Edited by Ipo at 16-6-2015 05:42 PM
SAMPAI di rumah,Saiful mula berkemas barang-barangnya. Tidak banyak, hanya satu beg pakaian dan sekotak buku rujukan. Komputer riba pula sudah dimasukkan ke dalam beg sandangnya.
“Pul,nak pindah ke?” Sharif menegur adiknya.
“Ya bang. Pul dah dapat rumah sewa. Pul ingat malam ni juga nak pindah.” Saiful masih mengemas.
“Malam ni? Tak boleh ke tunggu esok? Malam-malam macam ni nak pindah, tak elok.”Sharif masih tercegat di muka pintu bilik saiful.
“Ajid pun nak pindah malam ni. Tak apa..kita orang ada member yang ada kereta. Senang sikit nak angkut barang ni.” Saiful senyum.
“Boleh bawa ke semua barang tu? Nak abang hantarkan?” Sahrif menawarkan diri.
“Tak payah bang. Sikit je barang ni. Muat ni atas motor tu.”
Sharif angguk. Dia menolong Saiful mengangkat semua barang ke atas motosikal. Saiful mula bersalam dengan abangnya.
‘Senang-senang nanti, datanglah rumah abang ya.” Pesan Sharif sebelum Saiful bertolak pergi.
MALAM itu juga,Saiful dan Ajid mula berpindah. Dengan ditemani Zaki, rakan sekuliah yang ada kereta, mereka mula menuju ker rumah bercat hjiau itu semula. Sampai di laman rumah, mereka mula mengangkut barang-barang yang dibawa tadi. Zaki turut menolong mengemas dan membersih rumah dua tingkat itu. Saiful dan Ajid memilih bilik di tingkat atas. Bilik mereka bersebelahan.
“Zaki,kau nak duduk sini tak? Ada satu lagi bilik kosong tu!” Saiful mula mengajak Zaki tinggal sekali di rumah itu.
“Hmm..nanti mak aku marah. Rumah aku kan dekat kampus je. Nanti aku tanya siapa yang naksewa sini sekali dengan kau dan Ajid.” Zaki senyum.
“Ya tak ya juga. Kami ni je yang duduk jauh dari kampus tu.” Saiful mengangguk dan mula sengih. Dia jeling Zaki. Faham benar dengan sikap Zaki yang tidak boleh berenggang dengan ibunya. Anak manja. Sentiasa bawah ketiak mak!
Zaki mula minta diri setelah semua barang diangkut masuk ke rumah.
“Pul,aku balik dulu la. Dah nak tengah malam ni.” Zaki bersalam dengan Saiful danAjid. Dia jeling jam. Hampir sebelas malam.
“Nanti datanglah lepak kat sini. Kau dah tahu rumah ni kan?” Pesan Zaki. Dia menghantar Zaki sehingga ke kereta yang diletakkan di depan laman rumah. Ajid turut sama mengikut saiful ke laman.
“InsyaAllah! Aku datang!” Zaki mula masuk ke dalam kereta. Dia segera keluar dari kawasan rumah bercat hjiau tu. Sesekali dia melihat melalui cermin belakang. Entah kenapa bulu romanya terasa meremang. Sejak mula-mula sampai lagi dia merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan rumah itu. Masa mengemas rumah tadi, dia perasan pasu yang terletak di atas meja kecil itu asyik beralih tempat. Masa dia ke dapur mengambil air sejuk dalam peti ais, dia terlihat pula satu kelibat di cermin tingkap dapur.
“Eii..tak adanya aku nak datang lepak kat rumah dia orang tu. Seram aku!” Zaki memeceut semakin laju keretanya meninggalkan kawasan perumahan itu.
SAIFUL dan Ajid mula mengemas bilik masing-masing. Penat mengemas mereka berdua mula menaiki motosikal menuju ke hujung taman perumahan. Ada deretan kedai di hujung jalan.Dua buah restoran dan tiga lagi kedai runcit. Mereka berdua segera ke salah sebuah restoran 24 jam di situ. Saiful dan Ajid mula mengambil tempat duduk di meja yang terletak di luar restoran.
“Makan apa?” Seorang pelayan perempuan datang.
“Bagi saya mi goreng dan teh tarik!” Saiful senyum.
Ajid pula pesan nasi lemak dan kopi ‘o’ panas. Mereka berdua mula menikmati makanan yang dipesan. Sejak dari pagi tadi perut belum diisi. Sebaik sampai di rumah hijau itu, mereka segera mengemas. Sibuk mengemas, sampai lupa perut yang sudah minta untuk diisi.
“Err..maaf, anak ni baru ke kat sini?”
Saiful dan Ajid berpaling serentak. Seorang perempuan yang agak berumur menegur mereka. Kelihatan di tangan perempuan itu ada sebuah bakul berisi karipap.
“Ya makcik.” Saiful menjawab.
Perempuan tua itu hanya memandang ke arah Saiful dan Ajid tidak berkelip. Wajahnya sedikit muram. Dia hulur beberapa biji karipap kepada Saiful dan Ajid.
“Err..makcik, kami tak nak karipap ni.Kami dah makan ni..” Saiful menolak dengan baik. Ajid juga turut angguk.
“Ambilah!Tak payah bayar pun.” Perempuan tua itu terus berlalu pergi. Karipap yang dibungkus dalam beg plastik merah diletakkan atas meja.
Saiful dan Ajid terpinga-pinga. Tiba-tiba perempuan tua itu memberi mereka karipap percuma. Dari cara pemakaian perempuan itu, Saiful mengagak yang perempuan itu orang yang agak susah. Baju kurung yang sudah lusuh dan kepalanya hanya ditutup dengan kain batik lusuh.
“Pul,siapa makcik tu?” Ajid cuit lengan Saiful.
“Entah!Aku pun tak kenal. Kan kita baharu je kat sini.” Saiful masih memandang makcik jual akripap itu sehingga lenyap dari pandangannya.
“Hairan aku. Tetiba je dia datang kat kita. Lepas tu siap beri percuma karipap kat kita. Aku ingatkan saudara kau ke apa ke..” Ajid sengih.
“Hish!Mana ada!” Saiful luku kepala Ajid.
Ajid sengih lagi. Matanya masih menala pada makcik tadi yang sudah hilang dari pandangan.
“Dah!Makan cepat! Dah nak tengah malam ni. Jalan ke rumah kita tu gelap sikit.”Saiful cuit lengan Ajid yang masih memandang ke arah luar restoran.
Mereka menghabiskan nasi lemak dan mee goreng masing-masing. Selesai membayar mereka mula menaiki motosikal pulang ke rumah. Berhati-hati Saiful membawa motosikalnya melalui jalan gelap menuju ke rumah sewa mereka.
MALAM itu, di ruang tamu, Saiful dan Ajid menonton tv bersama setelah selesai solat Isyak. Pulang dari restoran tadi, mereka berdua masih belum mengantuk. Jadi, mereka lepak di runag tamu sambil menonton cerita di kaca tv.
“Pul,rumah ni semuanya lengkap.Televisyen pun disediakan oleh tuan rumah.” Ajid sengih.Dia lihat sekali lagi sekitar ruang tamu dan dapur. Semuanya sudah tersedia. Mereka hanya bawa pakaian saja ke situ. Almari, peti sejuk, tv, mesin basuh, kerusi meja semua sudah tersedia.
Saiful turut senyum. Matanya masih menala kekaca tv. Cerita lakonan Nicholas Cage cukup menarik perhatiannya.
“Hmm..kau dahaga tak?” saiful menoleh ke arah Ajid yang masih mengadap tv.
Ajid berpaling. “ Dahaga juga. Kau nak buat air ke?” Ajid senyum kambing.
Saiful faham sangat senyuman Ajid. Dia bingkas bangun dan menuju ke runag dapur.Seketika kemudian dia kembali ke ruang tamu bersama dua mug jus oren yang diambil dari peti sejuk.
“Nah!”Saiful hulur kepada Ajid dan melabuhkan punggung semula di sofa.
“Terima kasih daun keladi..” Senyum Ajid semakin lebar. Dia meneguk perlahan jus oren yang dihulurkan oleh Saiful tadi.
“Bila kau tukar cerita kartun ni? Dah habis ke cerita Ghost Rider tadi?” saiful jeling Ajid.
“Alah,bosanlah cerita tu. Aku dah tengok berkali-kali. Kartun ni lagi best!” Ajid ketawa melihat gelagat Spongebob yang menyakat kawan-kawannya.
Saiful geleng. Alasan!
“Ajid, kau perasan tak?” Saiful pandang Ajid.
Ajid masih leka menonton kartun. Sesekali dia ketawa terbahak-bahak dengan kisah lucu dari watak Spongebob.
“Ajid!Kau dengar tak?” Saiful mula geram bila Ajid tidak menghiraukan pertanyaannya tadi.
“Apa kau tanya tadi?” Ajid mula berpaling.
“Kau perasan tak makcik jual karipap tadi tu? Dia pandang kita semacam je.” Saiful teringat semula perempuan tua yang memberi mereka karipap percuma semasa di restoran tadi.
“Hmm…yalah. Eh! Mana karipap tu? Bila kau sebut karipap tu..terasa lapar pulak! Mana?” Ajid pandang Saiful sambil angkat kening seperti penyanyi Ziana Zain.
“Ada kat dapur. Aku letak bawah saji tadi.” Saiful muncungkan mulutnya ke arah dapur.
“Laa..kenapa tak ambil karipap sekali tadi masa kau pergi ambil air tu?”
“Kau tak cakap nak makan karipap! Buat apa aku nak ambil!” Saiful luku kepala Ajid.
“Heheh..aku ambil.” Ajid bingkas bangun.
Ajid segera menuju ke dapur sambil bersiul kecil. Dia terus petik suis di kiri dinding dapur. Sebaik lampu terpasang, Ajid segera ke meja makan. Tudung saji dibuka perlahan. Ada lima biji karipap di dalam pinggan yang masih belum terusik. Dia segera mengambil pinggan berisi karipap itu dan membawanya ke ruang tamu semula.
Saiful hanya memandang Ajid yang begitu lahap makan karipap makcik tadi. Dia geleng.Ajid seperti kemaruk makan karipap padahal sebelum ini dia bukanlah peminat kuih sangat. Dia jeling Ajid yang begitu beria mengunyah karipap.
“Pul!Kau tak nak rasa ke?” Ajid mula pandang Saiful bila hanya tinggal sebiji karipap dalam pinggan.
“Err..sedap ke?” Saiful mula terliur.
“Nah!Rasalah! Sedap! Inti kentang dengan daging!” Ajid hulur kepada Saiful.
Saiful mula makan. Dia mengunyah perlahan.
“Hmm..sedap jugak karipap makcik ni!”
Ajid senyum. “ Esok kita beli nak?”
Saiful hanya angguk. Entah jumpa entah tidakdengan makcik jual karipap itu lagi. Dia berkira esok lepas kelas, dia akan singgah lagi di restoran tadi. Mana tahu dapat berjumpa semula dengan makcik jual karipap.
Mereka berdua mula masuk ke bilik masing-masing bila terasa mula mengantuk. Ajid sudah berkali-kali menguap. Jam di dinding sudah menunjukkan ke angka dua belas setengah malam.
|