|
|
[Borneo]
Rumah Borak Borneo~Selamat berpuasa!
[Copy link]
|
|
|
Tiga projek utama pembangunan bakal perkukuh pembangunan, kesejahteraan penduduk Batu Kawa
Februari 22, 2026, Ahad - 11:31am

Dr Sim bergambar bersama tetamu dan pengunjung sempena Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Batu Kawah di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Batu Kawa malam Sabtu. - Gambar Jude Toyat
KUCHING: Tiga projek utama melibatkan pembangunan Kuari Ang Cheng Ho, pembinaan jambatan kedua Batu Kawa serta pelaksanaan projek tebatan banjir dijangka memperkukuh pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan penduduk di Batu Kawa.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Khui Hian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kawa (ADUN) Batu Kawa berkata, Fasa II projek Kuari Ang Cheng Ho akan dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM8 juta.
Beliau berkata pembangunan itu dirancang secara berfasa sebagaimana pelaksanaan projek Tebingan Sungai Batu Kawa yang sebelum ini dilaksanakan dalam lima fasa.
“Ramai tidak menyedari pembangunan Tebingan Sungai Batu Kawa dibuat secara berfasa...kita menyiapkan satu fasa setiap tahun dan kini hanya tinggal satu fasa terakhir iaitu pembinaan jambatan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan tebingan ke Kampung Rantau Panjang serta kampung-kampung berhampiran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Batu Kawah di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Batu Kawa malam Sabtu.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak turut menekankan bahawa perancangan ini bersifat inklusif supaya semua penduduk mendapat manfaat.
Menurut beliau, kawasan Kuari Ang Cheng Ho yang meliputi kira-kira 70 ekar itu merupakan tapak berskala besar dengan lebih 20 ekar kawasan air serta lebih 40 ekar tanah di seberang jalan berbanding Tebingan Sungai Batu Kawa yang hanya berkeluasan kira-kira 13 ekar.
Katanya, projek itu merupakan sebahagian daripada pelan induk utama yang dirangka sehingga 2030 dan pengumuman lanjut mengenainya akan dibuat oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata Fasa II akan melibatkan pemasangan lampu serta penyediaan kawasan rekreasi, manakala fasa seterusnya akan merangkumi pembangunan pusat beli-belah berkonsepkan seperti Vivacity Megamall serta pusat sehenti bersepadu.
Mengenai Jambatan Kedua Batu Kawa, beliau berkata pampasan kepada pemilik tanah terlibat telah mula disalurkan.
Katanya, kontrak pembinaan telah dianugerahkan dan majlis pecah tanah dijangka diadakan pada April ini.
“Ramai mungkin tidak sedar bahawa bagi jambatan kedua ini, ramai pemilik tanah sudah menerima pampasan. Tadi anda lihat salah satu cek (dipaparkan di skrin), jumlahnya hampir RM1 juta.
“Kontrak telah dianugerahkan dan sebaik sahaja kontrak dianugerahkan, proses pengambilan tanah serta pampasan bermula. Apa yang anda lihat tadi hanyalah satu contoh pampasan yang dibayar.
“Jadi, anda lihat, ramai penduduk di Batu Kawa menjadi sangat kaya hasil tanah mereka,” katanya.
Projek itu melibatkan pembinaan sebuah jambatan merentasi Sungai Sarawak serta jalan berkembar sepanjang 5.6km yang menghubungkan Jalan Batu Kawa/Matang (Moyan) ke persimpangan Jalan Tan Sri Wee Boon Ping/Jalan Stephen Yong.
Ia akan melengkapi Jambatan Batu Kawa sedia ada yang telah berkhidmat selama 30 tahun sebagai satu-satunya laluan penyeberangan di kawasan tersebut.
“Pada masa depan, trafik dari Matang dan kawasan lain akan memasuki Batu Kawa dan berpecah ke laluan-laluan berbeza, sekali gus mengurangkan kesesakan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan tebatan banjir, beliau berkata pelbagai projek tempatan seperti naik taraf sistem perparitan dan pembinaan kolam takungan telah dilaksanakan dan kebanyakan isu setempat dijangka diselesaikan menjelang tahun hadapan.
Bagaimanapun, katanya masalah utama berpunca daripada limpahan Sungai Sarawak yang menyebabkan air melimpah ke kampung-kampung di sepanjang sungai tersebut.
Sehubungan itu, projek Sungai Sarawak Bypass dengan kos RM2.4 bilion dibiayai kerajaan Persekutuan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir.
“Kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM200 juta untuk projek tempatan, namun projek bypass ini akan menyalurkan kira-kira 60 peratus air Sungai Sarawak terus ke Laut China Selatan,” katanya.
Beliau berkata projek sepanjang kira-kira enam kilometer itu bermula di Batu Kawa dan memanjang hingga ke Sungai Salak, selain melibatkan pembinaan benteng (barrage) bagi mengawal aliran air.
Katanya kerajaan Persekutuan kini memuktamadkan reka bentuk projek dan proses tender akan dipanggil dengan kerja pembinaan dijangka bermula tahun ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof serta Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia atas usaha membantu mendapatkan peruntukan projek berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
ADUN Jepak berbuka puasa bersama anak yatim di Peryatim Bintulu
Februari 22, 2026, Ahad - 11:35am

Iskandar menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang ditempatkan di Peryatim Bintulu sejurus selepas berbuka puasa bersama-sama mereka, di Bintulu malam tadi.
BINTULU: Sempena dengan bulan ramadan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkesempatan menyantuni anak yatim serta berbuka puasa bersama-sama mereka di Kompleks Kebajikan Daud Abdul Rahman di Peryatim Bintulu di sini petang semalam.
Menurutnya, melalui aktiviti berbuka puasa bersama-sama anak-anak yatim ini sememangnya membolehkan mereka merasai dihargai serta tidak dilupakan sempena bulan penuh berkah ini.
"Dengan kesempatan yang ada, saya menyantuni sekaligus berbuka puasa bersama-sama anak-anak di Peryatim ini yang mana ianya memberikan kegembiraan buat mereka sekaligus merasai kemeriahan berbuka puasa sesama sendiri sebagai keluarga yang besar," ujarnya.
Dalam bulan yang mulia ini katanya, semua pihak terutamanya umat Islam harus meneruskan amalan berkongsi rezeki agar anak-anak yatim ini tidak berasa tersisih.
" Sebaliknya, mereka turut merasai kasih sayang dan kebersamaan daripada masyarakat sekeliling yang seakan-akan saudara serta keluarga terdekat mereka," ujarnya.
Ramadan jelas Iskandar mengajar semua umat Islam akan erti empati, keprihatinan dan nilai kemanusiaan yang sebenar.
Beliau sebagai menzahirkan rasa terharu namun gembira kerana melihat senyuman dan kegembiraan mereka adalah satu nikmat yang amat besar.
"Ia mengingatkan kita bahawa sekecil mana pun sumbangan, jika disertai keikhlasan, mampu memberi makna yang cukup mendalam," jelasnya.
Beliau sebagai meningkatkan bahawa semoga setiap sumbangan yang dihulurkan menjadi amal jariah yang berpanjangan serta membawa keberkatan dalam kehidupan semua.
" Insya-Allah, semangat kebersamaan ini akan terus kita suburkan demi kesejahteraan dan kebahagiaan masyarakat," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Uggah arah pulihkan segera sebarang kerosakan infrastruktur akibat banjir, tanah runtuh
Februari 22, 2026, Ahad - 1:01pm

Uggah melawat mangsa banjir di PPS Masjid Darul Istiqlaal, Kampung Sungai Maong, Kuching. - Gambar UKAS


KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya memantau dan memulihkan segera sebarang kerosakan infrastruktur termasuk jalan terputus akibat banjir dan tanah runtuh susulan musim Monsun Timur Laut (MTL).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, tindakan pantas perlu diambil bagi memastikan laluan yang terjejas dapat digunakan semula dalam kadar segera demi keselamatan dan keselesaan rakyat.
"Walaupun keadaan cuaca dilihat agak baik ketika ini, pihak berkuasa tidak boleh mengambil mudah kerana hujan lebat boleh berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan paras air meningkat dengan pantas.
"Sebab itu kita memberi arahan kepada semua Pejabat JPBNS di peringkat bahagian, daerah termasuk semua jabatan kerajaan yang terlibat dalam jawatankuasa ini untuk bersiap siaga.
"Kita juga memberitahu kepada jabatan-jabatan seperti JKR, DID untuk mengambil tindakan segera membaiki jalan yang rosak dan terputus supaya dapat digunakan secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Darul Istiqlaal, Kampung Sungai Maong di sini hari ini.
PPS berkenaan menempatkan seramai 65 mangsa daripada 18 keluarga yang terjejas akibat banjir yang melanda kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu susulan hujan berterusan.
Uggah menjelaskan, Sarawak sememangnya berdepan risiko banjir saban tahun terutama antara Januari hingga Mac, malah tahun lalu menyaksikan kejadian banjir besar di Bintulu yang berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
Sehubungan itu, beliau berkata semua Pejabat JPBNS di peringkat bahagian dan daerah telah diarahkan supaya sentiasa bersiap siaga, termasuk memastikan keanggotaan, jentera dan logistik mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut digerakkan untuk memantau keadaan di kawasan berisiko dan mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang bertindak pantas memindahkan mangsa di Kampung Sungai Maong termasuk seorang pesakit terlantar yang diberi keutamaan demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan rendah dan sering dilanda banjir supaya sentiasa bersedia serta mematuhi arahan berpindah apabila dikeluarkan pihak berkuasa demi keselamatan diri dan keluarga.
Menurutnya, komuniti yang mempunyai Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) juga diminta terus berperanan aktif membantu memantau keadaan setempat, khususnya di kampung-kampung pedalaman yang sukar diakses jentera penyelamat.
Sementara itu, PPS Masjid Darul Istiqlaal telah ditutup sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari ini selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya dan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Ibrahim santuni mangsa banjir di PPS Masjid Darul Istiqlal
Februari 22, 2026, Ahad - 1:06pm

Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir PPS di Masjid Darul Istiqlal, Kampung Sungai Maong. - Gambar UKAS
KUCHING: Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki turun padang meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Darul Istiqlal di sini, malam Sabtu, bagi menyantuni mangsa banjir yang terjejas di kawasan berkenaan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), lawatan tersebut diadakan susulan banjir yang melanda Kampung Sungai Maong pada Jumaat, melibatkan seramai 65 mangsa daripada 18 keluarga.
Dalam lawatan itu, beliau meluangkan masa beramah mesra bersama mangsa selain menyampaikan sumbangan kepada ketua-ketua keluarga sebagai tanda sokongan dan solidariti terhadap mereka yang sedang berdepan ujian bencana.
Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok turut meninjau keadaan fasiliti PPS serta mendapatkan maklumat terkini daripada pihak pengurusan dan agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan serta keperluan asas mangsa sentiasa mencukupi dan terurus.
Menurut beliau, keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa menjadi keutamaan dan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi terlibat bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara berkesan sepanjang tempoh pemindahan.
Pada masa sama, beliau menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh menjejaskan keselamatan diri dan keluarga.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dr Sim adakan kunjungan TBC ke kediaman Temenggung Kueh Aik Seng di Sri Aman
Februari 22, 2026, Ahad - 1:09pm

Dr Sim bersama yang lain menyempurnakan acara menggaul yee sang sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di kediaman Temenggung Kueh di Sri Aman. - Gambar UKAS
KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina di Sri Aman terus meriah apabila Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mengadakan kunjungan ke kediaman Ketua Masyarakat Komuniti Cina Bahagian Sri Aman, Temenggung Kueh Aik Seng pada Sabtu.
Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Dr Sim sebelum itu merasmikan Majlis Rumah Terbuka yang dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dan naga oleh Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman.
Beliau turut menurunkan tandatangan pada patung singa serta menyempurnakan upacara membakar mercun sebagai simbol doa kesejahteraan dan harapan baharu.
Menurut Temenggong Kueh Aik Seng, kunjungan tersebut memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat serta menjadi lambang perpaduan yang terus subur di Sri Aman.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tahun Kuda diharap bawa kemakmuran menjelang VMY2026
Februari 22, 2026, Ahad - 1:33pm

Ting (lapan kiri) bersama ahli-ahli Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) yang turut mengunjungi Rumah Terbuka Tahun Baru Cina terbabit diketuai oleh presidennya Chai Chon Chin (tujuh kiri).
MIRI: Kehadiran Tahun Kuda kali ini diharap membawa kemakmuran dan rezeki melimpah kepada rakyat, khususnya penduduk bandar raya ini, lebih-lebih lagi menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) yang dilancarkan Januari lalu, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting.
Bercakap kepada pemberita semasa ditemui pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh beliau dan SUPP Cawangan DUN Piasau di sini, petang semalam, Ting turut menzahirkan kegembiraan di atas sambutan orang ramai yang hadir.
“Saya gembira menyaksikan ramai yang datang ke sambutan rumah terbuka tahun ini dan pada masa yang sama saya berharap semua yang datang dan penduduk Miri khususnya dilimpahi dengan keberkatan, kemakmuran serta kesihatan yang baik sepanjang Tahun Kuda ini,” katanya.
Ting turut mengucapkan selamat berbuka puasa kepada umat Islam yang hadir pada majlis rumah terbuka itu, yang diadakan pada sebelah petang dan malam bagi membolehkan mereka yang berpuasa hadir dan memeriahkan majlis.
Lebih 5,000 pengunjung, dari pelbagai lapisan masyarakat, agama dan kaum, hadir seawal jam 5 petang hingga 9 malam tadi, ke rumah terbuka itu yang berlangsung di Dewan Suarah Miri, bagi mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada Ting dan keluarga serta ahli exco SUPP DUN Piasau.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian singa dari pelbagai pertubuhan dan kelab di sekitar bandar raya ini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
KPDN laksana 11 Bazar Ramadan Rahmah di Sarawak, tawar juadah RM5 ke bawah
Februari 22, 2026, Ahad - 1:51pm

Rohaizi dan Matthew memotong riben di pintu masuk Bazar Ramadan Permyjaya tanda simbolik perasmian BRR KPDN di Sarawak.
MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan sebanyak 11 lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di seluruh Sarawak tahun ini sebagai usaha berterusan membantu rakyat mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga berpatutan sepanjang Ramadan.
Sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) peringkat Zon Sarawak dimulakan di Bazar Ramadan Permyjaya, di sini, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH MADANI bagi menangani kos sara hidup rakyat.
Memasuki tahun keempat pelaksanaannya sejak diperkenalkan pada 27 Mac 2023, BRR tahun 2026 diperluaskan ke 116 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga, berbanding 80 lokasi pada 2023 dan 103 lokasi pada 2024.
Bagi Sarawak, 11 lokasi BRR yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) ialah Bazar Ramadan Permyjaya, Miri; Bazar Ramadan Stutong dan Bazar Ramadan Satok di Kuching; Bazar Ramadan Taman Komuniti, Serian; Fiesta Bazar Ramadan Sri Aman (hadapan Hospital Lama); Bazar Ramadan Tempat Letak Kereta Pasar Sentral Sarikei; Bazar Ramadan Tempat Letak Kereta Farley, Sibu; Bazar Ramadan Setia Raja, Mukah; Bazar Ramadan Taman Koridor Sejarah dan Kebudayaan, Bintulu; Bazar Ramadan Dataran Lawas; serta Bazar Ramadan Parking Lot 777 MARA, Limbang.
Di semua lokasi berkenaan, peniaga menawarkan Juadah RAHMAH pada harga RM5 dan ke bawah sebagai menu tambahan, khusus bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati juadah seimbang dan mampu beli.
Majlis pelancaran peringkat Sarawak disempurnakan Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan, Syarikat dan Jualan Langsung KPDN Datuk Rohaizi Bahari, petang semalam.
Menurut Rohaizi, di Sarawak sahaja sebanyak 11 lokasi BRR dilaksanakan tahun ini, dengan pelancaran negeri diadakan di Parlimen Miri.
“Di lokasi ini sahaja, terdapat kira-kira 80 peniaga dan sekitar 15 daripadanya menawarkan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.
“Walaupun terdapat kenaikan harga barang, masih ada ruang untuk peniaga menyediakan menu Rahmah pada harga berpatutan demi membantu rakyat,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peniaga yang bersama-sama kementerian menjayakan inisiatif tersebut dan menggesa orang ramai supaya terus menyokong peniaga tempatan.
Selain memastikan akses kepada makanan mampu beli, kerajaan turut memperkukuh pelaksanaan Ihsan Food Bank (i-FB) yang merupakan transformasi semula inisiatif MySaveFood.
Pelaksanaan i-FB berteraskan konsep 3S iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan dengan menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Dalam pada itu, KPDN melaksanakan pemantauan berkala menerusi OPS PANTAU 2026 bagi memastikan pematuhan tanda harga dan amalan perniagaan beretika sepanjang Ramadan.
Setakat ini, jelas Rohaizi, pihaknya belum menerima sebarang aduan berkaitan bazar Ramadan Rahmah di negeri ini.
Bagaimanapun, beliau menggalakkan pengguna supaya bijak membuat pilihan dengan meneliti harga dan aspek kebersihan sebelum membeli.
“Sekiranya terdapat peniaga yang tidak meletakkan tanda harga atau melanggar syarat ditetapkan, pengguna boleh membuat aduan melalui saluran rasmi KPDN.
“Saya harap orang ramai tidak terus menularkan perkara di media sosial, sebaliknya adukan dahulu kepada pihak kementerian bagi memudahkan tindakan diambil,” tegasnya.
Turut hadir Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Perpaduan kaum di Sarawak wajib dipelihara bersama: Iskandar
Februari 22, 2026, Ahad - 1:55pm

Iskandar menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada salah seorang penerima bantuan dalam majlis berkenaan.
BINTULU: Perpaduan yang wujud sejak sekian lama di negeri ini harus dikekalkan sampai bila-bila serta diwariskan kepada generasi akan datang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee.
Menurutnya, perpaduan serta kesejahteraan hidup yang dikecapi semua kaum di Sarawak adalah permata yang paling berharga yang wajib dipelihara bersama.
"Justeru itu, program menyantuni mereka yang memerlukan melalui sumbangan bakul makanan dan edaran bubur pedas amat penting bagi memastikan yang mereka merasai dihargai serta tidak disisihkan dari masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Semarak Kasih Ramadan Bintulu FM 2026 dan Program Memacu Kehidupan Hari Raya Aidilfitri PETRONAS di Bintulu, pada petang Sabtu.
Dalam masa sama katanya, ianya turut menjadi platform bagi mengukuhkan ukhuwah serta integrasi nasional dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di bahagian ini.
Beliau dalam ucapannya turut menzahirkan rasa penghargaan serta bangga melihat komitmen dan semangat ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Baru Bintulu khususnya golongan belia yang menjadi tulang belakang penganjuran program ini.
"Anak-anak muda inilah merupakan aset perpaduan kita yang mana apabila mereka turun padang membantu golongan asnaf dan keluarga yang memerlukan," ujarnya.
Iskandar berkata, dalam masa itulah sebenarnya komuniti di kampung sedang membina generasi yang penuh empati, bertanggungjawab dan prihatin terhadap masyarakat.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak menerusi Bintulu FM serta PETRONAS atas komitmen berterusan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan sumbangan bakul makanan kepada asnaf dan keluarga yang memerlukan.
"Semoga segala usaha murni ini akan diberkati serta menjadi inspirasi untuk kita semua agar terus berbakti demi kesejahteraan masyarakat," tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jasad remaja jatuh sungai di Kampung Kolong ditemui
Februari 22, 2026, Ahad - 3:11pm
KUCHING: Jasad remaja lelaki 16 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Kolong, Sungai Tengah, berdekatan Sekolah Kebangsaan Tan Sri Datuk Haji Mohamed, di sini pada petang Jumaat ditemukan hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata jasad mangsa dijumpai orang awam sekitar jam 11.20 pagi.
“Pada pukul 11.20 pagi, kami menerima makluman awal jasad mangsa telah dijumpai oleh orang awam.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergerak ke lokasi penemuan untuk membuat pengesahan. Mangsa ditemui pada jarak lebih kurang 2.7 kilometer dari Pos Kawalan Operasi Bomba (PKOB) ke hilir,” katanya dalam satu kenyataan.
Jasad mangsa yang dikenali sebagai Fahrell Zaquan Hasbullah kemudiannya dibawa ke pangkalan sebuah masjid Kampung Sungai Tengah menggunakan bot untuk pengesahan oleh ahli keluarganya sebelum diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
“Dengan penemuan jasad mangsa, operasi yang memasuki hari ketiga hari ini ditamatkan pada pukul 2 petang,” tambah kenyataan itu.
Pada Jumaat, JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.32 petang sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi.
Maklumat awal daripada rakan mangsa memaklumkan mangsa sedang bermain di tebing sungai sebelum terjatuh ke dalam air dan dihanyutkan arus deras, katanya lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kaum hawa harus diperkasakan dalam pelbagai aspek
Februari 22, 2026, Ahad - 4:11pm

Kennedy (kanan) diberikan sambutan nyanyian tradisi Orang Ulu yang dikenali sebagai ‘parap’ sejurus tiba bagi merasmikan majlis berkenaan.
BELAGA: Kaum hawa sebagaimana lelaki harus dibantu sekali gus diperkasakan menerusi minat serta peranan mereka dalam membantu komuniti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon.
Jelasnya, golongan wanita pada masa kini mempunyai peranan serta kekuatan tersendiri dalam menyumbang jasa kepada masyarakat dan negara.
"Justeru, peranan wanita dalam membantu kemajuan negara tidak harus dipersoalkan, malah membantu mereka menggapai cita-cita mereka sendiri menerusi kemampuan serta minat mereka sendiri," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Budi Sulaman Kasih Wanita Asap 2026 anjuran Biro Hal Ehwal Wanita Asap Belaga yang diadakan di Lebu Kulit di Sungai Asap, Jumaat lalu.
Jelasnya, adalah diharapkan agar Biro Hal Ehwal Wanita Asap Belaga akan terus maju bagi membolehkannya menjadi platform kaum wanita di Sungai Asap menganjurkan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada mereka dari semasa ke semasa.
"Semoga biro hal ehwal wanita ini akan terus menjadi salah satu medium terpenting bagi mengeratkan hubungan, menyatukan wanita kita serta memperkasakan para wanita kita," jelasnya.
Kennedy dalam pada itu menzahirkan penghargaan serta terima kasih kepada semua ahli biro yang telah bertungkus-lumus menganjurkan program itu yang telah menghimpunkan wanita-wanita dari kawasan Sungai Asap bagi mengadakan penghargaan kepada ahli jawatankuasa (AJK) lama (sesi 2023-2025) dan penyerahan tugas kepada AJK baharu bagi sesi 2026.
Dalam perkembangan sama, turut diadakan juga ialah sambutan tahun baharu 2026.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dapur dua buah kediaman di RPR Kidurong musnah terbakar
Februari 22, 2026, Ahad - 4:35pm
BINTULU: Dua dapur di dua kediaman di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Kidurong musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dengan bantuan daripada BBP Bintulu bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kebakaran sekitar jam 11.21 pagi.
"Sejurus sampai di lokasi pasukan bomba mendapati berlaku kebakaran yang membabitkan bahagian dapur dua buah rumah jenis tidak kekal," ujarnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran air dan dua nozel yang mana sumber air diperoleh dari pam jentera bomba sehingga api berjaya dipadamkan.
Kebakaran yang berlaku katanya, memusnahkan 80 peratus struktur dapur rumah pertama manakala rumah yang kedua pula musnah 40 peratus.
"Mujurlah kebakaran yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa," ujarnya.
Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
49 kenderaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Bau
Februari 22, 2026, Ahad - 4:43pm

Sekitar Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di sekitar pekan Bau malam tadi. - Gambar IPD Bau
BAU: Sejumlah 49 kenderaan merangkumi 35 kereta, 10 motosikal dan empat kenderaan pacuan empat roda diperiksa dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah dilancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah Bau di sekitar pekan Bau malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata dalam operasi itu pihaknya turut memeriksa 59 individu terdiri daripada 38 lelaki dan 21 wanita.
“Operasi diadakan dengan melakukan rondaan di sekitar pekan Bau, kawasan Taman Mutiara dan perkampungan sekitarnya termasuk di kawasan Siniawan.
“Selain itu sekatan jalan raya telah diadakan di Jalan Bau-Serikin,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah dalam operasi itu, hanya satu saman dikeluarkan dan tiada tangkapan dilakukan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian
Februari 22, 2026, Ahad - 5:23pm
BINTANGOR: Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian.
Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata, lelaki tersebut telah ditahan di Jalan KJD Bintangor.
“Hasil maklumat awam, pada 21 Februari (Sabtu), jam 1.40 petang, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong telah berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian.
“Hasil pemeriksaan terhadap lelaki tersebut, pihak polis telah menjumpai peralatan disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian.
“Antara barang kes yang dirampas daripada lelaki tersebut ialah satu unit Tab jenama Samsung, keratan kertas bercetak angka-angka disyaki nombor loteri awam tanpa lesen dan sejumlah wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Tansli, barang-barang tersebut telah dirampas untuk dijadikan barang kes manakala lelaki itu telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bintangor untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARTJ) 1953.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“PDRM khususnya IPD Meradong menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti perjudian dan menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama serta menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti jenayah bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” tegasnya lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bazar Ramadan platform pupuk perpaduan kaum
Februari 22, 2026, Ahad - 6:16pm
Bazar dianjur MPP, SABERKAS berjaya himpun masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni

Lo menunjukkan tanda bagus bersama yang lain semasa majlis perasmian dan ‘walkabout’ Bazar Ramadan Kota Padawan hari ini. - Gambar UKAS
KUCHING: Penganjuran bazar Ramadan saban tahun bukan sahaja memeriahkan suasana menjelang waktu berbuka, malah menjadi platform penting dalam memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang berkata, bazar yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bersama Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni.
Menurut beliau, kehadiran pengunjung daripada kaum Cina, Melayu, Iban, Bidayuh serta penganut pelbagai agama membuktikan bahawa Ramadan turut diraikan secara bersama oleh seluruh rakyat Sarawak.
“Di sini kita dapat lihat orang Cina, Bidayuh, Kristian dan masyarakat lain turut hadir. Banyak makanan yang ditawarkan pula bersifat sederhana dan mampu dinikmati semua, seperti sotong bakar, ikan bakar dan ayam bakar, makanan kegemaran rakyat Sarawak tanpa mengira kaum,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian dan ‘walkabout’ Bazar Ramadan Kota Padawan di Pasar Batu 10 hari ini.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Lo berkata, selain pada bulan Ramadan, keharmonian di Sarawak turut terserlah menerusi persembahan kebudayaan seperti tarian singa dan tarian naga pada Tahun Baharu Cina yang turut disertai ahli kumpulan daripada pelbagai kaum.
Katanya, penyertaan bersama masyarakat Iban, Cina dan Melayu dalam satu pasukan persembahan mencerminkan keunikan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya namun kekal bersatu.
“Beginilah Sarawak, tempat terbaik yang menunjukkan perpaduan sebenar,” ujarnya.
Pada program itu Lo turut menyerahkan apron dan topi kepada 30 vendor yang berniaga di bazar berkenaan di samping menyantuni pengunjung yang hadir untuk membeli pelbagai juadah yang disediakan.
Turut hadir Pengerusi MPP Tan Kai, pengerusi penganjur Bazar Ramadan Kota Padawan Madhi Tomi serta tetamu kehormat yang lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
TBC platform himpun pemimpin untuk perkukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat majmuk
Februari 22, 2026, Ahad - 6:22pm

Su (lima kanan) bersama jawatankuasanya merakam kenangan semasa Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Persatuan Teochew Sibu hari ini.
SIBU: Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) bukan sekadar acara kebudayaan tahunan, sebaliknya menjadi platform penting yang menghimpunkan barisan pemimpin pelbagai latar belakang untuk memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat majmuk.
Pada Majlis Rumah Terbuka anjuran Persatuan Teochew Sibu yang berlangsung di SJK Chung Hua hari ini, pemimpin daripada sektor politik, ekonomi dan kebudayaan, termasuk ahli majlis tempatan serta pegawai kerajaan pelbagai peringkat, menzahirkan komitmen untuk terus memelihara perpaduan tanpa mengira kaum, agama atau budaya.
Pengerusi Persatuan Teochew Sibu Su Ngio Kee berkata, sambutan TBC merupakan detik bermakna yang melambangkan pembaharuan, penyatuan keluarga dan harapan baharu.
Namun, menurut beliau, nilai sebenar perayaan itu terserlah apabila ia dijadikan ruang memperkukuh jaringan kerjasama antara pemimpin dan komuniti.
"Apabila pemimpin daripada pelbagai sektor duduk semeja, berkongsi juadah tradisional dan menyaksikan persembahan kebudayaan bersama masyarakat, ia mencerminkan keyakinan bahawa kita semua berada dalam perahu yang sama," katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan dan kemakmuran Sibu tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja.
Sebaliknya, ia memerlukan iltizam bersama yang berteraskan nilai kekeluargaan, saling percaya dan semangat inklusif.
Menurutnya lagi, interaksi rentas kaum yang terjalin dalam suasana perayaan mampu mengikis salah faham serta memperkukuh persefahaman, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni dan stabil untuk pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan sosial.
"Melalui perpaduan dan kerjasama erat antara pemimpin serta rakyat, kita dapat menggabungkan kepakaran dan sumber yang ada. Dengan semangat kekitaan, kita mampu menyemarakkan kreativiti dan memperkukuh daya tahan komuniti," ujarnya.
Majlis berkenaan turut menjadi simbol komitmen berterusan kepimpinan setempat untuk memupuk integrasi nasional, sekali gus memastikan setiap lapisan masyarakat merasai manfaat pembangunan secara adil dan saksama.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Buruh disyaki ejen tambah nilai judi dalam talian ditahan di Saratok
Februari 22, 2026, Ahad - 6:51pm
SARATOK: Seorang buruh yang disyaki menjadi ejen tambah nilai judi dalam talian ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie (gambar) berkata, lelaki tersebut telah ditahan di sebuah pondok di Jalan Roban/Kabong, berhampiran sebuah rumah panjang pada jam 5.25 petang.
Hasil maklumat awam katanya, pihak polis telah melancarkan Op Dadu di kawasan tersebut dan berjaya menahan lelaki tempatan yang berusia 28 tahun.
“Hasil serbuan tersebut juga, pihak polis turut berjaya merampas seunit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM40.
“Berikutan itu, lelaki tersebut dan barangan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mathew, hasil siasatan awal, lelaki tersebut telah mengaku menjadi ejen jualan tambah nilai judi dalam talian di sekitar Simpang Sungai Pasir, Kabong.
Katanya, suspek merupakan seorang buruh dan mempunyai dua orang anak.
“Suspek juga mengaku menjadi ejen jualan nombor ekor awam haram sebagai pendapatan sampingan dan semasa serbuan dibuat suspek hanya berseorangan di pondok tersebut.
“Suspek turut memberitahu bahawa telah menjalankan kegiatan menjual tambah nilai judi online sejak seminggu yang lalu dan menyasarkan pelanggan yang lalu melalui jalan Sungai Pasir tersebut dan juga penduduk setempat sekitar jalan Sungai Pasir sebagai pelanggannya,” katanya.
Berikutan itu, kata Mathew lagi, kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 4(1) © Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Buruh disyaki ejen tambah nilai judi dalam talian ditahan di Saratok
Februari 22, 2026, Ahad - 6:51pm
SARATOK: Seorang buruh yang disyaki menjadi ejen tambah nilai judi dalam talian ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie (gambar) berkata, lelaki tersebut telah ditahan di sebuah pondok di Jalan Roban/Kabong, berhampiran sebuah rumah panjang pada jam 5.25 petang.
Hasil maklumat awam katanya, pihak polis telah melancarkan Op Dadu di kawasan tersebut dan berjaya menahan lelaki tempatan yang berusia 28 tahun.
“Hasil serbuan tersebut juga, pihak polis turut berjaya merampas seunit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM40.
“Berikutan itu, lelaki tersebut dan barangan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mathew, hasil siasatan awal, lelaki tersebut telah mengaku menjadi ejen jualan tambah nilai judi dalam talian di sekitar Simpang Sungai Pasir, Kabong.
Katanya, suspek merupakan seorang buruh dan mempunyai dua orang anak.
“Suspek juga mengaku menjadi ejen jualan nombor ekor awam haram sebagai pendapatan sampingan dan semasa serbuan dibuat suspek hanya berseorangan di pondok tersebut.
“Suspek turut memberitahu bahawa telah menjalankan kegiatan menjual tambah nilai judi online sejak seminggu yang lalu dan menyasarkan pelanggan yang lalu melalui jalan Sungai Pasir tersebut dan juga penduduk setempat sekitar jalan Sungai Pasir sebagai pelanggannya,” katanya.
Berikutan itu, kata Mathew lagi, kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 4(1) © Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua beradik warga emas tabah hadapi banjir semasa Ramadan
Februari 22, 2026, Ahad - 7:09pm
KUCHING: Dua beradik warga emas di Kampung Sungai Maong berdepan ujian apabila kediaman mereka dilanda banjir setinggi paras pinggang pada awal pagi Jumaat lalu, ketika bulan Ramadan.
Namun bagi Yot Seman, 70, dan kakaknya Rajemah Seman, 83, dugaan itu dihadapi dengan penuh ketabahan walaupun hati mereka tetap tersentuh mengenangkan nasib keluarga.
Menurut Yot, air mula naik sekitar jam 6.30 pagi Jumaat. Pada awalnya paras air hanya sekitar dua kaki, namun menjelang malam ia meningkat sehingga ke paras pinggang.
“Saya terus angkat barang-barang. Kami tidak ramai di rumah waktu itu. Anak perempuan saya sedang sarat mengandung lapan bulan, seorang lagi anak pula tidak terdaya kerana diserang strok sejak Jun 2025 dan masih dalam pemulihan,” katanya ketika ditemui.
Lebih menyentuh hati, Yot sendiri merupakan pesakit kencing manis dan menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu sejak 10 tahun lalu.
“Memang letih, tapi sudah biasa. Dalam keadaan macam ini pun, puasa tetap puasa. Cuma risaukan anak-anak,” ujarnya sebak.
Rumah mereka yang terletak berdekatan tebing sungai antara yang paling terjejas.
Bahagian dapur dan lantai mengalami kerosakan, malah ada pintu yang hampir roboh akibat arus deras.
“Setiap tahun memang banjir, tapi kali ini air naik cepat. Kalau boleh, memang teringin pindah ke tempat lebih tinggi. Takut juga jika berlaku lagi banjir besar,” katanya.
Beliau yang telah kematian suami beberapa tahun lalu, kini bergantung sepenuhnya dengan anak-anak serta sedikit pencen arwah suami sebagai tukang masak sekolah.
“Kalau ada rezeki, kami mahu rumah yang lebih selamat. Tak perlu besar, asalkan tak lagi ditenggelami air setiap tahun,” kata Yot sambil menahan sebak.
Bagi Rajemah pula, walaupun usianya mencecah 83 tahun dan berdepan masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kolesterol, dia tetap tabah.
“Saya mahu pindah kalau ada rumah yang selamat. Tapi saya juga mahu duduk dekat dengan keluarga,” katanya perlahan meluahkan.
Bagi Yot dan Rajemah, Ramadan kali ini membawa ujian besar sebelum menjelang Syawal.
Namun di sebalik kesedihan, mereka masih menyimpan harapan.
Semasa kejadian Jumaat lalu, Ketua Kaum Kampung Sungai Maong Masni Morri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.30 malam selepas solat Terawih apabila air naik mendadak.
“Kami nampak rumah sudah dinaiki air sehingga ke paras pinggang. Ada yang sakit, ada mereka yang terlantar dan tidak berupaya bergerak.
“Dengan bantuan bomba, APM dan penduduk kampung, kami angkat mangsa terlantar termasuk katil sekali untuk dipindahkan ke masjid,” katanya.
Seramai 65 mangsa daripada 18 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di masjid kampung.
Bantuan makanan disalurkan oleh pihak masjid dan wakil rakyat pada keesokan harinya.
Walaupun air sudah beransur surut sebahagian keluarga masih belum berani pulang sepenuhnya kerana cuaca yang masih tidak menentu.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PDP yakin pertahan kerusi Marudi dengan lebih ‘mudah’ pada PRN13
Februari 22, 2026, Ahad - 7:59pm

Penguang (baris depan, tiga kiri) bersama Timbalan Pengerusi Kaunselor Edward Mendai (baris depan, dua kiri), Ketua Wanita Stella Lenda Tadong (baris depan, kanan sekali) dan Ketua Pemuda Kaunselor Martin Dinil (baris depan, kiri sekali) serta semua barisan jawatankuasa Induk PDP Marudi.
MIRI: Parti Demokratik Progresif (PDP) yakin mampu mempertahankan kerusi N.76 Marudi dengan lebih ‘mudah’ pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) yang akan datang berbanding sebelum ini.
Pengerusi PDP Cawangan itu yang juga ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil berkata meskipun mereka akan berdepan dengan pelbagai isu yang bakal dibangkitkan pada PRN yang akan datang, namun beliau yakin mengekalkan PDP dan GPS di kerusi itu kali ini, menjadi tugas yang lebih mudah berbanding dua pilihan raya sebelum ini.
“Bagi saya PRN ke-11 adalah yang paling mencabar, kerana ia pertama kali saya bertanding, dengan kekangan perhubungan dan komunikasi, di samping cabaran infrastruktur, berbanding sekarang,” katanya sambil menambah apa yang lebih mencabar bagi beliau ialah permainan politik kotor dalam kempen-kempen lawan, dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan.
Namun beliau tidak mengendahkan perkara itu dan meneruskan perjuangannya untuk memenangi hati pengundi di Marudi dan mendampingi rakyat hingga ke akar umbi.
Penguang yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, memberitahu demikian pada sidang media ketika ditanya mengenai cabaran yang bakal dihadapi PDP pada PRN akan datang.
Terdahulu, beliau menghadiri Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali (TGM) PDP Cawangan Marudi yang berlangsung di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau mengakui pada PRN13, laluan menjadi lebih mudah baginya kerana sudah memiliki pejabat sendiri, selain mulai mendapat kepercayaan rakyat, di samping membina infrastruktur dan membangunkan Marudi serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasannya.
“Justeru pada PRN (ke-13) yang akan datang ini, saya tidak perlu bimbang untuk berdepan dengan banyak isu yang pastinya akan dibangkitkan oleh parti-parti yang muncul, kerana kita sudah melakukan tugas-tugas kita (dengan baik).
“Saya tidak kisah siapa yang akan bertanding, kerana kita mengamalkan demokrasi, tetapi yang penting ialah saya bekerja dan berkhidmat kepada rakyat dan jika rakyat boleh melihat dengan mata mereka sendiri (khidmat dan pembangunan) maka kita tidak perlu memaksa mereka (siapa yang harus diundi),” katanya.
“Saya boleh berbangga dengan mengatakan sepanjang 10 tahun saya berkhidmat (sebagai wakil rakyat), saya telah pergi ke hampir setiap rumah panjang dan kampung dan saya kenal semua ketua kaum dan tuai rumah panjang ini. Dalam kawasan DUN Marudi terdapat 260 buah rumah panjang dan kampung, saya kenal mereka semua (ketua kaum dan tuai rumah).
“Saya berbangga untuk menyatakan sehingga kini mereka yang tidak berpihak kepada saya sebelum ini, kini sudah kembali kepada kita (kerajaan GPS) dan memberikan sokongan mereka kepada saya dan pada saya ini adalah satu pencapaian,” katanya sambil menambah, ia memberi keyakinan tinggi kepada PDP untuk terus kekal mempertahankan Marudi, walau siapapun jua yang akan dicalonkan di kerusi itu daripada PDP kelak.
DUN Marudi kini memiliki lebih 26,000 pengundi berdaftar manakala PDP Cawangan Marudi itu sendiri mempunyai keahlian sekitar 10,000 orang iaitu antara yang terbesar bagi kawasan luar bandar sepertinya.
TGM yang diadakan semalam menyaksikan Penguang terus kekal menerajui PDP Marudi tanpa bertanding, bagi penggal 2023-2026.
Selain pemilihan untuk jawatankuasa Induk, turut diadakan ialah pemilihan bagi Sayap Wanita dan Pemuda untuk penggal yang sama.
Mesyuarat semalam juga telah mengusulkan empat resolusi yang akan dibawa ke perhimpunan agung tiga tahun sekali parti itu yang akan berlangsung di Bintulu kelak.
Empat resolusi itu ialah, pertama - menyokong penuh Datuk Dr Penguang sebagai pengerusi cawangan dan calon untuk PRN13 bagi DUN Marudi.
Kedua – menyokong penuh Datuk Seri Tiong King Sing sebagai presiden parti, tanpa bertanding.
Ketiga – menyokong penuh YAB Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai pengerusi GPS dan sebagai Premier Sarawak.
Keempat – mengesyorkan supaya ahli jawatankuasa (AJK) di peringkat pusat GPS dikekalkan tanpa bertanding dan PDP Cawangan Marudi menyerahkan kepada kebijaksanaan Tiong sebagai presiden parti untuk memilih barisan terbaik daripada PDP.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Rumah terbuka SUPP Bintulu ikut kesesuaian, keselesaan bagi menghormati masyarakat Islam berpuasa
Februari 22, 2026, Ahad - 8:15pm

Dr Sim dan isteri, Pang (tengah), Dr Rundi (kiri), Majang, Steven (kanan) dan kenamaan lain bersama rakyat pelbagai kaum di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP Bintulu di Dewan Suarah Bintulu.
BINTULU: Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang diadakan mengikut kesesuaian dan keselesaan bagi menghormati masyarakat Islam yang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Justeru, selain mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina semasa rumah terbuka itu, Pang turut mengucapkan selamat berpuasa kepada masyarakat Islam yang menyambut Ramadan.
Pang berkata, mewakili DUN Tanjong Batu beliau berterima kasih kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang yang hadir hari ini.
"Tidak lupa saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Islam meskipun menyambut Ramadan tetap datang hari ini untuk memberi sokongan penuh ke atas rumah terbuka ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada rumah terbuka tersebut yang dirasmi Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di Dewan Suarah Bintulu hari ini.
Jelasnya, penghormatan besarnya tidak hanya kepada ahli jawatankuasa terlibat dalam penganjuran rumah terbuka itu tetapi sukarelawan Islam turut memberi khidmat sokongan dengan memberi layanan serta menyediakan makanan kepada yang hadir.
Meskipun sukarelawan Islam tidak dapat makan sekali pun kerana berpuasa namun katanya, mereka tetap memberi komitmen dalam menyediakan makanan kepada yang bukan Islam supaya dapat menjamu makanan dengan lebih selesa.
Bagi masyarakat Islam yang hadir, makanan bungkus turut diberikan untuk dibawa pulang ke rumah yang akan dimakan kemudiannya semasa masuk waktu berbuka puasa sebagai tanda menghormati masyarakat Islam yang berpuasa.
Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen Bintulu Steven Kong Kai Seng serta kenamaan-kenamaan lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|