CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 28-1-2026 10:23 AM | Show all posts
Jabatan dan agensi persekutuan digalak sewa bangunan kerajaan negeri
Januari 27, 2026, Selasa - 3:50pm



Mohamad Abu Bakar (dua kanan) dan Henry Sum (lima kanan) bersama para penjawat awam kerajaan negeri di bangunan IAC Lawas yang dijangka beroperasi sepenuhnya Mac depan.

LAWAS: Jabatan dan agensi persekutuan di Sarawak ditawarkan untuk menyewa bangunan pejabat kerajaan negeri yang kosong dengan kadar munasabah.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, langkah itu satu pendekatan agar tiada lagi jabatan atau agensi kerajaan di Sarawak yang menyewa bangunan kedai untuk dijadikan pejabat mereka.

Pada masa sama katanya, ia dapat meletakkan jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bangunan untuk membolehkan perkhidmatan disampaikan secara bersepadu.

"Kita juga menawarkan kepada agensi dan jabatan kerajaan persekutuan untuk menyewa bangunan kerajaan negeri yang kosong dan dengan ini kita tidak lagi melihat jabatan-jabatan kerajaan menyewa bangunan kedai," katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke daerah Lawas baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.

Terdahulu, Mohamad Abu Bakar melawat projek pembinaan bangunan Pusat Pentadbiran Daerah Lawas atau Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Lawas, diikuti lawatan ke tapak projek perumahan kakitangan kerajaan negeri di Banting, Sundar dan pejabat daerah kecil Trusan.

Menyentuh mengenai IAC Lawas beliau memberitahu, semua jabatan kerajaan negeri di Lawas akan mula menduduki bangunan 14 tingkat itu pada minggu kedua Februari dan menjangkakan ia akan beroperasi sepenuhnya pada Mac nanti.

IAC Lawas mampu menempatkan lebih 700 penjawat awam negeri dengan pelbagai kemudahan moden berserta dewan yang berkapasiti untuk 1,000 orang.

Beliau optimis ia akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

“Bagi kemudahan kakitangan kerajaan negeri di Lawas, kerajaan negeri akan membangunkan beberapa unit bangunan lapan tingkat di Banting dan daerah kecil Sundar berserta pejabat baharu untuk Pejabat Daerah Trusan dan kediaman untuk mereka.

"Semua ini adalah atas usaha kepimpinan negeri Sarawak di bawah Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu melihat ruang pejabat yang kondusif untuk kakitangan awam Sarawak memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Selain itu katanya, kemudahan kediaman yang kondusif juga akan memberikan penjawat awam Sarawak kehidupan yang lebih selesa dan selamat, sekali gus melahirkan perkhidmatan awam yang efisien dan cemerlang.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-1-2026 10:25 AM | Show all posts
​​​​​​​MDL kekalkan kadar bayaran tapak bazar Ramadan
Januari 27, 2026, Selasa - 3:53pm



(Duduk dari tiga kiri) Sufian dan Michelle pada Sidang Media Bazar Ramadan 2026 di pejabat MDL, semalam.

LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) masih mengekalkan kadar bayaran tapak bazar Ramadan 2026 di bawah seliaannya di Lot 777 dan kawasan berjaja di daerah ini pada kadar munasabah seperti tahun lepas.

Pengerusi MDL Kaunselor Sufian Mohat berkata, pihaknya tidak bercadang menaikkan kadar bayaran tapak seperti di tempat lain bagi menggalakkan para peniaga menjalankan perniagaan di bazar itu sepanjang bulan Ramadan kelak.

Beliau berkata, sebanyak 123 lot bazar Ramadan disediakan kepada para peniaga di kawasan Lot 777 merangkumi jualan berpanggang, bermasak, makanan dan minuman, kek dan biskut serta jualan kain dan baju.

“Tahun ini  kita masih mengekalkan harga bayaran untuk lot-lot yang kita sediakan iaitu sebanyak RM350 untuk keluasan lot bersaiz 10x10, kek dan biskut (RM200), kain baju (RM350) dan untuk peniaga dari luar Limbang sebanyak RM2,200 untuk satu kanopi.

“Kita juga menyediakan permit bazar bagi persendirian individu di kampung-kampung iaitu sebanyak RM2 setiap hari (RM60 sebulan) dan harga ini sangat berbaloi dan munasabah,” katanya pada Majlis Sidang Media Bazar Ramadan 2026 di pejabat MDL semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta.

Beliau menjelaskan, kadar penetapan caj sewa itu adalah munasabah sejajar dengan prasarana yang disediakan termasuk kutipan sampah, bekalan air dan elektrik.

Katanya selain peniaga tempatan, Bazar Ramadan 2026 turut menampilkan kelainan apabila disertai peniaga dari luar termasuk Sabah, Semenanjung, Labuan dan Miri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 10:30 AM | Show all posts
​​​​​​​PBT diarah terus pantau kualiti kerja kontraktor
Januari 27, 2026, Selasa - 4:17pm

Ia bagi pastikan infrastuktur yang disediakan untuk rakyat kekal berfungsi dengan baik: Lee



Lee berpuas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang sedang dilaksanakan di kawasan Senadin ketika ini. Beliau diiringi wakil MBM termasuk ahli majlis dan kakitangan Pusat Khidmat DUN Senadin semasa mengadakan lawatan kerja, petang semalam.

MIRI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu meneruskan tugas-tugas susulan mereka dengan memantau semua kerja membaik pulih dan pembersihan yang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik bagi memastikan infrastuktur yang disediakan untuk rakyat kekal berfungsi dengan baik.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, semua kerja membaik pulih dan pembersihan di longkang-longkang utama dan sistem perparitan di sekitar bandar raya ini yang sudah dilaksanakan perlu diawasi sentiasa bagi memudahkan penyelenggaraan seterusnya.

Beliau berkata, ketika ini pihak kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Miri (MBM) sudah melakukan kerja dengan baik terutama di kawasan yang dilanda banjir sebelum ini.

“Rumput dan semak tebal sudah ditebas dan dibersihkan di beberapa kawasan.

"Longkang-longkang besar dan saliran parit di beberapa kediaman juga, ada yang sudah dan sedang dibersihkan.

“Kini menjadi tugas MBM pula untuk meneruskan kerja-kerja susulan dan memantau situasi ini.

"Pastikan kontraktor melakukan kerja mereka hingga siap (di beberapa kawasan yang sedang dan belum dibersihkan).

“Kekalkan kebersihan di parit-parit, pastikan tiada lagi yang tersumbat semula dan sebagainya,” kata Lee.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas melawat dan memantau kerja-kerja pembersihan longkang utama dan kawasan sekitarnya termasuk parit-parit di kawasan Senadin, semalam.

Kawasan Senadin antara yang teruk dilanda banjir awal tahun ini.

Beliau berharap, tidak ada lagi aduan daripada orang awam yang mengatakan parit atau longkang sekitar kawasan kediaman mereka tersumbat semula selepas tiga atau enam bulan akan datang kerana tidak ada kerja-kerja susulan dan penyelenggaraan dilaksanakan.

Lee juga memberitahu, jika pihak MBM terus melakukan pemantauan dan memastikan kontraktor membuat kerja dengan betul, maka kerja penyelenggaraan seterusnya akan menjadi lebih mudah.

Dalam pada itu, Lee melahirkan rasa puas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang sudah dan sedang dilaksanakan ketika ini di kawasan tersebut dan berharap ia dapat menyelesaikan sedikit sebanyak masalah banjir di kawasan Senadin.  

Beliau berkata, akan terus memantau kerja-kerja pembersihan dan sistem perparitan di kawasan Senadin bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk memperbaiki sistem saliran di kawasan kediaman yang memiliki kepadatan penduduk tertinggi di Miri.

Dalam pada itu, pihak MBM yang turut mengiringi Lee melawat kawasan-kawasan yang sedang dibersihkan, turut memohon kerjasama penduduk setempat untuk menjaga kebersihan di kawasan persekitaran mereka dengan tidak membuang sampah sesuka hati.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 10:31 AM | Show all posts
Agensi di bawah MUDeNR perlu menghayati kecemerlangan, integriti dan kepercayaan
Januari 27, 2026, Selasa - 4:24pm



Abdullah ketika berucap pada Hari Bersama Setiausaha Tetap MUDeNR yang diadakan di Kuching, hari ini.

KUCHING: Kakitangan yang berkhidmat bagi agensi-agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) perlu menghayati visi dan misi kementerian yang diterjemahkan secara konsisten dalam cara bekerja, berfikir serta membuat keputusan.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Setiausaha Tetap MUDeNR Datu Abdullah Julaihi menegaskan bahawa aspirasi kementerian adalah untuk menjadi sebuah organisasi yang cemerlang dan berkesan, bukan sekadar berfungsi mengikut rutin biasa.

Beliau menjelaskan, elemen kecemerlangan merupakan nilai teras yang dikongsi oleh semua agensi di bawah MUDeNR termasuk Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak, Lembaga Pembangunan dan Pemuliharaan Tanah (LCDA), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta agensi berkaitan lain, walaupun dinyatakan melalui visi yang berbeza.

“Maksudnya, kecemerlangan bermakna kita tidak boleh menerima sikap sederhana atau mediocrity. Dalam pemikiran, tingkah laku mahupun hasil kerja, kita menuntut tahap kecemerlangan.

“Untuk cemerlang bermaksud usaha kita mampu mencipta nilai sebenar dan impak yang nyata. Apabila misi menjadi panduan dan asas kepada tindakan, kita bukan lagi sekadar bertindak balas terhadap peristiwa, sebaliknya mula membentuk hala tuju negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Hari Bersama Setiausaha Tetap MUDeNR di sini, hari ini.

Menyentuh aspek kepimpinan, Abdullah turut menekankan kepentingan kepercayaan, konsistensi, keadilan dan integriti, sambil menjelaskan bahawa integriti hanya dapat dibuktikan apabila kata-kata selari dengan tindakan, khususnya ketika berdepan tekanan.

“Apabila mereka mempercayai kita, mereka akan memberi komitmen sepenuhnya, bekerjasama secara terbuka dan seterusnya melaksanakan tugas dengan penuh keyakinan,” tambahnya.

Beliau turut menyeru semua warga kerja MUDeNR agar memberi tumpuan kepada keutamaan sebenar, bukan sekadar sibuk dengan tugasan rutin yang kurang memberi nilai tambah, di samping sentiasa memahami peranan dan tujuan perkhidmatan awam berlandaskan kerangka perundangan, tadbir urus dan akauntabiliti.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad, Pengarah JTS Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengurus Besar LCDA Datu Zaidi Mahdi, Pengurus Besar PUSAKA Datu Zainal Abidin Abdullah, Kontroler Kualiti Alam Sekitar Datu Jack Liam serta Ketua Pegawai Eksekutif SFC Abang Arabi Abang Aimran.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 10:33 AM | Show all posts
Premier bersetuju dengan cadangan penubuhan Rumah Kelab Media Sarawak
Januari 27, 2026, Selasa - 4:39pm



Pengamal media daripada pelbagai agensi di Sarawak merakam gambar kenangan bersama Abdullah (berdiri tujuh kanan). Turut kelihatan Ali (berdiri enam kanan).

KUCHING: Cadangan penubuhan Rumah Kelab Media Sarawak telah dipersetujui secara prinsip oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kata Datuk Abdullah Saidol.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan UKAS) itu berkata beliau bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel telah diarahkan oleh Premier untuk mencari lokasi sesuai bagi rumah kelab tersebut.

"Kelab Media ini bukanlah sebuah entiti atau kesatuan, sebaliknya berfungsi sebagai sebuah rumah kelab yang menyediakan ruang kerja, tempat berehat dan kemudahan sokongan kepada pengamal media yang sering bekerja di luar waktu pejabat biasa.

"Walaupun Premier masih menjanjikan secara prinsip, tetapi tugas kami sekarang adalah untuk mengenal pasti tempat dan kos yang diperlukan bagi merealisasikan cadangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan Hari Boling AZAM dan Media di Pusat Boling Megalanes, King Centre, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak Ali Suhaili berkata, penganjuran program tersebut bertujuan mengukuhkan hubungan profesional serta kerjasama jangka panjang antara AZAM dan pengamal media di Sarawak.

Beliau berkata, sejak penubuhannya, AZAM berperanan menyokong usaha kerajaan dengan membantu menyampaikan maklumat berkaitan dasar, inisiatif dan agenda pembangunan negeri kepada komuniti di peringkat akar umbi.

“Media merupakan rakan strategik penting kepada AZAM, khususnya dalam era digital di mana maklumat bergerak pantas dan membentuk persepsi awam. Hubungan ini bersifat saling melengkapi, bukan sekadar transaksional,” katanya.

Ali turut menegaskan bahawa AZAM akan terus memanfaatkan pendekatan komunikasi digital secara bertanggungjawab melalui inisiatif Digital for Impact (D4I) bagi memperkukuh penglibatan komuniti, khususnya golongan belia.

Program Boling AZAM dan Media itu disertai seramai 40 pengamal media daripada pelbagai organisasi, dengan format pasukan campuran yang dirangka bagi menggalakkan interaksi rentas platform serta membina jaringan profesional yang lebih erat.

Kejohanan persahabatan itu menyaksikan pasukan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) muncul juara diikuti Cats FM di tempat kedua dan TVS di tempat ketiga.

Pada majlis tersebut, Abdullah turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada AZAM Sarawak sebagai tanda sokongan terhadap peranan organisasi itu dalam memperkukuh komunikasi dan pembangunan masyarakat.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 10:34 AM | Show all posts
​​​​​​​FCAKSS menganjurkan makan malam gala kutipan dana pada 1 Mac
Januari 27, 2026, Selasa - 4:44pm

KUCHING: Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian (FCAKSS) akan menganjurkan Makan Malam Gala Tahun Baharu Cina bagi tujuan kutipan dana di Dewan Kompleks UNIFOR di sini pada 1 Mac.

Presidennya Dato Sri Richard Wee berkata, Tahun Baharu Cina merupakan perayaan penting dalam budaya Cina yang melambangkan perpaduan, harapan dan permulaan baharu, selaras dengan tradisi lama persekutuan tersebut.

“Tujuan makan malam ini adalah untuk menyediakan platform bagi menyatukan masyarakat Cina, mempromosikan budaya tradisional Cina yang murni serta memupuk interaksi dan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan ahli,” katanya pada sidang media di premis persekutuan itu di sini.

Beliau merayu orang ramai supaya menyokong majlis makan malam tersebut dan berkata sebanyak 80 meja yang berharga RM1,200 setiap satu perlu dijual bagi memastikan kejayaan acara berkenaan.

Tambahnya, majlis makan malam itu akan diserikan dengan kehadiran Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu, Richard turut menghargai sumbangan pihak media terhadap usaha persekutuan dan memaklumkan bahawa satu majlis makan tengah hari penghargaan media akan diadakan di Restoran Mandarin, Icom Square di sini pada jam 11.30 pagi pada 8 Februari sebagai tanda penghargaan.

“Kami berharap dapat mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan rasa hormat dan penghargaan kepada para pengamal media yang sentiasa menyokong kami serta pembangunan bagi masyarakat Cina.

“Setakat ini, 150 pengamal media telah mendaftar untuk menghadiri majlis makan tengah hari tersebut. Bersama-sama, marilah kita menyambut tahun baharu yang dipenuhi harapan, kemajuan dan kecergasan,” tambahnya

Pengerusi penganjur bagi makan malam gala tersebut ialah Naib Presiden FCAKSS Wilson Tan manakala pengerusi penganjur majlis makan tengah hari ialah Naib Presiden FCAKSS Chew Kien Liang.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Penasihat Eksekutif FCAKSS Michael Teo.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 28-1-2026 10:39 AM | Show all posts
Lokasi penganjuran Pavilion UCCN dikenal pasti
Januari 27, 2026, Selasa - 5:34pm

Kawasan Segi Tiga Emas dijangka jadi lokasi penganjuran sempena Perhimpunan Tahunan Ke-3 UCCN, 4-7 Ogos 2026



Abdul Karim bersama Wee, Majid (tiga kiri) dan yang lain menunjukkan poster Perhimpunan Tahunan Ke-3 Rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO di Kuching hari ini.
“Saya berpendapat kawasan Segi Tiga Emas adalah pilihan terbaik.”

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan

KUCHING: Kawasan Segi Tiga Emas di bandar raya ini dijangka menjadi lokasi utama penganjuran Pavilion Rangkaian Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO (UCCN) sempena Perhimpunan Tahunan Ke-3 UCCN yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 Ogos 2026.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kawasan itu dicadangkan ekoran kedudukannya yang strategik, berhampiran hotel-hotel utama dan mudah diakses dengan berjalan kaki, sekali gus memudahkan pergerakan delegasi serta pengunjung.

“Sebenarnya satu lokasi sudah dikenal pasti, tetapi saya mencadangkan agar perhimpunan ini diadakan di kawasan yang lebih luas, strategik dan mesra pengunjung.

“Saya berpendapat kawasan Segi Tiga Emas adalah pilihan terbaik,” katanya pada sidang media UCCN di Bangunan Baitukmakmur II di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, pemilihan kawasan berkenaan juga selari dengan penganjuran festival makanan dan kebudayaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

“Apatah lagi, ia mempunyai objektif sama dengan memberi peluang kepada delegasi antarabangsa merasai sendiri kepelbagaian gastronomi dan budaya tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, perhimpunan ke-3 UCCN itu akan dianjurkan bersama MBKS dan Kuching Gastronomy Association (KGA), dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Beliau menjangkakan kira-kira 170 delegasi antarabangsa daripada 63 bandar ahli UCCN dari 35 negara, selain peserta tempatan dan serantau akan menyertai acara tersebut.

“Antara pengisian utama perhimpunan ini termasuk majlis perasmian, mesyuarat rasmi bandar-bandar ahli, jamuan amal ‘Plate for Purpose’ melibatkan kolaboratif cef antarabangsa dan tempatan serta Pavilion UCCN yang menampilkan masakan daripada 20 bandar kreatif gastronomi UNESCO,” ujarnya.

Beliau menegaskan acara perhimpunan itu lebih daripada sekadar persidangan antarabangsa.

“Ia menjadi platform perkongsian ilmu, pertukaran budaya dan kulinari serta perbincangan mengenai warisan makanan, inovasi dan sistem makanan mampan,” katanya.

Justeru, Abdul Karim menjangkakan perhimpunan itu akan memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan hospitaliti Sarawak, termasuk perhotelan, restoran dan industri kraf tempatan.

“Kita berharap acara berskala antarabangsa seperti ini akan terus merancakkan pelancongan negeri. Tahun lalu sahaja, kementerian menyokong 305 acara di seluruh Sarawak dan hasil pelancongan bulanan melepasi RM1 bilion,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng dan Majid Almuhanna daripada Suruhanjaya Seni Kulinari Arab Saudi serta tetamu kehormat lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 10:44 AM | Show all posts
Dua kenderaan disita dalam operasi JPJ Sarawak di Kuching
Januari 27, 2026, Selasa - 5:50pm

Pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah kenderaan mewah. - Gambar FB JPJ Negeri Sarawak

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menyita dua kenderaan susulan pelbagai kesalahan dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Kenderaan Mewah (Luxury) yang dilaksanakan di Kuching, hari ini.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook JPJ Negeri Sarawak, operasi tersebut dilaksanakan melalui tindakan penguatkuasaan dan pemantauan, termasuk pemeriksaan secara statik di Jalan Song dan Jalan Tun Salahuddin.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang pemandu warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan lesen memandu yang sah,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, dalam Ops Kenderaan Mewah pula, sebuah kenderaan didapati tidak memiliki lesen kenderaan motor (LKM) yang sah, selain perlindungan insurans yang telah tamat tempoh melebihi setahun.

“Sehubungan itu, kedua-dua kenderaan telah disita untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang dan akta-akta yang sedang berkuat kuasa,” jelas kenyataan berkenaan.

JPJ Sarawak turut menegaskan komitmen jabatan itu untuk terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terjamin.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-1-2026 10:49 AM | Show all posts
Teguran agensi teknikal asas tindakan bersepadu tangani banjir di Matu, Jemoreng, Passin
Januari 27, 2026, Selasa - 6:47pm



Juanda (kanan tengah) ketika mempengerusikan satu mesyuarat khas melibatkan 12 agensi kerajaan yang diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Hutan Sarawak, di Kuching, hari ini. Gambar UKAS

KUCHING: Semua teguran, nasihat serta cadangan yang dikemukakan oleh agensi teknikal dan penguat kuasa akan dijadikan asas utama kepada tindakan bersepadu bagi menangani isu banjir berulang di kawasan Matu, Jemoreng dan Passin.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya menegaskan bahawa setiap pandangan profesional dan teknikal yang dibangkitkan tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan konkrit oleh semua pihak terlibat.

“Pendekatan ‘business as usual’ tidak lagi wajar diteruskan, khususnya dalam pelaksanaan projek pembangunan melibatkan pembinaan jalan serta kerja-kerja tanah yang berpotensi memberi kesan langsung terhadap sistem saliran dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan satu mesyuarat khas melibatkan 12 agensi kerajaan yang diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Hutan Sarawak di sini, hari ini.

Ia bertujuan bagi meneliti secara menyeluruh punca, kesan serta langkah pembetulan berkaitan isu banjir yang menjejaskan penduduk setempat.

Mesyuarat tersebut melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Pejabat Residen Mukah, selain beberapa agensi berkaitan lain yang mempunyai peranan langsung dalam pengurusan guna tanah dan pembangunan kawasan.

Pada masa yang sama, pelesen ladang serta kontraktor pembinaan jalan turut dipanggil untuk memberi penjelasan terperinci mengenai kerja-kerja yang telah dilaksanakan, tahap pematuhan terhadap syarat kelulusan serta langkah pembetulan yang akan diambil selaras dengan teguran dan rekomendasi agensi teknikal.

Secara keseluruhan, mesyuarat berkenaan memberi ruang kepada pengerusi untuk bersemuka dengan semua pihak berkepentingan bagi menyampaikan penegasan serta pandangan beliau, khususnya dalam memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat di kawasan terjejas sentiasa menjadi keutamaan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:03 AM | Show all posts
KAA bina pusat latihan vokasional baharu, siap suku ketiga tahun ini
Januari 27, 2026, Selasa - 6:53pm



Dr Sim (kanan) di KAA merasmikan van baharu yang ditaja oleh Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints sambil disaksikan yang lain. Turut kelihatan Dr Catherine (dua kanan) menemani beliau. Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Persatuan Autistik Kuching (KAA) kini giat memperluaskan kemudahannya dengan pembinaan sebuah pusat latihan vokasional baharu yang dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini, bagi menampung permintaan perkhidmatan yang semakin meningkat.

Presiden KAA Dr Catherine Chen berkata, pusat latihan yang dibina khas itu akan meningkatkan kapasiti persatuan untuk menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran dan latihan kepada remaja serta golongan dewasa muda dalam spektrum autisme.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Van yang ditaja oleh Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints kepada Kuching Autistic Association (KAA) di Jalan Desa Wira, Lorong 15 Batu Kawa hari ini.

“Permintaan terhadap perkhidmatan KAA meningkat dari tahun ke tahun. Ketika ini, seramai 170 pelajar telah berdaftar dengan persatuan manakala 94 lagi masih berada dalam senarai menunggu, kebanyakannya kanak-kanak berusia bawah lapan tahun,” katanya.

Tambah beliau lagi, bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat, KAA merancang untuk mengambil lebih ramai tenaga pengajar pada tahun ini, yang secara tidak langsung akan meningkatkan kos operasi persatuan.

“Kami menyediakan terapi intervensi awal, latihan kebersihan diri, kemahiran sosial dan komunikasi untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

“Bagi pelajar berusia 13 hingga 19 tahun pula, program pendidikan menengah memberi tumpuan kepada latihan kemahiran hidup, kemahiran sosial serta latihan vokasional seperti seni, kraf tangan, kerja manik, pengemasan rumah, dobi dan berkebun bagi mengenal pasti minat, bakat dan kebolehan mereka,” jelasnya.

Pada majlis yang sama, KAA turut menerima sumbangan sebuah van Toyota Hiace 10 tempat duduk yang ditaja oleh Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints, sekali gus memperkukuh komitmen berterusan gereja itu dalam bidang pendidikan, khidmat kemanusiaan dan sokongan kepada golongan berkeperluan khas.

Majlis penyerahan rasmi kenderaan itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Dalam ucapannya, Dr Sim menegaskan bahawa autisme bukan satu pilihan dan tidak mengenal bangsa, agama atau latar belakang sosial.

“Tiada siapa memilih untuk menjadi autistik. Apa yang kita pilih ialah untuk bersama-sama melakukan sesuatu dengan kasih sayang, keprihatinan dan niat untuk membawa perubahan bermakna kepada komuniti autistik serta negeri ini,” katanya.

Beliau turut memuji usaha berterusan KAA serta sokongan padu daripada ibu bapa, komuniti dan rakan strategik dalam meningkatkan kualiti hidup individu autistik.

“Autisme adalah komitmen sepanjang hayat. Apabila mereka meningkat dewasa dan ibu bapa sudah tiada, organisasi seperti KAA menjadi sangat penting untuk memastikan kebajikan mereka terus terpelihara,” ujarnya.

Dr Sim turut menekankan keperluan pembiayaan berterusan melalui program kutipan dana dan kerjasama kukuh, sambil memuji sumbangan konsisten organisasi berasaskan keagamaan yang selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak yang menekankan keterangkuman.

Sementara itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints atas sumbangan van tersebut yang disifatkan sebagai amat tepat pada masanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:08 AM | Show all posts
Tambahan RM10 juta khas kepada sekolah mubaligh bagi perkukuh pendidikan STEM
Januari 27, 2026, Selasa - 7:02pm



Uggah (depan, tengah) bersama Dr Sim (depan, kiri) dan Georgina (depan, kanan) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir menerima cek bagi kawasan masing-masing daripada UNIFOR di Wisma Bapa Malaysia hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Sarawak semalam mengumumkan tambahan RM10 juta khas kepada sekolah mubaligh bagi memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) itu melengkapkan lagi peruntukan RM20 juta sebelum ini oleh kerajaan negeri kepada sekolah mubaligh di Sarawak.

“Pada tahun ini, Premier kita telah mengekalkan peruntukan dana RM90 juta untuk projek rumah ibadat tetapi beliau telah menambahkan RM10 juta kepada sekolah mubaligh.

“Bagimanapun beliau mengingatkan saya dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (Timbalan Premier) bahawa RM10 juta (tambahan) ini adalah untuk membantu sekolah mubaligh bergerak ke arah pendidikan STEM.

“Kita akan berbincang dengan pihak terlibat termasuk wakil rakyat masing-masing bahawa ia adalah bukan untuk bangunan tetapi keperluan seperti peralatan papan pintar dan sebagainya kepada sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Cek Dana Bantuan Rumah Ibadat Agama-Agama Lain yang dihadiri Dr Sim dan Pengarah UNIFOR Datu Georgina Apphia Ngau di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah berkata inisiatif itu amat penting selari dengan pengumuman Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa Sarawak tahun ini mula melaksanakan pendidikan universiti percuma.

“Kita berharap anak-anak sekolah mubaligh juga berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang relevan dengan perkara ini,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata kerajaan semalam mengagihkan RM13.63 juta bagi Fasa 4, melibatkan 71 projek rumah ibadat, sekali gus melengkapkan keseluruhan agihan bantuan tahun ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan dari Fasa 1 hingga Fasa 4, sebanyak 380 projek rumah ibadat di seluruh Sarawak telah diluluskan dengan jumlah peruntukan mencecah RM90 juta.

Manakala RM20 juta diperuntukkan kepada sekolah mubaligh sebelum tambahan terbaharu diumumkan.

Mengulas prestasi tahun lalu, Uggah mengakui pengagihan bantuan agak perlahan berikutan beberapa isu serius, termasuk projek yang masih belum bermula sepenuhnya.

“Bagi projek tahun lalu, tidak termasuk hari ini, terdapat 309 projek. Daripada jumlah itu, 285 projek masih belum mengemukakan laporan.

“Ada kemungkinan sebahagian daripada mereka baru sahaja menerima dana, namun kami sedang memantau dengan rapi kerana pasukan kami sangat aktif turun padang dan berinteraksi dengan pihak terlibat,” katanya.

Sehubungan itu Uggah berkata kerajaan negeri kini mewajibkan semua rumah ibadat menggunakan aplikasi Sistem Pengurusan Perkhidmatan Agama-Agama Lain (ORSEM), iaitu sistem permohonan dan pelaporan secara dalam talian bagi memastikan pemantauan yang lebih telus dan berkesan.

“Semua permohonan, laporan kemajuan dan sebarang isu berkaitan projek mesti dibuat melalui aplikasi ini,” tegasnya.

Sementara itu mengenai dana peruntukan bagi tanah perkuburan untuk agama-agama lain, Uggah berkata UNIFOR kini sedang berbincang dengan pelbagai pihak.

Katanya dana berkenaan untuk kerja-kerja menaik taraf kemudahan di kawasan perkuburan selain meneliti kawasan baharu kepada rumah ibadat yang memerlukan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:10 AM | Show all posts
PPS di Kampung Seruyuk, Sebuyau ditutup
Januari 27, 2026, Selasa - 7:08pm



Gambar hiasan BERNAMA

KUCHING: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bangunan Lama Masjid Kampung Seruyuk, Sebuyau ditutup pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPNS) dalam kenyataannya berkata PPS yang menempatkan 37 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Seruyuk, Sebuyau ditutup jam 10 pagi.

"Adalah dengan ini dimaklumkan PPS (Bangunan Lama Masjid Kampung Seruyuk) telah ditutup sepenuhnya berikutan keadaan semasa yang telah selamat dan paras air menunjukkan trend menurun di kawasan terlibat," katanya.

PPS Bangunan Lama Masjid Kampung Seruyuk, Sebuyau ditutup pada Selasa susulan peningkatan paras air di kawasan terbabit berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:11 AM | Show all posts
Pekerja maut di kilang, JKKP keluarkan tiga notis larangan kepada majikan
Januari 27, 2026, Selasa - 7:10pm

MIRI: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak telah mengeluarkan tiga notis larangan kepada pihak majikan selepas seorang pekerja maut ketika menjalankan tugas di sebuah kilang di Sibuti, minggu lalu.

JKKP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan bahawa notis larangan itu dikeluarkan sebagai langkah kawalan segera kepada pihak terlibat bagi menghentikan kerja berkaitan sehingga langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya dilaksanakan.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.30 pagi, 24 Januari lalu, mangsa yang merupakan seorang kontraktor warganegara Malaysia berusia 42 tahun telah terjatuh dari platform aras satu.

Susulan laporan yang diterima, pegawai penyiasat dari JKKP Sarawak Cawangan Miri telah pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati semasa kejadian, mangsa sedang memasang konveyor skru di aras satu.

“Semasa menjalankan kerja menaikkan konveyor skru menggunakan rantai tuil, mangsa telah terjatuh ke dalam bahagian konveyor yang sedang beroperasi di aras bawah,” menurut kenyataan itu.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Batu Niah.

Justeru, sebagai langkah kawalan serta-merta JKKP Cawangan Miri telah mengeluarkan tiga notis larangan kepada pihak terlibat bagi menghentikan kerja berkaitan sehingga langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya dilaksanakan.

Kes disiasat lanjut di bawah Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Akta 514).

JKKP menegaskan tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran pada peruntukan akta tersebut dengan denda maksimum RM500,000 bagi majikan yang disabitkan kesalahan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:17 AM | Show all posts
Ops Pematuhan Lalu Lintas Trafik Saratok keluarkan 38 saman
Januari 27, 2026, Selasa - 7:38pm



Pemeriksaan dijalankan ke atas penunggang motosikal oleh BSPT IPD Saratok semasa Ops Pematuhan Lalu Lintas di Lebuh Raya Pan Borneo, hari ini.-Gambar PDRM

SARATOK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 38 saman atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Ops Pematuhan Lalu Lintas yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Saratok, hari ini.

Operasi yang bermula jam 9 hingga 11.30 pagi itu melibatkan seramai lima anggota BSPT dan dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Jalan Roban Lama, Jalan Roban-Kabong serta Lebuh Raya Pan Borneo.

Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, operasi berkenaan sebahagian daripada usaha berterusan polis bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.

“Sepanjang operasi ini, sebanyak 58 kenderaan telah diperiksa melibatkan pelbagai jenis kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kenderaan yang diperiksa terdiri daripada 23 kereta, 10 motosikal, sembilan kenderaan pacuan empat roda, lapan MPV, lima van serta tiga lori.



Sekatan jalan raya BSPT IPD Saratok semalam bagi mengesan pelanggaran undang-undang trafik dan meningkatkan keselamatan jalan raya. -Gambar PDRM

Hasil pemeriksaan mendapati sebahagian besar kesalahan melibatkan kegagalan memiliki lesen memandu yang sah, selain kesalahan teknikal kenderaan.

“Bagi penunggang motosikal sebanyak sembilan saman dikeluarkan kerana tidak memiliki lesen manakala pemandu kereta pula melibatkan enam kes tidak mempunyai lesen, lapan kes nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta kesalahan ekzos dan lampu brek,” jelasnya.

Tambahnya, tiga saman turut dikeluarkan terhadap kenderaan pacuan empat roda berkaitan lampu brek manakala dua saman melibatkan lori.

Mathew berkata, operasi tersebut dijalankan dengan objektif utama untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya yang melibatkan penunggang motosikal yang dikenal pasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.

“Pada masa sama, operasi ini bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan semua pengguna,” katanya.

Beliau menegaskan, secara keseluruhan Ops Pematuhan Lalu Lintas itu mencapai objektif penguatkuasaan dan pencegahan yang ditetapkan oleh pihak polis.

“Penugasan berjalan dengan lancar, keadaan cuaca juga baik dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang operasi,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat demi keselamatan diri dan pengguna lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:19 AM | Show all posts
Tandas awam harus diselenggara dengan baik
Januari 27, 2026, Selasa - 8:18pm



Chiew semasa melakukan pemeriksaan ke atas tandas awam yang ditutup di Pasar Utama Bintulu semalam.

BINTULU: Tandas Pasar Utama Bintulu (PUB) harus diselenggara dengan baik demi kemudahan orang awam yang datang mendapatkan barangan basah, sayur-sayuran dan sebagainya yang terdapat di pasar basah berkenaan, kata Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Tony Chiew Chan Yew.

Jelasnya, baru-baru ini beliau menerima aduan daripada orang awam dan telah turun ke lokasi untuk memahami keadaan sebenar.

"Orang ramai yang ingin menggunakan tandas awam terpaksa berjalan dari tingkat dua turun ke tingkat satu sekiranya hendak ke tandas dan ini menimbulkan kesukaran bagi semua orang," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya difahamkan salah satu punca tandas tersebut terpaksa ditutup disebabkan tiada pihak yang mengambil tender untuk menguruskan tandas yang mana secara logik pengurusan seperti ini amat sukar diterima.

Menurutnya, pasar itu di bawah kendalian Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan tandas awam merupakan kemudahan asas yang paling penting lebih-lebih lagi di kawasan pasar.

"Operasi dan penyelenggaraan seharusnya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, bukannya diserahkan sepenuhnya kepada sistem tender dan lebih tidak munasabah lagi apabila tiada pembida, tandas terus ditutup begitu sahaja," jelasnya.

Chiew berkata, semasa lawatan ke pasar berkenaan kelmarin beliau mendapati bahawa selain masalah tandas, banyak kipas rosak dan tidak diperbaiki.

Menurutnya, banyak lampu yang tidak menyala ditambah mentol yang digunakan tidak seragam menyebabkannya kelihatan tidak teratur.

"Tangga yang digunakan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dipasang separuh jalan dan ditinggalkan begitu sahaja di lokasi sehingga melebihi seminggu," ujarnya.

Berhubung kesemua isu di atas, beliau akan membangkitkannya satu persatu kepada pihak berkuasa berkaitan dan menggesa mereka segera mengambil tindakan bagi memperbaiki secara serius masalah kemudahan asas yang telah lama berlarutan di PUB.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:20 AM | Show all posts
Polis tahan dua lelaki tempatan miliki dadah di Jalan Stutong
Januari 27, 2026, Selasa - 8:25pm

KUCHING: Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas dadah disyaki jenis Methamphetamine seberat 58 gram bernilai kira-kira RM6,380 dalam satu serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan Stutong, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Kuching kira-kira jam 11.35 malam.

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 44 dan 50 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemui sejumlah peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine.

“Anggaran berat keseluruhan rampasan dadah adalah 58 gram dengan nilai pasaran dianggarkan berjumlah RM6,380,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Semakan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Keberhasilan tangkapan ini adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 28-1-2026 11:21 AM | Show all posts
KPM disaran pertimbang persekolahan dua sesi untuk tampung kekurangan kelas
Januari 27, 2026, Selasa - 8:28pm



MIRI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran mempertimbangkan pelaksanaan persekolahan dua sesi, secara sementara bagi menangani jangkaan kekurangan bilik darjah tahun depan, dengan keutamaan diberikan kepada murid Tahun Satu untuk mengikuti sesi pagi.

Bekas pendidik Marcus Hugo Lejau (gambar) berkata, langkah itu boleh dijadikan penyelesaian jangka pendek bagi sekolah yang berdepan kekangan ruang apabila dasar baharu kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu dikuatkuasakan.

“Dengan syarat umur baharu bagi prasekolah dan Tahun Satu, jumlah kemasukan murid dijangka meningkat dengan ketara.

"Mungkin murid Tahun Satu dan prasekolah wajar ditempatkan pada sesi pagi.

“Namun pengaturan dua sesi ini tidak seharusnya berlarutan terlalu lama.

"Pihak berkuasa perlu menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah secepat mungkin,” katanya.

Marcus, bekas pengetua berpengalaman dari Baram yang pernah berkhidmat di sekolah luar bandar dan bandar serta menerima pelbagai pengiktirafan, memberitahu pandangannya kepada Utusan Borneo di sini, hari ini ketika diminta mengulas dasar pendidikan baharu itu.

Sementara itu, beberapa pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memberi amaran mengenai tekanan besar terhadap aspek logistik dan infrastruktur, khususnya risiko berlakunya ‘kohort berganda’ pada 2027.

Dengan membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun menyertai murid tujuh tahun di Tahun Satu, terdapat kebimbangan sekolah akan berdepan kesesakan bilik darjah serta kekurangan guru yang terlatih dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Memandangkan tempoh persediaan yang singkat, Marcus menegaskan bahawa kualiti dan aspek keselamatan dalam pembinaan bilik darjah serta kemudahan sokongan tidak boleh diabaikan atau dikompromi.

“Tenaga kerja mencukupi seperti guru dan pembantu pengajar perlu disediakan segera supaya sekolah tidak berdepan kekosongan jawatan dalam tempoh yang lama kerana keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pengajaran, malah keselamatan murid,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan kerajaan memansuhkan saringan diagnostik bagi kanak-kanak berusia enam tahun yang memasuki Tahun Satu, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Jika tidak, ada kanak-kanak yang berisiko tercicir sehingga dua tahun persekolahan berbanding rakan sebaya mereka, selain kesan psikologi dan kemungkinan dilabel oleh murid lain,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan di Parlimen bahawa kerajaan bercadang memperuntukkan tambahan RM800 juta bagi mengambil 18,000 guru baharu selaras dengan pelaksanaan dasar kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu.

Bagi memastikan peralihan berjalan lancar, Putrajaya juga akan memperluas kemudahan dan ruang di sekolah rendah dan menengah, kolej vokasional dan matrikulasi serta institusi latihan perguruan, satu langkah yang disambut baik oleh Marcus.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:22 AM | Show all posts
Lelaki terkejut ular di atas motosikal
Januari 27, 2026, Selasa - 8:30pm



Anggota APM Marudi berjaya menangkap ular di atas motosikal lelaki terbabit di Kampung Cina, Marudi, hari ini. - Gambar APM Marudi

MIRI: Hajat seorang lelaki untuk menunggang motosikal bagi melakukan rutin hariannya terbantut apabila terserempak dengan seekor ular di atas motosikalnya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Cina, Marudi, hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marudi Mirwan Shah Masri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.58 pagi.

Susulan itu, sepasukan tiga anggota telah digerakkan ke lokasi yang terletak sejauh empat kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi dan tiba kira-kira 15 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi terus berjumpa dengan pemanggil yang merupakan pemilik motosikal tersebut untuk bertanyakan keberadaan ular tersebut.

“Pemanggil memaklumkan bahawa ular tersebut berada di motosikalnya yang diletakkan di bawah rumah,” katanya.

Beliau berkata, operasi menangkap reptilia itu dijalankan dengan teknik menyepit menggunakan peralatan khas sehingga ia berjaya ditangkap.

Operasi tamat pada jam 12.50 tengah hari sebelum pasukan operaso bergerak balik ke PKOD Marudi pada jam 12.55 tengah hari.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:23 AM | Show all posts
Kilang memproses minyak sawit terbakar
Januari 27, 2026, Selasa - 9:11pm

BINTULU: Sebuah kilang memproses minyak sawit di Jalan Sungai Anak, Tatau terbakar petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerahkan ke lokasi setelah menerima panggilan berhubung kebakaran sekitar jam 4.53 petang.

"Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran sudah berjaya dipadam oleh pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang," jelasnya.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi mengelakkan berlaku kebakaran berulang.

Setelah keadaan didapati benar-benar selamat dan tiada kebakaran berulang, pasukan bomba menamatkan operasi sekitar jam 6.30 petang sebelum bertolak balik ke balai.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 28-1-2026 11:26 AM | Show all posts
Kerajaan Sarawak selaras fungsi perhubungan awam menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi PRO
Januari 28, 2026, Rabu - 9:22am



(Barisan hadapan dari kiri) Cheng, Hii dan Awang Putrayusrie bersama yang lain pada Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi PRO pada Selasa. -Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah strategik menyelaraskan fungsi perhubungan awam di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri menerusi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pegawai Perhubungan Awam (PRO).

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) melaporkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) yang juga Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datu Hii Chang Kee, berkata ia bagi memastikan dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara konsisten dan menyeluruh.

Menurut Hii mesyuarat ini bertujuan menyelaraskan peranan setiap pegawai perhubungan di setiap agensi Kerajaan Sarawak lebih-lebih lagi dalam menghebahkan polisi dan inisiatif baharu yang telah dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu katanya, kerjasama semua pihak untuk bergerak lebih proaktif dalam menghebahkan aktiviti mahupun polisi di bawah kementerian, jabatan mahupun agensi masing-masing perlu dipertingkatkan agar hebahan tersebut sampai ke seluruh lapisan masyarakat.

Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi PRO yang melibatkan 37 pihak berkepentingan termasuk kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hii mendedahkan cadangan Terma Rujukan (TOR) Jawatankuasa Koordinasi PRO di setiap kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak yang telah diluluskan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki pada 8 Oktober tahun lalu.

Katanya, TOR  bertujuan memantapkan fungsi perhubungan awam di semua kementerian, jabatan dan agensi sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pihak UKAS bagi tujuan hebahan.

Dalam perkembangan sama, Hii menegaskan semua yang terlibat perlu mempunyai strategi untuk meningkatkan hebahan sama ada menerusi kerjasama dengan pihak UKAS mahupun Televisyen Sarawak (TVS), hantaran di laman web, jerayawara dan sebagainya supaya rakyat di seluruh Sarawak dapat mengetahui hala tuju kerajaan.

Sementara itu, Pengarah UKAS merangkap Setiausaha Jawatankuasa Koordinasi PRO, Awang Putrayusrie Awang Redzuan, menjelaskan 139 inisiatif baharu telah dilancarkan Premier Sarawak yang memerlukan hebahan lebih giat daripada semua pihak.

Turut hadir, Setiausaha Akhbar kepada Premier Sarawak Dato Ambrose Cheng Loi Hee, Ketua-Ketua Jabatan serta wakil kementerian, jabatan dan agensi terlibat yang lain.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

9-2-2026 09:25 PM GMT+8 , Processed in 1.925137 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list