Post Last Edit by bunick at 9-8-2010 08:00
Hingar bingar kedai makan itu apabila diserang oleh sekumpulan manusia seramai hampir 25 orang itu. Bunick mengambil tempat di meja paling hujung, berkongsi meja dengan tiga orang rakan sepejabat Miko. Salam dihulur, senyuman diukir sebagai tanda perkenalan. Masing-masing menikmati hidangan pagi itu dengan penuh berselera. Semua orang perlu makan untuk mengumpul tenaga sebelum meneroka hutan dan belukar sekejap lagi.
Bunick yang begitu asyik menghadap nasi lemak mendongakkan mukanya apabila terasa dirinya diperhatikan. Sepasang mata berwarna coklat begitu ralit menjamah wajahnya apabila dia mengangkat muka. Cepat-cepat dia larikan pandangannya ke arah lain, takkanlah mamat orang putih tu tengok dia pulak. Jangan perasan lah Bunick!
Perjalanan ke kaki Gunung Nuang diteruskan sebaik sahaja mereka semua habis bersarapan. Masing-masih sudah tidak sabar untuk memulakan trekking. Abang Mi yang mengetuai ekspedisi ini meminta mereka semua membuat sedikit warm up dan stretching sebelum memulakan perjalanan.Bacaan doa juga turut dilagukan oleh Hafiz bagi mendapat keberkatan dan dipermudahkan ekspedisi ini oleh Nya.
Bunick, Miko dan Chengkeh menapak melepasi pintu gerbang hutan rekreasi Gunung Nuang. Perjalanan yang semakin mencabar itu sedikit sebanyak menguji kekuatan mental dan fizikal mereka. Bentuk muka bumi yang berbukit membuatkan Bunick dan Chengkeh mengeluh perlahan.
“Kau cakap trekking Miko, ni dah hiking tau…” Chengkeh membebel sendirian.
“Mana la aku tau. Abang Mi cakap trekking, aku bukan pernah datang sini pun.” Miko bela diri dia sendiri. Tak sempat nak cari peguam bela ni, terpaksa la mempertahankan diri sendiri.
“Abang Mi tipulah ni.” Bunick pula meluahkan rasa tak puas hatinya. Kalau dah macam ni bukit yang kena daki, bukan trekking dah namanya. Termengah-mengah dia memanjat bukit yang mencanak tinggi di depannya. Nasib baik trek laluan dah terang tanpa semak samun, mengurangkan kemungkinan pacat untuk hinggap di kasut atau seluar trek bottom yang dipakainya.
“Ala korang, janganlah marah aku. Kalau aku tau hiking macam ni, aku tak ajak korang.” Sedih je suara Miko.
“Kami tak marah la, tapi sepatutnya Abang Mi cakap yang betul. Nak hiking ni kena ada persiapan fizikal. Takut nanti ada pulak yang cramp.” Chengkeh buka penutup botol air mineral. Dia teguk air putih itu dengan rakus.
“Nak buat macam mana lagi Chengkeh, takkanlah nak patah balik pulak. Aku sekarang ni bayangkan nak mandi air terjun kat atas tu aje. Kalau tak aku pun nak give up je.” Giliran Bunick pula meneguk air putih dari dalam botol yang dihulurkan oleh Chengkeh.
“Haah, korang jadikan aje air terjun yang sejuk itu sebagai matlamat korang sekarang ni. Chaiyok! Chaiyok!” Miko bersuara dengan penuh semangat. Dia sendiri sudah hanpir putus nafas, tapi depan Chengkeh dengan Bunick, kena tunjuk kuat. Kalau tak, harus budak berdua tu gelakkan dia.
“Excuse me…” Satu suara garau dari belakang mengejutkan mereka bertiga yang tertonggek-tonggek mendaki bukit yang agak curam. Seorang lelaki berkulit putihdan bersaiz agak besar jika dibandingkan dengan lelaki Asia memintas mereka. Disisinya pula terkedek-kedek seorang perempuan yang sahih warganegara Malaysia berjalan sambil menyanyikan lagu I Will Survive .
Lelaki itu tersenyum manis ke arah mereka bertiga manakala hanya Miko yang membalas senyuman itu. Officemate Miko la tu. Namun, sewaktu lelaki itu memandang ke arah Bunick, dia menyedari bahawa lelaki itulah yang leka memerhatikannya sewaktu mereka bersarapan tadi. Bunick kalih pandangan pada awek mamat orang putih tu. Kalaulah awek tu tau Bunick main mata dengan pakwe dia tadi, haruslah ada adegan tarik rambut dan tarik tudung sekejap lagi. Awek tu mesti akan tarik tudung Bunick dan Bunick pula akan tarik rambut awek tu sebab dia tak pakai tudung. Hisssh…tak patut betul ada adegan yang macam tu kat dalam hutan macam ni.
Banyak kali juga mereka bertiga terpaksa berhenti dari mendaki. Tiada latihan fizikal sememangnya mengurangkan kelinciran pendakian ini. Namun, salah infirmasi membuatkan mereka terpaksa memaksa diri meneruskan ekspedisi ini. Semoga kesejukan air terjun di Kem Sungai Lolo akan dapat menghilangkan kelelahan mendaki pada hari ini.
Setelah hampir dua jam mendaki, kesemua ahli ekspedisi berhenti di salah satu checkpoint sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Sungai Lolo. Menurut Abang Mi, perjalanan selepas ini hanyalah di atas muka bumi yang landai. Tiada lagi bukit yang akan didaki selepas ini. Mudah-mudahan Abang Mi tak tipu kali ni.
Hampir setengah jam juga mereka berkumpul di check pint itu. Dan dalam masa setengah jam itu jugalah Bunick beberapa kali menangkap mamat orang putih itu memerhatikan dirinya.
“Korang, ada apa-apa yang pelik tak kat muka aku?” Bunick tanya Miko dengan Chengkeh sambil meraba-raba mukanya. Mana tau ada sesuatu yang melekat diwajahnya sehingga membuatkan mamat orang putih itu memerhatikan dirinya.
“Takada apa-apa pun. Tudung kau pun elokje…” Chengkeh jawab sambil tengok muka Bunick.
“Takut sangat pacat naik kat muka dia tu.” Giat Miko pula.
“Mana ada. Cuba korang tengok kat baju aku ke, seluar aku ke. Mana tau ada benda-benda pelik kat situ.” Bunick masih belum puas hati lagi.
“Tak ada apalah. Fobia sangat kau ni.”
Bunick ketap bibirnya kuat. Kalau tak ada apa-apa, kenapa mamat orang putih tu tengok dia semacam je. Nak kata dia perasan sendiri mamat tu tengok dia, dah banyak kali dia tangkap pandangan mata mamat orang putih tu yang leka perhatikan dia.
Perjalanan diteruskan dan kali ini mereka terpaksa menempuh kawasan belukar pula. Rumput yang sedikit basah mendatangkan resah di hati Bunick. Dia cuba membuang jauh-jauh perasaan takut pada pacat. Orang kata, makin kita takut makin pacat tu nak hisap darah kita. Bunick sedikit ketinggalan di belakang Miko dan Chengkeh. Mamat orang putih dan aweknya pula berada di belakang Bunick. Bunick melajukan langkahnya untuk menyaingi Miko dan Chengkeh, tak sanggup nak dengar suara awek mamat orang putih tu yang meliuk lentok bercakap dalam bahasa penjajah tu.
Namun, tiba-tiba sahaja jeritan Bunick memecahkan kesunyian hutan. Miko dan Chengkeh yang berada di depan berlari ke arah Bunick. Pucat lesi muka Bunick bila mendapati seekor pacat sedang bersemayam di atas kasut sukannya. Mamat orang putih yang berada di belakang Bunick cepat-cepat menguis pacat di atas kasut Bunick dengan ranting kayu.
“Don’t scare, its gone.” Mamat orang putih tu tepuk bahu Bunick perlahan.
Bunick yang masih terkejut dengan kehadiran pacat di atas kasutnya, terkaku bila tangan mamat orang putih itu mendarat di bahunya untuk jangka masa lima saat.
“Beb, kau ok ke?” Miko tanya Bunick yang masih berdiri tegak.
“Aaaku oookkkay….”Tergagap-gagap Bunick jawab soalan Miko. Hati Bunick masih berdebar-debar dengan tragedy berangkai sebentar tadi. Lidahnya kelu untukmengucapkan terima kasih kepada mamat orang putih yang masih berdiri di hadapannya.
“Errr…thankyou sir…” Akhirnya terluah juga ucapan terima kasih secara formal dari mulut Bunick.
“Don’t call me sir, I’m Alex.” Mamat orang putih tu kenalkan diri sendiri pada Bunick sambil tersenyum.
“She still shock Alex. Thanks for your help.” Miko cuba cover keadaan Bunick yang masih lagi terkejut.
“My pleasure…” Alex terus berlalu dari situ diikuti oleh aweknya yang dari tadi menjadi penonton setia adegan Bunick, pacat dan mamat orang putih!
“Wei, kau ni terkejut sebab pacat ke sebab Alex?” Miko tarik tangan Bunick sambil melangkah merentasi laluan yang dipenuhi semak samun.
“Errrr…aku terkejut pasal pacat la. Apa hal pulak aku nak terkejut pasal Alex tu?” Bunick cepat-cepat jawab soalan Miko. Dia cuba menutup gemuruh di hati. Mati kalau Miko tau yang dia memang terkejut bila tangan Alex menepuk bahunya tadi. Walaupun untuk jangka masa tidak melebihi lima saat, terasa sentuhan tangan Alex tadi menggegarkan hati perempuannya. Bunick, tak payah berangan nak dapat boyfriend mat salleh okey!!!
|