|
|
Pang sumbang kurma dan limau mandarin kepada Hospital Bintulu
Februari 9, 2026, Isnin - 8:30pm

Pang (tengah) menyerahkan buah kurma dan limau mandarin kepada wakil Hospital Bintulu, hari ini.
BINTULU: Sebagai tanda penghargaan terhadap petugas barisan hadapan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang mengagihkan sumbangan kurma dan limau mandarin kepada Hospital Bintulu.
Menurutnya, sumbangan itu adalah sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Cina kira-kira seminggu lagi dari sekarang dan kedatangan bulan Ramadan bagi masyarakat Islam.
"Justeru, lawatan awal serta pengagihan kurma dan limau mandarin ini dijalankan, sekali gus memandangkan jarak tahun baharu dan Ramadan yang amat dekat sekali," jelasnya.
Pang turut berkesempatan berbual serta bertanya kepada pihak hospital tentang keperluan, masalah serta cabaran yang dihadapi bagi membolehkan bantuan sewajarnya disalurkan.
Ini kerana hospital jelasnya, merupakan tempat rawatan bagi pesakit yang mana perkhidmatan berkualiti akan memastikan tahap kesihatan lebih baik dan optimum akan dapat dicapai.
"Setiap kali tibanya sambutan perayaan, adalah menjadi kewajipan bagi pihak kami mengadakan lawatan ke jabatan dan agensi kerajaan bagi menyatakan keprihatinan serta penghargaan kepada penjawat awam barisan hadapan," jelasnya.
Apa yang menjadi keutamaan ujarnya, penghargaan serta sokongan terhadap petugas kesihatan yang banyak berkorban serta tugas sukar membantu mengubati pesakit yang terlantar di hospital.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Seni kuntau Iban harus diwarisi generasi muda: Tiong
Februari 9, 2026, Isnin - 8:32pm

Kong (duduk di tengah) mendengar acara 'bebiau' yang merupakan upacara memohon keberkatan kaum Iban pada majlis berkenaan semalam.
BINTULU: Kuntau yang merupakan seni mempertahankan diri kaum Iban harus diwarisi oleh generasi muda bagi memastikannya terus kekal dipelajari serta diturunkan dari generasi ke generasi seterusnya, kata Pegawai Khas Ahli Parlimen Bintulu Steven Kong Kai Seng.
Menurutnya, ia sebagaimana seni mempertahankan diri yang lain sememangnya mempunyai keunikan tersendiri dan salah satu kebanggaan bagi kaum Iban.
"Sebagaii tanda sokongan kepada penggiat seni mempertahankan diri ini, saya yang mewakili Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkesempatan menghadiri Majlis Tamat Kuntau Persatuan Seni Kuntau Dam Dam Spring Bintulu," ujarnya semasa berucap pada majlis berkenaan, semalam.Katanya, seni mempertahankan diri seperti seni kuntau bukan sekadar tentang gerakan dan teknik, tetapi juga tentang disiplin, kawalan emosi dan pembentukan jati diri, khususnya dalam kalangan anak-anak muda.
Menurutnya, melalui latihan yang berterusan, para peserta bukan sahaja mempelajari seni mempertahankan diri, malah diterapkan dengan nilai kesabaran, fokus, rasa hormat dan tanggungjawab.
"Inilah nilai penting yang perlu dijadikan pegangan, bukan sahaja di gelanggang latihan, tetapi juga dalam kehidupan seharian," jelasnya.
Pada masa sama, Kong mengingatkan para belia agar menggunakan ilmu yang dipelajari dengan cara yang betul dan beretika, bukannya untuk menunjukkan kekuatan serta disalah guna.
"Seni mempertahankan diri ini seharusnya menjadi alat untuk membina keyakinan diri, menjaga keharmonian dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat," ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lebih 200 keluarga kurang berkemampuan di Parlimen Bandar Kuching terima bantuan
Februari 9, 2026, Isnin - 8:54pm

Lebih 200 keluarga menerima bantuan sempena Tahun Baharu Cina menerusi program kebajikan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Bandar Kuching dengan kerjasama ADUN Pending.
KUCHING: Lebih 200 keluarga kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Bandar Kuching menerima bantuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina menerusi program kebajikan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Bandar Kuching bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata program tersebut dianjurkan bagi menyemarakkan semangat perayaan serta menyebarkan nilai kasih sayang dan keprihatinan kepada golongan memerlukan, menjelang sambutan Tahun Kuda.
"Setiap keluarga penerima menerima baucar membeli-belah pasar raya, biskut perayaan serta angpau sebagai sokongan praktikal bagi membantu persiapan menyambut Tahun Baharu Cina.
“Bantuan ini bukan sekadar sokongan material tetapi juga lambang keprihatinan dan harapan agar setiap keluarga dapat menyambut perayaan dengan penuh kegembiraan, kesejahteraan dan kedamaian,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menegaskan bahawa penganjuran program kebajikan sempena musim perayaan mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam menjaga kebajikan golongan rentan dan terpinggir dalam masyarakat.
“Perayaan seharusnya diraikan bersama. Kita tidak mahu ada sesiapa yang tercicir dalam saat-saat penting seperti ini.
"Melalui inisiatif ini, kita mahu memastikan setiap keluarga berasa dihargai, diingati dan disambut sebagai sebahagian daripada komuniti,” tambahnya.
Beliau turut menekankan bahawa program sedemikian membantu meringankan beban kewangan keluarga yang berdepan kesukaran, selain memupuk nilai perpaduan, kasih sayang dan tanggungjawab bersama dalam masyarakat.
“Usaha ini juga mengingatkan kita bahawa keprihatinan dan sokongan bersama adalah asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan inklusif,” jelasnya.
Mengulas perancangan masa depan pihaknya, akan terus menganjurkan program kebajikan seumpama itu dengan kerjasama pemimpin komuniti dan sukarelawan bagi membantu golongan memerlukan serta memastikan semangat kebersamaan dan kemurahan hati terus mekar dalam kalangan masyarakat setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JPP enam Kolej Komuniti Zon Sarawak berkampung di Lundu
Februari 9, 2026, Isnin - 9:00pm

Sumbang menyampaikan ucapan Perasmian Penutupan Bengkel Kepimpinan JPP Kolej Komuniti Zon Sarawak.
KUCHING: Semangat kepimpinan terus membara dalam kalangan pemimpin pelajar Kolej Komuniti di Sarawak dengan kedatangan seramai 65 ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) dari enam kolej komuniti seluruh negeri berhimpun dalam Bengkel Kepimpinan JPP Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Kem Alapong, Lundu, baru-baru ini.
Menurut kenyataan pihaknya hari ini, program selama tiga hari dua malam itu menghimpunkan pemimpin muda dari Kolej Komuniti Kuching, Mas Gading, Santubong, Sarikei, Betong dan Miri menjadi platform strategik dalam membentuk barisan pemimpin pelajar masa depan yang berwibawa dan berdaya saing.
"Para peserta diberi bimbingan eksklusif daripada Pengerusi Eksekutif Kem Alapong Reduan Tuah serta sokongan 12 pegawai pengiring dari kolej-kolej yang terlibat.
"Bengkel ini bertujuan melahirkan pemimpin pelajar yang bukan sahaja petah berkata-kata, malah cekap, profesional dan berintegriti dalam tindakan serta pengurusan organisasi," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Kuching (KKKG) Sumbang Mandaw ketika menyempurnakan majlis perasmian penutupan bengkel tersebut menyifatkan program berkenaan sebagai medan terbaik untuk mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan ahli JPP.
Ujarnya, pendekatan bimbingan berteraskan pengalaman sebenar serta penerapan nilai integriti sepanjang bengkel memberi impak besar kepada pembangunan sahsiah peserta.
“Kepimpinan bukan sekadar jawatan atau gelaran, sebaliknya ia adalah satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh integriti,” tegasnya.
Beliau turut menyeru para peserta agar menjadi pemimpin yang mampu menjadi teladan, berani membuat keputusan serta sentiasa bersedia mendengar suara rakan seperjuangan demi menjunjung nilai perpaduan dan keharmonian.
“Gunakan platform JPP ini sebagai medan menyumbang idea, memupuk semangat kebersamaan dan membentuk budaya kampus yang positif,” jelasnya.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai modul kepimpinan komprehensif merangkumi pembentukan sahsiah, nilai integriti, kemahiran komunikasi berkesan, kepimpinan berpasukan, pengurusan organisasi serta penerapan nilai tanggungjawab.
Ilmu dan pengalaman yang diperoleh diharap menjadi bekalan penting dalam mengemudi organisasi JPP di kolej masing-masing.
Program tersebut turut menyaksikan pengumuman pemilihan dua pelajar untuk mewakili Sarawak ke peringkat JPP Kebangsaan di Kemaman, Terengganu pada 13 Februari ini, iaitu Christina Bandung Franky dari Kolej Komuniti Santubong dan Audry Finesha Dominick dari Kolej Komuniti Mas Gading.
Bagi Christina, 19, bengkel itu menjadi titik permulaan untuk meneruskan legasi kepimpinan pelajar dengan semangat baharu.
“Pemimpin datang dan pergi, tetapi nilai kebersamaan, keikhlasan dan semangat berkhidmat akan kekal menjadi roh perjuangan kita bersama. Kamillah bakal pemimpin masa depan negara,” katanya.
Pandangan itu turut dikongsi oleh Ezzatul Aqma Shahril, 19, pelajar Semester 2 Program Teknologi Senibina KKKG yang menyifatkan bengkel itu berjaya membentuk jati diri dan kemahiran kepimpinan peserta.
“Program ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman tentang peranan sebagai pemimpin pelajar, malah mengukuhkan semangat kerjasama, disiplin dan keyakinan diri,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar bengkel seumpama itu diteruskan pada masa akan datang kerana berupaya meningkatkan motivasi JPP dalam mengimbangi tanggungjawab kepimpinan dan kecemerlangan akademik.
Pihak pengurusan Kolej Komuniti sentiasa komited dalam membentuk kepimpinan JPP yang positif, berdaya saing dan bertanggungjawab bagi memastikan kebolehpasaran graduan TVET terus diperkasa.
Dengan sokongan padu pihak pengurusan Kem Alapong, bengkel tersebut berjalan lancar dan mencapai objektifnya membuktikan ketahanan mental dan fizikal para peserta sebagai pemimpin muda masa depan Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kepimpinan berkesan harus bermula dengan hati ikhlas, sikap positif, keinginan bawa perubahan
Februari 9, 2026, Isnin - 9:09pm

Connie (tiga kanan) menunjukkan sepanduk kelab serta penyampaian gong dan gavel kelab daripada Winnie (tiga kiri) sambil disaksikan Miro (dua kanan) di majlis itu, malam semalam.
KUCHING: Kepimpinan berkesan harus bermula dengan hati yang ikhlas, sikap positif serta keinginan untuk membawa perubahan demi masyarakat.
Demikian perkongsian Gabenor Lions Clubs International Daerah 308-A2 Dato Winnie Lee semalam, mengingatkan barisan kepimpinan baharu Lions Club of Kuching Lavender agar memahami tanggungjawab yang digalas mereka.
“Kepimpinan yang hebat bermula dengan hati yang rela berkhidmat, pandangan yang positif dan keinginan untuk membuat perubahan bagi pihak Lions Clubs International.
“Anda sebagai pemimpin yang dipilih, mesti berjanji untuk melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin mengikut kemampuan dan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Malam Piagam dan Upacara Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Lions Club of Kuching Lavender yang berlangsung di Restoran Shangri-La di sini, malam semalam.
Pada majlis tersebut, Winnie secara rasmi mengumumkan barisan lembaga pengarah kelab yang terdiri daripada 12 ahli termasuk presiden, naib presiden pertama dan kedua, setiausaha, bendahari, pengerusi perkhidmatan, pengerusi keahlian, pengerusi pemasaran serta empat orang pengarah.
Turut hadir adalah tetamu khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Dato Miro Simuh, Guiding Lions PID Datin Ellis Suriyati Omar, PP Sim Kuang Boon, Presiden kelab penaja Tan Chai Hoon serta pemimpin-pemimpin Lions yang lain.
Sementara itu, Presiden Berpiagam Lions Club of Kuching Lavender yang baharu dilantik Connie Tan dalam ucapan penerimaannya melahirkan rasa syukur dan rendah hati atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin kelab tersebut.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Ellis Suriyati, Winnie serta kelab penaja atas bimbingan, sokongan dan kepercayaan yang menjadi asas kepada penubuhan kelab berkenaan.
“Kami datang bersama dengan satu tujuan untuk berkhidmat.
"Lions Club of Kuching Lavender akan memberi fokus kepada perkhidmatan komuniti luar bandar, pembangunan belia, kesihatan dan kesedaran mental serta inisiatif alam sekitar,” jelasnya.
Menurutnya, jawatan Presiden Berpiagam bukan sekadar kedudukan kepimpinan, sebaliknya satu amanah untuk berkhidmat dalam semangat perpaduan, memimpin dengan integriti serta memastikan kelab itu kekal inklusif, berperikemanusiaan dan berpaksikan nilai perkhidmatan.
“Malam piagam ini bukan sekadar permulaan sebuah kelab, tetapi permulaan sebuah legasi kebaikan, kepimpinan dan khidmat yang bermakna kepada masyarakat.
“Bersama-sama, kita akan memperkukuhkan persahabatan, memperkasakan komuniti dan menghayati motto Lions, ‘We Serve’,” tegasnya kemudian.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara e-21 Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Naib Gabenor Daerah Pertama, Daerah 308-A2 Dato Jimmy Tie dan timbalan pengerusi penganjur Lion Joseph Ting.
Semalam turut menyaksikan penyampaian derma, cenderamata, bannaret kelab dan hadiah daripada Connie kepada jemputan serta persembahan khas oleh suara emas Penaung Kelab Miro.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SMC akan mula proses permohonan pengamal perubatan
Februari 10, 2026, Selasa - 8:00am

Tiang (lapan kiri) serta yang lain menyaksikan Ting (sembilan kiri) melakukan pelancaran fasa kedua pembinaan Hospital RMC di Sibu, semalam.
SIBU: Jawatankuasa Perubatan Sarawak (SMC) dijangka mula memproses permohonan pengamal perubatan yang ingin berkhidmat di Sarawak bermula Januari tahun ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang.
Menurutnya, negeri ini berharap dapat meletakkan asas bagi pengiktirafan dan cadangan kelayakan kepakaran di bawah kerangka Sarawak sendiri pada masa depan.
"Dengan kata lain, melalui badan tempatan ini (SMC), yang merupakan badan kita sendiri, kita dapat menyesuaikan kelayakan perubatan dengan keperluan penjagaan kesihatan tempatan serta perancangan tenaga kerja," katanya ketika menyaksikan majlis pelancaran fasa kedua pembinaan Hospital Pusat Perubatan Rejang (RMC) baharu di sini, yang dirasmikan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pelawan itu memberitahu, penubuhan SMC merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh peraturan penjagaan kesihatan serta memajukan agenda autonomi kesihatan Sarawak.
"Sarawak telah secara rasmi menubuhkan Jawatankuasa Perubatan Sarawak atau SMC.
"SMC ini merupakan badan tempatan utama yang memberi tumpuan kepada peraturan dan tadbir urus kesihatan di Sarawak, di samping bekerjasama dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) di peringkat persekutuan.
"Ini merupakan langkah besar kita sendiri dalam memajukan agenda autonomi kesihatan Sarawak," katanya.
Tiang turut menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan dasar-dasar terus menyokong pertumbuhan kemudahan perubatan bertaraf dunia, dengan mengambil fasa kedua RMC baharu sebagai contoh.
"Kami percaya bahawa masyarakat yang sihat adalah asas kepada sebuah negeri yang makmur.
"Dengan kata lain, sebuah negeri yang maju," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau turut menghuraikan bagaimana peluasan RMC selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.
"Pandemik (COVID-19) sebenarnya telah mengajar kita satu pengajaran yang sangat jelas.
"Infrastruktur penjagaan kesihatan yang kukuh bukan sekadar satu kemewahan, tetapi satu keperluan bagi kestabilan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pengurusan RMC kerana melabur dalam teknologi moden, kemudahan perubatan canggih serta membawa perkhidmatan kepakaran ke Sibu dan Lembah Rajang.
“Supaya kita dapat memastikan masa depan yang lebih berdaya tahan, lebih sihat dan lebih mampan untuk rantau ini,” katanya.
Tiang turut menegaskan, penubuhan hospital tertiari berkapasiti 250 katil itu merupakan satu perubahan besar bagi Sarawak.
Beliau menjelaskan, dengan meningkatkan kapasiti perkhidmatan tertiari di Sibu, Sarawak secara tidak langsung sedang mendesentralisasikan perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus di seluruh negeri.
"Bagi penduduk di kawasan tengah dari Kapit hingga Mukah sebenarnya kita terlalu bergantung kepada perkhidmatan kesihatan di Kuching.
"Inisiatif ini akan mendesentralisasikannya dan mengurangkan beban kemudahan kesihatan awam di Kuching.
"Hospital baharu ini akan membawa perkhidmatan kepakaran yang menyelamatkan nyawa lebih dekat kepada anda berjam-jam lebih dekat berbanding sebelum ini,” katanya.
Tiang menambah bahawa projek itu juga meletakkan Sibu sebagai pemain yang berpotensi besar dalam sektor pelancongan perubatan, dengan keupayaan menarik pesakit dari seluruh Borneo dan rantau bersebelahan, sejajar dengan matlamat kepelbagaian ekonomi Sarawak.
Ketika projek ini menuju ke arah siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, beliau berkata kemudahan tersebut akan menjadi tarikan bagi pakar dan profesional perubatan Sarawak untuk pulang berkhidmat kepada masyarakat tempatan.
"Kerajaan Sarawak menyokong sepenuhnya inisiatif sektor swasta seperti ini yang membantu kita mengekalkan bakat terbaik," tambahnya.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau, Pengarah Urusan RMC Dr John Tang, Pengarah Urusan Kumpulan Hospital Borneo Dr Peter Tang dan arkitek projek dari JRC Architects Chang Jih Ren.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RMC lancar fasa kedua pembinaan hospital baharu
Februari 10, 2026, Selasa - 8:00am

Menandakan perubahan bersejarah dalam landskap penjagaan kesihatan di wilayah tengah Sarawak: Ting
Dr John Tang (empat kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ting selepas melancarkan fasa kedua pembinaan Hospital RMC di Sibu, semalam.
SIBU: Pusat Perubatan Rejang (RMC) di sini semalam telah melancarkan secara rasmi fasa kedua pembinaan hospital baharu bertaraf tertiari dan berteknologi tinggi, sekali gus menandakan satu perubahan bersejarah dalam landskap penjagaan kesihatan di wilayah tengah Sarawak.
Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, projek tersebut yang menelan kos pembinaan sebanyak RM240 juta merupakan pembangunan sektor swasta terbesar yang pernah dilaksanakan di Sibu.
"Bagi projek sektor swasta, ini mesti yang terbesar (di Sibu).
"Saya tidak pernah mendengar angka sebesar ini di Sibu," katanya ketika merasmikan pelancaran fasa kedua pembinaan hospital RMC baharu, yang turut disaksikan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang.
Ting berkata, projek tersebut membuktikan bagaimana sekumpulan profesional perubatan telah mengambil inisiatif memimpin hala tuju pembangunan Sibu dan perkembangan RMC hasil keazaman dan visi jangka panjang.
Beliau berpendapat, pusat perubatan yang diperluaskan itu akan menjadi pemangkin kepada pelbagai pembangunan, termasuk menarik kepulangan tenaga profesional dan pengamal perubatan berkemahiran ke Sarawak.
“Saya berharap pusat perubatan ini bukan sekadar tempat orang datang ketika sakit, tetapi sebuah tempat yang menarik individu berkualiti iaitu rakyat kita sendiri, penduduk wilayah tengah dari Bintangor, Sarikei dan sebagainya untuk kembali ke tempat asal kerana terdapat peluang pekerjaan di sini," katanya.
Ting turut menyatakan penyiapan projek tersebut dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan meningkatkan standard dalam sektor penjagaan kesihatan, mewujudkan persaingan sihat yang akan mendorong pusat perubatan lain di wilayah tengah untuk menaik taraf kemudahan dan perkhidmatan mereka.
"Ini akan mengukuhkan kedudukan Sibu sebagai hab wilayah tengah dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya.
Beliau menambah, penambahbaikan rangkaian jalan raya, termasuk Lebuh Raya Pan Borneo akan meningkatkan lagi tahap kebolehcapaian ke Sibu, memudahkan orang ramai untuk pulang melalui jalan darat serta mengukuhkan kepentingan strategik bandar itu dalam Sarawak.
Ting berkata, pelaburan besar dalam pusat perubatan tersebut mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap masa depan Sibu, sambil menyatakan bahawa pembangunan sedemikian secara semula jadi akan menarik perhatian kerajaan.
"Dan mereka akan bertanya kepada diri sendiri, mengapa Sibu mempunyai pusat perubatan yang begitu besar?
"Pasti ada sesuatu di sini.
"Para doktor mesti melihat sesuatu," katanya, sambil menambah bahawa ia juga akan menarik perhatian komuniti perubatan.
"Ini kerana Sibu bukan sahaja akan mempunyai pusat perubatan terbaik di Sarawak dan kawasan sekitarnya, tetapi juga minda terbaik, kerana ramai daripada mereka yang bekerja di Kuching sebenarnya berasal dari Sibu, Bintangor atau Sarikei," tambahnya.
Sebelum itu, Ting turut menyebut bahawa fasa kedua projek tersebut mengingatkannya kepada hari-hari awal Hospital Mount Elizabeth di Singapura, yang bermula sebagai sebuah fasiliti sederhana pada 1976 sebelum berkembang menjadi pusat perubatan terkemuka yang dikenali di peringkat antarabangsa dalam bidang pelancongan perubatan.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis tersebut, Ting mencadangkan agar RMC memperkenalkan perkhidmatan pembedahan plastik sebagai tambahan kepada perkhidmatan perubatannya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Hospital Borneo Dr Peter Tang berkata, permulaan kerja-kerja struktur utama bagi Pusat Perubatan Rejang yang baharu menandakan penunaian janji lama kepada masyarakat selepas lebih dua dekad pertumbuhan, cabaran dan ketabahan.
Dr Tang mengimbau permulaan sederhana pusat tersebut pada tahun 2002, apabila sekumpulan doktor perintis daripada latar belakang keluarga biasa bergabung dengan sumber kewangan yang terhad untuk merealisasikan impian bersama bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan di Sibu.
Dengan modal kerja awal sebanyak RM3 juta, beliau berkata pasukan itu menubuhkan pusat perubatan multidisiplin pertama di Sibu dengan mengubah suai deretan kedai, walaupun berdepan pelbagai kekangan kemudahan.
Namun begitu, pusat tersebut telah dilengkapi dengan teknologi perubatan canggih pada ketika itu, termasuk perkhidmatan MRI dan imbasan CT.
Mengenai pusat baharu itu, beliau mendedahkan bahawa ia akan merangkumi bunker untuk radioterapi, kemudahan rawatan harian bagi kemoterapi onkologi, perkhidmatan bedah saraf, kardiologi invasif serta kesiapsiagaan untuk kemungkinan pembedahan jantung.
"Selain itu, bangunan baharu kami akan menggunakan bahan binaan yang mematuhi piawaian terkini ‘Bangunan Hijau’ dengan pencahayaan semula jadi maksimum, blok AAC ringan dengan penebatan haba dan akustik yang lebih baik.
"Reka bentuk hospital yang dicadangkan selari dengan prinsip Indeks Bangunan Hijau, dengan penekanan kuat terhadap kelestarian dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
“Dari segi seni bina, bangunan ini direka untuk memaksimumkan penggunaan cahaya semula jadi dengan membenarkan cahaya matahari dari orientasi yang lebih sejuk sambil menyediakan perlindungan berkesan daripada haba langsung, sekali gus meningkatkan keselesaan dalaman dan mengurangkan penggunaan tenaga,” jelasnya.
Antara yang hadir ialah Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau, Pengarah Urusan RMC Dr John Tang dan arkitek projek dari JRC Architects Chang Jih Ren.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penjawat awam ditahan bantu siasatan kes langgar lari di Sri Aman
Februari 10, 2026, Selasa - 8:44am
SRI AMAN: Polis berjaya menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kemalangan langgar lari yang menyebabkan kematian seorang buruh di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Superintenden Dennis Bunyam berkata, suspek telah tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman pada Isnin selepas berjaya dikesan.
Menurut beliau, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Suspek yang merupakan penjawat awam berusia 49 tahun telah menyerah diri dan turut ditahan sebuah kenderaan bagi membantu siasatan," katanya menerusi satu kenyataan.
Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada orang awam yang tampil menyalurkan maklumat serta memberi kerjasama sehingga suspek berjaya dikesan.
Untuk rekod, kejadian kemalangan maut itu dilaporkan berlaku pada Ahad, kira-kira jam 4.30 pagi, di Kilometer 7 Jalan Sri Aman.
Dalam kejadian tersebut, sebuah kenderaan dipercayai telah melanggar sepasang suami isteri sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Akibat kemalangan itu, mangsa lelaki, 46, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sri Aman, manakala isterinya, 36, mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di hospital sama.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai baru selesai menukar tayar kenderaan yang pancit di bahu jalan sebelum dirempuh oleh kenderaan lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Isu gelandangan muda di bandar perlu perhatian segera, intervensi awal: Fatimah
Februari 10, 2026, Selasa - 9:05am

Fatimah (dua kanan) pada sidang media di Sibu pada Isnin.
SIBU: Kemasukan golongan muda berusia antara 18 hingga 40 tahun ke dalam kelompok gelandangan dikenal pasti sebagai satu perkembangan yang memerlukan perhatian segera serta intervensi awal bagi mengelakkan masalah tersebut berlarutan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, walaupun peratusan gelandangan muda masih kecil, kemunculan kumpulan berkenaan khususnya di kawasan bandar tidak boleh dipandang ringan.
“Golongan muda ini masih berpotensi untuk dipulihkan namun intervensi perlu dilakukan lebih awal bagi mengelakkan mereka terperangkap lebih lama dalam kitaran gelandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ahli Lembaga Tempat Transit Gelandangan (TTG) Sibu pada Isnin.
Menurut Fatimah, statistik gelandangan Sarawak bagi tempoh 2023 hingga 2025 menunjukkan purata bulanan seramai 133 orang pada 2023 dan 127 orang setakat Oktober 2025 dengan pergerakan keluar masuk yang dinamik serta melibatkan individu berbeza.
Katanya, faktor utama gelandangan melibatkan kemiskinan, kehilangan pekerjaan dan masalah keluarga dengan trend umur sebelum ini didominasi individu berusia antara 50 hingga 60 tahun.
Mengulas situasi di Sibu, Fatimah berkata jumlah gelandangan direkodkan meningkat daripada 37 orang pada 2023 kepada 48 orang pada 2024 dan 53 orang setakat Oktober 2025.
Beliau berkata, TTG Sibu yang beroperasi sejak 2021 berperanan sebagai pusat rujukan utama bagi pengurusan kes gelandangan di wilayah tengah Sarawak.
Menurutnya, TTG bukan sekadar menyediakan perlindungan sementara, malah menawarkan saringan kesihatan, khidmat kaunseling serta bantuan pemadanan pekerjaan secara percuma dengan penglibatan pelbagai agensi.
Setakat ini, dua TTG beroperasi sepenuhnya di Sibu dan Kuching manakala sebuah lagi TTG di Bintulu dijangka mula beroperasi tahun ini selepas proses penyediaan akhir diselesaikan.
Fatimah menegaskan, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pelaksanaan TTG adalah untuk mengurangkan bilangan gelandangan di luar premis awam dan bukan bertujuan menghukum mereka.
“TTG bukan institusi tahanan. Ia diwujudkan sebagai tempat perlindungan sementara untuk membantu golongan gelandangan kembali berdikari dan menjalani kehidupan secara bermaruah,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Media rakan strategik Sarawak dalam agenda pembangunan jangka panjang: Tiang
Februari 10, 2026, Selasa - 9:28am

Tiang (tengah) merakam kenangan bersama pengamal media di Sibu pada Isnin.
SIBU: Kerajaan Sarawak menganggap media sebagai rakan strategik utama dalam memastikan pembangunan inklusif, ketelusan serta jangkauan global selaras dengan kemajuan agenda pembangunan jangka panjang negeri ini, kata Datuk Michael Tiang.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, Sarawak merupakan negeri pertama di negara ini yang mempunyai pelan induk serta strategi pembangunan menyeluruh sehingga 2030, sekali gus menjadikan laporan yang tepat dan mudah difahami lebih penting berbanding sebelum ini.
“Apabila kita melangkah ke hadapan, peranan media menjadi semakin penting. Kita memerlukan media dan kita bergantung kepada media.
“Oleh sebab itu, kerajaan Sarawak tanpa sebarang keraguan menubuhkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan TV Sarawak (TVS),” katanya ketika merasmikan majlis makan malam penghargaan media anjuran Pusat Khidmat Pelawan pada Isnin bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Tiang berkata, media memainkan peranan penting dalam menterjemahkan dasar-dasar kerajaan seperti inisiatif penyimpanan karbon, tenaga hijau mampan dan ekonomi hidrogen ke dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua rakyat Sarawak, termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar.
“Kami perlukan anda menulis dalam bahasa yang mudah, supaya orang kampung pun boleh faham.
“Dasar kerajaan adalah untuk semua. Kita tidak mahu sesiapa pun ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata, menerusi akhbar, platform dalam talian, video dan media sosial, media membantu menyebarkan maklumat tepat mengenai kemajuan, pencapaian serta hala tuju masa depan Sarawak, sekali gus memastikan rakyat sentiasa dimaklumkan dan bersatu.
“Apabila semua orang tahu apa yang sedang berlaku, kita berada di landasan yang sama.
“Apabila kita berada di landasan yang sama, kita bergerak ke hadapan bersama-sama ke arah yang sama,” tambahnya.
Tiang turut menegaskan kepentingan peranan media dalam memastikan kerajaan bertanggungjawab, sambil menyifatkannya sebagai elemen penting dalam tadbir urus yang baik.
“Kami memerlukan mata anda, kamera anda dan penulisan anda untuk memastikan kerajaan kekal bertanggungjawab dan telus.
“Laporan yang merangkumi perkara baik dan buruk membantu kami untuk menambah baik serta menjadi lebih kuat,” katanya sambil menyifatkan media bebas sebagai sesuatu yang sihat dan bermanfaat kepada institusi awam.
Menyentuh mengenai peningkatan profil antarabangsa Sarawak, Tiang berkata negeri ini sedang memposisikan dirinya sebagai destinasi pilihan pelaburan asing, khususnya dalam bidang tenaga mampan, pembangunan perindustrian dan ekonomi digital.
Beliau berkata, agensi seperti InvestSarawak ditubuhkan bagi memudahkan kerjasama antarabangsa, dengan media berperanan sebagai pemacu utama promosi Sarawak ke peringkat global.
“Bagaimana orang luar mengenali Sarawak? Melalui laporan anda, melalui berita anda. Anda membantu dunia memahami siapa kami dan apa yang Sarawak tawarkan.
“Jadi sekarang anda dapat melihat betapa pentingnya peranan anda,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Wartawan Malaysia-Indonesia terus suburkan muafakat
Februari 10, 2026, Selasa - 9:27am

MUAFAKAT: Lichong (dua kiri), Ahmad Zaini (dua kanan) dan Asro (empat kiri) bersama sebahagian yang hadir pada majlis makan siang dan dialog itu.
KOTA SERANG (Banten, Jakarta): Wartawan Malaysia dan Indonesia terus memperkukuhkan jalinan silaturahim, dengan menghadiri majlis makan siang dan dialog sempena sambutan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia di sini hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching sebagai tetamu kehormat.
ISWAMI Malaysia diketuai oleh Pemangku Presiden, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, manakala delegasi ISWAMI Indonesia dipimpin oleh Presidennya, Asro Kamal Rokan.
Selepas jamuan tengah hari, dialog antara kedua-dua pihak diadakan dengan Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui menjadi moderatornya.
Dalam ucapannya, Lichong yang juga Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia berharap kebersamaan itu dapat memperkuat jaringan kolaborasi antara media, membuka peluang kerjasama lintas negara, serta memperteguh komitmen untuk menjaga integriti dan kualiti kewartawanan serantau.
Katanya, HPN bukan sekadar peringatan seremonial, sebaliknya momentum refleksi peranan strategis wartawan dalam membangun masyarakat yang kritis, berpengetahuan, dan berkeadaban di tengah dinamika global yang terus berubah.
Menurutnya, dialog itu menjadi ruang penting untuk mempererat hubungan media serantau, khususnya antara Indonesia dan Malaysia, yang memiliki kedekatan sejarah, budaya, dan cabaran jurnalistik yang semakin kompleks di era digital kini.
'Melalui pertemuan ini, kita berharap akan lahir pertukaran gagasan yang konstruktif, pandangan yang jujur dan berimbang, serta pengalaman berharga dalam menghadapi isu-isu kebebasan media, disrupsi teknologi, dan kepercayaan awam terhadap media," katanya.
Dalam.pada itu, Lichong turut menyampaikan pujian dan penghargaan kepada para pemimpin redaksi akhbar di Indonesia yang terus konsisten menjaga maruah kewartawanan, memperkuat fungsi wartawan sebagai tiang demokrasi, serta menjunjung tinggi etika dan profesionalisme dalam setiap karya pemberitaan.
Katanya, ia bersesuaian dengan tema HPN tahun ini, yang mengangkat status wartawan sebagai pembangun negara bangsa, menuju Indonesia Emas sebagai slogan pembangunan menjelang tahun 2045.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
sbh - Wartawan Malaysia-Indonesia terus suburkan muafakat
swk - Media rakan strategik Sarawak dalam agenda pembangunan jangka panjang: Tiang
 |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Curi buah dabai, lelaki diperintah jalani bon jaga keamanan enam bulan
Februari 9, 2026, Isnin - 9:41pm
KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini memerintahkan seorang lelaki berusia 34 tahun untuk menjalani bon menjaga keamanan selama enam bulan kerana cuba mencuri buah dabai di kawasan Pusat Penyelidikan Pertanian Semongok.
Wilber Joseap mengangguk faham di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Abdurrahman Abrar Jarni apabila diperintahkan untuk menyempurnakan bon di bawah Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah dalam prosiding hari ini.
Wilber didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 Februari 2026 sekitar jam 10.35 pagi.
Fakta kes mendedahkan pengadu iaitu Pembantu Khidmat Am bersama rakannya sedang bekerja di pusat tersebut sebelum terlihat seorang lelaki tidak dikenali sedang memotong pokok dan cuba mencuri buah dabai.
Melihatkan keadaan itu, pengadu terus menahan lelaki berkenaan dan membawanya ke balai polis untuk tindakan serta siasatan lanjut.
Turut dirampas semasa tangkapan semula adalah sebilah parang dan sebuah bakul tambok.
Difahamkan, kawasan kejadian adalah tempat penanaman pokok buah dabai dan pengadu serta saksi ternampak Wilber memotong dahan pokok tersebut dengan tujuan untuk mencuri buah dabai.
Selain itu difahamkan, Wilber mengaku telah menceroboh dan masuk ke kawasan berkenaan tanpa kebenaran malah turut mengaku pernah mencuri buah dabai di sana sebelum ini.
Oleh itu, sebagai langkah menghentikan perbuatan Wilber dan agar dia tidak mengulangi perbuatan tersebut, mahkamah memerintahkannya untuk menyempurnakan bon menjaga keamanan selama tempoh enam bulan di bawah Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Afiq Safly Nor Kazly sementara Wilber tidak diwakili peguam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bunuh tanpa niat, lelaki dipenjara 12 tahun dan didenda RM10,000
Februari 9, 2026, Isnin - 7:39pm
SIBU: Seorang lelaki berusia 39 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan didenda RM10,000, atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda, oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas kesalahan membunuh tanpa niat.
Hakim Musyiri Peet menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Franklin Kesulai dari Batu 30, Jalan Oya, Stapang selepas mensabitkannya di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Franklin didakwa melakukan kesalahan itu pada 7 Ogos 2025 kira-kira jam 9.30 malam di Pintu Gerbang Sibu, Jalan Chamber di sini dengan menyebabkan kematian seorang warga asing melalui kecederaan badan yang berkemungkinan membawa maut.
Menurut fakta kes, pihak polis menerima maklumat bahawa satu mayat telah ditemui di Pintu Gerbang Sibu.
Apabila tiba di tempat kejadian, pegawai polis menemui mayat seorang lelaki yang tidak dikenal pasti dengan kesan tikaman pada bahagian dada.
Mayat tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat.
Pada 9 Ogos 2025, pakar patologi forensik Hospital Sibu Dr Hwang Ing Siong menjalankan bedah siasat dan menyimpulkan bahawa punca kematian adalah akibat tikaman di dada.
Tertuduh ditangkap pada 11 Ogos 2025 kira-kira jam 9.50 malam di Jalan Tukang Besi.
Siasatan mendapati bahawa si mati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan hanya dikenali oleh saksi serta tertuduh sebagai seorang lelaki yang dipercayai berasal dari Thailand atau Myanmar.
Saksi-saksi memberi keterangan bahawa tertuduh merupakan satu-satunya individu yang memegang pisau pada masa kejadian.
Namun begitu mereka juga mengesahkan tiada unsur yang menunjukkan tertuduh berniat untuk menikam si mati.
Menurut saksi, pertengkaran berlaku antara tertuduh dan si mati, diikuti dengan insiden tolak-menolak.
Kedua-dua lelaki itu terjatuh ke tanah, dengan si mati jatuh di atas tertuduh.
Pada ketika itu, pisau yang dipegang tertuduh secara tidak sengaja telah menusuk dada si mati.
Saksi turut menyatakan bahawa selepas terjatuh, si mati masih mampu berdiri dan berjalan dan tertuduh tidak meneruskan sebarang serangan atau menikam si mati sekali lagi.
Pemeriksaan bedah siasat mendapati hanya satu kesan tikaman di bahagian dada yang bersifat maut.
Tiada penyakit semula jadi yang ketara ditemui yang boleh menyebabkan atau menyumbang kepada kematian si mati pada waktu tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki mengaku bersalah miliki 3.6 kilogram dadah dipenjara 15 tahun
Februari 9, 2026, Isnin - 6:55pm
KUCHING: Seorang lelaki dari Johor Bahru dipenjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 3.6 kilogram Methamphetamine yang dilakukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 2019.
Pesuruhjaya Kehakiman Zaleha Mohd Yusuf Pan menjatuhkan hukuman itu terhadap Sivakumaran Murugaya setelah mengambil kira fakta kes, pengakuan bersalah tertuduh, faktor mitigasi yang dikemukakan peguam bela dan faktor pemberat oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Zaleha ketika menjatuhkan hukum turut mengambil kira kepentingan awam serta trend hukuman yang dikemukakan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan iaitu 15 tahun penjara.
“Mahkamah ini menggunakan budi bicara menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan tertuduh pada 20 Oktober 2019,” ujar Zaleha ketika menjatuhkan hukum hari ini.
Mahkamah katanya, tidak mengenakan hukuman sebat memandangkan tertuduh kini berusia 50 tahun dan akan mencecah 51 tahun pada September ini.
Beliau juga membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam lantikan mahkamah, Lim Lian Kee, supaya anak guamnya, Sivakumaran, menjalani hukuman penjara di Penjara Johor Bahru.
Terdahulu pada November 2019, Sivakumaran mengaku tidak bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama kerana mengedar 5,069 gram syabu bernilai RM253,450.
Namun difahamkan, peguam Sivakumaran membuat tiga kali representasi, dengan permohonan kali ketiga akhirnya diterima, sekali gus membawa kepada pengurangan pertuduhan.
Sehubungan itu, pertuduhan telah dikurangkan kepada Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama, dengan Sivakumaran mengaku bersalah pada 28 Januari 2026.
Mengikut pertuduhan tersebut, Sivakumaran didakwa memiliki dadah tersebut sekitar jam 10.05 pagi pada 30 Oktober 2019 di balai ketibaan LTAK.
Sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau hukuman penjara minimum lima tahun dan boleh disebat dengan tidak kurang daripada 10 sebatan.
Turut terlibat sama dalam kes ini dan didakwa di bawah pertuduhan sama (yang dikurangkan) adalah Melissa Mariadass, 34.
Namun difahamkan, Melissa mengaku tidak bersalah dan mahkamah semalam menetapkan 11 hingga 15 Mei 2026 sebagai tarikh perbicaraan.
Fakta kes mendedahkan Sivakumaran bersama Melissa menaiki pesawat dari Pulau Pinang tiba di LTAK pada hari kejadian dan setiap seorang daripada mereka mengambil satu bagasi.
Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kemudian berasa curiga dengan isi bagasi dibawa oleh kedua-dua tertuduh dan melakukan pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan beberapa bungkusan yang mengandungi bahan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine.
Hasil ujian TRUNAC mendapati bahan kristal dalam bagasi kedua-dua tertuduh positif Methamphetamine, sebelum siasatan lanjut mengesahkan 3.6 kilogram dadah itu dibawa Sivakumaran dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dengan bas sebelum terbang ke Kuching.
Pendakwaan dilakukan oleh DPP JKDM Syazwani Zawawi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki mengaku bersalah simpan harta curi dipenjara 12 bulan
Februari 9, 2026, Isnin - 6:52pm
KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menyimpan harta curi iaitu sehelai baju sejuk jenama Nike dan baju kolar bertulis ‘Jujutsu Kaisen’.
Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Abdurrahman Abrar Jarni menjatuhkan hukuman itu terhadap Allenick Tinggom, 23, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan, masing-masing dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Abdurrahman memerintahkan Allenick dipenjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dihadapinya, dengan hukuman penjara diarahkan berjalan serentak.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Allenick didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Balai Polis Kota Sentosa sekitar jam 12.21 tengah hari pada 5 Januari 2026.
Berdasarkan fakta kes, seorang lelaki berusia 43 tahun (pengadu) membuat laporan polis menyatakan rumahnya di Taman Sentosa, Kota Samarahan telah dipecah masuk pada 28 Disember 2025.
Kejadian itu menyebabkan beberapa barangan didapati hilang termasuk dua telefon bimbit, wang syiling RM30 dan dua helai baju, selain kerugian sekitar RM1,000.
Siasatan polis seterusnya membawa kepada penangkapan Allenick di pekarangan mahkamah Kota Samarahan pada 5 Januari 2026.
Semasa tangkapan dibuat, Allenick telah menunjukkan sendiri tempat dia menyimpan baju tersebut iaitu di dalam sebuah pikap yang diletakkan di tempat letak kenderaan Balai Polis Kota Sentosa.
Hasil siasatan lanjut polis juga mendapati Allenick gagal memberikan sebarang alasan munasabah mengenai pemilikan dua helai baju berkenaan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afiq Safly Nor Kazly sementara Allenick tidak diwakili peguam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Alumni KDPAHA berganding bahu anjur klinik ragbi belia
Februari 9, 2026, Isnin - 8:40pm

Sesi bimbingan satu lawan satu dalam pengendalian bola bagi memastikan kemahiran asas diperkemas dan dikuasai dengan baik walaupun berada di bawah tekanan.
KUCHING: Alumni Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah (KDPAHA) berganding bahu menyumbang kembali kepada alma mater serta komuniti pelajar dengan menganjurkan klinik ragbi belia menerusi Wolfpack Rugby Club di Padang Ragbi MRSM di sini pada 7 Februari lalu.
Wolfpack Rugby Club yang diasaskan pada 2016 oleh bekas pelajar KDPAHA, kini berkembang menjadi sebuah organisasi ragbi berteraskan komuniti di Sarawak dengan penekanan kukuh terhadap pembangunan belia dan kecemerlangan sukan.
Klinik tersebut berjaya menarik penyertaan kira-kira 140 pelajar KDPAHA dan MRSM Kuching, mencerminkan kerjasama erat antara kedua-dua institusi dalam mempromosikan asas ragbi serta pembangunan sahsiah dalam kalangan peserta.
Program itu direka dan dikendalikan oleh jurulatih alumni menggunakan format putaran berasaskan stesen bagi memastikan penyertaan aktif dan inklusif dalam kalangan pelajar dengan tahap kemahiran yang berbeza.
Aktiviti dibahagikan kepada lima stesen kemahiran utama iaitu Play Tag, Fish Net, Caterpillar Passing, Fun Try Race dan Rugby Netball, yang masing-masing bertujuan memperkukuh kecekapan penting seperti pergerakan mengelak, koordinasi pertahanan, ketepatan hantaran, teknik menjaringkan try serta kesedaran taktikal.
Presiden Wolfpack Merril Demornay, menyifatkan inisiatif tersebut sebagai kesinambungan budaya bimbingan yang pernah mereka alami semasa menjadi pelajar.
“Bagi kami, Wolfpack adalah satu legasi. Berdiri di padang ini hari ini, melatih para pelajar ini, kami melihat diri kami yang dahulu.
“Matlamat kami adalah untuk membalas bimbingan yang pernah kami terima dan membuktikan bahawa ikatan serta nilai yang terbentuk di sini melangkaui zaman persekolahan,” katanya.
Menurut Merril, klinik itu mencerminkan misi kelab untuk menyalurkan pengalaman alumni kepada impak bermakna kepada komuniti, di samping memupuk nilai teras ragbi seperti disiplin, integriti, solidariti dan rasa hormat dalam kalangan pemain muda.
Kejayaan penganjuran program tersebut turut disumbangkan oleh kerjasama para guru kedua-dua sekolah, yang mencerminkan komitmen bersama terhadap pendidikan holistik, di mana sukan berperanan dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan kepimpinan.
Selain latihan teknikal, sesi tersebut turut mengeratkan hubungan persahabatan antara sekolah apabila pelajar dari kedua-dua institusi berlatih bersama dalam suasana yang bersatu dan harmoni.
Ahli Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pembangunan Wolfpack Felexion Lenggai berkata, kelab itu kekal komited dalam membina laluan pembangunan mampan untuk atlet muda.
“Melalui semangat dan tindakan yang berfokus, Wolfpack terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara organisasi ragbi paling progresif di Sarawak. Kami komited melahirkan atlet dan pemimpin masa depan, sekali gus memastikan sukan ini terus memberi inspirasi serta memperkasa komuniti di seluruh Sarawak,” tambahnya.
Mengulas perancangan masa depan, kelab itu menyatakan hasrat untuk memperkukuhkan peluang perkembangan pemain sekolah untuk melangkah ke peringkat ragbi kelab secara kompetitif seterusnya ke perwakilan negeri dan kebangsaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|