Zuriat sulung Lisa Yusry
Oleh Sudirman Mohd Tahir
[email protected]
Kuala Lumpur: Pelakon popular Lisa Surihani, 29, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.4 kilogram di pusat perubatan swasta, di sini, pada jam 11.44 malam tadi. Lisa ketika dihubungi Harian Metro bagaimanapun belum bersedia untuk berkongsi berita gembira itu."Terima kasih atas doa anda semua, tapi saya minta maaf sebab tak boleh ditemuramah dan beri kenyataan," katanya kepada Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp pagi tadi. Cubaan Harian Metro mendapatkan kenyataan daripada suami Lisa, Yusry Abdul Halim juga gagal. "Saya minta maaf sangat. Buat masa sekarang kalau boleh beri kami sedikit masa. Nak selesaikan beberapa perkara. Nanti dah bersedia saya akan komen," katanya. Sementara itu, adik Yusry, Edry Abdul Halim dihubungi sebentar tadi mengesahkan perkara berkenaan. "Saya gembira kerana Yusry dan Lisa sudah lama menantikan detik ini. Apabila mereka dapat tahu bakal bergelar ibu bapa, saya dapat lihat mereka teruja. "Lahirnya anak perempuan mereka sedikit sebanyak memberi sinar kebahagiaan dalam perkahwinan dibina. Saya tumpang gembira dengan kedua ibu bapa saya yang sudah lama menunggu cucu daripada mereka," katanya. "Yusry maklumkan kepada kami sekeluarga air ketuban isterinya pecah pada malam Isnin lalu. Sejak itu Lisa sudah dimasukkan ke hospital," katanya. Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed, 29, dan Yusry Abdul Halim, 42, bernikah pada 23 Februari 2012.
|