CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 7-2-2026 02:21 PM | Show all posts
26 projek RTP 2026 diluluskan bagi DUN Bukit Semuja
Februari 7, 2026, Sabtu - 11:47am



John merakam kenangan bersama penerima selepas mengadakan sesi perjumpaan  dengan semua penerima projek serta agensi berkaitan di Pusat Khidmat ADUN Bukit Semuja di Serian Jumaat. - Gambar UKAS

KUCHING: Sebanyak 26 projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 dengan nilai keseluruhan RM5 juta telah diluluskan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata, projek-projek tersebut melibatkan kampung-kampung, sebuah taman komuniti (perumahan) serta institusi pendidikan termasuk sebuah sekolah kerajaan dan sebuah sekolah swasta.

“Perjumpaan ini diadakan bagi memberi penerangan berkaitan kaedah pelaksanaan projek RTP serta pengurusan projek di peringkat kampung.

“Kita mahu penerima iaitu Ketua Kampung untuk memaklumkan kepada penduduk setempat mengenai kelulusan projek yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sesi perjumpaan bersama semua penerima projek serta agensi berkaitan di Pusat Khidmat ADUN Bukit Semuja di Serian Jumaat.

Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) John menjelaskan, bagi pelaksanaan RTP kali ini, pihaknya telah menyenaraikan projek bersama agensi teknikal serta memohon agar pihak teknikal turun ke tapak projek lebih awal bagi mengenal pasti skop kerja yang diperlukan.

Beliau berkata, pendekatan ini akan memudahkan pihak urusetia, agensi pelaksana dan teknikal untuk memperincikan skop kerja selepas perjumpaan sekali gus melancarkan pelaksanaan projek.

Menurutnya, kaedah penyelarasan awal antara wakil rakyat, agensi pelaksana dan penerima projek dilihat lebih berkesan bagi memastikan isu tanggungjawab pelaksanaan dapat diperjelaskan sejak awal tahun.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2026 02:24 PM | Show all posts
Pencahayaan baharu Taman Sahabat warnai sambutan Tahun Baharu Cina
Februari 7, 2026, Sabtu - 11:54am



Dr Sim ditemani Wee serta yang lain melakukan simbolik perasmian majlis ‘Switching On Decorative Lighting 2026 sempena Tahun Baharu Cina. - Gambar UKAS

KUCHING: Upacara pencahayaan baharu di Taman Sahabat menandakan penyempurnaan fasa akhir kerja naik taraf taman tersebut sekali gus menjadikannya lebih terang dan ceria untuk kemudahan orang ramai.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata, projek berkenaan melibatkan pendawaian semula serta penambahbaikan sistem pencahayaan termasuk lampu dekoratif bagi mewujudkan suasana lebih selamat dan menarik.

Menurut beliau, usaha tersebut selaras dengan komitmen Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) untuk terus mempertingkat kemudahan awam di semua taman di bawah pentadbirannya.

“Seperti yang dijanjikan kepada masyarakat, kami akan terus menambah baik ruang awam di seluruh taman di Kuching bagi memastikan persekitaran yang lebih selesa untuk aktiviti riadah,” katanya memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir pada Majlis ‘Switching On Decorative Lighting 2026 bersempena Tahun Baharu Cina di Taman Sahabat di sini, pada Jumaat.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian serta tetamu yang hadir.

Dalam pada itu, Taman Sahabat turut menjadi lokasi penganjuran Bazar Tahun Baharu Cina yang menampilkan kira-kira 36 hingga 40 gerai dengan pelbagai pilihan makanan kreatif.

Wee memaklumkan, bazar tersebut merupakan yang ketiga dianjurkan MBKS tahun ini selepas di Taman Kenyalang, manakala satu lagi akan berlangsung di Pending, sekali gus memperluas penganjuran daripada satu kepada tiga lokasi.

Tambahnya, setiap lokasi mempunyai tarikan tersendiri dan mampu menarik kumpulan pengunjung yang berbeza untuk memeriahkan sambutan perayaan.

Orang ramai turut digalakkan singgah selepas beriadah bagi menikmati suasana serta kemeriahan yang disediakan sempena Tahun Baharu Cina.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 02:26 PM | Show all posts
SPA anjur pertandingan fotografi untuk warga emas
Februari 7, 2026, Sabtu - 1:23pm



Presiden Persatuan Jurugambar Sibu Edwin Ong Wee Kee bersama pengerusi jawatankuasa penganjur Teo Yong Kiat serta barisan ahli jawatankuasa selepas majlis perasmian pertandingan tersebut.

SIBU: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Persatuan Jurufoto Sibu (SPA) menganjurkan Pertandingan Fotografi Warga Emas bertemakan 'Festival' bagi memberi peluang kepada penggemar fotografi berusia 50 tahun ke atas mempamerkan hasil karya mereka.

Pertandingan tersebut mendapat sokongan daripada Wan Seng Colour Photo Studio Centre dan kini dibuka untuk penyertaan orang ramai.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 April depan, jam 3 petang, dan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 50 tahun ke atas.

Menurut penganjur, peserta dibenarkan menggunakan telefon pintar atau kamera profesional untuk merakam gambar, dengan suntingan ringan dibenarkan.

Bagaimanapun, semua karya mestilah dirakam di Sarawak dalam tempoh Disember 2025 hingga 30 April 2026.

Bagi kategori hadiah, pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM800, diikuti RM500 bagi tempat kedua dan RM200 bagi tempat ketiga.

Selain itu, lima hadiah saguhati masing-masing bernilai RM100 turut disediakan.

Penyertaan adalah percuma dan tiada had bilangan karya yang boleh dihantar, namun setiap peserta hanya layak memenangi satu hadiah.

Karya yang dipertandingkan mestilah bersaiz 8R (8x12 inci) tanpa tera air atau bingkai putih.

Peserta perlu menghantar karya serta melengkapkan pendaftaran di Wan Seng Colour Photo Studio Centre di Jalan Palah.

Keputusan juri adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak akan dilayan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 02:27 PM | Show all posts
Lau seru pemimpin masyarakat Cina ketepi perbezaan politik, tumpu khidmat kepada rakyat
Februari 7, 2026, Sabtu - 1:30pm



Lau (tengah) bersama barisan ahli Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu merakamkan kenangan selepas sidang media di Sibu, hari ini.

SIBU: Presiden Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming menyeru para pemimpin masyarakat Cina supaya mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, pemimpin masyarakat dilantik oleh kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat dan bertindak sebagai barisan hadapan kerajaan, justeru politik tidak seharusnya dicampuradukkan dalam peranan sebagai pemimpin masyarakat.

“Selepas pemilihan lalu, terdapat pemimpin masyarakat yang berhaluan politik tertentu gagal dipilih, menyebabkan mereka kurang menyertai aktiviti dan program yang dianjurkan oleh persatuan sejak kira-kira setahun lalu.

“Saya berharap semua pemimpin masyarakat dapat mengetepikan perbezaan politik kerana kita berada di sini untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kita dilantik oleh kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat. Kita adalah barisan hadapan kerajaan. Ini sangat penting,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini hari ini berhubung Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diadakan di Hotel Tanahmas pada 7 Mac depan.

Beliau menyifatkan keadaan tersebut sebagai satu bentuk konflik yang berpunca daripada perbezaan pendapat dan ketidakpuasan hati selepas pemilihan.

Lau menegaskan persatuan tidak menggalakkan sebarang bentuk pemulauan atau boikot terhadap aktiviti yang dianjurkan, sambil menjelaskan bahawa persatuan itu bukan ditubuhkan oleh kepimpinan semasa.

“Sebaliknya, persatuan ini diasaskan oleh pemimpin terdahulu bagi memperkukuh kerjasama, perpaduan dan hubungan erat dalam kalangan pemimpin masyarakat.

“Persatuan ini telah berfungsi dengan baik sebelum ini melalui penganjuran pelbagai aktiviti, termasuk ceramah dan seminar, bagi meningkatkan pengetahuan pemimpin masyarakat agar mereka dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, perbahasan mengenai siapa betul dan siapa salah tidak akan berkesudahan, sebaliknya menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan pemimpin masyarakat bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kepada rakyat serta mengelakkan contoh teladan yang buruk.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pemimpin masyarakat, termasuk yang mempunyai kecenderungan politik tertentu, akan menyertai AGM serta Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran persatuan sebagai platform untuk berinteraksi, berbincang dan memperkukuhkan perpaduan.

“Tahap kesepaduan yang baik dalam kalangan pemimpin masyarakat akan membolehkan mereka bekerjasama dengan lebih berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab serta berkhidmat kepada komuniti,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 02:29 PM | Show all posts
Taman Komuniti YMCA Sibu akan dibangun dengan peruntukan RTP RM350,000: Chieng
Februari 7, 2026, Sabtu - 1:32pm



Chieng (tengah), Ting (tiga kanan), Lau (tiga kiri) serta yang lain ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Komuniti YMCA di Sibu, hari ini.

SIBU: Taman Komuniti Pertubuhan Belia Pemuda Kristian (YMCA) Sibu di Jalan Terap bakal dibangunkan dengan kos sebanyak RM350,000 menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng.

Menurutnya, taman komuniti berkeluasan kira-kira 1,297 meter persegi itu merupakan hasil kerjasama erat antara wakil rakyat, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan YMCA Sibu, sekali gus mencerminkan pendekatan pembangunan berasaskan komuniti yang mampan dan inklusif.

"Sejak awal, matlamat kami bukan sekadar membina sebuah taman, malah memastikan ia digunakan secara aktif, diselenggara dengan baik dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat," katanya ketika berucap sempena Majlis Pecah Tanah Taman Komuniti YMCA di sini, hari ini.

Chieng berkata, perbincangan awal mengenai pembangunan taman tersebut telah bermula seawal tahun 2023 dan dengan sokongan MPS, YMCA Sibu bersetuju untuk mengurus serta mengguna pakai kawasan berkenaan sebagai sebuah hab komuniti yang dinamik, dikenali sebagai Taman Komuniti YMCA.

"Taman ini dijangka siap dan dibuka kepada orang awam pada penghujung tahun ini, sekali gus menjadi taman komuniti pertama yang memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan sekitar Brooke Drive dan Jalan Tun Abang Haji Openg," ujarnya.

Walaupun bersaiz sederhana katanya, taman tersebut akan menyediakan ruang yang kondusif untuk aktiviti rekreasi, senaman dan interaksi sosial, selain menggalakkan kanak-kanak serta keluarga meluangkan masa di luar dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MPS atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang perancangan dan pelaksanaan projek serta memuji peranan YMCA Sibu yang konsisten dalam pembangunan belia, kesihatan komuniti dan khidmat sosial.

Menurut Chieng, pembangunan Taman Komuniti YMCA itu juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

"Dengan kedudukan kemudahan YMCA yang berhampiran, taman ini berpotensi menjadi lokasi penganjuran pelbagai program komuniti melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, sekali gus memperkukuh ikatan sosial dan kesejahteraan masyarakat," tambahnya.

Hadir sama ialah Pengerusi MPS Clarence Ting, Presiden YMCA Sibu Senator Robert Lau serta tetamu jemputan yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 02:34 PM | Show all posts
Edited by Vellfire at 7-2-2026 02:35 PM

Pembetung kecil, tersumbat akan diatasi
Februari 7, 2026, Sabtu - 1:23pm



TINJAU: Ishak bersama rombongan meninjau punca yang menyebabkan air melimpah ke rumah penduduk dan juga sistem saliran sawah padi, bagi mengatasi masalah itu.

KENINGAU: Kejadian banjir yang melanda Kampung Sandapak, Bingkor baru-baru ini telah dikenal pasti, yang berpunca daripada limpahan Sungai Kisaging apabila sebuah pembetung bersaiz kecil di kawasan saliran sawah tersumbat dengan potongan kayu serta sampah sarap, menyebabkan aliran air gagal ditampung ketika hujan lebat.


Keadaan itu mengakibatkan air sungai melimpah ke kawasan kediaman penduduk, Geofred Daigo serta menjejaskan sistem saliran sawah padi di kampung berkenaan.


Susulan itu, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Mohd Ishak Ayub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor turun padang meninjau lokasi saliran yang sering menjadi punca banjir berulang bagi menilai keperluan tindakan penambahbaikan.


Lawatan itu turut disertai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Lectus Fung; Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir Dechord Moujing, kakitangan Pejabat Wakil Rakyat Bingkor serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bingkor.


Tinjauan terbabit bertujuan mengenal pasti penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang, termasuk keperluan menaik taraf saiz culvert serta pembersihan berkala bagi mengurangkan risiko banjir berulang, khususnya ketika musim hujan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 7-2-2026 02:35 PM | Show all posts
Sbh - Pembetung kecil, tersumbat akan diatasi

Swk - BDA anjur BIKF 22-26 Julai

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 02:36 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 7-2-2026 02:57 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 7-2-2026 02:58 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:15 PM | Show all posts
Sabah perkasa pembangunan sukan melalui latihan antarabangsa, kolaborasi universiti
Februari 7, 2026, Sabtu - 2:36pm



CEMERLANG: Eva Anatasia (kanan) menerima Anugerah Olahragawati Harapan Negeri Sabah daripada Nizam (tengah), sambil disaksikan Setiausaha Tetap KBSK Datuk Mansur Asun.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) terus memperkukuh pembangunan sukan negeri melalui latihan antarabangsa dan kolaborasi bersama universiti luar negara.

Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif strategik itu bertujuan meningkatkan kualiti latihan atlet Sabah melalui pendekatan sains dan teknologi sukan bertaraf antarabangsa, sekali gus melonjakkan daya saing atlet negeri ke peringkat lebih tinggi.

"Pada tahun ini, kementerian akan memeterai perjanjian latihan luar negara melibatkan beberapa sukan terpilih di Guangzhou Sport University yang merupakan antara tiga universiti sukan terbaik di China bagi memperkukuh kualiti latihan atlet Sabah ke tahap antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2023–2024 yang berlangsung di sini, pada Jumaat.

Menurut Nizam, pendekatan latihan berasaskan sains dan teknologi sukan merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu bersaing bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah antarabangsa.

"Pendekatan latihan berasaskan sains dan teknologi sukan ini adalah pelaburan jangka panjang kerajaan negeri untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu bersaing di peringkat dunia," katanya.

Selain itu, kementeriannya turut menjalinkan kolaborasi strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha melahirkan atlet berkualiti tinggi melalui penyelidikan, pemindahan kepakaran serta penggunaan teknologi latihan moden.

Dalam usaha memastikan kesinambungan prestasi sukan negeri, Nizam berkata kementeriannya akan terus mempergiatkan pembangunan akar umbi menerusi penganjuran kejohanan di peringkat daerah, bahagian dan negeri termasuk Temasya Sukan Sabah (SAGA).

"Penganjuran SAGA di Tawau pada Oktober tahun lalu membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan akar umbi apabila melibatkan penyertaan seramai 7,506 atlet dan pegawai dari seluruh Sabah," ujarnya.

Pada majlis tersebut, Nizam turut menyampaikan Anugerah Khas kepada Chong Man Kuen @ Andrew bagi pengiktirafan dalam pembangunan sukan Wushu peringkat sekolah, Borneo Samudera Sdn Bhd atas sokongan tajaan korporat, Sabah Softwoods Berhad bagi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melibatkan sukan bola sepak, badminton, snuker serta penganjuran Brumas Wildlife Run, serta Jetama Sdn Bhd bagi CSR pembangunan sukan komuniti dan akar umbi.

Turut disampaikan ialah Anugerah Olahragawati Harapan Negeri Sabah kepada Eva Anatasia Warren (Muay Thai), Anugerah Olahragawan Harapan Negeri Sabah kepada Jaethan Jonathan Quan (Muay Thai), manakala Anugerah Persatuan Sukan Terbaik Negeri Sabah dianugerahkan kepada Persatuan Muaythai Negeri Sabah.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:17 PM | Show all posts
Kerajaan peruntuk RM8.46 juta perkasa Renjer Komuniti Sabah
Februari 7, 2026, Sabtu - 2:50pm



TINJAU: Arthur (tengah) semasa menerima taklimat di majlis berkenaan.

NABAWAN: Kerajaan persekutuan terus komited memperkukuh perlindungan khazanah alam negara melalui peruntukan khas sebanyak RM8.46 juta bagi pelantikan 225 orang Renjer Komuniti di Sabah untuk 2026.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM80 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi melantik seramai 2,500 Renjer Komuniti di seluruh negara menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan, peranan Renjer Komuniti amat kritikal kerana kemahiran mereka dalam selok-belok hutan membantu pihak berkuasa membanteras pencerobohan, pembalakan haram, dan pemburuan haram.

Beliau berkata, sekiranya tindakan luar biasa tidak dilakukan sekarang, tidak mustahil Malaysia akan kehilangan spesies ikonik buat selama-lamanya.

Katanya, sejak dilaksanakan pada 2019 sehingga Disember 2025, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) telah mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan tangkapan seramai 904 warganegara tempatan serta 294 warga asing.

Selain itu katanya, nilai barangan yang dirampas mencecah RM413.1 juta manakala sebanyak 2,838 jerat haiwan telah berjaya dimusnahkan bagi melindungi spesies ikonik seperti Orangutan, Banteng Borneo, dan Gajah Pygmy.

Katanya, di peringkat negeri, sehingga kini seramai 217 Renjer Komuniti Sabah telah ditempatkan di 18 pos rondaan merangkumi kawasan strategik seperti Keningau, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan, Tawau, Tenom, dan Sipitang.

"Salah satu inovasi membanggakan adalah penubuhan pasukan SMART Analyst yang terdiri daripada Renjer Komuniti wanita bagi mengurus data hotspot jenayah hutan secara komprehensif," katanya.

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menyuarakan hasrat melihat lebih ramai penduduk Nabawan terlibat memandangkan 70 peratus daerah tersebut merupakan Hutan Simpanan Kekal.

Beliau turut mengumuman peruntukan tambahan bagi melantik 15 orang Renjer Komuniti khusus untuk kawasan Pagalungan dan Pensiangan.

Mengulas lanjut, beliau mengumumkan bahawa pelaksanaan OBK kini dijadikan sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 Hari beliau selaku Menteri bagi memastikan impak yang lebih nyata kepada rakyat dan kelestarian alam.

Usaha perlindungan biodiversiti Malaysia ini terus mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk Asia Environmental Enforcement Awards (AEEA) daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2021 dan 2023.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:19 PM | Show all posts
RM22.3 juta diperuntuk perkasa pekebun kecil RISDA Sabah tahun 2026
Februari 7, 2026, Sabtu - 2:56pm



SERAH: Jamawi (tengah) menyaksikan penyerahan peruntukan RISDA Daerah Keningau sebanyak RM4.66 juta bagi membangunkan komuniti pekebun kecil.

TENOM: Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM22.308 juta bagi memperkasa komuniti pekebun kecil di Sabah sepanjang tahun 2026.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, peruntukan itu menerusi pelbagai inisiatif pembangunan yang dirangka secara menyeluruh.

Katanya, selain peruntukan di peringkat negeri, RISDA Daerah Keningau turut menerima peruntukan berjumlah RM4.66 juta bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil di daerah berkenaan.

“Peruntukan itu melibatkan bantuan bagi tiga komponen utama iaitu Program Penanaman Semula Getah dan Bekalan, Program Produktiviti dan Pemasaran serta Program Pengembangan dan Perancangan.

“Ia juga bagi memastikan kebajikan serta kelangsungan ekonomi komuniti pekebun kecil terus terpelihara dan berdaya saing,” katanya

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan SJK(C) Chung Hwa, di sini, hari ini.

Jamawi berkata, program berkenaan merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA bagi memastikan komuniti desa, menerima maklumat terkini dan sokongan yang dapat meningkatkan pulangan hasil serta menyokong pembangunan desa secara mampan.

Beliau berkata, program itu juga menjadi platform penting untuk mengangkat martabat komuniti desa selari dengan Aspirasi Desa MADANI.

Menurutnya, komuniti pekebun kecil perlu terus digalakkan dan disokong melalui pelaksanaan inisiatif baharu bagi mewujudkan peluang penambahan pendapatan dan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada hasil getah.

“Keadaan pasaran harga getah dunia ketika ini semakin mencabar, justeru usaha mempelbagaikan sumber pendapatan menjadi antara fokus utama kerajaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi pekebun kecil,” katanya.

Mengulas cabaran sektor getah, beliau berkata Rekod Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 menunjukkan sebanyak 24,443 hektar kebun getah matang atau sedia ditoreh di Sabah kini tidak lagi diusahakan.

“Situasi ini menyumbang kepada penurunan pengeluaran getah asli negara yang bukan sahaja menjejaskan pendapatan pekebun kecil, malah memberi kesan terhadap sumbangan sektor komoditi getah kepada ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, Jamawi berkata KKDW dan RISDA terus menjadikan usaha meningkatkan hasil serta produktiviti kebun sebagai agenda penting bagi memastikan pekebun kecil kekal berdaya saing.

Beliau turut memaklumkan bahawa RISDA Negeri Sabah menerima peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 juta khusus bagi meningkatkan produktiviti kebun getah pekebun kecil di negeri ini.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Pemulihan Getah Terbiar, Program Pengeluaran Hasil Getah Matang, Insentif Pengeluaran Hasil Getah (Lateks) serta penyediaan prasarana ladang.

“Insentif pengeluaran lateks berpotensi memberikan pulangan yang lebih baik berbanding hasil skrap sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi menzahirkan penghargaan terhadap komitmen KKDW dan RISDA dalam memperkasa komuniti desa, khususnya pekebun kecil getah di Sabah.

Beliau turut berharap Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan terus bekerjasama rapat dengan RISDA bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat negeri ini.

“Saya menyeru semua pekebun kecil agar sentiasa berhubung dan bekerjasama dengan RISDA serta LIGS bagi memastikan kebun getah diusahakan secara lebih produktif.

“Individu yang mempunyai tanah terbiar juga digalakkan tampil mendapatkan maklumat dan panduan daripada agensi berkaitan supaya tanah tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi RISDA Negeri Sabah, Nor Afzami Isa; Pengarah KEMAS, Ahmad Fahhrul Azman Muhammad Radzi; Pengarah GIATMARA Negeri Sabah, Ts. Azizzudin A. Aziz; Ketua Daerah, OKK Tusib Tulas; wakil Pegawai Daerah Tenom, Lusip Pitong serta pemimpin setempat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:26 PM | Show all posts
Sarawak perkukuh peranan dalam ekosistem semikonduktor negara
Februari 7, 2026, Sabtu - 2:49pm



Malcolm (tengah) menerima cenderamata daripada Jaffri sambil disaksikan Timothy (kanan) serta yang lain.

KUCHING: Sarawak terus meletakkan dirinya sebagai rakan strategik dalam ekosistem semikonduktor negara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.

Beliau berkata demikian susulan satu libat urus peringkat tinggi antara MINTRED dan Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) semalam yang memfokuskan kerjasama strategik, migrasi rantaian nilai serta pembangunan bakat industri semikonduktor.

Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), terdahulu Malcolm menerima kunjungan delegasi CREST yang terdiri daripada pemimpin industri kanan dan tokoh berpengalaman dalam ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor negara.

Menurutnya, perbincangan tertumpu kepada penyelarasan hala tuju pertumbuhan industri Sarawak dengan ekosistem teknologi dan semikonduktor negara melalui strategi pemindahan segmen rantaian nilai ke arah aktiviti pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi.

“Peluang mewujudkan jambatan strategik antara kluster semikonduktor matang di Pulau Pinang dan asas industri baharu Sarawak turut diteroka.

“Kerjasama seperti ini mampu mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan negara di samping menyokong pembangunan wilayah yang lebih seimbang,” kata Malcolm.

Dengan hala tuju dasar yang jelas itu, komitmen kukuh terhadap peningkatan industri serta fokus kepada kelestarian, Sarawak berpotensi melengkapkan ekosistem sedia ada di Pulau Pinang dan menyumbang secara signifikan kepada rantaian nilai semikonduktor Malaysia, tambahnya.

Pembangunan modal insan katanya, turut menjadi tema utama perbincangan, dengan penekanan kepada pembinaan bakat industri yang bersedia pasaran di Sarawak.

“Kedua-dua pihak meneroka pendekatan pembangunan kemahiran berstruktur dan dipacu industri bagi melengkapkan anak Sarawak dengan keupayaan dalam bidang seperti reka bentuk litar bersepadu (IC), pembuatan termaju dan proses berteknologi tinggi.

“Inisiatif ini selari dengan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” kata Malcolm.

Sebagai sekretariat kepada Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), CREST memainkan peranan penting dalam menghubungkan syarikat multinasional, perusahaan tempatan dan institusi akademik.

Libat urus berkenaan juga menandakan langkah penting dalam menyelaraskan aspirasi pembangunan Sarawak dengan ekosistem E&E dan semikonduktor negara serta menyokong ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia melalui program berasaskan keperluan industri.

Turut hadir ialah wakil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sekali gus mencerminkan kepentingan penyelarasan kerjasama persekutuan dan negeri dalam memacu agenda semikonduktor Malaysia.

Lawatan tersebut difasilitasi oleh InvestSarawak dan diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Timothy Ong, sebagai sebahagian usaha berterusan untuk menyelaraskan pembangunan industri Sarawak dengan keutamaan nasional.

Delegasi CREST yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Jaffri Ibrahim, turut disertai Tan Teong Khin (Ahli Lembaga CREST dan Pengerusi Clarion Group), Datuk Seri Jebasingam Issace John (Penasihat Eksekutif) serta Ang Hee Lai (bekas Ahli Lembaga).

Penyertaan Clarion Group, sebuah pemain industri tempatan berprofil tinggi dalam pembuatan termaju, mengukuhkan lagi pendekatan berteraskan industri serta fokus praktikal terhadap integrasi rantaian nilai dan pelaksanaan industri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:31 PM | Show all posts
Jalur lebar berkelajuan tinggi pacu transformasi digital Sungai Asap
Februari 7, 2026, Sabtu - 2:58pm



Suhaila (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Liwan (tiga kanan) dan Kennedy (empat kanan) pada majlis penutupan sesi libat urus Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi di Perkampungan Digital Sungai Asap, Belaga semalam.

KUCHING: Projek jalur lebar berkelajuan tinggi yang dibangunkan di Sungai Asap, Belaga menjadi pemangkin transformasi digital luar bandar.

Menurut kenyataan Sarawak Multimedia Authority (SMA), projek berkenaan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk.

Perkara tersebut sekali gus dilihat berupaya melengkapkan inisiatif Perkampungan Digital Sungai Asap yang sedang giat dilaksanakan di kawasan berkenaan.

"Projek tersebut melibatkan pemasangan kira-kira 140 kilometer gentian optik serta pembinaan menara telekomunikasi di 28 tapak strategik, sekali gus memperluas liputan jalur lebar berkelajuan tinggi ke kawasan pedalaman.

“Ia juga akan memberi manfaat secara langsung kepada 15 rumah panjang melibatkan komuniti kaum Kenyah, Kayan, Lahanan, Seping, Ukit dan Penan, selain turut merangkumi tujuh agensi kerajaan, tiga sekolah dan dua rumah ibadat,” kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi) Datuk Liwan Lagang.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi - Perkampungan Digital Sungai Asap di Dewan Komuniti Sungai Asap, semalam.

Menurut Liwan, projek bernilai sekurang-kurangnya RM37 juta itu bertujuan merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar supaya akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi dapat dinikmati secara lebih saksama oleh masyarakat luar bandar.

“Pelaksanaan projek ini turut memanfaatkan laluan Right of Way (ROW) Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi mempercepatkan penyediaan infrastruktur telekomunikasi yang lebih efisien dan berpatutan kepada komuniti luar bandar.

“Akses digital ini amat penting untuk memperkukuh sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, tadbir urus dan perdagangan digital, selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, projek berkenaan berpotensi menjadi pemangkin utama kepada pembangunan sosioekonomi komuniti Sungai Asap.

“Projek ini membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai perkhidmatan digital seperti e-kerajaan, pendidikan digital, pertanian pintar dan sistem keselamatan awam.

“Infrastruktur yang dibangunkan juga akan merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar dengan menyokong keusahawanan, pasaran dalam talian serta perniagaan digital yang dipacu oleh inovasi,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Timbalan Pengurus Besar SMA Dr Suhaila Jaffar berkata, kejayaan projek jalur lebar berkelajuan tinggi yang dilaksanakan SMA di Daerah Sebauh, Bintulu pada tahun 2022 telah membuktikan impak positif terhadap komuniti setempat.

“Kini, kejayaan tersebut diperluaskan ke Sungai Asap sebagai usaha mempercepatkan transformasi komuniti digital dan membina ekosistem digital yang inklusif di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA Jafer Sadig Abdul Lathiff serta wakil pelbagai agensi termasuk Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), Telekom Malaysia dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:34 PM | Show all posts
Gotong-royong perlu dijadikan amalan berterusan di peringkat kampung: Hasidah
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:07pm



Hasidah (berdiri empat kiri), Hilmy (berdiri lima kiri) merakamkan gambar bersama peserta gotong-royong di Kampung Sungai Bedil Besar.

KUCHING: Program gotong-royong perlu dijadikan amalan berterusan di peringkat kampung bagi memastikan kebersihan persekitaran terpelihara serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Sayeed Aman Ghazali berkata, program seperti itu bukan sahaja  memperkukuh  semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat.

Malah kata Hasidah, ia mampu membentuk budaya menjaga kebersihan dan mengamalkan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.

“Gotong-royong adalah program yang sangat baik dan sepatutnya sentiasa diadakan di peringkat kampung.

“Kita bukan sahaja membersihkan kawasan, tetapi pada masa yang sama memupuk kesedaran untuk mengamalkan kitar semula seperti plastik, kertas dan barangan terpakai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Kampung Sungai Bedil Besar di Surau Nurul Muslimin di sini, hari ini.

Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang menambah, pembuangan plastik secara sewenang-wenangnya boleh mencemarkan alam sekitar kerana bahan itu mengambil masa beratus tahun untuk terurai.

Sehubungan itu, beliau memuji inisiatif Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Kejiranan Mesra (KJM) yang mengadakan program gotong-royong berserta aktiviti pengumpulan sisa kitar semula seperti plastik, kertas dan minyak terpakai.

Beliau turut menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), KJM serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar mengambil inisiatif menganjurkan program sama secara berkala tanpa perlu menunggu pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu, program gotong-royong tersebut dianjurkan sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh semangat kejiranan, memelihara kebersihan persekitaran serta membina komuniti yang sihat, harmoni dan lestari.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman bersama pengurusan kanan DBKU, pemimpin masyarakat setempat, pelajar institusi pengajian tinggi serta penduduk kampung.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2026 03:37 PM | Show all posts
LDP dekati peniaga Sandakan, edar kalendar, terima aduan rakyat
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:19pm



MESRA: Chong turun padang mengedarkan kalendar kepada peniaga di Pasar Kim Fung, Pasar Elopura dan Pasar Sentral, di sini.

SANDAKAN: Naib Presiden Liberal Democratic Party (LDP), Chong Thien Ming mengetuai sekumpulan ahli parti turun padang mengedarkan kalendar kepada peniaga di Pasar Kim Fung, Pasar Elopura dan Pasar Sentral, di sini, sebagai usaha berterusan mendekati komuniti setempat.

Chong berkata, pengedaran kalendar menjadi aktiviti tahunan parti dan kekal dilaksanakan setiap tahun walaupun LDP tidak memegang sebarang jawatan rasmi di Sandakan ketika ini.

Menurutnya, komitmen berkhidmat kepada rakyat tetap menjadi keutamaan parti tanpa mengira kedudukan politik.

“Sepanjang lawatan ini, kami mendengar secara langsung keluhan dan kebimbangan peniaga mengenai pelbagai isu harian yang mereka hadapi.

“Saya juga rasa gembira apabila mendapati penduduk dan peniaga Sandakan masih memberi sokongan serta menunjukkan sikap terbuka terhadap kehadiran pasukan LDP.

“Di Pasar Sentral, ramai peniaga mengambil peluang menyuarakan keperluan penambahbaikan kemudahan termasuk aspek kebersihan dan kerja pembaikan kecil,” katanya.

Katanya, beberapa isu penyelenggaraan memerlukan perhatian segera bagi memastikan persekitaran pasar lebih selesa dan selamat kepada peniaga serta pelanggan.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan pihak pembangkang yang didakwa hanya memberi tumpuan kepada kebajikan peniaga di Pasar Dinihari tetapi mengabaikan masalah lama di Pasar Sentral.

“Baru-baru ini mereka memperbesarkan isu pemindahan Pasar Dinihari ke Pasar Borong Ramai-Ramai melalui media sosial.

“Namun jumlah peniaga tanpa lesen di sana semakin meningkat dan ada enggan berpindah, tetapi persoalannya mengapa masih tiada tindakan diambil,” katanya.

Chong berkata, Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menjaga kebajikan peniaga sah yang berusaha mencari rezeki secara teratur dan mematuhi peraturan.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemimpin pembangkang bersikap rasional serta memberi tumpuan membantu peniaga dan pembekal sah, bukannya mempolitikkan isu pasar.

Menurutnya, sebahagian peniaga Pasar Sentral lebih selesa berurusan terus dengan MPS berbanding wakil rakyat kerana bimbang isu mereka diperalatkan bagi kepentingan politik.

“Ada yang maklum sudah banyak aduan disalurkan kepada pihak berwajib, namun tiada tindakan susulan,” katanya.

Chong memberi jaminan semua aduan akan dibawa kepada Presiden MPS, Walter Kenson bagi mendapatkan penambahbaikan perkhidmatan dan tindakan lanjut.

“Fasa penambahbaikan menyeluruh sedang dirancang dan setiap keperluan peniaga akan diteliti satu persatu.

“Dalam masa sama, saya menekankan kebajikan peniaga Pasar Sentral perlu dilindungi secara adil memandangkan mereka beroperasi bertahun-tahun serta menanggung sewa dan kos operasi lebih tinggi,” katanya.

Katanya, harga jualan di Pasar Dinihari pula kekal rendah dan ada peniaga berniaga sehingga jam 8 pagi, sekali gus mewujudkan persaingan tidak seimbang.

“Situasi ini meletakkan peniaga Pasar Sentral pada kedudukan kurang adil walaupun mereka mematuhi peraturan dan membayar kadar ditetapkan.

“Amalan manipulasi pasaran serta persaingan tidak sihat tidak wajar dibiarkan kerana boleh menjejaskan kelangsungan sistem pasar formal.

“Kita mahu semua peniaga mendapat peluang sama rata dan pasaran yang sihat demi kelangsungan ekonomi tempatan,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:39 PM | Show all posts
Kenaikan tarif elektrik Sabah disesuaikan dengan kos operasi bekalan tenaga tinggi: Jeffery
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:20pm



JEFFERY

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamad berpandangan pelarasan tarif elektrik di Sabah wajar dilaksanakan demi memastikan perkhidmatan bekalan tenaga kekal stabil dan mampan kepada rakyat negeri ini.

Beliau berkata, perkara itu difahami berdasarkan pengalaman ketika berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sebelum ini.

Menurutnya, pelarasan tidak dapat dielakkan berikutan kos operasi bekalan tenaga kini melebihi harga jualan tenaga kepada pengguna.

“eadaan itu memberi tekanan besar kepada kewangan syarikat utiliti sekali gus menuntut penyesuaian kadar tarif supaya operasi dapat diteruskan tanpa menjejaskan bekalan.

“Purata tarif asas meningkat daripada 34.25 sen kepada 39.70 sen per kilowatt-jam (kWh), bersamaan kenaikan sekitar 15 peratus.

“Sebenarnya tarif sebenar diperlukan ialah 45.08 sen per kWh, namun kadar yang diterima hanya 39.70 sen per kWh,” katanya dalam satu kenyataan di sini

Jeffery berkata, pengurangan subsidi kerajaan Persekutuan kepada RM849 juta bagi tempoh 2026 hingga 2027 turut menyumbang kepada keperluan pelarasan kadar berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kenaikan 15 peratus dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan beban pengguna.

Katanya, pelaksanaan secara dua fasa dalam tempoh enam bulan pertama mampu memberi ruang penyesuaian kepada rakyat selain membolehkan pemberian rebat kepada golongan layak.

“Pendekatan ini penting memandangkan kos sara hidup dan harga barangan pengguna kini meningkat secara mendadak.

“Saya bersetuju dengan diskaun kepada penerima yang layak dan berharap bantuan itu dilaksanakan secara konsisten agar tidak timbul masalah sosial lain seperti kecurian elektrik,” katanya.

Dalam masa sama, Jeffery berharap pelarasan tarif baharu dapat membantu Sabah Electricity meningkatkan keupayaan operasi serta memperkukuh kedudukan kewangan syarikat.

Katanya, syarikat utiliti itu perlu lebih berdaya tahan dalam memastikan penjanaan dan pengagihan elektrik berjalan lancar tanpa gangguan.

Beliau juga menggesa Sabah Electricity meneroka sumber tenaga baharu yang lebih mesra alam dan mampan bagi jangka panjang.

Menurutnya, langkah itu penting bagi menjamin keselamatan tenaga selain mengurangkan kebergantungan kepada sumber tradisional yang menelan kos tinggi.

Jeffery turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity dengan pelbagai diskaun dan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Semoga inisiatif ini diperluas kepada lebih banyak kategori yang benar-benar memerlukan, sekali gus memperkukuh kewangan syarikat dan memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:41 PM | Show all posts
Syarikat Sabah perlu tingkat pematuhan standard global: Ewon
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:22pm



ANUGERAH: Ewon menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.

KOTA KINABALU: Lebih banyak syarikat di Sabah digesa meningkatkan pematuhan terhadap piawaian antarabangsa bagi membolehkan produk dan perkhidmatan tempatan menembusi pasaran global serta bersaing secara lebih kompetitif.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, keperluan itu penting dalam usaha memperkukuh kedudukan perusahaan tempatan di peringkat antarabangsa.

Beliau memaklumkan, berdasarkan data Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) Singapura, setakat Disember 2025 hanya 261 syarikat dari Sabah berdaftar dengan agensi berkenaan daripada 12,742 syarikat perusahaan Malaysia secara keseluruhan.

“Angka ini menunjukkan kita perlu melipatgandakan usaha supaya lebih banyak produk dan perkhidmatan syarikat tempatan memenuhi kehendak serta piawaian pasaran antarabangsa.

“Antara fokus utama kementerian ialah membangunkan standard dan kualiti produk serta perkhidmatan usahawan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS), di sini.

Menurutnya, pematuhan kepada piawaian antarabangsa seperti pensijilan Halal, MESTI serta amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mampu meningkatkan keyakinan pembeli luar negara terhadap produk tempatan.

Katanya, pensijilan itu juga membantu syarikat bersedia dari segi tadbir urus, kualiti dan keselamatan sebelum memasuki pasaran eksport.

Sehubungan itu, kementerian akan terus menyediakan dasar serta inisiatif bersesuaian bagi menyokong keperluan usahawan termasuk akses kepada pensijilan, bimbingan teknikal dan promosi pasaran.

Ewon turut menekankan aspek pembungkusan produk sebagai antara elemen penting dalam memperkukuh daya saing syarikat tempatan.

“Dari segi pembungkusan, kita ikhtiarkan pembangunan keperluan ini kerana ia memainkan peranan besar dalam menarik minat pengguna antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemerhatian kementerian mendapati terdapat perbezaan ketara dari segi persembahan produk sebelum dan selepas menerima bimbingan.

“Maklum balas peserta program menunjukkan jualan meningkat apabila pembungkusan ditambah baik dan lebih menepati cita rasa pasaran.

“Pembungkusan bukan sekadar aspek estetika, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap keputusan pembelian pengguna.

“Program bimbingan kementerian juga bertujuan meningkatkan kesedaran usahawan untuk mendapatkan pensijilan penting termasuk Halal dan ESG sebagai prasyarat utama penembusan pasaran global,” katanya.

Katanya, pensijilan berkenaan menjadi faktor besar yang mempengaruhi keyakinan pengguna serta rakan dagang luar negara.

“Selaras dengan aspirasi Sabah First, penskalaan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) menjadi antara keutamaan kementerian melalui peningkatan kapasiti pengeluaran, kecekapan operasi serta pemerkasaan kualiti produk.

“Saya mahu melihat lebih banyak syarikat dari Sabah, termasuk syarikat pemula, mampu menghasilkan produk atau perkhidmatan bertaraf antarabangsa, termasuk menembusi pasaran Singapura,” katanya.

Mengenai AKIS, beliau berharap pengiktirafan itu menjadi pemangkin semangat kepada penerima anugerah dan pemain industri lain untuk terus meningkatkan prestasi serta inovasi.

Katanya, usaha berterusan itu penting bagi melahirkan lebih banyak syarikat tempatan berdaya tahan dan mampu bersaing di peringkat global.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi untuk kita capai tahap lebih tinggi dan merealisasikan aspirasi Sabah sebagai negeri perindustrian menjelang 2040,” katanya.



Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 03:43 PM | Show all posts
Kerajaan negeri susun semula penempatan setinggan berisiko - Nizam
Februari 7, 2026, Sabtu - 3:24pm



PRIHATIN: Nizam ketika melawat dan menyampaikan bantuan kepada semua 80 keluarga mangsa kebakaran.

TAWAU: Kerajaan negeri akan mengambil langkah menyusun semula penempatan setinggan berisiko tinggi susulan tragedi kebakaran yang kerap berlaku di kawasan berkenaan di daerah ini.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang, khususnya di kawasan penempatan padat yang terdedah kepada risiko kebakaran.

Katanya, penempatan setinggan yang dibina terlalu rapat, selain penyambungan elektrik dan bekalan air secara tidak teratur, meningkatkan risiko kebakaran merebak dengan pantas.

“Kerajaan negeri melihat isu ini secara serius dan sudah sampai masanya penempatan setinggan yang berisiko tinggi ini disusun semula dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

“Penduduk juga dinasihatkan supaya mendapatkan panduan PBT bagi memastikan pembinaan rumah mematuhi spesifikasi dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau bersama Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada aspek kebajikan mangsa termasuk penyediaan PPS serta bantuan keperluan asas.

“PPS disediakan selama tiga hari dan dilanjutkan tiga hari lagi atas ihsan Ahli Parlimen Tawau. Selain itu, bantuan makanan dan air mineral turut disalurkan melalui pejabat perhubungan ADUN Apas dan Parlimen Tawau.

“Kita juga berterima kasih kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu yang tampil menghulurkan bantuan kepada semua mangsa,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sedang mengumpulkan permohonan bagi memperbanyakkan pembinaan rumah rakyat sebagai penyelesaian jangka panjang kepada penduduk yang tinggal di kawasan berisiko.

“Inisiatif Rumah Mesra SMJ yang diperkenalkan kerajaan negeri terbukti membantu penduduk berpindah ke kawasan yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Mengulas permohonan mangsa yang merayu supaya dibenarkan mendirikan semula rumah atau diberikan keutamaan dalam Program Perumahan Rakyat (PPR), Nizam berkata, kerajaan negeri bersedia meneliti setiap permohonan yang dikemukakan.

“Kita meminta mangsa mengemukakan permohonan rasmi dan kerajaan akan menilai serta membantu mengikut kemampuan yang ada,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-2-2026 09:59 AM GMT+8 , Processed in 0.452083 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list