PUTRAJAYA: Sejumlah 77 kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam termasuk 26 membabitkan kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Menerusi data dikongsi COVIDNOW, pertambahan jumlah itu menjadikan sehingga kini 6,895 kes kematian dilaporkan sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.
Kes BID paling tinggi dikesan di Kedah dengan tujuh kes, diikuti empat kes masing-masing di Johor dan Kelantan, tiga di Negeri Sembilan, masing-masing dua di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur serta masing-masing satu kes di Perak dan Pulau Pinang.
Mengenai jumlah kematian dilaporkan semalam pula, data menunjukkan 77 kes direkodkan semalam termasuk kematian tertunggak, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan angka korban di negara ini meningkat kepada 33,305 kes.
Mengikut perincian, Johor merekodkan angka tertinggi dengan 13 kes kematian, diikuti 12 di Kedah, serta masing-masing enam kes di Kelantan dan Terengganu.
Selain itu, masing-masing lima kes dikesan di Negeri Sembilan dan Sabah, empat kes masing-masing di Melaka dan Perak, tiga kes masing-masing di Pahang dan Labuan serta masing-masing dua kes di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
COVIDNOW turut melaporkan 1,026,732 kanak-kanak di negara ini atau 28.9 peratus individu berusia lima hingga 11 tahun di negara ini, sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
Sejumlah 23,025 dos vaksin diberikan dalam Program Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).
Bagi pemberian imuniti itu kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam sebanyak 5,762,906 pelalian sudah diberikan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,931,709 dos atau 94.2 peratus golongan berkenaan sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos dengan 91 peratus bersamaan 2,831,197 bagi dos kedua.
Pemberian dos penggalak ke atas individu berusia 18 tahun ke atas pula kini mencecah 63.8 peratus atau 15,017,166 dos.
Data menunjukkan, secara keseluruhannya, sebanyak 60,941,494 dos vaksin sudah diberikan kepada individu dewasa di negara ini.
Jumlah itu membabitkan 23,204,433 (98.6 peratus) untuk sekurang-kurangnya satu dos, manakala 97.4 peratus atau bersamaan 22,927,624 untuk dos kedua.