CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
Post time 6-2-2026 06:51 PM | Show all posts
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 7-2-2026 07:43 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 7-2-2026 08:11 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 7-2-2026 08:12 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 12:58 PM | Show all posts
Tamparuli DUN pertama Sabah laksana pemilihan JKKK secara undian
Februari 7, 2026, Sabtu - 7:04am



ALBUM: Madius ketika bertemu dengan penduduk kampung yang mendaftarkan diri sebagai calon-calon Pengerusi dan Setiausaha JKKK.

KOTA KINABALU: Proses penamaan calon bagi pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi peluang kepada rakyat di peringkat kampung memilih kepimpinan komuniti mereka secara langsung.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Seri Panglima Madius Tangau berkata, pemilihan itu sekali gus memperkasa amalan demokrasi di peringkat akar umbi.

Katanya, pelaksanaan pemilihan secara undian itu membuktikan komitmen kerajaan untuk mengangkat suara rakyat kampung dalam menentukan hala tuju pentadbiran dan pembangunan komuniti setempat.

Menurutnya, pemilihan JKKK yang dilaksanakan serentak di 94 kampung berdaftar di kawasan DUN Tamparuli menjadikan kawasan itu sebagai DUN pertama di Sabah yang melaksanakan pemilihan JKKK secara demokrasi.

“Pemilihan ini bertujuan memberi ruang kepada penduduk kampung untuk memilih sendiri kepimpinan komuniti mereka secara telus dan adil.

“Ia adalah langkah penting dalam memastikan demokrasi benar-benar diamalkan sehingga ke peringkat paling bawah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, keseluruhan proses pemilihan dikendalikan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli selaku urusetia rasmi yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), dengan kerjasama pejabat UPPM Tamparuli bagi memastikan pelaksanaannya tersusun dan berintegriti.

Berdasarkan tinjauan, proses penamaan calon yang bermula seawal jam 9 pagi di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Kecil Tamparuli berjalan lancar dengan sebanyak 402 borang pencalonan bagi jawatan pengerusi dan setiausaha JKKK diterima.

Daripada jumlah itu, 25 kampung mencatatkan kemenangan tanpa bertanding, manakala dua kampung tidak menerima sebarang pencalonan. Selebihnya, sebanyak 67 kampung akan menyaksikan pertandingan apabila mempunyai lebih daripada satu calon bagi jawatan berkenaan.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran memaklumkan, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli bertanggungjawab mengurus, menyelaras dan memantau keseluruhan proses pemilihan termasuk penamaan calon, tempoh kempen, pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan.

Beliau turut menyeru semua penduduk kampung supaya mengambil bahagian secara aktif dan bertanggungjawab bagi memastikan kepimpinan JKKK yang dipilih benar-benar mewakili kehendak rakyat serta mampu berfungsi secara berkesan.

Untuk rekod, tempoh kempen bermula 6 Febuari hingga 14 Februari depan, manakala hari pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan dijadualkan berlangsung pada 15 Februari 2026 (Ahad) dari jam 1 petang hingga 4 petang.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hannevy W Harry dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Jeffry Teo.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:02 PM | Show all posts
Penutupan, lencongan sementara jalan sempena Karnival Tahun Baharu Cina
Februari 7, 2026, Sabtu - 8:27am



KASIM

KOTA KINABALU: Beberapa jalan utama di pusat bandaraya akan ditutup atau dilencongkan sementara Sempena Karnival Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di Lintasan Deasoka pada 9 sehingga 11 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik dan keselamatan orang ramai sepanjang karnival.

"Laluan yang terlibat antaranya Jalan KK Bypass, Jalan Gaya, Jalan Pantai dan Jalan Coastal.

"Antara cabaran utama adalah kekurangan tempat letak kenderaan, tindakan menurunkan penumpang di laluan utama dan meletak kenderaan secara berlapis atau di atas pembahagi jalan," katanya pada Jumaat.

Menurutnya, laluan kecemasan seperti untuk ambulans dan jentera bomba perlu sentiasa dapat diakses bagi menghadapi sebarang kecemasan.

"Anggota polis trafik akan ditempatkan di laluan-laluan terlibat bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan orang ramai.  

"Selain aspek kelancaran trafik, polis turut memberi perhatian kepada pengurusan keselamatan di kawasan sesak bagi mengekang kejadian jenayah kecil seperti kecurian," katanya.

Selain itu, beliau juga menasihatkan pengunjung memastikan kanak-kanak sentiasa berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga manakala warga emas disaran berehat di tempat sesuai dan mengelak berada di kawasan yang terlalu sesak.

Kassim turut menyeru semua pengguna jalan raya supaya memberi kerjasama, mematuhi peraturan, merancang perjalanan dan menjaga tingkah laku sepanjang karnival berlangsung.

Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 7-2-2026 01:03 PM | Show all posts
RM98.06 juta peruntukan bagi pembangunan belia dan sukan tahun ini
Februari 7, 2026, Sabtu - 9:09am



ALBUM: Musa, Hajiji dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merakamkan gambar kenangan bersama para penerima anugerah.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif tahun ini sebagai komitmen dalam membangunkan sektor belia dan sukan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, daripada jumlah itu RM16.75 juta adalah khusus untuk pembangunan modal insan belia serta pemberian geran kepada persatuan-persatuan belia.

Manakala katanya, RM27.21 juta adalah untuk pembangunan kemajuan sukan.

Menurutnya, ia melambangkan komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan belia sebagai aset berharga dan peneraju kepemimpinan masa depan Sabah.

Berucap pada majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah tahun 2023-2024 di sini pada Jumaat, Hajiji berkata, kerajaan negeri juga akan melancarkan Tabung Kebajikan Penggiat-Penggiat Sukan Sabah pada tahun ini bagi menjaga kebajikan para pengiat sukan di samping melahirkan lebih ramai ahli sukan prestasi tinggi negeri ini.

Beliau berkata, Tabung Kebajikan itu kini dalam rangka perancangan oleh Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.

“Tabung Kebajikan ini juga akan menyediakan bantuan perubatan, memberi sokongan peralatan kepada bekas atlet negara dan Sabah yang sakit, cedera atau memerlukan bantuan lanjut sebagai tambahan kepada bantuan daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

“Usaha ini merupakan satu lagi pengiktirafan Kerajaan Sabah terhadap jasa serta meringankan beban kewangan atlet-atlet sukan yang telah banyak berkorban demi mengharumkan nama Sabah dan Malaysia dipersada kebangsaan, antarabangsa dan dunia,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan sukan sentiasa menjadi agenda utama kerajaan dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai anak-anak muda Sabah menjadi atlet berjaya pada masa hadapan.

“Kerajaan sentiasa memberi dorongan tertinggi kepada atlet-atlet untuk berjaya dan atas usaha itu juga, saya sendiri telah menaikkan jumlah insentif kemenangan atlet semasa Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak iaitu dari RM5,000 kepada RM10,000 untuk pingat emas, dan begitu juga insentif untuk pingat-pingat lain yang dimenangi bagi memangkin lagi semangat perjuangan atlet-atlet yang bertanding.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan atlet-atlet sukan negeri ini. Saya melihat banyak pencapaian dan peningkatan yang membanggakan bukan sahaja di Sukan Sabah, Sukan Malaysia, Para Sukan Malaysia dan Sukan Orang-Orang Pekak, tetapi juga pencapaian diperingkat antarabangsa dan dunia.

“Sesungguhnya, pengorbanan atlet-atlet ini dalam mengharumkan nama Sabah dan Malaysia, adalah amat besar,” katanya.

Hajiji turut menasihatkan atlet sukan muda negeri untuk sentiasa mementingkan pencapaian akademik.

“Kita sedar, sukan membina disiplin tinggi masyarakat khususnya anak-anak muda yang akan menjadi harapan kita di masa hadapan. Walaupun kerjaya sebagai atlet sukan turut menjanjikan pendapatan yang lumayan, saya berharap para atlet tidak mengabaikan kepentingan akademik mereka.

“Sebab itu, atlet-atlet yang berpotensi tinggi kita tempatkan di sekolah-sekolah sukan seluruh negara agar mereka dapat berlatih dengan baik dan selesa dan dalam masa yang sama menerima pendidikan terbaik.

“Kerajaan mahu atlet Sabah bukan sahaja berjaya dalam sukan, tetapi juga mempunyai intelektual, pendidikan atau pengetahuan yang baik serta berkreativiti tinggi.

"Oleh itu, pembangunan sukan dan akademik atlet sukan perlu seimbang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para atlet supaya sentiasa menjauhi perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri mahupun pasukan secara langsung ataupun tidak langsung.

Mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah, Hajiji berharap kejayaan itu akan menjadi titik permulaan kepada semua untuk terus mengorak langkah dan mencipta kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman bersama isteri Toh Puan Hajah Faridah Tusin.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:17 PM | Show all posts
25kg ketum, syabu dirampas, tiga lelaki dicekup
Februari 7, 2026, Sabtu - 12:29pm



RAMPAS: Semua barang rampasan termasuk syabu dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

LAHAD DATU: Tiga lelaki ditahan dalam dua operasi berasingan di daerah ini, semalam, susulan rampasan serbuk disyaki ketum seberat 25 kilogram serta dadah jenis syabu seberat 18.84 gram.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu dalam usaha berterusan membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, dalam operasi pertama, dua lelaki ditahan kira-kira jam 11.10 pagi di Jalan Reno Fajar selepas polis menahan sebuah kereta di hadapan sebuah premis perkhidmatan kurier hasil maklumat risikan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan satu karung guni mengandungi 25 paket plastik lutsinar disyaki berisi serbuk ketum.

“Anggaran berat keseluruhan serbuk ketum berkenaan 25,000 gram dan bernilai kira-kira RM2,125. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam operasi kedua pula, katanya, seorang lelaki tempatan ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Cempaka kira-kira jam 4 petang, pada hari sama.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui lima paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu seberat 18.84 gram.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2026 01:18 PM | Show all posts
Enam syarikat Sabah terima AKIS
Februari 7, 2026, Sabtu - 12:35pm



SERAH: Ewon (dua kiri) menyampaikan hadiah kemenangan kepada salah salah seorang usahawan berjaya.

KOTA KINABALU: Enam syarikat tempatan Sabah dinobatkan pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025 atas kecemerlangan prestasi, inovasi serta daya saing dalam sektor perindustrian dan keusahawanan.

Enam syarikat itu ialah Brown Eyes Production, The Best Solution Management Sdn. Bhd, Twinine Sdn. Bhd, Kedai Emas Osheen Jaya Sdn.Bhd., Onaki Sdn. Bhd dan Jetsin Sdn. Bhd.

Brown Eyes Production memenangi kategori usahawan IKS Tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM1 juta. Manakala pemenang bagi Kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM5 juta dimenangi oleh The Best Solution Management Sdn. Bhd.

Bagi kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan kurang daripada RM10 juta dimenangi oleh Twinine Sdn. Bhd. Kategori syarikat tempatan dengan jualan tahunan antara RM10 juta sehingga RM25 juta dimenangi Kedai Emas Osheen Jaya Sdn.Bhd.

Onaki Sdn. Bhd pula memenangi anugerah kategori syrikat tempatan dengan jualan tahunan melebihi RM25 juta sehingga RM50 juta.

Manakala kategori terbuka iaitu syarikat tempatan dengan jualan tahunan melebihi RM50 juta atau syarikat milik asing dimenangi oleh Jetsin Sdn. Bhd

Kesemua anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) 2024/2025, di sini, semalam.

Ketika berucap pada majlis itu, Ewon berkata, AKIS merupakan platform penting untuk mengiktiraf syarikat tempatan yang menunjukkan pencapaian cemerlang serta menjadi contoh kepada pemain industri lain di negeri ini.

“Anugerah ini bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi diharap mampu mencetuskan inspirasi kepada lebih ramai usahawan Sabah untuk menceburi bidang keusahawanan dan perindustrian yang berdaya saing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Ewon berkata, AKIS yang mula diperkenalkan pada 2007 dan dianjurkan setiap dua tahun sekali kini melangkah ke dekad baharu pelaksanaannya, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan ekosistem industri yang mampan dan berdaya saing.

“AKIS bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan syarikat dan usahawan tempatan, malah menggalakkan daya saing sihat, meningkatkan keyakinan pelabur serta menyerlahkan amalan terbaik pengurusan dan operasi syarikat,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran AKIS 2024/2025 yang bertemakan 'Moving Towards Excellence' bertujuan memperkasa budaya kecemerlangan pengurusan, mengiktiraf pencapaian organisasi serta menggalakkan pengeluaran produk bernilai tinggi yang mampu bersaing di pasaran.

Dalam majlis sama, seramai 50 peserta Program Transformasi Usahawan Sabah turut diraikan, yang melibatkan bimbingan dan bantuan penambahbaikan pembungkusan serta pelabelan produk bagi memenuhi keperluan dan piawaian pasaran.

“Program ini membantu usahawan IKS meningkatkan kualiti pembungkusan dan pelabelan produk mereka, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk menembusi pasaran yang lebih besar,” katanya.

Ewon berharap pengiktirafan AKIS 2024/2025 dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak syarikat Sabah untuk terus meningkatkan prestasi, memperkukuh kualiti produk dan perkhidmatan, serta membawa nama Sabah ke peringkat nasional dan antarabangsa.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:26 PM | Show all posts
SIDS Sibu santuni keluarga tiga kanak-kanak lemas
Februari 6, 2026, Jumaat - 4:35pm

SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu pada Khamis tampil menghulurkan sumbangan kebajikan kepada keluarga tiga kanak-kanak yang terkorban akibat lemas di sebuah kolam kumbahan di Sibu Jaya, dalam kejadian tragik pada Rabu lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan rombongan SIDS Cawangan Sibu yang diketuai Pengerusi Angelyn Uchi Maseng sebagai tanda solidariti dan keprihatinan persatuan terhadap keluarga mangsa.

Turut serta ialah Timbalan Pengerusi Tuai Rumah Monica Giri, Ketua SIDS Kawasan Sibu Jaya Senorita Salleh serta kira-kira 17 ahli.

Menurut Uchi, tragedi menyayat hati itu bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada keluarga mangsa, malah turut dirasai oleh seluruh masyarakat Sarawak.

"Kami amat bersimpati dengan apa yang berlaku.

"Kehilangan tiga nyawa kecil dalam satu insiden merupakan tragedi yang sangat menyentuh perasaan.

"Mangsa-mangsa ini ialah penduduk Sibu dan sebagai sebahagian daripada komuniti ini, kami berasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan serta sokongan moral kepada keluarga terlibat," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menegaskan inisiatif kebajikan tersebut selaras dengan objektif SIDS yang sentiasa komited membantu masyarakat yang ditimpa musibah dan kesusahan.

“Kami berharap keluarga ini diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan berat ini.

"Semoga sumbangan yang kami hulurkan dapat sedikit sebanyak meringankan beban serta menjadi tanda bahawa mereka tidak bersendirian dalam saat sukar ini," tambahnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:30 PM | Show all posts
Pembangunan industri di Bintulu buka peluang pekerjaan, kesan ekonomi terbaik
Februari 6, 2026, Jumaat - 4:45pm



Kong menyampaikan ucapannya sebelum sesi dialog dan pertukaran pandangan antara FORCA Bintulu dan NREB Sarawak di Wisma Huazong FORCA Bintulu, hari ini.

BINTULU: Bintulu sebagai pusat perindustrian Sarawak telah membuka peluang pekerjaan serta kesan ekonomi yang baik hasil pembangunan industri yang sememangnya diperakui serta dialu-alukan, kata Presiden Gabungan Persatuan Cina Berdaftar (FORCA) Bintulu Datuk Kong Kung Kwong.

Begitupun katanya, seiring dengan perkembangan industri yang semakin pesat tersebut, isu yang paling dibimbangi oleh penduduk setempat ialah kualiti udara.

Katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Indeks Kualiti Udara (IPU) di Bintulu sering berada pada tahap sederhana.

"Namun kebanyakan orang awam tidak memahami data teknikal tersebut dan lebih mengambil berat sama ada perubahan ini adalah normal serta selamat, " ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog dan pertukaran pandangan antara FORCA Bintulu dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak di Wisma Huazong FORCA Bintulu hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pejabat NREB Bintulu Franklin Brandah Edward Thomas, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Steven Kong Kai Seng dan Temenggung Dato Chai Shong Phian.

"Berdasarkan data yang diperoleh daripada sumber dalam talian, turun naik kualiti udara di Bintulu adalah kecil, jika dibandingkan dengan Kuching dan Miri.

"Bintulu mengekalkan tahap yang lebih stabil dan lebih baik dalam kebanyakan tempoh," katanya.



Sebahagian penduduk setempat yang hadir dalam sesi dialog dan pertukaran pandangan antara FORCA Bintulu dan NREB Sarawak di Wisma Huazong FORCA Bintulu, hari ini.

Beliau menjelaskan secara umum, kualiti udara pada tahap sederhana membawa maksud pencemaran adalah ringan dan tidak memberi kesan ketara kepada kesihatan kebanyakan orang.

Katanya, dari sudut pandangan penduduk, mereka berharap dapat memahami dengan lebih mendalam apakah piawaian yang digunakan bagi menentukan istilah tidak memberi kesan ketara sama ada kesan jangka panjang turut diambil kira, serta risiko terhadap kanak-kanak, warga emas dan pesakit penyakit kronik.

Tambah beliau, ramai penduduk tidak memahami data teknikal dan sering menilai kualiti udara berdasarkan keadaan fizikal yang dirasai.

Justeru katanya, hanya bergantung kepada istilah sederhana kadangkala tidak mencukupi untuk meredakan kebimbangan orang ramai.

"Apa yang lebih penting adalah memahami keadaan sebenar di sebalik data tersebut, serta mengenal pasti sama ada masih terdapat ruang untuk pemantauan dan penambahbaikan berterusan," jelasnya.

Sehubungan itu katanya, diharap pihak berkaitan dapat menyampaikan data dan penjelasannya kepada orang awam dengan lebih ringkas dan jelas, supaya masyarakat memahami sama ada keadaan udara semasa adalah selamat dan stabil, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap pembangunan industri dan pengurusan alam sekitar.

Beliau turut menyatakan harapan agar melalui sesi dialog ini, masyarakat dapat memahami dengan lebih baik kesan pembangunan industri terhadap kualiti udara serta langkah pemantauan dan tindak balas yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Kita tidak menentang pembangunan, sebaliknya berharap agar pembangunan dan perlindungan alam sekitar dapat berjalan seiring.

"Dengan maklumat yang telus dan komunikasi yang jelas, rakyat akan berasa lebih yakin dan bersedia untuk bekerjasama," katanya.

Beliau menambah, diharapkan sesi dialog ini dapat membantu Bintulu mencari keseimbangan antara pembangunan ekonomi serta pemeliharaan kualiti udara dan kesihatan awam.

Kong merakamkan penghargaan kepada para pegawai NREB Bintulu yang sudi hadir untuk berdialog secara langsung dengan FORCA yang bagi penduduk Bintulu, komunikasi secara bersemuka seperti ini amat penting.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:37 PM | Show all posts
Cabaran isu alam sekitar tuntut kerjasama agensi, pertubuhan dan komuniti
Februari 6, 2026, Jumaat - 4:57pm



Franklin berkongsi maklumat dengan hadirin pada sesi dialog tersebut.

BINTULU: Tuntutan kerjasama antara agensi, pertubuhan dan komuniti amat diperlukan terutamanya apabila menghadapi cabaran isu alam sekitar yang semakin rumit pada masa kini.

Ketua Pejabat Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak Bahagian Bintulu Franklin Brandah Edward Thomas berkata, kita perlu menumpukan perhatian kepada isu-isu yang mempengaruhi kehidupan seharian seperti kualiti udara, industri dan isu alam sekitar yang lebih meluas.

Katanya, kualiti udara khususnya kekal menjadi keutamaan sama ada kesihatan bermusim, pelepasan daripada industri atau kesan kumulatif organisasi.

"Cabaran-cabaran ini bukan sahaja memerlukan aspek teknikal bahkan perlu melalui perkongsian dan kesedaran komuniti," katanya berucap pada sesi dialog dan pertukaran pandangan antara FORCA Bintulu dan NREB Sarawak di Wisma Huazong, FORCA Bintulu hari ini.

Justeru beliau gembira dengan langkah FORCA dengan kepimpinannya mengadakan sesi dialog ini untuk membentuk tingkah laku komuniti yang bertanggungjawab dan memperkukuh pemahaman orang ramai terhadap isu alam sekitar.

"Saya percaya dengan saling bekerjasama, berkongsi maklumat dan bertukar idea, kita boleh membina pengawasan alam sekitar yang lebih lestari, kerangka kerja untuk masa depan," tambahnya.

Menurutnya, dialog ini akan menjadi sesi yang terbuka, membina dan melibatkan semua pihak.

Pada masa sama beliau menghargai FORCA dalam sesi penglibatan bersama tersebut untuk berkongsi maklumat mengenai protokol alam sekitar.



Katanya, ia mencerminkan komitmen bersama pihaknya dan pertubuhan itu untuk menjaga alam sekitar dan memastikan masa depan yang lebih sihat dan lestari untuk komuniti.

Ujarnya, sesiapa pun boleh mengetahui mengenai undang-undang alam sekitar dan bagaimana kita boleh mencapai persekitaran yang sihat.

Katanya, dengan sesi yang diadakan akan memberi peluang kepada pihaknya untuk memperkenalkan peranan NREB melalui sesi pertanyaan dan maklum balas oleh komuniti peserta yang terlibat.

Dalam pada itu katanya, terdapat dua agensi yang menguruskan alam sekitar di negeri ini iaitu NREB yang menguatkuasakan ordinan sumber asli dan alam sekitar, mengawal penggunaan tanah dan juga penerokaan sumber asli, manakala sebuah lagi agensi adalah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia di bawah agensi persekutuan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:48 PM | Show all posts
Pikap terhumban ke dalam gaung, lelaki maut, rakan cedera
Februari 6, 2026, Jumaat - 6:45pm
  
MIRI: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas trak pikap yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban ke dalam gaung dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pembalakan Samling, Kilometer 10, Lopeng-Baram petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pemandu pikap iaitu mangsa, Rudi Kassim, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala rakannya yang menumpang kenderaan berkenaan mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Marudi DSP Nor Aizan Jamil berkata, kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux Single Cab milik sebuah syarikat swasta yang membekalkan bahan bakar untuk enjin jana kuasa di sebuah menara di Baram.

“Siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dipandu mangsa dari Long Selaan menuju ke Lapok sebelum kembali ke pejabat di Batu Niah.

“Setiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai terbabas dan terjatuh secara terbalik ke dalam lubang atau gaung di sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, keadaan jalan di lokasi kejadian adalah jalan tanah tidak berturap, manakala cuaca ketika itu hujan renyai menyebabkan permukaan jalan licin.

“Mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Beluru sebelum disahkan meninggal dua dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Marudi untuk proses bedah siasat,” katanya.

Sehubungan itu kata Aizan, polis turut menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian, mengambil gambar serta mengesan saksi bebas bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:49 PM | Show all posts
Pemuda GPS rancang program jelajah terangkan inisiatif kerajaan: Martin
Februari 6, 2026, Jumaat - 7:12pm



Martin (empat kiri) menunjukkan tanda kesepakatan selepas selesai mesyuarat antara komponen Pemuda GPS di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako petang tadi.

KUCHING: Pergerakan Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) merancang untuk menganjurkan program jelajah bagi menerangkan pelbagai inisiatif kerajaan kepada rakyat, khususnya di peringkat akar umbi.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Martin Ben berkata, ia adalah inti pati utama mesyuarat melibatkan komponen Pemuda GPS iaitu PBB selaku tunjang komponen bersama rakan pemuda dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

“Banyak perkara telah dibincangkan untuk menggerakkan Pemuda GPS yang terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan PDP bagi sama-sama turun padang dan menerangkan semua inisiatif kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika temui pemberita di lobi Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako, petang tadi.

“Kita telah berbincang tentang program yang akan disusun dalam masa terdekat, termasuk menganjurkan 'roadshow' GPS untuk menjelajah... itu antara perancangan kita.”

Terdahulu, beliau turut menyambut baik serta mengalu-alukan pelantikan ketua-ketua Pemuda baharu dalam komponen GPS iaitu SUPP dan PRS dan akan datang PDP.

“Kita mengalu-alukan semua Ketua Pemuda yang baharu...PRS baru sahaja selesai konvensyen mereka, SUPP sama macam PBB juga tahun lepas manakala PDP akan menyusul tidak lama lagi,” katanya.

Mengulas persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang, Martin dengan nada optimis bahawa jentera Pemuda GPS bersedia memainkan peranan penting bagi membantu gabungan itu memenangi semua kerusi ditandingi.

“Saya rasa pergerakan Pemuda akan memainkan peranan membantu GPS memenangi semua kerusi kerana kami sentiasa di lapangan untuk menjalankan program dan membantu ADUN-ADUN kita di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau turut menegaskan semua komponen Pemuda GPS sentiasa aktif di lapangan meskipun tidak semua aktiviti dipromosikan secara meluas.

“Mungkin ada yang tidak dipublisitikan secara menyeluruh tetapi sebenarnya kita semua sentiasa berada di lapangan,” katanya.


Sumber :Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:50 PM | Show all posts
Wanita PBB berdiri teguh, sokong penuh kepimpinan Premier Sarawak
Februari 6, 2026, Jumaat - 7:14pm

KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berdiri teguh di belakang dan menyokong penuh kepimpinan Premier Sarawak dalam mengemudi dan mempertahankan hak-hak negeri ke landasan Sarawak pesat membangun.

Ketua Pergerakan Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia seterusnya memacu Sarawak ke arah merealisasikan agenda dan aspirasi pembangunan khususnya dalam bidang ekonomi digital, teknologi hijau, pembangunan mampan serta pencapaian status negeri berpendapatan tinggi.

"Kami di pihak sayap Wanita Pergerakan PBB juga turut menzahirkan sokongan penuh terhadap Setiausaha Agung PBB Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta sependapat dengan kenyataan beliau yang menekankan kepentingan perpaduan, keharmonian dan keperluan mengekalkan fokus berterusan terhadap kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Fatimah berkata demikian ketika membaca kenyataan bersama selepas mempengerusikan Mesyuarat Sayap Wanita PBB di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako petang tadi.

Fatimah berkata, pihaknya juga menyatakan keterujaan kepada Kerajaan Sarawak atas kejayaan pengambilalihan dan pengembalian Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak.

"Sejujurnya ia satu pencapaian penting dan bersejarah dalam usaha berterusan serta pendirian tegas Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menuntut dan mempertahankan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kami yakin bahawa Pelabuhan Bintulu akan terus memainkan peranan penting serta memberikan sumbangan yang signifikan kepada pembangunan ekonomi Sarawak,” ujarnya.

Berkenaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan tamat pada Februari 2027, beliau menyeru kesemua 82 cawangan dan ranting agar bersiap siaga memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi.

"Setiap ahli di peringkat cawangan dan ranting di seluruh Sarawak harus mengukuhkan semangat bersatu padu, komited serta berdisiplin dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi memastikan kemenangan besar dan meyakinkan bagi semua calon GPS dalam pilihan raya negeri akan datang," kata Fatimah lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:52 PM | Show all posts
Wanita PBB alu-alukan kemungkinan penambahan kerusi untuk wanita: Fatimah
Februari 6, 2026, Jumaat - 7:17pm



Fatimah menjawab pertanyaan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Sayap Wanita PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako petang tadi. Turut kelihatan ialah Hasidah (duduk, kanan) serta pemimpin wanita lain.

KUCHING: Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) amat mengalu-alukan kemungkinan penambahan kerusi untuk wanita jika diberi kepercayaan pucuk pimpinan parti.

Ketua Pergerakan Wanita PBB Dato Sri Fatimah Abdullah bagaimanapun menegaskan bahawa ia adalah kuasa prerogatif Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membuat keputusan sama ada sayap Wanita PBB wajar diperuntuk kerusi baharu susulan penambahan 17 kerusi baharu DUN baharu.

“Seperti yang kita maklum, akhirnya ia terpulang kepada Premier Sarawak. Itu adalah prerogatif beliau... beliau lebih memahami perasaan dan naluri wanita,” katanya ketika ditanya berkenaan kewajaran tambahan kerusi untuk Wanita PBB susulan sokongan teguh wanita terhadap parti.

Terdahulu, Fatimah mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Sayap Wanita PBB di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako petang tadi.

Menurut Fatimah, statistik menunjukkan peningkatan penglibatan wanita dalam politik sepanjang tahun 2024 dan 2025, sekali gus membuka ruang kepada tuntutan yang lebih besar daripada golongan itu.

“Jika sokongan daripada wanita begitu kuat, mengapa tidak diberikan lebih banyak kerusi kepada wanita? Ini satu persoalan yang jujur dan wajar dibincangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang turut serta pada sidang media itu menolak dakwaan sesetengah penganalisis politik yang membandingkan pengurusan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara Sabah dan Sarawak, termasuk label kononnya Sarawak bersikap sombong.

Kata Hasidah, Sarawak yakin dengan kebijaksanaan Premier Abang Johari dalam memperjuangkan hak negeri khususnya berkaitan MA63.

“Di bawah kepimpinan beliau, banyak kejayaan dicapai. Dahulu kita hanya menerima sekitar RM6 bilion hingga RM12 bilion, sekarang meningkat kepada lebih RM12 bilion.

“Ini membuktikan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak dalam mengembalikan dan mempertahankan hak negeri membuahkan hasil,” katanya.

Mengulas isu sama, Fatimah menyifatkan sebarang naratif negatif hanya sekadar cuba memecahbelahkan hubungan antara Sabah dan Sarawak dan tidak membina.

Ia katanya, hanya mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan pimpinan GPS.

“Sik hal...anok ajak! Apa-apa naratif negatif terhadap kepimpinan Sarawak akan menyebabkan kami lebih bersatu. Kami bekerja sebagai satu pasukan untuk Sarawak dan Sarawak First,” katanya.

Fatimah menegaskan kerajaan negeri akan terus menitikberatkan perpaduan, pembangunan, keamanan dan keharmonian demi kepentingan rakyat Sarawak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 7-2-2026 01:54 PM | Show all posts
Kerajaan ambil langkah keselamatan segera di kolam kumbahan: Dr Sim
Februari 6, 2026, Jumaat - 7:27pm



Dr Sim ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Komuniti Prihatin, Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak di Emart Batu Kawa, petang tadi.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengambil langkah keselamatan segera termasuk memperketatkan penguatkuasaan dan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) bagi kolam kumbahan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata demikian susulan tragedi lemas yang meragut nyawa tiga kanak-kanak di Sibu Jaya, baru-baru ini.

"Kejadian tersebut amat menyedihkan dan meruntun perasaan. Saya ingin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Ini satu kehilangan yang sangat menyayat hati. Takziah kepada keluarga mangsa.

"Kita akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkaitan di Sibu Jaya dan melihat semula apa langkah yang perlu diambil,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Terdahulu, merasmikan Program Komuniti Prihatin, Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak di Emart Batu Kawa, di sini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menambah walaupun kawasan kolam kumbahan tersebut telah dipagar sebelum ini, tindakan vandalisme oleh pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan struktur keselamatan itu rosak dan terdedah kepada risiko.

"Ini kali kedua berlaku. Ada pagar, tetapi dirosakkan. Amat menyedihkan apabila kemudahan awam yang dibina untuk keselamatan dimusnahkan oleh masyarakat sendiri.

"Keselamatan bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama," tegasnya.

Kerajaan tegasnya, akan meneliti semula SOP sedia ada untuk meningkatkan penguatkuasaan serta memperkukuhkan langkah pencegahan bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang semula.

Pada masa sama, beliau menyeru kesedaran sivik masyarakat agar tidak mengambil ringan aspek keselamatan awam, termasuk menjaga kemudahan seperti pili bomba, pagar keselamatan dan infrastruktur awam lain.

"Keselamatan bukan hanya diambil serius selepas tragedi berlaku. Ia perlu dicegah lebih awal.

"Tindakan menyalahkan pihak tertentu selepas kejadian berlaku tidak akan mengembalikan nyawa yang telah terkorban," katanya.

Beliau turut mengaitkan isu keselamatan awam dengan musim perayaan yang bakal tiba seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, sambil menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan aspek keselamatan di rumah, penggunaan elektrik, hiasan, bunga api dan mercun.

"Keselamatan tidak boleh diambil mudah. Kita mahu sambutan perayaan yang selamat dan bahagia. ‘Selamat’ itu bukan sekadar ucapan, tetapi satu tanggungjawab bersama," ujarnya lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 01:56 PM | Show all posts
Latihan, penglibatan komuniti kunci keselamatan awam: Dr Sim
Februari 6, 2026, Jumaat - 8:30pm



Dr Sim (lima kiri) bergambar bersama Jamri (enam kiri) dan Ngu (empat kanan) dan Tan Kai (lima kanan) di hadapan jentera bomba yang didermakan oleh Bomba Korea Selatan pada majlis tersebut.

KUCHING: Penglibatan komuniti, latihan berterusan dan kesiapsiagaan awal menjadi tunjang utama dalam memastikan keselamatan awam terutama ketika berhadapan dengan insiden kebakaran dan bencana, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata, kejayaan enam orang awam yang membantu memadam kebakaran rumah kedai di Taman Lee Ling, Matang baru-baru ini membuktikan bahawa latihan dan kesedaran komuniti mampu menyelamatkan nyawa serta harta benda sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Keberanian mereka amat kita hargai, tetapi yang lebih penting adalah mereka tahu apa yang perlu dibuat. Ini datang daripada latihan dan penglibatan komuniti. Inilah bukti bahawa program seperti ini sangat penting,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Komuniti Prihatin, Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak Tahun 2026 Peringkat Zon Kuching di Emart Batu Kawa, hari ini.

Dr Sim berkata, negara seperti Jepun dan Taiwan memberi penekanan serius terhadap latihan keselamatan komuniti sedemikian yang berbeza dengan sikap segelintir masyarakat tempatan yang masih memandang ringan aspek kesiapsiagaan bencana.

“Apabila berlaku kebakaran, kita mudah menyalahkan bomba kononnya lambat, tetapi hakikatnya pasukan bomba, termasuk ketika musim monsun, sentiasa berada di barisan hadapan membantu rakyat, melakukan persediaan awal dan operasi menyelamat,” ujarnya.

Dr Sim pada masa sama turut menyentuh berkenaan usaha kerajaan dalam projek mitigasi banjir, perbelanjaan sekitar RM200 juta bagi kawasan Batu Kawa serta projek Bypass Canal Sungai Sarawak sepanjang kira-kira enam kilometer yang akan menyalurkan hampir 60 peratus aliran air Sungai Sarawak terus ke Laut China Selatan.

Projek persekutuan bernilai RM2.4 bilion itu katanya, dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah limpahan sungai dan banjir di sini.

Menyentuh aspek keselamatan komuniti, Dr Sim menekankan kepentingan kemahiran berenang sebagai kemahiran asas kelangsungan hidup terutama bagi generasi muda di kawasan berhampiran Sungai Sarawak.

Beliau memaklumkan perancangan mewujudkan kawasan perlindungan khas seperti 'sangkar buaya' di Kampung Rantau Panjang bagi membolehkan penduduk, terutama golongan muda, berenang dengan selamat.

“Keselamatan bukan hanya tanggungjawab agensi, tetapi tanggungjawab bersama. Kerjasama erat antara bomba, agensi kerajaan dan komuniti inilah yang memastikan tiada kehilangan nyawa dalam banyak insiden bencana di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak Jamri Masran berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif penting dalam merealisasikan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara, khususnya aspek pencegahan kebakaran berteraskan komuniti.

Menurut beliau, data rasmi JBPM Sarawak menunjukkan peningkatan ketara kerugian akibat kebakaran dari tahun ke tahun, dengan nilai harta yang berjaya diselamatkan turut menunjukkan penurunan peratusan.

Bagi tahun 2025, anggaran kerugian meningkat kepada RM317.51 juta, sementara nilai harta benda yang berjaya diselamatkan merosot kepada RM546.01 juta atau 63.23 peratus.

“Trend peningkatan kerugian ini menuntut pengukuhan usaha pencegahan kebakaran, pematuhan keselamatan bangunan, peningkatan kesedaran awam serta kesiapsiagaan komuniti bagi mengurangkan impak kerugian harta dan ekonomi pada masa hadapan,” katanya.

Statistik mangsa operasi kebakaran katanya, turut menunjukkan implikasi serius terhadap keselamatan awam kerana pada tahun 2025, direkodkan 320 orang diselamatkan, 10 maut dan 32 cedera, manakala bagi Januari 2026 pula, seramai 12 orang diselamatkan, tiga maut dan seorang cedera direkodkan.

Bagi komuniti luar bandar, sebanyak 36 kes kebakaran rumah panjang direkodkan bagi tempoh 2024 hingga 2025, melibatkan 20 kes pada 2024 dan 16 kes pada 2025.

Keadaan ini, menurut JBPM Sarawak, menunjukkan keperluan serius terhadap pendidikan keselamatan kebakaran, pemerkasaan komuniti dan peningkatan kesiapsiagaan di kawasan pedalaman serta zon berisiko tinggi bagi mengelakkan tragedi berulang.

Program berkenaan turut menyaksikan penyampaian Sijil Penghargaan Hero Bomba kepada enam orang awam yang berjaya membantu memadam kebakaran di Taman Lee Ling, Matang sebagai pengiktirafan terhadap keberanian, keprihatinan dan tindakan pantas mereka dalam membantu pihak bomba.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan Emart Group Ngu Ting Sii dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 02:03 PM | Show all posts
Terabai Menua hulur sumbangan kepada keluarga tiga kanak-kanak lemas di Sibu Jaya
Februari 7, 2026, Sabtu - 9:05am



Jordan (tiga kanan) menyerahkan sumbangan kepada ahli keluarga mendiang di Sibu Jaya pada malam Jumaat.

SIBU: Keprihatinan terhadap tragedi yang meruntun hati di Sibu Jaya terus dizahirkan apabila Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak, yang juga dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Terabai Menua Cawangan Sibu, tampil menghulurkan sumbangan kebajikan kepada keluarga tiga kanak-kanak yang terkorban akibat lemas di sebuah kolam kumbahan.

Tragedi menyayat hati yang berlaku pada hari Rabu lalu itu bukan sahaja mengejutkan penduduk setempat, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh komuniti.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Bendahari persatuan, Jordan Kanyan, pada malam Jumaat bersama beberapa ahli persatuan sebagai tanda solidariti, simpati dan sokongan moral kepada keluarga mangsa yang kini berdepan saat paling sukar dalam kehidupan mereka.

Menurut Jordan, sumbangan berkenaan diharap dapat sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

"Kami amat berdukacita atas kehilangan yang dialami oleh keluarga ini. Semoga sumbangan ini dapat membantu mereka dan kami mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini," katanya.

Insiden tragis tersebut telah menggamit perhatian ramai, dengan masyarakat setempat turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap keluarga mangsa yang kehilangan anak-anak mereka dalam kejadian yang tidak diduga itu.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-2-2026 02:08 PM | Show all posts
Pusat Khidmat DUN Pelawan agih 1,000 bungkus daging cincang kepada warga emas sempena TBC
Februari 7, 2026, Sabtu - 9:29am



Tiang (kanan) mengagihkan daging cincang kepada warga emas.

SIBU: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.54 Pelawan hari ini telah mengagihkan 1,000 bungkus daging cincang kepada warga emas di kawasan Pelawan sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC).

Daging cincang seberat satu kilogram setiap satu itu telah diagihkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap ADUN Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, bertempat di Borneo Pork, Pusat Komersil Taman Rajang.

Menurut Tiang, objektif utama program adalah bagi membantu meringankan beban hidup terutama kepada warga emas berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Kita menyedari bahawa pada masa kini, kos sara hidup semakin meningkat terutamanya kepada golongan warga emas yang menghadapi tekanan dan beban kewangan akibat kenaikan kos sara hidup.

"Oleh itu, kita mengagihkan daging cincang ini supaya mereka dapat berkongsi kegembiraan dan sama-sama menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga," ujarnya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Tiang turut memberitahu, Pusat Khidmat beliau akan terus bergerak di sekitar kawasan Pelawan untuk bertemu dengan rakyat serta mengagihkan sedikit sumbangan dan berkat sempena Tahun Baharu Cina.

"Diharap dengan cara ini kita dapat berkongsi kegembiraan dengan orang ramai sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Tiang turut menjemput orang ramai khususnya pengundi di DUN Pelawan untuk hadir ke Majlis Rumah Terbuka DUN N.54 Pelawan di Pusat Komersil Unicity, Jalan Wawasan pada hari kedua Tahun Baharu Cina, bermula jam 11 pagi hingga 1 petang.

"Tahun ini kita akan mengadakannya di sana (Unicity) dengan skala yang lebih besar. Kita menjemput semua dari pelbagai lapisan masyarakat untuk hadir dan memeriahkan majlis ini.

"Kepada orang ramai, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan semoga Tahun Kuda ini membawa kemakmuran," tambah beliau.



Tiang (kiri) bersalam-salaman dengan orang ramai setiba di Pusat Komersil Taman Rajang bagi mengagihkan daging cincang.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

9-2-2026 09:56 PM GMT+8 , Processed in 0.977650 second(s), 29 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list