|
The Red Kebaya kurang elemen suspen
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
SEJAK beberapa bulan lalu, promosi terhadap filem pertama keluaran L?@genda Productions, The Red Kebaya, rancak diadakan. Daripada poster yang ditampal di sekitar ibu kota, laman web khas yang diwujudkan, artikel yang disiarkan di media pelbagai bahasa, serta sedutan yang disiarkan di stesen monorel membuatkan keinginan untuk menonton hasil tangan pengarah dari United Kingdom, Oliver Knott itu begitu dirasa.
Lalu, apabila tayangan untuk wakil media diadakan baru-baru ini, kesempatan itu sudah pasti tidak dilepaskan. Entah mengapa, hati bagai kurang puas setelah tamat tayangannya.
Paling kurang memuaskan apabila kisah percintaan tragik antara wanita joget, Azizah (lakonan Vanidah Imran) bersama seorang lelaki kulit putih yang menetap di Malaysia selepas kemerdekaan, John Reynolds (Bob Mercer) seperti tidak dikupas secukupnya sedangkan, masih banyak ruang yang boleh dikembangkan dalam perhubungan antara budaya berkenaan.
Tragedi yang menimpa pada hujung cerita, hanyalah kemuncaknya, sedangkan halangan lain tiada diberikan kesempatan untuk meningkatkan lagi elemen suspen dan dramanya.
Tumpuan yang diberikan kepada sesetengah aspek lain, bagai mencuri hak beberapa watak penting yang sepatutnya dikembangkan. Mengapa tidak dikupas lagi watak John dan Azizah dengan lebih mendalam? Begitu juga sepatutnya watak isteri yang garang dan mementingkan status sosial, Davinia (Samantha Schubert) diperbanyakkan, memandangkan karektor wanita ini cukup kuat.
Samantha sendiri memberikan lakonan memberangsangkan, yang sedikit sebanyak menyumbangkan kepada kekuatan The Red Kebaya. Di samping Samantha, Bob dan Vanidah juga tidak menghampakan.
Kesungguhan Bob yang belajar bahasa Melayu untuk menuturkannya dalam beberapa adegan, harus dipuji, walaupun bunyinya memang kelakar. Tidak mengapa, paling tidak dia berusaha dan menunjukkan kesungguhan. Vanidah pula sebaliknya bertutur dalam bahasa Inggeris yang bunyi kekampungan, sesuai dengan watak yang dipegangnya --- perempuan joget yang banyak belajar sendiri bahasa berkenaan.
Pendek kata, The Red Kebaya lebih menarik jika tumpuan diberikan kepada apa yang berlaku pada dekad 60-an (kisah dalam filem ini kononnya berlaku sekitar beberapa tahun selepas merdeka), daripada menekankan kepada konflik Latiff yang kesunyian. Watak Azizah, John dan Davinia serta wanita joget di Kelab Chempaka jauh lebih berwarna-warni untuk disaksikan, apatah lagi filem yang memaparkan era berkenaan sudah tidak banyak diterbitkan sekarang.
Bukan tidak dialu-alukan idea penerbitnya, Ramli dan Andre Berly yang mahu mencetuskan kelainan dengan membawa elemen kembali ke zaman silam. Ilham sebegitu tentunya menarik jika kena pada gaya dan tempatnya. Namun, konsep terbabit kali ini gagal menyerlah The Red Kebaya untuk tampil sebagai filem yang meninggalkan impak.
Sesekali, terfikir juga, apa genre filem ini sebenarnya? Ada masanya terasa bagai menonton filem rencana, pada masa yang sama, bagai filem seni pula. Lalu, lebih baik jika jadikan saja ia filem cinta walau sekejam mana pun penamatnya. Tidak usah hendak memperbanyak-banyakkan tema serta konflik jika keberkesanan kurang terasa.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada kesan khasnya, terutama pada babak pertukaran zaman moden ke era 60-an yang berlaku tatkala Latiff memasuki sebuah rumah usang. Pertukaran itu dibuat dengan cantik dan meyakinkan. The Red Kebaya juga meriah dengan pakaian cantik, terutama untuk watak perempuannya pada tahun 60-an.
Filem: The Red Kebaya
Genre: Drama
Bahasa: Inggeris, Melayu
Terbitan: L?@genda Productions, Kartu-BRB (M) Sdn Bhd
Pengarah: Oliver Knott
Pelakon: Ramli Hassan, Vanidah Imran, Bob Mercer, Samantha Schubert, Zahim Al Bakri, Patrick Teoh, Sabera Shaik, Jo Kukuthas, Paula Malai Ali, Elaine Daly, Stuart Payne, Shamsuder, Fauziah Nawi
Tayangan: 23 November 2006
Sinopsis:
LATIFF adalah seorang jurugambar terkenal yang hidup dalam kesunyian. Dia kehilangan ibu bapa sejak zaman kanak-kanak lagi. Dalam misi terbarunya, dia ingin merakam gambar rumah tinggal di seluruh negara.
Di sebuah kawasan rumah tinggal di Pulau Pinang, dia dihantui gambaran bayangan dan bunyi masa silam yang penuh trauma. Ketika berada di rumah berkenaan, dia tiba-tiba mengembara pulang ke zaman silam, lebih 50 tahun yang lalu. Dalam pengembaraannya, dia menyaksikan kejadian mengejutkan.
Latiff melihat bagaimana seorang lelaki kulit putih, John Reynolds, yang tidak bahagia bersama isterinya, Davinia. Si isteri yang mementingkan pangkat dan keturunan, sering berasa malu dengan kelakuan suaminya. John sukakan kehidupannya di alam tropika Malaysia, berlainan sekali dengan Davinia.
Ketegangan antara mereka kian terasa selepas John bertemu Azizah, seorang wanita joget yang hidup bersama anak lelakinya, Adik. Apabila Davinia pulang seketika ke England, hubungan John dan Azizah semakin erat, yang seterusnya menjadi cinta.
Sebagai tanda kenangan, John menghadiahkan Azizah sehelai kebaya merah. Untuk Adik pula, sebuah kamera. Dia mengajar kanak-kanak berusia lima tahun itu bagaimana untuk menggunakannya. Ketika itu Latiff mulai sedar, dia sebenarnya sedang memerhatikan kisah hidupnya pada masa silam.
Sementara itu, Davinia pulang ke Malaysia dan mendapati suaminya kini menyintai wanita lain. Dia berasa malu dengan tindakan John dan nekad melakukan sesuatu untuk menghalang cinta mereka. |
|