Atikah merenung nasi lemak didalam pinggannya. Dia tidak sempat bersarapan dirumah pagi tadi menyebabkan dia mengambil keputusan untuk bersarapan di kafe tingkat bawah syarikat tempatnya bekerja sahaja. Makan nasi lemak seorang diri begini sememangnya menggamit memori silam. Kenangan ketika dia dan Umairah masih lagi sahabat karib. Dia masih ingat waktu itu dia tingkatan 3, dia terlupa untuk membawa beg duit dan tiada duit untuk membeli makanan. Nasib baik ada Umairah, namun gadis itu bukanlah jenis suka berbelanja. Duit saku yang diperolehi jarang digunakan dan tidak pernah dibawa ke sekolah. Namun begitu, memang sudah menjadi rutin harian puan Zaleha untuk menyediakan bekal untuk Umairah. Dengan bekal yang kecil itu, Umairah sanggup berkongsi nasi lemak yang hanya cukup untuk mengisi perutnya seorang sahaja.
Umairah tidak kisah untuk berkongsi malah dia memberi Atikah makan lebih banyak darinya. Masa itu Atikah dapat rasakan mereka memang sahabat sejati didunia insyaallah hingga ke akhirat. Tapi kini mengapa Umairah jauh berubah? Hanya kerana seorang lelaki menyebabkan persahabatan lebih 6 tahun itu terputus. Tidakkah Umairah tahu yang dia tidak kisah sekiranya Umairah berterus terang menyatakan rasa cintanya pada Ifran meskipun pada masa itu dia dan Ifran adalah pasangan kekasih. Dia tidak kisah kalau betul Ifran dan Umairah betul-betul saling mencintai dan ingin bersama. Mungkin sakit hati itu ada tapi sakit hati dikhianati lebih terasa. Umairah sanggup membuat cerita yang tak betul tentangnya semata-mata ingin merampas Ifran darinya. Apakah Umairah fikir dengan berbuat begitu Ifran akan mencintainya? Secetek itukah ilmu Umairah dalam mempelajari ilmu hati dan perasaan. Dan kenapa kini Umairah masih membencinya setelah dia berjaya memiliki Ifran.
Adakah kerana dia bekas kekasih Ifran? Adakah Umairah takut dia akan merampas kembali Ifran seperti mana gadis itu merampas Ifran darinya?Tidakkah persahabatan yang melebihi 6 tahun itu tidak mengajar Umairah mengenali hati budinya. Umairah patutnya tahu dia tidak akan buat benda macam tu sekiranya Umairah betul-betul megenalinya. Atau ada sebab lain yang menyebabkan Umairah menjadi begitu?
“Assalamualaikum. Sorang je ke?” Sapa satu suara yang cukup dia kenali. Ahh.... Inilah salah satu punca mengapa dia dan Umairah tidak dapat kembali seperti dulu. Kadang-kadang dia naik bosan dengan sikap Ifran yang suka menggangu hidupnya. Tidak habis-habis cuba menyambung kembali apa yang sudah putus. Padahal mereka sudah berpisah lebih 2 tahun. Apa lagi yang Ifran nak? Dia sudah tawar hati dengan jejaka ini. Kalau betullah Ifran serius inginkannya,lelaki itu patut melepaskan Umairah dengan cara yang baik. Tapi sampai ke sudah Ifran masih menyimpan Umairah. Itukah gaya orang yang serius dalam perhubungan? Kalau betul Ifran inginkannya, Ifran perlu melepaskan Umairah dulu. Barulah dia boleh berfikir mahu terima atau tidak Ifran. Memang di akui cintanya terhadap Ifran masih bersisa, tetapi dia tidak tergamak untuk merebut hati Ifran disaat Ifran masih sah bergelar suami kepada Umairah.
“ Tak adalah... Sepuluh orang”. Jawab Atikah geram. Malas mahu melayan Ifran yang tidak faham bahasa.
“Amboi garangnya. Pagi-pagi macam ni kenalah ceria.Barulah rezeki mudah masuk.” Usik Ifran. Dia melabuhkan punggung dia depan Atikah yang sedang menjamu selera meski pon tidak dijemput. Asalnya dia mahu terus ke pejabat, namun langkah yang diatur tidak menjadi apabila ternampak kelibat Atikah di kafeteria. Lagi pun masih ada 30 minit lagi untuk waktu bekerja bermula.
“ Saya akan ceria asalkan awak tak ada depan mata.” Bidas Atikah sinis. Dia berharap Ifran berkecil hati lalu meninggalkannya sendiri disitu.
“Ish tak sangka besar juga nilai saya dalam hidup awak.Orang kata, mulut cakap lain...Hati rasa lain. Jadi maksudnya awak akan sentiasa ceria bila saya adakan. Betul tak?” Usik Ifran dengan senyuman nakal. Wajah Atikah ditatap lama. Rindu yang menggebu menghilang dengan perlahan-lahan. Direnung lembut kedalam mata Atikah yang menjelingnya tajam. Sungguh cintanya masih menebal untuk Atikah. Tiada gadis lain dapat merebut takhta Atikah dihatinya.
“Tolong jangan nak perasan sangat boleh tak! Awak pergi sekarang. Tak kenyang perut saya bila tengok muka awak.” Arah Atikah dengan nada yang makin meninggi.. Hatinya sedikit tidak keruan apabila melihat panahan cinta dari sinar mata Ifran.jantungnya seolah-olah memecut laju dek renungan tajam lelaki itu.
“Wau, ada peningkatan nampaknya. Kalau makan tak kenyang tu tandanya awak dah jatuh cinta dekat saya. Ye lah kan orang selalu cakap bila kita jatuh cinta,mandi jadi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak ...” Belum habis lagi Ifran bermadah, Atikah sudah mencantas kata-katanya.
“ Dah, dah! Awak tak payah nak berpuitis kat sini. Saya tak ada masa nak dengar semua tu. Sila berambus sekarang! Saya nak makan.”
“Awak makanlah biar saya temankan. Saya janji akan senyap je lepas ni.” Pujuk Ifran. Atikah mula rasa tertekan dengan sikap Ifran yang tidak faham bahasa. Tidak tahukah Ifan yang dia tidak selesa dengan kehadiran lelaki itu.
“Awak boleh tolong saya tak.” Minta Atikah manja. Cuba menukar strategi lain.
“Tolong apa sayang. Tolong bawak sayang ke bulan pun saya sanggup.” Balas Ifran ceria. Gembira apabila intonasi suara Atikah sudah berubah.
“ Boleh berambus sekarang tak?” Sela Atikah selamba.Tersenyum sinis kearah Ifran yang setia merenungnya. Jejaka itu kelihatan tercengang dengan jawapannya yang tak dijangka.
“ Boleh sayang tapi dengan syarat sayang setuju jadi kekasih saya semula.” Ifran membalas nakal namun dia memang memaksudkannya.
“Eiii!! Awak ni tak habis-habis nak saya jadi kekasih awak. Awak sedar tak awak tu suami orang. Suami Umairah iaitu kawan baik saya merangkap adik tiri saya. Awak sedar tak?” Jerit Atikah namun perlahan. Takut orang berhampiran mendengar pergaduhannya dengan lelaki ini.
“Bukan kawan baik namanya kalau sanggup tikam kawan sendiri.” Ujar Ifran geram.
“ Tak kisahlah dia tikam ke pukul ke apa ke. Tapi yang pasti awak tu suami orang. Saya tak berminat nak jadi perampas dalam kebahagiaan orang. Awak faham tak!” Balas Atikah tegas.
“Alah. Saya dengan dia tu sementara jer. Tak lama lagi kami akan bercerai la.” Tutur Ifran mudah.
“ Tapi awak masih suami dia. Ahhh.. Malaslah saya nak melayan awak. Kalau awak tak nak pergi biar saya saja yang pergi. Duduklah kat kafe ni sepanjang hari kalau awak nak.” Atikah bergegas pergi meninggalkan Ifran dan nasi lemak yang masih berbaki separuh itu. Dia malas melayan Ifran yang tidak faham bahasa. Apa yang dia dapat kalau bercakap dengan jejaka kacak itu. Hanya sakit hati sahaja. Ifran tergamam dengan langkah drastik Atikah. Dia tidak berniat mahu mengejar langkah Atikah. Hanya matanya sahaja menghantar pemergian gadis itu.
Last edited by misssakura on 26-11-2013 08:08 AM
|