PUSARA arwah Malik dibersihkan seketika. Rumput dan pokok menjalar dicabut dan dilonggok di tepi supaya senang nanti penjaga kubur mengambilnya. Tadi, usai bersedekah al fatihah dan surah yaasin, dia terus saja menjirus pusara.
"Abang...semoga abang ditempatkan di kalangan orang yang mendapat keampunan dariNYa.." Sebak suara Aylanins menatap pusara Malik yang sudah agak tidak berjaga. Kalau dulu sebelum dia ke Holand, kubur itu sentiasa bersih dan kemas.
Aylanins bangun perlahan. Dia capai jag yang diisi air tadi dan mula melangkah ke kereta. Sekali lagi dia menoleh ke arah pusara arwah suaminya. Sayu sebenarnya. Namun dia redha kerana semua manusia akan menuju ke situ juga akhirnya. Untuk apa bersedih hiba. Pintu kereta dibuka dan kereta dipandu ke Pasar Payang. Tadi, maklong sudah berpesan untuk membeli barang basah dan juga buah-buahan. Tengahari nanti, dia bersama sepupunya yang lain akan menyediakan juadah tengahari. Begitulah selalunya jika dia bertandang ke rumah maklong. Pasti disuruhnya anak dara memasak itu ini. Semua itu tidak sia-sia, dengan semua itu juga dia kini sudah pandai masak ikan singgang, nasi dagang dan juga kuih tradisi Terengganu, akok hijau.
KERETA diparkir di kawasan pasar. Aylanins mula menapak ke arah bahagian sayur dan barang kering dahulu. Dari satu gerai ke satu gerai dia melihat dan akan membeli barang yang dipesan. Usai membeli barangan kering, dia beralih pula ke bahagian buah-buahan. Dia kaku sejenak. Matanya tertumpu pada gerai keropok lekor yang pernah Conan kerja dulu. Sebak mula terasa. Cepat-cepat dia beralih ke gerai buah yang lain. Kalau boleh dia tidak mahu mengingati semua itu lagi.
"Eh..Ayla!"
Aylanins yang leka memilih buah mangga di situ berpaling ke arah suara yang menegurnya. Dia terkejut. Matanya beralih pula pada anak kecil dalam dukungan.
Nicki menguntum senyum. Tak sangka akan berjumpa Aylanins di Pasar Payang ini. Sudah nampak lain penampilan Aylanins kali ini. Baju kurung kain kapas bercorak bunga ros kecil-kecil cukup menarik di matanya. Tambah lagi dengan tudung lilit warna ungu tua. Rasanya Aylanins semakin manis dan cantik. Patutlah Conan sejak dulu sukakan Aylanins dan masih menunggu.
"Ayla bila datang Terengganu?" Nicki mula bertanya. Anak kecil berusia lapan bulan itu ditepuk-tepuk bila mula merengek.
"Err...dah dua hari. Awak? Buat apa kat sini..err..maksud saya kat Terengganu ni?" Aylanins pula bertanya. Pelik pula bertembung dengan Nicki di bumi Terengganu ini.
"Kan saya orang Kuala Berang. Nenek saya kat sana. Kami tengah bercuti sekarang ni.." Jawab Nicki pula sambil tersenyum.
"Kami? Maksud awak..awak dan Dr. Harlina dah nikah? Ni...anak korang ke?" Aylanins sudah teruja. Pipi tembam anak kecil itu dicubit lembut.
"Ya..ni anak kami..Asyraf namanya." Nicki cium pipi anak sulungnya.
"Mana Dr. Harlina?"
"Lina pergi beli ikan rasanya tadi..saya nampak awak kat sini, jadi saya datang sini. Dah lama balik dari Holand?" Tanya Nicki lagi, ramah.
Aylanins tergamam. "Macam mana awak tahu saya ke Holand?"
"Ala..benda macam ni nak sorok buat apa. Conan yang beritahu saya. Dia jumpa mak awak. Satu saja saya nak tanya, awak dah pengganti ke?" Jelas Nicki.
Aylanins sekali lagi terdiam. Jumpa mak aku? Buat apa?? "Kenapa?"
"Kalau tak ada, ada orang sedang tunggu awak. Oh ya..senang-senang datanglah rumah kami. Esok kami dah nak balik KL." Kata Nicki sebelum menapak ke bahagian barang basah.
Aylanins kaku di situ. Kata-kata Nicki tadi seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ada orang tunggu aku? Siapa? Takkan Conan? kan dia sudah bahagia dengan Arisha dan anak pun sudah ada. "Biul aku..buat apa nak fikir sangat."
Aylanins kembali memilih buah mangga dan selepas itu dia bergerak ke bahagian ikan dan ayam pula. Dia perlu pulang awal ke rumah. Tengahari nanti mereka sekeluarga akan menjamu selera beramai-ramai. Sudah lama tidak berkumpul ramai-ramai begitu. Bila semua ada, tentulah riuh rendah suasana nanti. Selama semingu itulah dia akan berseronok dengan sepupunya sebelum pulang ke Kuala Lumpur semula untuk bertugas sebagai pensyarah. Tidak sabar juga rasanya untuk mulakan tugas baru nanti.
DI KUALA LUMPUR, Conan masih sibuk dengan kerja pejabat. Dari semalam lagi dia seharian berada di pejabat menguruskan kertas kerja dan bajet untuk projek terbaru syarikatnya. Ayah pula sekali sekala datang menjenguk. Asyik memebelk fail kerja, fikirannya melayang pula pada pertemuan yang tidak disangka dengan Aylanins. Ya..Aylanins, cinta pertamanya yang tak akan pernah hilang dari kotak memorinya. Sengaja dia mengirim nota kecil itu tanpa munculkan diri. Sengaja dia ingin melihat reaksi Aylanins. Ternyata ada riak terkejut dan geram di wajahnya. Biarlah apa pun tanggapan Aylanins padanya, belum masanya dia berterus terang. Dia hanya menunggu masa yang sesuai saja. Sekarang ini Aylanins sudah pulang ke Malaysia. Mungkin seminggu dua lagi dia akan mulakan segalanya dengan lebih serius. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Apa pun, usaha itu perlu.
"Haih la..Ayla.." Conan senyum sendiri. Foto Arisha atas mejanya ditatap seketika. Sebak mula terasa. Arisha...telah melahirkan zuriat untuknya. Foto itu diletakkan semula dan dia kembali menyambung kerja.
Ralit memeriksa kerja kerja, tidak sedar waktu sudah menghampiri tengahari. Dia mula mengemas mejanya. Tengahari ini dia sudah berjanji dengan Ipo untuk makan bersama. Nicki pula sudah pulang ke Terengganu bersama isterinya.Selalunya mereka bertiga akan menghabiskan makan tengahari bersama di restoran yang dijanjikan.
Kereta dipandu ke restoran tidak jauh dari makmal tempat Ipo bekerja. Sengih melihat Ipo sudah menunggunya di restoran itu. Dia melangkah laju ke tempat Ipo dan sama -sama menikmati makanan tengahari dengan nasi campur yang berderet lauk- pauk atas meja.
"Nan..kau pasti ke Ayla tu akan terima kau semula?" Ipo mulakan bicara.
"Entahlah..aku harap dia terima tapi kalau dalam hati dia dah ada orang lain, aku akan undur diri. Dulu aku juga yang lukakan hati dia..sekarang ni kalau dia tolak aku, aku juga kena bersedia untuk dilukai.." Jawab Conan lemah. Dia sedar bukan mudah untuk memiliki Aylanins semula.
"Hmm...kau berdoalah. Apa yang kau beritahu aku dulu, mak Ayla cakap, Ayla tak ada sesiapa. Kau masih ada peluang Nan.." Ipo menyatakan sokongannya pada Conan.
"Tanya lagi. Pretty Sofea la! Semalam aku nampak dia kat cafe kopitiam dengan mak ayah dia kut.."Balas Conan.
"Kenapa dengan dia? Aku dah tak ada kena mengena dengan dia la Nan..." Ipo menjawab perlahan. Dia sudah penat mengejar gadis itu yang seperti tidak pernah sukakannya. Pertemuannya yang tidak dirancang di lapangan terbang dulu itu pun secara kebetulan saja. Entah-entah gadis itu sudah pun selamat menikah.
"Aku rasa..dia belum berpunya. Kalau dia dah ada suami, mesti suami dia ada sekali masa tu. Alah..tak rugi pun kau cuba sekali lagi." Conan sengih. Dia tahu sejak dulu Ipo sukakan Pretty Sofea.
Ipo diam saja. Dia habiskan teh ais dan mereka berdua mula beredar dari memandangkan waktu pun sudah pukul dua lebih. Mereka perlu masuk pejabat semula dan Ipo pula masuk ke makmal semula. Banyak lagi analisis yang perlu dilakukan.
PETANG itu, pulang dari makmal, Ipo mengambil keputusan berjoging di taman tasik. Itulah aktiviti hariannya jika otak berserabut dengan segala macam hal. Dengan beriadhah seperti itu, terasa tenang dan damai sambil melihat keindahan panorama di taman tasik. Penat berlari mengelilingi tasik, dia melabuhkan punggung di bangku sambil melihat-lihat sekitar situ.
"Eh...cantiknya.." Seekor kucing berbulu lebat warna kelabu sudah menggesel-gesel di kakinya.
Kucing itu diangkat dan diusap-usap. Sungguh jinak. Melihat kucing itu, teringat pula kucing yang pernah dihadiahkan pada Pretty Sofea dulu. Warnanya juga sama. Entah kucing siapa la yang hilang agaknya atau kucing ini sudah terlepas dari jagaan tuannya yang mungkin tidak sedar kehilangan kucingnya. Ipo pandang kiri kanan. Tiada sesiapa yang kelihatan sedang mencari sesuautu.
"Hmm..apa ni?"Ipo belek loket yang bersama loceng kecil itu di leher kucing tadi. Loket berbentuk hati itu diperhatikan seketika.
"Princess!! Princess!!"
Ipo melilau mencari arah suara. Jelas dia mendengar seseorang memanggil nama Princess. Dia sengih, puteri mana pulak yang dipanggil. Dia kembali mengusap kucing tadi.
"Princess! Princess!! Prin..."
Sekali lagi Ipo menoleh. Terpaku saat terpandang seseorang di tepi bangku. Mata saling bertentang. Gadis itu juga sudah terpempan di situ.
"Itu...itu Princess saya.." Tuding Pretty Sofea ke arah kucing dalam pelukan Ipo.
Ipo masih tergamam. Dia kemudian menghulurkan kucing kepada Pretty Sofea. "Maaf...kucing ni sesat agaknya.."
Kucing bertukar tangan."Tak apa...mungkin kucing tu cari tuan asalnya.."
"Jadi..kucing ni.." Ipo tidak habiskan ayatnya.
Pretty Sofea mengangguk sambil tersenyum. Tidak sangka juga dapat bertemu lagi lelaki itu di taman tasik ini. Harapannya lelaki itu sudi menyambung kembali kasih yang pernah ditolaknya dulu.
CONAN senyum. Panggilan dari Ipo tadi telah membuatnya tersengih sendiri. Baru saja hal Pretty dibualkan masa makan tengahari tadi, Ipo sudah bersua muka dengan gadis itu. "Ipo..Ipo..itulah jodoh namanya.."
Fail atas meja dikemaskan. Jam sudah melebihi enam setengah petang. Dia harus pulang segera ke rumah. Rindu pada Aishah. Sejak ada anak kecil, hatinya bagai ditarik-tarik untuk pulang awal tetapi kerja yang membataskan semua itu. Terpaksa dia selesaikan juga kerjanya. Hanya Aishah saja penawar hidupnya sekarang ini. Bergegas Conan melangkah keluar dari bilik pejabatnya.
"Nan..ayah nak cakap sekejap.." Tengku Saif muncul di muka pintu.
"Ada apa ayah?"
"Duduk dulu.."
Mereka berdua melabuhkan punggung di set sofa di luar bilik pejabat Conan. Tengku Saif pandang anak lelakinya yang sedang memandangnya tidak berkelip. Nafas dihela seketika.
"Nan...ayah minta maaf. Selama ni ayah hanya pentingkan diri sendiri. Sekarang ayah sedar, harta, keturunan dan darjat bukan penentu bahagia dan bukan menjamin hidup selesa. Ayah turut simpati pada apa yang berlaku. Itu sudah ketentuan Allah. Bulan depan ayah nak tunaikan umra, jadi..ayah harap sebelum ayah ke tanah suci, ayah nak tengok Nan bahagia..nikah lagi." Dengan nada sebak Tengku Saif meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Dia sedar dia sudah mengongkong hidup Conan selama ini.
"Alhamdulillah..saya doakan ayah selesa beribadat di sana. Pasal nikah lagi tu..insyaAllah saya akan usahakan ayah. Hanya satu saja saya minta dari ayah..restulah pernikahan saya ini jika ditakdirkan saya bertemu jodoh dengan Aylanins.." Jawab Conan penuh mengharap.
"Nan..maafkan ayah..maafkan ayah.." Lantas tubuh Conan dipeluk erat. Berjurai air mata lelakinya kali ini membasahi pipi.
Terpaku Conan bila dipeluk begitu oleh ayahnya. Pelukan itu dibalas juga dengan rasa sebak.
"Ayah akan pinangkan untuk kamu. Minggu depan ayah hantar rombongan meminang.." Tengku Saif mula mengukir senyum.
Tiada kata-kata yang terluah di bibir. Tubuh ayahnya dipeluk erat. Semakin erat dan kemas.
selama ni SR je dalam thread nih.. sebab betul betul baca tiap tiap komen setiap kali lepas entry nota kaki. gelak guling guling. tu lambat nak khatam tuh.
CONAN merasa lega bercampur gembira. Menitis air matanya saat mendengar kata-kata dari ayahnya tadi ketika di pejabat. Syukur ayah kini sudah dapat menerima Aylanins. Apa yang masih belum pasti ialah adakah Aylanins sudi menerimanya semula? Dia pandang Aishah yang lena di sebelahnya. Pipi anaknya dicium lembut sambil mengusap-usap rambut anak kecilnya. Kasihan pada Aishah, ibunya sudah pergi meninggalkan dunia ini ketika umurnya baru mencecah tiga bulan. Sedih, sebak dan segala perasaan menerjah ketika itu. Selepas pemergian Arisha buat selamanya, kelam kabut juga dia menguruskan Aishah, mujurlah ada Nayla dan nenek Qasidah yang tidak pernah merungut menguruskan Aishah. Hampir hilang arah seketika bila menyedari Arisha sudah tiada lagi di dunia ini. Tambah lagi Nayla dan nenek Qasidah. Setiap hari berduka. Sungguh mereka sekeluarga tidak menyangka akan menghadapi saat getir seperti itu.
Tanpa sedar, air mata menitis perlahan. Segera Conan menyeka. Melihat wajah Aishah yang masih tidak mengerti apa-apa itu cukup meruntun hatinya. Kehilangan ibu tanpa sempat mengenal dan memanggilnya mama. Arisha sempat memberi susu badan kepada Aishah hanya sekali sahaja sebelum jatuh sakit. Hanya Naylah yang selalu menguruskan Aishah.
"Chah...papa sayangkan Chah.." Kedua pipi anaknya yang berusia dua tahun setengah itu dicium lagi dan dibelai-belai.
Dia melangkah ke meja. Foto pernikahannya dengan Arisha ditatap seketika. Suka duka hidup bersama Arisha dari orang asing sehinggalah Arisha jatuh cinta padanya dulu. Selepas itu, mereka hidup seperti suami isteri yang lain dan akhirnya Aishah dilahirkan sehinggalah mereka dikejutkan dengan penyakit kanser ovari Arisha yang sudah berada di tahap empat. Ya...sebak..masih terbayang saat itu.
kesian conan, dahaga kasih sayang seorang isteri.
ni yang orang kata ikan di laut asam di darat, dalam periuk jugak diorang bertemu jadi ikan asam pedas.