|
Carroll, Suarez harapan baru peminat Reds
LONDON - Liverpool mengambil penyerang England, Andy Carroll dari Newcastle bagi satu rekod yuran perpindahan kelab kelmarin yang dianggarkan berjumlah 35 juta pound (RM172 juta).
Carroll menyetujui satu kontrak lima setengah tahun dengan Reds selepas lulus satu pemeriksaan perubatan dan akan menyarung jersi nombor sembilan yang dikosongkan oleh Fernando Torres selepas berpindah ke Chelsea.
"Andy Carroll melengkapkan perpindahannya dari Newcastle United ke Liverpool FC dan menandatangani satu perjanjian lima tahun setengah yang akan mengekalkannya di Anfield sehingga 2016.
"Kelab itu menyetujui satu rekod yuran perpindahan dengan Newcastle lebih awal bagi perpindahan penyerang antarabangsa England itu," menurut satu kenyataan pada laman web Liverpool mengesahkan.
Pengambilan Carroll buat seketika hampir menjadi satu rekod yuran perpindahan Britain tetapi catatan itu dengan cepat terpadam apabila Liverpool menjual penyerang Sepanyol, Torres ke Chelsea dalam satu perpindahan bernilai 50 juta pound (RM246 juta).
Carroll menyertai Liverpool dalam tawaran ketiga selepas dua tawaran terdahulu sekitar 30 juta pound (RM147 juta) yang ditolak oleh Magpies.
Liverpool akhirnya mengumumkan perjanjian itu beberapa minit sahaja sebelum jadual perpindahan Januari ditutup selepas Carroll terbang ke Merseyside bagi satu ujian perubatan.
Pemain berusia 22 tahun itu menyerlah musim ini dengan menjaringkan 11 gol dalam 19 perlawanan untuk muncul penjaring gol terbanyak England dalam Liga Perdana setakat ini.
Carroll akan membentuk satu gandingan serangan baru dengan Luis Suarez, 24, yang rekod prolifiknya dalam bola sepak Belanda - 111 gol dalam 159 perlawanan, merupakan salah satu sebab dia menjadi sasaran utama Liverpool.
Suarez dibeli 22.8 juta pound (RM112 juta) dari Ajax dan walaupun saiz perjanjian Carroll mengancam untuk membayangi ketibaannya, bos Reds, Kenny Dalglish percaya warga Uruguay itu merupakan seseorang pemimpin yang semula jadi dan penyerang berbakat yang kehadirannya membolehkan Carroll menyerlah di Anfield. - AFP |
|