|
|
Keusahawanan kini satu keperluan dalam ekonomi: Fadillah
Januari 24, 2026, Sabtu - 6:02pm

Fadillah, Len dan Siti Hurrairah serta tetamu kehormat lain merakamkan kenangan bersama pemenang pada Majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWire Malaysia 2025, hari ini. - Gambar Chimon Upon
KUCHING: Keusahawanan kini bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan dalam ekonomi semasa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Menurutnya, ini kerana bidang tersebut bukan sahaja berperanan membantu mencipta pekerjaan, bahkan menjadi pemacu pertumbuhan sosioekonomi.
“Idea kreativiti dan inovasi mereka membentuk penyelesaian serta merangsang pertumbuhan ekonomi, memperkasa komuniti dan memacu kemajuan sosial,” ujarnya ketika berucap pada perasmian Majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWire Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh dan Pengerusi Negara Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman yang juga Naib Presiden Kanan Perniagaan Huluan di Malaysia.
Fadillah berkata, ekosistem keusahawanan kini juga merangkumi sektor teknologi kewangan (fintech), penjagaan kesihatan, teknologi pertanian (agritech), tenaga bersih dan ekonomi digital.
Justeru katanya, dengan kerjasama berterusan pihak berkaitan Malaysia semakin muncul sebagai hab inovasi serantau di Asia Tenggara.
“Usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita bukan pemain kecil, mereka adalah kuasa strategik yang membentuk masa depan ASEAN.
“Melalui pendigitalan, pemudahcaraan eksport dan pembiayaan inovatif, kita membuka laluan baharu bagi perniagaan Malaysia untuk berkembang merentasi sempadan dan bersaing di peringkat global,” ujarnya.
Beliau memberitahu, meskipun kerajaan terus meletakkan asas bagi membina ekosistem keusahawanan yang kukuh dan kondusif, kejayaan sebenar hanya dapat dicapai menerusi kerjasama erat yang melibatkan institusi awam, sektor swasta serta usahawan berani yang sanggup melangkah ke hadapan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Shell Malaysia atas komitmen berterusan dalam memupuk keusahawanan menerusi program Shell LiveWire, iaitu satu inisiatif yang telah memperkasa usahawan di lebih 20 negara serta membawa perubahan bermakna masyarakat di Malaysia.
“Sambutan hari ini bukan sahaja menandakan satu pencapaian penting bagi program tersebut, malah turut meraikan sumbangan rakan-rakan strategik yang menjayakannya.
“Saya juga amat berbesar hati melihat kerjasama antara Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan Shell Malaysia yang kini memasuki tahun kelapan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi TEGAS Datuk Len Talif Salleh berkata, pihaknya kekal komited memajukan ekosistem yang meraikan keusahawanan, menggalakkan inovasi dan menggandakan impak bermakna.
“TEGAS terus menghubungkan para inovator, korporat dan agensi kerajaan, membina jambatan yang mempercepat kerjasama, pelaburan serta pertumbuhan.
“Saya menggalakkan lebih banyak syarikat dan organisasi untuk bekerjasama dengan syarikat pemula. Penglibatan awal dalam kitaran inovasi juga membawa perspektif segar serta penyelesaian baharu yang memberi manfaat kepada industri dan komuniti,” jelasnya.
Program Shell LiveWire Malaysia 2025 hari ini memberi pengiktirafan kepada lima pemenang kebangsaan yang dipilih daripada 180 usahawan.
Pemenang terdiri daripada Earthlings Coffee Workshop Sdn Bhd, Lariss Quna Enterprise dan Lettuboost Enterprise dari Sarawak, Rebooz Technology Sdn Bhd dari Semenanjung Malaysia serta WAIG Consultancy Sdn Bhd dari Sabah.
Setiap pemenang kebangsaan menerima dana permulaan sebanyak RM30,000 serta akses kepada rangkaian global LiveWire yang membuka peluang kerjasama antarabangsa dan pertukaran pengetahuan.
Para pemenang juga layak bertanding dalam Anugerah Shell Global Top Ten Innovators.
Selain itu, TEGAS turut menganugerahkan tambahan RM20,000 secara tunai kepada Earthlings Coffee Workshop Sdn Bhd, Lariss Quna Enterprise dan Lettuboost Enterprise bagi menggalakkan penyertaan dari Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga emas maut, dua lagi cedera kereta rempuh pembahagi jalan
Januari 24, 2026, Sabtu - 6:49pm
KUCHING: Seorang wanita warga emas meninggal dunia, manakala dua lagi mangsa cedera dalam kemalangan jalan raya yang berlaku berhadapan sebuah pasar raya di Batu 6 di sini, petang Sabtu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.32 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa digerakkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
“Setibanya jentera bomba di tempat kejadian pada jam 3.36 petang, didapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan yang melanggar pembahagi jalan dengan terdapat tiga mangsa terlibat.
“Seorang mangsa wanita berusia 71 tahun yang berada di bahagian hadapan kenderaan didapati masih terperangkap dan tidak sedarkan diri, manakala dua lagi mangsa masing-masing berusia 71 tahun dan 35 tahun berjaya keluar sendiri dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba segera menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan pengusung.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.
Mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Manakala dua mangsa lain yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
Operasi yang melibatkan lima anggota bomba dengan sebuah jentera itu tamat sepenuhnya pada jam 5.23 petang selepas kerja-kerja pembersihan selesai dan keadaan disahkan selamat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Rosey minta ahli PERKIM sebar luas maklumat bantuan Kerajaan Sarawak
Januari 24, 2026, Sabtu - 6:58pm

Rosey (lima kanan), Robiah (enam kanan), tetamu kehormat dan ahli PERKIM Miri merakamkan kenangan.
MIRI: Ahli Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Miri diminta memainkan peranan lebih proaktif dalam menyebarluaskan maklumat berkaitan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak kepada golongan yang layak, khususnya rakyat yang memerlukan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus berkata, masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak mengetahui tentang bantuan-bantuan yang ditawarkan kerajaan walaupun ia merangkumi pelbagai peringkat usia, bermula daripada bayi sehingga warga emas.
“Sehubungan itu, saya berharap ahli PERKIM dapat membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat ini supaya bantuan yang disediakan benar-benar dimanfaatkan oleh golongan yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-34 PERKIM Cawangan Miri yang berlangsung di Kompleks Islam Sarawak di sini, petang Sabtu.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, PERKIM disaran mendapatkan senarai lengkap bantuan kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk syarat kelayakan, sebelum dimaklumkan kepada rakyat.
Menurutnya, antara bantuan yang disediakan kerajaan negeri ialah Kenyalang Gold Card, Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), bantuan kepada pesakit terlantar, bantuan untuk orang kurang upaya (OKU) yang bekerja dan tidak bekerja serta pelbagai bantuan lain yang masih kurang diketahui masyarakat.
“Ketika menganjurkan sebarang aktiviti, PERKIM boleh menyelitkan penyampaian maklumat berkaitan bantuan-bantuan ini agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rosey menegaskan peranan PERKIM bukan sahaja tertumpu kepada kebajikan, malah merangkumi penyediaan pendidikan asas Islam dari segi akidah dan akhlak, di samping aktiviti dakwah yang memerlukan komitmen tinggi serta kerjasama masyarakat.
Katanya, cabaran masa kini semakin besar dengan masyarakat yang sentiasa mengejar masa serta mempunyai pelbagai komitmen, sekali gus menjadi kekangan untuk menghimpunkan orang ramai terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Oleh itu, kerjasama dan kolaboratif dengan pelbagai pihak amat penting kerana ia akan meringankan beban dan menjadikan sesuatu aktiviti lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli PERKIM atas sumbangan tenaga dan usaha yang diberikan selama ini.
“Hanya individu yang benar-benar komited mampu bertahan dalam PERKIM atau mana-mana persatuan kerana setiap satu memerlukan pengorbanan,” katanya.
Rosey turut mengingatkan agar perancangan aktiviti dapat dibuat seawal awal tahun supaya pelaksanaannya dapat disusun dengan lebih teratur sepanjang tahun.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri dan diserikan dengan ucapan oleh Pengerusi PERKIM Miri Robiah Hasbi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Senator, Ahli Parlimen dari Sarawak berperanan penting perjuang hak di peringkat persekutuan
Januari 24, 2026, Sabtu - 6:59pm

Robert (tujuh kiri) sambil diiringi Kevin (enam kiri) menyerahkan cek MRP kepada salah seorang penerima di Sibu, hari ini.
SIBU: Senator dan Ahli Parlimen dari Sarawak memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak Sarawak di peringkat persekutuan, kata Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau.
Menurutnya, peranan itu dilihat semakin penting lebih-lebih lagi apabila PETRONAS membawa perkara tertentu ke mahkamah yang pada asasnya mencabar undang-undang Sarawak berkaitan tanah dan sumber asli.
"Semasa kami (Senator dan Ahli Parlimen Sarawak) mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) baru-baru ini, beliau menyebut tentang isu ini yang memerlukan suara di kami di peringkat persekutuan.
"Jika tidak, hak-hak kita akan terhakis seperti 50 dahulu. Oleh itu, Premier memerlukan suara kami untuk memperjuangkan hak kita seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 106 jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di kawasan N.53 Bawang Assan yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu, Kampung Datu di sini, hari ini.
Sebagai Senator di peringkat Persekutuan, Robert berkata tugas mereka ialah mempertahankan kepentingan Sarawak.
"Wakil rakyat di peringkat negeri berjuang di Sarawak, manakala isu ini merupakan isu persekutuan yang perlu diperjuangkan di Parlimen.
"Oleh itu, wakil Sarawak di Dewan Rakyat dan Dewan Negara amat penting pada masa kini dan pada masa akan datang.
"Jika wakil kita tidak bersuara dan mempertahankan hak Sarawak, kita akan kehilangan hak seperti yang berlaku sepanjang 50 tahun lalu," tegasnya.
Berkenaan dengan dana MRP yang diagihkan itu, Robert memberitahu ia adalah adalah simbolik kepada komitmen Kerajaan Sarawak terhadap rakyat.
Jelasnya, hasil negeri, termasuk cukai jualan negeri, kini mencecah berbilion ringgit setahun dan digunakan untuk pembangunan Sarawak, terutamanya dalam bidang pendidikan.
"Dengannya (dana) keutamaan diberikan kepada pembinaan sekolah dan pendidikan asas, serta peluang melanjutkan pelajaran ke universiti milik Sarawak, termasuk pendidikan percuma bagi pelbagai bidang pengajian," ujarnya yang juga Penasihat SUPP Cawangan Bawang Assan.
Beliau menambah dana itu adalah daripada Kerajaan Sarawak yang diberikan kepada senator dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui peruntukan khas daripada Premier Sarawak.
Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan Kaunselor Kevin Lau berkata, beliau bersyukur dengan pemberian Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM5 juta melalui peruntukan khas Premier Sarawak pada 2023 dan 2024 bagi tujuan pembangunan di kawasan Bawang Assan.
"Peruntukan ini diperoleh melalui sokongan kepimpinan parti dan kerajaan negeri, khususnya daripada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Premier Sarawak, serta Timbalan Premier dan barisan kepimpinan negeri. Peruntukan ini dikhususkan untuk kawasan Bawang Assan, termasuk komuniti Cina dan komuniti Iban," jelasnya.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negeri atas pemberian RTP tersebut kerana masih memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan kawasan Bawang Assan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Nanta cadang Lidam Assan dicalon semula pada PRN13
Januari 24, 2026, Sabtu - 7:03pm

LIDAM ASSAN
SONG: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Alexander Nanta Linggi mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) yang akan datang.
Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Kapit itu berkata, beliau tidak bermaksud untuk membelakangkan Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam mencadangkan Lidam sebagai calon.
“Semenjak menjadi wakil rakyat di sini, beliau telah melaksanakan pelbagai pembaharuan.
“Kita tidak lihat ada orang lain lagi jadi saya mewakili masyarakat mencadangkan Lidam untuk dicalonkan semula untuk PRN itu nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Projek Siap Sistem Solar Hibrid di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bangkit, Katibas, Song hari ini.
Lidam merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pembangunan Industri dan Keusahawanan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang dipengerusikan oleh Nanta.
Beliau memenangi kerusi Katibas pada PRN12 lalu dengan majoriti 2,997 undi, menewaskan lima calon lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
26 saman dikeluarkan dalam operasi bersepadu IPD Saratok
Januari 24, 2026, Sabtu - 7:06pm

Anggota polis IPD Saratok sedang menjalankan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah. (Gambar sisipan) KPD Saratok, DSP Mathew Manggie
SARATOK: Sebanyak 26 keping saman telah dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, operasi itu dijalankan di lokasi panas yang berada di bawah pentadbiran IPD Saratok.
“Dalam operasi ini, sebanyak 78 kenderaan telah diperiksa dengan melibatkan pemeriksaan 80 individu.
“Operasi dan sekatan jalan raya ini telah dilakukan di Jalan Pan-Borneo dan rondaan di sekitar pasar, kampung dan taman di kawasan Kabong, Saratok serta Roban.
“Objektif operasi adalah untuk menurunkan kes-kes jenayah indeks terutamanya di kawasan ‘hot spot’ di bawah pentadbiran IPD menerusi Ops Bersepadu Bersasar,” kata Mathew kepada media, semalam.
Menurut Mathew, operasi itu juga adalah untuk mempamerkan kehadiran polis di kawasan ‘hot spot’ jenayah terutama kecurian motosikal, kereta dan lain-lain.
“Pihak polis turut menahan dan membuat pemeriksaan terhadap individu dan kenderaan yang mencurigakan.
“Ia juga langkah untuk mengurangkan kesalahan lalu lintas terutama melibatkan penunggang motosikal di sekitar kawasan operasi dijalankan,” kata Mathew sambil menambah, seorang pegawai bersama 15 anggota terlibat dalam operasi tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga lelaki dipercayai salah guna dadah ditahan di Julau dan Pakan
Januari 24, 2026, Sabtu - 7:09pm
JULAU: Tiga lelaki warga tempatan ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sini.
Ketua Polis Daerah Julau DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, dua daripada yang telah ditangkap adalah penganggur, manakala seorang lagi adalah buruh kasar.
“Ketiga-tiga lelaki yang berusia 23, 25 dan 34 tahun tersebut telah ditahan di tiga lokasi berbeza di Julau dan Pakan.
“Dua lelaki berusia 25 dan 34 mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dengan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952, manakala seorang tiada rekod lampau.
“Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” kata Alif dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki tersebut telah membeli beli bekalan dadah dari seorang warganegara Indonesia di Bintangor.
“Berikutan itu, kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya lagi.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sistem solar hibrid di 43 sekolah rosak akibat banjir akan dibaik pulih: Nanta
Januari 24, 2026, Sabtu - 7:31pm

Nanta (empat kanan) ketika meninjau keadaan dewan SK Lubok Bedil yang menempatkan sistem solar hibrid yang terkesan dengan bencana banjir.
SONG: Sistem solar hibrid di 43 sekolah di seluruh Sarawak akan dibaik pulih melibatkan peruntukan lebih RM30 juta di bawah Pakej 2 susulan kerosakan akibat banjir sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata projek berkenaan merangkumi sekolah-sekolah di kawasan luar bandar termasuk di daerah Song, Kapit dan kawasan pedalaman lain, dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Bedil di kawasan DUN Katibas antara sekolah yang terlibat.
“Hari ini saya berkesempatan hadir ke sekolah-sekolah bagi merasmikan penyerahan surat setuju terima kepada syarikat-syarikat yang berjaya memperoleh kontrak untuk kerja-kerja baik pulih sistem solar hibrid di bawah Pakej 2 ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan di sini, hari ini.
Beliau berkata, kebanyakan sistem solar hibrid di sekolah terlibat mengalami kerosakan serius terutama pada komponen bateri dan inverter susulan banjir yang melanda sekitar awal 2025, manakala panel solar di atas bumbung didapati masih boleh digunakan semula selepas kerja pembersihan dilakukan.
Menurutnya, skop kerja projek melibatkan penggantian peralatan utama selain kerja-kerja fizikal lain pada bangunan sekolah, termasuk kemudahan yang turut digunakan sebagai dewan terbuka.

Sistem solar hibrid SK Lubok Bedil yang terkesan dengan bencana banjir.
“Projek ini amat penting bagi memastikan murid-murid di luar bandar mendapat peluang pendidikan yang sama seperti rakan mereka di bandar. Kita tidak mahu mana-mana komuniti ketinggalan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas kejayaan mendapatkan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek berkenaan, selain Jabatan Kerja Raya (JKR), khususnya Cawangan Elektrik, yang menyelaras dan melaksanakan projek tersebut.
Mengulas mengenai tempoh pelaksanaan, beliau berkata kontraktor diberikan tempoh dua bulan selepas penyerahan surat setuju terima untuk memulakan kerja, dan peralatan utama seperti inverter serta bateri dijangka tiba di tapak projek dalam tempoh berkenaan.
“Saya telah mencadangkan supaya kerja-kerja lain dimulakan segera tanpa menunggu ketibaan peralatan, bagi mempercepatkan penyiapan projek memandangkan keperluannya yang mendesak,” ujarnya.
Menjawab pertanyaan berhubung langkah mitigasi bagi mengelakkan kerosakan berulang akibat banjir, beliau berkata perkara itu diserahkan kepada JKR sebagai agensi teknikal bersama pihak kontraktor bagi menentukan keperluan penambahbaikan, termasuk kemungkinan meninggikan atau memindahkan komponen tertentu ke lokasi yang lebih selamat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pendedahan berkaitan sains akan bantu perkasa pendidikan STEM
Januari 24, 2026, Sabtu - 8:31pm

Para pelajar SMK Tatau bersama guru-guru, kakitangan dan mahasiswa UPMS.
BINTULU: Pendedahan berkaitan sains akan membantu memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kata Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau Layang Unam.
Beliau berkata, perkongsian ilmu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar bahkan memberikan input baharu kepada guru-guru sekolah itu berkaitan aplikasi teknologi hijau dalam pendidikan dan amalan harian.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Program Kolej Mini Akademik: Meneroka Kimia Hijau melalui Pembuatan Sabun Daripada Minyak Masak Terpakai di SMK Tatau, semalam.
Program tersebut merupakan anjuran Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual Kolej Sri Rajang, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dengan kerjasama SMK Tatau.
Sementara itu, pengarah program Bennicia Tan Man Swen berkata, program itu merupakan inisiatif awal untuk memberi pendedahan kepada pelajar UPMS tentang penglibatan komuniti serta memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin ilmu dalam masyarakat.
Katanya, program itu berperanan mempromosikan UPMS sebagai institusi pendidikan tinggi di Sarawak yang mempunyai kepakaran dalam teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar serta menggalakkan pelajar sekolah terus bersemangat menyambung pengajian ke peringkat universiti pada masa hadapan.

Pelajar SMK Tatau mengambil bahagian dalam program yang diadakan.
Seramai 20 pelajar UPMS sebagai ahli jawatankuasa dan fasilitator serta 60 pelajar Tingkatan 5 SMK Tatau menyertai program yang memberi pendedahan awal terhadap dunia akademik universiti serta aplikasi sains dalam konteks kehidupan sebenar berkaitan kelestarian alam sekitar tersebut.
Sesi perkongsian ilmu disampaikan oleh ChM Dr Azrul Nurfaiz Mohd Faizal berkenaan konsep kimia hijau dan kepentingannya dalam mengurangkan pencemaran serta aplikasi praktikal melalui penggunaan semula minyak masak terpakai.
Demonstrasi pembuatan sabun buku daripada minyak masak terpakai yang dikendalikan pelajar UPMS sebagai fasilitatornya antara usaha yang memberi pemahaman pembelajaran berasaskan pengalaman.
Selain itu, demonstrasi mengenai 'Reka Produk Kimia Hijau' oleh Dr Azrul turut diadakan bagi menerapkan kemahiran pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan komunikasi saintifik.
Peserta juga dikehendaki mereka bentuk idea produk yang mengintegrasikan elemen kimia hijau serta rasional kelestarian, sebelum membuat pembentangan ringkas secara berkumpulan di hadapan peserta lain bagi menilai kejelasan idea dan keyakinan penyampaian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki bersama 198 katrij vape berisi cecair disyaki ganja ditahan polis
Januari 25, 2026, Ahad - 10:42am

Cecair vape yang dirampas daripada suspek dalam serbuan pertama dilakukan sepasukan polis dari BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching. - Gambar IPD Kuching
KUCHING: Polis memberkas seorang lelaki tempatan bersama 198 katrij cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis ganja (376.20 mililiter) dalam satu serbuan di kawasan residen Jalan Durian Burung di sini pada malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata katrij cecair vape itu dianggarkan bernilai RM29,700.
"Pada 23 Januari 2026, jam lebih kurang 10.30 malam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah melakukan tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun di kawasan residen, Jalan Durian Burung, Kuching.
"Hasil pemeriksaan terhadap suspek, telah menjumpai 198 katrij cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis ganja. Nilai anggaran parasan dadah RM29,700," katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Beliau berkata ujian saringan awal kencing terhadap suspek, mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetanime dan ketamine.
Suspek juga katanya mempunyai satu rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ABD) 1952.
"Suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Januari 2026 bagi membantu siasatan.
Sementara itu dalam serbuan berasingan pada hari sama, jam lebih kurang 10.50 malam sepasukan polis dari BSJN Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menahan dua lelaki tempatan 21 dan 45 tahun bersama tiga wanita warga asing berusia 20 hingga 28 tahun di kawasan juga di kawasan residen sama.
Menurutnya hasil pemeriksaan terhadap kesemua suspek, polis menjumpai satu keratan tiub straw berisi serbuk putih disyaki dadah jenis Ketamine dengan anggaran berat 0.47 gram dan nilai pasaran dianggarkan RM80.
"Ujian saringan awal kencing terhadap dua suspek lelaki dan dua suspek waanita, didapati positif dadah manakala seorang suspek wanita didapati menagih dadah.
"Hasil semakan rekod jenayah lampau ke atas dua suspek lelaki didapati masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala suspek lain tiada," katanya.
Alexson menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan kesemua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun prosedur jenayah selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Januari 2026 bagi membantu siasatan.
"Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerja sama orang awam. Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.
"Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang," ujarnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
TM Cawangan Samalaju hulur bantuan kepada mangsa banjir
Januari 25, 2026, Ahad - 3:23pm

Ahli TM Cawangan Samalaju ketika menyerahkan bantuan banjir kepada mangsa di kawasan Setiam, Bintulu, hari ini.
SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak yang lebih dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Terabai Menua (TM) Cawangan Samalaju tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Setiam, Bintulu hari ini sebagai usaha meringankan beban keluarga terjejas akibat bencana alam tersebut.
Program kebajikan berkenaan telah diketuai oleh Pengerusi TM Cawangan Samalaju Alex Aphonsus, dengan penyertaan aktif ahli-ahli persatuan yang bersama-sama turun padang bagi menyampaikan sumbangan secara langsung kepada penduduk terlibat.
Bantuan yang disalurkan merangkumi keperluan asas harian seperti barangan makanan dan keperluan penting lain bagi membantu mangsa meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh pemulihan pascabanjir.
Menurut pihak persatuan, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan persatuan dalam menjaga kebajikan masyarakat setempat, khususnya golongan yang terkesan akibat musibah di luar jangka.
Usaha kebajikan itu bukan sahaja bertujuan membantu dari segi material, malah diharapkan dapat menyuntik semangat dan memberi sokongan moral kepada mangsa banjir agar terus tabah menghadapi ujian yang melanda.
TM Cawangan Samalaju turut menegaskan kesediaan mereka untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam melaksanakan program kebajikan demi kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SUPP perlu tambahan 10% sokongan bagi memenangi Lanang
Januari 25, 2026, Ahad - 3:25pm

Wong ketika menyampaikan ucapannya semasa Majlis Perasmian Pejabat Baharu SUPP Cawangan Dudong di Sibu, hari ini.
SIBU: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) hanya memerlukan tambahan sekitar 10 peratus sokongan pengundi bagi memastikan kemenangan di kerusi Parlimen Lanang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong berkata, analisis keputusan PRU 2018 dan PRU 2022 menunjukkan trend sokongan terhadap SUPP-GPS semakin meningkat, walaupun kerusi tersebut masih dimenangi oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP).
"Jika dibandingkan dengan PRU 2018, sokongan kepada SUPP-GPS pada PRU 2022 menunjukkan peningkatan yang jelas. Walaupun DAP menang, peratusan sokongan mereka sebenarnya menurun.
"Berdasarkan kajian statistik yang telah kami lakukan, kita hanya memerlukan tambahan kira-kira 10 peratus sokongan untuk menawan kerusi Parlimen Lanang pada PRU akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Baharu SUPP Cawangan Dudong di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden SUPP Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Bagi merealisasikan sasaran tersebut, Wong menegaskan kepentingan kerjasama erat antara tiga cawangan SUPP di bawah Parlimen Lanang, iaitu Dudong, Sibu Jaya dan Bukit Assek.
"Ketiga-tiga cawangan ini berada dalam kawasan Parlimen yang sama. Oleh itu, kita memerlukan kombinasi strategi yang berkesan serta kerjasama padu bagi menarik lebih banyak sokongan rakyat kepada SUPP-GPS," jelasnya.
Menurut beliau, usaha turun padang perlu dipergiatkan dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada penduduk bandar, malah masyarakat luar bandar termasuk penduduk rumah panjang.
"Kita mesti terus mendekati rakyat, mendengar masalah mereka dan meningkatkan perkhidmatan di semua peringkat.
“Pendekatan berterusan inilah yang akan mengukuhkan keyakinan pengundi terhadap SUPP-GPS," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu.
Mengulas mengenai perpindahan pejabat baharu cawangan tersebut, Wong berkata keputusan itu dibuat berikutan lokasi pejabat lama yang berada di kawasan rendah dan sering dilanda banjir.
"Pejabat baharu ini terletak di kawasan yang lebih tinggi dan lebih selesa. Saya berharap ia akan menjadi suntikan semangat baharu kepada ahli-ahli cawangan untuk terus berkhidmat dengan lebih berkesan demi rakyat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penderma dan penyokong yang telah menghulurkan sumbangan bagi memastikan kelangsungan operasi SUPP Cawangan Dudong.
"Kami amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan. Sumbangan ini membolehkan cawangan kami terus berdiri teguh dan komited untuk berkhidmat kepada masyarakat," tambahnya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Sebastian Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng, ADUN Pujut Adam Yi, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hing, Setiausaha Penganjur SUPP Datuk Matthew Chen, Ketua Pemuda SUPP Kaunselor Kevin Lau, Ketua Wanita SUPP Kho Teck Wan serta tetamu jemputan yang lain.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Murid golongan B40 terima beg sekolah lengkap dengan alat tulis
Januari 25, 2026, Ahad - 3:33pm

Sebahagian murid menunjukkan beg sekolah yang diterima sempena Program Back to School hari ini.
SIBU: Sebanyak 90 unit beg sekolah lengkap dengan alat tulis telah diagihkan kepada murid daripada golongan B40 di kawasan Teku dan Rantau Panjang sempena Program Back to School yang berlangsung di Pusat Latihan Pertanian Moden Sibu, Jalan Quarry, di sini, hari ini.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Bumiputera Sibu (PERKEB) Mohammad Fadzli Jawawi berkata, sumbangan berkenaan melibatkan dua pihak utama, iaitu Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang menyumbangkan 60 beg sekolah manakala Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyumbang sebanyak 30 beg sekolah.
“Secara keseluruhan, terdapat dua pihak yang menyumbang kepada program ini pada tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak 90 beg sekolah untuk anak-anak kita,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Program anjuran PERKEB itu turut dilaksanakan dengan kerjasama Sahabat Penggerak Madani dan AKM.
Menurut beliau, program tersebut pada asalnya dirancang untuk dilaksanakan sebelum sesi persekolahan bermula, namun proses mendapatkan dana mengambil sedikit masa sehingga menyebabkan ia hanya dapat diadakan selepas sekolah bermula.

Zulrusdi (dua kanan) menyerahkan beg sekolah kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Fadzli (kanan) dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PPR Seduan Rantau Panjang Michael Abok (kiri)
“Walaupun pelaksanaannya agak lewat, usaha ini akhirnya berjaya direalisasikan. Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban ibu bapa, khususnya mereka yang mempunyai anak-anak yang baru memulakan sesi persekolahan,” jelasnya.
Tambah beliau, PERKEB merancang untuk melaksanakan lebih banyak program kemasyarakatan pada masa akan datang, dengan beberapa lagi program dijadualkan berlangsung dalam tempoh terdekat dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Pengerusi Sahabat Penggerak Madani Sarawak Zulrusdi Mohd Hol dalam ucapannya berkata, Sahabat Penggerak Madani merupakan satu inisiatif Perdana Menteri yang bertujuan merapatkan hubungan sesama rakyat Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat di Sarawak.
“Saya telah diamanahkan untuk menggerakkan komuniti serta menyusun program-program kemasyarakatan dalam bentuk latihan dan penglibatan akar umbi supaya masyarakat dapat bersatu dan bergerak seiring.
“Antara objektif utama program ini ialah menyampaikan naratif kenegaraan serta memberi penjelasan mengenai inisiatif-inisiatif kerajaan yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh tiga tahun ini,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sisa kepada tenaga dan sisa kepada pendapatan
Januari 25, 2026, Ahad - 3:51pm
Kampung Tabuan Melayu jadi perintis pelaksanaan pusat kitar semula dapat jana ekonomi daripada sisa pepejal

Dr Hazland (enam kanan) bersama Zaidi (lima kanan), Amzah (empat kiri) serta yang lain merakam gambar bersama.
KUCHING: Kampung Tabuan Melayu bakal menjadi printis kepada pelaksanaan pusat kitar semula yang dapat menjana ekonomi daripada sisa pepejal selain membantu dalam mengawal kesan perubahan iklim.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, projek tersebut telah diluluskan di bawah Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) dengan dana berjumlah RM200,000.
Menurut beliau, projek berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengurusan sisa secara sistematik di peringkat kampung, malah mampu menjana pendapatan baharu kepada komuniti melalui pendekatan sisa kepada tenaga dan sisa kepada pendapatan.
“Tapak bagi pusat ini sudah dikenal pasti dan kita kini hanya menunggu pengesahan tapak sebelum projek ini dimulakan dan dijangka siap dalam tempoh setahun atau lebih,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Program Gotong-Royong Membersih Persekitaran Kampung Tabuan Melayu dan Tabuan Park 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata, pusat tersebut akan diurus secara tersusun melalui badan pengurusan kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau entiti korporat kampung yang dilantik.
Pusat itu juga katanya, akan menggunakan sistem mata ganjaran kepada penduduk di mana setiap kilogram sisa yang dikitar semula akan diberi mata ganjaran yang boleh ditebus dalam bentuk tunai atau barangan keperluan asas.
“Inilah contoh ekonomi hijau yang ingin kita bawa ke peringkat kampung,” ujarnya sambil menambah, Kampung Tabuan Melayu dipilih sebagai projek contoh pertama di kawasan bandar raya Kuching.
Dr Hazland turut berkata, inisiatif itu selari dengan dasar Kerajaan Sarawak dalam mengurangkan kesan perubahan iklim serta menggalakkan penggunaan tenaga diperbaharui termasuk tenaga bio yang dihasilkan daripada sisa domestik.
Mengulas mengenai program gotong-royong berkenaan, ia melibatkan tujuh kampung sekitar Tabuan yang mempunyai 2,000 buah rumah dengan jumlah penduduk melebihi 14,000 orang.
Kampung terlibat ialah Tabuan SPC, Tabuan Lamak, Tabuan Tengah, Tabuan Hilir, Tabuan Lot Dani, Tabuan Lot dan Muara Tabuan.
Pada majlis itu, Dr Hazland turut menyampaikan bantuan galakan pendidikan kepada pelajar dari kawasan Demak Laut yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.
Turut hadir Pegawai Daerah Kuching Zaidi Sarkawi, Penghulu Amzah Dollah serta yang lain.

Penerima bantuan galakan pendidikan daripada Dr Hazland (belakang lapan kiri) merakam gambar bersama jemputan lain.
Sumber : Utusan Borneo
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
FAMA Negeri Sarawak adakan Program Tinjauan Mesra Jualan Agro MADANI
Januari 25, 2026, Ahad - 4:10pm

Iskandar merasmikan penjualan ayam segar di hadapan para pengunjung Pasar Tani Jepak.
BINTULU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sarawak sekali lagi mengadakan Program Tinjauan Mesra Jualan Agro MADANI untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat di Pasar Tani Jepak di sini hari ini.
Program tersebut telah dirasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee serta turut dihadiri Pengarah FAMA Negeri Sarawak Norsalawaty Abdul Kadir dan Timbalannya Greyston Peli.
Iskandar berkata, program sedemikian bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat malah turut membuka peluang pasaran kepada para petani dan peniaga kecil tempatan.
"Pengunjung dapat menikmati Jualan Agro MADANI dengan harga yang sangat berpatutan, antaranya Kombo MADANI berharga RM15, ayam segar RM8 sekilogram dan telur ayam RM12 satu tray," ujarnya semasa mengadakan tinjauan mesra dan perasmian hari ini.
Beliau berkata, Pasar Tani Jepak sentiasa meriah pada setiap hujung minggu seawal jam 6 pagi hingga 1 petang dengan menawarkan jualan pelbagai hasil segar tempatan oleh para peniaga tempatan.
Katanya, jualannya terdiri daripada sayur midin, paku pakis, umbut dan tepus sehinggalah belacan serta lemantak yang menjadi identiti masyarakat Jepak.
"Saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada FAMA Negeri Sarawak khususnya Puan Norsalawaty serta seluruh pasukan FAMA Bahagian Bintulu atas penganjuran yang baik dan teratur ini," katanya.
Pada masa sama katanya, terima kasih juga kepada para peniaga dan pengunjung yang sentiasa memberi sokongan kepada Pasar Tani Jepak, Insya-Allah usaha sebegini akan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan komuniti setempat.

Iskandar (empat kanan) menyerahkan pembelian satu tray telur yang berharga RM12.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Beberapa isu tempatan dibangkitkan oleh FORCA Bintulu pada sesi dialog
Januari 25, 2026, Ahad - 4:12pm

Pang (duduk tengah) bersama ahli-ahli SUPP Bintulu merakam gambar bersama ahli-ahli FORCA Bintulu semasa sesi dialog yang diadakan.
BINTULU: Beberapa isu tempatan dibangkitkan oleh Gabungan Persatuan Cina Berdaftar (FORCA) Bintulu pada sesi dialog yang melibatkan ahli belia, wanita dan warga emas persatuan itu di sini petang ini.
Sesi dialog itu dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang yang mendengar pelbagai isu yang dibangkitkan oleh ahli-ahli persatuan tersebut.
Pang gembira dapat bertemu dan bertukar idea dengan ahli-ahli persatuan itu kerana komunikasi bersemuka membolehkan beliau mendengar dengan lebih mendalam suara masyarakat Cina seterusnya bertukar idea dan hala tuju mengenai pembangunan komuniti.
"Beberapa perkara yang dikongsikan ialah mengenai keperluan menaik taraf beberapa kemudahan persatuan gabungan itu, isu sumber pendapatan dan pekerjaan harian untuk sara hidup," ujarnya.
Perkara lain ialah had laju di Lebuh Raya Pan Borneo, pemasangan sistem lampu isyarat pintar, memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat awam dan kawasan perumahan, kaedah mengurangkan kesesakan lalu lintas susulan peningkatan jumlah kenderaan berdaftar serta penyelesaian masalah banjir dan sebagainya.
Katanya, melalui maklum balas langsung seperti itu kita dapat memahami situasi sebenar untuk lebih cepat dan tepat bertindak bagi memastikan langkah-langkah penambahbaikan dapat diselaraskan berdasarkan pendapat umum.
Pada masa sama katanya, Festival Kebudayaan dan Makanan Bintulu dijadualkan diadakan dari 24 April hingga 3 Mei tahun ini dengan persediaan sedang dijalankan untuk membawa pelbagai jenis makanan sedap dan aktiviti menarik kepada komuniti.
Beliau berterima kasih kepada persatuan gabungan itu yang dapat bertukar-tukar idea serta berharap persatuan itu akan terus menyumbang kepada komuniti
Bintulu.
"Saya turut berharap melalui komunikasi ini akan mengukuhkan hubungan dan kerjasama untuk pembangunan Bintulu dan kesejahteraan komuniti pada masa depan," katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RM50,000 untuk pendawaian semula di Dewan SK Mador
Januari 25, 2026, Ahad - 4:15pm

Ding menyaksikan majlis serah tapak projek siap Pendawaian Semula Dewan Sekolah Kebangsaan Mador, Batu 8, Jalan KJD Meradong.
BINTANGOR: Sebanyak RM50,000 peruntukan telah diagihkan untuk melaksanakan kerja-kerja pendawaian semula di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Mador, Batu 8, Jalan KJD Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek tersebut telahpun siap dilaksanakan oleh pihak kontraktor yang telah dilantik.
“Projek ini telah dilaksanakan melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
“Selain daripada menyediakan kemudahan elektrik dan keselamatan yang lebih baik melalui pendawaian baharu, projek sebegini adalah kesinambungan daripada pelbagai usaha menaik taraf infrastruktur di kawasan Dewan SK Mador secara berperingkat dari tahun ke tahun termasuk pemasangan lantai, kipas, lampu LED dan sebagainya.
“Melalui kesempatan ini, kita ingin melahirkan rasa syukur kerana dapat menyaksikan sendiri perubahan fizikal dan penambahbaikan infrastruktur yang memberi manfaat secara langsung kepada pihak sekolah dan komuniti setempat,” kata Ding.
Beliau berkata demikian kepada media pada majlis serah tapak projek siap Pendawaian Semula Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Mador, Batu 8, Jalan KJD Meradong, dekat sini, hari ini.
Menurut Ding, melalui peruntukan RTP yang diagihkan kepada wakil rakyat, dapat menaik taraf prasarana sekolah, gereja dan kemudahan-kemudahan lain.
“Kita berharap peruntukan RTP ini dapat dimanfaatkan untuk terus membawa pembangunan berterusan kepada rakyat di negeri ini.
“Dengan cara ini juga, kita yakin usaha Kerajaan Sarawak merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dengan bandar dapat berjalan dengan lancar dan mencapai sasarannya,” kata Ding lagi.
Hadir sama pada program itu ialah pegawai JKR Sarikei iaitu Penolong Jurutera Elektrik JKR Bahagian Sarikei Awang Mohd Firdaus Awang Kamalludin serta Guru Besar SK Mador Fathi Tar.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lebih satu tan bahan buangan dikumpul pada Kempen Waste to Wealth
Januari 25, 2026, Ahad - 4:30pm

Yii bertanya khabar dengan petugas yang bertungkus-lumus membantu orang ramai melancarkan penjualan barangan mereka sempena kempen tersebut. - Gambar Facebook MBM
MIRI: Kempen Waste to Wealth yang berlangsung di Miri Green Hub, Yakin, mencatat kejayaan apabila lebih satu tan bahan buangan berjaya dikumpul dalam tempoh beberapa jam, sekali gus mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan sisa secara lestari.
ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, program yang bermula pada Sabtu itu menyaksikan dua rakan strategik Majlis Bandaraya Miri (MBM) terlibat secara aktif dalam aktiviti pengumpulan bahan buangan.
Menurutnya, Eye 1 Recycle berjaya mengumpul lebih 200 kilogram sisa termasuk kertas, peralatan elektrik serta sisa elektronik manakala Sekitar Hijau pula merekodkan kutipan lebih 800 kilogram minyak masak terpakai.
“Secara keseluruhan, program ini berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya selepas meninjau program berkenaan bersama Kaunselor Sean Huang.
Tambah beliau, MBM akan mempertimbangkan untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama itu pada masa akan datang sebagai usaha berterusan mempromosikan amalan kitar semula serta menjana nilai ekonomi daripada sisa buangan.
Sebelum ini, Yii menyeru warga bandar raya ini untuk mengambil bahagian dalam kempen itu yang juga dikenali ‘Kempen Beli Balik — Sisa Menjadi Nilai’, anjuran MBM yang diadakan di dua lokasi tersebut bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.
Program tersebut bertujuan menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pengurusan sisa secara mampan, di samping memberi pulangan tunai kepada orang ramai.
Antara barangan yang diterima termasuk semua jenis kertas, botol plastik, logam dan besi buruk manakala pakaian terpakai diterima sebagai sumbangan sahaja.
Turut diterima ialah minyak masak terpakai, televisyen lama, komputer peribadi (PC) serta barangan elektronik lain.
Orang ramai digalakkan mengasingkan dan mengumpulkan barangan kitar semula bagi ditukar kepada wang tunai, sekali gus menyokong usaha menjayakan persekitaran yang lebih bersih, hijau dan lestari.

Yii (baju kemeja putih) berpuas hati dengan hasil yang dikutip sempena hari pertama kempen tersebut, semalam. - Gambar Facebook MBM
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kempen Derma Darah SUPP dan BSMM 2026 dapat sambutan
Januari 25, 2026, Ahad - 5:02pm

Pang mencuba latihan CPR semasa perasmian kempen derma darah.
BINTULU: Kempen Derma Darah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) 2026 mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang menyokong kempen tersebut di pusat beli-belah di sini hari ini.
Kempen tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Bintulu Johnny Pang.
Pang berkata, sambutan terhadap kempen derma darah itu amat menggalakkan melihat kepada penglibatan belia dalam aktiviti kerjasama khidmat masyarakat tersebut.
"Derma darah adalah tindakan kebaikan yang mudah tetapi berkesan kerana satu beg darah boleh menyelamatkan nyawa," ujar Pang.
Pada masa sama Pang berkata, kali pertama mencuba latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) diadakan ia merupakan pengalaman yang berharga dan peringatan kuat tentang betapa pentingnya kemahiran asas menyelamatkan nyawa semasa kecemasan.
Justeru beliau menyeru kerjasama kukuh untuk membina komuniti yang prihatin, sihat dan saling belas kasihan antara komuniti yang memerlukan.

Pang (tiga kanan) menerima sijil penghargaan dan cenderamata daripada BSMM.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerjasama strategik Sarawak, Sabah langkah positif
Januari 25, 2026, Ahad - 5:04pm
Ia mencerminkan hubungan kejiranan yang erat serta saling menguntungkan antara kedua-dua negeri Borneo itu

PETER MINOS
KUCHING: Kerjasama strategik antara Sarawak dan Sabah khususnya dalam perkongsian bekalan elektrik disifatkan sebagai satu langkah positif yang mencerminkan hubungan kejiranan yang erat serta saling menguntungkan antara kedua-dua negeri Borneo itu.
Pengerusi Majlis Daerah Serian (MDS) Dato Peter Minos berkata, keputusan Sarawak untuk berkongsi tenaga elektrik dengan Sabah wajar dipuji kerana ia bukan sahaja bersifat praktikal, malah memperkukuh hubungan strategic jangka panjang.
“Sabah adalah jiran yang sangat baik kepada Sarawak. Kita berkongsi banyak persamaan termasuk dari segi budaya, ekonomi dan sejarah,” katanya.
Tambah Minos, rakyat Sabah dan Sarawak juga mempunyai persamaan dari sudut sikap sosial, khususnya dalam menangani isu agama dan kaum secara adil, rasional serta bertoleransi, sekali gus memudahkan hubungan dan kerjasama antara masyarakat kedua-dua negeri.
Minos turut menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak berkongsi pengalaman yang hampir sama dalam hubungan dengan kerajaan persekutuan, terutama berkaitan isu hak dan kuasa seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menurutnya masih belum dipulangkan sepenuhnya.
“Banyak perkara telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kedua-dua negeri, antaranya isu pengurusan dan layanan PETRONAS terhadap Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kerjasama lebih erat antara Sabah dan Sarawak amat penting, bukan sahaja dalam sektor tenaga, malah merangkumi pelancongan, ekonomi, budaya dan pemeliharaan alam sekitar.
Tambahnya, Sabah dan Sarawak juga boleh memainkan peranan bersama dalam menyuarakan pandangan serta memperjuangkan kepentingan kedua-dua negeri secara lebih berkesan di peringkat nasional.
Dalam pada itu, Minos menyambut baik penubuhan AirBorneo, syarikat penerbangan milik Sarawak yang dijangka memperkukuh lagi jaringan perhubungan dan mobility antara Sarawak dan Sabah.
“Dengan hubungan rakyat yang sedia akrab serta sokongan infrastruktur seperti pengangkutan udara, kerjasama Sarawak–Sabah pasti akan menjadi lebih kukuh dan membawa manfaat bersama,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|