|
|
Peruntukan RTP tingkatkan kemudahan di BBP Sungai Merah
Februari 11, 2026, Rabu - 8:20pm

Tiang menandatangani buku pelawat semasa lawatan pemeriksaan ke BBP Sungai Merah, di Sibu hari ini.
SIBU: Peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah telah meningkatkan kemudahan di balai tersebut serta mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan kondusif untuk anggota.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 4 Sibu Andy Alie menzahirkan penghargaan atas dana RTP itu serta menyifatkannya sebagai cerminan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan anggota bomba.
“Peruntukan RTP ini bertujuan utama untuk menaik taraf kemudahan di balai. Kami berterima kasih atas keprihatinan terhadap kebajikan anggota kami.
“Dengan dana ini, kami dapat menyediakan tempat kerja yang lebih selamat dan kondusif untuk anggota,” katanya semasa lawatan pemeriksaan ke atas balai berkenaan hari ini.

Tiang meninjau kemudahan baharu di BBP Sungai Merah yang dinaik taraf melalui peruntukan RTP hari ini.
Andy berkata, persekitaran yang lebih baik bukan sahaja meningkatkan keselesaan, malah turut menyuntik semangat anggota bomba dalam melaksanakan tugas.
“Pada masa sama, ia meningkatkan lagi motivasi anggota kami untuk memberikan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan kepada masyarakat dengan lebih cekap dan bertanggungjawab,” tambahnya.
Lawatan pemeriksaan yang berlangsung jam 2.20 hingga 3.10 petang itu turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang bersama wakil Majlis Perbandaran Sibu (SMC).
Rombongan disambut anggota balai sebelum diberi taklimat mengenai projek RTP yang telah siap serta kesannya terhadap tahap kesiapsiagaan operasi.

Tiang (duduk tengah) bersama anggota dan pegawai semasa melakukan lawatan ke BBP Sungai Merah hari ini.
Antara kemudahan yang dinaik taraf adalah gelanggang sepak takraw, tandas, pantri, bilik kawalan, pejabat am dan tandas pejabat.
Andy menegaskan, penambahbaikan ini akan memperkukuh lagi kesiapsiagaan balai dalam menghadapi kecemasan di Sibu dan kawasan sekitarnya.
Lawatan berakhir dengan sesi menandatangani buku pelawat serta bergambar bersama anggota balai.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JBPM Sarawak anjur kempen keselamatan kebakaran sempena Tahun Baharu Cina
Februari 11, 2026, Rabu - 8:27pm

Anggota BBP Siburan menunjukkan demonstrasi tatacara penggunaan alat pemadam api semasa kempen tersebut.


KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak terus memperkukuh hubungan bersama komuniti menerusi penganjuran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Zon 2 di Eastern Mall Siburan hari ini.
Kempen tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Zon 2 JBPM Negeri Sarawak Gawai John.
Menurutnya, selain memperkukuh hubungan strategik antara JBPM dan komuniti setempat, program itu dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan kebakaran khususnya sepanjang musim perayaan.
Berdasarkan pemantauan jabatan katanya, risiko kebakaran lazimnya meningkat ketika musim perayaan.
“Ini terutamanya akibat aktiviti memasak tanpa pemantauan, penggunaan mercun dan bunga api, lilin serta colok, pemasangan lampu hiasan yang tidak selamat serta penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan.
“Situasi ini berpotensi mengundang bahaya sekiranya langkah keselamatan tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, JBPM Negeri Sarawak menasihati orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan kebakaran bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan gimik pelepasan (flag off) kenderaan bomba sebagai simbolik permulaan rondaan musim perayaan sempena Tahun Baharu Cina 2026.
Antara pengisian program ialah Persembahan Tarian Singa, agihan cenderamata Kempen Keselamatan Kebakaran, demonstrasi pemadaman kebakaran dapur serta demonstrasi tatacara penggunaan alat pemadam api yang dikendalikan oleh pegawai bertugas daripada BBP Siburan selain rondaan Menghapus Bahaya Kebakaran.
Program tersebut melibatkan pegawai dan anggota Pejabat Zon 2 JBPM Sarawak serta BBP Siburan, selain penyertaan kakitangan dan pengunjung Eastern Mall Siburan.
Turut hadir ialah Pengurus Eastern Mall Siburan Dayang Norazreen Abang Abdul Malek.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wanita tempatan berusia 49 tahun ditahan bersama dadah
Februari 11, 2026, Rabu - 8:31pm
KUCHING: Seorang wanita tempatan berusia 49 tahun ditahan bersama dadah jenis Methamphetamine dalam serbuan di kawasan Tabuan Jaya, di sini, pada petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sekitar jam 2.20 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan 18 peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki Methamphetamine dengan berat anggaran 5.07 gram.
“Nilai pasaran dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM557 dan saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif.
“Manakala semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
AZAM Sarawak anjur majlis jamuan teh dalam suasana sederhana, penuh kebersamaan
Februari 11, 2026, Rabu - 8:32pm

Ali bersama kakitangan AZAM Sarawak serta AZAM Young Souls semasa Majlis Hi-Tea Pra-Tahun Baharu Cina 2026 baru-baru ini.
KUCHING: AZAM Sarawak telah menganjurkan Majlis Hi-Tea Pra-Tahun Baharu Cina 2026 di Kompleks AZAM dalam suasana sederhana dan penuh kebersamaan, melibatkan warga kerja AZAM serta ahli AZAM Young Souls (AYS), baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak Ali Suhaili berkata, sambutan tersebut dianjurkan bukan semata-mata sebagai perayaan, tetapi sebagai platform memperkukuh nilai kebersamaan dan budaya organisasi.
“Bagi AZAM, perayaan tidak perlu diraikan secara besar-besaran. Yang lebih penting ialah nilai kebersamaan, saling menghormati dan kefahaman antara satu sama lain. Inilah asas yang membentuk organisasi yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya.
Sambutan itu diteruskan walaupun berskala kecil sebagai manifestasi komitmen AZAM Sarawak dalam mengekalkan nilai keterangkuman, kesederhanaan dan kebersamaan dalam organisasi.
Pendekatan itu mencerminkan prinsip AZAM bahawa kekuatan organisasi tidak diukur melalui kemeriahan acara tetapi melalui makna dan nilai yang dikongsi bersama.
Bagi ahli AZAM Young Souls (AYS), sambutan ini turut menjadi ruang pendedahan kepada budaya kerja AZAM yang menekankan disiplin, kesederhanaan dan kepimpinan melalui teladan.
AYS terus dibentuk sebagai nadi dan rakan strategik organisasi dalam mendekati serta berinteraksi dengan komuniti.
Bertemakan ‘Melangkah Pantas ke Hadapan dengan Progres Digital’, sambutan itu selari dengan kesiapsiagaan AZAM Sarawak dalam mendepani agenda digital negeri.
Seiring dengan itu, AZAM Sarawak kini bersedia menyokong penganjuran Program Sarawak Digital Champion anjuran Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) melalui pendekatan komunikasi dan penglibatan komuniti yang berfokus kepada bidang keusahawanan digital khususnya dalam kalangan belia tempatan.
Program Digital Champion Sarawak melibatkan 45 peserta yang akan kembali ke daerah masing-masing untuk mengadakan kelas dan sesi literasi digital di komuniti setempat.
Daripada keseluruhan penyertaan tersebut, seorang peserta terbaik akan dipilih dan dinobatkan sebagai Sarawak Digital Champion, sekali gus membawa pulang pengiktirafan serta ganjaran yang ditawarkan.
Sebagai rakan kolaboratif strategik, AZAM Sarawak akan memainkan peranan menyokong aspek komunikasi, penyebaran maklumat serta pendaftaran komuniti bagi memastikan penyertaan yang inklusif dan menyeluruh.
Komuniti yang berminat untuk menyertai program itu boleh menghubungi AZAM Sarawak bagi mendapatkan maklumat lanjut serta proses pendaftaran.
Seiring dengan simbolik Tahun Kuda yang melambangkan momentum dan ketahanan, AZAM Sarawak akan terus melaksanakan inisiatif berfokus, kolaboratif strategik dan pendekatan komunikasi partisipatif demi memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam era digital.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SUEF sumbang RM100,000 untuk sokong program pendidikan, kebajikan PERKATA
Februari 11, 2026, Rabu - 8:36pm

Abang Johari menyaksikan penyerahan replika cek daripada SUEF bagi membantu PERKATA pada majlis diadakan di pejabatnya di Kompleks Satria Pertiwi hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Dana Pendidikan Perpaduan Sarawak (SUEF) tampil dengan sumbangan berjumlah RM100,000 dalam membantu Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya dalam menyokong program-program pendidikan dan kebajikan persatuan berkenaan.
Pengerusi SUEF Datuk Richard Lee Say Tshin berkata, persatuan seperti PERKATA memerlukan lebih banyak pihak daripada sektor swasta tampil membantu dan memperkukuh sokongan terhadap inisiatif-inisiatif pendidikan yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut.
“Kami juga ingin menggalakkan sektor swasta tempatan menyokong PERKATA kerana mereka mengendalikan sebuah sekolah untuk kanak-kanak kurang upaya.
“PERKATA telah berkhidmat selama 54 tahun dan mereka bergantung kepada sumbangan untuk menyokong kanak-kanak kurang upaya dan ia merupakan satu kerja yang sangat mulia kerana bukan mudah, tetapi mereka telah bertahan selama 54 tahun.
"Oleh itu, sumbangan kecil kami diharap dapat turut menjadi perangsang kepada sektor swasta lain untuk tampil dengan sumbangan mereka,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini, hari ini.
Hadir sama pada kunjungan berkenaan ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.
Tambah beliau, SUEF setakat ini telah menyalurkan 31 biasiswa kepada anak Sarawak yang layak dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM1.4 juta.
Katanya lagi, sumbangan hari ini merupakan sumbangan kedua mereka kepada PERKATA atas usaha mereka dalam bidang pendidikan dan penjagaan kanak-kanak kurang upaya di kawasan Kuching.
Turut hadir Penasihat SUEF Dato Sri Richard Wee Liang Chiat dan Bendahari SUEF Datu Laura Lee Ngien Hion.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PBDS perkukuh akar umbi di Balleh, Bukit Goram
Februari 11, 2026, Rabu - 8:41pm

Leighton (duduk, empat kiri) bersama barisan jawatankuasa protem cawangan Balleh dan Bukit Goram.
MIRI: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) terus mempergiat usaha memperkukuh struktur organisasi dan penglibatan akar umbi apabila mengadakan sesi pertemuan bersama jawatankuasa protem cawangan Balleh dan Bukit Goram, baru-baru ini.
Program tersebut menyaksikan kepimpinan parti mengadakan sesi pertemuan bersama jawatankuasa baharu sebagai simbol sokongan dan komitmen dalam memperkasa gerak kerja parti di kawasan pedalaman Sarawak.
Cawangan protem Balleh diketuai Leighton Manjah selaku pengerusi tetap manakala cawangan protem Bukit Goram diterajui Naib Presiden PBDS Puso Bujang, demikian menurut kenyataan parti itu yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangannya Sigie Badang.
Pelantikan kedua-dua pemimpin itu katanya, mencerminkan kesungguhan PBDS dalam melahirkan barisan kepimpinan akar umbi yang berwibawa dan berintegriti khususnya dalam kalangan masyarakat Dayak.
Selain sesi pengukuhan organisasi, program tersebut turut disusuli dengan Dialog PBDS yang menghimpunkan ahli-ahli parti dari kedua-dua cawangan berkenaan.
Dialog berkenaan menjadi platform terbuka untuk membincangkan isu-isu semasa, mendapatkan maklum balas serta menyelami permasalahan yang dihadapi komuniti setempat.
“Pengerusi cawangan Machan serta timbalan pengerusi cawangan Katibas turut hadir memberi sokongan dan menyerlahkan semangat perpaduan, kerjasama serta solidariti yang semakin kukuh antara cawangan-cawangan PBDS di peringkat akar umbi,” menurut kenyataan parti itu lagi.
PBDS turut menegaskan komitmen berterusan untuk membina sebuah gerakan politik yang kukuh, berdisiplin dan berteraskan rakyat, dengan memperjuangkan suara, hak serta maruah masyarakat Dayak melalui penyertaan aktif akar umbi di seluruh negeri.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JPJ jalankan gotong-royong bersih tapak kebakaran di Kampung Jeriah
Februari 11, 2026, Rabu - 8:45pm

JPJ Sarawak bergotong-royong membersihkan tapak kebakaran di Kampung Jeriah, baru-baru ini bagi membantu keluarga Kelumai dan Dayang Rauyah yang terjejas.
SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak baru-baru ini melaksanakan program gotong-royong membersihkan tapak kebakaran di Kampung Jeriah, di sini bagi membantu dua keluarga yang kehilangan kediaman dalam insiden pada Oktober tahun lalu.
Kebakaran tersebut telah memusnahkan rumah milik Kelumai Suigem, 58, yang didiami bersama tiga anak dan empat cucu manakala jiran beliau, Dayang Rauyah Abang Hajimi turut tinggal bersama tiga anak dan tiga cucu.
Walaupun kehilangan tempat tinggal, kesemua penghuni dilaporkan selamat dalam tragedi berkenaan.
Program khidmat masyarakat itu disertai warga JPJ Cawangan Sibu dan Sarikei sebagai usaha meringankan beban mangsa serta memudahkan proses pembinaan semula kediaman.
Wakil keluarga, Aissammudin Ahmad menzahirkan penghargaan atas bantuan yang diberikan selepas kerja-kerja pembersihan tertangguh beberapa bulan.
“Kami amat berterima kasih kepada pihak JPJ kerana sudi turun padang membantu membersihkan tapak kebakaran.
“Dengan adanya sokongan ini, pembinaan semula rumah dapat dimulakan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menambah, semangat gotong-royong yang ditunjukkan memberi dorongan kepada keluarga mangsa untuk bangkit semula selepas kehilangan besar yang dialami.
Turut hadir ialah Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili, Ketua JPJ Sibu Jelapin Entalai, Ketua JPJ Sarikei Nurul Fairezzah Safri serta Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) JPJ Sibu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga asing antara dua ditahan disyaki terlibat seludup migran di Lubok Antu
Februari 12, 2026, Khamis - 6:54am

Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.-Gambar IPD Lubok Antu
LUBOK ANTU: Dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di Jalan Batu Kaya di sini, pada Rabu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook IPD Lubok Antu, tangkapan dilakukan sepasukan polis daripada Team Task Force IPD Lubok Antu terhadap seorang lelaki tempatan berusia 70an dan seorang lelaki warga asing berusia lewat 20an.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek warga asing berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selepas ujian saringan awal air kencing dijalankan.
“Polis turut merampas satu batang kunci kenderaan serta dua unit telefon bimbit dengan anggaran nilai rampasan kira-kira RM6,500.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, IPD Lubok Antu akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran serta pelanggaran undang-undang imigresen khususnya di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran diminta menyalurkan maklumat kepada IPD Lubok Antu di talian 083-584102.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Pemilihan JKKK di Kadamaian berjalan lancar: Ewon
swk - Warga asing antara dua ditahan disyaki terlibat seludup migran di Lubok Antu
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pang adakan sesi dialog semasa kunjungan ke IPD Bintulu
Februari 12, 2026, Khamis - 9:17am

Pang (kiri) berdialog dengan Supt Nixon dan pegawai-pegawai kanan polis Bintulu.
BINTULU: Beberapa isu berkaitan dengan kemudahan awam telah dibangkitkan dalam sesi dialog dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini semasa lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu (IPD) pada petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, isu-isu yang dibangkitkan ini bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya untuk mengetengahkan isu yang membawa kebimbangan masyarakat setempat dengan pendekatan terbaik.
"Kita perlu bekerjasama rapat dengan polis dan agensi berkaitan untuk mencari penyelesaian yang praktikal dan berkesan," katanya semasa berdialog dengan Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitenden Nixon Joshua Ali serta penyampaian sumbangan limau mandarin, buah kurma dan kalendar kepada polis Bintulu semalam.
Beliau berkata, antara isu-isu utama yang dibincangkan adalah mengenai kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak, kecurian dan laku musnah kemudahan awam seperti kecurian penutup longkang, kecurian kabel dan meter air serta peraturan untuk peniaga barang terpakai.
Meskipun penutup longkang yang hilang mungkin kelihatan kes kecil namun katanya, ia menimbulkan risiko keselamatan yang serius.
"Kecurian kabel dan meter air juga memberi kesan langsung kepada infrastruktur awam dan kehidupan seharian penduduk. Selagi ada permintaan, akan ada bekalannya," ujarnya.

Pang (lima kanan) menyampaikan sumbangan buah kurma, limau mandarin dan kalendar kepada pihak polis Bintulu.
Justeru katanya, untuk peniaga barang terpakai atau lusuh perlu diperkukuhkan peraturan di peringkat sumbernya dengan mengambil contoh sekiranya peniaga terbabit hendak membeli logam mereka perlu ada dokumentasi yang betul semasa pembelian.
Katanya, kaedah dokumentasi mungkin boleh membantu mengurangkan kes kecurian kabel dan sebagainya.
Berkenaan kesesakan lalu lintas pula Pang mencadangkan agar dipertingkatkan rondaan dan pengurusan trafik semasa waktu puncak dan menyemak semula prosedur penguatkuasaan untuk meminimumkan kesulitan awam.
Selain itu katanya, mungkin bandar Bintulu boleh dinaik taraf kepada Daerah Polis Tahap A untuk meningkatkan tenaga kerja dan sumber.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga diberkas disyaki curi meter paip air di Bintulu
Februari 12, 2026, Khamis - 9:21am
BINTULU: Tiga lelaki dicekup oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu susulan disyaki mencuri meter paip air di kawasan Bintulu sejak Disember tahun lepas (2025).
Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Nixon Joshua Ali berkata, tiga suspek lelaki itu ditangkap pada jam 2.30 pagi Rabu (11 Feb 2026) di kawasan bandar Bintulu.
"Siasatan lanjut telah dijalankan dan pasukan polis turut merampas semula sejumlah 17 unit meter paip air daripada suspek," katanya dalam kenyataan media di sini malam tadi.
Beliau berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu beliau menyeru orang ramai agar sentiasa melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis.
"Kerjasama komuniti dalam memantau kawasan sekitar adalah amat penting bagi mengurangkan risiko jenayah," tegasnya.

Antara barang kes yang dirampas daripada suspek.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek Jejambat Jalan Medan Jaya-Jalan Tun Hussein Onn dijangka siap Disember ini
Februari 12, 2026, Khamis - 9:29am

Pang (tengah) bersama pegawai-pegawai JKR dan kontraktor di bawah jejambat yang dalam pembinaan semasa meninjau tapak projek jejambat tersebut.
BINTULU: Projek Jejambat Jalan Medan Jaya-Jalan Tun Hussein Onn yang bernilai RM138 juta di kawasan Meridian Central Commercial Centre, Jalan Sultan Iskandar di sini dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, projek ini telah mencapai kemajuan lebih 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember tahun ini.
Dengan sambutan Tahun Baru Cina semakin hampir katanya, beliau telah mengarahkan semua agensi berkaitan untuk memperkukuhkan langkah keselamatan jalan raya dan memastikan papan tanda yang jelas di pasang di kawasan terbabit.
"Had laju semasa di kawasan itu ialah 50 kilometer sejam (km/j) dan dengan lencongan sementara dan lampu isyarat disediakan, pengguna jalan raya diingatkan untuk memandu berhati-hati dan sentiasa berwaspada," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke tapak pembinaan jejambat tersebut bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu dan kontraktor untuk menyemak kemajuan terkini dan keadaan lalu lintas di kawasan tersebut pada petang semalam.
Pada masa sama katanya, pasukan kontraktor akan bersiap sedia sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan jalan raya di kawasan itu kekal selamat dan boleh dilalui.
Menurut kontraktor katanya, jentera penurapan, trak pengangkut dan kakitangan kejuruteraan akan bersiap sedia sepanjang masa semasa perayaan bagi memastikan keadaan jalan di situ kekal selamat.
Meskipun tidak sempurna tegasnya, permukaan jalan sekurang-kurangnya berkeadaan baik dan tidak lubang.
"Sekiranya berlaku sebarang kerosakan jalan sehingga mengakibat kesesakan lalu lintas semasa cuti ini pihak berkuasa akan membaikinya dengan segera bagi mengelak bahaya berlarutan terhadap keselamatan orang awam," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Beberapa projek DUN Bukit Assek di bawah RMK-13 dilaksana secara berperingkat
Februari 12, 2026, Khamis - 9:33am

Chieng (duduk, lima kanan) merakam kenangan bersama pengamal media pada Malam Media anjuran Pusat Khidmat N.51 Bukit Assek, malam Rabu.
SIBU: Beberapa projek utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selain Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek akan dilaksanakan secara berperingkat tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek berkata, antara projek tersebut ialah jalan penghubung dari Bulatan Aman ke Jalan Tunku Abdul Rahman, Projek Tebatan Banjir Sibu Fasa 4, serta pelbagai projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam kawasan berkenaan.
“Pembangunan semula ini bertujuan memperbaiki persekitaran keseluruhan dan kemudahan awam, merangsang pertumbuhan komersial dan ekonomi, meningkatkan potensi pembangunan Bukit Assek, serta menyuntik nafas baharu kepada Sibu dalam usaha kita menghidupkan semula bandar ini.
“Ini merupakan usaha jangka panjang yang berteraskan rakyat dan memerlukan perancangan rapi, penyelarasan serta masa,” ujarnya pada Malam Media anjuran Pusat Khidmat N.51 Bukit Assek di Hotel Kingwood, malam Rabu.
Chieng berkata, pemahaman dan kepercayaan orang ramai amat penting bagi projek berskala sebegini.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak media agar membuat laporan yang seimbang dan berasaskan fakta bagi membantu masyarakat memahami objektif, perkembangan dan cabaran yang terlibat, di samping mencerminkan maklum balas tulen daripada orang ramai.
“Media memainkan peranan penting dalam masyarakat. Anda bukan sahaja melaporkan berita, malah membantu orang ramai memahami dasar, isu komuniti dan hala tuju pembangunan.
“Tugas anda memperkukuhkan ketelusan, akauntabiliti dan wacana awam yang bermaklumat,” jelasnya.
Sepanjang tahun lalu, katanya, Bukit Assek terus menunjukkan kemajuan yang konsisten dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan komuniti, penambahbaikan infrastruktur, pendidikan, penglibatan belia, kemudahan sukan serta inisiatif kebajikan sosial.
Tambahnya, segala usaha tersebut tidak akan lengkap tanpa laporan media yang adil, tepat dan bertanggungjawab.
Chieng berkata beliau akan terus memaklumkan perkembangan Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek kepada pihak media agar orang ramai sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai perkembangan di lapangan.
“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa sama ada pembangunan semula atau projek pembangunan lain, kita akan melaksanakannya secara bertanggungjawab dan berperingkat, dengan penglibatan sewajarnya serta ketelusan.
“Di samping inisiatif ini, saya kekal komited untuk berkhidmat kepada rakyat Bukit Assek dengan penuh keikhlasan, keterbukaan dan tanggungjawab,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Pemilihan JKKK di Kadamaian berjalan lancar: Ewon
swk - Beberapa projek DUN Bukit Assek di bawah RMK-13 dilaksana secara berperingkat
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki dipenjara 40 bulan gara-gara ceroboh rumah dengan niat mencuri
Februari 11, 2026, Rabu - 3:35pm
KUCHING: Padah memecah masuk sebuah rumah di Jalan Dagok di sini dengan niat untuk mencuri, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 40 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Ling Hui Chuan terhadap Mohd Nurazan Mohamad Marwan, 34, yang mengaku bersalah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 6 Februari 2026, sekitar jam 7.50 malam.
Fakta kes mendedahkan pemilik rumah iaitu pengadu lelaki yang tiba di rumah menyedari kerusi di luar dialihkan ke tingkap hadapan.
Pada masa yang sama, pengadu juga melihat seorang lelaki yang tidak dikenali (tertuduh) keluar dari tingkap lalu terjun ke luar pagar rumah.
Sehubungan itu, pengadu mengejar tertuduh dan berjaya menahannya.
Pengadu seterusnya menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah melakukan pecah rumah dengan memasuki bangunan milik pengadu tanpa tujuan yang sah.
Siasatan polis turut mendedahkan ujian saringan awal air kencing tertuduh adalah positif Amphetamine dan Methamphetamine.
Tertuduh tidak diwakili peguam. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tinggal lebih tempoh sah, wanita asing dipenjara dan diusir
Februari 11, 2026, Rabu - 3:07pm
MIRI: Padah tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah yang dibenarkan, seorang wanita warga asing dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan penghantaran pulang ke negara asalnya setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.
Tertuduh, Hesti Okta Fia Ningsih, 26, dari Lampong Sumatera, Indonesia, telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10, 000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditahan sekitar jam 11.40 pagi, 2 Februari lalu di sebuah lot di Blok 9, Pusat Komersial di sini untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati tertuduh merupakan warga negara Indonesia dan masih tinggal di negeri ini setelah pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh sah.
Berikutan itu, tertuduh kemudian ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Marvind Kaliyani di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|