|
|
Polis tumpaskan geng pecah rumah, lima suspek ditahan
Januari 29, 2026, Khamis - 9:30am

RAMPAS: Mohd Haris menunjukkan barangan yang dirampas semasa penahanan suspek.
KUDAT: Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah dan curi di daerah ini selepas lima lelaki ditahan dalam beberapa serbuan berasingan sekali gus membongkar penglibatan kumpulan berkenaan dalam sekurang-kurangnya 13 kes jenayah sekitar Kudat.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, kejayaan operasi hasil tindakan bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama pasukan khas yang digerakkan bermula 1 Januari lalu antara jam 4 hingga 5.30 petang.
Katanya, serbuan dijalankan di dua lokasi iaitu di hadapan bangunan KO-Nelayan serta di tepi Jalan Pantai Bak-Bak.
“Dua lelaki ditahan dalam serbuan awal selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini.
“Hasil risikan lanjut membawa kepada tangkapan susulan dua lagi lelaki pada 4 Januari di Kampung Tanjung Kapor serta Jalan Pinangsoo,” katanya.
Katanya, seorang lagi suspek terakhir ditahan keesokan hari di sebuah stesen minyak di Jalan Tamalang.
“Penahanan kelima-lima suspek membantu polis menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi yang aktif sejak awal tahun ini.
“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua suspek mengaku terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 kes di sekitar Kudat.
Menurutnya, enam kertas siasatan sudah menerima arahan pertuduhan daripada pihak pendakwaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada lima suspek positif dadah jenis syabu atau methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, Seksyen 379 dan 380 kerana mencuri serta Seksyen 447 kerana menceroboh,” katanya.
Mohd Haris menegaskan polis tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu keselamatan awam.
Katanya, operasi pencegahan jenayah dan rondaan berkala terus dipergiat bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terpelihara.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan persekitaran serta mengambil langkah keselamatan tambahan di kediaman masing-masing.
“Kerjasama masyarakat amat penting, salurkan maklumat berkaitan jenayah kepada Polis Daerah Kudat supaya tindakan segera boleh diambil,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sembilan lelaki disyaki terlibat dadah ditangkap dalam Operasi Tapis Khas di Lundu
Januari 28, 2026, Rabu - 11:06am
LUNDU: Polis menahan sembilan lelaki tempatan dalam beberapa kes berasingan berkaitan penyalahgunaan dadah menerusi Operasi Tapis Khas yang dijalankan di daerah ini dari 25 hingga 27 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram berkata tangkapan pertama dilakukan pada 25 Januari apabila seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan di tepi Jalan Blacksmith selepas pemeriksaan ke atas motosikal yang dinaikinya menemui sebotol cecair disyaki air ketum dengan anggaran berat satu liter di dalam bakul motosikal.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Manakala pada 26 Januari pula, dua lelaki tempatan ditahan dalam ketika diperiksa di Jalan Melintang, Lundu selepas polis menemui satu paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki Methamphetamine dengan berat 0.40 gram,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak 2023.
Sementara itu, pada 27 Januari, seramai enam lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 40 tahun ditahan selepas didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine melalui ujian saringan air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Lundu.
“Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang daripada suspek turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 0.95 gram,” katanya.
Tambahnya, kesemua individu yang ditahan kini direman di lokap Balai Polis Lundu bagi membantu siasatan lanjut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua lelaki disyaki miliki rekod dadah ditahan di Bintangor
Januari 28, 2026, Rabu - 2:16pm
BINTANGOR: Dua lelaki tempatan yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah ditahan selepas kedua-duanya didapati positif dadah dalam satu operasi khas di sekitar daerah ini, semalam.
Tangkapan dilakukan kira-kira jam 11.50 pagi di beberapa lokasi sekitar Bintangor, melibatkan dua suspek masing-masing berusia 25 dan 40 tahun.
Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong untuk tindakan lanjut.
“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah (BSJND) IPD Meradong mengesahkan kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, semakan rekod lampau turut mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai satu rekod jenayah berkaitan kes dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Sehubungan itu, IPD Meradong menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan dadah yang boleh mengancam keselamatan, kesejahteraan serta masa depan masyarakat setempat.
Polis turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti dadah tanpa mengira latar belakang.
Orang ramai turut diseru agar terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah di daerah Meradong.
Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Bintangor menerusi talian 084-693222.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penganggur terlibat kes curi miliki tiga rekod dadah, jenayah dicekup
Januari 28, 2026, Rabu - 2:20pm

Peralatan milik rumah ibadat yang dirampas daripada suspek.
LAWAS: Seorang penganggur yang diberkas Isnin lepas kerana disyaki terlibat kes curi dalam sebuah rumah ibadat di Sundar di sini, Ahad lalu yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM1,300, didapati mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, pihak polis melancarkan operasi mengesan suspek, 43, dan berjaya menahannya pada jam 4.29 petang di di sebuah rumah di Sundar.
Katanya, satu laporan polis diterima pihaknya berhubung insiden itu pada jam 8.57 malam Ahad dan operasi mengesan suspek dijalankan.
Jelasnya, hasil penahanan suspek pihak polis berjaya merampas semula peralatan yang dilaporkan hilang dan semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksyaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syabu yang dirampas daripada seorang buruh pada Isnin.
Beliau menjelaskan, dalam kes berasingan seorang pemuda, 21, yang bekerja sebagai buruh, ditahan berserta syabu seberat 0.30 gram (g) dirampas dalam Ops Tapis Khas jam 2.50 petang di bandar ini pada Isnin.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala semakan kesalahan lampau mendapati tiada kesalahan lampau,” ujarnya.
Dalam operasi berasingan jelasnya, tiga suspek berusia 31, 34 dan 51 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan berasingan di Jalan Lawas Damit dan Jalan Punang.
Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas mereka tidak menjumpai apa-apa barang salah dan dadah.
“Hasil ujian air kencing bagaimanapun mendapati kesemua suspek positif dadah jenis positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, manakala semakan kesalahan lampau mendapati salah seorang suspek yang mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan dadah,” ujarnya.
Kes dadah tersebut disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan 15(1)(a) ADB 1952.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kelab Rotary Bintulu sumbang 35 beg sekolah kepada SJK Kai Ming
Januari 28, 2026, Rabu - 2:42pm

Pau menyerahkan bantuan beg sekolah kepada seorang murid sambil disaksikan Jeremy dan Ha (kanan) semalam.
BINTULU: Kelab Rotary Bintulu dengan kerjasama Yayasan Kelab Rotary Malaysia telah menyumbang beg sekolah di bawah Inisiatif 'Bag2School' melibatkan 35 beg sekolah untuk murid terpilih di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Kai Ming untuk sesi akademik baharu tahun ini.
Simbolik penyampaian sumbangan beg sekolah tersebut telah disempurna Pengerusi Lembaga Pengurusan sekolah Datuk Pau Chiong Ung sambil disaksikan Guru Besar Ha Cheng Heng dan Presiden Kelab Rotary Bintulu Jeremy Tiong.
Jeremy berkata, Kelab Rotary Bintulu yang berorientasikan khidmat dan berasaskan komuniti sentiasa mementingkan pendidikan sebagai asas masa depan yang lebih cerah.
Katanya, melalui kerjasama dengan Yayasan Kelab kelab Rotary Malaysia pihaknya telah mengagihkan 35 beg sekolah kepada murid-murid terpilih di SJK Kai Ming untuk tahun akademik baharu.
"Sumbangan ini bertujuan membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa atau keluarga dalam menyedia keperluan pendidikan anak-anak mereka," ujarnya di sini semalam.
Beliau berkata, beg sekolah mungkin dilihat seperti barang kecil tetapi bagi seorang murid ia adalah wadah untuk impian yang memudahkan untuk membawa buku-buku bagi menimba ilmu pengetahuan.

Murid-murid SJK Kai Ming yang menerima bantuan beg sekolah bersama Pau, Jeremy dan Ha serta yang lain.
Katanya, beg merupakan kegunaan penting dalam membawa peralatan ke sekolah untuk pembelajaran, memberi keyakinan dan maruah kepada murid untuk memulakan persekolahan dengan penuh bangga, senyuman, harapan dan galakan.
Tambahnya, setiap murid mempunyai impian dan percaya pada potensi mereka sambil berharap bantuan diberikan akan mendorong mereka untuk terus mengejar kecemerlangan dalam pelajaran dan tidak berhenti untuk terus belajar.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki hilang selepas tiga hari keluar berburu
Januari 28, 2026, Rabu - 3:00pm

Pasukan SAR bersiap sedia untuk melakukan pencarian mangsa di kawasan seluas dua kilometer dari rumahnya di Kampung Sepurau, Bekenu pagi tadi.
MIRI: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar berburu sejak tiga hari lalu di kawasan hutan berhampiran Kampung Sepurau, Bekenu.
Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan bermula jam 9 pagi tadi oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bagi mengesan mangsa, Zaidi Talip, 41.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.59 pagi.
"Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari BBP Batu Niah telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 44 kilometer dari balai.
"Operasi SAR dijalankan dengan lingkungan pencarian sejauh dua kilometer dari rumah mangsa, yang merupakan kawasan mangsa sering berburu," katanya dalam satu kenyataan.
Operasi hari ini melibatkan tujuh anggota BBP Batu Niah dengan dibantu empat anggota polis serta 38 penduduk kampung.
Difahamkan, Zaidi yang menghidap penyakit asma dan mengalami gangguan kebimbangan keluar berburu ke kawasan hutan pada jam 8.30 malam, 25 Januari lalu dengan hanya berbekalkan sebotol kecil air.
Selepas mangsa gagal pulang ke rumah, isterinya cuba menghubungi telefon bimbit mangsa pada Isnin dan Selasa, namun panggilan tidak dijawab.
Hari ini isterinya sekali lagi cuba menghubungi mangsa, namun telefon bimbitnya tidak lagi dapat dihubungi.
Bimbang akan keselamatan mangsa, sekitar jam 7.20 malam Selasa seramai 34 penduduk kampung yang dibahagikan kepada tiga kumpulan telah melakukan pencarian di kawasan belakang rumah mangsa selama dua jam, namun tidak menemui sebarang petunjuk.
Berikutan itu, satu laporan berhubung kehilangan mangsa dibuat di Balai Polis Batu Niah.
Menurut isterinya, ketika keluar pada malam itu mangsa memakai baju dan seluar berwarna hitam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ops Tapis Khas JSJN Sarawak di Limbang berkas sembilan lelaki
Januari 28, 2026, Rabu - 3:20pm
LIMBANG: Sembilan lelaki termasuk seorang lelaki warga Indonesia diberkas dalam Ops Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak yang diadakan bandar ini bermula Ahad hingga Selasa.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, operasi tiga hari itu bertujuan mengekang kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan daerah ini.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah dalam operasi tersebut.
“Dalam operasi ini Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Limbang telah merampas sebanyak 6.70 gram Methamphetamine dengan nilai keseluruhan RM670.
“Jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk 34 orang penagih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Parum berkata, tangkapan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” kata beliau lagi.
Kata beliau, BSJN Limbang komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang kerana dadah adalah musuh nombor satu negara.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang Sarawak di talian 085-211466 atau hotline 24 Jam JSJN Sarawak di talian 017-5929211 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Buruh disyaki salah guna dadah dicekup
Januari 28, 2026, Rabu - 3:32pm
MUKAH: Seorang buruh warga tempatan ditahan di tepi Jalan Mukah-Selangau, semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, lelaki berumur 28 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah pada jam lebih kurang 12.50 tengah hari.
"Hasil pemeriksaan ke atas beg pinggang suspek telah menjumpai enam keratan penyedut minuman lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 1.70 gram dan anggaran nilai RM295.
"Suspek dan barang kes telah dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut," ujarnya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ujian urin yang dijalankan telah mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek direman selama dua hari sehingga 30 Januari ini bagi melengkapkan siasatan," jelasnya.
Tegasnya, IPD Mukah komited dalam usaha membanteras segala aktiviti penyalahgunaan dadah.
Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh disalurkan dengan menghubungi talian hotline IPD Mukah 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MPKS keluar amaran keras terhadap pembuangan sampah haram
Januari 28, 2026, Rabu - 3:37pm

Gambar yang dirakam oleh MPKS menunjukkan longgokan sampah yang dibuang di tempat yang tidak dibenarkan.
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) mengeluarkan amaran keras terhadap pembuangan sampah haram berikutan aduan awam yang berulang kali mengenai sampah yang dibuang di Jalan Kelab Turf Sarawak.
“Susulan aduan tersebut, pasukan kami telah menjalankan pemantauan di kawasan tersebut dan segera mengarahkan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan alam sekitar kekal selamat dan bersih untuk orang ramai,” kata MPKS dalam satu kenyataan.
Majlis turut meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan individu yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah secara haram.
“Kami amat bimbang bahawa sesetengah orang awam terus membuang sampah secara haram tanpa menghiraukan kebersihan alam sekitar atau kesejahteraan masyarakat,” tambah jurucakap itu.
MPKS menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah di bawah undang-undang kecil perbandaran yang berkaitan.
“Mereka yang didapati bersalah melakukan pembuangan sampah haram boleh dikenakan kompaun atau pendakwaan mengikut undang-undang relevan,” kata jurucakap itu memberi amaran.
MPKS turut menggesa orang ramai memainkan peranan aktif dalam memastikan kawasan tersebut bersih.
“Kami menyeru semua orang untuk melaporkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram dan membantu menjaga kebersihan untuk kepentingan komuniti,” tambah MPKS.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SCOPE buka permohonan untuk pengambilan akhir Latihan Peningkatan Graduan Sarawak
Januari 28, 2026, Rabu - 3:39pm

Para graduan pengambilan Januari bergambar bersama setelah menamatkan sesi latihan pertama bersama Dr Ting Qian Hui dari Curtin University Malaysia.
KUCHING: Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak Sdn Bhd (SCOPE) kini membuka permohonan untuk pengambilan akhir Latihan Peningkatan Graduan Sarawak (GETS) iaitu Program Kesediaan Tempat Kerja (WRP) bagi Mac dan April 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE Joseph Lim menegaskan bahawa GETS-WRP ialah program berstruktur dan dipacu industri yang direka untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan Sarawak dengan melengkapkan mereka dengan kecekapan tempat kerja yang penting, kemahiran praktikal dan pendedahan profesional.
"Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak untuk memperkukuh kesediaan graduan dan menyokong pembangunan bakat selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan penyertaan yang kukuh dan hasil positif daripada kohort terdahulu, pengambilan pada Mac dan April 2026 akan memberi tumpuan kepada penyediaan graduan untuk kemasukan tenaga kerja segera melalui gabungan latihan kemahiran kesediaan dan kebolehpasaran di tempat kerja.
"Yang lain termasuk komunikasi profesional dan etika kerja, pembangunan kemahiran insaniah dan peluang penglibatan dan penempatan industri," katanya.
Menurut beliau, pengambilan Mac dan April 2026 mewakili peluang terakhir untuk graduan menyertai kitaran GETS-WRP semasa menjadikannya panggilan tepat pada masanya untuk graduan Sarawak yang layak memohon.
“Program Kesediaan Tempat Kerja GETS terus memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan jangkaan tempat kerja.
"Kami menggalakkan graduan yang layak untuk memanfaatkan pengambilan yang akan datang dan menyediakan diri mereka untuk peluang pekerjaan yang bermakna,” kata Lim.
Tambahnya, program itu terbuka kepada graduan Sarawak dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang menganggur.
"Setelah selesai komponen latihan, peserta akan dipertimbangkan untuk penempatan dengan majikan yang mengambil bahagian, tertakluk kepada ketersediaan dan kesesuaian.
"Pemohon yang berminat digalakkan untuk mengemukakan permohonan mereka lebih awal kerana tempat adalah terhad untuk pengambilan Mac dan April 2026," kata Lim.
Untuk maklumat lanjut tentang GETS-WRP dan butiran permohonan, sila layari https://gets.scopetraining.com.my/ atau hubungi sekretariat GETS-WRP kami Mariane ([email protected]) dan Nadzirah ([email protected]) di talian 082-231 230.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sistem Smart Parking terlaksana dengan perkembangan positif
Januari 28, 2026, Rabu - 3:51pm
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) memaklumkan pelaksanaan sistem Smart Parking yang bermula pada 29 September lalu menunjukkan perkembangan positif, dengan jumlah maklum balas awam berkurangan secara ketara selepas minggu pertama pelaksanaan.
Jurutera MPS Tony Wong Tiing Huo berkata, peningkatan maklum balas pada peringkat awal adalah disebabkan orang ramai masih belum biasa dengan penggunaan aplikasi berkenaan.
Namun menurut beliau, keadaan kini semakin stabil apabila kebanyakan pengguna telah memahami kaedah penggunaan sistem tersebut.
“Sehingga minggu lalu, jumlah pengguna berdaftar telah melebihi 30,000 orang, dengan ratusan pendaftaran baharu diterima setiap hari,” katanya pada Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Sibu yang pertama bagi tahun ini hari ini.
Beliau berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 100,000 pengguna apabila sistem Smart Parking dilaksanakan sepenuhnya kelak.
“Buat masa ini, kita masih berada dalam tempoh peralihan, di mana Smart Parking dan kupon parkir fizikal masih diterima.
“Tempoh ini dijangka berakhir selewat-lewatnya Jun, selepas itu hanya sistem Smart Parking akan diguna pakai sepenuhnya,” jelasnya.
Mengulas kebimbangan melibatkan warga emas yang kurang mahir menggunakan aplikasi, Wong berkata isu berkenaan bukan hanya berlaku di Sibu, sebaliknya merupakan fenomena global sejajar dengan peralihan ke arah pendigitalan.
“Ini bukan dasar MPS semata-mata, sebaliknya selari dengan dasar nasional.
"Banyak perkhidmatan awam kini tidak lagi menerima bayaran tunai termasuk di Jabatan Imigresen.
*Kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini agar tidak ketinggalan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, aplikasi Smart Parking membolehkan ahli keluarga atau pihak ketiga membantu warga emas membuat bayaran parkir atau melanjutkan tempoh parkir dari jarak jauh.
Tambahnya, pelaksanaan sistem baharu itu juga memberi kesan positif terhadap kutipan tunggakan kompaun dan notis penalti apabila pengguna yang mendaftar menerima makluman terus selepas data sistem lama dipindahkan ke platform baharu.
“Hasil pemantauan sejak beberapa minggu lalu menunjukkan peningkatan ketara dalam pembayaran tunggakan, yang merupakan petanda positif kepada pemulihan hasil majlis,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan Smart Parking merupakan sebahagian daripada usaha MPS ke arah merealisasikan status Bandar Pintar dengan pelbagai inisiatif kesedaran awam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Usaha pemasangan lampu jalan LED dipercepat
Januari 28, 2026, Rabu - 3:54pm

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sedang mempercepatkan usaha mengemukakan permohonan pemasangan lampu jalan jenis LED di beberapa laluan utama di bandar ini menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dengan anggaran kos keseluruhan sekitar RM600,000.
Pengerusi MPS Clarence Ting (gambar) berkata, surat permohonan bagi projek berkenaan sepatutnya telah disiapkan dan dikemukakan pada minggu lalu, namun sehingga kini masih belum diterima oleh pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, kelewatan tersebut sedang ditangani dan pihak majlis memberi keutamaan untuk memastikan permohonan berkenaan dapat dihantar dalam masa terdekat bagi mempercepatkan proses pertimbangan dan kelulusan.
Katanya, permohonan itu melibatkan empat lokasi utama yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan pencahayaan iaitu Jalan Awang Ramli Amit, Jalan Brook Drive, Jalan Deshon serta kawasan Pelawan.
“Kesemua laluan ini merupakan kawasan yang sibuk dan sering digunakan orang awam, justeru pemasangan lampu jalan LED adalah penting bagi meningkatkan tahap keselamatan, terutama pada waktu malam,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Sibu yang pertama bagi tahun ini, hari imi.
Menurut Ting, projek pemasangan lampu jalan LED tersebut merupakan antara keutamaan MPS bagi tahun 2026 dan selari dengan usaha majlis untuk menambah baik kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk.
“Kita berharap projek ini dapat dilaksanakan dalam tahun ini juga, tertakluk kepada kelulusan dan peruntukan daripada pihak kementerian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling telah menyatakan kesediaan untuk membantu menyokong permohonan berkenaan, yang disifatkan sebagai satu perkembangan positif kepada usaha majlis.
Sokongan itu katanya, diharap dapat memperkukuh permohonan MPS dan mempercepat proses kelulusan projek demi kepentingan keselamatan dan keselesaan orang ramai.
Sehubungan itu, Ting berharap pertemuan dengan pihak KPKT dapat diatur dalam masa terdekat bagi membincangkan permohonan tersebut serta langkah seterusnya ke arah pelaksanaan projek.
Selain projek lampu jalan LED, beliau berkata terdapat beberapa lagi program di bawah KPKT yang berpotensi dimanfaatkan oleh kawasan pentadbiran MPS bagi meningkatkan kemudahan awam.
“Saya telah mengemukakan cadangan supaya kawasan kita turut dimasukkan dalam program pemasangan lampu jalan sedia ada manakala permohonan lain akan dibentangkan secara berasingan kepada KPKT bagi tujuan pembiayaan,” jelasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kes curi di tempat pembinaan, lelaki tempatan dicekup
Januari 28, 2026, Rabu - 3:59pm

Suspek diberkas kerana disyaki terlibat kes kecurian besi perancah di kawasan sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Tudan. - Gambar Facebook Polis Daerah Miri
MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan polis berhubung kes kecurian perancah di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di kawasan Tudan di sini.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan laporan polis yang dibuat berhubung kehilangan sembilan set perancah yang dianggarkan bernilai RM1,200.
"Siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek dan pemeriksaan di rumah lelaki berkenaan berjaya menemukan semula semua perancah yang dilaporkan hilang pada 25 Januari lalu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Polis Daerah Miri.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan harta benda, khususnya di rumah yang masih dalam pembinaan atau tidak berpenghuni.
Pemilik dan kontraktor disaran memastikan peralatan binaan disimpan di tempat berkunci, tidak ditinggalkan di kawasan terbuka serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi mencegah kejadian jenayah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MDS laksana inisiatif turun ke lapangan secara menyeluruh sepanjang 2026
Januari 28, 2026, Rabu - 4:27pm

Beberapa ahli majlis MDS turun padang meninjau kemudahan prasarana di bawah tadbiran mereka. - Gambar UKAS
SARIKEI: Inisiatif turun ke lapangan secara menyeluruh bakal dilaksanakan sepanjang tahun 2026 sebagai langkah proaktif bagi memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan kepada penduduk di daerah Sarikei.
Majlis Daerah Sarikei (MDS) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lawatan berjadual itu akan melibatkan ahli-ahli majlis, pegawai MDS serta kontraktor yang dilantik bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), langkah tersebut membolehkan pihak MDS meninjau sendiri pelaksanaan perkhidmatan di lapangan serta mengenal pasti isu-isu yang dihadapi komuniti setempat dengan lebih berkesan.
“Antara fokus utama yang akan diberi perhatian termasuk kerja-kerja pembersihan parit di kawasan perumahan dan premis perniagaan, perkhidmatan pemotongan rumput serta usaha mengekalkan tahap kebersihan persekitaran, khususnya di kawasan bandar,” katanya.
MDS turut berkata, pendekatan turun ke lapangan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, malah mengukuhkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, semua penduduk diseru agar terus memberikan kerjasama dan bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing demi mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan kondusif.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tempat letak kenderaan baharu untuk Rumah Anne Saging
Januari 28, 2026, Rabu - 4:33pm

Lau (lapan kanan) menyaksikan Ian Adib (tujuh kiri) menyerahkan tapak projek kepada kontraktor hari ini.
SIBU: Rumah Anne Saging di Pasai Siong bakal menikmati kemudahan tempat letak kenderaan baharu apabila projek pembinaannya mula dilaksanakan secara rasmi hari ini.
Majlis penyerahan tapak projek oleh Penolong Jurutera Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Ian Adib Haslan kepada kontraktor telah disaksikan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau.
Menurut Lau, penduduk rumah panjang berkenaan telah sekian lama berdepan masalah kekurangan tempat letak kenderaan, sekali gus menjejaskan kelancaran lalu lintas dan keselamatan awam.
Sehubungan itu, melalui Dana Khas Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Bawang Assan, peruntukan berjaya diperoleh bagi melaksanakan pembinaan kawasan parkir tersebut.

Lau (dua kanan) bersama Tuai Rumah Anne ketika meninjau tapak projek tempat letak kereta yang akan dilaksanakan.
“Penyerahan tapak ini menandakan permulaan rasmi projek penting yang bertujuan untuk memperbaiki susunan lalu lintas setempat serta meningkatkan tahap keselamatan penduduk,” katanya.
Beliau turut mengimbas kembali lawatannya ke rumah panjang itu semasa sambutan Gawai Mangkung Tiang pada Jun tahun lalu, di mana penduduk telah membangkitkan isu ketiadaan kemudahan parkir yang teratur sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan risiko keselamatan kepada penduduk serta pengguna jalan raya.
Bertindak atas aduan tersebut, jurutera MDLBS dengan kerjasama Kaunselor Jeksen Chuban telah menjalankan pemeriksaan tapak bagi menilai keadaan sebenar serta mencadangkan langkah penambahbaikan yang bersesuaian.
Lau menyatakan rasa syukur kerana projek berkenaan kini dapat dilaksanakan dengan lancar dan berharap agar penduduk terus memberikan kerjasama kepada semua pihak berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan baik serta disiapkan mengikut jadual.
Beliau menegaskan bahawa pasukannya akan terus memantau dan menyelia kemajuan kerja sehingga siap sepenuhnya bagi memastikan kualiti pembinaan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk rumah panjang tersebut.

Tapak projek tempat letak kereta di Rumah Anne Saging di Pasai Siong.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki hilang setelah keluar berburu ditemui meninggal dunia
Januari 28, 2026, Rabu - 4:35pm
MIRI: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam hutan berhampiran Kampung Sepurau, Bekenu selepas dilaporkan hilang setelah keluar berburu sejak tiga hari lalu.
Mayat mangsa, Zaidi Talip, 41, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 10.40 pagi tadi, kira-kira 150 meter dari rumahnya.
Difahamkan, pada jam 8.30 malam 25 Januari lalu, Zaidi yang memakai baju serta seluar hitam telah keluar berburu dengan hanya berbekalkan sebotol kecil air.
Isteri mangsa yang berusaha menghubunginya pada Isnin dan Selasa tidak berjaya, lalu laporan polis dibuat di IPD Batu Niah.
Pada malam Selasa, 34 penduduk kampung yang dibahagikan kepada tiga kumpulan, menjalankan pencarian di kawasan hutan belakang rumah mangsa selama dua jam, namun mangsa tidak ditemui.
Operasi SAR rasmi bermula jam 9.30 pagi tadi dalam lingkungan 200 meter di sekitar kawasan rumah mangsa dan berakhir dengan penemuan mangsa pada jam 10.40 pagi.
Pasukan bomba terpaksa menunggu kehadiran petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pengesahan dan mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.40 tengah hari.
Pasukan forensik polis tiba pada jam 1 petang bagi menjalankan siasatan lanjut, sebelum mayat mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Berikutan penemuan mayat mangsa, operasi SAR ditamatkan pada jam 2.30 petang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penambahbaikan pengurusan trafik dilaksana di projek pembinaan, naik taraf Jalan Matang
Januari 28, 2026, Rabu - 4:49pm

Cassidy (tengah) dilihat memberi maklum balasnya semasa lawatan tapak. - Gambar JKR Sarawak
KUCHING: Beberapa penambahbaikan pengurusan trafik sedang dilaksana di projek pembinaan dan naik taraf Jalan Matang bagi mengurangkan kesesakan serta melindungi pengguna jalan raya.
Antara langkah yang diperkenalkan ialah pengoperasian lampu isyarat baharu, pembukaan dua lorong jalan dan penempatan pegawai kawalan trafik bagi melancarkan pergerakan kenderaan terutama pada waktu puncak.
Langkah-langkah tersebut telah dibincangkan semasa lawatan mengejut ke tapak oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak) Datu Dr Cassidy Morris, yang memeriksa kawasan projek bagi menilai kemajuan keseluruhan dan keadaan di tapak.
Dalam satu kenyataan, JKR Sarawak berkata pemeriksaan mengejut itu dijalankan bagi memastikan aliran trafik di kawasan tersebut terus diutamakan demi keselesaan dan keselamatan pemandu kenderaan sementara kerja-kerja sedang dijalankan.
Semasa lawatan kerja itu, Cassidy menekankan keselamatan pengguna jalan raya tidak boleh dikompromi meskipun kerja-kerja pembinaan sedanggiat dijalankan.
Justeru beliau mengarahkan semua pihak yang terlibat mematuhi sepenuhnya pelan pengurusan lalu lintas yang diluluskan.
Beliau juga menyeru pengguna jalan raya terus bersabar dan memberi kerjasama sepanjang tempoh projek bagi membolehkan kerja-kerja disiapkan dengan lancar dan mengikut piawaian kualiti yang diperlukan.
JKR Sarawak mengulangi komitmennya untuk melaksanakan semua projek secara bertanggungjawab dengan kesejahteraan rakyat sebagai tumpuan utama, selaras dengan etos 'Kami Bina Untuk Anda'.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penduduk Kampung Sungai Mata, terima bantuan dua tangki air
Januari 28, 2026, Rabu - 4:56pm

Pekerja memunggah tangki air berkapasiti 13,500 liter setiap satu untuk dihantar ke Kampung Sungai Mata, Kota Samarahan semalam. - Gambar UKAS
KOTA SAMARAHAN: Penduduk Kampung Sungai Mata, Kota Samarahan menerima bantuan segera apabila dua buah tangki air berkapasiti 13,500 liter setiap satu dihantar ke kampung berkenaan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih yang dialami sebelum ini.
Penghantaran tangki air tersebut adalah hasil permintaan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Idris Buang bersama Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kedua-dua tangki air itu akan dilengkapi dengan sistem perpaipan yang membolehkan air bersih disalurkan terus ke rumah-rumah penduduk kampung, sekali gus memastikan kelancaran aktiviti harian serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi telah mengarahkan kementerian di bawah seliaannya supaya penghantaran tangki air berkenaan dilaksanakan dengan kadar segera sebagai langkah proaktif bagi memastikan penduduk terjejas dapat menikmati semula bekalan air bersih.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SUPP Bintulu santuni pelajar memerlukan sempena TBC
Januari 28, 2026, Rabu - 6:01pm

Pang (tengah) menyerahkan sumbangan untuk sekolah dan pelajar di Bintulu, semalam.
BINTULU: Golongan pelajar yang memerlukan di beberapa sekolah rendah di bahagian ini menerima sumbangan angpau dan buah limau mandarin sempena sambutan Tahun Baharu Cina daripada Seksyen Belia Persatuan Foochow dan Kumpulan Wanita Bintulu semalam.
Menyempurnakan penyampaian sumbangan itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang bersama ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintulu dan Pusat Khidmat N68 Tanjong Batu.
Pang berkata, sumbangan tersebut memperlihatkan komitmen teguh organisasi komuniti dalam menyokong pendidikan dan pelajar.

Pang beramah mesra dengan murid-murid di Bintulu, semalam.
"Menyantuni kanak-kanak kurang bernasib baik tidak seharusnya terhad semasa Tahun Baharu Cina sahaja sebaliknya pada perayaan-perayaan lain," katanya pada Program Bantuan Pelajar Kurang Bernasib Baik 11.0 di sini semalam.
Beliau berkata, bantuan yang sama boleh diadakan pada sambutan Hari Gawai Dayak, Hari Raya Aidilfitri dan musim perayaan utama lain.
Justeru katanya, beliau akan terus bekerjasama dengan persatuan dan sekolah untuk membawa kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan untuk membeli pakaian baharu, alat tulis dan barangan sekolah penting supaya mereka berasa dihargai dan dijaga tanpa mengira perayaan.

Pang (tengah) menyerahkan limau mandarin kepada guru termasuk angpau untuk murid-murid sekolah rendah di Bintulu, semalam.
"Pendidikan tidak boleh dihadkan, bagi kanak-kanak daripada latar belakang yang kurang bernasib baik, sokongan berterusan daripada masyarakat adalah penting untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan," katanya.
Katanya, belia yang kuat akan mampu membina sebuah negara yang kuat dan melabur dalam pendidikan sentiasa menjadi pilihan yang tepat.
"Saya memuji Seksyen Belia Persatuan Foochow dan Kumpulan Wanita kerana mengekalkan program ini selama 11 tahun berturut-turut, memberikan contoh yang sangat baik untuk dicontohi oleh orang lain," katanya.
Pang berharap lebih banyak organisasi, syarikat dan individu yang prihatin akan tampil ke hadapan untuk menyokong pendidikan dan mengangkat generasi masa depan dengan lebih gemilang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lebih 690 warga pendidik awal kanak-kanak mendapat manfaat daripada program KP2026
Januari 28, 2026, Rabu - 6:24pm

Sebahagian pelatih bergambar bersama selepas menamatkan sesi program di Swinburne Sarawak, Kuching. Turut kelihatan ialah Jason Kong (berdiri, kiri hadapan), Grace Wong (duduk di atas lantai, baris ketiga, kedua dari kanan), jurulatih, pensyarah dan peserta.
KUCHING: Lebih 690 warga pendidik awal kanak-kanak dari Kuching, Padawan dan Miri mendapat manfaat daripada program latihan Kurikulum Prasekolah 2026 (KP2026) anjuran Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak).
Sesi dengan kerjasama Persatuan Pengusaha Tadika (AKO) dan disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu sebagai sebahagian daripada pelancaran kebangsaan KP2026 untuk prasekolah swasta bertujuan memperkukuh kesediaan prasekolah di seluruh negeri.
Swinburne Sarawak dalam kenyataan kepada media berkata ia telah menganjurkan dua sesi latihan utama di kampusnya di Kuching dengan sesi pertama pada 29 dan 30 November 2025 yang disertai lebih 192 pendidik.
Manakala sesi kedua pada 17 dan 18 Januari lepas telah menghimpunkan lebih 330 pengusaha tadika, pengetua dan guru.
Satu lagi sesi latihan yang diadakan di MYY Mall di Miri pada 6 dan 7 Disember 2025 pula berjaya menarik lebih 168 peserta dari wilayah utara.
Sehubungan itu, Latihan KP2026 telah melengkapkan para pendidik untuk beralih daripada pengajaran berasaskan subjek kepada pembelajaran berasaskan kompetensi dengan tumpuan yang kuat terhadap perkembangan kanak-kanak yang holistik.
Tema utama program ini ialah Insan Sejahtera iaitu memupuk kanak-kanak yang serba boleh merentasi dimensi emosi, intelektual, rohani, fizikal dan sosial.
Semasa sesi tersebut, para peserta meneroka literasi digital, pendidikan nilai dan sahsiah, perkembangan sosioemosi, bahasa dan literasi, kreativiti dan kemahiran kognitif.
Melalui penyertaan aktif dalam demonstrasi, perbincangan kumpulan, aktiviti refleksi dan eksperimen secara langsung, para pendidik belajar untuk menterjemahkan jangkaan kurikulum KP2026 kepada pendekatan bilik darjah yang praktikal.
Sementara itu Grace Wong, salah seorang jurulatih program dan pengetua tadika yang sedang berkhidmat melihat KP2026 sebagai perubahan pemikiran dan bukannya perubahan sukatan pelajaran.
“Kurikulum ini meletakkan watak, kecekapan dan kesejahteraan kanak-kanak sebagai tumpuan pembelajaran iaitu bukan sebagai tambahan tetapi sebagai asas.
"Latihan ini penting kerana ia membantu pendidik beralih daripada meliputi kandungan kepada benar-benar memahami bagaimana kanak-kanak belajar, berfikir, merasa dan berkembang.
"Apabila guru memahami sebab di sebalik KP2026, pelaksanaan menjadi bermakna dan bukannya mekanikal,” katanya.
Ramai peserta berkongsi bahawa pengalaman itu meningkatkan keyakinan mereka dalam melaksanakan KP2026, terutama dalam menerima pakai pendekatan pembelajaran yang lebih berpusatkan kanak-kanak.
Pendidik mengalu-alukan hala tuju jangka panjang kurikulum dengan menyatakan bahawa ia lebih mencerminkan keperluan perkembangan kanak-kanak dan realiti bilik darjah.
“KP2026 menandakan pendidikan awal kanak-kanak Malaysia semakin hampir dengan amalan terbaik global, beralih daripada pengajaran berasaskan lembaran kerja kepada pembelajaran yang bermakna dan didorong oleh kecekapan.
"Transformasi ini menonjolkan permintaan profesional yang semakin meningkat terhadap pendidik awal kanak-kanak di mana pemahaman mendalam mereka tentang perkembangan kanak-kanak, keperluan pembelajaran serta kepelbagaian memerlukan pengiktirafan dan sokongan yang lebih besar,” kata Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-kanak di Swinburne Sarawak Ting Mee Ling.
Dr Alicia Lim, seorang lagi pensyarah pendidikan awal kanak-kanak menyokong penuh pelancaran KP2026 yang disifat mencerminkan komitmen Swinburne Sarawak untuk memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak melalui kerjasama industri-universiti yang bermakna.
"Dengan bekerjasama rapat dengan rakan sektor dan membuka kampus kami untuk pembelajaran profesional berskala besar... kami menyokong pendidik semasa peralihan kurikulum yang kritikal sambil memastikan program akademik kami kekal sejajar dengan keutamaan negara," kata Dr Alicia.
Katanya, kerjasama itu dibina berdasarkan perkongsian yang mantap antara Swinburne Sarawak dan AKO.
Walaupun sesi latihan diketuai oleh AKO, Swinburne Sarawak menyediakan kemudahan kampus, kepakaran akademik dan peluang penglibatan pelajar untuk memastikan penjajaran kurikulum yang kukuh.
Pelajar daripada program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak (DECE) universiti mendapat pendedahan langsung kepada pelaksanaan kurikulum kebangsaan, menghubungkan teori dengan amalan dunia sebenar serta meningkatkan kesediaan profesional mereka melalui penglibatan dengan pengamal industri dan kandungan latihan yang selaras dengan dasar.
Terdahulu, semua pensyarah DECE telah menghadiri latihan itu untuk membiasakan diri dengan keperluan KP2026 dan memastikan kandungan pengajaran, penilaian dan hasil pembelajaran Swinburne Sarawak selaras dengan kurikulum prasekolah kebangsaan yang baharu.
Penjajaran itu diperkukuhkan lagi oleh Presiden AKO Jason Kong selaku Jawatankuasa Penasihat Kursus Swinburne Sarawak untuk DECE yang menyifatkan program tersebut mencerminkan komitmen Swinburne Sarawak terhadap penglibatan komuniti dan keutamaan pendidikan negara.
"Kehadiran yang ramai di Kuching dan Miri menunjukkan kesediaan sektor pendidikan awal kanak-kanak untuk menerima pakai KP2026 dan memperkukuh kualiti pendidikan prasekolah di Sarawak," kata Kong.
"Siri latihan ini bertepatan dengan pengiktirafan AKO sebagai penyedia latihan KP2026 di Sarawak, memperkukuh penyelarasan dan pembangunan profesional untuk prasekolah di seluruh negeri.
"Dengan kejayaan sesi-sesi ini, Swinburne Sarawak dan AKO berharap dapat meneruskan kerjasama dengan rakan kongsi pendidikan dengan lebih banyak latihan dan inisiatif bersama dirancang untuk menyokong prasekolah ketika mereka beralih ke KP2026," ujar beliau.
Untuk maklumat lanjut mengenai Swinburne Sarawak, sila layari laman webnya (www.swinburne.edu.my), laman Facebook (@swinburnesarawak), laman Instagram(@swinburnesarawak), laman LinkedIn (Kampus Universiti Teknologi Swinburne Sarawak), halaman X (@Swinburne_Swk), laman TikTok (@swinburnesarawak), saluran YouTube (Swinburne Sarawak), atau laman Xiaohongshu (@SwinburneSwk).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|