|
|
Inisiatif melalui kerjasama dengan rakyat perkasa pembangunan: Pang
Februari 11, 2026, Rabu - 2:55pm

Pang (tiga kiri) berdialog dengan ahli Persatua Hakka Bintulu semalam.
BINTULU: Inisiatif melalui kerjasama dengan rakyat akan terus dilakukan untuk membawa pembangunan yang lebih baik bersama meningkatkan sumber pendapatan penduduk di bahagian ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, amat penting untuk mendengar secara langsung suara rakyat, memahami cabaran dihadapi dan bertukar pandangan tentang pembangunan masa depan bandar ini.
Katanya, maklum balas dan pandangan rakyat akan membantu pihaknya menambah baik dasar, perancangan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang disalurkan.
"Saya menghargai perbincangan yang membina dan akan bekerjasama rapat dengan rakyat serta agensi berkaitan untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan sekali gus memastikan penambahbaikan di lapangan," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama Persatuan Hakka Bintulu di pusat persatuan itu di sini, malam semalam.

Pang (duduk empat kanan) mengadakan sesi dialog dengan Persatuan Hakka Bintulu semalam.
Pang berkata, pihaknya menghargai ahli komuniti Hakka yang mengadakan perbincangan secara terus terang, terlibat langsung serta berkongsi bersama dalam membina komuniti yang lebih baik.
Ujarnya, sesi dialog tersebut memberi makna kepada persatuan itu untuk berinteraksi dengan pemimpin dan ahli komuniti mengenai isu-isu berkaitan pendidikan, infrastruktur, pengangkutan dan pelbagai perkara dalam komuniti.
"Saya telah bercakap dengan pengarah dan ahli persatuan ini serta mendengar suara mereka termasuk cadangan yang dibangkitkan," jelasnya.
Beliau berkata, antara isu tersebut ialah berkaitan sumber pendapatan, keselamatan tembok penahan perumahan dalam projek pembangunan, jalan berlubang, kekurangan papan tanda di lorong kediaman, penggunaan ruang parkir jangka panjang di pusat komersial serta kesan piawaian penguatkuasaan tidak konsisten terhadap premis makanan.
Katanya, isu-isu itu telah dibawa ke pengetahuan jabatan berkaitan dan maklumat berkaitan telah dicatat untuk tindakan susulan dan untuk langkah penambahbaikan lebih pantas dan berkesan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki disyaki salah guna dadah dicekup
Februari 11, 2026, Rabu - 2:58pm
MUKAH: Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran premis perniagaan di pekan Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dalam satu serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemukan satu keratan tiub penyedut minuman lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 0.40 gram.
"Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," ujarnya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek telah direman selama empat hari sehingga 14 Februari ini bagi melengkapkan siasatan," tegasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemilik berjaya segera padam kebakaran di dapur rumah
Februari 11, 2026, Rabu - 3:03pm
LAWAS: Tindakan pantas seorang penghuni memadam kebakaran di bahagian dapur rumahnya berjaya mengawal api daripada terus merebak dalam insiden kebakaran di Kampung Long Tukon, Jalan Briwan Trusan dekat sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.08 pagi, sepasukan anggota bergegas ke lokasi yang sejauh 37 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas.
Katanya, setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku kebakaran di luar bahagian dapur yang telah merebak ke dalam dapur namun berjaya dipadam oleh pemilik rumah.
"PKO tidak melakukan apa-apa operasi pemadaman dan memastikan keadaan sekitar kebakaran selamat PKO dan jentera bertolak balik ke balai,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, kebakaran hanya melibatkan empat peratus yang menyebabkan kemusnahan peralatan perkakas bahagian luar dapur serta keadaan terkawal dan selamat.
Operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah hari.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
ToT TEGAS Think & Thinker Mini Lab mampu perkasa pendidik menguasai kemahiran teknologi digital
Februari 11, 2026, Rabu - 3:10pm

Len (sembilan kiri) bergambar bersama para guru dari 25 sekolah selepas majlis penutupan hari ini. Turut kelihatan ialah Fredick Kevin (lapan kiri).
KUCHING: Penganjuran program Training of Trainers (ToT) TEGAS Think & Thinker Mini Lab mampu memperkasa warga pendidik dalam menguasai kemahiran teknologi digital serta membentuk budaya pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Datuk Len Talif Salleh menjelaskan bahawa pendekatan yang bersifat praktikal dan kolaboratif bersama pihak sekolah membolehkan para pendidik berperanan sebagai mentor dan pemudah cara kepada pelajar dalam menguasai kepakaran robotik dan inovasi.
“Para pendidik inilah tulang belakang yang membentuk budaya pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah sebenar secara kolaboratif,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Training of Trainers (ToT) TEGAS Think & Thinker Mini Lab di Perkampungan Digital TEGAS, Samajaya hari ini.
Hadir sama pada majlis penutupan itu ialah Pengurus Kanan TEGAS Community Inovatif Leaning Fredick Kevin Buseli, Ketua Operasi STEM Group Steven Tan, Pengarah STEM Ground Watson Brandah Usop serta para guru dari 25 sekolah dari seluruh Sarawak yang menjadi peserta bengkel.
Tambah Len, Think & Thinker (ToT) Mini Lab merupakan salah satu inisiatif TEGAS yang dibangunkan khusus untuk sekolah sejak 2021 sebagai ruang inovasi serba guna.
“Sehingga kini, sebanyak 25 sekolah di seluruh Sarawak telah menerima TEGAS Think & Thinker (T&T) Mini Lab yang membolehkan para pelajar dan guru mengakses teknologi digital serta membina kemahiran inovasi secara praktikal dan kolaboratif,” katanya.
Beliau berharap program seperti itu dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan pembelajaran berasaskan projek di sekolah sekali gus membantu mengatasi kekangan kemahiran dalam kalangan guru.
“Justeru, kewujudan TEGAS Think & Thinker Mini Lab ini amat signifikan dalam membantu para guru menyampaikan kemahiran abad ke-21 melalui medium teknologi yang mampu membuka minda dan potensi murid,” katanya.
Menurutnya, peranan pendidik amat penting dalam mengintegrasikan teknologi maklumat, nilai kerjasama dan semangat muafakat bagi melahirkan generasi digital yang cekap, kreatif dan inovatif.
Sebagai contoh, beliau berkata SMK Mendamit, Limbang menjadi sumber inspirasi dalam dunia inovasi apabila pelajarnya berjaya memenangi pingat dalam International Creativity & Innovation Award (ICIA) 2025 di Vietnam meskipun sekolah itu terletak di kawasan pedalaman.
“Kejayaan ini merupakan 'success story' yang amat bermakna...seperti kata pepatah 'kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan pelajar dari luar bandar juga mampu menyerlah di peringkat antarabangsa sekiranya diberi peluang dan sokongan berterusan.
Len Talif turut menegaskan bahawa kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti platform ChatGPT menuntut warga pendidik yang terlatih dan berpengetahuan untuk mengaplikasikannya secara beretika dan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berkata usaha seperti program ToT TEGAS Think & Thinker Mini Lab sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menetapkan aspirasi Sarawak sebagai negeri berteraskan data, inovasi dan ekonomi digital.
“YAB Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) turut menegaskan bahawa pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan nadi utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi masa depan,” katanya.
Menurutnya, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan TEGAS sebagai pemangkin utama pembangunan modal insan yang menyeluruh demi menjamin masa depan Sarawak berteraskan ekonomi digital.
Dalam ucapannya, Len menyeru para pendidik supaya terus menjadi peneraju perubahan di sekolah masing-masing.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua suspek kes pecah masuk dan curi kedai diberkas
Februari 11, 2026, Rabu - 3:15pm
MIRI: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pecah masuk dan curi di sebuah kedai pakaian di kawasan Marina Fasa 2 di sini, berjaya diberkas polis pada Isnin.
Tangkapan ke atas kedua-dua suspek yang berusia 40 dan 47 tahun itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima daripada seorang pengadu pada awal pagi.
Dalam aduannya, pengadu mendakwa kedai pakaian miliknya di kawasan Marina Fasa 2 di sini telah dipecah masuk dan beberapa barang telah hilang dipercayai dicuri hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM6,000.
Hasil risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, polis berjaya menahan kedua-dua suspek di sebuah hotel bajet di kawasan pusat bandar di sini.
Semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas beberapa barang untuk dijadikan barang kes.
Sehubungan itu, kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah menasihatkan orang awam, khususnya pemilik premis perniagaan supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan harta benda masing-masing.
Beliau turut menggesa pemilik premis perniagaan agar memastikan kedai mereka dilengkapi sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera keselamatan sebagai langkah pencegahan awal bagi menggagalkan sebarang perbuatan jenayah.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang kejadian jenayah diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha bersama membanteras jenayah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Matbali lancar skuad 'Sukarelawan DMM Bersamamu'
swk - Dua suspek kes pecah masuk dan curi kedai diberkas
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|