|
|
Acara perniagaan pemacu penting agenda ekonomi Sabah: Hajiji
Februari 4, 2026, Rabu - 3:11pm

PENERANGAN: Joniston (tengah) mendengar penerangan mengenai Program BE in Sabah oleh Presiden Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen serta Pameran Malaysia (MACEOS) Datuk Dr M Gandhi (kanan) sempena perasmian Forum Antarabangsa 'BE in Sabah' Kali Ketiga 2026 hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengiktiraf penganjuran acara perniagaan (BE) sebagai pemacu penting agenda ekonomi dan pembangunan Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, BE turut berperanan sebagai platform berfokus yang merangsang pertumbuhan industri, memudah cara perbincangan pelaburan serta menggalakkan penyertaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, golongan profesional dan bakat muda.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong pelaksanaan program seumpama BE di negeri ini yang selari dengan hala tuju ekonomi Sabah, memperkukuh penglibatan serantau dan juga dialog pelaburan.
"Kerajaan akan memanfaatkan platform ini untuk memperluaskan kerjasama rentas sempadan dan menghubungkan keupayaan serantau dengan rangkaian global.
"Seiring perubahan jangkaan global, hala tuju Sabah kekal jelas dan berfokus. Ia juga akan terus meningkatkan piawaian serta menyusun perkongsian dengan memberi keutamaan kepada pelaksanaan dan penyampaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Forum Antarabangsa 'BE in Sabah' Kali Ketiga 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini. Teks ucapannya disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, hasil yang dicapai melalui program BE amat penting seiring dengan usaha mencapai pertumbuhan yang inklusif, seimbang, realistik dan mampan di Sabah.
Menurutnya, Ia selaras dengan strategi pembangunan Sabah yang berteraskan kestabilan, tadbir urus baik dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Kita memahami bahawa keyakinan dan kepercayaan pelabur antarabangsa bukan sekadar terhasil daripada pengumuman, tetapi melalui dasar yang konsisten, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan yang boleh dipercayai.
"Dalam konteks ini, BE bertindak sebagai jambatan strategik antara dasar dan pelaksanaan, kepakaran global dan keupayaan tempatan serta penyampaian.
"Sehubungan itu, platform seperti BE di Sabah menyediakan peluang penting untuk penglibatan secara langsung dengan peneraju industri antarabangsa, di samping meningkatkan keupayaan dan kecanggihan ekosistem tempatan negeri," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, Sabah berada pada kedudukan strategik dalam ASEAN Timur, sebuah sub-rantau yang dicirikan oleh kepentingan ekonomi bersama, kekuatan yang saling melengkapi dan potensi kerjasama yang besar.
Beliau berkata, kerajaan turut komited terhadap penglibatan konstruktif dalam landskap serantau ini yang memperkukuh hubungan, memupuk perkongsian serta menyokong platform berimpak yang menghasilkan impak praktikal.
Menurutnya, penganjuran BE di SICC iaitu sebuah kemudahan yang dibina khas dan berkeupayaan menganjurkan perhimpunan berskala besar, mencerminkan komitmen Sabah untuk meningkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan.
Pada masa sama katanya, ia juga menambah baik penyelarasan institusi dan memperkukuh keupayaan industri bagi memastikan setiap acara menampilkan kecemerlangan dan profesionalisme.
"Biro Konvensyen Sabah (SCB), yang beroperasi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), turut memperkukuh persekitaran pemudah cara ini dengan bekerjasama rapat dengan industri bagi mewujudkan pihak yang boleh dipercayai untuk acara di peringkat antarabangsa.
"Kepada delegasi antarabangsa, Sabah bersedia dan siap siaga untuk penglibatan semua wakil begitu juga kepada rakan tempatan dan serantau, forum ini mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang berteraskan piawaian serta komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lima teras utama Belanjawan Sabah, seiring usaha percepat pembangunan
Februari 4, 2026, Rabu - 4:16pm

KENANGAN: Masidi (duduk, lima kiri) bersama tetamu jemputan merakamkan kenangan bergambar bersama selepas majlis itu.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meletakkan lima tonggak utama dalam Belanjawan Sabah 2026 berteraskan kepada usaha mempercepatkan pembangunan, merapatkan jurang sosioekonomi serta mengutamakan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, lima keutamaan ini merangkumi usaha mempercepatkan sektor-sektor produktif bagi merangsang pertumbuhan dan mengukuhkan hasil negeri serta menangani ketidakseimbangan sosioekonomi agar pembangunan lebih inklusif.
Katanya, Belanjawan Sabah juga memperkasa modal insan melalui pengetahuan, kemahiran, produktiviti dan inovasi serta menjadi pemudah cara dalam pembangunan infrastruktur asas, utiliti serta kemudahan awam.
Pada masa sama katanya, kerajaan juga komited dalam meningkatkan keupayaan dan keberkesanan penyampaian kerajaan secara cekap dan telus.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perbincangan Meja Bulat Belanjawan Sabah 2026 dan Majlis Makan Malam anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang mengumpulkan wakil sektor perniagaan, kewangan, industri, masyarakat dan komuniti umum di sini pada Selasa.
Masidi berkata, Belanjawan Sabah 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, sebaliknya keutamaan kerajaan dalam pelan pelaksanaan yang berdisiplin serta kontrak sosial dengan rakyat Sabah.
Menurutnya, ketidaktentuan persekitaran global akibat geseran perdagangan, risiko geopolitik dan gangguan berkaitan iklim terus memberi kesan terhadap kos, rantaian bekalan dan sentimen pelabur.
"Di peringkat nasional pula, pertumbuhan dijangka kekal stabil namun semakin kompetitif, sekali gus menuntut Sabah bertindak secara berhemat, proaktif dan berfokus.
“Keutamaan kita adalah melindungi kedudukan fiskal negeri, mempercepatkan pembangunan berimpak tinggi serta memastikan manfaatnya dirasai oleh rakyat biasa," katanya.
Beliau berkata, dari sudut fiskal, Belanjawan Sabah 2026 mencadangkan Anggaran Perbelanjaan Bekalan sebanyak RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan sederhana sebanyak RM28 juta.
Katanya, lebihan itu turut mencerminkan disiplin fiskal kerajaan negeri untuk berbelanja mengikut kemampuan sambil terus melabur demi masa depan.
"Kerajaan negeri juga meneruskan peralihan ke arah perbelanjaan berasaskan pembangunan, termasuk usaha merapatkan jurang antara perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan bagi menangani isu-isu asas seperti bekalan air, jalan raya, elektrik, akses dan perhubungan.
"Bagi 2026, perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.865 bilion dicadangkan dan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Sabah diluluskan siling peruntukan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion untuk membiayai 1,173 projek pembangunan, iaitu peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri.
"Kita juga memberi tumpuan kepada pertanian, industri dan pelancongan sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi manakala, aspek keselamatan makanan terus menjadi keutamaan melalui sokongan kepada petani, nelayan dan penternak, khususnya di kawasan luar bandar," jelasnya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan Datuk Mohd Ishak Ayub; Pengarah Perbendaharaan dan Pasaran BIMB Azdini Nor Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Securities Dr Rosnani Rasul.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki ditemukan meninggal dunia di depan rumah
Februari 4, 2026, Rabu - 5:08pm
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun ditemukan meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Kampung Nosoob Baru, di sini, pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mangsa kira-kira jam 8.15 pagi.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan garaj rumah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
“Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menemukan sebarang kesan pergelutan, pecah masuk atau unsur jenayah.
“Tiada kecederaan luaran mencurigakan dikesan pada tubuh mangsa dan pemeriksaan awal di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan rasmi laporan bedah siasat.
“Orang awam dinasihat supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.
“Orang ramai juga diminta memberi kerjasama kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kim Teck Cheong Consolidated Berhad salur RM28,000 sokong aktiviti komuniti Cina Sabah
Februari 4, 2026, Rabu - 5:10pm

HADIAH: Dexter menyampaikan pek hadiah Tahun Baharu Cina yang diterima Susan (dua kanan) dan anaknya Melissa Wong (dua kiri), bersama wakil lain.
KOTA KINABALU: Persatuan Komuniti Cina Bersatu Sabah Kota Kinabalu (USCCAKK) menerima suntikan dana berjumlah RM28,000 daripada Kim Teck Cheong Consolidated Berhad bagi menyokong pelaksanaan aktiviti persatuan serta gabungannya.
Sumbangan diumumkan Pengarah Eksekutif syarikat, Datuk Dexter Lau ketika menerima kunjungan hormat delegasi USCCAKK di ibu pejabat syarikat di Kolombong.
Delegasi diketuai Presiden USCCAKK, Datuk Susan Wong bersama ahli majlis dan wakil sembilan persatuan gabungan.
Daripada jumlah keseluruhan, RM10,000 disalurkan kepada USCCAKK, manakala sembilan persatuan gabungan masing-masing menerima RM2,000.
Persatuan terlibat terdiri daripada Persatuan Sze Yi Pantai Barat Sabah, Persatuan Kwong Siew Sabah, Persatuan Teo Chew Kota Kinabalu, Persatuan Masyarakat Tai Poo Sabah, Persatuan Foochow Kota Kinabalu, Persatuan Hainan Kota Kinabalu, Persatuan Eng Choon Sabah, Persatuan Northern Chinese Sabah dan Persatuan Nam Ann Sabah.
Susan berkata, pihaknya merakamkan penghargaan dengan sokongan ikhlas syarikat yang memberi dorongan besar kepada persatuan dalam meneruskan pelbagai program komuniti.
Beliau menyifatkan Dexter sebagai pemimpin muda berwibawa yang bukan sahaja bergelar peguam profesional, malah menunjukkan keupayaan pengurusan korporat cemerlang dalam menerajui syarikat sehingga berkembang ke seluruh negara.
Menurutnya, kunjungan berkenaan membuka ruang kepada wakil persatuan bertukar pandangan mengenai pengurusan korporat, falsafah kepimpinan serta semangat keusahawanan.
Katanya, USCCAKK konsisten memelihara dan mempromosikan tradisi serta nilai budaya Cina melalui pelbagai acara setiap tahun.

HADIAH: Dexter menyampaikan pek hadiah Tahun Baharu Cina yang diterima Susan (dua kanan) dan anaknya Melissa Wong (dua kiri), bersama wakil lain.
Antara program dianjurkan termasuk Festival Tarian Naga, Singa dan Unicorn Tahun Baharu Cina, Pameran Kampung Budaya, pertandingan mewarna kanak-kanak, sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Festival Tanglung Pertengahan Musim Luruh serta majlis Dongzhi–Krismas.
Beliau berkata, penganjuran aktiviti berskala besar memerlukan tenaga kerja, sumber dan komitmen kewangan tinggi, justeru sokongan sektor korporat amat penting.
Tambahnya, kejayaan Festival Tarian Naga, Singa dan Unicorn Tahun Baharu Cina 2026 yang menghimpunkan puluhan ribu pengunjung membuktikan sokongan berterusan kerajaan dan masyarakat.
Susan berharap lebih banyak syarikat tampil bekerjasama bagi memperkasa komuniti Cina serta memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhan.
Sementara itu, Dexter memaklumkan sumbangan dibuat sebagai tanda sokongan kepada usaha persatuan Cina tempatan, selain menyemai budaya memberi kembali kepada masyarakat.
Beliau berkata, nilai berkenaan dipupuk sejak kecil hasil didikan ibu bapanya, khususnya bapanya Datuk Lau Kok Sing yang aktif berkhidmat untuk komuniti.
Katanya, sumbangan disampaikan atas nama keluarga dan syarikat sebagai dorongan kepada persatuan dalam meneruskan aktiviti kebajikan serta kebudayaan.
Menurutnya, kumpulan syarikat mencatat pertumbuhan stabil hasil sokongan pelbagai pihak, justeru tanggungjawab sosial korporat kekal menjadi keutamaan.
Lau Kok Sing kini memegang jawatan Presiden Kehormat Kekal USCCAKK dan pernah memimpin persatuan itu selama dua penggal dari 2004 hingga 2008.
Sepanjang tempoh berkenaan, beliau aktif memperjuangkan kemajuan komuniti dan pendidikan Cina sehingga dihormati ramai.
Antara ahli delegasi hadir termasuk Timbalan Presiden Datuk Chua Soon Ping, Naib Presiden merangkap Bendahari Michael Pan, Ahli Majlis Simon Ting, Kapitan Dr Callee Tan, Steven Khoo, Lee Yun Siong serta Timbalan Ketua Belia Mellisa Wong.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Empat individu cedera dalam kemalangan dua kenderaan
Februari 4, 2026, Rabu - 1:53pm
KUCHING: Satu kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan dilaporkan berlaku di hadapan sebuah sekolah di Jalan Kuching-Serian di sini, malam Selasa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 7.15 malam.
Katanya, seramai lima mangsa terlibat, dengan empat daripadanya mengalami kecederaan, manakala seorang lagi dilaporkan terselamat.
“Seorang mangsa mengalami kecederaan manakala empat lagi terdiri daripada tiga mangsa cedera ringan dan seorang selamat. Kesemua mangsa tidak tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang cedera dikeluarkan oleh anggota bomba menggunakan peralatan sokongan sebelum diserahkan kepada Unit EMRS untuk rawatan lanjut.
“Kesemua mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil dan sedar sebelum dihantar ke Hospital Serian menggunakan jentera EMRS,” ujarnya.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba dengan kekuatan satu jentera CFRT dan satu EMRS, serta turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.40 malam selepas keadaan disahkan selamat dan terkawal.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga emas disyaki curi beg duit ditangkap
Februari 4, 2026, Rabu - 2:09pm
MIRI: Seorang lelaki warga emas yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian dua beg duit di sebuah kedai alat ganti mesin di sini berjaya diberkas polis pada Isnin.
Tangkapan ke atas suspek, 60, dilakukan sekitar jam 5.40 petang di tepi sebuah premis minuman di Jalan China di sini.
Menurut pihak polis, satu laporan diterima berhubung kehilangan dua buah beg duit dari sebuah kedai alat ganti mesin di sini hingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1,200.
Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis yang diketuai Ketua Polis Balai Miri ASP Goldy Jangan bersama anggota Cawangan Pencegahan Jenayah dari Balai Polis Pusat Miri (CPS) berjaya menahan suspek kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.
Suspek kini direman di lokap CPS mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JCI Sibu jalankan sesi bersama JCI SMK Sacred Heart
Februari 4, 2026, Rabu - 2:12pm

Ahli-ahli JCI Sibu bersama para pelajar SMK Sacred Heart ketika lawatan semalam.
SIBU: JCI Sibu telah mengadakan lawatan ke JCI Junior Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart di sini, semalam bagi menjalankan satu sesi pertukaran dan perkongsian yang memfokuskan kepada pembangunan belia, pembentukan nilai dan pembelajaran secara praktikal.
Lawatan itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara Dewan Perniagaan Belia Antarabangsa dan pihak sekolah, di samping membimbing pelajar agar terus berkembang melalui penglibatan aktif dalam aktiviti.
Sepanjang sesi tersebut, wakil JCI Sibu telah berinteraksi secara langsung dengan ahli JCI Junior dengan berkongsi pengalaman peribadi mereka dalam platform Dewan Perniagaan Belia Antarabangsa, daripada peringkat penyertaan awal sehingga memikul tanggungjawab kepimpinan.

Sesi perkongsian JCI Sibu dengan ahli-ahli JCI Junior SMK Sacred Heart pada lawatan semalam.
Melalui contoh sebenar, para pelajar didedahkan kepada kepentingan kerja berpasukan, komunikasi berkesan, rasa tanggungjawab serta kepimpinan dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti.
Dalam suasana perbincangan yang santai dan membina, para pelajar turut berkongsi pandangan serta cabaran yang dihadapi dalam aktiviti sekolah, di mana wakil JCI Sibu bertindak sebagai pembimbing, membantu pelajar menyusun idea dan menggalakkan mereka menzahirkan idea tersebut dalam bentuk tindakan, agar pembelajaran dapat diterjemahkan ke dalam pengalaman sebenar.
Selain itu, JCI Sibu turut memperkenalkan nilai teras dan hala tuju Dewan Perniagaan Belia Antarabangsa kepada para pelajar, bagi memberi kefahaman yang lebih jelas tentang peranan organisasi tersebut dalam pembangunan kepimpinan belia, khidmat komuniti dan jaringan antara kawasan, sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk masa depan pelajar.
Pada penghujung sesi, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai perancangan aktiviti kampus pada masa akan datang dan mencapai persetujuan untuk bekerjasama dalam penganjuran aktiviti yang lebih berimpak.
JCI Sibu akan bekerjasama rapat dengan pihak sekolah dan JCI Junior bagi mewujudkan peluang pembelajaran yang lebih bermakna kepada para pelajar.
JCI Sibu menegaskan komitmennya untuk terus menyokong pembangunan belia melalui kerjasama berterusan dengan institusi pendidikan, demi melahirkan generasi muda yang berkeyakinan, berintegriti dan berdaya kepimpinan.

Sesi perkongsian JCI Sibu dengan ahli-ahli JCI Junior SMK Sacred Heart pada lawatan semalam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ops Pematuhan Trafik IPD Miri keluarkan 20 saman
Februari 4, 2026, Rabu - 2:27pm

Polis sedang mengambil butiran pemilik kenderaan yang ditahan dalam Operasi Pematuhan sebelum saman dikeluarkan dalam operasi pada awal pagi Ahad lalu. - Gambar Polis Daerah Miri
MIRI: Sebanyak 20 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik telah dikeluarkan polis dalam Operasi Pematuhan yang dijalankan di beberapa lokasi di sekitar bandaraya ini pada malam Sabtu hingga awal pagi Ahad lalu.
Operasi itu yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri dengan diketuai Inspektor G. Visvanathan Guna Cekeren telah diadakan di kawasan letak kenderaan Taman Bulatan, Jalan Tanjong Lobang, Piasau, Marina dan Jalan Miri-Bypass.
Menurut pihak polis, operasi itu dijalankan susulan aduan orang awam yang mendakwa sering terganggu dengan bunyi bising kenderaan, selain usaha berterusan untuk memastikan pemandu dan penunggang mematuhi peraturan jalan raya serta mengelakkan aktiviti samseng jalanan.
Dalam operasi itu, seramai 25 individu terdiri daripada 20 lelaki dan lima perempuan diperiksa, bersama 22 kenderaan melibatkan 10 kereta, 10 pacuan empat roda (4WD) dan dua motosikal.
Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan, antaranya, tiada lesen memandu, pengubahsuaian struktur kenderaan, ubah suai ekzos, ketiadaan cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran 'fancy' serta beberapa kesalahan pengubahsuaian lain.
Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memandu dan menunggang kenderaan secara berhemah, mematuhi peraturan jalan raya, tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan, dan tidak menghasilkan bunyi bising yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Majlis Pelantikan dan Anugerah Kali Ke-16 JCI Riam Sabtu ini
Februari 4, 2026, Rabu - 2:48pm

Ahli jawatankuasa kerja majlis pelantikan dan Anugerah JCI Riam.
MIRI: Junior Chamber International (JCI) Riam bakal menganjurkan Majlis Pelantikan dan Anugerah Kali Ke-16 pada Sabtu ini di Hotel Mercure, Miri, bermula jam 6.30 petang.
Antara pengisian utama majlis adalah upacara pelantikan barisan Lembaga Pengarah baharu, yang menyaksikan kepimpinan terpilih diperkenalkan secara rasmi berserta peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Segmen itu bertujuan memberi gambaran lebih jelas kepada para tetamu mengenai struktur organisasi, operasi serta hala tuju perkhidmatan JCI.
Majlis tersebut turut menampilkan penyampaian Anugerah Tahunan sebagai penghargaan kepada ahli dan pasukan yang aktif menyumbang dalam perkhidmatan komuniti serta inisiatif sosial, sekali gus mengiktiraf usaha dan pencapaian mereka sepanjang tahun lalu.
Turut menjadi tumpuan adalah Majlis Penganugerahan Senator JCI kepada Datuk Bandar Miri Adam Yii sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau yang berterusan dan cemerlang dalam pembangunan JCI di Miri.
Menurut pengerusi jawatankuasa penganjur Lan Weng Wah, penganugerahan tersebut melambangkan penghargaan terhadap sokongan kuat Datuk Bandar Miri dalam aspek pembangunan kepimpinan, perkhidmatan komuniti serta pertumbuhan organisasi JCI.
Beliau turut memaklumkan majlis akan diserikan dengan persembahan kebudayaan serta tayangan video sorotan tahunan yang memaparkan pencapaian utama dan kejayaan perkhidmatan JCI Riam sepanjang tahun lalu.
“Majlis ini dijangka menzahirkan semangat perpaduan dan dinamisme JCI, di samping menjadi platform untuk ahli berinteraksi, berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan belia agar aktif dalam perkhidmatan komuniti dan menyumbang secara positif kepada masyarakat,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki dipercayai pecah masuk Rumah Rehat Pejabat Daerah Igan ditangkap
Februari 4, 2026, Rabu - 2:50pm
DARO: Seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu kejadian kes pecah masuk Rumah Rehat Pejabat Daerah Kecil Igan, Matu.
Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Rahim Mihos berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki tersebut juga mendapati gagal mengemukakan kad pengenalan diri semasa pemeriksaan polis.
"Tangkapan tersebut dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Matu Daro dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990," ujarnya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan lampau jenayah dan jenayah narkotik.
"Penahanan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama tempoh empat hari dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya," jelasnya.
Rahim memberitahu, suspek telah dituduh di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 di Mahkamah Sarikei hari ini.
"Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jamin ditawarkan terhadap tertuduh.
"Kes ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 10 Februari 2026.
"Sementara menunggu tarikh tersebut, tertuduh menjalani tahanan reman di Penjara Sibu," ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SDEC lancar Inkubator TechFrontier pacu inovasi, penciptaan pekerjaan, pertumbuhan bernilai tinggi
Februari 4, 2026, Rabu - 2:58pm

Sudarnoto (duduk, dua kiri) bergambar bersama peserta selepas pelancaran Kohort 1 Inkubator TechFrontier di Kuching, hari ini.
KUCHING: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) hari ini melancarkan Kohort 1 Inkubator TechFrontier, satu inisiatif strategik yang direka untuk mempercepatkan pengkomersialan penyelidikan, merangsang penciptaan perusahaan yang dipimpin oleh inovasi teknologi mendalam serta menyokong pertumbuhan industri bernilai tinggi di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Sudarnoto Osman pada perasmian majlis itu berkata, Inkubator TechFrontier selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID (PCDS) 2030.
Ia juga kata Sudarnoto, seiring dengan 'blue print' Ekonomi Digital Sarawak yang menekankan pertumbuhan yang didorong oleh inovasi, penerimaan digital dan pembangunan bakat sebagai pendorong utama perjalanan Sarawak ke arah status berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Inkubator TechFrontier bukan sekadar menyokong inovasi. Ia adalah tentang menukar modal intelektual kepada nilai ekonomi dengan membina perusahaan baharu serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Ia turut direka untuk mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab Penyelidikan dan Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I) dalam teknologi digital,” kata Sudarnoto lagi.
Dalam pada itu, Inkubator TechFrontier merapatkan jurang antara penyelidikan dan industri dengan menyokong transformasi teknologi yang disahkan kepada penyelesaian yang boleh diskala dan sedia pasaran.
Program itu membuka peluang kepada penyelidik untuk mengembangkan output penyelidikan mereka melangkaui persekitaran makmal sambil memberi tumpuan kepada inovasi yang berpotensi tinggi untuk mencipta nilai untuk ekonomi Sarawak.
Untuk kohort pertama, SDEC telah melantik NEXEA sebagai rakan kongsi program yang membawa bimbingan berstruktur, pemadanan usahawan dan akses kepada pengasas berpengalaman dan rangkaian pelabur.
Pasukan berpotensi tinggi berpeluang memanfaatkan potensi pembiayaan pelaburan sehingga RM250,000 untuk mempercepatkan pembangunan produk dan kemasukan pasaran.
Kata Sudarnoto, program tersebut memberi tumpuan kepada teknologi pemboleh utama termasuk Internet of Things, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan penyelesaian tenaga yang digunakan merentasi sektor seperti pertanian, penjagaan kesihatan, teknologi makanan, pembinaan dan pelancongan.
"Melalui pendekatan ini, Inkubator TechFrontier bertujuan untuk merangsang usaha niaga baharu, menarik pelaburan dan memberikan impak ekonomi yang mampan untuk Sarawak," ujarnya.
Untuk maklumat lanjut tentang Inkubator TechFrontier dan aktiviti program yang akan datang, sila lawati https://techtoimpact.sarawak.digital/techfrontier-incubator.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pertubuhan Kebajikan Insan Lawas santuni murid SK Aru Baru Sundar
Februari 4, 2026, Rabu - 3:25pm

Zahid (belakang empat kiri) dan yang lainnya pada Program 'Back To School' di SK Aru Baru, Sundar, Lawas.
LAWAS: Pertubuhan Kebajikan Insan Lawas terus prihatin terhadap pendidikan anak-anak luar bandar melalui Program 'Back To School' dengan penyerahan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada murid-murid memerlukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Aru Baru, Sundar baru-baru ini.
Pengerusinya Zahid Matserudin berkata, program itu diadakan sebagai tanda keprihatinan NGO itu terhadap kebajikan serta pendidikan anak-anak di kawasan luar bandar.
“Inisiatif ini bertujuan meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu, di samping menyuntik semangat kepada para pelajar agar terus cemerlang dalam pelajaran.
“Pendidikan adalah asas kepada pembentukan masa depan anak-anak.
"Diharapkan sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga serta menjadi dorongan kepada pelajar untuk hadir ke sekolah dengan lebih berkeyakinan,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Zahid turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk pihak sekolah, sukarelawan dan para penyumbang yang menjayakan program tersebut.
Jelasnya, program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada komitmen pertubuhannya dalam membantu komuniti setempat khususnya dalam aspek kebajikan dan pendidikan.
Turut hadir pada program itu ialah Setiausaha Aisah Ahmad dan Siti Nurfatin.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jamit puji KCROA utamakan kebajikan ahli, amal CSR
Februari 4, 2026, Rabu - 3:27pm

Jamit (tengah) menyempurnakan upacara pemotongan kek ketika merasmikan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-49 KCROA sempena Tahun Baharu Cina pada Isnin.
KAPIT: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat memuji Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Kapit (KCROA) kerana mengutamakan kebajikan ahli serta mengamalkan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Beliau berkata, persatuan itu wajar dijadikan contoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu ahli dan masyarakat setempat melalui pelbagai inisiatif kebajikan.
“Saya berbangga dengan usaha KCROA yang bukan sahaja menjaga kebajikan ahli, malah menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai program CSR,” katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-49 KCROA sempena Tahun Baharu Cina di sini pada Isnin.
Jamit yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram berkata, antara inisiatif dilaksanakan termasuk bantuan kebajikan kesihatan, khairat kematian, insentif kecemerlangan pelajar serta sumbangan peralatan kepada sekolah dan Hospital Kapit.
Mengulas cabaran perniagaan yang perlahan dalam kalangan pengusaha kedai kopi dan restoran, beliau berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merangsang ekonomi tempatan termasuk pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di bawah Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA).
Menurutnya, projek pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik luar bandar serta pembukaan tanah bagi aktiviti ekonomi mampu meningkatkan pendapatan rakyat dan memberi kesan limpahan kepada sektor perniagaan di Kapit.
Beliau turut menyentuh Pelan Induk Pembangunan Kapit yang merangkumi beberapa projek utama termasuk pembinaan SMK Bukit Goram, hotel, Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit yang baharu dan Kolej Profesional MARA.
Pada majlis itu, Jamit bagi pihak Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada KCROA manakala beliau sendiri turut menyumbang dana RM10,000 bagi menyokong aktiviti sosial persatuan berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki positif dadah antara suspek kes curi bot dan enjin
Februari 4, 2026, Rabu - 3:28pm
BINTANGOR: Seorang lelaki yang didapati positif dadah antara dua lelaki tempatan yang ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah bot gentian serat dan enjin sangkut di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 2 petang di kawasan Jalan Mahkamah, di sini hasil risikan dan siasatan berhubung laporan kehilangan bot di Bintangor.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes kecurian sebuah bot gentian serat berserta enjin sangkut.
“Susulan pengakuan tersebut, suspek telah membawa pihak polis ke lokasi bot dan enjin yang dicuri disembunyikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Baiki segera jalan awam rosak dan berlubang
Februari 4, 2026, Rabu - 4:39pm
Boleh merosakkan kenderaan yang melaluinya dan membahayakan nyawa terutama ketika hujan, jalan dipenuhi air

Jalan rosak dan berlubang di laluan simpang masuk Taman Batu Keramat Jalan Polis Marin yang mengundang risiko kemalangan.
"Saya melihat ia satu keperluan kerana boleh membahayakan nyawa dan perlu diambil perhatian dan saya harap perkara itu dapat diatasi segera.”
Charles Lee
Penduduk
LIMBANG: Agensi berkaitan digesa membaiki segera jalan awam yang rosak dan berlubang yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan terutama di laluan simpang masuk Taman Batu Keramat Jalan Polis Marin dekat sini.
Menurut penduduk, keadaan jalan yang berlubang bukan saja boleh merosakkan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan malah boleh membahayakan nyawa terutama ketika hujan dan jalan berkenaan dipenuhi air.
Seorang penduduk, Charles Lee meminta pihak bertanggungjawab memantau segera keadaan itu, sekali gus membaikinya bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.
"Saya melihat ia satu keperluan kerana boleh membahayakan nyawa dan perlu diambil perhatian dan saya harap perkara itu dapat diatasi segera,” katanya kepada media semalam.
Sementara itu kerosakan jalan berkenaan turut dikongsi pengguna laman sosial Limbang Facebook Community semalam.
Seorang pengguna, Joshua J Raymond berharap kerosakan jalan berkenaan dapat dibaiki segera pihak berkaitan.
“Mohon perhatian pihak berkaitan. Ini merupakan laluan simpang masuk Taman Batu Keramat Jalan Polis Marin.
“Jalan semakin berlubang teruk, air bertakung dan sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya.
"Laluan ini dipercayai pernah dikorek bagi kerja pemasangan paip atau wayar, namun tidak dibaiki semula dengan sempurna.
"Keadaan ini telah dibiarkan hampir dua hingga tiga bulan tanpa sebarang tindakan,” katanya dalam laman sosial tersebut.
Rata-rata pengguna laman sosial turut meminta pihak berkuasa berkaitan membaiki segera kerosakan jalan itu bagi mengelak insiden tidak diingini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
BESarawak umum peralihan kepimpinan dengan pelantikan Jason Tan sebagai Pemangku CEO
Februari 4, 2026, Rabu - 4:45pm

KUCHING: Business Events Sarawak (BESarawak) mengumumkan peralihan kepimpinan dengan pelantikan Jason Tan Chin Foo (gambar) sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu bagi memastikan kesinambungan dan kestabilan ketika BESarawak terus yakin memacu agenda strategik jangka panjangnya untuk menjana pertumbuhan berimpak tinggi berasaskan kerjasama serta mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai ibu kota legasi acara perniagaan di Malaysia dan Borneo.
Jason membawa pengalaman selama 18 tahun dalam industri hospitaliti dan acara perniagaan, dengan kekuatan dalam pembangunan strategik, penglibatan pihak berkepentingan serta pertumbuhan organisasi.
Sejak menyertai BESarawak pada 2012, beliau telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan dalam bidang pembangunan perniagaan, penyelidikan, pemasaran dan komunikasi, membina pengetahuan institusi yang mendalam serta hubungan industri yang kukuh dan dipercayai.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi) merangkap Pengerusi BESarawak Datu Hii Chang Kee berkata: “Jason amat sesuai untuk jawatan ini dengan pemahaman mendalam terhadap industri serta komitmen jelas terhadap kerjasama dan impak bersama.
“Lembaga berkeyakinan bahawa kepimpinan strategiknya akan terus memperkukuh BESarawak dan memajukan industri acara perniagaan ke tahap prestasi serta impak yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Jason berkata: “Saya berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memegang peranan ini pada waktu penting bagi BESarawak.
“Saya percaya sepenuhnya bahawa kerjasama merupakan kunci utama dalam memperkukuh sektor acara perniagaan Sarawak dan memastikan impak mampan serta jangka panjang kepada pelbagai industri dan komuniti.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah atas peluang ini untuk memimpin dan saya menantikan kerjasama erat dengan rakan industri serta pihak berkepentingan dalam membentuk masa depan acara perniagaan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tetapkan harga munasabah bagi bufet Ramadan
Februari 4, 2026, Rabu - 4:49pm
Ia susulan kebimbangan orang ramai mengenai hotel mengenakan harga bufet Ramadan terlalu tinggi: Dr Rahman

Dr Abdul Rahman ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis penyampaian Sumbangan MIS Kepada Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam Tahun 2026M/1447H hari ini. -Gambar UKAS
“Fenomena ini mungkin berlaku kerana peniaga terpengaruh dengan trend harga di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, lalu mengenakan harga yang lebih tinggi.”
Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam)
KUCHING: Pengusaha hotel yang menawarkan pakej berbuka puasa atau bufet Ramadan diminta menetapkan kadar harga yang lebih munasabah dan berpatutan bagi pelanggan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, perkara itu susulan kebimbangan orang ramai mengenai hotel yang mengenakan harga bufet Ramadan terlalu tinggi.
“Fenomena ini mungkin berlaku kerana peniaga terpengaruh dengan trend harga di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, lalu mengenakan harga yang lebih tinggi.
"Di Kuching, pelanggan majoriti terdiri daripada orang tempatan. Maka itu, saya minta kerjasama pihak pengusaha hotel sekiranya boleh melihat semula dari segi harga bufet Ramadan.
“(Kerana) kita bimbang suatu hari nanti, pelanggan mungkin enggan datang lagi disebabkan harga dikenakan terlalu tinggi dan tidak berbaloi. Jadi, sebaiknya mereka tetapkan pada kadar yang berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) Kepada Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam Tahun 2026M/1447H di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman memaklumkan bahawa Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) telah mengedarkan pekeliling yang menyatakan hanya premis makanan dengan Sijil Halal Malaysia sahaja dibenarkan menggunakan istilah bufet Ramadan sepanjang Ramadan tahun ini.
Katanya, ini bermakan peniaga tidak boleh meletakkan poster, papan iklan atau seumpamanya berkaitan tawaran bufet tanpa kebenaran pihak JAIS.
"Justeru, kita sarankan agar peniaga memaklumkan kepada MIS terlebih dahulu sekiranya ingin membuat bufet Ramadan.
“Selain itu, kita juga akan pastikan semua premis mempunyai sijil halal sebelum menyediakan tawaran tersebut dan setakat ini, memang ada premis yang sudah mendapat kebenaran,” jelas beliau.
Mengenai permohonan penganjuran bazar di lokasi lain selain kawasan Satok, Dr Abdul Rahman menjelaskan bahawa DBKU tidak menghalang sebarang permohonan, namun menekankan beberapa garis panduan penting.
"Cuma saya sarankan agar orang ramai menjaga kebersihan kawasan masing-masing, berniaga di tempat yang teratur dan sesuai serta tidak menghalang jalan raya atau berada di tapak tempat letak kereta.
"Selain itu, pengendali makanan diminta memastikan bahawa mereka membuat pemeriksaan kesihatan serta memiliki sijil kesihatan daripada Pejabat Kesihatan," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Masjid, surau, tanah perkuburan Islam terima manfaat daripada sumbangan RM4.627 juta
Februari 4, 2026, Rabu - 4:52pm

Dr Abdul Rahman menyampaikan sumbangan kepada salah seorang wakil pada majlis penyampaian Sumbangan MIS Kepada Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam Tahun 2026M/1447H di Dewan Kompleks Islam Sarawak hari ini.
KUCHING: Lebih 1,600 masjid, surau dan tanah perkuburan Islam di seluruh Sarawak bakal menerima manfaat daripada sumbangan RM4.627 juta yang diluluskan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penyaluran sumbangan tersebut mencerminkan kesinambungan dasar serta komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh institusi masjid sebagai tonggak pembangunan komuniti Islam di negeri ini.
“Seperti yang ditekankan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan masjid dan surau berada dalam keadaan kondusif, terpelihara dengan baik serta mudah diakses.
“Visi dan aspirasi ini selari dengan matlamat pembangunan seimbang dan inklusif Sarawak seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), menekankan keharmonian antara pembangunan fizikal, kemajuan ekonomi dan nilai teras masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Sumbangan MIS Kepada Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam Tahun 2026M/1447H di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman berkata, pengagihan sumbangan itu bukan sekadar bersifat simbolik, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan mandat amanah yang jelas serta kerangka perundangan yang tersusun.
“Ini selaras dengan Seksyen 46 Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001, yang memperuntukkan bahawa dana Baitulmal hendaklah digunakan bagi penubuhan dan penyelenggaraan rumah ibadat serta tanah perkuburan umat Islam.
“Jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM4.6 juta yang diluluskan oleh MIS ini akan memberi manfaat kepada 1,688 masjid, surau dan tanah perkuburan Islam di seluruh negeri, yang dibahagikan kepada lapan kategori penerima,” katanya.
Berdasarkan rangka kerja pengagihan jelasnya, masjid Gred 1 (bahagian) akan menerima RM1,000 manakala masjid Gred 2 (daerah) diperuntukkan RM2,000.
“Masjid Gred 3 (daerah kecil) akan menerima RM3,000, sementara masjid Gred 4 (kariah/awam) diperuntukkan RM5,000.
“Masjid tanpa skim dan surau (awam) menerima RM3,000, diikuti masjid dan surau dalam premis diperuntukkan RM1,000,” ujarnya.
Bagi tanah perkuburan Islam yang diuruskan di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKTP) pula akan menerima RM3,000.
“Sementara tanah perkuburan di bawah Lembaga Amanah Khairat diperuntukkan RM1,000,” tambah beliau lagi.
Hadir sama pada majlis itu ialah Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha.
Sumber : |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PETROS perluas bekalan gas asli berpaip kepada penduduk Taman Saberkas Jaya
Februari 4, 2026, Rabu - 5:39pm

Bekalan gas asli berpaip berjaya dipasang di Taman Saberkas Jaya di Bintulu.
KUCHING: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) telah memperluaskan bekalan gas asli berpaip kepada penduduk Taman Saberkas Jaya di Bintulu, dengan sambungan isi rumah berjaya disiapkan pada Disember 2025.
Menurut kenyataan PETROS hari ini, pencapaian itu menjadikan Taman Saberkas Jaya sebagai kawasan perumahan kedua di Bintulu yang menikmati akses terus kepada gas asli berpaip, selepas pelancaran projek bekalan gas kediaman Sungai Plan pada Julai tahun lalu, sekali gus memperluaskan akses tenaga yang lebih boleh dipercayai, mampu milik dan mudah kepada lebih ramai keluarga.
“Projek Taman Saberkas Jaya mencerminkan komitmen PETROS dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak melalui peluasan penggunaan gas domestik serta penambahbaikan akses tenaga kepada komuniti setempat.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (Sarawak Gas Roadmap, SGR), iaitu inisiatif strategik Kerajaan Sarawak yang dilaksanakan oleh PETROS,” menurut kenyataan.
PETROS berkata, pelaksanaan projek itu melibatkan pemasangan paip dalaman di dalam kediaman serta kerja-kerja pembinaan saluran paip gas utama secara menyeluruh di sepanjang Jalan Persisiran Pantai Bintulu–Samalaju bagi membolehkan penghantaran gas asli berpaip yang selamat dan boleh dipercayai ke kawasan perumahan berkenaan.
Dengan siapnya fasa terbaharu projek ini, PETROS berkata empat isi rumah pertama di Taman Saberkas Jaya kini menikmati kemudahan gas asli berpaip untuk memasak dan keperluan harian manakala 21 buah rumah lagi dijadualkan untuk disambungkan secara berperingkat menjelang akhir Februari 2026.
Penyiapan saluran paip pengagihan gas utama ke Taman Saberkas Jaya turut mewujudkan platform infrastruktur strategik bagi membolehkan peluasan rangkaian pengedaran gas pada masa depan ke kawasan perumahan, komersial dan perindustrian di sepanjang Jalan Persisiran Pantai Bintulu–Samalaju.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen lebih luas PETROS untuk meningkatkan penggunaan gas domestik di seluruh negeri daripada enam peratus kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2030.
“Ia sekali gus menyumbang kepada keselamatan tenaga jangka panjang Sarawak serta agenda peralihan tenaga negeri.
“Peluasan bekalan gas berpaip kediaman di Bintulu ini juga mencerminkan mandat PETROS sebagai Pengagregat Gas bagi Sarawak, apabila syarikat itu terus membangunkan, memperluaskan, mengurus dan menyelenggara infrastruktur gas dan tenaga kritikal di seluruh negeri,” ujar PETROS.
PETROS kekal komited untuk menyokong agenda penggunaan gas Sarawak di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR), bagi memastikan sumber gas negeri diterjemahkan secara berperingkat kepada manfaat yang inklusif untuk rakyat Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pertandingan keceriaan asrama sasar bilik ceria seperti rumah sendiri: Fatimah
Februari 4, 2026, Rabu - 6:09pm

Fatimah (tengah) bersama para pemenang Pertandingan Asrama Terbilang: Keceriaan Asrama 2025 bagi sekolah rendah di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.
DALAT: Pertandingan Asrama Terbilang: Keceriaan Asrama 2025 yang bertemakan 'Asramaku, Syurgaku' menekankan matlamat untuk melahirkan bilik-bilik asrama yang ceria dan kondusif agar penghuni dapat merasakan asrama sebagai penginapan terbaik seperti rumah sendiri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, melalui pertandingan yang telah dipantau secara rasmi dan tidak rasmi sepanjang tahun, dapat dilihat usaha dan kreativiti yang luar biasa daripada semua penghuni asrama.
"Pertandingan ini bukan sahaja melibatkan bilik asrama, tetapi turut merangkumi keseluruhan kemudahan termasuk dapur asrama, dewan makan dan bilik pengurusan," ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Asrama Terbilang: Keceriaan Asrama 2025 di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata, pertandingan turut mengintegrasikan program-program penting Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti Sistem Keluarga Asrama (SisKA) dan Program Keselamatan Makanan (ProKEM).
Penglibatan aspek-aspek ini katanya, memastikan objektif pertandingan dicapai secara menyeluruh iaitu melatih pelajar menjadi insan yang memelihara kebersihan, keindahan dan keharmonian di mana sahaja mereka berada.
"Lebih penting lagi, pertandingan ini menyemai semangat cintakan sekolah dan asrama, serta mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas daripada perlakuan buli," jelasnya.

Fatimah (tengah) bersama para pemenang Pertandingan Asrama Terbilang: Keceriaan Asrama 2025 bagi sekolah menengah di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.
Fatimah turut merakamkan penghargaan kepada empat sekolah menengah dan lapan sekolah rendah yang terlibat, di mana usaha mereka itu memastikan Carta Organisasi Bilik, Kekemasan Loker, Kebersihan Bilik dan Kreativiti Susunan Barang Peribadi mencapai tahap tertinggi adalah amat membanggakan.
"Tahniah diucapkan kepada sekolah yang telah berjaya bagi Pertandingan Asrama Terbilang: Keceriaan Asrama 2025.
"Semoga dengan kejayaan ini akan dapat menjadi perangsang untuk anda terus mengekalkan budaya keceriaan dan kebersihan.
"Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dalat, khususnya Unit Hal Ehwal Murid (HEM) dan Sektor Pembangunan Murid (SPbM) PPD Dalat atas penganjuran pertandingan yang amat bermakna ini.
"Usaha ini menunjukkan komitmen berterusan kita dalam melahirkan persekitaran sekolah dan asrama yang kondusif untuk pembangunan holistik anak-anak kita," ujar beliau.
Bagi kategori sekolah menengah, pertandingan dimenangi SMK Dalat sementara SK Kampung Klid/Plajau bagi kategori sekolah rendah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|