KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung, bagi tempoh bermula 1 Februari ini hingga 31 Disember 2024.
Suruhanjaya Tenaga (ST) memaklumkan keputusan pengekalan dibuat meskipun berlaku peningkatan kos bahan api dan kos penjanaan lain, sebanyak RM1.67 bilion antara 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu, akibat kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran hingga mencecah AS$200 per tan.
Bagi mengekalkan kadar tarif berkenaan, katanya, kerajaan memperuntuk dana sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos berkaitan.
"Di bawah mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang disemak setiap enam bulan, kerajaan memutuskan supaya bagi tempoh 1 Februari hingga 30 Jun 2022, pelaksanaan pelarasan tarif elektrik seperti berikut.
"Pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Untuk itu, tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna domestik di Semenanjung.
"Selain itu, pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri.
"Bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntuk dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.
ST memaklumkan, kenaikan harga arang batu yang tinggi di pasaran menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45 peratus, dan memberi impak besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59 peratus sumber penjanaan daripada arang batu.
Katanya, peningkatan harga bahan api arang batu di luar kawalan kerajaan kerana berasaskan harga pasaran global.
Di bawah mekanisme ICPT, katanya, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj, bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos berkaitan.
ST menggalakkan pengguna elektrik di Semenanjung melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET) bagi meminimumkan kesan kenaikan bil elektrik disebabkan surcaj ICPT.
GET ialah bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu yang membolehkan pengguna menikmati pengecualian daripada surcaj ICPT elektrik untuk tempoh setahun.
Katanya, pelanggan GET akan turut memiliki Sijil Tenaga Boleh Baharu yang menyokong agenda Tenaga Boleh Baharu negara, selain boleh memanfaatkan Program Pemeteran Tenaga Bersih, bagi membantu mengurangkan kos bil elektrik.
Selain itu, ST menggalakkan pengguna melaksanakan langkah menjimatkan penggunaan elektrik, antaranya mengaudit penggunaan tenaga dengan memantau dan menganalisis penggunaan elektrik serta mengenal pasti peralatan, proses dan sistem yang boleh ditambah baik.
ST turut menyarankan pengguna membeli peralatan elektrik yang mempunyai penarafan lima bintang, dengan pengguna boleh menebus e-rebat bernilai sehingga RM400 di bawah Program SAVE 3.0 bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga berlabel empat atau lima bintang seperti penyaman udara, peti sejuk, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro, televisyen dan mesin basuh.
"Pengguna juga perlu memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran elektrik, selain menggunakan peralatan elektrik dengan lebih cekap, contohnya menetapkan suhu penghawa dingin di antara 24 hingga 26 darjah Celsius dan melaksanakan penyelenggaraan secara berkala.
"Pengguna juga boleh menganggarkan bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui portal
www.myelectricitybill.my.
"Pengguna boleh memasukkan unjuran harga arang batu dan gas serta kadar tukaran wang asing untuk membuat anggaran kos ICPT pada tempoh pelarasan tarif akan datang," katanya.