Masih segar dalam kotak memorinya ketika Arisha dilihat menahan kesakitan sewaktu mereka bersiar-siar di taman dan ketika itu dia sedang membawa ais krim yang dipesan Arisha. Terus saja Arisha dibawa ke klinik. Panik dan cemas melihat keadaan Arisha yang begitu menahan kesakitan. Lama dia mundar mandir di luar bilik rawatan bila doktor menyuruhnya menunggu di luar saja. Ya..masih dia ingat..
"Doktor..kenapa dengan isteri saya? Dia sakit nak bersalin ke?" Conan pantas saja bertanya doktor sebaik mendengar seorang pembantu klinik menyuruhnya masuk semula.
"Dia tak apa-apa tapi saya rasa elok dirujuk pada hospital besar. Ni..surat rujukan dari saya." Sambil menghulur sepucuk surat yang sudah siap ditaip dan bertandatangan, doktor wanita muda itu berkata.
Surat bertukar tangan.Conan mula membaca ayat demi ayat. Lantas dia mengangkat muka dengan wajah berkerut seribu. "Apa maksud doktor?"
"Err...abang..tak ada apa. Arisha tak boleh bersalin normal. Itu saja. Kena bedah.." Cepat saja Arisha mencelah.
Conan masih tidak puas hati namun dia akur bila Arisha terus saja mengajaknya pulang setelah membayar semua ubat. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, Arisha hanya diam dan dia tunduk.Sesekali dia mengangkat muka dan memandang ke arah luar cermin tingkap kereta. Melepaskan pandang ke arah itu.
"Arisha...kenapa ni?" Conan sedar, Arisha seperti merahsiakan sesuatu darinya. Arisha sedikitpun tidak menjawab, dia hanya mengukir senyum sambil menggeleng.
Sejak itu, Arisha sering saja sakit-sakit dan dia cuba bersikap biasa di depan keluarga tambah lagi di depan Nayla dan nenek. Malah Arisha dilihat sering bangun sepertiga malam untuk bertahajjud. Pernah pada satu malam, dia tidak dapat melelapkan mata dan masa itulah telingannya mendengar rintihan pilu dan doa hiba mengadu pada Allah. Arisha menangis dalam doanya pada yang maha kuasa. Terkesima ketika itu. Ya...perubahan sikap Arisha yang semakin ketara. Keadaan itu berlanjutan sehinggalah tiba masanya Arisha bersalin dan dimasukkan ke bilik bedah. Wajah comel bayi yang baru dilahirkan sungguh membuatnya merasa bahagia dan sungguh berterima kasih pada Allah dan Arisha yang telah bertarung nyawa demi melahirkan seorang insan ke dunia.
Bermulalah episod duka selepas itu. Arisha semakin lemah dan pucat. Seminggu selepas Aishah dilahirkan, Arisha mula menyusukan bayi mereka. Tampak bahagia di wajah pucat Arisha mengusap lembut pipi dan rambut Aishah ketika itu. Seminggu selepas itu, kesihatan Arisha sudah semakin merosot. Tambah terkejut bila Conan menemui beberapa dokumen perubatan Arisha. Terus saja dia berjumpa dengan doktor yang merawat Arisha. Menurut doktor itu, Arisha dikesan mengidap kanser tahap kedua ketika itu kerana tiada simptom dapat dikesan pada peringkat awal. Kanser ovari itu dikesan bila Arisha mula merasa sakit belakang, nyeri pada pinggang dan perut dan sering juga merasa kembung di bahagian perut dan keadaan itu bertambah teruk bila rasa sakit belakangnya semakin ketara. Kanser Epithelial yang dikesan doktor yang bermula di permukaan ovari sudah merebak ke anggota lain selepas Arisha disahkan hamil. Malah doktor sudah menasihati Arisha supaya tidak dibenarkan hamil kerana ia membuatkan sel-sel tumor akan lebih aktif. Ternyata Arisha beegitu degil. Dia ingin meneruskan kehamilannya bila kanser itu dikesan sudah berada di tahap tiga pada awal kehamilannya. Terduduk dia bila dapat tahu semua itu. Arisha dikesan kanser ovari sejak dua tahun lalu. Bermakna, sebelum mereka bernikah lagi dan bermakna juga sebelum dia dan Nicki kenal Arisha lagi. Masih terngiang-ngiang kata-kata Arisha seminggu sebelum menghembuskan nafas terakhir.
"Arisha gembira dapat melahirkan zuriat untuk abang..didiklah anak kita dengan baik bang. Arisha cintakan abang...ampunkan Arisha bang..halalkan makan minum.."
Conan mengesat air mata yang tumpah. Dia pandang ke arah pintu bila mendengar pintu diketuk dan melangkah perlahan ke arah pintu. Sudah tersenyum Nayla di situ sebaik pintu dibuka. "Ya..ada apa Nay?"
"Tadi ayah kau ada beritahu aku pasal hal meminang tu. Aku akan tolong kau. Hujung minggu ni, kita kena pergi shopping untuk barang hantaran sikit. Kau ada masa tak?" Tanya Nayla.
Conan mengangguk perlahan. Dia senyum melihat Nayla yang sudah banyak berubah. Kalau dulu rambutnya suka ditocang dan diselitkan dalam topi tetapi kini sudah bertudung litup malah jika dia bermalam di rumah nenek Qasidah, Nayla akan menjaga batas aurat. Pintu ditutup semula setelah Nayla berlalu pergi dari situ.
KERETA meluncur laju ke sebuah pusat beli belah terkenal di Kuala Lumpur. Conan bersama Nayla dan membawa sekali anak perempuannya, Aishah mereka mula melihat-lihat barang untuk dibuat hantaran. Dari satu kedai ke satu kedai. Minyak wangi, kain pasang, telekung, tas tangan dan beberapa barangan lain.
"Nay...aku rasa dah banyak ni. Aku tahu taste Ayla. Dia tak suka membazir.." Conan melihat beg kertas dan beg plastik yang mengandungi barang-barang tadi. Beria Nayla membeli semua itu walau dengan persetujuannya juga.
"Ala..masa nilah kau kena tunjuk pada Ayla. Tengok dulu tu, arwah Malik hargai Ayla tu dengan majlis resepsi penuh gemilang tapi yalah...tiada siapa yang dapat menghalang ketentuan Allah.." Nayla semakin perlahan suaranya.
"Aku bukan arwah Malik Nay. Aku lebih kenal Aylanins tu. Dia suka sederhana saja. Dahlah tu. Cukuplah tu. Jom kita ke medan selera.. makan,lepas tu kita ke taman permainan kejap boleh? Aku kesian kat Chah ni...dari tadi duk jeling permainan kat sana tu.." Conan muncungkan mulut ke arah satu taman permainan yang disediakan untuk kanak-kanak.
Nayla tanpa banyak soal hanya mengangguk setuju. Dia bersama Conan kemudiannya beriringan ke medan selera untuk mengisi perut. Nayla menunggu di situ sambil meriba Aishah yang sudah mula lasak. Tidak diam dari tadi. Barangan yang dibeli tadi pula diletakkan di tepi kerusi. Dia intai kelibat Conan yang sudah menuju ke salah satu gerai di situ. Tadi dia sudah memesan mee hailam saja. Conan sudah kembali dengan dua mangkuk mee hailam.
"Eh..kau pun makan mee hailam juga ke?" Nayla sengih.
"Senang...malas aku nak beratur kat gerai lain. Aku kesian tengok kau layan Chah ni. Chah dah makin lasak tu.." Sengih Conan, dia ambil Aishah dari pangkuan Nayla dan nasi bubur yang turut dibeli tadi disuap ke mulut Aishah. Seronok melihat anak perempuannya begitu selera makan nasi bubur.
Nayla pula usai makan, dia minta diri ke bilik air. Conan pula masih melayan anak perempuannya yang sudah sendawa tadi. Sambil itu, dia mula makan mee hailam yang dibeli tadi. Sesekali dia melihat sekitar medan selera itu, penuh sesak dengan pengunjung. Memang jika hujung minggu saja, pusat beli belah itu akan sentiasa sesak dan penuh. Namun matanya tertancap pada seseorang yang sedang bergelak ketawa bersama dua orang perempuan lain tidak jauh dari mejanya.
"Ayla.." Terkeluar nama Aylanins saat terpandang oleh matanya. Jelas Aylanins dan kawan-kawannya sedang menuju ke medan selera.
Kelihatan Aylanins masih lagi tidak perasan kehadirannya di situ walaupun jaraknya dengan Aylanins sudah hampir satu langkah.
"Ayla.." Conan menegur juga.
Aylanins tergamam. Dia menoleh ke kiri bila mendengar namanya dipanggil dan suara itu adalah suara yang cukup dikenalinya. "Nan..."
"Err...nak makan ke? Marilah join sekali.." Ajak Conan sambil turut sama melihat ke arah dua lagi perempuan yang bersama Aylanins tadi.
"Tak apalah. Terima kasih.." Aylanins menolak dengan baik. Dia pandang ke arah sepupunya yang sudah tersenyum-senyum di sebelahnya.
"Ayla..marilah. Kenapa? Tak sudi ke?" Conan merasa sikap Aylanins sudah berlainan.
"Err..comel anak awak Nan.. Arisha mana?" Aylanins pula menukar topik. Kedua sepupunya sudah pun duduk di meja lain. "Oh ya, awak yang hantar nota tu kan?"
"Err..ya..saya yang hantar. Ayla..kalau awak sudi, saya ingin sekali.."
"Cukup Nan! Saya bukan jenis perempuan yang porak perandakan rumahtangga orang lain. Awak dah bahagia dengan Arisha dan anak comel awak tu..antara kita dah lama berkubur Nan.." Aylanins masih berdiri di situ.
Conan mula berdiri. Aishah yang masih dalam dukungannya mula merengek. Ditepuk-tepuk Aishah. "Ayla..awak dah salah faham. Awak tak porak perandakan rumahtangga sesiapa. Saya hanya nak sambung semula kasih dan cinta saya pada awak dengan menikahi awak.."
"Senang awak bercakap..memang lelaki tak pernah cukup dengan seorang. Arisha tu perlukan awak Nan.Dia sudah beri awak anak. Hidup awak dah lengkap. Apa lagi yang awak nak?" Aylanins mengetap bibir. Kali ini sudah terasa sebak di dada. Matanya beralih pada seseorang yang sedang berjalan ke arahnya dan Conan.
"Saya pergi dulu...jagalah hati isteri awak.." Aylanins cuba menahan sebak. Langkahnya diatur ke meja sepupunya.
Conan tergamam di situ. Sudah jelas Aylanins masih tidak dapat menerimanya. Dia pandang Nayla yang sudah menapak ke arahnya.
"Nan..aku dah nampak semuanya. Aku akan jelaskan pada Aylanins.." Nayla pandang Aylanins yang sudah melabuhkan punggung di situ.
"Nay..tak payah. Kalau kau dah tak ada apa-apa lagi..kita balik.." Ajak Conan. Baginya biarlah Aylanins tahu sendiri. Tadi dia tidak berkesempatan menjelaskan perkara sebenar. Lantang saja mulut Aylanins melontar kata-kata.
"Tapi Nan, kau buat macam ni, lagilah Ayla benci kau nanti." Nayla tidak puas hati. Dia terus saja ke meja Aylanins.
Conan menggeleng. Dia terus saja capai semua beg dan mendukung erat Aishah. Laju saja kakinya melangkah keluar dari medan selera menuju ke tempat parkir kereta. Dia hantar teks mesej kepada Nayla menyatakan dia berada di situ. Setengah jam menunggu, akhirnya kelibat Nayla muncul juga di situ tetapi bukan dia seorang, Aylanins turut sama bersama Nayla. Terdiam Conan melihat Aylanins sudah berdiri di tepi kereta.
"Nan..saya minta maaf..saya tak pernah tahu yang Arisha sudah..." Aylanins tunduk sambil menyeka air mata.
"Sudahlah Ayla. Saya dah terima ketentuan Allah. Nay..jom balik.." Ajak Conan lagi. Dia sedar kini, Aylanins payah menerimanya. Jadi peminangannya nanti, dia tidak mengharapkan jawapan positif dari Aylanins.
Aylanins hanya memandang sayu Conan pergi dengan Nayla. Kereta itu sudah hilang dari pandangannya.
AYLANINS pulang dengan perasaan sebak dan keliru. Dia berkurung dalam bilik. Sepupunya pula sibuk mengetuk pintu biliknya. Dia biarkan saja mereka berdua itu melaung-laung di luar pintu. Fikirannya sudah bercelaru dan buntu. Sungguh dia tidak menduga apa yang didengarnya dari Nayla tadi. Ya..itu adalah Nayla bukan Arisha seperti yang disangkannya dulu. Nayla sudah berubah, sudah bertudung litup. Patutlah dia ingatkan itu adalah Arisha kerana rupa paras mereka benar-benar seiras. Kalau tidak Nayla datang dan jumpanya tadi, mati mati dia ingat itu adalah Arisha.
"Nan...maafkan aku. Aku tak tahu.." Aylanins menyeka air mata.
Dia menapak ke bilik air untuk solat Asar. Sudah hampir luput waktu. Usai solat, Aylanins kembali ke ruang tamu bersama berbual dengan sepupunya. Kelihatan mak dan makling juga turut sama berada di situ.
"Ayla..kau ok ke?" Tanya Aziah, anak kedua bongsu maklong.
"Ok..kenapa?" Aylanins duduk sebelah ibunya.
"Tadi tu..yang kau menonong masuk bilik dengan muka ketat tu kenapa? Siapa Nan? Siapa perempuan tadi tu?" Tanya Aziah lagi. Pelik melihat drama sebabak Aylanins di medan selera tadi.
"Tak ada siapa..."
"Nan? Ayla jumpa Nan ke tadi?" Puan Wahida pula mencelah.
"Kenapa mak?" Berkerut dahinya melihat reaksi ibunya yang tersengih-sengih di situ. Pelik pula rasanya.
"Tak ada apa. Oh ya, hari Sabtu nanti, ada orang datang masuk meminang. Ayla terima ya nak? Mak tak nak tengok Ayla sedih macam ni. Lupakanlah apa yang berlaku dulu tu..." Puan Wahida senyum lagi, sempat jeling kakak sulungnya di sebelah. Anak-anak buahnya juga sudah tersenyum-senyum.
"Hah?? Siapa mak??" Aylanins sudah menggelabah.
"Tunggu sajalah.." Puan Wahida bingkas dari duduknya dan segera ke bilik. Maghrib sudah masuk.
Aylanins pandang pula pada maklong dan sepupunya yang lain, mereka semua pun turut sama ke bilik masing-masing. "Siapa yang datang meminang aku?? Conan? Hish! Takkanlah...aku baru je jumpa dia kat medan selera tadi. Macam merajuk..."
Aylanins turut masuk ke biliknya. Sekejap lagi mereka berjemaah di ruang solat. Selepas itu makan malam bersama. Malam itu, Aylanins berkurung dalam bilik. Masa berbual di ruang tamu tadi, tidak ada seorang pun yang hendak beritahunya siapa yang datang meminang.
"Tak apalah..aku pasrah sajalah..." Aylanins menekup muka di lantai. Hati dan perasaannya masih tidak dapat melupakan Conan. Lagi sekali air mata berjurai membasahi pipi.
PUAN WAHIDA senyum melihat Aylanins sudah cantik dengan baju kurung moden berwarna kelabu disulami manik mutiara. Lega juga Aylanins tidak membantah peminangan ini. Tudung anaknya dikemaskan supaya tiada sehelai rambut pun terkeluar.
"Hmm..cantik anak mak.." Tubuh Aylanins dipeluk seketika.
"Mak..doakan kebahagiaan Ayla mak. Rasanya ni kali terakhir Ayla tunang dan nikah.." Aylanins mengucup tangan ibunya.
"Ayla..jangan cakap macam tu. InsyaAllah, kita mohon yang baik-baik dari Allah. Jangan sesekali putus asa dengan rahmatNya. Ingat tu." Titis jernih disapu lembut. "Dah...habis nanti mekap tu."
Aylanins menanti penuh debar dalam bilik. Ibunya sudah menapak ke ruang tamu. Dia jenguk ke luar tingkap. Dua buah kereta sudah menjalar masuk ke halaman rumahnya. Hatinya semakin berdebar. Jantung berdegup kencang. Kumat kamit Aylanins membaca apa -apa ayat yang dingatinya agar debaran di hati hilang. Jelas dia mendengar perbualan di ruang tamu. Nampaknya rombongan meminang sudah ada di ruang tamu sedang berbalas bual dengan mak dan maklong dan juga PakNgah. Malas dia hendak ke sana. Sepupunya sibuk saja mengajak. Ah..malas dia hendak ambil tahu.
"Ayla..."
Ayla mendongak. "Ya mak?"
"Puan...masuklah.." Puan Wahida memberi laluan.
Sebaik terpandang perempuan yang berselendang di belakang ibu, Aylanins terpaku. Kaget. Tidak berkutik di situ. Sudah terasa seluruh anggota badannya dipasung di lantai.
"Assalamualaikum Aylanins.." Puan Sharifah Qasidah mula melangkah masuk dan duduk di depan Aylanins yang bersimpuh di atas karpet di tepi katil. Nayla pula sudah duduk di sebelah kirinya.
"Wa..wa'alaikumussalam.." Aylanins masih terlopong di situ. Dia keliru. Kenapa nenek Arisha dan Nayla yang ada di depannya? Orang tua itu ada cucu lelaki ke?Ah pening!
"Err...Pu..Puan..saya tak faham.." Aylanins tarik tangannya semula bila Puan Sharifah Qasidah ingin menyarung cincin ke jari manisnya.
"Ayla..."
Mata Aylanins beralih ke arah suara di muka pintu biliknya. Tengku Saif??? Ayah Conan??? Jadi??? Dia kembali menoleh ke arah Puan Sharifah Qasidah, Nayla dan kemudian ibu, maklong dan sepupunya yang sudah sama-sama masuk ke bilik tadi.
"Ya Ayla..Nan yang masuk meminang.." Puan Wahida tersenyum manis.
"Meh..jari tu.." Sekali lagi Puan Sharifah Qasidah menarik lembut tangan Aylanins dan cincin disarung ke jari manis Aylanins. Dahi Aylanins dikucup lembut sebelum didakap erat.
Tergamam Aylanins di situ. Dia masih keliru sebenarnya. Dibiarkan saja tubuhnya dipeluk. Rasa seperti bermimpi. Benarkah? Mimpikah aku? Apa aku berada di alam lain??
"Ayla..ni nota dari Nan.." Nayla menghulur sekeping nota kepada Aylanins sebelum mereka semua berlalu pergi ke ruang tamu semula.
Perlahan Aylanins buka lipatan kertas itu. Terketar-ketar tangannya membaca sepotong ayat yang tertulis di atas sekeping kertas itu.