Seremban: Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara setahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah menipu mengenai perkongsian perniagaan murtabak, tahun lalu.
Tertuduh, Faizul Haza Hashim, 37, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 1 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, Faizil Haza didakwa menipu Mohd Shahaini Ahmad, 49, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai dapat berkongsi keuntungan hasil pemberian modal bagi urusan tempahan murtabak menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM540.
Perbuatan itu dilakukan pada 29 Julai 2013 di sini. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri manakala tertuduh diwakili A Partheeban.
Partheeban kemudian memberitahu mahkamah bahawa tertuduh dan pengadu membuat perniagaan kongsi tempahan murtabak, tetapi perniagaan itu tidak berjaya menyebabkan pengadu tidak berpuas hati lalu membuat laporan polis.
Selain itu, katanya, anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak dan meminta mahkamah mengenakan hukuman paling ringan kerana ia kesalahan pertama.