|
|
Pendedahan awal literasi perundangan dalam kalangan pelajar penting: Fadillah
Januari 24, 2026, Sabtu - 1:42pm

Fadillah (duduk, tengah), Shahrizat (duduk, dua kiri), Omar (kiri) dan Faridah (kanan) merakamkan gambar bersama warga SMK Tun Abdul Rahman serta jemputan sempena Program Hak Kitak Edisi Sekolah, hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Pendedahan awal dalam kalangan pelajar terhadap literasi perundangan amat penting untuk mereka memahami hak-hak mereka dari sudut undang-undang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, peningkatan kes buli khususnya buli siber yang didorong oleh perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan media sosial semakin membimbangkan.
Lebih membimbangkan katanya, apabila mereka yang menjadi mangsa dalam kes-kes seperti ini mengalami tekanan emosi yang serius sehingga membawa kepada cubaan membunuh diri.
“Sebab itu, kesedaran tentang hak asasi dan peraturan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah agar pelajar memahami batasan, tanggungjawab serta implikasi undang-undang terhadap setiap tindakan.
“Setiap individu mempunyai hak, tetapi pada masa yang sama perlu menghormati hak orang lain. Ilmu tanpa iman dan nilai hanya akan membawa kepada penyalahgunaan kebebasan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Hak Kitak Edisi Sekolah anjuran Yayasan Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Rahman di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, program itu menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran hak dan literasi undang-undang dalam kalangan pelajar.
Malah katanya, program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, tetapi turut melibatkan guru, ibu bapa serta kepimpinan masyarakat.

Fadillah diiringi Shahrizat tiba di SMK Tun Abdul Rahman bagi Program Hak Kitak Edisi Sekolah, hari ini. - Gambar Penerangan
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata penganjuran program itu adalah sebahagian daripada usaha yayasan untuk meningkatkan kesedaran undang-undang khususnya kepada generasi muda.
Katanya, yayasan yang ditubuhkan pada 2023 bagi memperingati jasa Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim itu komited untuk mendekatkan pendidikan undang-undang kepada masyarakat, termasuk pelajar sekolah yang semakin terdedah kepada risiko di dunia nyata dan alam maya.
“Maruah insan adalah asas kepada keadilan. Apabila maruah seorang anak terancam, seluruh masyarakat perlu bertindak.
“Buli hari ini tidak lagi terhenti di sekolah, tetapi berterusan di alam siber dan boleh menghantui mangsa sehingga dewasa,” katanya menambah, ramai mangsa memilih untuk berdiam diri bukan kerana tidak terluka, tetapi kerana tidak tahu ke mana harus mengadu.
Program Hak Kitak Edisi Sekolah katanya, merupakan langkah permulaan penting dalam membina generasi muda yang berpengetahuan, berani mempertahankan hak, berakhlak serta bersedia menghadapi cabaran masa depan secara berhemah dan berlandaskan undang-undang.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli, Pengetua SMK Tun Abdul Rahman Faridah Abang Wahab serta yang lain.

Fadillah (tiga kiri) selesai menyempurnakan simbolik pelancaran rasmi Program Hak Kitak Edisi Sekolah di SMK Tun Abdul Rahman, hari ini. Turut kelihatan, Shahrizat (dua kanan), Omar (kanan) dan Faridah (kiri). - Gambar Penerangan
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JPJ periksa 178 kenderaan dalam operasi khas di Serian
Januari 24, 2026, Sabtu - 1:47pm

Pemeriksaan dijalankan ke atas kenderaan perdagangan dalam operasi khas JPJ Cawangan Serian dengan kerjasama SPK Serian. - Gambar Facebook JPJ Negeri Sarawak
SERIAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melalui JPJ Cawangan Serian dengan kerjasama Stesen Penguatkuasa (SPK) Serian telah melaksanakan Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook JPJ Negeri Sarawak, operasi berkenaan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya berada pada tahap selamat dan terkawal.
Katanya, sepanjang operasi, sebanyak 178 kenderaan diperiksa yang terdiri daripada kenderaan perdagangan dan persendirian.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan telah dikesan, antaranya membawa muatan berlebihan, tiada lesen memandu yang sah, tidak memakai tali pinggang keledar, cukai jalan tamat tempoh serta kesalahan teknikal kenderaan dan kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang jalan raya,” menurut kenyataan itu.
Operasi tersebut turut disertai Timbalan Pengarah JPJ Sarawak Mohd Faizal David Jemat yang hadir bagi memberi sokongan dan motivasi kepada anggota penguat kuasa, selain Ketua Cawangan JPJ Serian Hillary Bong dan Ketua Stesen Penguatkuasa Serian Juti Dunggau.
JPJ Sarawak menegaskan operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah memperkukuh pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
JKR Sarawak terus memacu pembangunan negeri: Uggah
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:09pm

Uggah (empat kanan) menekan skrin pelancaran JKR Sarawak Year Book 2025 pada majlis di BCCK, malam Jumaat. Turut kelihatan, Majang (tiga kiri), Dr Cassidy (empat kiri), Aidel (tiga kanan) serta tetamu jemputan lain.
KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak terus memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan negeri menerusi pembinaan infrastruktur strategik serta penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan projek mereka.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, agensi pelaksana kerajaan negeri itu telah mengadaptasi kepintaran AI ke dalam pemantauan projek, pengurusan aset dan proses reka bentuk, sekali gus meletakkan agensi itu di barisan hadapan 'kejuruteraan pintar.'
"Inovasi ini telah memastikan infrastruktur yang kita rancang dan bina bukan sahaja dibina dengan lebih pantas, tetapi juga lebih mampan dengan kos efektif melalui pembuatan keputusan berasaskan data," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Grand Excellence Gala 2026 JKR Sarawak serta pelancaran JKR Sarawak Year Book 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Jumaat.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata sepanjang tahun 2025, JKR Sarawak mencatat pencapaian cemerlang dengan menyiapkan lapan jambatan utama yang berfungsi sebagai talian hayat menghubungkan rakyat serta membuka peluang ekonomi baharu di seluruh negeri.
“Jambatan-jambatan ini bukan sahaja keajaiban kejuruteraan, malah menjadi penghubung utama yang melancarkan pergerakan rakyat dan merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya.
Antara jambatan yang telah siap ialah Jambatan Marudi, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Tun Taib Mahmud di Jepak, Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman merentasi Batang Rajang, Jambatan Batang Saribas, Jambatan Datuk Amar Juma’ani di Sungai Bintangor, Jambatan Sebauh dan Jambatan Lingga.
"Malah tidak cukup dengan itu, sehingga 2025, JKR Sarawak telah membina sejauh 1,795 kilometer jalan raya meliputi kawasan pesisir pantai hingga ke pedalaman, sekali gus memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada agenda pembangunan negeri.
“Pada tahun yang sama, JKR Sarawak juga berjaya menggunakan sebanyak 95 peratus daripada peruntukan bajet yang disediakan membuktikan kecekapan pengurusan dan keupayaan melaksanakan projek pembangunan dengan berkesan,” katanya.
Mengulas mengenai pemerkasaan JKR Sarawak, Uggah berkata pelaksanaan AP182 telah memberi tanggungjawab lebih besar kepada jabatan itu untuk menguruskan projek persekutuan di negeri ini.
“Pemerkasaan ini mengiktiraf keupayaan teknikal JKR Sarawak serta membolehkan projek dikendalikan oleh kepakaran tempatan, sekali gus memastikan pembangunan negeri ditadbir oleh rakyat Sarawak sendiri,” katanya.
JKR Sarawak juga katanya, telah menerima pengiktirafan antarabangsa apabila muncul sebagai pemenang Kategori Jalan Raya dan Lebuhraya pada Anugerah Bentley Infrastructure 2025: Going Digital.
Menurutnya, kejayaan tersebut menjadi bukti keupayaan jabatan itu dalam mengadaptasi teknologi digital serta menepati piawaian antarabangsa dalam bidang kejuruteraan.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JKR Sarawak yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada pembangunan negeri selain berkhidmat dalam keadaan mencabar, termasuk di kawasan pedalaman serta berdepan cuaca buruk.
“Ini bukan sekadar kejuruteraan, ini adalah perkhidmatan dan pengorbanan... di sebalik setiap projek yang siap, terdapat komitmen tinggi dan kerja keras yang mengubah kehidupan rakyat,” katanya.
Uggah turut menghargai peranan rakan media yang membantu menyampaikan maklumat serta menjadi penghubung antara JKR Sarawak dan masyarakat.
“Media bukan sekadar penyampai berita, tetapi pencerita kepada perjalanan pembangunan Sarawak,” katanya.
Antara tetamu yang hadir ialah dua timbalan beliau Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Datuk Majang Renggi serta Pengarah JKR Sarawak Ir Dato Dr Cassidy Morris serta para ketua jabatan dan warga kerja JKR Sarawak.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Harden mahu lebih ramai petani dan penternak tempatan jadi model contoh
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:39pm

Harden (duduk tiga kiri) merakamkan gambar bersama jemputan lain yang hadir.
SRI AMAN: Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis mahu melihat lebih ramai petani dan penternak tempatan dijadikan model contoh yang boleh dibanggakan dalam sektor tersebut di bahagian ini.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri taklimat pembangunan pertanian yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman di Bandar Simanggang, pagi Jumaat.
Taklimat tersebut bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada beliau mengenai pencapaian aktiviti pertanian sepanjang tahun lalu serta perancangan pembangunan sektor berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut Harden, kejayaan peserta pertanian di peringkat akar umbi perlu diketengahkan sebagai ‘showcase’ bagi memberi inspirasi kepada masyarakat setempat, selain membuktikan bahawa sektor pertanian dan penternakan mampu menjana pendapatan mampan jika diusahakan secara terancang dan berdaya saing.
Taklimat telah disampaikan oleh Naliton Lingken Rantai yang membentangkan perkembangan semasa aktiviti pertanian melibatkan peserta di Daerah Sri Aman, termasuk perancangan pembangunan pertanian bagi Bahagian Sri Aman dalam tempoh RMK13.
Dalam pada itu, Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menekankan kepentingan penglibatan ketua masyarakat dalam usaha memajukan sektor pertanian.
Sehubungan itu, beberapa ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) daripada komuniti Iban turut dijemput menghadiri sesi taklimat berkenaan bagi mendengar sendiri penerangan, menyampaikan maklum balas situasi di kawasan masing-masing serta menyalurkan maklumat kepada penduduk kampung.
Hadir sama ialah Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman Syahalizul Sulaiman, Pegawai Menguasa Jabatan Pertanian Daerah Sri Aman Zakeria Yahod, Pengurus Besar PPK Batang Lupar Azrul Francis Abdullah serta pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman.

Harden (tengah) mendengar taklimat mengenai aktiviti pertanian di Sri Aman.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Manfaatkan inisiatif lot jualan percuma daripada Chiew di Emart Tudan: Ling
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:41pm

Ling menunjukkan lot jualan yang boleh dimanfaatkan penjaja buah-buahan menjual produk mereka di Emart Tudan.
MIRI: Penjaja buah-buahan bermusim yang masih mencari tempat untuk berniaga boleh memanfaatkan lot-lot jualan percuma yang disediakan di Emart Tudan menerusi inisiatif bantuan daripada Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.
Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak Alan Ling berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan susulan kekesalan yang disuarakan oleh para penjaja selepas buah-buahan mereka disita oleh pihak penguat kuasa pada minggu lalu akibat ketiadaan permit jualan.
“Langkah ini bertujuan membantu penjaja kecil yang terjejas supaya mereka masih dapat menjana pendapatan untuk keluarga masing-masing, khususnya melalui jualan buah-buahan bermusim seperti durian,” jelas Ling hari ini.
Chiew yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia telah menyumbangkan gajinya bagi menyediakan sebanyak 20 lot jualan percuma yang terletak di hadapan kawasan medan selera, Emart Tudan.
Menurut Ling, pemohon perlu hadir ke Pejabat Parlimen Miri yang terletak di bangunan sama dengan GK Supermarket Pujut bagi tujuan pendaftaran.
“Peluang ini dibuka sehingga penghujung Januari dan saya menggalakkan para penjaja yang terjejas agar segera tampil mendaftar serta memanfaatkan inisiatif ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ling turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Chiew atas usaha murni serta keprihatinan beliau dalam membantu golongan penjaja kecil, khususnya dalam memastikan kebajikan mereka terus terbela.
Beliau berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mewujudkan pendekatan yang lebih seimbang antara penguatkuasaan undang-undang dan kebajikan rakyat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pembinaan baharu PPD Serian kini di peringkat prabina: KPM
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:43pm

PPD Serian yang menumpang di SK Serian.
KUCHING: Projek Pembinaan Baharu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan kini berada pada peringkat prabina.
Demikian menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat susulan soalan Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan perkembangan terkini pembinaan pejabat PPD Serian yang telah lama menumpang di premis sekolah.
"Status terkini projek tersebut adalah pada fasa penyediaan dokumen tender selepas sekian lama beroperasi dengan menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Serian," kata kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.
KPM berkata, projek pembinaan baharu PPD Serian akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menggunakan kaedah perunding konvensional.
“Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa projek ini masih berada pada peringkat prabina dan status terkini adalah pada fasa penyediaan dokumen tender,” tambahnya.
Pembinaan pejabat baharu berkenaan dilihat penting bagi menyokong keperluan operasi dan pentadbiran pendidikan di daerah Serian.
Selain menyediakan ruang kerja yang lebih kondusif serta memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan pendidikan kepada sekolah-sekolah dan komuniti setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
APM, JKM Lawas hantar bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di Trusan
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:52pm

APM Lawas bersama JKM Lawas mengagihkan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di Trusan, baru-baru ini.
LAWAS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lawas menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lawas untuk menghantar bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di beberapa kampung di Daerah Kecil Trusan, baru-baru ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lawas Leftenan (PA) Maradona Tatah berkata, pengagihan bantuan itu dibuat susulan kejadian banjir yang melanda kawasan berkenaan dari 1 hingga 4 Januari lepas telah menjejaskan kehidupan penduduk setempat.
“Bantuan bakul makanan disalurkan bagi meringankan beban mangsa serta memastikan keperluan asas mereka terus terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Katanya, usaha pengagihan ini turut melibatkan penyertaan dan sokongan pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas, sekali gus mencerminkan komitmen bersepadu agensi kerajaan dalam pengurusan dan penyampaian bantuan bencana secara cekap, tersusun dan berkesan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program 'Meet & Greet' polis Lawas pupuk kesedaran usaha bersama mencegah jenayah
Januari 24, 2026, Sabtu - 2:54pm

Polis Lawas menyerahkan risalah pencegahan jenayah komersial kepada orang awam di ICQS Mengkalap, Trusan semalam.
LAWAS: Program 'Meet & Greet' yang dilaksanakan polis Lawas di sekitar Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Mengkalap, Trusan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya kerjasama masyarakat dengan PDRM dalam usaha mencegah jenayah semalam.
Program itu telah disertai oleh Sarjan Kho Beng Lay dan Konstabel Mohd Syarisham Ahmad, melibatkan seramai 26 orang awam.
Polis Daerah Lawas dalam perkongsian di laman rasminya berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam serta memupuk kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.
“Program ini penting dalam usaha bersama mencegah jenayah dan ia berjalan lancar serta mendapat sambutan yang baik,” katanya semalam.
Antara pengisian program ialah penerangan berkaitan trend terkini jenayah komersial, fungsi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial serta hebahan perkhidmatan NSRC 997, Aplikasi WHOSCALL, Portal Semak Mule/CCID Check dan promosi E-Book Jenayah Komersial.
Risalah-risalah pencegahan jenayah komersial dan pengenalan berkaitan jenayah penipuan siber turut diserahkan kepada orang awam.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program CIB MBKS membentuk bandar telus, responsif, berteras kepercayaan awam: Wee
Januari 24, 2026, Sabtu - 3:03pm

Wee melakukan simbolik perasmian Program Pembangunan Integriti Komuniti (CIB) di Auditorium MBKS, hari ini.
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) melancarkan Program Pembangunan Integriti Komuniti (CIB) sebagai langkah strategik ke arah membentuk sebuah bandar telus, responsif dan berteraskan kepercayaan awam.
Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng berkata, integriti bukan sekadar slogan atau dasar bertulis, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan harian yang dapat dirasai oleh masyarakat.
“Integriti bukan hanya apa yang kita paparkan pada sepanduk atau masukkan ke dalam laporan, sebaliknya ia terserlah melalui tindakan iaitu sejauh mana kita bertindak balas terhadap aduan, prosedur, keadilan dalam membuat keputusan serta cara kita melayani masyarakat dengan penuh hormat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran CIB MBKS di Auditorium MBKS di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin dan Ketua Pegawai Sektor Korporat (KPSK) Institut Integriti Malaysia (IIM) Dr Mona Othman.
Menurut Wee, program CIB bukan bertujuan mencari kesalahan atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem secara kolektif melalui kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan dan komuniti setempat.
“CIB menyatukan kerajaan tempatan, institusi dan masyarakat sebagai rakan kongsi.
“Kita mengenal pasti isu bersama, menetapkan tanggungjawab bersama, memantau kemajuan bersama dan memastikan setiap isu benar-benar diselesaikan, bukan sekadar dibincangkan,” katanya.
Ujar Wee lagi, melalui pelaksanaan CIB, masyarakat tidak lagi dilihat sebagai penerima perkhidmatan semata-mata, sebaliknya sebagai rakan strategik dalam membina penyelesaian yang berkesan dan mampan.
Wee turut menjelaskan bahawa pelaksanaan CIB di MBKS berteraskan tiga prinsip utama iaitu ketelusan, kecekapan respons dan akauntabiliti.
“Ketelusan bermaksud keputusan dan proses mesti mudah difahami serta dijelaskan.
“Respons yang pantas terhadap maklum balas awam pula mencerminkan rasa hormat, manakala akauntabiliti memastikan setiap isu mempunyai pemilik dan setiap tindakan disusuli penyelesaian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada IIM, Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) atas sokongan berterusan serta pemilihan MBKS sebagai antara pihak berkuasa tempatan yang aktif dalam inisiatif pembangunan integriti di Sarawak.
Dalam pada itu, Wee berkata kehadiran Ahli Majlis Kanak-Kanak MBKS pada majlis berkenaan mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memupuk nilai integriti sejak usia muda.
“Apabila nilai kejujuran, tanggungjawab dan rasa hormat diterapkan sejak awal, kita sedang membentuk generasi masa depan yang menjadikan integriti sebagai cara hidup, bukan sekadar peraturan,” katanya.
Beliau menegaskan masyarakat tidak menuntut kemewahan, sebaliknya mengharapkan perkhidmatan yang konsisten, sistem yang boleh dipercayai serta persekitaran bandar yang berfungsi dengan baik.
“Melalui pelancaran CIB ini, MBKS menghantar mesej yang jelas bahawa kami serius tentang integriti, serius dalam membina perkongsian dan serius dalam membentuk masa depan bandar yang boleh dibanggakan oleh rakyatnya,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program CIB MBKS diharap jadi platform perkukuh integriti: Yap
Januari 24, 2026, Sabtu - 3:18pm

Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng bersama Yap, Mona serta para peserta bengkel CIB bergambar bersama di Auditorium MBKS, Kuching hari ini.
KUCHING: Program Community Integrity Building (CIB) yang diperkenalkan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) diharap dapat menjadi platform berkesan dalam memperkukuh amalan integriti serta mempererat hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat, kata Wilfred Yap Yau Sin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu berkata, program seumpama itu penting kerana integriti bukan sekadar isu besar di peringkat kepimpinan, sebaliknya bermula daripada perkara kecil yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Integriti sebenarnya perkara yang paling dekat dengan hidup kita. Ia apabila longkang tersumbat dilaporkan dan ada tindakan, jalan berlubang tidak sekadar ditampal ala kadar, lampu jalan rosak tidak perlu menunggu tular untuk dibaiki, dan janji kepada rakyat ditunaikan, bukan hilang selepas pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian CIB anjuran MBKS di Auditorium MBKS, hari ini.
Katanya sebagai wakil rakyat, integriti merupakan asas utama dalam memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukan sekadar memenuhi agenda sahaja.
Sehubungan itu, beliau berkata pelaksanaan CIB bukan sekadar program ceramah, sebaliknya satu mekanisme yang melibatkan komuniti secara langsung dalam mengenal pasti isu, menyusun aduan serta memantau penyelesaian sehingga selesai.
“CIB bukan datang dengar, ambil gambar dan balik. Ia melibatkan komuniti, mendengar suara rakyat, menyusun isu bersama dan memantau penyelesaian sampai habis," katanya dan menambah komuniti bukan lagi penonton, sebaliknya rakan kerja kepada MBKS.
“Rakyat hari ini tidak hanya tanya apa kita buat, tetapi bagaimana kita buat, siapa untung dan kenapa lambat. Semua ini soalan yang sah. Pemimpin tidak boleh marah bila rakyat bertanya kerana bertanya itu tanda mereka ambil peduli,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa integriti kepimpinan bukan bermaksud seseorang pemimpin tidak pernah melakukan kesilapan, sebaliknya keberanian untuk mengakui kesilapan dan membetulkannya demi kepentingan rakyat.
Beliau berharap Program CIB MBKS itu dapat dijadikan sebagai budaya kerja baharu yang lebih terbuka, telus dan mesra rakyat sekali gus meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat terhadap sistem pentadbiran tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Sektor Korporat Institut Integriti Malaysia (IIM) Dr Mona Othman yang turut berucap menegaskan usaha membina integriti hanya akan berjaya jika dilakukan secara bersama, konsisten dan berterusan.
Sejak penubuhannya, IIM komited membina integriti secara menyeluruh merentas keluarga, komuniti, kepimpinan masyarakat dan organisasi melalui pelbagai modul termasuk Modul Integriti Keluarga (MIKe), Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat (MIKM) dan Modul Integriti Penguatkuasa (MIP).
“MIKe memberi fokus kepada pembentukan nilai integriti dalam keluarga, MIKM memperkukuh kepimpinan akar umbi manakala MIP menekankan cabaran sebenar dalam penguatkuasaan termasuk dilema etika dan tekanan kerja,” katanya.
Selain itu, beliau berkata IIM turut membangunkan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) untuk agensi kerajaan serta Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) bagi sektor swasta dalam usaha membentuk ekosistem integriti yang menyeluruh.
“Apabila CIB, SPINE dan CISM dilaksanakan secara selari, kita sebenarnya sedang membina satu ekosistem integriti yang melibatkan PBT, komuniti, agensi kerajaan dan sektor korporat,” katanya.
Mona menegaskan bahawa integriti bukan hasil segera, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina kepercayaan, sistem dan hubungan antara kerajaan dan rakyat.
"Justeru kehadiran ramai peserta dari pelbagai komuniti, agensi dan pihak berkepentingan pada bengkel CIB kali ini membuktikan bahawa integriti merupakan tanggungjawab bersama dan tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja," katanya.
Beliau merakamkan penghargaan terhadap komitmen Kerajaan Sarawak khususnya melalui Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) serta Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan semua rakan strategik dalam menjayakan Program CIB ini.
"Kami (IIM) komited untuk terus bekerjasama dengan MBKS, Kerajaan Sarawak melalui UNIONS serta komuniti setempat bagi memastikan integriti menjadi budaya hidup bukan sekadar tema program,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pendidikan perlu diperluas kepada komuniti, tidak harus terhad kepada bilik darjah: Tiong
Januari 24, 2026, Sabtu - 3:37pm

Tiong (lima kiri) menyaksikan penyerahan derma selepas pelancaran buku oleh Chin (tiga kiri) di Wisma Hua Wen Du Zhong di Sibu, malam Jumaat.
SIBU: Pendidikan tidak seharusnya terhad di bilik darjah sahaja tetapi mesti diperluaskan kepada komuniti yang lebih luas sebagai platform untuk dialog berterusan, refleksi dan perkongsian kebijaksanaan.
Pengerusi Lembaga Pengurusan Persatuan Sekolah Menengah Cina Swasta Sibu, Datuk Tiong Thai King berkata demikian semasa berucap pada pelancaran buku terbaharu Datuk Stella Chin bertajuk 'The Happiness That I Know' di Wisma Hua Wen Du Zhong di sini, malam Jumaat.
Tiong berkata, acara itu bukan sekadar dianjurkan untuk mempromosikan penerbitan baharu, tetapi untuk mewujudkan platform yang lebih terbuka dan pelbagai untuk pertukaran intelektual dan penglibatan budaya dalam komuniti.
“Pendidikan adalah pasaran idea dan sumber kebijaksanaan. Ia bukan sahaja harus berlaku di dalam sekolah, tetapi juga dalam komuniti, menjadi jambatan yang menghubungkan generasi dan latar belakang yang berbeza,” ujarnya.
Beliau melahirkan penghargaan kepada Chin, menggambarkannya bukan sahaja sebagai seorang usahawan yang berjaya tetapi juga seorang penulis dihormati yang mana pengalaman hidupnya telah mempengaruhi ramai cendekiawan muda selama ini.
Chin, yang diiktiraf secara meluas atas pencapaian keusahawanan dan kepimpinan pemikirannya, telah menghabiskan lebih dua dekad menerajui usaha perniagaan antarabangsa dan membimbing golongan profesional muda.
Beliau telah menerima pelbagai anugerah untuk kecemerlangan dalam perniagaan dan kepimpinan wanita, dan tulisannya sering meneroka pertumbuhan peribadi, daya tahan dan kepentingan pelaburan diri, pengajaran yang bergema dengan pelajar, orang dewasa yang bekerja dan warga emas.
“Melalui tulisan dan perkongsiannya, beliau membawakan refleksi mendalam tentang kehidupan, pertumbuhan dan tanggungjawab, yang relevan kepada orang ramai di semua peringkat kehidupan,” katanya.
Beliau melahirkan harapan agar sesi perkongsian ini bukan sahaja akan memberi inspirasi kepada golongan muda tetapi juga memberikan perspektif dan pandangan baharu untuk individu yang mengharungi pelbagai peringkat kehidupan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Isu kesihatan mental masih kurang diberi perhatian: Wee
Januari 24, 2026, Sabtu - 3:47pm

Wee (barisan depan, tiga kiri) bergambar bersama para peserta Prosper 2.0 Community Mental Health Seminar Series 2026 di Kuching, hari ini.
KUCHING: Isu kesihatan mental masih belum mendapat perhatian sewajarnya walaupun kesannya semakin ketara terhadap individu, keluarga dan komuniti, kata Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Prosper 2.0 Community Mental Health Seminar Series 2026 anjuran Persatuan Kesihatan Mental (MHA) Sarawak yang diadakan di Hotel Grand Margherita di sini, hari ini.
“Tiada siapa yang boleh mengelak daripada sakit dan tiada siapa yang mahu menjadi pesakit kesihatan mental.
“Tekanan daripada pekerjaan, tanggungjawab keluarga dan kehidupan seharian sering menyumbang kepada tekanan emosi dan psikologi,” ujarnya.
Beliau turut menekankan usaha berterusan kerajaan dalam menyokong kesejahteraan rakyat, sambil menjelaskan bahawa golongan ‘sandwich generation’ antara yang berdepan tekanan paling besar pada masa kini.
“Selepas menamatkan pengajian, golongan muda dijangka memasuki alam pekerjaan kerana ibu bapa mungkin tidak lagi mampu menyokong mereka dari segi kewangan.
“Perbezaan budaya juga mempengaruhi susunan kehidupan berkeluarga.
“Apabila melangkah ke fasa perkahwinan, ada suami atau isteri tinggal bersama keluarga pasangan menjadikan tanggungjawab semakin bertambah," tegasnya.
Pada masa sama, perkahwinan menuntut keperluan memiliki rumah, menjaga ibu bapa yang semakin uzur, membesarkan anak serta menyokong pendidikan mereka.
Akhirnya ujar beliau, golongan ini memikul pelbagai tanggungjawab serentak dan mengalami tekanan yang ketara.
Namun begitu, beliau berkata kerajaan turut memainkan peranan dengan menjaga kebajikan kanak-kanak dan warga emas melalui pelbagai inisiatif termasuk perancangan bandar mesra kanak-kanak dan mesra warga emas, manfaat perubatan serta bentuk sokongan lain.
Berkongsi pengalaman peribadi, Wee menggalakkan orang ramai membina mekanisme daya tindak positif seperti mempunyai pegangan kepercayaan yang kukuh, mengamalkan tabiat sihat, bersenam secara berkala dan menekuni hobi.
“Sebagai Datuk Bandar, saya juga perlu mengurus keluarga, rakyat dan pelbagai tanggungjawab. Saya melalui semua cabaran-cabaran ini,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi dalam keluarga, khususnya antara suami dan isteri.
“Sebagai pasangan, duduk berbincang dan berkongsi. Apabila berasa sedih, berbincanglah dengan rakan atau orang tersayang untuk meluahkan perasaan,” katanya.
Wee turut menegaskan bahawa kesihatan mental tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu perubatan.
“Ia adalah isu keluarga, isu komuniti dan tanggungjawab bersama.
“Sebagai Datuk Bandar, saya mahu semua pihak bekerjasama ke arah visi bandar yang penyayang, inklusif dan sihat, di mana kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kenaikan elaun harus jadi pembakar semangat ahli majlis berkhidmat lebih gigih: Sempurai
Januari 24, 2026, Sabtu - 3:49pm

(Dari 10 kiri) Kevin Lau, Tr Josepah Jarrau, Sempurai, Ng dan Teo bersama-sama merasmikan tempat parkir di Rumah Joseph Jarrau, Tanjung Bekakap ketika Program Pendidikan Kesihatan@outreach Program hari ini.
SIBU: Kenaikan elaun ahli majlis atau kaunselor sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini harus menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk berkhidmat dengan lebih gigih kepada rakyat.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor (Kr) Sempurai Petrus Ngelai berkata, kenaikan itu juga memberi maksud supaya ahli majlis turun padang mendampingi rakyat dengan lebih kerap agar mereka tahu apa yang diperlukan oleh rakyat di peringkat akar umbi.
"Kenaikan elaun ini bagi membolehkan ahli-ahli majlis bergerak atau turun padang dengan lebih aktif lagi.
"Bila kita dapat turun padang, kita akan dapat maklum balas yang lebih tepat untuk membolehkan kita berbincang dan menyelesaikan masalah ini di bilik mesyuarat pejabat.
"Ini adalah salah satu cara untuk kita mempertingkatkan perkhidmatan," ujarnya ketika berucap pada Program Pendidikan Kesihatan@Outreach Program di Rumah Joseph Jarrau, Tanjung Bekakap hari ini.
Hadir sama ialah Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti, Sukan, Kebudayaan, Belia dan Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Kr Teo Ming Pau, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Kr Kevin Lau Kor Jie serta Tuai Rumah Joseph Jarrau.
Sempurai juga menyeru setiap ahli majlis membuat perncangan untuk membolehkan pihak majlis mengadakan program jangkauan luar sedemikian di kawasan-kawasan yang perlu atau berdekatan, terutama di kawasan yang mempunyai banyak rumah panjang atau penduduk.

Sempurai (tiga kiri) bersalam dengan Tuai Rumah Joseph Jarrau setelah penyampaian cenderamata sambil diperhatikan (dari kiri) Kevin Lau, Ng, Teo serta yang lain setelah merasmikan Program Pendidikan Kesihatan@Outreach Program hari ini.
"Ini untuk membolehkan jelajah kita ini lebih menyeluruh sebab tahun ini adalah tahun yang amat penting bagi kita di Sarawak.
"Sebagai agensi yang berhubung terus dengan rakyat, kita perlu mempertingkatkan perkhidmatan dan 'outreach' kita kepada rakyat untuk kita menyelesaikan masalah di bawah dulu tanpa perlu dibawa ke atas.
"Ahli majlis kini bukan hanya bertindak sebagai pembuat dasar tetapi juga perlu turun ke bawah untuk mengetahui masalah rakyat, seterusnya dibawa kepada perhatian pihak majlis," jelasnya.
Sementara itu, Kevin Lau dalam ucapannya berkata, Program Pendidikan Kesihatan ini amat penting kerana membuka ruang atau menyediakan platform untuk berinteraksi dan berhubung secara langsung dengan penduduk atau komuniti setempat.
"Di sini kita dapat berbincang dengan berbagai masalah yang dihadapi dan sudah tentunya kita cuba untuk menangani masalah tersebut.
"Sebab yang kedua adalah untuk kita meningkatkan kesedaran awam mengenai alam sekitar, selain yang lebih penting sekali adalah mengenai penyakit seperti rabies dan juga denggi," ujarnya.
Pada majlis sama, turut berlangsung majlis perasmian tempat parkir Rumah Joseph Jarrau yang telah siap dibina dengan kos RM93,000 di bawah Program Tranformasi Luar Bandar (RTP).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sistem solar hibrid sekolah di pedalaman perkukuh agenda peralihan tenaga negara: Nanta
Januari 24, 2026, Sabtu - 4:19pm

Nanta merakam kenangan bersama semua tetamu, warga sekolah dan murid-murid SK Nanga Bangkit.
SONG: Kerajaan MADANI terus memperkukuhkan agenda peralihan tenaga negara menerusi pelaksanaan projek sistem solar hibrid di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman, sekali gus memastikan pengurusan aset awam yang lebih mampan, kos efektif dan berdaya maju.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, perkembangan teknologi masa kini telah menyediakan alternatif sumber tenaga yang lebih menjimatkan dari segi pelaksanaan dan penyelenggaraan, selari dengan komitmen Malaysia terhadap sasaran pelepasan karbon sifar bersih.
Menurutnya, projek sistem solar hibrid itu merupakan inisiatif strategik berimpak tinggi yang menyokong agenda perubahan iklim serta kecekapan penggunaan sumber tenaga, khususnya bagi kemudahan pendidikan di kawasan pedalaman.
“Syabas kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui Cawangan Kejuruteraan Elektrik yang telah menggalas amanah melaksanakan transformasi bekalan elektrik di sekolah-sekolah luar bandar daripada penggunaan janakuasa diesel kepada sistem solar hibrid yang lebih lestari,” ujarnya.

Nanta bersalaman dengan murid sekolah SK Nanga Bangkit, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik (2025-2027) serta penyerahan Projek Siap Sistem Solar Hibrid bagi sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bangkit, Katibas hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan dan Setiausaha Bahagian Pembagunan Sarawak, Kementerian Pendidikan Malaysia Mohd Radzuan Abdul Manaf.
Nanta memberitahu, penggunaan janakuasa diesel di sekolah-sekolah berkenaan telah bermula sejak tahun 2010, sebelum pelaksanaan program bekalan elektrik sistem solar hibrid diperkenalkan secara berperingkat bermula tahun 2020.
Katanya, program tersebut melibatkan sebanyak 121 sekolah dan dilaksanakan menerusi sembilan pakej berdasarkan lokaliti serta kedudukan sekolah mengikut daerah.
“Inisiatif ini secara langsung menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam merapatkan jurang pendidikan dari segi geografi dan sosioekonomi antara bandar, luar bandar dan pedalaman,” jelasnya.
Untuk rekod, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM274.5 juta di bawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) bagi pelaksanaan projek pemasangan sistem solar hibrid itu.
Sehingga tahun 2023, sebanyak 97 sekolah telah berjaya dilengkapi dengan sistem berkenaan, manakala 15 sekolah tambahan siap dan mula beroperasi pada 21 November 2025.

Nanta (enam kanan) menyempurnakan majlis perasmian Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik (2025–2027) serta penyerahan Projek Siap Sistem Solar Hibrid bagi sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak, di SK Nanga Bangkit, Song hari ini.
“Baki tujuh sekolah lagi dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun 2026 dan dijangka siap sepenuhnya serta beroperasi pada tahun 2027,” ujarnya.
Ahli Parlimen Kapit itu berkata, penyerahan Perakuan Siap Kerja (CPC) kepada kontraktor projek yang telah disiapkan serta Surat Setuju Terima (SST) bagi tiga pakej kontrak penyelenggaraan sistem solar hibrid bagi tempoh 2025 hingga 2027 akan dilaksanakan.
Beliau menegaskan, pencapaian itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR yang bukan sahaja menumpukan aspek pembinaan, malah memastikan sistem bekalan elektrik diselenggara dan dipantau secara berterusan.
Nanta yakin, pembangunan fasiliti teknologi hijau itu akan memberi manfaat besar kepada lebih 3,000 murid dan 2,000 guru di sekolah-sekolah pedalaman Sarawak, selain mewujudkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif serta berdaya saing.
Menurutnya, berdasarkan data keberhasilan projek, sistem solar hibrid berjaya menjana penjimatan kos operasi dan penyelenggaraan sehingga 80 peratus, bersamaan kira-kira RM90 juta setahun berbanding kos penggunaan janakuasa diesel yang mencecah RM115 juta setahun.
“Ini membuktikan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara 'value for money,' berhemah dan diurus secara optimum,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan projek berkenaan berperanan sebagai platform pemindahan teknologi serta pembangunan kepakaran tempatan, khususnya di Sarawak, termasuk penggunaan teknologi bateri litium dan sodium, sistem pemantauan digital serta penerapan elemen kecerdasan buatan (AI) bagi pemantauan jarak jauh yang lebih cekap dan pantas.

Nanta diberi penerangan tentang Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik (2025-2027) di SK Nanga Bangkit.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program MyLesen turut membuka peluang tingkat taraf hidup: Pang
Januari 24, 2026, Sabtu - 4:39pm

Pang, Norizan dan Awang Mohammed Nizam (tengah) menunjukkan tanda bagus bagi peserta Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen Kelas B2 yang berjaya menamatkan program disertai.
BINTULU: Program MyLesen yang membantu rakyat mendapatkan lesen motosikal turut membuka peluang yang lebih luas dalam sektor pekerjaan, logistik dan perkhidmatan yang ada di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, memiliki lesen memandu yang sah bermakna rakyat mempunyai lebih banyak pilihan untuk meningkatkan taraf hidup dan menjana pendapatan secara selamat dan mengikut undang-undang.
Katanya, seramai 1,325 peserta telah berjaya menamatkan latihan dan memperoleh Lesen Memandu Kelas B2 untuk pelaksanaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu.
"Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan bahawa program ini benar-benar memberi manfaat langsung kepada rakyat," ujarnya pada majlis penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen Kelas B2 kawasan DUN Tanjong Batu di Hotel Kemena Bintulu, hari ini.
Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ini dalam bentuk tanggungjawab sosial kerajaan membantu golongan B40 dan yang memerlukan lesen memandu secara sah dan berstruktur.
Begitupun Pang mengingatkan pemilik lesen memandu melihat pemilikan lesen itu bukan sekadar satu kelayakan tetapi satu amanah dan tanggungjawab.
"Statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan kira-kira 6,000 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun di Malaysia," katanya.
Menurutnya, angka ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua tentang pentingnya disiplin dan sikap berhemah di jalan raya, gunakan lesen ini dengan penuh tanggungjawab, patuhi undang-undang serta utamakan keselamatan diri dan orang lain.
Beliau berkata, para peserta program ini terutama golongan belia perlu menjadikan lesen ini sebagai satu permulaan ke arah kehidupan yang lebih teratur dan berdisiplin untuk diri serta keluarga.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili berkata, peserta bantuan lesen memandu yang terlibat dalam aktiviti tidak patuh peraturan jalan raya akan digantung lesen atau dibatal lesen mengikut prosedur.
Katanya, dengan kerjasama polis, pihaknya akan melakukan pemantauan yang mana sekiranya terdapat laporan dan tangkapan pihak polis melibatkan kesalahan lalu lintas serius yang mana senarai nama terlibat akan dihantar kepada JPJ untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, pihaknya akan mengenal pasti nama yang terlibat kesalahan sama ada peserta program bantuan lesen memandu atau sebaliknya sebelum mengambil tindakan.
Turut hadir pada program itu ialah Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Yii agih limau mandarin kepada peniaga Krokop 10
Januari 24, 2026, Sabtu - 4:40pm

Yii (tengah, sembilan kiri) bersama ahli dan wakil SUPP dari tiga cawangan bergambar bersama selepas mengagihkan limau mandarin dan bertemu para peniaga dan pengunjung di Pasar Krokop 10 di Miri, pagi tadi.
MIRI: ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii hari ini mengetuai ketiga-tiga cawangan SUPP untuk turun padang ke Pasar Krokop 10 bagi menyantuni para peniaga di situ dengan mengagihkan limau mandarin.
Program itu diadakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba dengan Yii yang juga Pengerusi SUPP Pujut bersama wakil daripada SUPP Cawangan Piasau dan Cawangan Senadin, bersama-sama bertemu para peniaga untuk beramah mesra dan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina.
Program turun padang bagi menyantuni para peniaga dan pengunjung pasar berkenaan diadakan setiap tahun bagi menunjukkan penghargaan kepada masyarakat peniaga di sini serta orang ramai atas sumbangan dan kerjasama mereka dalam membangunkan ekonomi dan keharmonian di kawasan Miri.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PBDS tubuh Jawatankuasa Protem bagi DUN Machan
Januari 24, 2026, Sabtu - 4:41pm

Spencer (baris depan, empat kanan) dan ahli Jawatankuasa Protem PBDS N.50 Machan bergambar bersama beberapa pemimpin tertinggi parti itu selepas pemilihan yang diadakan, baru-baru ini.
MIRI: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi apabila menubuhkan Jawatankuasa Protem PBDS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.50 Machan.
Langkah penubuhan protem itu juga sekali gus memperlihatkan keseriusan parti itu dalam persiapan menghadapi cabaran politik akan datang, terutama menjelang pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Mantan ketua masyarakat, Spencer Kudang telah dipilih sebagai Pengerusi Protem PBDS N.50 Machan, manakala Satia Brain dilantik sebagai naib pengerusi pada majlis penubuhan jawatankuasa berkenaan.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi parti, antaranya Naib Presiden PBDS Puso Bujang, Ketua Penerangan PBDS Sigie Badang, serta Ahli Majlis Tertinggi PBDS Derek Wat, sekali gus mencerminkan sokongan penuh kepimpinan parti terhadap penubuhan cawangan berkenaan.
Menurut Sigie, penubuhan cawangan N.50 Machan itu bertujuan memilih serta memperkukuh calon parti bagi menghadapi pilihan raya di kawasan tersebut, di samping memastikan agihan peruntukan RTP/MRP dilaksanakan secara adil dan saksama, khususnya kepada penduduk luar bandar.
Selain itu, PBDS N.50 Machan juga akan berperanan sebagai suara rakyat, dengan memberi tekanan berterusan kepada wakil rakyat agar hak serta keperluan asas masyarakat Dayak terus disuarakan dan diperjuangkan.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Protem PBDS N.50 Machan turut menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan keadilan, pembangunan yang seimbang serta kebajikan rakyat Dayak melalui saluran demokrasi, selaras dengan prinsip dan perjuangan parti.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pengundi di kawasan Pujut diminta waspada isu disebar pembuli siber: Yii
Januari 24, 2026, Sabtu - 4:43pm

Yii (duduk depan, tengah) bersama-sama wakil penerima geran MRP yang disampaikan hari ini di Pejabat SUPP Cawangan Pujut.
MIRI: Pengundi di bahagian ini khususnya bagi kawasan Pujut diminta supaya berwaspada dengan isu-isu semasa yang dihebahkan di media sosial terutama oleh pembuli siber, dengan membuat penilaian bijak dan mengetahui kebenaran di sebalik perkara yang dibangkitkan.
ADUN Pujut yang juga Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, dengan pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini, para pembuli siber akan mengambil kesempatan untuk menyebarkan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan penduduk di sini.
“Para pembuli siber dan pihak-pihak yang mempunyai agenda tersendiri, akan mengambil kesempatan ini dengan menyebarkan perkara atau isu yang kurang tepat, memburukkan kita (kerajaan), melakukan serangan peribadi, membangkitkan isu perkauman dan sebagainya di media-media sosial.
“Justeru saya ingin menasihatkan anda, khasnya para pengundi di kawasan ini (Pujut) supaya jangan mendengar mereka ini, jangan mudah percaya dan terperdaya dengan agenda yang dibangkitkan mereka,” katanya, sambil menambah tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian penduduk pelbagai kaum dan agama, yang sedia ada.
Yii memberitahu demikian semasa berucap di majlis penyerahan cek peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) untuk penerima bagi kawasannya di pejabat SUPP Pujut di sini, hari ini.
Beliau juga mahu pengundi dan penduduk di kawasannya untuk menilai sendiri sumbangan yang sudah dilakukan oleh beliau dan partinya di kawasan DUN Pujut, termasuk pembangunan, projek-projek membaik pulih dan sebagainya.
Yii juga turut mendedahkan bahawa sepanjang tahun lalu, sejumlah 148 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan dalam kawasan DUN Pujut telah menerima manfaat daripada MRP daripada beliau.
Manakala, sebanyak 15 buah lagi persatuan sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan 17 buah pertubuhan keagamaan.
Bagi penerima geran untuk aktiviti dan acara pula, 21 penerima ialah bagi aktiviti berkaitan keagamaan, 41 aktiviti berkaitan pendidikan dan 139 aktiviti berkaitan komuniti, sekali gus menjadikan keseluruhan penerima peruntukan sebanyak 381.
Sementara itu, sebanyak 22 pertubuhan dan jawatankuasa melalui wakil masing-masing, telah menerima peruntukan yang disampaikan sendiri oleh Yii, hari ini.
Ia melibatkan sejumlah RM70,000 daripada peruntukan yang telah diluluskan.
Turut hadir ialah naib pengerusi Pemuda SUPP Pusat Kelvin Hii.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pejabat Ahli Parlimen Bandar Kuching peruntuk RM100,000 beli peralatan HUS
Januari 24, 2026, Sabtu - 5:06pm

Dr Yii menyerahkan peruntukan berjumlah RM100,000 kepada HUS bagi pembelian peralatan dan kemudahan, semalam.
KUCHING: Pejabat Ahli Parlimen Bandar Kuching telah memperuntukkan sejumlah RM100,000 bagi tujuan pembelian peralatan dan kemudahan untuk Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, HUS merupakan antara institusi kesihatan paling sibuk dan penting di negeri ini, dengan jumlah pesakit yang sentiasa tinggi dari semasa ke semasa.
Namun begitu, beliau berkata sebahagian kemudahan dan peralatan hospital berkenaan kini sudah uzur atau tidak lagi berfungsi pada tahap optimum, sekali gus menjejaskan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Sehubungan itu, pejabat saya mengambil inisiatif untuk menyalurkan peruntukan berjumlah RM100,000 bagi menyokong keperluan naik taraf yang kritikal di HUS,” katanya.
Beliau menjelaskan, sebahagian besar peruntukan tersebut akan digunakan untuk pembelian kerusi poliuretana empat tempat duduk, komputer meja, monitor komputer, komputer riba, kerusi eksekutif serta peralatan sokongan lain.
Tambahnya, usaha naik taraf itu dijangka dapat meningkatkan infrastruktur digital hospital, melancarkan proses kerja harian serta mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada pesakit dan kakitangan.
“Penambahbaikan ini amat penting bagi memastikan fungsi hospital terus dipertingkatkan, menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada pesakit dan petugas kesihatan.
“Selain itu, mengukuhkan keupayaan HUS dalam memberikan rawatan yang berkualiti dan tepat pada masanya,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pembinaan fasa kedua TLS dijangka bermula Mac: Len
Januari 24, 2026, Sabtu - 5:18pm

Len ketika berucap pada Majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWIRE Malaysia, hari ini. - Gambar Penerangan
KUCHING: Projek pembinaan fasa kedua TEGAS Lodge Sarawak (TLS) dijangka bermula sekitar Mac tahun ini, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.
Menurutnya, projek yang menelan perbelanjaan kira-kira RM72 juta itu dirangka sebagai sebuah kemudahan utama bagi menyokong ekosistem digital dan inovasi.
Jelasnya, ia akan menyediakan kemudahan penginapan berserta kemudahan sokongan seperti gim digital, pusat kesejahteraan, surau, kemudahan dobi serta perkhidmatan asas lain untuk pengguna.
“Dari segi kemajuan, kita berada pada landasan yang tepat untuk melengkapkan semua penyerahan utama menjelang Januari ini dengan pembinaan dijangka bermula sekitar Mac 2026.
“Berdasarkan garis masa semasa, kita menyasarkan projek ini siap pada 2028,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kebangsaan Shell LiveWIRE Malaysia 2025 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof di sebuah hotel di sini, hari ini.
Justeru Len berkata, dalam tempoh beberapa bulan akan datang, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pemuktamadan semua kelulusan berkaitan bagi melancarkan pelaksanaan projek.
“Perkara ini juga selaras dengan komitmen penuh kami untuk memastikan projek ini berjaya disiapkan seperti yang dijadualkan demi manfaat ekosistem digital dan inovasi Sarawak,” ujar beliau yang juga Pengerusi TEGAS
Tambahnya, projek berkenaan juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, khususnya dalam memperkukuh pembangunan bakat, memupuk inovasi serta memajukan ekonomi digital yang bersedia menghadapi masa hadapan.
Untuk rekod, projek TLS akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 15 ekar berhampiran Perkampungan Digital TEGAS (TDV), di sini.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|