Rahsia Anak Dikandung Che Ta Hanya Untuk Astro
[size=0.75em]Gambar imbasan bayi yang dimuat naik oleh Zain pada petang Isnin.
PETALING JAYA: Keterujaan pelakon Zain Saidin untuk menimang cahaya mata mendorong dia mendedahkan gambar imbasan bayi di dalam kandungan isterinya pelakon Rozita Che Wan kepada umum pada petang Isnin.
Walaupun gambar bayi berkenaan telah dimuat naik dalam laman sosial Instagram dan Facebook miliknya, pasangan itu mengambil pendekatan untuk tidak memberi sebarang komen termasuklah merahsiakan jantina bayi yang kini kini berusia lima bulan itu.
"Ya, saya memuat naik gambar imbasan bayi dalam kandungan isteri saya, namun saya tidak boleh beritahu apa-apa juga tentang hal itu kerana ia akan disiarkan secara eksklusif di sebuah program terbitan Astro nanti.
Zain Saidin dan isterinya Rozita.
"Program lapan episod itu akan mendedahkan perjalanan bermula Rozita mengandung, persiapan bayi sehinggalah dia melahirkan bayi tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.
Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan kesihatan isterinya, Zain memberitahu Rozita dan bayi tersebut berada dalam keadaan sihat biarpun kandungan semakin membersar.
Katanya, dia juga mengakui rezeki semakin bertambah semenjak isterinya disahkan mengandung pada awal Mac lalu.
"Alhamdulillah, saya percaya rezeki anak kerana sejak isteri saya mengandung ada sahaja tawaran untuk kami berdua. Sepanjang tahun ini saya sibuk dengan drama Oh My English!.
"Setiap kali kami terima tawaran berlakon kami akan asingkan separuh daripada bayaran itu untuk simpanan bayi sebab itu adalah rezeki dia," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zain baharu sahaja pulang daripada penggambaran selama sepuluh hari di Istanbul, Turki untuk drama Bestora Cinta terbitan RTM.
Dia dan Rozita juga kini sibuk dengan beberapa penggambaran iklan televisyen sempena Hari Raya Aidilfiti.
|