|
Berbatov yakin United julang trofi
MANCHESTER: Penyerang kelab gergasi Inggeris, Manchester United, Dimitar Berbatov percaya pasukannya akan mengekalkan takhta kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini ketika pertembungan menentang Wigan Athletic di Old Trafford, hari ini.
Rakan sepasukannya, Wayne Rooney menjadi inspirasi kemenangan 3-1 ke atas Hull City, Ahad lalu yang memberi kelebihan kepada United mendekatkan jurang mata dengan Chelsea kepada lima mata selepas pendahulu itu menewaskan Fulham 2-1, kelmarin.
Kenyataan pengurus United, Alex Ferguson yang percaya sekiranya anak buahnya berjaya merapatkan jurang mata dengan Chelsea sebelum tahun baru ia bakal memberi mereka kejuaraan buat kali keempat berturut-turut dan tanggapan itu disokong Berbatov.
“Saya fikir kami dalam keadaan yang baik,” kata penyerang Bulgaria ini. “Masih banyak perlawanan perlu ditempuhi dan pastinya sukar namun saya rasa pada akhirnya, kami akan menamatkan musim ini di kedudukan teratas liga,” tambahnya.
“Kami menempuhi situasi yang sukar dengan masalah kecederaan namun kami masih memiliki barisan pemain yang baik yang ketika ini amat bersemangat memenangi setiap perlawanan akan datang.
“Pengurus mengetahui apa yang perlu dilakukan. Menukar strategi apabila perlu dan saya yakin, kami akan menamatkan musim ini dengan tempat teratas liga,” katanya tanpa menerangkan masalah kecederaan dihadapi United kini.
United ketika ini mempunyai masalah kehilangan beberapa pertahanan utama pasukan dengan Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, John O’Shea, Wes Brown, Gary Neville dan Jonny Evans semuanya masih bergelut untuk cergas sepenuhnya.
Namun, Ferguson percaya situasi malang itu akan berubah dengan kehadiran semula Brown dan Vidic ketika pertembungan menentang Hull lalu dan baginya, dua pemain ini adalah sesuatu yang penting buat United untuk menewaskan Wigan.
“Hull adalah batu loncatan untuk kami,” kata Ferguson. “Ketika memasuki zon penting. Dua pertahanan tengah kami sudah kembali dan ia adalah perbezaan yang besar. Mereka cukup mantap (ketika menentang Hull) dan kehadiran Wigan di Old Trafford memberikan pengajaran buat mereka mengenai sejarah lalu.” - AFP |
|