|
|
Doakan bekas isteri bahagia
Abdul Mutalib maafkan Yatt dan bakal suaminya
SEHARI sebelum menerima jemputan perkahwinan daripada Yatt Hamzah pada 17 Februari lalu, Hits sempat menelefon bekas suaminya, Abdul Mutalib Abdul Shukor untuk mengetahui tentang kesahihan cerita yang mendakwa Yatt bakal melangsungkan perkahwinan pada 27 Februari ini.
Hits terpaksa telefon Abdul Mutalib kerana Yatt tidak dapat dihubungi dan pelakon itu juga hanya membaca mesej yang dihantar menerusi WhatsApp tanpa membalas.
Ketika diaju soalan kepada Talib berkaitan berita yang dikeluarkan oleh sebuah blog yang mendakwa bekas isterinya itu bakal bernikah dengan seorang jurugambar sambilan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada 27 Februari, dia menafikan khabar tersebut.
“Bila saya baca berita itu, saya WhatsApp Yatt tanya, betulkah? Dia kata abaikan berita itu. Jadi saya anggap tidak benarlah berita itu. Kalau betul dia nak kahwin, takkan dia nak sorok daripada saya,” katanya, petang Selasa lalu.
Bagaimanapun segala teka-teki sama ada Yatt bakal berkahwin untuk kali kedua, terjawab apabila yang empunya diri menghantar jemputan kepada pihak media menerusi WhatsApp pada petang Rabu lalu.
Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, 36, bakal bergelar isteri kepada pemuda yang 10 tahun lebih muda daripadanya iaitu Mohammad Zulfadhli Khiruddin, 26, seorang jurufoto sambilan di Autkaz Film. Majlis resepsi mereka akan diadakan di Taman Desa Alam, Seksyen U12, Cahaya Alam, Shah Alam, pada hari yang sama.
Sekali lagi Hits menghubungi Talib (17 Februari) untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai ibu kepada Suci Hanania Malika, 6, itu. Talib dan Yatt telah mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2009, ketika masing-masing berumur 29 tahun dan bercerai talak satu pada 26 Ogos 2015.
Hits: Talib tahu tak berita tentang pernikahan Yatt ni?
TALIB: Ya, sudah tahu.
Semalam waktu tanya, kenapa Talib kata tak tahu tentang majlis pernikahan Yatt. Saja rahsiakan ke?
Seperti pihak media, saya pun baru tahu hari ini. Semalam, memang saya tak tahu. Hari ini, 17 Februari selepas berjumpa dengan Yatt, baru saya tahu cerita sebenar. Itupun dia telefon saya kata nak bincang tentang majlis sambutan hari lahir Nia yang jatuh pada 28 Februari ini. Saya pergi jumpa Yatt di butik dia di Melawati. Memang saya tidak jangka dia akan beri kad undangan perkahwinannya pada saya masa itu.
Memang betullah Talib baru tahu cerita ni? Bagaimana dengan keluarga Talib?
Ya, bila dapat kad undangan itu barulah saya tahu yang dia benar-benar akan berkahwin lain dengan lelaki pilihannya itu pada 27 Februari ini. Keluarga pun baru tahu hal itu selepas saya cerita.
Adakah Talib sedih dengan perkhabaran yang bekas isteri akan kahwin lain?
Jujurnya, saya gembira dengan berita pernikahan Yatt ini. Sekurang-kurangnya dia sudah ada pengganti dan ada orang boleh jaga dia.
Takkan tak ada sedikitpun rasa sedih. Dia pernah hidup bersama Talib sebelum ini?
Ya Allah, benar. Sedikit pun saya tidak rasa sedih dengan berita ini. Kalau Yatt temui pengganti, saya pula akan mendapat hak penjagaan penuh terhadap Nia. Itu janji kami dulu sewaktu bercerai. Sebelum ini, selagi Yatt tidak bernikah lain, Nia akan bersama saya setiap minggu pertama dan ketiga sahaja. Sebaik sahaja Yatt sah ada suami lain, saya akan menjadi penjaga sepenuhnya terhadap Nia.
Bolehkah dapat? Bukankah selalunya hak penjagaan pada ibu?
Sebenarnya sewaktu bercerai dulu, kami ada buat perjanjian kerana ketika itu saya tidak tuntut apa-apa, biarpun perniagaan Suci By Yatt Hamzah adalah perniagaan bersama. Antara syaratnya ialah hak penjagaan anak akan menjadi milik saya sebaik sahaja Yatt berkahwin lain. Saya harap syarat itu akan dipatuhi. Lagipun selama ini kami tidak ada masalah dalam penjagaan Nia.
Akan hadir ke majlis perkahwinan Yatt? Sebab pada hari yang sama juga dia adakan majlis sambutan hari lahir Nia?
Seperti yang saya beritahu sebelum ini, saya tidak akan hadir majlis perkahwinannya walaupun diundang. Tak tahulah pula kalau dalam dua tiga hari ini, saya berubah fikiran. Kalau dia nak buat majlis untuk Nia pada hari itu, kami kena bincang lagi kerana pada tarikh itu, anak sepatutnya bersama saya.
Talib sendiri sudah ada pengganti?
Buat masa sekarang, saya belum terfikir untuk cari orang baharu kerana nak cari pengganti dalam keadaan saya ini bukan mudah. Saya kena fikir masak-masak sebab wanita yang bakal menjadi isteri saya perlu terima anak saya juga. Kalau ada wanita yang sanggup terima saya dan anak, mungkin saya akan fikirkan.
Dengan berita terbaru kini, adakah ini membuktikan jurufoto itu sebagai orang ketiga yang menyebabkan kalian bercerai dulu?
Kisah antara kami sudah habis pun, biarlah berkubur terus. Bagi saya, siapa yang tahu, tahulah. Tak payahlah nak ungkit cerita lama. Maaflah saya tidak akan bercerita lanjut.
Maknanya Talib mengenali bakal suami Yatt itu?
Memang saya kenal, sebab dia sering menjadi jurufoto untuk Suci by Yatt Hamzah dan di waktu yang sama model untuk produk butik kami juga.
Luahan hati Abdul Mutalib
Berikut adalah kenyataan yang dihantar oleh Abdul Mutalib kepada pihak media pada 18 Februari lalu.
Assalamualaikum sahabat media
Merujuk kepada beberapa kenyataan bekas isteri saya, Puan Haryati Hamzah (Yatt Hamzah), berhubung berita pernikahan dia pada 27 Februari 2016, di sini saya terpanggil untuk membuat kenyataan.
Seperti yang dijangka, saya tidak terperanjat dengan pernikahan Yatt Hamzah dan menerima berita pernikahan Yatt dengan hati yang terbuka serta berdoa segala yang dirancang oleh Yatt berjalan dengan lancar dan jodoh baharunya ini berkekalan.
Saya juga berharap beliau menghormati, jujur dan taat pada suami baharunya setelah bernikah nanti dan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada anak kami, Suci Hanania Malikka.
Berkenaan bakal suaminya yang didakwa sebagai orang ketiga di dalam khabar angin penceraian kami sebelum ini, saya sama sekali tidak menafikannya. Walau bagaimanapun saya telah lama memaafkan mereka dan mendoakan yang baik-baik untuk mereka.
|
|