|
|
Kompleks ICQS Sg Tujoh beroperasi sebelum TBC
Januari 14, 2026, Rabu - 4:15pm
Projek naik taraf kini capai 88 peratus siap dan dijangka mulai beroperasi seminggu sebelum TBC

Lee bercakap kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Kompleks ICQS Sungai Tujoh hari ini.
MIRI: Projek naik taraf di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujoh kini mencapai 88 peratus siap dan dijangka mulai beroperasi seminggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina (TBC), kata Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.
Menurut Lee, projek yang melibatkan pembinaan empat lorong trafik tambahan, penambahan kaunter imigresen dan kastam serta kemudahan tandas awam itu bertujuan mengurangkan kesesakan kronik di pintu sempadan sibuk berkenaan, khususnya pada hujung minggu dan musim perayaan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita menerima banyak aduan daripada para pelancong yang melalui Sungai Tujoh, terutama ketika musim perayaan, di mana masa menunggu boleh mencecah tiga hingga lima jam,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja ke tapak projek itu di Kompleks ICQS Sungai Tujoh, hari ini.

Lee (dua kanan) ketika meninjau kerja-kerja menaik taraf Kompleks ICQS Sungai Tujoh di Miri, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak dengan kelulusan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan RM4 juta bagi projek tersebut untuk menambah baik aliran trafik di pintu sempadan itu.
Lee menjelaskan, projek berkenaan pada asalnya dijadualkan siap pada Disember lalu namun mengalami kelewatan ekoran keadaan cuaca buruk serta pindaan kecil reka bentuk, sekali gus menyebabkan lanjutan tempoh pelaksanaan.
“Bagaimanapun, kami telah menegaskan bahawa projek ini mesti disiapkan sebelum Tahun Baharu Cina kerana kesesakan trafik dijangka bertambah dengan peningkatan pergerakan sempena musim perayaan,” katanya sambil menambah bahawa kontraktor telah memberi jaminan tarikh siap akan dipatuhi.
Apabila siap kelak katanya, aliran trafik akan disusun semula dengan pengasingan kaunter bagi kenderaan berdaftar Malaysia dan kenderaan asing, termasuk dari Brunei.
“Empat kaunter baharu akan dikhususkan untuk kenderaan Malaysia.
"Pada masa ini, kenderaan Malaysia dan Brunei diproses bersama dan memandangkan pelepasan kenderaan Malaysia biasanya lebih cepat, mereka sering terperangkap di belakang barisan yang lebih perlahan,” jelasnya.
Pengasingan aliran trafik itu katanya, akan banyak membantu mengurangkan kesesakan di ICQS Sungai Tujoh.
Lee menegaskan, walaupun kerja naik taraf semasa mampu memberi kelegaan segera, ia hanyalah langkah sementara dan penambahbaikan menyeluruh terhadap ICQS Sungai Tujuh diperlukan dalam jangka panjang.
Beliau berkata, pihaknya akan memohon kepada kerajaan persekutuan agar memberi keutamaan kepada pembangunan semula sepenuhnya kompleks itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, termasuk kemungkinan pembinaan terminal baharu di lokasi berhampiran bagi menampung peningkatan jumlah trafik.
“Sungai Tujoh merupakan pintu sempadan yang sangat penting dengan Brunei.
"Dalam jangka panjang, kita juga perlu meneliti penyelesaian perjalanan yang lebih lancar seperti sistem elektronik atau teknologi pengecaman wajah, sebagaimana yang digunakan di sempadan Johor-Singapura,” tambahnya.
Sementara itu, Lee turut menggesa Telekom Malaysia (TM) supaya menambah baik liputan Internet di sekitar kawasan ICQS bagi memastikan operasi berjalan lebih lancar.
“Liputan di sini sangat perlahan dan sering jeda.
"Keadaan ini melambatkan proses operasi dalam talian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa TM agar memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera untuk meningkatkan tahap sambungan serta perkhidmatan di kawasan berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SUPP Batu Kitang anjur Program Perkhidmatan Bergerak Ahad ini
Januari 14, 2026, Rabu - 4:30pm

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kitang akan menganjurkan Program Perkhidmatan Bergerak pada Ahad, 18 Januari 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang (gambar) menerusi satu kenyataan berkata program yang akan bermula dari jam 9 pagi hingga 1 petang itu diadakan di Iskon Kuching di alamat Lot 680, Jalan Ketitir, Batu Kawah.
"Orang ramai dijemput hadir bagi memanfaatkan perkhidmatan sehenti yang disediakan untuk komuniti setempat.
"Program ini bertujuan membawa perkhidmatan awam dan komuniti lebih dekat kepada penduduk, khususnya bagi membantu mereka yang menghadapi kesukaran untuk berurusan di jabatan-jabatan berkaitan," katanya.
Lo memberitahu antara perkhidmatan yang disediakan termasuk bantuan kebajikan, pemeriksaan kesihatan, Sarawak Pay, Sarawak Pass, hal ehwal orang kurang upaya (OKU), aduan awam, kaunseling pendidikan serta pembukaan akaun simpanan bank untuk pelajar.
Bantuan permohonan dan pertanyaan berkaitan Kenyalang Gold Card (KGC) dan Skim Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB–RM500) juga akan disediakan, tambahnya.
"Orang ramai yang ingin membuat permohonan atau pertanyaan dinasihatkan membawa dokumen sokongan yang berkaitan bagi melancarkan proses permohonan.
"Program Perkhidmatan Bergerak ini mencerminkan komitmen berterusan SUPP Cawangan Batu Kitang dalam berkhidmat kepada rakyat, memperkukuhkan hubungan komuniti dan memastikan bantuan serta maklumat dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Harden luluskan RM500,000 untuk kerja baik pulih Jambatan Sebujok
Januari 14, 2026, Rabu - 4:40pm

Harden (lima kanan) bergambar bersama penduduk di jambatan yang dibaik pulih itu. - Gambar UKAS
SRI AMAN: Aduan mengenai kerosakan yang berlaku terhadap Jambatan Sebujok dalam kawasan Ulu Undop, Sri Aman mendapat perhatian Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis.
Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan kerja membaik pulih jambatan berkenaan.
"Tuai Rumah Suntie Sayup dari Kampung Sebujok, Ulu Undop telah menyampaikan aduan kepada kami mengenai wujudnya rekahan pada pangkal jambatan berkenaan dan memohon agar ia diperbaiki segera.
"Atas sebab itu, saya telah bertindak melulus projek Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Simanggang bagi melaksana kerja pembaikan terhadap jambatan itu yang dilaksana oleh pihak kontraktor ER Enterprese," katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan terhadap kerja pembaikan jambatan tersebut, baru-baru ini.
Harden menambah, tindakan terbabit penting untuk keselamatan pengguna terutama pelajar dan petani yang bergantung kepada kemudahan berkenaan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Harden turut bertindak membina tiga pembetung di sepanjang jalan Kampung Sungai Reboh hingga ke Kampung Paku Ili dekat Batu Lintang, Undop, di sini.
"Dengan adanya kemudahan pembetung terbabit maka masalah banjir kilat akan dapat dikurangkan di samping menjadikan jalan lebih selamat untuk laluan kenderaan-kenderaan kecil," katanya.
Beliau menambah, aktiviti lawatan ke tapak projek RTP itu sekali gus menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan usaha pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar diberi perhatian demi kesejahteraan penduduk DUN Simanggang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jalan rosak, berlubang perlu perhatian pihak berwajib
Januari 14, 2026, Rabu - 4:50pm
Ia mengundang bahaya, menyebabkan kerosakan kepada kenderaan terutama motosikal yang melaluinya setiap hari

Chua menunjukkan jalan berlubang dan rosak di kawasan Perindustrian Kubong, Limbang.
LIMBANG: Jalan rosak serta berlubang di kawasan Perindustrian Kubong di sini sejak empat bulan lalu perlu mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.
Keadaan jalan yang rosak itu mengundang bahaya serta menyebabkan kerosakan kepada kenderaan terutama motosikal yang melaluinya setiap hari.
Menurut penduduk, kerosakan jalan itu bukan sahaja mengganggu pergerakan pengguna tetapi juga membahayakan keselamatan mereka.
Tambah mereka, masalah itu telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian konkrit daripada pihak berkaitan.
Tegas mereka, keselamatan pengguna jalan raya harus menjadi keutamaan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini.
Keluhan turut diluahkan peniaga Eric Chua yang menggesa pihak berkaitan segera melakukan kerja pembaikan jalan di kawasan industri itu.
Menurutnya, masalah berkenaan pernah disuarakan kepada pihak berkaitan namun sehingga kini belum ada kerja penyelenggaraan dan pembaikan dijalankan.
“Musim hujan yang menyebabkan air bertakung di kawasan jalan rosak amat membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal kerana mereka tidak menyedari kewujudan lubang berkenaan,” katanya kepada media hari ini.
Seorang lagi peniaga Alex Lee berkata, keadaan jalan yang rosak itu bukan sahaja mengganggu pergerakan pengguna tetapi juga berisiko menjejaskan keselamatan mereka.
“Permukaan jalan yang berlubang dan tidak diselenggara dengan baik menyebabkan risiko kemalangan meningkat.
"Ini adalah satu perkara serius yang perlu diberi perhatian segera oleh agensi dan pihak berkaitan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
ADSW 2026: Penyelesaian praktikal untuk pembangunan lestari
Januari 14, 2026, Rabu - 5:28pm

Dr Hazland (lima kiri) bersama delegasi Sarawak bergambar sebelum menghadiri ADSW 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi, UAE pada Selasa.
KUCHING: Minggu Lestari Abu Dhabi (ADSW) 2026 merupakan platform global bertujuan mencari dan memajukan penyelesaian praktikal ke arah pembangunan lestari.
Sarawak yang diwakili Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, majlis perasmian pada Selasa telah berlangsung di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC) dan disempurnakan oleh Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
"ADSW 2026 yang diadakan selama tiga hari iaitu dari 13 hingga 15 Januari itu menghimpunkan para pemimpin, pembuat dasar, pemain industri dan pakar antarabangsa bagi memajukan penyelesaian praktikal ke arah pembangunan lestari di Emiriah Arab Bersatu dan peringkat global," katanya.
Menurut Dr Hazland, Sheikh Mohamed Zayed dalam ucapan perasmian amat mengalu-alukan kehadiran para peserta serta menegaskan peranan UAE sebagai platform pertemuan global untuk dialog dan tindakan yang menyatukan kerajaan, perniagaan dan pelabur bagi menterjemahkan aspirasi bersama kepada tindakan praktikal.
Beliau turut mengetengahkan pertumbuhan pesat teknologi canggih dan ekonomi digital sambil menekankan peranan inovasi khususnya kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan kecekapan, memperkukuh daya tahan serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
Dengan mengangkat tema 'The Nexus of Next: All Systems Go', ADSW 2026 telah menghimpunkan pihak berkepentingan daripada sektor tenaga, kewangan, makanan, air dan alam sekitar untuk memacu penyelesaian bersepadu yang dapat memperkukuh daya tahan serta mempercepatkan impak merentasi sistem yang saling berkaitan.
Dr Hazland dalam pada itu berkata, penganjuran ADSW 2026 memberi tumpuan kepada keutamaan baharu termasuk sistem tenaga berasaskan AI, pembiayaan iklim serta inovasi yang menyokong keselamatan makanan dan air.
"Matlamat program kali ini ialah memperkukuh kerjasama merentas sektor dan menghasilkan impak yang ketara.
"Antara pengisian program merangkumi beberapa acara utama termasuk perhimpunan IRENA, sidang kemuncak dan dialog ADSW, sidang kemuncak tenaga masa depan dunia, sidang kemuncak hidrogen hijau, Global South Utilities, Forum Belia Untuk Kelestarian, 'The Zayed Sustainability Prize Investor Connect' dan 'The Blue Forum'.
Sehubungan itu, Dr Hazland antara finalis pada Sesi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Jawatankuasa Kebangsaan pada hari ini (15 Januari), jam 1 petang.
"Saya akan menyampaikan forum bertajuk 'Sistem Berdaya Tahan, Keputusan Sebenar' yang antara lain menampilkan pencapaian dan hala tuju Sarawak dalam sektor tenaga dan alam sekitar.
Katanya, seramai enam agensi dari Sarawak turut menyertai ADSW 2026 kali ini.
Turut mengiringi delegasi Dr Hazland ke UAE itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan Senari Synergy Sdn Bhd Dato Jefri Ahmad Tambi dan Dato Syeed Mohd Hossen serta pasukan pengurusan daripada Bintulu Port Holdings Berhad, Sarawak Energy Sdn Bhd, Institut Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui (ISuRE), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Sarawak Metro Sdn Bhd.
Sidang kemuncak anjuran Masdar UAE itu merekodkan kira-kira 50,000 peserta berdaftar dari 150 negara yang turut mempamerkan teknologi serta penyelesaian berskala merangkumi tenaga solar dan boleh diperbaharui selain hidrogen.
Turut dipamerkan ialah berkaitan bahan api bersih, teknologi air dan rawatan air sisa, ekonomi kitaran, sisa ke tenaga, bandar pintar, e-mobiliti, kewangan hijau, tenaga digital, AI dan keselamatan siber.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pegawai Daerah Sibu lawat PPS SMK Bukit Assek
Januari 14, 2026, Rabu - 5:50pm

Tsong (empat kiri) melawat mangsa di PPS Dewan Mutiara Ilmu, SMK Bukit Assek, hari ini.
SIBU: Pegawai Daerah Sibu yang baharu Tsong Chow Choon turun padang melawat mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Mutiara Ilmu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek, hari ini.
Menurutnya, lawatan tersebut adalah bertujuan untuk memantau operasi PPS sebaik sahaja melaporkan diri bertugas.
Katanya, keadaan cuaca masih dipantau dan pihaknya berharap hujan akan segera reda bagi membolehkan PPS ditutup sekiranya paras air menunjukkan trend menurun.
"Sekiranya hujan berhenti dan air surut, pusat ini akan ditutup. Buat masa ini, kita masih memantau keadaan dari semasa ke semasa," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan pihak pejabat daerah akan melawat kediaman mangsa bagi menilai tahap kerosakan serta situasi sebenar di lapangan.
"Difahamkan masih terdapat sedikit banjir di atas jalan dan keadaan rumah mangsa masih belum dapat dipastikan.
"Lawatan ke rumah mangsa akan dilakukan," katanya.
PPS Dewan Mutiara Ilmu, SMK Bukit Assek dibuka pada jam 2.30 petang Ahad lalu.
Setakat jam 8.30 pagi tadi PPS Bukit Aasek menempatkan seorang Ketua Isi Rumah (KIR) bersama enam mangsa.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Team Pusat Khidmat Parlimen P201 Batang Lupar jalankan tinjauan banjir
Januari 14, 2026, Rabu - 6:00pm

Penduduk terjejas banjir menerima bantuan bakul makanan daripada JKM Betong hari ini. - Gambar UKAS
MALUDAM: Team Pusat Khidmat Parlimen P201 Batang Lupar yang diketuai Awang Nasfarini Awang Sarbini telah menjalankan tinjauan keadaan semasa banjir di Rumah Panjang Tanjung Baru, Maludam melibatkan 26 pintu termasuk beberapa rumah berdekatan yang terputus hubungan akibat jalan dinaiki air.
Tinjauan disertai Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Maludam Noraini Aden bagi menilai tahap keselamatan penduduk serta keperluan bantuan segera susulan situasi banjir yang melanda kawasan berkenaan.
Susulan tinjauan itu, Bilik Gerakan Bencana telah mengemukakan permohonan bantuan segera kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Betong khususnya melibatkan keperluan asas dan bakul makanan bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Team P201 Batang Lupar menasihati penduduk terlibat agar sentiasa berhati-hati serta mengutamakan keselamatan diri dan harta benda memandangkan paras air masih berada pada tahap membimbangkan.
Sebagai langkah bantuan segera, sebanyak 210 bakul makanan serta keperluan harian telah disalurkan dan selamat tiba di lokasi terjejas di Rumah Panjang Tanjung Baru, Maludam yang terputus hubungan akibat banjir.
Bantuan tersebut diharap dapat membantu meringankan beban penduduk terjejas, selain memastikan keperluan asas mereka mencukupi sepanjang tempoh bencana.
Penduduk juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan paras air dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Empat cedera dalam kemalangan dekat Taman Malihah
Januari 14, 2026, Rabu - 6:27pm
KUCHING: Empat individu mengalami kecederaan dalam satu kemalangan jalan raya di Kampung Kolong 1B, Jalan Matang, berhampiran Taman Malihah di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.08 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapat kemalangan melibatkan dua kenderaan dengan seorang mangsa berjaya keluar sendiri dibantu orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Pasukan bomba kemudian membantu mengeluarkan tiga lagi mangsa dari sebuah kenderaan. Kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, dua mangsa wanita dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS manakala dua mangsa lelaki dibawa oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 3.36 petang dan jentera bersama anggota kemudian kembali ke balai setelah keadaan disahkan selamat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kemajuan fizikal Jalan Baru Matang Fasa 2 91.57%
Januari 14, 2026, Rabu - 6:33pm
Ia berada di landasan tepat untuk disiapkan menjelang akhir suku pertama tahun 2026: JKR Sarawak

Cassidy bersama pegawai serta kakitangan JKR Sarawak mengadakan lawatan kerja ke tapak naik taraf Jalan Baru Matang Fasa 2. - Gambar JKR Sarawak
KUCHING: Projek naik taraf Jalan Baru Matang Fasa 2 telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 91.57 peratus dan berada di landasan tepat untuk disiapkan menjelang akhir suku pertama tahun 2026.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam media sosialnya.
Kenyataan itu juga memaklumkan, Pengarah JKR Sarawak Datu Dr Cassidy Morris telah mengetuai satu lawatan tapak bagi meninjau kerja-kerja yang sedang dijalankan melibatkan jajaran dari Matang Jaya ke persimpangan Jalan Matang–Jalan Batu Kawa–Matang.
Lawatan tersebut bertujuan menilai perkembangan terkini projek, mengenal pasti isu kesesakan lalu lintas di kawasan pembinaan serta memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual yang telah diluluskan.
“Projek ini melibatkan naik taraf jalan sedia ada daripada dua lorong sehala kepada empat lorong dua hala sepanjang kira-kira 4.443 kilometer.
“Skop kerja turut merangkumi naik taraf persimpangan sedia ada di Persimpangan Matang–Kopodim dan Jalan Perhubungan Matang–Batu Kawa serta pembinaan sebuah jambatan konkrit bertetulang (RC) merentasi Sungai Maong Paroh,” jelas kenyataan itu.
Semasa lawatan tersebut, Cassidy mengarahkan kontraktor supaya menambah baik pemasangan papan tanda keselamatan, khususnya di kawasan lencongan sementara bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Cassidy turut menegaskan keperluan untuk penyelarasan kerja di tapak yang lebih berkesan bagi meminimumkan gangguan lalu lintas dan mengurangkan kesesakan yang dihadapi orang ramai sepanjang tempoh pembinaan.
JKR Sarawak juga mengulangi komitmennya untuk memastikan projek tersebut disiapkan dengan segera dan mengikut piawaian yang ditetapkan, di samping mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang baki tempoh pembinaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 15-1-2026 10:10 AM
Artis mural tempatan manfaatkan VR, AI angkat sejarah sekitar Brooke Dockyard
Januari 15, 2026, Khamis - 8:24am

Hasil sentuhan Kong berhampiran Muzium Brooke Dockyard di Lebuh Java, Kuching. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Artis mural tempatan Aries Kong Chak Kiong atau lebih dikenali sebagai Jagung Art mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi projek mural baharu berhampiran Muzium Brooke Dockyard di Lebuh Java di sini.
Beliau menggunakan teknologi realiti maya (VR) untuk menghasilkan lakaran asas mural, satu pendekatan moden dalam penghasilan seni awam.
Katanya, teknik berkenaan membantu mempercepatkan peringkat awal kerja berbanding kaedah konvensional.

Kong memulakan projek kolaborasi terbaharu Jagung Art bersama DBKU pada 6 Januari lalu. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
“Ia antara teknik yang digunakan selain kaedah lain seperti 'doodling' untuk lakaran awal yang membantu mempercepatkan proses,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Mural tersebut, kolaborasi terbaharu Jagung Art bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), bermula pada 6 Januari dan dijangka siap dalam tempoh dua minggu, bergantung dengan keadaan cuaca.
Menurut beliau, tema mural menampilkan aktiviti di sekitar kawasan Brooke Dockyard pada masa lalu, sekali gus menonjolkan kepentingan sejarah kawasan berkenaan.

Kong (dua kiri) turut dibantu empat pelukis lain bagi menyiapkan karya tersebut. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
Beliau dibantu empat pelukis lain bagi menyiapkan projek tersebut.
Artis kelahiran Sibu itu sebelum ini telah menghasilkan mural di sekitar Kuching dan beberapa lokasi lain di Malaysia.
Antara projek terdahulunya termasuk mural di Kolej Sidma Sarawak, projek 'Kuching Balloon' di Lebuh India serta mural tertinggi di Sarawak iaitu di Hotel Mercure, Miri.
Mural Brooke Dockyard dijangka meningkatkan daya tarikan visual kawasan bersejarah itu dengan gabungan penceritaan warisan dan teknik seni digital kontemporari.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek Jambatan Nanga Gaat pacu pembangunan infrastruktur pedalaman Baleh
Januari 15, 2026, Khamis - 10:39am

Ugak (dua kiri) menerima taklimat ketika lawatan tapak semalam. - Gambar Facebook YB Datuk Wilson Ugak Kumbong
KAPIT: Projek Jambatan di Nanga Gaat serta Jalan Akses ke Rumah Tungku, Sebiro, Sungai Gaat (Fasa 1: Seksyen 1) adalah antara inisiatif penting kerajaan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di kawasan pedalaman Baleh.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata kawasan Baleh dan Sungai Gaat tidak pernah diketepikan dalam agenda pembangunan malah setiap perancangan serta pelaksanaan projek sentiasa dipantau rapi bagi memastikan manfaat sebenar dapat dinikmati rakyat di kawasan pedalaman.
"Projek ini dijangka menjadi pemangkin utama atau game changer kepada penduduk Sungai Gaat, khususnya dalam memudahkan pergerakan harian, merancakkan ekonomi setempat serta menyediakan kemudahan infrastruktur asas lebih baik,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Semalam, Ahli Parlimen Hulu Rajang itu mengadakan lawatan tapak serta menghadiri mesyuarat projek berkenaan melibatkan jajaran dari Rumah Nyamok ke Puro, yang dilaksanakan melalui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).
Ugak berkata pembinaan jambatan dan jalan akses itu juga akan mengurangkan kebergantungan penduduk terhadap pengangkutan sungai dan jalan tanah yang sebelum ini menjadi laluan utama perhubungan.
Beliau berkata pembinaan jalan masuk ke semua rumah panjang adalah penting supaya pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh dan inklusif oleh penduduk setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 15-1-2026 01:35 PM
Demi Athalia membesar dengan sihat, ibu saudara sanggup derma hati
Januari 15, 2026, Khamis - 11:00am

Angelina menatap wajah anak saudaranya dengan penuh kasih sayang sebelum mereka menjalani pembedahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China. - Gambar ihsan Isabel Wong
KUCHING: “Saya cuma mahu dia membesar sihat seperti kanak-kanak lain.”
Kata-kata itu bukan sahaja ringkas tetapi amat bermakna buat Angelina Jenat, 24, ketika ditanya mengenai ketakutannya sebelum menjalani pembedahan pemindahan hati.
Namun, pembedahan pemindahan hati itu bukan untuk dirinya atau demi mengubah kehidupannya, sebaliknya sebagai penderma hati bagi menyelamatkan nyawa anak saudaranya, Athalia Feodora Augustine.
Athalia, 4, yang menghidap Biliary Atresia, sejenis penyakit hati yang jarang berlaku sejak kecil, selamat menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China pada Rabu.
Bagi Angelina, hari itu bukan tentang dirinya tetapi demi anak saudaranya dapat membesar sihat seperti kanak-kanak lain.
“Saya tidak fikir tentang diri saya. Saya cuma fikir, kalau ini boleh beri dia peluang untuk hidup, saya sanggup,” katanya perlahan.
Angelina yang dikenali sebagai seorang yang pendiam dan pemalu, mengakui dia berasa takut, namun memilih untuk tidak menunjukkan perasaan itu.
“Sudah tentu saya takut,” katanya.
“Tapi saya lebih takut kalau sesuatu berlaku kepada dia dan saya tidak berbuat apa-apa.”
Sementara itu, seorang lagi sosok penting dalam perjuangan Athalia ialah sukarelawan yang membantu keluarga Athalia, Isabel Wong.

Isabel (kiri) bersama Angelina sebelum pembedahan hati demi menyelamatkan Athalia di Hospital Renji, Shanghai. - Gambar ihsan Isabel WongIsabel yang sentiasa mengemas kini keadaan Athalia berkata, Athalia kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) untuk pemantauan rapi, manakala Angelina yang tampil sebagai penderma hati berada dalam keadaan stabil.
“Pembedahan Athalia mengambil masa yang agak lama, namun secara keseluruhannya berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo malam tadi.
Menurutnya, kejayaan pembedahan itu tidak mungkin berlaku tanpa pengorbanan Angelina yang sanggup mengetepikan ketakutannya sendiri.
“Tanpa Angelina, tiada kutipan dana, tiada perjalanan ke Shanghai dan tiada pembedahan ini,” katanya.
Isabel berkata, pada usia yang masih muda, Angelina juga terpaksa berbaring di meja pembedahan, menanggung kesakitan dan risiko yang bukan semua orang sanggup hadapi.
"Terima kasih, Angelina, kerana sanggup memberi sebahagian daripada dirimu demi masa depan Athalia, demi peluang untuk terus hidup,” katanya lagi.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua pekerja bengkel antara lima ditahan disyaki terlibat kes curi kabel
Januari 15, 2026, Khamis - 11:22am
MIRI: Dua pekerja bengkel antara lima lelaki tempatan yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes kecurian kabel tembaga bernilai RM7,000 di sebuah bengkel elektrik di sini.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis berhubung kejadian itu yang dilaporkan berlaku pada Jumaat lalu di sebuah bengkel elektrik di sini.
Menurutnya, kabel yang dilaporkan hilang oleh pengadu adalah jenis tembaga (copper) 300mm 4 core dan dianggarkan bernilai RM7,000.
“Hasil risikan pihak polis membawa kepada penahanan lima lelaki tempatan berusia antara 24 hingga 42 tahun dalam beberapa siri tangkapan yang dilakukan dari 10 hingga 12 Januari lalu.
“Siasatan awal mendapati dua daripada suspek merupakan pekerja bengkel terbabit yang dipercayai bersubahat dengan dua suspek lain untuk mencuri kabel di lokasi kejadian, manakala seorang lagi suspek dikenal pasti sebagai pembeli kabel yang dicuri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu menurut Farhan, polis turut merampas sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk ke tempat kejadian serta mengangkut kabel yang dicuri.
Beliau berkata, susulan tangkapan itu, kes berkenaan berjaya diselesaikan dan usaha mengesan serta mendapatkan semula kabel yang dicuri kini sedang dijalankan.
“Kesemua suspek kini direman sehingga 15 dan 16 Januari 2026 bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Semakan rekod lampau mendapati tiga daripada suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan penyalahgunaan dadah.
“Manakala hasil saringan awal air kencing mendapati empat daripada lima suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu),” ujar beliau lanjut.
Sehubungan itu, Farhan menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat serta bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membanteras kegiatan jenayah.
Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di talian 085-433400 sekiranya mempunyai maklumat berkaitan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PETRONAS salur 1,150 pek bantuan banjir di Sarawak
Januari 15, 2026, Khamis - 11:34am

Mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di SJKC Chung Hua Batu Kawa di Kuching menerima pek bantuan daripada PETRONAS baru-baru ini.
KUCHING: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) melalui cabang impak sosialnya, Yayasan PETRONAS, telah mengagihkan sebanyak 1,150 pek bantuan khusus untuk Sarawak bagi membantu komuniti terjejas akibat bencana banjir di negeri ini.
Menurut kenyataan PETRONAS, hari ini, bantuan berkenaan merupakan sebahagian 8,750 pek bantuan di seluruh negara kepada mangsa banjir di negara ini.
Pek bantuan berkenaan mengandungi barangan keperluan harian dan kebersihan diri termasuk tuala, selimut, air mineral, peralatan makan, tuala wanita, lampin pakai buang, tisu basah, berus gigi dan ubat gigi.
Kesemua pek bantuan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) pada November 2025 dan disimpan di depot-depot Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang ditetapkan di seluruh negeri.
“Pengagihan pek bantuan akan dilaksanakan mengikut keperluan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus (tengah) menyaksikan penyerahan pek bantuan kepada PPS di Bekenu. Turut hadir ialah Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak) Shalby Reduan (kanan).
“Sehingga 12 Januari 2026, sebanyak 950 pek bantuan telah diagihkan ke beberapa PPS di bahagian Miri, Bintulu, Mukah dan Samarahan,” menurut kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak Norazibah M Rabu berkata, PETRONAS kekal komited menyokong Kerajaan Sarawak dalam usaha meringankan beban komuniti yang terjejas akibat bencana banjir.
“Melalui penyelarasan bersama JKMS, kami berharap pek bantuan yang diagihkan ini dapat memberikan sedikit keselesaan dan ketenangan kepada mangsa banjir,” katanya.
Beliau berkata, berikutan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir susulan fenomena air pasang besar seperti yang dimaklumkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada.
“Dalam saat krisis, PETRONAS berdiri bersama rakyat Sarawak dan sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan apabila dan di mana sahaja diperlukan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki cuba seludup syabu melalui ICQS Merapok Lawas diberkas
Januari 15, 2026, Khamis - 12:09pm
LAWAS: Kegiatan seorang lelaki untuk menyeludup syabu seberat 252.33 gram bernilai RM 50,000 ke daerah Lawas terbongkar dalam satu pemeriksaan melalui pintu masuk Pos Kawalan Imigresen (ICQS) Merapok Lawas, pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Lawas. DSP Liong Tindan berkata suspek tempatan berusia 49 tahun ditahan pada jam 6.45 pagi ketika memandu sebuah kereta dari Sabah menuju ke Daerah Lawas.
Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap pemandu kereta tersebut, pihak polis telah menjumpai dan merampas sebanyak lima plastik, pelbagai saiz yang berisi hablur kristal jernih dan warna biru disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar keseluruhan sebanyak 252.33 gram.
“Nilai anggaran harga pasaran syabu yang dirampas ialah RM 50,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya polis juga turut menyita kereta yang digunakan oleh suspek untuk siasatan selanjutnya dan hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Siasatan awal polis mendapati suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan tiada pekerjaan (penganggur) memandu kereta seorang diri dari Kota Kinabalu, Sabah menuju ke Lawas.
“Semakan kesalahan mendapati suspek tiada kesalahan lampau,”ujarnya.
Katanya suspek disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Jelasnya permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini dan kes inimerupakan kes yang tidak boleh dijamin.
Tambahnya Polis Diraja Malaysia khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan Pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
“Polis mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dadah diminta tampil dan menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN 012-2087222 (JSJN Bukit Aman) dan 017-59292211 (JSJN Sarawak) serta mana-mana balai polis yang berdekatan untuk tindakan selanjutnya,”ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Seramai 130 pesakit katarak pulih penglihatan selepas menerima rawatan percuma di Hospital Miri
Januari 15, 2026, Khamis - 12:25pm

Kakitangan perubatan daripada TIMA, Hospital Miri dan MCMC yang terlibat dalam program khidmat luar pembedahan di Hospital Miri pada minggu lalu.
MIRI: Seramai 130 pesakit katarak dari Miri, Niah dan Limbang kini mampu tersenyum setelah penglihatan mereka kembali pulih selepas menerima rawatan dan pembedahan katarak percuma di Hospital Miri menerusi program khidmat luar dari 9 hingga 11 Januari lalu.
Program anjuran pasukan oftalmologi Persatuan Perubatan Antarabangsa Tzu Chi (Tzu Chi International Medical Association – TIMA) itu dilaksanakan dengan kerjasama Hospital Miri dan Miri City Medical Centre (MCMC) bagi membantu mengurangkan tempoh menunggu yang panjang akibat lambakan pesakit serta kekurangan pakar perubatan.
Pasukan oftalmologi TIMA yang dianggotai 21 petugas terdiri daripada tiga doktor, 12 jururawat, dua ahli farmasi dan empat sukarelawan dari Tzu Chi Selangor-Kuala Lumpur, berganding bahu dengan 10 doktor dan jururawat Hospital Miri serta dibantu seorang doktor dan dua jururawat dari MCMC dalam memberikan rawatan kepada pesakit katarak.
Menurut kenyataan TIMA, program berkenaan merupakan yang pertama dianjurkan oleh pasukan oftalmologinya bagi menyediakan perkhidmatan khidmat luar dan pembedahan katarak.
“Hospital Miri mencatatkan jumlah pesakit katarak yang tinggi, dengan sebahagian memerlukan pembedahan dan terpaksa menunggu antara enam bulan hingga setahun.

Yeo Kim Leng (kiri) diberi penerangan dengan penuh kesabaran oleh salah seorang sukarelawan Tzu Chi mengenai ubat-ubatan yang perlu diambil selepas pembedahan.
“Senarai menunggu yang panjang, ditambah dengan kekurangan doctor telah menyebabkan lambakan kes pembedahan. Justeru, kerjasama ini diwujudkan bagi membantu hospital kerajaan,” menurut kenyataan itu.
TIMA turut memaklumkan bahawa kebanyakan pesakit terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan layak memohon bantuan kerajaan menerusi skim PEKA B40 yang meliputi kos kanta intraokular.
Salah seorang pesakit, Yeo Kim Leng, yang pembedahannya tertangguh sebelum ini, meluahkan rasa lega selepas berjaya menjalani prosedur berkenaan melalui program itu.
Beliau berkata, masalah penglihatan kian terjejas yang dialaminya sejak beberapa tahun lalu disangkakan sebagai proses penuaan semula jadi, menyebabkan beliau tidak mendapatkan rawatan awal dan keadaannya semakin merosot sehingga menjejaskan kualiti hidup dan keselamatannya.
“Saya amat gembira apabila dimaklumkan mengenai pembedahan ini. Selepas pembedahan, penglihatan saya kembali pulih dengan ketara,” katanya dengan penuh emosi.
Seorang lagi pesakit, Isah @ Aisah Salleh dari Limbang berkata, beliau terpaksa menangguhkan pembedahan katarak beberapa kali kerana perlu menjaga anaknya yang sakit.

Isah (kanan) diberi penerangan oleh doktor mengenai prosedur pembedahan yang akan dijalani pada program itu.
Katanya, penglihatan kabur dan sensitif terhadap cahaya mula dialami kira-kira setahun lalu, menyebabkan sebelah mata hampir tidak dapat melihat dengan jelas, sekali gus membahayakan keselamatannya.
Selepas menjalani pembedahan, penglihatannya kini beransur pulih dan beliau berharap dapat kembali menjalani kehidupan seharian dengan lebih yakin dan berdikari.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tolak budaya ‘Little Napoleon’, utamakan khidmat kepada rakyat - Masiung
Januari 15, 2026, Khamis - 11:50am

LAWATAN: Masiung merakamkan kenangan bersama Ar. James dan Shamsul bersama pegawai serta staf Sedco Mining Sdn Bhd.
KOTA KINABALU: Pegawai eksekutif Kumpulan Sedco diingatkan supaya berkhidmat sebagai pelayan masyarakat dan menolak mentaliti ‘Little Napoleon’ dalam urusan pentadbiran agensi berkenaan.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah, menegaskan pegawai di semua peringkat perlu meletakkan rakyat sebagai ‘majikan’ sebenar dalam amalan etika perkhidmatan.
“Kita mesti memerangi mentaliti ‘Little Napoleon’ dan sebaliknya mengamalkan pendekatan Management by Walking Around,” katanya ketika melawat Sedco Mining Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Sedco di Wisma Perkasa, di sini, semalam.
Pada lawatan itu, beliau diiringi Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Datuk Ar. James Wong dan menerima taklimat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Sedco Mining Sdn Bhd, Shamsul Bahri Johari.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, menggalas tugas sebagai pengerusi baharu Kumpulan Sedco bermula Isnin lalu dan dijadualkan melawat beberapa vendor milik anak syarikat Sedco bermula bulan ini.
Beliau berkata, perubahan minda tidak boleh terhenti di peringkat pengurusan tertinggi, sebaliknya perlu diterjemahkan sehingga ke peringkat kakitangan bawahan.
“Budaya ‘Little Napoleon’ merujuk kepada penyalahgunaan kuasa oleh pegawai atasan hingga bawahan yang akhirnya menyebabkan kelewatan pelaksanaan agenda dirancang. Perkara ini tidak boleh dibiarkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran akan memantau secara rapi tahap integriti pegawai dan kakitangan agensi milik penuh kerajaan negeri itu.
“Jangan cuba mengambil kesempatan menggunakan kuasa yang ada. Setiap anggota, termasuk penggerak di anak-anak syarikat Kumpulan Sedco, mesti menyampaikan perkhidmatan yang efektif kepada rakyat,” katanya.
Mengulas peranan Sedco Mining Sdn Bhd, Masiung berkata syarikat itu menjadi antara fokus utama kerajaan negeri sebagai pemacu ekonomi Sabah.
Beliau berkata, beberapa anak syarikat di bawah Kumpulan Sedco yang dilaporkan bergerak perlahan akan terus dipantau bagi mengenal pasti punca kelemahan operasi dan merangka langkah penambahbaikan berkesan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Isu hakisan, banjir Lumadan dibawa ke sidang Dewan Rakyat 19 Januari
Januari 15, 2026, Khamis - 12:19pm

BANTUAN: Matbali ketika ditemui media selepas mengagihkan bantuan kepada mangsa terjejas banjir.
BEAUFORT: Isu hakisan dan masalah banjir yang berlarutan di kawasan rendah, khususnya di Lumadan, akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat pada 19 Januari ini bagi mendapatkan penyelesaian menyeluruh daripada kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata perkara itu menjadi keutamaan memandangkan kawasan Beaufort, terutama di DUN Lumadan dalam Parlimen Sipitang, sering dilanda banjir sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk.
Katanya, sepanjang tahun lalu sahaja kawasan Lumadan dan sekitar Beaufort dilanda banjir berulang sebanyak 12 kali, selain berdepan masalah hakisan di kawasan rendah yang semakin serius.
“Di Lumadan ini, banyak perkara perlu kita perjuangkan terutama isu hakisan dan tebatan banjir. Inilah yang menimbulkan keresahan dan kegelisahan rakyat.
“Justeru isu ini akan saya suarakan dalam sidang Dewan Rakyat pada 19 Januari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program agihan bakul makanan kepada penduduk terjejas banjir di beberapa kampung dalam kawasan DUN Lumadan, Rabu lalu.
Antara kampung yang terbabit ialah Kampung Jabang, Kampung Kukub, Kampung Indulibai dan Kampung Kangsa.
Matbali berkata, usaha menangani masalah banjir dan hakisan memerlukan pendekatan bersepadu termasuk pembinaan sistem tebatan banjir yang lebih berkesan serta langkah pencegahan jangka panjang.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam, berkata bantuan bakul makanan yang disalurkan diharap dapat meringankan beban mangsa banjir di kawasan berkenaan.
“Bantuan makanan kerajaan yang diselaraskan melalui pejabat daerah akan terus diberikan kepada mangsa banjir lain di Lumadan, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki warga asing ditahan positif dadah bersama tembaga dicuri di Kota Marudu
Januari 15, 2026, Khamis - 12:44pm
KOTA MARUDU: Pasukan Penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menahan seorang lelaki warga asing ketika menjalankan rondaan cegah kemalangan dan Op Pematuhan di Jalan Ranau, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, suspek ditahan selepas anggota BSPT mengesan sebuah kenderaan jenis sedan dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.
“Pemandu lelaki kemuduan dibawa ke Pejabat Trafik IPD Kota Marudu bagi tujuan siasatan selepas didapati gagal mengemukakan lesen memandu serta dokumen pengenalan diri yang sah.
“Siasatan lanjut mendapati suspek membuat pengakuan lisan mengambil dadah, manakala ujian saringan air kencing mengesahkan individu berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
“Dalam operasi sama, hasil pemeriksaan kenderaan yang dipandu suspek turut menemukan sebuah beg plastik mengandungi tembaga yang disyaki hasil curi.
“Rampasan kenderaan berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Katanya, pihak polis menegaskan usaha penguatkuasaan dan rondaan akan diteruskan secara berterusan bagi mengekang jenayah serta penyalahgunaan dadah di daerah ini.
“Orang awam diseru menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti dadah ke balai polis berhampiran bagi membantu pihak berkuasa menjalankan tindakan susulan,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|