|
|
Edited by Vellfire at 27-1-2026 11:28 AM
JKR setuju naik taraf laluan sementara di Jalan Batu Kitang
Januari 26, 2026, Isnin - 4:58pm

Lo (dua kanan) diberikan taklimat tentang projek berkenaan oleh konsultan yang bertanggungjawab. - Gambar Roystein Emmor
BAU: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah bersetuju untuk menaik taraf laluan sementara di Jalan Batu Kitang susulan kesesakan lalu lintas serius yang berlaku akibat kerja-kerja pembaikan struktur jalan dan cerun di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang berkata keputusan itu dibuat selepas menerima pelbagai aduan daripada orang awam, termasuk pengguna jalan raya yang terpaksa berdepan kesesakan panjang terutama pada waktu puncak.
“Laluan sementara sedia ada yang digunakan ketika ini masih tidak rata, sempit dan belum diturap sepenuhnya, menjadi punca utama kesesakan trafik dari Kota Sentosa menuju ke persimpangan lampu isyarat di Kampung Haji Baki.
“Keadaan ini tidak boleh berlarutan. Walaupun laluan ini bersifat sementara dan jaraknya pendek, ia perlu disiapkan dengan segera, diratakan dan diturap supaya kenderaan boleh bergerak lancar tanpa gangguan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak ke lokasi tanah runtuh dan paip pecah di Jalan Batu Kitang, dekat Kampung Haji Baki di sini, hari ini. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Laluan alternatif yang sedang dibaiki bagi kelancaran pengguna jalan raya dari Kota Sentosa ke Bau dan Bau ke Kota Sentosa. - Gambar Roystein Emmor
JKR bersama PPES Works Sdn Bhd telah bersetuju untuk melebarkan laluan sementara tersebut, menambah baik lapisan batu, menjalankan kerja-kerja pemadatan serta meletakkan tar bagi memastikan permukaan jalan lebih rata.
Laluan sementara berkenaan dianggarkan sepanjang kira-kira 200 meter dan merupakan satu-satunya jalan alternatif susulan sebahagian laluan asal terjejas akibat runtuhan tambakan dan kerja-kerja pemasangan ‘sheet piling’.
Tambah beliau, kerja pembinaan utama melibatkan pemasangan sheet pile, sistem sokongan ‘dead man’ dan kerja tambakan memerlukan tempoh lebih lama berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
“JKR menyasarkan projek ini siap dalam tempoh tiga minggu, namun faktor cuaca mungkin perlu dilanjutkan tempoh tersebut.
“Sebab itu laluan sementara ini perlu dinaik taraf segera bagi mengurangkan penderitaan pengguna jalan raya,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, kerja-kerja penambahbaikan laluan sementara telah dipersetujui untuk dilaksanakan segera dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga hari, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Sementara itu, Lo turut merakamkan penghargaan kepada JKR dan PPES Works atas kerjasama dan tindakan pantas menangani isu berkenaan serta memohon kesabaran serta kerjasama daripada orang ramai.
“Ini bukan situasi yang kita kehendaki, namun dengan kerjasama semua pihak, saya yakin penyelesaian terbaik dapat dicapai demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,” ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pasar budaya semarakkan sambutan TBC
Januari 26, 2026, Isnin - 5:03pm

Pang (empat kanan) bersama tetamu kehormat yang lain memotong reben bagi menyempurnakan perasmian Pasar Budaya dan Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di Boulevard Shopping Mall Bintulu, semalam.
BINTULU: Pembukaan pasar budaya dilihat sebagai platform terbaik bagi menyemarakkan lagi sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) tidak lama lagi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu Johnny Pang.
"Penganjuran pasar budaya yang dikendalikan oleh Seksyen Belia Persatuan Chung Hua Bintulu, bukan sekadar tempat membeli barangan perayaan malah merupakan satu platform bermakna yang menggabungkan warisan budaya yang sekali gus mengukuhkan perpaduan komuniti setempat pelbagai bangsa dan latar belakang di Bintulu secara keseluruhannya," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pasar Budaya dan Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di Boulevard Shopping Mall Bintulu di sini, semalam.
Jelasnya, dari gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan hingga pelbagai aktiviti menarik seperti lagu-lagu Tahun Baharu Cina, suasana turut dimeriahkan dengan sesi permainan catur Cina, pertunjukan busana hanfu serta persembahan pentas.
"Saya amat memuji dedikasi serta daya kreativiti seksyen belia yang berusaha bersungguh-sungguh bagi menjayakan acara yang penuh makna dan menarik ini," jelasnya.
Usaha ini katanya, jelas membuktikan golongan belia bukan hanya sekadar peserta semata-mata, sebaliknya juga menjadi pemacu utama dalam memelihara budaya dan mengeratkan hubungan erat dalam kalangan komuniti.
Pang berkata, beliau menantikan lebih banyak lagi aktiviti yang inklusif pada masa akan datang terutama yang menggalakkan penyertaan merentasi budaya serta mengukuhkan perpaduan serta jalinan kerjasama erat antara masyarakat berbilang kaum di bahagian ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga emas alami kesukaran hidup dibantu pulang ke Semenanjung
Januari 26, 2026, Isnin - 5:05pm

Petugas dari Pusat Khidmat DUN Pelawan membantu warga emas terbabit yang terkandas di Sibu untuk pulang ke Semenanjung.
SIBU: Nasib seorang warga emas dari Semenanjung yang berdepan kesukaran hidup akibat masalah kesihatan dan status lebihan masa tinggal di Sarawak mendapat pembelaan apabila dibantu melengkapkan semua prosedur untuk pulang ke kampung halamannya.
Menurut kenyataan media Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan, warga emas terbabit sebelum ini datang ke Sarawak untuk bekerja, namun keadaan kesihatannya yang semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan dia tidak lagi mampu bekerja.
“Akibatnya, dia kehilangan sumber pendapatan serta tidak mampu menampung kos sara hidup dan sewaan tempat tinggal, sekali gus berada dalam keadaan yang amat sukar.
“Maklumat mengenai keadaannya diterima hasil keprihatinan seorang individu yang tampil memohon bantuan agar warga emas tersebut dapat pulang ke Semenanjung untuk bersama keluarganya,” kata kenyataan itu.
Tambahnya, sebaik menerima maklumat, pihak pusat khidmat segera mengambil tindakan dengan menggerakkan sukarelawan bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melawat serta memberi penerangan berkaitan pengurusan kepulangan.
“Antara bantuan yang diusahakan termasuk penajaan tiket penerbangan pulang yang dibiayai sepenuhnya oleh dua individu budiman, sekali gus membolehkan dia pulang tanpa perlu memikirkan soal kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, sukarelawan pusat khidmat turut mengiringi warga emas berkenaan ke Jabatan Imigresen bagi membantu melengkapkan semua prosedur pelepasan yang diperlukan.
“Pusat Khidmat N54 Pelawan akan terus memberi perhatian kepada kebajikan golongan rentan melalui kerjasama antara agensi serta sokongan masyarakat prihatin supaya lebih ramai dapat merasai keprihatinan dan kasih sayang komuniti,” kata kenyataan itu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sistem perparitan rosak di Rock Cliff Park perlu dibina semula
Januari 26, 2026, Isnin - 5:48pm

Lee (depan) ketika meninjau keadaan parit yang sudah retak dan rosak akibat hakisan, sambil disaksikan wakil-wakil agensi berkaitan, hari ini.
MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri diarah untuk membina semula keseluruhan sistem perparitan di Rock Cliff Park yang merupakan sebahagian Taman Awam Miri, selepas sebahagian daripada stuktur parit itu rosak akibat hakisan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, parit sedia ada berada dalam keadaan usang dan memerlukan tindakan segera.
“Kebimbangan utama di sini adalah saluran air paip Sarawak Water Sdn Bhd.
"Ini merupakan paip utama dan hakisan boleh menjejaskannya kerana kedudukannya yang sangat hampir dengan parit ini.
“Oleh sebab itu saya memberi perhatian khusus terhadap isu ini.
"Tindakan segera diperlukan dan keseluruhan sistem perparitan ini mesti dibina semula,” katanya kepada pemberita semasa lawatan tapak di taman itu di sini, hari ini.
Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, berkata pihak JKR telah menyediakan anggaran kos di bawah peruntukan penyelenggaraannya, sambil menambah projek itu akan dikategorikan sebagai projek segera dan dijangka bermula bulan depan.
“Parit di sini akan dilebarkan dan berkemungkinan direka bentuk sebagai parit konkrit yang lebih besar dan lebih lebar.
"Ia merupakan struktur konkrit bertetulang, tidak seperti parit sedia ada,” katanya.
Lee turut melawat satu lagi tapak saliran berhampiran Jalan Riam di sini susulan aduan orang ramai.
Beliau berkata, sebahagian daripada longkang konkrit di kawasan tersebut berada di ambang runtuh dan tindakan segera diperlukan bagi mengelakkan kerosakan struktur yang lebih teruk.
“Saya telah membawa bersama agensi-agensi berkaitan untuk menangani masalah ini.
"Saya juga akan meneliti kemajuan kerja-kerja pembersihan longkang berhampiran Jalan Riam dan di kawasan Lopeng, yang sebelum ini pernah mengalami banjir,” katanya.
Lee menambah, pemeriksaan tersebut membolehkannya menilai kemajuan kerja-kerja berkenaan, sambil memaklumkan bahawa beliau menerima maklum balas yang menunjukkan sebahagian kerja masih tidak memuaskan.
“Saya sendiri akan memantau semua operasi pembersihan longkang di kawasan berisiko banjir, khususnya di Desa Senadin dan Permyjaya.
“Kerja-kerja masih berjalan dan saya juga akan melakukan pemeriksaan secara rawak dari semasa ke semasa,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pemancing mendaratkan tapah gergasi 63 kilogram dari Sungai Tinjar
Januari 26, 2026, Isnin - 5:51pm

Sobrie (kiri) mengangkat tapah gergasi dengan bantuan seorang penduduk kampung sejurus menangkapnya semalam.
MIRI: Seorang pemancing tegar berjaya mendaratkan seekor tapah gergasi seberat 63 kilogram (kg), ketika memancing di Sungai Tinjar berhampiran Long Jegan pada lewat petang semalam.
Spesies ikan air tawar tersebut berjaya ditangkap menggunakan teknik mengilat oleh Sobrie Subai, 34, yang menyifatkan tangkapan itu sebagai yang terbesar sepanjang bertahun-tahun dia memancing.
“Saya sangat meminati aktiviti memancing dan akan pergi memancing setiap kali ada masa lapang.
"Saya pernah menangkap tapah sebelum ini, tetapi kebiasaannya berat antara 2kg dan yang paling berat pernah saya peroleh adalah 28kg,” katanya kepada pemberita The Borneo Post.
Disebabkan saiz dan berat ikan berkenaan, Sobrie berkata dia terpaksa mendapatkan bantuan penduduk kampung untuk mengangkat ikan tersebut.
Tangkapan itu kemudiannya dijual kepada orang ramai dan dia berjaya memperolehi lebih RM2,000. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Tapah gergasi seberat 63kg yang berjaya ditangkap Sobrie di Sungai Tinjar semalam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Operasi JPJ Bintulu periksa 157 kenderaan
Januari 26, 2026, Isnin - 6:08pm

Pasukan penguat kuasa JPJ menjalankan pemeriksaan dalam operasi yang dijalankan di Bintulu semalam.
BINTULU: Pihak penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak bertindak melakukan pemeriksaan ke atas 157 kenderaan dalam Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Gempur Kenderaan Perdagangan JPJ Bintulu di sini, semalam.
Operasi yang dijalankan Unit Operasi JPJ Bintulu yang turut disertai Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili dijalankan secara bersepadu yang melibatkan rondaan serta pemantauan di sekitar bandar.
JPJ Sarawak berkata, sepanjang operasi sebanyak 157 buah kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa.
"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan, antaranya pemandu tidak memiliki lesen memandu vokasional, melanggar syarat permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) termasuk membawa muatan secara berbahaya serta pelbagai kesalahan lain yang melibatkan aspek teknikal kenderaan.
"Tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya telah diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan yang didapati tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
"JPJ Sarawak akan terus komited dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan berfokus bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terjamin," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Utamakan kebersihan parit, kurangkan risiko banjir: Yii
Januari 26, 2026, Isnin - 7:02pm

Yii ketika ditemui media di pejabatnya di Dewan Bandaraya Miri, hari ini.
MIRI: Datuk Bandar Miri Adam Yii menegaskan bahawa kebersihan parit perlu diberi keutamaan bagi memastikan aliran dan pelepasan air berjalan lancar, sekali gus mengurangkan risiko banjir, khususnya banjir kilat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Miri (MBM) di Dewan Bandaraya Miri di sini, hari ini.
Menurutnya, banjir boleh berlaku atas pelbagai sebab, antaranya hujan lebat berterusan yang menyebabkan kuantiti air terlalu banyak dalam tempoh singkat.
“Selain faktor hujan, sistem perparitan turut memainkan peranan penting.
"Jika kapasiti parit tidak mencukupi atau parit berada dalam keadaan kotor, dipenuhi sampah dan tersumbat, ia akan menghalang aliran air dan menyebabkan banjir kilat,” katanya.
Yii turut menjelaskan, kedudukan Miri di kawasan pantai menjadikan paras air sangat dipengaruhi oleh fenomena pasang surut, terutama di kawasan rendah yang sememangnya merupakan kawasan pasang surut.
“Apabila paras air sungai lebih tinggi daripada paras air parit, air tidak dapat mengalir keluar dan boleh menyebabkan aliran balik, sekali gus menyumbang kepada kejadian banjir,” ujarnya.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut itu berkata, kebanyakan faktor tersebut berada di luar kawalan pihak majlis seperti hujan lebat, pasang surut dan isu kapasiti sistem perparitan yang memerlukan masa serta kos tinggi untuk ditambah baik.
“Namun perkara yang berada di bawah kawalan majlis adalah keadaan parit.
"Atas sebab itu saya berulang kali menegaskan bahawa banjir tidak sepatutnya berpunca daripada parit yang kotor,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan MBM telah mengarahkan supaya kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan parit dipertingkatkan dan ia kini sedang dilaksanakan.
“Saya berharap apabila hujan lebat berlaku selepas ini, kesannya akan dapat dikurangkan.
"Kita tidak boleh menghapuskan banjir sepenuhnya kerana ia berlaku di mana-mana, sama ada di Sarawak, Semenanjung mahupun di luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Yii turut membezakan antara dua jenis banjir, iaitu banjir kilat yang biasanya surut dalam tempoh singkat dan banjir serius yang melibatkan takungan air berhari-hari seperti yang berlaku di Senadin.
Beliau menjelaskan, kawasan Senadin mempunyai lapan kolam takungan yang berfungsi untuk mengurangkan kesan banjir, namun kolam tersebut juga memerlukan penyelenggaraan berkala bagi memastikan kapasiti takungan kekal berkesan.
“Jika kolam dipenuhi tumbuhan dan kelodak, kapasiti untuk menampung lebihan air akan berkurang.
"Laluan pelepasan air juga mesti sentiasa lancar,” katanya.
Mengulas mengenai tanggungjawab agensi berkaitan, Yii berkata parit kecil di kawasan perumahan dan komersial adalah di bawah MBM manakala jalan protokol di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan parit besar serta kolam takungan pula di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Perkara ini perlu dijelaskan supaya orang ramai faham bahawa tidak semua berada di bawah tanggungjawab majlis,” katanya.
Beliau turut menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap kontraktor yang gagal melaksanakan kerja penyelenggaraan dengan baik.
“Jika kontraktor didapati tidak berprestasi, perkhidmatan mereka akan ditamatkan.
"Saya sendiri akan turun padang untuk memeriksa,” tegasnya.
Dalam pada itu, Yii memuji usaha JPS yang disifatkan telah menunjukkan peningkatan dalam penyelenggaraan kolam takungan dan sistem pelepasan air, sambil menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam menangani masalah banjir di Miri.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Naik taraf pembetung dijangka tangani isu perparitan, banjir kilat di Sg Sadit
Januari 26, 2026, Isnin - 7:08pm

Lau (lima kanan) bersama pasukannya menyaksikan penyerahan projek naik taraf pembetung antara pihak kontraktor dan MDLBS semalam.
SIBU: Masalah perparitan yang berlarutan serta kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan Sungai Sadit dijangka dapat diatasi menerusi pelaksanaan projek naik taraf pembetung di Lorong 3, Nam Ping Chiong, yang dibiayai di bawah peruntukan khas Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Bawang Assan.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau berkata, beliau bersama pasukannya serta jurutera Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah meninjau ke lokasi bagi menyaksikan penyerahan rasmi projek tersebut kepada kontraktor yang dilantik baru-baru ini.
Penyerahan itu menandakan permulaan rasmi kerja-kerja pembinaan bagi projek infrastruktur berkenaan.
"Sebelum ini Kapitan Chew Hoo Kiong telah mengemukakan aduan penduduk berhubung keadaan pembetung sedia ada yang terlalu sempit dan tidak mampu menampung aliran air dengan berkesan.
"Keadaan tersebut menyebabkan aliran air keluar menjadi perlahan, sekali gus mewujudkan kesesakan aliran terutama ketika musim hujan atau pelepasan air yang tinggi, lalu mengakibatkan banjir kilat kerap berlaku di kawasan berkenaan," katanya di sini, hari ini.
Lau memberitahu, aliran arus air yang kuat dan berpanjangan turut mengakibatkan hakisan tanah yang serius pada kedua-dua belah pembetung, menyebabkan struktur jalan semakin mengecil. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Lau (kanan) bersama pihak terlibat memeriksa keadaan pembetung yang akan dinaik taraf.
Jelasnya, situasi itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran aliran air, malah turut menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya.
"Perbincangan bersama jurutera MDLBS telah dimulakan sejak Julai tahun lalu bagi mengenal pasti penyelesaian yang paling sesuai untuk menangani masalah tersebut secara menyeluruh," ujarnya.
Dengan pelantikan kontraktor kini dimuktamadkan, beliau menyifatkan pelaksanaan projek itu sebagai satu perkembangan yang amat dialu-alukan.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk setempat agar terus memberi kerjasama kepada semua pihak berkaitan bagi memastikan kerja-kerja naik taraf dapat dilaksanakan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual.
Beliau turut menegaskan, pasukannya akan memantau perkembangan projek dari semasa ke semasa dan menjalankan pemeriksaan akhir setelah projek siap bagi memastikan kualiti pembinaan memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Lau turut menyatakan keyakinan apabila projek itu siap sepenuhnya, sistem pelepasan air di kawasan tersebut akan bertambah baik, risiko banjir dapat dikurangkan secara berkesan serta tahap keselamatan dan persekitaran hidup penduduk setempat akan dipertingkatkan.

Lau (tiga kiri) bersama pasukannya dan pihak terlibat semasa memeriksa keadaan pembetung yang akan dinaik taraf.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bantuan kewangan untuk membanteras dadah
Januari 26, 2026, Isnin - 7:39pm
Kerajaan Sarawak sedia salur bantuan kewangan bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan dan pengesanan berkaitan dadah di negeri ini

Abdul Karim (duduk dua kiri) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat PEMADAM Negeri Sarawak. Turut kelihatan Naib Pengerusi PEMADAM Negeri Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (duduk tengah).
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia menyalurkan bantuan kewangan bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan dan pengesanan berkaitan dadah di negeri ini khususnya di pintu masuk utama.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerajaan negeri memahami kekangan yang dihadapi agensi penguatkuasaan terutama dari segi peralatan dan sumber manusia.
Justeru katanya, kerajaan negeri sedia membantu dari segi kewangan sekiranya terdapat keperluan daripada agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan tersebut.
Antara keperluan utama ketika ini ialah penambahan anjing pengesan dadah khususnya untuk kegunaan agensi tersebut di pintu-pintu masuk utama negeri.
“Penggunan anjing pengesan adalah kaedah paling berkesan kerana teknologi pengimbas sedia ada kebanyakannya hanya mengesan logam dan bahan letupan, bukan dadah.
“Tetapi untuk perolehan anjing pengesan ia menelan kos yang tinggi terutama dari segi latihan dan penjagaan.
“Bagaimanapun saya percaya kerajaan negeri sedia membantu dari segi kewangan jika diperlukan untuk kita meningkatkan lagi penguatkuasaan penyeludupan masuk dadah ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sarawak Bilangan Satu bagi tahun 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.
Pada mesyuarat itu, Abdul Karim yang juga Pengerusi PEMADAM Negeri Sarawak turut menyokong cadangan pihak Kastam supaya penghantaran bungkusan atau parcel diwajibkan menggunakan maklumat pengirim yang sah dan lengkap bagi memudahkan siasatan kes dadah.
Katanya kelemahan data pengirim sering menyebabkan siasatan terbantut apabila suspek yang menerima bungkusan mendakwa tidak mengenali penghantar.
“Kes boleh gugur di mahkamah jika rantaian bukti tidak lengkap. Ini perlu diperhalusi kerana ia menjejaskan pendakwaan.
“Sebab itu kita di peringkat PEMADAM Negeri Sarawak menyokong cadangan daripada pihak Kastam itu dan berharap ia akan diperhalusi di peringkat kementerian yang berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, meskipun tahap masalah dadah di Sarawak masih terkawal berbanding negeri lain, beliau tetap menegaskan usaha pencegahan dan penguatkuasaan perlu diperkukuh secara berterusan.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus bekerjasama dengan semua agensi bagi memastikan Sarawak kekal sebagai negeri yang selamat dan bebas daripada ancaman dadah.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jambatan Batang Lupar No.1 dijangka dibuka menjelang akhir Mei
Januari 26, 2026, Isnin - 7:54pm

Aidel (tiga kanan) bersama Cassidy (dua kanan) mengadakan lawatan terakhir sebelum Jambatan Batang Lupar No. 1 siap sepenuhnya dan dibuka Mei nanti.
SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar No.1 dijangka dibuka kepada orang awam menjelang akhir Mei nanti selepas pembinaannya mencapai tahap kemajuan 94.6 peratus mengikut jadual yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek infrastruktur bernilai RM848.75 juta itu kini berada di fasa akhir pelaksanaan dan dijadual siap sepenuhnya pada 15 Mei 2026.
"Projek ini berjalan lancar mengikut jadual walaupun terdapat masalah teknikal di Pier 52, namun masalah tersebut dapat diatasi, sebab itu kemajuan berjalan dengan baik.
“Ia akan siap pada Mei. Maknanya sebelum perayaan Gawai, ia akan dibuka kepada orang ramai," katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Terdahulu Aidel mengadakan lawatan terakhir dan gimik simbolik 'Final Stitching' di tapak projek di Kampung Beliong di sini, hari ini.
Aidel menambah, pembinaan Jambatan Batang Lupar No.1 merupakan antara projek infrastruktur utama negeri Sarawak yang dijangka memberi impak besar dalam meningkatkan jaringan perhubungan, merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memudahkan pergerakan rakyat, khususnya di kawasan Sebuyau dan sekitarnya.
Jelasnya, terdapat sembilan lagi jambatan yang akan disiapkan pada tahun ini sekali gus memudahkan pengurangan masa perjalanan dari satu bahagian ke bahagian lain yang sebelum ini mengambil masa yang lama.
"Jaringan jalan raya di kawasan tengah dan pedalaman negeri ini akan lengkap sepenuhnya dengan siapnya jambatan-jambatan tersebut, disokong oleh Lebuh Raya Pan Borneo, laluan jalan pesisir pantai serta Lebuh Raya Utama Kedua.
"Ini bermakna semua rangkaian jalan ini saling melengkapi antara satu sama lain di mana adanya kewujudan jalan-jalan baharu, termasuk jalan penghubung (spur roads) yang menghubungkan Jalan Pan Borneo dan jalan pesisir pantai, sudah tentu ia melengkapkan jaringan jalan raya di kawasan ini.
"Keadaan ini seterusnya memudahkan kehidupan penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai," jelas beliau.
Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Dr Cassidy Morris, Timbalan Pengarah JKR Sarawak Wisil Lichok serta Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PEMADAM Sarawak akan mohon peningkatan peruntukan kepada RM1 juta setahun: Karim
Januari 26, 2026, Isnin - 8:15pm

Abdul Karim bercakap kepada media selepas Mesyuarat PEMADAM Negeri Sarawak. Turut kelihatan Hasidah (kanan).
KUCHING: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sarawak akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi meningkatkan peruntukan badan itu kepada RM1 juta setahun.
Pengerusi PEMADAM Negeri Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peruntukan sedia ada sebanyak RM500,000 juta setahun ditambah dengan geran awal RM150,000, masih tidak mencukupi untuk menampung kos operasi, gaji kakitangan serta pelaksanaan program yang semakin meluas.
Menurut beliau, PEMADAM Sarawak kini melaksanakan purata lebih 90 program setahun merangkumi sekolah, komuniti kampung, institusi pengajian tinggi serta golongan belia dengan peruntukan yang terhad.
“Sebelum ini di bawah kepimpinan terdahulu, PEMADAM Sarawak hanya menerima RM150,000 setahun selama hampir 30 tahun sebelum ditambah RM500,000 di bawah kepimpinan saya bermula kira-kira empat hingga lima tahun lalu.
“Tambahan peruntukan ini banyak membantu, namun masih belum mencukupi selaras dengan peningkatan skop tugas dan bilangan program dan kita akan kemukakan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras PEMADAM Negeri Sarawak Bilangan Satu bagi tahun 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.
Turut hadir pada mesyuarat tersebut Naib Pengerusi PEMADAM Negeri Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta semua pengerusi bagi peringkat daerah.
Tahun lalu kata Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, PEMADAM Sarawak telah melaksanakan sebanyak 92 program berkaitan pencegahan dan kesedaran dadah di seluruh negeri ini.
Bagi tahun ini katanya, antara program yang dirancang termasuk ceramah kesedaran, kem motivasi, pertandingan filem pendek, program e-sukan, sukan komuniti serta program kekeluargaan.
Abdul Karim turut menegaskan peranan dan tanggungjawab PEMADAM adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dadah berbeza dengan peranan yang dimainkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang bertindak sebagai penguat kuasa bersama polis.
Sebab itu katanya, aktiviti PEMADAM tertumpu kepada program pencegahan dan kesedaran melibatkan sekolah-sekolah, kampung, universiti serta golongan belia.
Justeru katanya, jika permohonan tambahan peruntukan untuk PEMADAM Sarawak diluluskan kepada RM1 juta setahun, ia akan membolehkan badan itu memperluaskan lagi liputan program serta memperkukuh pencegahan dadah secara berterusan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lapan bazar Ramadan beroperasi di Miri tahun ini
Januari 26, 2026, Isnin - 8:49pm
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) memaklumkan lapan tapak bazar Ramadan telah diluluskan tahun ini kecuali tapak di Dataran Kipas yang tidak diteruskan berikutan sambutan kurang memberangsangkan.
Datuk Bandar Adam Yii berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis di Dewan Bandaraya, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran Bazar Ramadan MBM di tempat letak kereta New World Mart Lutong telah menerima sekitar 44 peniaga sejak permohonan dibuka pada 12 hingga 16 Januari dan kesemua permohonan yang diterima telah diluluskan.
“Untuk makluman orang ramai, Bazar Ramadan MBM bagi tahun 2026 akan beroperasi secara eksklusif di tempat letak kereta New World Mart Lutong.
"Tapak bazar di Dataran Kipas Miri tidak diteruskan berikutan sambutan yang tidak memberangsangkan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kuota permohonan bagi berniaga di tapak bazar New World Mart Lutong telah dipenuhi.
Sehubungan itu, peniaga yang tidak berjaya mendaftar digalakkan memohon di tapak-tapak bazar lain yang dianjurkan persatuan atau agensi berlesen dengan MBM.
Tujuh lagi tapak bazar Ramadan yang diluluskan adalah tempat letak kereta bersebelahan cawangan Bank Rakyat Permyjaya yang menawarkan 55 lot, tempat letak kereta Permy Mall (80 lot), tempat letak kereta Emart Riam (31 lot), tempat letak kereta Emart Tudan (80 lot), tempat letak kereta Stadium Bandaraya juga dikenali Stadium Tertutup (120 lot), tempat letak kereta bangunan RISDA, Jalan Airport Miri (35 lot) dan tempat letak kereta Kelab Gymkhana (43 lot).
Dalam pada itu, MBM turut memaklumkan semua peniaga tahun ini telah melengkapkan sijil pengendalian makanan dan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum mengemukakan borang permohonan di kaunter Bahagian Kesihatan Awam, selaras dengan keperluan MBM.
Tambahnya, MBM bersama semua ahli jawatankuasa tetap turut merancang pengagihan bubur lambuk dan juadah berbuka puasa yang merupakan hidangan istimewa Ramadan.
Yii berkata, aktiviti tahunan tersebut bertujuan memperkukuh keharmonian dan perpaduan antara MBM dan komuniti Miri.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hasil kempen derma darah Jiran Wanita KRT KPTB melebihi sasaran
Januari 26, 2026, Isnin - 9:10pm
MIRI: Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pujut Tanjung Batu (KPTB) telah berjaya menganjurkan kempen derma darah bertemakan 'Setitis Darah Sejuta Harapan' di Dewan Serba Guna Masjid An-Nur semalam.
Seramai 50 peserta hadir menjayakan aktiviti itu dan sebanyak 25 pain darah berjaya dikumpul untuk Tabung Darah Hospital Miri.
Jumlah tersebut melebihi sasaran 15 pain darah, kata jawatankuasa penganjur.
Program yang berlangsung jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu bertujuan menggalakkan penyertaan masyarakat setempat untuk tampil menderma darah, sekali gus membantu menambah bekalan darah di hospital dan klinik kerajaan.
Pengerusi Hamidah Abu berkata, penganjuran kempen berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu pihak hospital tempatan mendapatkan lebih ramai penderma darah, malah menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara ahli jawatankuasa Jiran Wanita KRT dengan penduduk kampung.
Menurutnya, menderma darah merupakan satu amalan mulia yang tidak ternilai sumbangannya dalam membantu golongan yang memerlukan, di samping mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan dan kebaikan menderma darah.
“Melalui program ini, kita berharap dapat memupuk rasa simpati dan empati dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan semangat tolong menolong khususnya melibatkan golongan muda,” katanya.
Hadir sama Pengerusi KRT KPTB Ishak Baijuri.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RPTM 2026-2035 diyakini mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET
Januari 27, 2026, Selasa - 6:00am

MOHD FADZIL
KUCHING: Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 diyakini mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 20 Januari lalu, RPTM menumpukan kepada transformasi sistem pendidikan tinggi yang berdaya tahan, adaptif dan mampan dengan integrasi teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, RPTM merupakan satu usaha serius dan progresif Kerajaan MADANI dalam merangka hala tuju pendidikan tinggi negara yang lebih inklusif dan berpandangan jauh.
“Penekanan terhadap pendigitalan, AI, kebolehpasaran graduan serta keterangkuman sosial mencerminkan kesedaran terhadap perubahan landskap global dan struktur ekonomi masa hadapan, terutama dalam kebolehpasaran graduan TVET.
“Mengenai TVET, RPTM wajar dipuji kerana meletakkannya sebagai pemacu utama pembangunan modal insan yang perlu diperkasa melalui penjenamaan semula, struktur gaji kompetitif, pengiktirafan profesional serta sinergi industri yang lebih kukuh,” kata Mohd Fadzil.
Menurutnya, cadangan mewujudkan kampus satelit dan TVET komuniti, khususnya di wilayah Borneo berpotensi meningkatkan akses dan menyokong keperluan ekonomi setempat seperti sektor tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor dan teknologi hidrogen.
“Dari sudut strategik, RPTM berfungsi sebagai kompas nasional yang penting dalam memandu tindakan semua pemegang taruh pendidikan tinggi," katanya sambil berharap Kerajaan Persekutuan terus memberi sokongan padu dalam membangunkan TVET dalam konteks Sarawak dan Sabah.
Mohd Fadzil berkata, walaupun RPTM 2026-2035 menampilkan perancangan yang menyeluruh, kekuatan naratif dasar tidak semestinya menjamin keberkesanan pelaksanaan.
“Justeru, pendekatan pelaksanaan yang lebih kontekstual dan ‘wilayah-spesifik’ amat diperlukan agar pelan ini dapat memberi kesan di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penekanan terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) dengan integrasi elemen seni serta kemanusiaan yang mencerminkan usaha menyeimbangkan pembangunan teknologi dengan nilai insan.
“Malah, pertimbangan ke arah pendekatan STEAM yang menggabungkan nilai etika dan spiritual wajar diberi perhatian bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara teknikal tetapi juga kukuh dari segi moral dan empati,” jelasnya.
Terdahulu, Anwar ketika peluncuran RPTM berkata, pelan itu adalah lonjakan besar menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 yang diharap mampu menyedarkan semua pihak untuk berikhtiar melakukan perubahan yang lebih baik khususnya dalam membentuk nilai, jati diri dan kemanusiaan pelajar.
Ujar beliau, ia mengingatkan bahawa pendidikan perlu melibatkan semua pihak termasuk pelajar, guru dan pensyarah untuk melonjakkan pembangunan peribadi, nilai, teknologi, dan keupayaan.
“Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan jumlah besar belanjawan untuk pendidikan dengan RM66.2 bilion untuk Kementerian Pendidikan dan RM18.60 bilion untuk Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan RPTM menandakan perubahan besar dalam hala tuju pendidikan tinggi negara.
Menurutnya, KPT akan menaik taraf 10 politeknik yang akan menawarkan program ijazah khususnya dalam bidang kejuruteraan, AI dan tenaga boleh diperbaharui.
“Langkah ini bertujuan menjadikan politeknik sebagai pilihan utama pendidikan teknikal, bukan sekadar laluan alternatif kepada universiti.
“RPTM turut memberi penekanan kepada TVET peringkat tinggi dengan pengiktirafan setara antara laluan kemahiran dan akademik,” kata Dr Zambry. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

AFIFAH MUHAIMINAH
Pelajar tahun akhir jurusan kaunseling Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Afifah Muhaiminah Madhi dari Kuching menyifatkan RPTM mampu memberi impak positif termasuk kepada pelajar di Sarawak.
“Salah satu teras utama RPTM ialah galakan terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
“Justeru, RPTM bukan sahaja membantu pelajar mengekalkan kemahiran sedia ada, malah memperkenalkan lebih banyak kemahiran baharu yang relevan untuk masa depan, bukan hanya untuk kegunaan semasa belajar tetapi juga ketika memasuki alam pekerjaan kelak,” katanya.
Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terutama pelajar generasi muda (Gen Y) terhadap RPTM, Afifah mencadangkan penggunaan media sosial popular seperti Facebook, Instagram, YouTube selain WhatsApp serta media cetak dan elektronik seperti akhbar dan televisyen.
“Pihak kerajaan boleh memperkenalkan RPTM bermula dari peringkat sekolah dengan guru-guru boleh memainkan peranan penting dengan memperkenalkan RPTM secara berperingkat kepada para pelajar.
“Hal ini amat penting terutamanya bagi pelajar di luar bandar yang mempunyai kekangan akses kepada media sosial atau Internet,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

Lawrence Sentu (kiri) dan Mallenson Jalak (dua kiri) bersama rakan-rakan mengadakan sesi perbincangan bagi menghadapi peperiksaan akhir Semester 1.
Sementara itu, dua pelajar UNIMAS, Lawrence Sentu Kennedy dan Mallenson Jalak Budin menyambut baik rancangan kerajaan untuk memperkasakan pendidikan tinggi menerusi RPTM.
Menurut Lawrence Sentu, anak jati Roban, RPTM mampu memberi impak segera kepada pelajar aliran TVET selaras dengan perkembangan pesat sektor pembinaan dan industri.
“Semakin banyak bangunan dan projek dibina, semakin banyak peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran yang menawarkan gaji lumayan dan ini memberi impak positif kepada pelajar, khususnya di Sarawak,” katanya.
Rakannya Mallenson Jalak, juga dari Roban, berkata TVET memperkasakan kemahiran teknikal yang bukan sahaja penting dalam pendidikan, malah lebih luas untuk diaplikasikan dalam kehidupan dan pasaran kerja.
“Kemahiran ini bukan sahaja untuk tujuan akademik, tetapi penting untuk melahirkan masyarakat yang lebih berdikari dan berdaya saing,” ujarnya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|

MUHAMMAD AZIZ
Muhammad Aziz Iqmal Muazzahidi, seorang lagi pelajar UNIMAS pula berpandangan RPTM mampu memberi kesan segera kepada pelajar masa kini, khususnya dalam konteks pembelajaran berasaskan teknologi.
Menurut beliau, pengintegrasian AI dalam sistem pendidikan memberi impak positif terhadap pengajian pelajar seperti beliau.
“Memandangkan kita berada dalam era yang serba moden dan dipacu oleh kecanggihan AI, penggunaan teknologi ini sememangnya memberikan impak yang positif, terutamanya dalam membantu proses pembelajaran pelajar,” katanya.
Beliau turut menyokong penuh usaha kerajaan untuk bekerjasama dengan negara luar dalam memperkasa sektor pendidikan dan teknologi bagi melahirkan tenaga mahir pada masa akan datang.
“Saya melihat usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan negara maju sebagai satu langkah yang sangat baik, sebagai contoh Jepun yang terkenal dalam bidang teknologi dan vokasional termasuk industri automotif seperti Honda dan Toyota.
“Kerjasama sebegini wajar diteruskan demi pembangunan pendidikan Malaysia,” tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|