Johan dan Zizan dikatakan gandingan paling serasi selepas watak asal sepatutnya dimainkan oleh pelawak, Allahyarham Din Beramboi dan sutradara sendiri, Afdlin. Afdlin berkata, skrip Baik Punya Ah Long ditulis ketika Allahyarham Din Beramboi masih hidup.
"Sepatutnya saya menjayakan watak utama bersama arwah, tapi dia terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi. Saya juga berasakan tidak sesuai untuk saya pikul watak ini kerana melihat kepada faktor usia. "Saya rasa tiada gandingan paling bagus untuk menjayakan watak ini melainkan duo popular, Johan dan Zizan. Saya perhatikan mereka sejak awal sehingga menjadi 'superstar'. "Alhamdulillah, mereka bersetuju membawakan watak utama. Ia membuatkan saya lebih teruja untuk meneruskannya. Saya hanya mahu menghasilkan filem menghiburkan orang ramai. "Ia disebabkan kita pernah dalam keadaan murung kerana berdepan dengan COVID-19," katanya yang ditemui BH Online pada sidang media dan tayangan eksklusif filem Baik Punya Ah Long di GSC Mid Valley, baru-baru ini. Berkongsi lanjut, Afdlin berkata, dia mendapat inspirasi menyelitkan elemen muzikal dalam Baik Punya Ah Long selepas menonton filem karya Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee. "Saya selalu layan filem P Ramlee bila terperangkap di rumah ketika fasa COVID-19. Saya layan filem Pendekar Bujang Lapok yang banyak nyanyian. Jadi, saya terfikir alangkah seronoknya kalau dapat lihat filem seperti ini lagi. "Filem memiliki jalan cerita menarik dengan selingan lagu dan tarian. Jadi, filem ini saya mendapat inspirasi daripada Allahyarham P Ramlee. "Pada awalnya filem ini hanyalah komedi biasa, tapi saya selitkan elemen muzikal. Ia juga mengimbas semula Jozan di pentas lawak dan membuat persembahan bertemakan muzikal," katanya.
Afdlin berkata, dia seronok menjayakan filem itu meskipun berhadapan dengan kesukaran berikutan penggambaran dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). "Pembabitan Allahyarham Adibah Noor dan Adlin Aman Ramli menjadikan filem ini lebih menarik. Seronok bekerja dengan rakan baik, kami gembira menjayakan filem ini walaupun berdepan banyak kekangan akibat COVID-19," katanya. Tambah Afdlin, dia kembali menghasilkan filem Baik Punya Ah Long selepas kali terakhir mengarahkan filem Papadom 2 pada 2013. "Sebenarnya, saya berehat lama selepas filem Papadom 2 untuk fokus dengan program Super Spontan selama lapan tahun," katanya. Baik Punya Ah Long terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Petra Vision Works dan Golden Screen Cinemas menemui penonton di pawagam sejak 12 September lalu. Ia dibintangi oleh Liyana Jasmay, Mia Sara Shauki, Chew Kin Wah, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Carmen Soo, Aziz M Osman, Shashic Iewan, Anas Ridzuan, Ileana Matin Shauki, Riezman Khuzaimi, Nizam Jentik-Jentik, Sid Mahmud, Sanjna Suri, Sazali Abd Samad dan ramai lagi. Menggunakan tagline 'Semua Boleh Settle', filem Baik Punya Ah Long turut mempertaruhkan 18 lagu dinyanyikan oleh barisan pelakon.
https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2024/09/1299883/baik-punya-ah-long-inspirasi-filem-p-ramlee
|