|
|
Masih Ingat Siri Fantaghiro? Ini Berita Terkini Pelakon Fantaghiro, Romualdo Dan
Sekitar tahun 1990an, penonton televisyen (TV) seakan dibius dengan sebuah filem bersiri bertajuk The Cave of the Golden Rose atau lebih dikenali sebagai Fantaghiro.
Siri yang berasal dari Itali itu muncul bagi lima musim dan mengetengahkan watak utama Fantaghiro (Alessandra Martines), seorang Puteri Raja berdarah pahlawan yang berani dan sanggup berperang dengan negara jiran untuk membela kedaulatan negaranya.
Puteri Fantaghiro menyamar sebagai lelaki dan beradu kekuatan dengan Putera dari negara jiran iaitu Romualdo (Kim Rossi Stuart), tetapi kedua-duanya kemudian saling jatuh cinta.
 Kredit Foto: Mensive
Dalam siri ketiga, muncul pula watak Tarabas (Nicholas Rogers), seorang ahli sihir yang turut jatuh cinta dengan Fantaghiro. Tarabas menawarkan kuasanya untuk menghidupkan semula Romualdo, dengan syarat Fantaghiro berkahwin dengannya.
Siri ini mendapat sambutan hangat di seluruh dunia sehingga dialih suara ke pelbagai bahasa. Di Itali, siri ini menjadi program yang mendapat rating tontonan paling tinggi. Kesemua pelakon siri ini menjadi terkenal dan mendapat tawaran susulan yang lumayan.
Tapi apakah perkembangan tiga bintang ini sekarang?
Fantaghiro (Alessandra Martines, 55)
 Kredit Foto: IMDB
Alessandra, ketika kemuncak populariti siri TV itu berkahwin dengan pengarah filem ternama dari Perancis, Claude Lelouch yang berusia 26 tahun lebih tua daripadanya.
Lelouch turut berperanan menaikkan nama Alessandra dengan menawarkannya watak di dalam enam filem arahannya. Mereka berdua mendapat seorang anak bernama Stella Lelouch sebelum bercerai pada tahun 2009.
Alessandra kemudiannya berpacaran dengan teman lelaki barunya, Cyril Descours, yang 20 tahun lebih muda daripadanya. Alessandra melahirkan anak keduanya iaitu Hugo Descours pada 2012 ketika beliau berusia 49 tahun.
 Krdeif Foto: Facebook
Alessandra berlakon hampir 41 filem dan siri TV, tetapi hampir kebanyakan wataknya kini hanyalah pembantu sahaja. Siri TV beliau yang terakhir bertajuk Il Bello Delle Donne dan beliau muncul dalam lapan episod sahaja.
Dengan latar belakangnya sebagai penari professional, Alessandra juga pernah menjadi juri bagi rancangan pertandingan tarian The Best dan Dancing With The Stars. Alessandra Martines aktif di media sosial, tetapi hanya memiliki pengikut yang sedikit.
Romualdo (Kim Rossi Stuart, 49)
 Kredit Foto: YouTube
Populariti Kim Rossi di negaranya, Itali memuncak selepas siri The Cave of the Golden Rose. Susulan tawaran yang berlimpahan, beliau memilih untuk berlakon dalam filem yang berkualiti antaranya Poliziotti (1995), Sanze Pelle (1994) dan Beyond The Clouds (1995).
Selain filem, beliau juga berjinak-jinak dalam teater dan mencuba bakat sebagai pengarah filem (Tommaso, 1996) dan penulis skrip (Angel of Evil, 2010).
 Kredit Foto: Facebook
Rossi berkahwin dengan pelakon Ilaria Spada pada 2015 dan mempunyai seorang anak bernama Ettore. Kali terakhir Rossi muncul di kaca TV ialah melalui sebuah siri penyiasatan bertajuk Maltese: The Mafia Detective pada tahun lalu.
Tarabas (Nicholas Rogers, 49)
 Kredit Foto: YouTube
Nicholas Rogers adalah satu-satunya pelakon kelahiran Australia dalam siri berkenaan. Sebelum ditawarkan berlakon, beliau bekerja sebagai model jeans sambilan di Rome.
Salah satu gambarnya di majalah fesyen telah menarik minat pengarah siri terbabit, lantas menawarkannya watak Tarabas. Susulan populariti siri itu, Rogers menerima banyak tawaran dan memegang pelbagai watak idamannya antaranya sebagai penyanyi rock dan lanun.
 Kredit Foto: Pinterest
Kerjayanya sebagai model juga meningkat dengan tawaran lumayan daripada jenama terkenal antaranya Lagerfeld, Ray Ban dan Chiemsee. Beliau juga memenangi anugerah Pop Rocky Award sebagai salah seorang pelakon terbaik pada tahun 1998.
Beliau muncul kali terakhir sebagai watak sampingan dalam filem aksi The Razor's Edge (2005), tapi kerjayanya mulai malap sejak itu.
Sejak 2012, sebuah kumpulan peminat Facebook bernama Finding Nicholas Rogers telah memulakan hastags #tarabas dan #NicholasRogers dengan tujuan untuk mengembalikan semula populariti pelakon dan siri berkenaan.
Mampukah gerakan peminat ini mengembalikan semula siri popular tersebut dengan barisan pelakon baru? Kita nantikan. - CARI |
|