|
Dua maut bas masuk sungai

ORANG ramai melihat bas ekspres Transnasional yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Lipis - Merapoh, Kuala Lipis semalam.
KUALA LIPIS - "Bas ekspres ini mungkin sudah rosak, tetapi ia bertolak juga selepas ditunda enam jam sehinggalah berlaku tragedi meragut nyawa ini."
Demikian dakwa Adi Shahrir Ismail, 20, salah seorang mangsa kemalangan bas ekspres Transnasional yang melanggar sebuah pondok menunggu bas sebelum terjunam ke dalam sungai di Kilometer 13, Jalan Lipis-Merapoh pukul 8.30 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, dua pemandu bas itu, Mat Nawi Daud, 39, dari Tumpat dan Mohamed Ibrahim, 47, dari Kampung Binjai Manis, Kota Bharu, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari bas.
Manakala tiga penumpang lain cedera parah dan 16 lagi cedera ringan. Dua yang parah ialah Parawa Karan Subramaniam dari Rawang, Selangor dan Abdul Halim, seorang warga Bangladesh kini dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAH) Temerloh.
Bercerita lebih lanjut, Adi yang berasal dari Gua Musang mendakwa, bas tersebut yang sepatutnya bertolak pada pukul 12 tengah malam dari Hentian Putra di ibu negara, telah menunda perjalanannya kepada pukul 6 pagi.
"Pada mulanya, saya memang rasa tak sedap hati sebab terpaksa menunggu lama untuk menaiki bas itu.
"Tapi rasa risau itu hilang selepas saya tertidur di dalam bas dan sedar-sedar, saya sudah tercampak di depan pintu bas dan saya patah tangan kiri," katanya ketika ditemui.
Rakannya, Mohamad Sharul Hakim, 20, yang berasal dari Gua Musang mengalami kecederaan ringan apabila terseliuh bahu kiri. |
|
|
|
|
|
|
|
Ceroboh Taman Laut, nelayan Thai ditahan
Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
[email protected]

DUA buah bot dalam bersama nelayan dipercayai warga Thailand yang berjaya dirampas oleh Polis Marin di perairan Pahang.
KUANTAN - Kira-kira 1 tan pelbagai jenis ikan dipercayai dicuri di perairan Taman Laut Negara berikutan penahanan dua buah bot nelayan Thailand berhampiran Pulau Redang, Terengganu pada Jumaat lalu.
Pengarah Operasi Bersama Samudera Gagah, Komander Maritim, Wan Mat Wan Abdullah berkata, pihaknya turut menahan 14 awak-awak dan dua tekong, kesemuanya berumur antara 21 hingga 47 tahun dalam kejadian itu.
"Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang memeriksa bot terbabit mendapati sebanyak satu tan ikan telah disimpan dalam ruang simpanan beku," katanya ketika dihubungi semalam.
Kosmo! semalam melaporkan 37 awak-awak dan empat bot nelayan Vietnam ditahan kerana menceroboh perairan negara kira-kira 26 hingga 29 batu nautika dari pantai pada Jumaat lalu selepas 34 awak-awak, tekong serta nakhoda bersama dua buah bot ditahan pada 4 dan 5 Jun.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 malam Jumaat lalu, Wan Mat memberitahu, pihaknya menerima maklumat daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menyedari kegiatan nelayan asing itu di kawasan perairan kira-kira 20 batu nautika dari pantai Kuala Terengganu.
"Ketika dua kapal peronda polis marin dan APPM sampai, dua bot terbabit sedang menangkap ikan tidak jauh dari pelantar minyak. Mereka kemudian ditahan dan ditunda ke Pangkalan Polis Marin Kuantan pada pukul 1.30 petang," ujarnya.
Menurutnya, pihaknya mendapati semua nelayan terbabit tidak mempunyai pasport atau lesen serta dokumen yang sah untuk menangkap hasil laut di perairan Malaysia.
Beliau berkata, nelayan terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.
"Jika sabit kesalahan, tekong terbabit boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 setiap seorang," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Hulu Tembeling perlu pembangunan infrastuktur
Oleh HARIS FADILAH AHMAD

Jalan tanah merah sejauh 90 kilometer dari Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling boleh dinaik taraf jika kerajaan memajukan tanah untuk tanaman kelapa sawit di Hulu Tembeling, Jerantut, Pahang.
JERANTUT 9 Jun - Kawasan Hulu Tembeling di daerah ini masih dianggap sebagai kawasan pedalaman yang masih ketinggalan dalam arus pembangunan negara terutama dalam aspek infrastruktur.
Faktor lokasi yang terlalu jauh dari kawasan pembangunan merupakan antara sebab Hulu Tembeling agak ketinggalan berbanding kawasan lain di Pahang.
Meskipun begitu, banyak potensi yang boleh diteroka untuk memajukan Hulu Tembeling terutama dalam sektor pertanian dan pelancongan.
Menyedari hakikat itu, pemimpin masyarakat di sini meminta Lembaga Pemulihan dan Pembangunan Tanah (Felcra) memajukan seluas 10,000 hektar di kawasan Hulu Tembeling di sini dengan tanaman kelapa sawit secara komersiol untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi kawasan itu.
Menurut mereka, menerusi projek itu, pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dari Kampung Tuit, Kuala Tahan ke Mat Daling sejauh 90 kilometer perlu dibina untuk mengangkut hasil kelapa sawit dan pertanian lain ke bandar Jerantut.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati rata-rata di kalangan ketua kampung meminta kerajaan meneroka sektor perladangan di kawasan tersebut kerana masih banyak tanah terbiar milik penduduk dan rizab dapat dimajukan bagi projek berkenaan.
Ketua Kampung Kuala Sat, Sidik Mahussin, 57, berkata, sudah sampai masanya kerajaan membangunkan kawasan Hulu Tembeling sebagai pusat pertumbuhan baru berasaskan sektor perladangan.
''Penerokaan tanah untuk pengeluaran hasil komoditi dapat memacu perubahan sosiol dan ekonomi penduduk pedalaman Tembeling yang rata-rata masih berpendapatan rendah," katanya.
Justeru beliau meminta, Felcra Berhad mahupun agensi lain yang terbukti mempunyai keupayaan lojistik dan kewangan memajukan tanah terbiar dan rizab kerajaan untuk pembangunan jangka panjang.
Ketua Kampung Bantal, Jamaluddin Ali, 50, pula berkata, penduduk di kawasan itu menunggu pembangunan sejak 50 tahun lalu sejak merdeka tetapi masih tidak banyak berubah berbanding tempat lain.
''Kerajaan perlu mekanisme baru untuk memajukan kampung di persisiran Sungai Tembeling menerusi projek perladangan dan perumahan yang teratur khususnya peluang bagi belia yang sudah berkeluarga," katanya.
Ketua Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 36, berkata, JKKK lima buah kampung di Mukim Hulu Tembeling memberi keutamaan agenda pembangunan ekonomi dengan menggesa kerajaan negeri mewujudkan projek perladangan dan pertanian.
''Kami yakin jika wujud ladang yang luas dan perumahan, lambat laun Kerajaan Pusat akan membina projek jalan raya ke pedalaman di sini untuk mempercepatkan lagi perhubungan bagi menggantikan pengangkutan bot," katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Bantai, Japrun Ali, 49, berkata, projek ladang kelapa sawit dapat mempercepatkan pertumbuhan kawasan baru bagi lima buah kampung pedalaman melibatkan Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantai, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai.
''Kampung tradisional boleh maju jika ada kemudahan prasarana dan bantuan agensi berkenaan memajukan sektor perladangan dan pertanian," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kerajaan negeri menerima baik pandangan serta permohonan JKKK di Mukim Hulu Tembeling untuk kemajuan setiap kampung berkenaan.
''Sebenarnya, kerajaan prihatin dan sudah merancang khususnya pembangunan semula kampung-kampung tradisional di pedalaman Hulu Tembeling," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Sindiket penipuan di tiga daerah
Oleh ALI MAHMOOD
TEMERLOH 9 Jun - Penduduk daerah Temerloh, Maran dan Bera dinasihatkan supaya berhati-hati apabila didatangi individu atau syarikat yang menawarkan hadiah dan ganjaran luar biasa.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Temerloh, Othman Din berkata, pihaknya telah mengesan sebuah syarikat di bandar Temerloh disyaki menipu orang ramai dengan menawarkan cek yang jumlahnya dianggap 'tak masuk akal.'
Menurutnya, KPDNHEP tidak akan bertolak-ansur dengan syarikat dan individu yang menjalankan sindiket penipuan yang menawarkan hadiah 'tak masuk akal' kepada orang ramai seperti yang tersiar dalam sebuah akhbar kelmarin.
''KPDNHEP akan melakukan pemeriksaan ke pejabat syarikat terbabit dan jika mempunyai bukti mereka melakukan penipuan, semua kakitangan syarikat termasuk pengarah dan pekerja boleh ditangkap dan didakwa di mahkamah," kata Othman kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, mereka boleh didakwa di bawah Akta Jualan Langsung dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau mengingatkan pengguna supaya tidak terperangkap dengan tawaran seumpama itu dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya diperdaya wakil syarikat berkenaan dengan menghubungi pejabat kementerian itu di talian 09-2901601.
Katanya, orang ramai perlu bijak dan menggunakan kuasa yang ada dengan tidak membeli barangan murah yang tidak berkualiti ekoran ditawarkan pelbagai hadiah lumayan.
Othman berkata, peniaga yang degil dan menaikkan harga barang sesuka hati atau cuba menipu penguna boleh didakwa di mahkamah atau ditarik balik lesen perniagaannya.
Mengenai kenaikan harga barang beliau memberitahu, pihaknya menjalankan pemantauan di setiap daerah dan mengakui sesetengah barang naik secara mendadak, bagaimanapun harga barang kawalan masih terkawal. |
|
|
|
|
|
|
|
Bandar Tun Abdul Razak Jengka nadi usahawan

Premis perniagaan di Bandar Tun Abdul Razak Jengka di Pahang.
BANDAR JENGKA 9 Jun - Pembangunan ekonomi yang kurang memberangsangkan di kalangan peneroka mencetuskan idea supaya sebuah bandar berteraskan ekonomi dibangunkan di sini.
Justeru sekitar awal tahun 1970-an, kerajaan membangunkan Bandar Jengka sebagai tapak kepada kaum bumiputera untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
Selaras dengan perkembangan semasa, Bandar Jengka yang kini dikenali Bandar Tun Abdul Razak Jengka terus membangun dan berjaya melahirkan ramai usahawan bumiputera terutama di kalangan peneroka.
Bandar Tun Abdul Razak Jengka dibangunkan di kawasan strategik iaitu di tengah-tengah Felda Jengka Tiga Segi.
Bandar itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk ruang niaga, perumahan, bank perdagangan, hospital, balai polis, balai bomba, institusi pendidikan termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang.
Sejak dibangunkan, terdapat seramai 280 peniaga bumiputera bergiat dalam pelbagai aktiviti perniagaan di bandar itu.
Lebih membanggakan, Bandar Tun Abdul Razak Jengka merupakan satu-satunya bandar milik bumiputera sepenuhnya yang dibangunkan oleh kerajaan untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam bidang ekonomi di negara ini.
Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Wilayah Jengka, Abd. Ghafar Md. Yadin berkata, Bandar Tun Abdul Razak Jengka dianggap nadi dan maruah kaum bumiputera terutama dalam bidang perekonomian.
Katanya, kaum bumiputera seharusnya merasa bertuah dengan usaha kerajaan itu yang membangunkan sebuah bandar khusus untuk mereka bergiat dalam bidang perniagaan.
''Berdasarkan statistik, terdapat hampir 300 usahawan Melayu di sini, tidak termasuk peniaga kecil-kecilan dari tanah rancangan Felda,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Exco Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Wilayah Jengka, Kamariah Othman pula berkata, kaum bumiputera seharusnya bangga dengan usaha kerajaan membangunkan sebuah bandar khusus untuk mereka menjalankan perniagaan.
''Peneroka dan orang Melayu patut berbangga dengan wujudnya Bandar Tun Abdul Razak Jengka kerana ia adalah satu-satunya bandar milik penuh orang Melayu,'' katanya.
Ketua Wanita UMNO cawangan Rantau Perintis, Asiah Ismail pula berharap Bandar Tun Abdul Razak Jengka terus kekal dijadikan sebuah bandar yang dikhususkan kepada bumiputera pada masa akan datang.
Menurutnya, semua pihak harus bersyukur dan berterima kasih terhadap usaha yang dijalankan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mengilhamkan kewujudan bandar itu bagi melatih bumiputera berniaga.
Sementara itu, seorang peneroka Felda Melor Jengka 12, Mohamed Awang Teh, 55, bimbang dengan usaha pihak tertentu yang mahu membuka 'pintu' kepada kaum lain untuk menjalankan perniagaan di bandar berkenaan.
''Saya bimbang jika Bandar Tun Abdul Razak Jengka dibuka kepada kaum lain, ia akan menyebabkan ramai peniaga Melayu di sini gulung tikar kerana mereka tidak mampu bersaing,'' katanya.
Bagi peneroka Felda Mawar Jengka 10, Harun Sidek, 65, Bandar Tun Abdul Razak Jengka merupakan lambang patriotisme kaum bumiputera terutama dalam bidang ekonomi.
Dia sedih apabila wujud usaha pihak tertentu yang mahu membuka ruang kepada kaum lain menjalankan perniagaan di bandar berkenaan.
Bagi peneroka Felda Sungai Tekam, Ismail Hashim, 50, masyarakat peneroka di sini memperoleh pelbagai faedah daripada kewujudan Bandar Tun Abdul Razak Jengka.
Bagaimanapun, dia sedih apabila terdapat sebahagian peneroka yang menolak kerajaan yang telah berusaha membangunkan bandar tersebut untuk kepentingan kaum bumiputera.
Tambahnya, status Bandar Tun Abdul Razak Jengka perlu dipertahankan supaya pendapatan peneroka Felda dapat dilaburkan di bandar tersebut daripada mengalir keluar dari tanah rancangan itu.
Seorang usahawan, Sufian Zainuddin, 53, turut menegur sebilangan peniaga Melayu yang membuang 'tongkat' setelah berjaya malah sanggup mempelawa peniaga luar berniaga di bandar itu.
Perbuatan sedemikian ujarnya, memberi kesan negatif kepada perniagaan bumiputera di Bandar Tun Abdul Razak Jengka.
Oleh itu, Sufian mahu pihak berkuasa memantau gejala perbuatan 'mengalibabakan' perniagaan bagi menjamin status Bandar Tun Abdul Razak Jengka kekal sebagai milik bumiputera. |
|
|
|
|
|
|
|
Tambang feri ke Tioman bakal naik
Oleh HAFIZ ABBAS
[email protected]

DAVID melihat rekod perniagaanya yang semakin membimbangkan akibat kenaikan harga petrol dan diesel di Jeti Tanjung Gemok, Rompin semalam.
ROMPIN |
|
|
|
|
|
|
|
RM40 juta bina rumah generasi kedua Felda
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
BANDAR JENGKA 11 Jun - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi membina 534 unit rumah untuk generasi kedua dan ketiga Felda di Felda Melati Jengka 11 dan Felda Siantan Jengka 19 pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail (gambar) berkata, peruntukan itu bertujuan membolehkan lebih ramai generasi baru Felda memiliki rumah sendiri.
Katanya, kerajaan akan membina rumah kos rendah, kos sederhana dan kedai berharga antara RM35,000 hingga RM90,000 seunit.
''Usaha-usaha sedang dijalankan termasuk menyiapkan pelan susun atur rumah dan permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk membebaskan kawasan yang terlibat dengan projek itu daripada Akta Pembangunan Kawasan Berkelompok 1960,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada orang miskin, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, anak yatim dan pesakit kronik di Dewan Semarak Felda Jengka 15 di sini hari ini.
Seramai 691 orang menerima bantuan bernilai RM292,500 pada majlis tersebut.
Wan Salman berkata, menerusi projek perumahan itu, sebanyak RM24 juta diperuntukkan untuk membina 95 unit rumah kos sederhana A dan 143 unit rumah kos sederhana B serta lapan unit premis kedai setingkat di kawasan seluas 38 hektar di Felda Siantan Jengka 19.
''Projek perumahan di Felda Melati Jengka 11 pula, sebanyak 126 unit rumah kos rendah, 74 unit rumah kos sederhana dan 46 unit rumah kedai bernilai RM16 juta di kawasan seluas 8.1 hektar,'' katanya.
Menurut beliau, kerja-kerja awal projek perumahan itu dijangka dilaksanakan dalam tahun ini selepas beberapa prosedur dilakukan.
Beliau yakin projek tersebut dapat dilaksanakan menjelang tahun 2010.
Katanya, kerajaan sentiasa prihatin dengan keperluan anak-anak peneroka yang berkeluarga dan memerlukan kediaman selesa.
Sehubungan itu, beliau meminta warga Felda supaya bersyukur dengan nikmat yang diperoleh berikutan kenaikan harga sawit dan getah, yang sekali gus memberi impak positif kepada mereka.
Bagaimanapun, katanya, warga peneroka perlu terus mengamalkan budaya berjimat cermat dan menabung dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF) atau saham amanah bagi menjamin masa depan mereka.
Katanya, kerajaan prihatin dengan keperluan anak-anak peneroka yang sudah berkeluarga dan memerlukan kediaman selesa. |
|
|
|
|
|
|
|
Kursus kakitangan baru 4 kali setahun
KUANTAN Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan melaksanakan kursus empat kali setahun kepada kakitangan lantikan baru dan yang baru dinaikkan pangkat supaya mereka lebih bersedia menghadapi tekanan serta cabaran kerja.Yang Dipertua MPK, Datuk Azizan Ahmad berkata, pendekatan tersebut adalah antara beberapa siri kursus asas yang perlu diikuti oleh semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi mewujudkan pembangunan modal insan cemerlang.
Menurut beliau, langkah-langkah lain yang diambil termasuk menyediakan kaunter berpusat yang lebih kondusif kepada pelanggan seperti ruang letak kereta khas untuk orang kurang upaya (OKU).
''Ini selaras dengan hasrat kepimpinan negara yang mahu penjawat awam meningkatkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan mereka," katanya ketika berucap di majlis Anugerah Khidmat Cemerlang di sini malam tadi.
Menurut Azizan, pihaknya juga akan mengamalkan dasar 'turun padang' melalui program Hari Mesra Pelanggan dan bertemu mesra.
''Kita akan menitikberatkan aduan awam khususnya, yang melibatkan perkhidmatan-perkhidmatan MPK dan mendapatkan kerjasama erat daripada jabatan atau agensi kerajaan lain dalam perancangan pembangunan bandar Kuantan," katanya.
Pada masa sama, tambahnya, MPK juga mengadakan kursus bahasa Inggeris kepada para pegawainya terutama di barisan depan selama empat bulan. |
|
|
|
|
|
|
|
Lebih 10,000 peneroka Jengka hadapi masalah air
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD

Zakaria Idris (kanan) menunjukkan longgokan pasir di tebing sungai yang akan masuk ke saluran loji Hulu Jempol jika hujan lebat dan mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna di wilayah Jengka, Pahang.
BANDAR JENGKA 12 Jun - Masalah bekalan air yang sering menghantui lebih 10,000 peneroka di wilayah Jengka terutama di Felda Hulu Jempol, Felda Jengka 2 dan Pekan Sungai Jerik di sini dilihat bagaikan tidak ada jalan penyelesaian.
Sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan, penduduk akan mengalami masalah tersebut.
Ada ketikanya, penduduk terputus bekalan air selama 20 hari menyebabkan banyak aktiviti harian penduduk di tanah rancangan Felda di sini terjejas teruk.
Lebih buruk lagi apabila masalah tersebut berlaku ketika penduduk mengadakan majlis kenduri kahwin pada musim cuti persekolahan baru-baru ini, selain jika berlaku kematian untuk memandikan jenazah.
Penduduk mendakwa, antara punca masalah bekalan air di tiga kawasan terbabit ialah kerosakan yang sering berlaku di Loji Air Felda Hulu Jempol.
Ketua Kampung Felda Hulu Jempol, Zakaria Idris berkata, pihaknya hairan loji air bernilai RM8 juta itu sering mengalami kerosakan sejak beroperasi Mac tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, katanya, sekurang-kurang tiga kali kerosakan berlaku di loji tersebut.
Menurutnya, apabila berlaku kerosakan, para penduduk akan terputus bekalan air sehingga 20 hari sebelum loji itu diperbaiki semula.
''Masalah utama loji berkenaan ialah saluran yang dikatakan sering tersumbat dengan pasir setiap kali hujan lebat.
''Apabila saluran air tersumbat jentera tidak dapat berfungsi dengan baik untuk menyalurkan air di kawasan simpanan sebelum dialirkan ke premis kediaman dan perniagaan,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kes terbaru pada cuti sekolah baru-baru ini, Zakaria memberitahu, tiga kawasan terbabit terputus bekalan selama lapan hari akibat kerosakan loji terbabit.
Keadaan itu jelas beliau, menyebabkan beberapa penduduk kampung menghadapi masalah untuk mengadakan kenduri kahwin.
''Mereka terpaksa menggunakan perkhidmatan lori Jabatan Bekalan Air (JBA) untuk membekalkan air bagi mengadakan kenduri,'' katanya.
Ketua UMNO Hulu Jempol Cawangan C, Sufian Marjo pula berkata, masalah bekalan air sering berlaku setiap kali hujan lebat.
Sehubungan itu, menurutnya, penduduk merayu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku menteri yang menjaga hal ehwal Felda mengambil perhatian terhadap masalah yang dialami peneroka kawasan ini.
''Kerajaan perlu menyediakan peruntukan tambahan bagi mengatasi masalah kerosakan yang sering berlaku di loji tersebut," katanya.
Ketua Kampung Felda Jengka 2, Mat Napi Keria berkata, masalah gangguan bekalan air juga menyebabkan aktiviti harian keluarga dan masyarakat termasuk menguruskan kematian terganggu.
Beliau mendakwa, ada kes untuk memandikan jenazah menimbulkan masalah berikutan terputusnya bekalan air.
Menurutnya, masalah bekalan air itu bukan berpunca daripada paip pecah tetapi masalah yang dihadapi di loji air tersebut.
''Bekalan air yang dibekalkan oleh lori JBA Maran dan Bandar Jengka tidak mencukupi berikutan jumlah penduduk yang ramai di sini,'' katanya.
Justeru, tegasnya, pengurusan Felda perlu mengambil perhatian serius terhadap masalah yang dihadapi penduduk kerana air merupakan keperluan asas.
''Kami membayar bil air setiap bulan tetapi perkhidmatan yang diterima penduduk amat mengecewakan,'' katanya.
Ketua Kampung Pekan Sungai Jerik, Lim Sin Lai turut kecewa dengan masalah bekalan air yang sering terputus dari loji air itu yang turut menjejaskan aktiviti perniagaan di pekan tersebut.
''Banyak kedai makan dan restoran terpaksa ditutup sementara apabila berlaku gangguan bekalan air,'' jelasnya.
Bagaimanapun katanya, penduduk pekan itu agak beruntung kerana mereka memperoleh bekalan air alternatif iaitu dari Gunung Jerik yang boleh dialirkan terus ke rumah-rumah penduduk di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, penduduk mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang menyumbang peruntukan RM5,000 untuk mewujudkan saluran air dari gunung itu.
''Melalui saluran kedua air gunung itu, penduduk Felda Jengka 2 dan Hulu Jempol boleh mengangkut air menggunakan kenderaan seperti lori dan kereta bagi menampung keperluan di rumah masing-masing,'' katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Felda janji atasi masalah bekalan air

Shahaniza Shamsuddin membantu peneroka Felda Hulu Jempol memasukkan air dari gunung ke dalam tong di pekan Sungai Jerik, Maran, Pahang, baru-baru ini.
BANDAR JENGKA 12 Jun - Masalah bekalan air yang sering terputus di tiga kawasan dalam wilayah Jengka di sini sejak lebih setahun lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin.
Menurut Shahaniza, masalah yang dihadapi penduduk dan peneroka di kawasan terbabit telah dikemukakan kepada kerajaan negeri baru-baru ini.
''Perkara ini telah kita bincangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kerajaan negeri akan mengambil langkah sewajarnya untuk menanganinya.
''Kita amat bersimpati dengan masalah yang dihadapi penduduk dan peneroka di kawasan terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika melawat Felda Hulu Jempol untuk meninjau masalah bekalan air yang dihadapi peneroka di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Beliau mengulas masalah bekalan air yang dihadapi 10,000 penduduk di Felda Hulu Jempol, Felda Jengka 2 dan Pekan Sungai Jerik di sini yang sering terputus sejak lebih setahun lalu.
Masalah itu dikatakan berpunca daripada Loji Air Hulu Jempol yang sering mengalami kerosakan walaupun baru beroperasi 14 bulan lalu.
Mengulas lanjut, Shahaniza memberitahu, selain dibincangkan dalam persidangan DUN, masalah tersebut juga telah dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjaga hal ehwal Felda, Pejabat Daerah Maran dan pengurusan Felda untuk tindakan selanjutnya.
Berikutan itu, jelas beliau, Felda berjanji akan menghantar kontraktor secara berkala bagi memastikan masalah kerosakan yang dihadapi di loji berkenaan dapat diatasi.
''Kontraktor terbabit akan memastikan tiga saluran air di loji tersebut yang dikatakan sering tersumbat dengan pasir dapat dibersihkan setiap masa," katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, peruntukan segera sebanyak RM5,000 akan diberi kepada jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) berkenaan untuk mewujudkan saluran kedua air dari Gunung Jerik.
''Dengan wujudnya saluran kedua itu, penduduk Pekan Sungai Jerik dan sekitarnya akan sentiasa mendapat bekalan air walaupun ketika loji mengalami kerosakan," katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, penduduk terbabit perlu bersabar dan menghadapi sedikit kepayahan untuk mengambil air dari gunung itu yang terletak agak jauh dari penempatan penduduk.
''Penduduk perlu mengambil air dengan kenderaan sejauh kira-kira lapan kilometer dari Felda Jengka 2 dan lima kilometer dari Felda Hulu Jempol ke kaki gunung tersebut,'' katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Sasaran 12j pelancong ke Pahang

Shafik Fauzan Sharif (dua dari kanan) melihat Azalina Othman Said bergurau dengan anak beruang semasa melawat Deerland Park sebelum merasmikan Zoom Malaysia peringkat Negeri Pahang di Pusat Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah, Lancang, kelmarin.
TEMERLOH 12 Jun - Kerajaan Pahang yakin sasaran untuk mencapai kemasukan 12 juta pelancong ke negeri ini tidak akan terjejas walaupun berlaku kenaikan harga minyak, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, dan Pembangunan Keluarga negeri, Shafik Fauzan Sharif berkata, sehingga kini seramai tiga juta pelancong berkunjung ke Pahang dalam tempoh 3 bulan pertama tahun ini.
Menurut beliau, bilangan kemasukan yang tinggi itu memberi petanda positif kepada Pahang dalam sektor tersebut.
Pada tahun lalu, kata beliau, seramai 10 juta pelancong melawat negeri ini dengan menjana pendapatan lebih RM6 bilion.
''Sebahagian besar mereka adalah pelancong dari Eropah, China dan Asia Barat tetapi kehadiran pelancong domestik menunjukkan pengurangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Zoom! Malaysia peringkat negeri di Pusat Pemuliharaan Gajah Kuala Gandah, Lanchang dekat sini, semalam.
Program itu dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Shafik Fauzan berkata, kerajaan negeri akan meningkatkan promosi dengan lebih agresif di luar negara bagi memperkenalkan Pahang sebagai pusat pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pelancong.
Selain itu katanya, lebih banyak prasarana akan dibangunkan di seluruh negeri termasuk menukar papan tanda usang, menyediakan landskap menarik dan menambah bilik hotel.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sambutan Citrawarna dan Citrarasa Malaysia peringkat negeri akan diadakan selama tiga hari di Padang Kemunting, Kuantan bermula 13 Jun ini.
''Pelbagai acara diatur bagi sambutan tersebut termasuk perarakan dan tarian yang akan disertai 500 peserta pelbagai kaum.
''Turut diadakan ialah pertandingan masakan, gubahan bunga, pertandingan mewarna dan foto yang mempamerkan pelbagai jenis masakan tradisional dari Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Selangor," katanya.
Tambahnya, sambutan tersebut akan dirasmikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2, Kuantan. |
|
|
|
|
|
|
|
Kerajaan batal acara bunga api
KUANTAN 12 Jun - Persembahan bunga api sempena sambutan Citrawarna dan Citrarasa Malaysia peringkat negeri Pahang yang dijadualkan berlangsung selama 25 minit dibatalkan sebagai langkah berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah kerajaan.
Pahang merupakan destinasi keempat yang dipilih oleh Kementerian Pelancongan untuk menganjurkan acara tersebut.
Acara sambutan akan diadakan pada 13 hingga 15 Jun di Padang Kemunting dan Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 3, Kuantan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Pengerusi Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita di sini hari ini, keputusan tersebut dibuat oleh jawatankuasa induk sambutan program berkenaan.
''Jawatankuasa telah bersetuju membatalkan persembahan bunga api yang dijadualkan selama 25 minit pada 15 Jun 2008," kata kenyataan itu.
Sempena sambutan itu juga, jelas kenyataan tersebut, perarakan yang sepatutnya disertai 865 peserta dikurangkan kepada 400 peserta sahaja.
''Pengurangan peserta ini tanpa menjejaskan konsep dan tema perarakan yang akan mengambil masa selama 1 jam 30 minit," tambah kenyataan itu. |
|
|
|
|
|
|
|
Projek RM1 bilion di Lanchang
TEMERLOH 13 Jun - Pahang bakal menerima pelaburan bernilai RM1 bilion apabila sebuah syarikat dijangka menanam modal untuk membina sebuah kilang menghasilkan sel stem dan pengkulturan daripada arnab di Lanchang dekat sini tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, pihaknya mengenal pasti tanah seluas 80 hektar di kawasan itu untuk membina kilang tersebut tidak lama lagi.
Katanya, pembinaan kilang tersebut bakal mengubah wajah Lanchang yang sebelum ini mendapat jolokan 'bandar koboi'.
''Pelaburan itu bakal menjadikan Malaysia sebagai pengeluar sel stem terbesar di dunia selain mampu menjana perolehan sebanyak RM1 bilion setahun daripada industri tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Mohd. Sharkar, projek penghasilan sel stem dan pengkulturan daripada arnab itu pada awalnya dirancang dibangunkan di Janda Baik, Bentong.
Bagaimanapun katanya, industri tersebut dipindahkan ke Lanchang setelah Janda Baik beberapa kali mengalami gempa bumi kecil sejak akhir-akhir ini yang boleh mengganggu operasi kilang terbabit.
Katanya, projek itu meliputi sebuah ladang menternak arnab seluas 12 hektar, makmal (lapan hektar) dan penempatan tenaga pakar (empat hektar).
''Baki seluas 68 hektar akan dikekalkan sebagai kawasan penampan pembangunan akan datang," katanya.
Tambah beliau, projek itu dijangka beroperasi sepenuhnya tiga tahun lagi apabila segala kemudahan operasi disiapkan mengikut jadual.
Katanya, pengeluaran sel stem dan pengkulturan itu juga telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan.
Selain itu, katanya, Lanchang kini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana mempunyai beberapa produk pelancongan menarik seperti Pusat Pemuliharaan Gajah di Kuala Gandah dan taman rusa di Deerland Park. |
|
|
|
|
|
|
|
Yayasan Pahang kaji naikkan kadar biasiswa
KUANTAN 13 Jun - Yayasan Pahang sedang mengkaji untuk menaikkan kadar Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) bagi menampung perbelanjaan pelajar yang menerima pembiayaan tersebut di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, usaha itu juga dilakukan bagi meningkatkan lagi prestij BKMB agar setanding dengan biasiswa terkemuka lain di dunia.
Menerusi kajian itu, kata beliau, BKMB akan terhad kepada dua pelajar sahaja berbanding lima orang penerima pada masa ini.
''Kita akan pastikan penerima biasiswa ini nanti berkhidmat dengan kerajaan negeri tetapi pada masa sama, kita juga boleh lepaskan mereka pada bila-bila masa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah BKMB di Yayasan Pahang di sini semalam.
Pada majlis itu, empat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2007 dan seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007 menerima anugerah tersebut.
Adnan berkata, pada masa ini, Yayasan Pahang menyalurkan BKMB meliputi elaun sara hidup dan elaun buku sebanyak RM10,240 setahun kepada setiap pelajar yang mengikuti bidang perubatan di mana-mana IPT awam dan swasta yang diiktiraf.
Bagi yang bukan pelajar jurusan perubatan, katanya, Yayasan Pahang membayar biasiswa sebanyak RM9,000 setahun untuk kedua-dua elaun itu.
Bayaran tersebut bagaimanapun, katanya, tidak termasuk elaun alat perkakas (RM300-RM500), elaun tesis (RM400) dan elaun komputer (RM5,000) yang dibayar hanya sekali sepanjang tempoh pengajian.
Setakat ini, Adnan memberitahu, seramai 36 pelajar menerima BKMB yang dilancarkan 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, tambahnya, beliau perlu mengkaji terlebih dahulu sama ada untuk menaikkan pinjaman pelajaran kepada semua pelajar Yayasan Pahang atau sebaliknya, berikutan peningkatan kos sara hidup selepas kenaikan harga minyak. |
|
|
|
|
|
|
|
4,000 hektar tanah dimaju bantu penduduk pedalaman
Oleh HARIS FADILAH AHMAD
JERANTUT 13 Jun - Kerajaan negeri merancang memajukan tanah seluas 4,000 hektar bagi projek Ladang Sejahtera di beberapa buah kampung di pedalaman Hulu Tembeling dalam usaha mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata, kawasan yang akan dimajukan secara berperingkat itu meliputi Kampung Pagi, Kuala Sat, Bantai dan Mat Daling.
Felcra katanya, telah diminta agar memajukan tanah milik penduduk dan rizab simpanan untuk tanaman kelapa sawit bagi menjamin pendapatan berterusan.
''Kita yakin Felcra yang mempunyai keupayaan logistik dan kepakaran dapat memajukan kawasan Hulu Tembeling dalam sektor peladangan untuk mengubah hidup penduduk miskin," katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi warga emas yang uzur, Mek Som Adam, 80, di Kampung Pengau, Hulu Tembeling di sini hari ini.
Wan Amizan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada Mek Som.
Mengulas lanjut katanya, buat permulaan, kerajaan negeri akan memajukan tanah seluas 1,200 hektar di Kampung Pagi dengan peranan Felcra sebagai pengkaji guna tanah serta kawalan alam sekitar untuk mempercepatkan tanaman kelapa sawit.
Menurut beliau, kerajaan negeri bersungguh-sungguh mahu memajukan Hulu Tembeling kerana kawasan itu antara yang termundur dalam aspek pembangunan di negara ini.
Selain sektor perladangan katanya, usaha juga sedang dijalankan untuk memajukan tanah kelompok bagi diagihkan kepada penduduk dalam program penempatan semula.
Wan Amizan seterusnya memberi jaminan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM84 juta untuk projek jalan raya sejauh 16 kilometer dari Kampung Tuit, Tahan hingga ke Jeram Nusa berdekatan Kampung Pagi tidak lama lagi.
''Kita masih memohon Kerajaan Persekutuan memberi peruntuk tambahan sebanyak RM100 juta untuk menyambung jalan raya sehingga ke Kampung Pagi bagi memudahkan kenderaan penduduk mengangkut hasil kampung ke bandar," katanya.
Katanya, jika jalan raya Kuala Tahan ke Kampung Pagi direalisasikan, ia merupakan katalis untuk projek yang sama disambung sehingga ke Mat Daling sejauh 90 kilometer dalam tempoh tiga tahun lagi.
Walaupun kerajaan mengambil langkah berjimat cermat dan mengurangkan projek besar, usaha pembangunan pedalaman Hulu Tembeling akan diteruskan secara berperingkat kerana kawasan itu mundur sejak negara merdeka, jelas Wan Amizan. |
|
|
|
|
|
|
|
Bekalan simen, besi kritikal di Pahang
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN 14 Jun - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Pahang mendakwa bekalan simen dan besi semakin meruncing di negeri ini menyebabkan banyak projek pembinaan tergendala.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Cawangan Pahang, Datuk Che Wan Mohd. Khalid Mohamad berkata, keadaan itu menyebabkan seramai 2,832 kontraktor bumiputera di negeri ini semakin tertekan apabila projek yang dijalankan gagal mengikut jadual.
Beliau tidak menolak kekurangan bekalan bahan binaan itu mempunyai kaitan dengan kenaikan harga simen dan besi akhir-akhir ini selepas kerajaan mengumumkan harga baru minyak pada 4 Jun lalu.
"Harga simen kini mencecah RM16 hingga RM17 sekampit manakala harga besi pula ialah RM1,800 hingga RM2,000 setan dan jika kenaikan harga tidak dibendung, ia boleh menyebabkan kontraktor Melayu gulung tikar,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas majlis perasmian mesyuarat agung tahunan PKMM Cawangan Pahang ke-24 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan Presiden PKMM, Senator Datuk Roslan Awang Chik.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Pegawai Daerah Maran, Mahadiah Mohamad.
Menurut Che Wan Mohd. Khalid, pihaknya mengenal pasti beberapa daerah di Pahang termasuk Kuantan mengalami kekurangan bekalan besi dan simen dan proses mendapatkan bekalan itu dari luar mengambil masa yang panjang.
"Jika bekalan simen tidak dipulihkan seperti sediakala, ia akan menjejaskan tempoh siap sesebuah projek sebagaimana yang disyaratkan. Jika ini berlaku, kontraktor terbabit akan didenda,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu kerajaan menangani masalah bekalan dan kenaikan harga bahan binaan itu bagi mengelakkan kontraktor bumiputera yang bermodal kecil gulung tikar.
Dalam pada itu, beliau meminta kontraktor mencari alternatif lain yang dapat membendung kenaikan harga bahan binaan supaya projek dapat dilaksanakan mengikut jadual.
"Kita yakin kerajaan memahami masalah yang d ihadapi kontraktor dan menanganinya secara bijak demi memastikan kestabilan industri pembinaan di negara ini," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Che Wan Mohd. Khalid menyifatkan keputusan kerajaan membenarkan kakitangan kerajaan melakukan kerja-kerja sambilan selepas waktu pejabat adalah tidak wajar dan boleh membawa implikasi negatif.
Katanya, pegawai kerajaan mungkin akan mengambil kesempatan mengutamakan kerja sambilan dan mengabaikan tugas rutin mereka sehingga menjejaskan integriti sesebuah jabatan.
"Kita bimbang akan berlaku kebocoran atau ketirisan maklumat berkaitan projek tertentu,'' katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
Contohi Johor serah lot rumah
BANDAR JENGKA 14 Jun - Pengurusan Felda di Pahang digesa mencontohi langkah Johor yang menyerahkan tanah kosong terbiar dalam rancangan itu bagi membolehkan generasi kedua dan ketiga agensi tersebut membina rumah sendiri.
Beberapa ketua peneroka di sini menyifatkan pemberian lot tapak rumah itu lebih berkesan dalam menangani mengatasi masalah rumah di kalangan generasi kedua dan ketiga Felda.
Ketua Kampung Anggerik Jengka Satu, Mohd. Akhir Awang berkata, walaupun Felda berusaha membangunkan projek perumahan generasi barunya tetapi langkah itu tidak dapat mengatasi sepenuhnya keperluan rumah di tanah rancangan.
"Felda berhasrat memajukan perumahan di Jengka Satu tetapi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan generasi baru Felda lebih berminat mendirikan sendiri rumah mereka," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Ketua Kampung Felda Semarak Jengka 15, Adnan Darus berkata, banyak tanah kosong terbiar dan tidak produktif di kawasan Felda boleh ditukar syarat kepada kawasan perumahan.
Tambahnya, ramai generasi kedua dan ketiga Felda berkeluarga dan memerlukan rumah kediaman sendiri.
"Jika ramai di kalangan mereka diberi peluang mendirikan rumah di tanah rancangan, ia dapat menghalang golongan muda berhijrah ke kawasan lain terutama ke bandar-bandar besar," katanya.
Ketua Kampung Felda Melati Jengka 11, Abdul Razak Abdul Rahman pula memberitahu, tidak ramai generasi kedua dan ketiga Felda terpilih memiliki rumah di bawah projek perumahan yang dibangunkan agensi berkenaan.
Selain itu, katanya, tidak semua mereka mampu membeli rumah kos rendah dan sederhana yang berharga antara RM35,000 hingga RM90,000 yang ditawarkan agensi berkenaan
"Strategi paling tepat ialah beri lot tapak dan mereka dirikan rumah di tapak itu dengan reka bentuk dan perbelanjaan sendiri," ujarnya.
Pengerusi Belia Felda Harapan Baru Jengka Satu, Mohd. Zaharun Nizam Mahmad berkata, tidak ramai golongan muda mampu membeli rumah siap yang ditawarkan Felda berikutan mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap.
Malah katanya, kebanyakan tanah rancangan lama hanya dihuni warga emas menyebabkan suasana kampung agak muram kerana ramai generasi muda yang produktif berhijrah ke bandar untuk mencari kehidupan masing-masing. |
|
|
|
|
|
|
|
Kera selongkar almari curi pasport
Oleh HAFIZ ABBAS

SEEKOR kera memanjat rumah seorang penduduk di Kampung Jawa, Kuantan semalam. Gambar kecil, Saiful Bahrin.
KUANTAN - Lazimnya pasport antarabangsa dicuri oleh pendatang asing tanpa izin yang memecah masuk rumah tetapi lain pula yang dialami oleh seorang peniaga, Saiful Bahrin Mohd, 35.
Mangsa cemas apabila pasport antarabangsanya dicuri oleh sekumpulan kera liar yang menceroboh masuk rumahnya di Kampung Jawa di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari kelmarin.
"Salah seekor kera itu menyelongkar almari baju dan mencuri sebuah beg plastik yang mengandungi dokumen penting termasuk pasport sebelum lari ke atas bumbung rumah," kata mangsa ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurutnya, salah seorang anak lelakinya, Mohd. Azahari Irwan, 6, cuba mengejar kera tersebut dengan memanjat bumbung rumah dan mengacah-acah untuk mendapatkan kembali beg plastik berkenaan.
"Ketika itu saya bimbang juga kerana takut diapa-apakan oleh kumpulan kera liar itu tetapi alhamdulillah kerana beg plastik itu ditinggalkan begitu sahaja di atas bumbung dan anak saya berjaya mendapatkannya kembali," cerita Saiful.
Katanya, kumpulan 30 ekor kera itu kerap masuk ke rumah penduduk dengan mencuri makanan seperti nasi, Milo dan buah-buahan di dalam rumahnya.
"Kadang-kadang kami dah simpan dalam peti ais, tetapi dia (kera) bijak dan pandai pula buka pintu peti ais," katanya sambil meminta pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertindak. |
|
|
|
|
|
|
|
Pahang naikkan elaun warga emas wujud 2 skim baru
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN 15 Jun - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menaikkan kadar elaun warga emas dan mewujudkan dua skim untuk membantu pekerja orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik berkuat kuasa 1 Julai ini.
Pengarah JKM negeri, Shamsiah Hussin berkata, warga emas akan menerima elaun sebanyak RM300 sebulan berbanding RM200 sebulan sebelum ini.
Menerusi skim yang baru diwujudkan itu, kata beliau, pekerja OKU akan menerima elaun sebanyak RM300 bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM750 sebulan.
''Pesakit kronik yang terlantar akan menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan manakala penjaganya di rumah turut mendapat insentif sebanyak RM300 sebulan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di Taman Maran Jaya di sini hari ini.
Hadir sama, Pegawai JKM Maran, Mohamad Aziz Abdul Kapi.
Shamsiah berkata, insentif kepada pekerja OKU bertujuan menggalakkan mereka berusaha tanpa menunggu bantuan berterusan daripada kerajaan.
''JKM amat menggalakkan mana-mana golongan OKU berminda positif dan berusaha keras memajukan diri sendiri dan pada masa sama kerajaan akan memberi sokongan.
Elaun"JKM akan sentiasa menilai kadar elaun yang diberikan itu kepada individu tertentu bagi menampung keperluan harian mereka," katanya.
Sementara itu, katanya, kenaikan kadar elaun itu amat wajar bagi menampung perbelanjaan warga emas yang berusia lebih 60 tahun berikutan dengan kenaikan harga barangan di pasaran.
"Penjaga pesakit kronik yang terlantar turut mendapat insentif supaya mendapat penjagaan sempurna di samping mengelakkan mereka dihantar ke rumah kebajikan," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Shamsiah memberitahu, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak itu berfungsi untuk melindungi kanak-kanak yang teraniaya.
Pusat tersebut, katanya, dilengkapi dengan kemudahan komputer, buku, mainan kanak-kanak yang merangsang proses pembelajaran.
"Pusat ini berfungsi sebagai 'pusat lepak bermaklumat' kepada kanak-kanak menjalankan aktiviti berfaedah dan merangsang minda positif," katanya.
Shamsiah menambah, Pusat Aktiviti Kanak-Kanak itu juga berperanan sebagai pusat kaunseling kepafa ibu bapa kanak-kanak yang bermasalah. |
|
|
|
|
|
|
|
3,000 meriahkan pelancaran Citrawarna Citarasa Malaysia
KUANTAN 15 Jun - Kira-kira 3,000 pengunjung hadir meraikan pelancaran Citrawarna dan Citrarasa Malaysia peringkat negeri di Padang Kemunting di sini, malam tadi.
Walaupun tanpa pertunjukan bunga api yang terpaksa dibatalkan bagi menjimatkan kos, orang ramai mula berkumpul di padang berkenaan seawal pukul 6 petang untuk memeriahkan suasana.
Acara bermula pada pukul 9.10 malam sebaik keberangkatan tiba Tengku Puan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, dan Pembangunan Keluarga negeri, Shafik Fauzan Sharif.
Majlis dimulakan dengan lintas hormat oleh 12 kereta tertera logo Tourism Malaysia diikuti pelbagai persembahan tarian berwarna-warni daripada 440 peserta.
Acara diserikan lagi dengan pasukan pancaragam Sekolah Perempuan Methodist Kuantan yang mendendangkan beberapa buah lagu, sebelum empat persembahan yang menggambarkan Pahang dengan tema hutan, flora dan fauna, pantai dan pulau, tanah tinggi serta seni budaya dan warisan.
Sesuai dengan tema 'Warna dan Citarasa Malaysia', majlis diteruskan dengan beberapa persembahan tarian pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India.
Tidak ketinggalan, masyarakat pribumi Orang Asli dari Kuala Lipis turut mempersembahkan tarian tradisional mereka.
Antara kumpulan kesenian yang terlibat menyertai persembahan tersebut ialah Kumpulan Kesenian Seri Perdana, Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya, Kumpulan Kesenian Soka Gakkai dan pelajar-pelajar Kolej Shahputra.
Persembahan diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai oleh peserta akhir rancangan Bintang Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), sambil diiringi persembahan tarian oleh peserta-peserta yang mengambil bahagian sebelum majlis berakhir pada pukul 10.40 malam.
Citrawarna dan Citrarasa Malaysia peringkat negeri yang bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sukaneka, pertandingan memancing, persembahan pentas Nestle, pertandingan masakan dan jualan makanan.
Program Citrarasa yang menampilkan pelbagai juadah serta hidangan menarik masyarakat tempatan turut diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 3, di sini, berhadapan Kompleks Teruntum.
Pahang merupakan destinasi keempat yang dipilih oleh Kementerian Pelancongan untuk menganjurkan acara tersebut selepas Melaka, Johor dan Terengganu. |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|